Dr Mahathir pertimbang sertai Putra

Faiz Zainudin

PUTRAJAYA: Selepas mengumumkan keluar Pejuang, Dr Mahathir Mohamad tidak menolak kemungkinan akan menyertai Putra pimpinan Ibrahim Ali.

Bekas perdana menteri itu berkata demikian selepas Putra hari ini menghantar jemputan kepada beliau untuk menyertai parti itu.

“Saya tidak nampak sebab saya tidak boleh terima parti ini. Saya juga akan memikirkan dan pertimbang cadangan ini,” katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana yang turut disertai kepimpinan Putra yang turut dihadiri Ibrahim.

Dalam perkembangan sama, Mahathir mengulangi pendiriannya sebelum ini di mana beliau tidak bersetuju dengan keputusan Pejuang yang diterajui anaknya, Mukhriz keluar daripada Gerakan Tanah Air (GTA).

Beliau juga hairan mengapa Pejuang sanggup untuk keluar GTA yang disertai pemimpin tidak terpalit dengan rasuah berbanding mahu bekerjasama dengan gabungan lain yang sudah terbukti tidak bersih.

“Kita cuba nak cantumkan orang Melayu yang bersih sebab sudah tidak banyak, kerana parti yang besar semua terlibat dengan rasuah, yang tinggal adalah parti kecil seperti Putra, Iman, Pejuang, dan Berjasa.

“Bersama dengan NGO lain tiba-tiba Pejuang kata tak mahu NGO, tidak mahu GTA, jadi bermakna bukan penyatuan tapi perpecahan lebih daripada itu.

“Jadi saya kecewa sebab itu apabila mereka buat keputusan secara rasmi bahawa mereka tidak mahu GTA sebaliknya tidak sebut mereka tidak mahu yang lain, bermakna mereka lebih utamakan yang lain termasuk parti-parti lain yang terlibat dengan rasuah, tetapi menolak GTA yang tidak ada masalah.

“Sebab itu saya berasa kecewa dan saya tunggu sehingga mereka buat keputusan rasmi dan selepas mereka buat keputusan pun saya fikir panjang dan ambil masa sebelum saya buat keputusan dan terpaksa tinggalkan Pejuang,” katanya.

Si warga emas bengong sertai demonstrasi tuntut pengeluaran KWSP, lelaki khuatir rakyat dipergunakan

WAN SITI AMINAH

Seorang lelaki meluahkan rasa bimbangnya dengan kehadiran warga emas dalam demonstrasi tuntutan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Hal ini kerana, rakyat yang berusia 55 tahun ke atas tidak pernah dihalang untuk mengeluarkan simpanan mereka dalam skim caruman pekerja itu.

Oleh yang demikian, dia khuatir sekiranya orang awam khususnya warga emas hanya dipergunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Setakat ini, luahan pemuda yang dimuat turun di laman aplikasi Twitter itu telah mendapat tontonan dari hampir setengah juta pengguna.

“Saya lihat, rata-rata yang sertai demo ini seperti sudah berumur lebih 55 tahun. Tidakkah mereka tahu bahawa mereka sudah boleh keluarkan SEMUA wang KWSP?

“Adakah mereka tak sedar sedang dipergunakan oleh NGO tak bertanggungjawab?,” ciap akaun yang menggunakan nama @SyedAkramin.

Semalam, enam NGO menyerahkan memorandum kepada Jabatan Perdana Menteri bagi menuntut pengeluaran kecemasan bersasar secara segera.

Antara NGO terlibat adalah Global Human Rights Federation (GHRF), Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Independent Living and Training Centre Malaysia.

Sewaktu wakil NGO ditemu bual oleh media, terlihat beberapa orang awam termasuk warga emas memegang placard atau poster bagi menyokong memorandum serahan mereka.

Untuk maklumat lanjut, penyimpan yang ingin berhijrah ke luar negara atau hilang upaya secara fizikal atau mental sehingga tidak dapat bekerja dibenarkan untuk mengeluarkan keseluruhan simpanan mereka.

KWSP juga membenarkan pengeluaran sebahagian dari simpanan Akaun 2 di bawah skim Kesihatan, Haji, Pendidikan serta Ansuran Bulanan Pinjaman Perumahan.

Letup bom guna walkie talkie, pegawai polis maut

BERNAMA

KEADAAN kenderaan yang dinaiki pegawai polis yang terkena letupan bom. FOTO Ihsan Polis Bannang Satar.

KEADAAN kenderaan yang dinaiki pegawai polis yang terkena letupan bom. FOTO Ihsan Polis Bannang Satar.

Yala (Thailand): Seorang pegawai polis maut manakala empat lagi cedera dalam satu serangan bom di Bannang Sata di Yala, di sini, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira 11.30 pagi (waktu tempatan) ketika sekumpulan polis diketuai Ketua Siasatan Jenayah Balai Polis Bannang Sata yang menaiki sebuah pikap dalam perjalanan ke tempat kejadian serangan khianat yang berlaku pada malam Khamis.

Enam kenderaan di dua lokasi di Bannang Sata dilaporkan terbakar dalam serangan khianat itu.

Ketua Polis Daerah Bannang Satar Kolonel Polis Ranon Surawit berkata sebutir bom dipercayai ditanam di tepi jalan diletupkan menggunakan walkie-talkie apabila pikap yang dinaiki mereka tiba di lokasi kejadian.

"Akibat letupan yang kuat, pikap itu terbabas. Sekumpulan lelaki dipercayai bersembunyi di kawasan hutan berdekatan turut melepaskan tembakan ke arah kenderaan polis," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Ranon berkata Ketua Siasatan Jenayah Balai Polis Bannang Sata terkena serpihan bom dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Empat lagi anggota polis dihantar ke hospital berdekatan untuk menerima rawatan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Thailand Jeneral Polis Damrongsak Kittiprapas telah mengarahkan polis mempergiatkan usaha menjejaki dalang di sebalik letupan itu.

Mahathir: Kenapa penyelesaian saman pecat Apandi jadi rahsia, dia tak layak diberi sebarang pampasan

Malaysiakini

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad "bingung" dengan keputusan Putrajaya untuk tidak mendedahkan butiran penyelesaian saman dengan bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali berhubung pampasan bagi pemecatannya itu.

“Saya bingung dengan keputusan Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman untuk menjadikan tuntutan pampasan oleh Apandi itu sebagai rahsia,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.

Dr Mahathir merujuk kepada terma-terma penyelesaian berhubung kes saman ke atas dirinya dan kerajaan yang dimaklumkan telah dikelaskan sebagai rahsia di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

“Apandi, bekas peguam negara semasa kerajaan Najib Razak, telah membuat tuntutannya secara terbuka. Malah dia menyatakan jumlah yang dituntutnya itu iaitu sebanyak RM2.23 juta.

“Tetapi pampasan yang dibayar oleh kerajaan dijadikan rahsia. Kenapa? Saya ada sebab untuk mengetahuinya kerana saya rasa dia tidak layak diberi sebarang pampasan,” kata Mahathir.

Pada 14 Februari lalu, Azalina dalam jawapan bertulis di parlimen berkata, bahawa kes sivil itu telah diselesaikan di luar mahkamah atas persetujuan kerajaan tanpa sebarang pengakuan liabiliti.

Azalina memaklumkan perkara itu bagi menjawab soalan M Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) yang meminta Perdana Menteri menyatakan jumlah pampasan yang dibayar kerajaan kepada Apandi apabila kerajaan menyelesaikan kes saman itu.

Menurut Azalina semasa rundingan penyelesaian dijalankan, pihak-pihak kepada guaman ini, khususnya pihak Plaintif, yang diwakili oleh Tetuan Shukor Baljit and Partners, dan Jabatan Peguam Negara bersetuju agar terma-terma penyelesaian dirahsiakan dan tidak didedahkan kepada pihak umum.

Katanya, selaras dengan persetujuan tersebut, semua komunikasi berhubung dengan rundingan penyelesaian serta terma-terma penyelesaian yang dipersetujui telah dikelaskan sebagai rahsia.

Semasa Mahathir menjadi perdana menteri ketika pentadbiran Pakatan Harapan sebelum ini, dia telah memecat Apandi pada Jun 2018 apabila siasatan 1MDB rancak dijalankan.

Pada 13 Okt 2020, Apandi memfailkan saman terhadap Mahathir dan kerajaan atas dakwaan penamatannya sebagai peguam negara itu dibuat secara tidak sah

Pada 13 April 2022, Apandi dan kerajaan mencapai penyelesaian secara baik berhubung tuntutan itu.

Mahathir sejak itu menegaskan bahawa dia membuat keputusan tepat dalam memecat Apandi dan perkara itu dilakukan mengikut prosedur.

“Saya terkejut membaca berita mengenai penyelesaian di luar mahkamah yang dibuat antara kerajaan dan Apandi baru-baru ini.

"Saya tidak dimaklumkan mengenai penyelesaian itu walaupun saya adalah saksi utama," kata pemompin itu apabila mendapat tahu tentang  berita mengenai penyelesaian itu tersebar.

Dalam maklum balasnya, Peguam Negara Idrus Harun berkata bahawa Mahathir telah dimaklumkan mengenai penyelesaian itu.

“Saya hanya boleh mengesahkan bahawa Mahathir menulis baru-baru ini untuk mendapatkan maklumat mengenai syarat penyelesaian. Saya sudah menjawab untuk memaklumkannya mengenai syarat penyelesaian,” kata Idrus.

Apandi juga berkata Mahathir tidak berhak untuk mempersoalkan penyelesaian itu walaupun Mahathir dinamakan sebagai pihak dalam samannya.

Tragis: Maut dihempap kereta sendiri

Samadi Ahmad

am@hmetro.com.my
LELAKI maut dihempap kereta sendiri di Presint 5 di sini hari ini. FOTO Ihsan pembaca.
LELAKI maut dihempap kereta sendiri di Presint 5 di sini hari ini. FOTO Ihsan pembaca.
Putrajaya: Seorang lelaki maut selepas dihempap kereta miliknya ketika sedang melakukan servis di Blok B, Projek Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM), Presint 5 di sini hari ini.

Mangsa yang berusia 30 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan Hospital Putrajaya.

Ketua Polis Daerah (IPD) Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz, berkata polis menerima laporan pada 11.48 pagi dari orang awam menyatakan seorang lelaki tersepit di bawah kenderaan dan polis tiba di lokasi kejadian pada 12 tengahari.

Menurutnya, ketika polis tiba mayat mangsa yang berada di bawah bahagian enjin kereta jenis Perodua Bezza sudah dikeluarkan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM).

Katanya, mangsa yang maut dikenali Mohammad Azim Mohd Sanusi bekerja sebagai pemandu Grab dan hasil soal siasat mendapati ketika kejadian, suaminya sedang menukar minyak hitam dan menukar brek tayar hadapan sebelah kanan.

"Hasil pemeriksaan ke atas tubuh mangsa dan siasatan di lokasi kejadian mendapati tiada unsur jenayah, "katanya melalui satu kenyataan.

Asmadi berkata, mayat mangsa dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Putrajaya untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Katanya, pihak Forensik Hospital Putrajaya juga mengambil ujian saringan Covid-19 dan bedah siasat dijangka diadakan esok pagi.

"Rakaman percakapan isteri mangsa juga telah diambil dan keluarga mangsa juga dihubungi bagi maklumkan kejadian, "katanya.

MP bengong membingungkan orang ramai

Makanan berkualiti rendah bukan punca autisme 

Syerleena Abdul Rashid

Semalam semasa sesi perbahasan parlimen, Halimah Ali, ahli parlimen Kapar membuat kenyataan pelik yang menyatakan bahawa “makanan berkualiti rendah” akan terdedah kepada penyakit autisme. Beliau berkata 

“Saya tidak ada masalah dengan istilah Rahmah, tetapi saya tidak mahu golongan B40 diberi makanan yang kualiti rendah dan kemungkinan akan menyebabkan mereka terdedah kepada kanser , penyakit autoimun, atau autisme dan sebagainya.” 

Halimah Ali seorang doktor yang berkhidmat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), sebuah hospital Universiti di Petaling Jaya dan juga klinik awam lain. 

Beliau berkhidmat dan mempunyai pengalaman berpuluh-puluh tahun dalam bidang perubatan khususnya dalam sektor kesihatan awam. 

Oleh sebab itu, kenyataan yang beliau nyatakan itu membingungkan orang ramai. 

Kenyataan yang dibuat oleh seorang doktor yang berkelulusan dalam bidang perubatan ini menimbulkan banyak persoalan. Bagaimanapun adalah penting untuk kita meningkatkan kesedaran autisme dalam kalangan masyarakat supaya kita dapat membantu golongan tersebut.

Autisme atau dikenali sebagai autism spectrum disorder (ASD) merupakan gangguan perkembangan saraf yang menjejaskan interaksi sosial, komunikasi dan tingkah laku seseorang individu. ASD adalah sangat kompleks dan akan kekal sepanjang hayat. 

Selain itu, keadaan ASD ini akan bertambah teruk dari semasa ke semasa. Walaupun pada sesuatu ketika, gangguan ini jarang berlaku tetapi kelaziman ASD ini telah meningkat sejak bertahun-tahun yang lepas. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, dalam 100 kanak-kanak akan ada satu yang mengalami gangguan ini dalam dunia ini. 

Walaupun punca sebenar ASD belum dipasti sepenuhnya, tetapi penyelidikan menunjukkan bahawa gabungan faktor genetik dan persekitaran boleh menyumbang kepada perkembangan gangguan ini. 

Kajian menunjukkan bahawa baka tertentu berkait dengan risiko mengembangkan ASD. Selain itu, pendedahan kepada toksin, jangkitan dan faktor persekitaran yang lain semasa mengandung juga antara salah satu faktor mengembangkan ASD. 

Oleh sebab itu, pengambilan makanan yang kurang sihat bukan punca autisme. 

Tidak ada satu bukti yang kukuh menyatakan pengambilan makanan kurang sihat dan kurang kualiti akan menyebabkan autisme manakala pengambilan makanan yang mempunyai nutrisi yang tinggi adalah penting kepada semua individu termasuk individu autisme. 

Selain itu, kurangkan pengambilan makanan dan suplemen tertentu juga dapat menguruskan tahap gejala yang ditunjukkan dalam sesetengah individu. 

Menurut Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia, autisme atau tingkah laku yang berkaitan dianggarkan berlaku kepada satu daripada 68 bayi yang baru lahir. Ini bermakna setiap tahun Malaysia dianggarkan mempunyai 9000 kanak-kanak menghadapi gangguan ini. 

Menurut Kementerian Kesihatan, sejak 10 tahun kebelakangan ini jumlah kes ASD meningkat secara mendadak. Menurut laporan kementerian tahun 2021, seramai 589 kanak-kanak bawah 18 tahun menghadapi gangguan ASD dan jumlah ini melonjak sebanyak 500 peratus dari 99 kes pada tahun 2009.

Statistik ini menunjukkan peningkatan yang ketara berbanding dengan tahun-tahun sebelum ini. Pakar-pakar juga mengaitkan kenaikan ini dengan kaedah diagnostik yang berkesan dan kesedaran austisme dalam kalangan masyarakat. Campur tangan di peringkat awal adalah sangat penting, supaya dapat mengurangkan tahap keseriusan dan meningkatkan kehidupan yang lebih berkualiti seseorang individu. 

Semoga dengan adanya RM1.2 bilion yang diperuntukkan sejak Oktober tahun lepas oleh mantan menteri kewangan, Tengku Zafrul Aziz dapat membantu dalam aspek tertentu seperti membina taska OKU kepada golongan kanak-kanak yang memerlukan supaya mereka mendapat akses untuk intervensi awal dengan lebih mudah. 

Selain peningkatan kelaziman autisme, dalam kalangan masyarakat Malaysia masih terdapat stigma dan kesedaran yang rendah mengenai gangguan ini. Ramai orang masih mempunyai salah tanggapan terhadap autisme, yang membawa kepada sikap negatif dan diskriminasi terhadap individu yang mempunyai keadaan ini. 

Stigma ini sangat berbahaya kerana ia mengakibatkan kurang sokongan dan dorongan kepada golongan autisme dan menyebabkan mereka sukar untuk mengakses sumber yang mereka perlukan.

Pendidikan dan kesedaran adalah dua faktor penting untuk membantu mereka. Kempen kesedaran awam, jangkauan masyarakat, dan membanyakkan kursus kesihatan kepada pendidik dapat bantu mengurangkan stigma yang sedia ada. 

Selain itu, memberi sumber dan bantuan kepada keluarga atau pengasuh supaya dapat mengurangkan beban mereka semasa menjaga kanak-kanak yang menghadapi gangguan ini. Kita tidak boleh membiarkan keadaan ini berterusan dan seharusnya mewujudkan persekitaran yang lebih inklusif kepada semua termasuk individu autisme di Malaysia.   

SYERLEENA ABDUL RASHID ialah ahli parlimen bukit bendera merangkap anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Delima.

Polis siasat anggota didakwa ganggu isteri orang

Bernama

Polis mengesahkan telah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan seorang anggotanya yang dikatakan mempunyai hubungan sulit dan mengganggu isteri orang seperti video yang tular di laman sosial Facebook sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata polis juga telah menerima laporan daripada suami wanita terbabit mengenai salah laku anggota berusia 36 tahun yang bertugas di Balai Polis Ayer Keroh itu.

"Perkara ini sedang dalam siasatan lanjut meliputi pelbagai elemen dan kami juga perlu hantar sampel video itu ke forensik untuk kami tentukan kesahihan yang dibuat oleh pengadu.

"Dalam isu ini saya tidak akan berkompromi jika ia melibatkan salah laku anggota selain tidak teragak-agak untuk ambil tindakan," katanya kepada pemberita di Melaka hari ini.

Mengulas lanjut Christopher berkata siasatan mengenai kes itu dijalankan oleh D11 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS).

Katanya anggota tersebut juga masih menjalankan tugas seperti biasa dan kes itu disiasat di bawah Sesyen 498 Kanun Keseksaan kerana kesalahan memikat dan memperdaya isteri orang.

Terdahulu tular satu hantaran di Facebook dan video dakwaan seorang lelaki mengenai masalah rumah tangga yang berusia sembilan tahun itu diganggu pihak ketiga dan dipercayai hubungan isterinya dan anggota terbabit telah berlarutan sehingga setahun.

- Bernama

Isteri dituduh bunuh suami

Malaysiakini 

Seorang isteri bersama seorang lelaki warga India didakwa di Mahkamah Majistret di Shah Alam hari ini, atas pertuduhan membunuh suami wanita itu dua tahun lepas.

Lachhami Devi, 23, juga warga India dan Varun Kumar, 30, didakwa bersama-sama membunuh Arshdeep Singh, 25,  (warga India)  di sebuah rumah kebajikan orang tua di Subang Hill, Subang Jaya, pada 1.30 pagi, 31 Okt 2021.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh ketika pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Inggeris di hadapan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman kerana kes itu berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. 

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Iman Ahmad Sapian manakala peguam Dr Pritam Singh Doal mewakili Varun sementara Lachhami tidak diwakili peguam. 

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 14 April depan.

Media sebelum ini melaporkan perbuatan seorang lelaki yang dipercayai membunuh suami kekasihnya dan menanam mayat mangsa di lereng bukit belakang sebuah pusat jagaan orang tua, dua tahun lepas akhirnya terbongkar.

Pihak polis menerima laporan daripada orang awam, berkaitan pengakuan seorang lelaki warga India yang membunuh rakan senegaranya sebelum menanam mayat mangsa di lokasi tersebut.

- Bernama

YB Langkawi dedah kisah payudara dipotong kerana dadah

BERNAMA

Kuala Lumpur: Kisah benar seorang ibu tunggal dicederakan anak kandung akibat pengaruh dadah, mencuri perhatian sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Menceritakan pengalamannya, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi), berkata beliau pernah didatangi seorang ibu tunggal yang hilang sebelah payudara akibat perbuatan ganas anak lelakinya yang terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

Lebih memilukan, Mohd Suhaimi, yang juga Timbalan Yang Dipertua Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam), berkata wanita itu tidak berani ke hospital mendapatkan rawatan dan hanya menyapu lukanya dengan serbuk kopi kerana takut perbuatan anaknya terbongkar oleh polis.

"Anak dia itu minta duit tiga empat kali (ibu) tak bagi, anak pergi ke dapur dan ambil pisau... rentap rantai mak dia, dia potong buah dada kiri mak dia. Itu kasih seorang ibu, tapi anak sanggup potong buah dada mak dia yang menyusukan dia, itu akibat dadah," katanya.

Mengambil iktibar daripada kisah itu, Mohd Suhaimi, yang pertama kali menjadi wakil rakyat, berharap kerajaan memandang serius isu penagihan dadah dan melaksanakan langkah yang lebih berkesan bagi menanganinya.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (PH-Muar), yang mencelah perbahasan Mohd Suhaimi, berkata kerajaan perlu menukar strategi dan taktik mencegah penyalahgunaan dadah dengan rawatan terutama kes-kes yang tidak serius.

"Terutama 'soft drug', bukankah lebih baik kita guna inisiatif untuk merawat mereka, tidak meletakkan dalam penjara tetapi biar pakar dan doktor merawat mereka supaya proses pemulihan itu lebih baik seperti dilakukan negara Portugal," katanya.

Dalam perkembangan lain, Syahredzan Johan (PH-Bangi), dalam perbahasannya, mencadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meneliti semula kawasan-kawasan Parlimen yang mempunyai jumlah pengundi yang ramai supaya dilakukan persempadanan semula.

Menjadikan Parlimen Bangi yang mempunyai jumlah pengundi berdaftar teramai iaitu sebanyak 300,000 pengundi sebagai contoh, Syahredzan berkata saiz Parlimen 'mega' itu memberi kesan kepada nilai undi seseorang pengundi.

Tau pulak takut walaun ni

Anak ketua PAS Perak akhirnya tarik balik kenyataan terhadap Anwar

Malaysiakini
story-image
Kira-kira seminggu selepas mendakwa bapanya memohon maaf kepada Anwar Ibrahim demi menjaga nama baik perdana menteri, Muhammad Rif'aat Razman akhirnya menarik balik kenyataan tersebut.

Anak kepada pesuruhjaya PAS Perak itu juga dipercayai memadamkan hampir semua hantaran yang dibuat dalam akaun Facebooknya.

Peguam Anwar, SN Nair berkata bekas calon PAS untuk kerusi parlimen Lenggong dalam PRU ke-15 lalu itu juga berjanji untuk menyahaktifkan akaun media sosialnya itu.

Pada 9 Feb lalu Razman Zakaria mengemukakan permohonan maaf kepada Anwar ekoran dakwaannya terhadap perdana menteri dengan aktiviti LGBT

Kira-kira empat bulan sebelum itu Razman memberitahu dalam sidang media, dia tidak akan mengemukakan permohonan maaf kepada Anwar kerana nilai saman RM5 juta yang dikemukakan Anwar adalah kecil berbanding "akibah" umat Islam yang didakwa mahu dipertahankan Adun Gunong Semanggol berkenaan.

Tidak lama kemudian untuk membela Razman, Rif'aat didapati memberi komen di Facebook mendakwa bapanya itu mengemukakan permohonan maaf demi "menjaga nama baik perdana menteri."

"Kalau nak panjang kes, lagi banyak pekung dibuka. Sebab Anwar ada kes yang sudah disabitkan bersalah dan dijatuhkan hukuman.

"Kedua-dua belah pihak setuju kes ditutup, untuk jaga nama Anwar sebagai PM. Selesai," katanya.

Kata Nair merujuk kepada laporan Malaysiakini bertarikh 10 Feb lalu, Ri'faat telah menarik balik kenyataannya dan dimaklumkan melalui peguam Razman.

"Dia telah memadam semua hantaran berkaitan di FB dan juga menyahaktifkan akaun Facebooknya setakat semalam.

"Perdana menteri mengarahkan agar tindakan undang-undang berkaitan perkara itu diselesaikan," katanya.

Dr walauntit digesa minta maaf

Dr Halimah digesa minta maaf kaitkan autisme dengan Menu Rahmah

Malaysiakini

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung menggesa pemimpin PAS, Dr Halimah Ali memohon maaf berhubung dakwaan menu Rahmah boleh menyebabkan kanser serta autisme.

Lee berkata, sebagai seorang doktor perubatan, Halimah yang juga Ahli Parlimen Kapar sepatutnya lebih arif bahawa autisme tidak berpunca daripada pemakanan.

"Saya terkilan bahawa Halimah sebagai seorang doktor yang bertauliah boleh mengeluarkan kenyataan yang tidak sepadan dengan kelayakan, kepakarannya.

"Seluruh dunia ambil maklum bahawa makanan tidak mengakibatkan autisme, sebaliknya ia ditentukan oleh DNA dan sewaktu lahir.

"Halimah harus membuktikan secara saintifik bagaimana makanan ada perhubungan dengan autisme, dan jika tidak, wajar memohon maaf kepada orang awam atas kenyataan yang mengelirukan rakyat supaya institusi parlimen yang suci ini tidak dijadikan bahan ketawa masyarakat,"katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Halimah dilapor menyuarakan kebimbangan penyediaan makanan yang berharga rendah untuk menu Rahmah tidak sepatutnya sehingga menyebabkan golongan kurang berkemampuan mendapat hidangan yang bermutu rendah.

Sebagai doktor perubatan, kata wakil rakyat dari PAS itu, dia berasa bimbang dengan isu keterjaminan makanan yang terdesak sekarang dan didakwanya membingungkan kerajaan.

"Kita tak mahu shortcut (jalan pintas), kita tak mahu kompromi daripada bekalan makanan yang low quality.

"Saya tidak ada masalah dengan istilah rahmah atau apa tetapi jangan sampai rakyat marhaen B40 diberikan bekalan makanan yang low quality dan mungkin juga menyebabkan mereka terdedah kepada kanser, autoimmune disease, kepada autisme dan sebagainya," kata bekas exco Selangor itu.

Sementara itu, Lee menggesa Halimah membuktikan menu Rahmah dibekalkan dengan mutu yang rendah ataupun low quality.

"Saya yakin Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Hidup (KPDN) tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya perkara ini berlaku

"Tapi jangan bersangka buruk atas inisiatif kerajaan yang baik, dan cuba mencemarkan imej program kerajaan tanpa fakta dan bukti yang asas," katanya lagi.

Sah Shahrizat cabar ketua Wanita Umno

B Nantha Kumar

Bekas ketua pergerakan wanita Umno Shahrizat Abdul Jalil kembali ke medan politik dan dijangka akan bertanding bagi jawatan lamanya pada pemilihan parti akan datang.

Beberapa sumber dalaman parti itu mengesahkan perkara itu kepada Malaysiakini.

"Tan Sri akan bertanding jawatan ketua wanita.

"Borang penamaan akan diserahkan ke ibu pejabat esok melalui wakilnya," kata sumber itu.

Ketika dihubungi beberapa sumber rapat dengan bekas menteri wanita, keluarga dan masyarakat itu mengesahkan perkara tersebut.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan komen Shahrizat.

Shahrizat yang memegang jawatan itu sejak 2009 mengambil keputusan tidak mempertahankan jawatan itu pada pemilihan parti tahun 2018.

Dia berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil serius suara lantang rakyat yang mahu melihat pembaharuan dalam Umno, selain memberi peluang kepada muka baru.

Dilaporkan sebelum ini bahawa penyandangnya Noraini Ahmad mengesahkan akan mempertahankan jawatannya.

Sementara itu, sumber dalaman juga memberitahu Malaysiakini bahawa keputusan itu dibuat susulan konflik dalaman Wanita Umno selepas timbul suara tidak puas hati terhadap Noraini.

Pemilihan bagi jawatan-jawatan sayap Umno, termasuk Wanita, akan berlangsung serentak  di seluruh negara pada 11 Mac depan.

Kerusi DUN Batang Kali diisytihar kosong

Ng Xiang Yi

Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini mengumumkan kerusi bagi kawasan Batang Kali kosong.

Pengumuman itu dibuat Ng Suee Lim di Shah Alam hari ini.

Kata Ng keputusan itu dibuat selepas Adun Batang Kali Harumaini Omar gagal menghadirkan diri dalam persidangan DUN Selangor selama enam bulan tanpa sebarang notis.

Menurut Ng berdasarkan data pada penyata rasmi dan buku kedatangan Adun Selangor, Harumaini tidak hadir tapa kebenaran speaker pada keseluruhan persidangan DUN dari 23 hingga 30 Nov 2022; 1 hingga 2 Dis 2022; dan 5 hingga 6 Di 2022.

Katanya tiada rekod dalam Pejabat DUN Selangor dan pejabat speaker yang menunjukkan Harumaini memohon kebenaran daripada speaker untuk tidak hadir pada persidangan pada tarikh berkenaan.

Kata Ng penyata rasmi dan kuku kehadiran menunjukkan kali terakhir Harumaini hadir ke persidangan DUN Selangor ialah pada 27 Julai 2022.

"Memandangkan tempo enam bulan dikira bermula dari 28 Julai 2022, maka seperti yang diperuntukkan Perkara LXIX Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, tempoh ketidakhadiran Yang Berhormat Batang Kali telah melebihi enam bulan.

"Maka pada menjalankan kuasa saya sebagai Speaker DUN Selangor mengikut Perkara LXIX Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, saya dengan ini mengisytiharkan kerusi Harumaini kosong berkuat kuasa mulai 28 Jan 2023," katanya.

Turut hadir semasa sidang media pengumuman tersebut ialah Timbalan Speaker DUN Selangor, Hasnul Baharuddin.

Harumaini merupakan calon Bersatu - sekali gus PH - dalam PRU ke-14 yang dilangsungkan pada 2018.

Bertanding di Batang Kali, dia memenangi kerusi tersebut dengan mengetepikan dua calon lain termasuk penyandang Mat Nadzari Ahmad Dahlan.

Seorang lagi calon ialah dari PAS, Mohd Hasnizan Harun.

Harumaini memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 8,315. Dia memperoleh 21,536 undi berbanding 13,221 yang dipungut Mat Nadzari.

Apabila Bersatu meninggalkan PH pada Feb 2020, Harumaini enggan menyertai langkah tersebut sebaliknya menyertai Pejuang kemudian.

Unit Petronas di Luxembourg dirampas lagi

Reuters

Bailif mahkamah di Luxembourg mengeluarkan perintah rampasan baharu untuk dua unit firma minyak negara Malaysia Petronas minggu ini. Ini berikutan permohonan oleh ‘waris’ bekas kesultanan untuk menguatkuasakan anugerah AS$15 bilion yang mereka menangi terhadap Malaysia, kata peguam waris itu dan dokumen mahkamah yang dilihat oleh Reuters.

Warga Filipina yang mendakwa sebagai waris Sultan Sulu yang terakhir sedang berusaha untuk menguatkuasakan anugerah AS$14.9 bilion yang diberikan kepada mereka oleh mahkamah timbang tara Perancis tahun lalu, susulan pertikaian berlarutan dengan kerajaan Malaysia berhubung perjanjian tanah era penjajah.

Malaysia, yang tidak mengambil bahagian dalam timbang tara itu, menyifatkan proses berkenaan adalah tidak sah. Ia kemudian memperoleh penangguhan anugerah di Perancis tetapi keputusan tersebut tetap boleh dikuatkuasakan di luar negara di bawah perjanjian timbang tara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Petronas berkata ia akan menentang sebarang tuntutan yang dibuat ke atas asetnya dan Malaysia berikrar untuk menggunakan semua langkah undang-undang untuk menghalang asetnya, termasuk syarikat berkaitan kerajaan, daripada dirampas di luar negara.

Unit Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus pertama kali dirampas pada Julai 2022, tetapi kerajaan Malaysia berkata bulan lalu bahawa perintah itu telah diketepikan oleh mahkamah daerah Luxembourg.

Pada hari Selasa lalu, dokumen mahkamah yang dikongsi oleh peguam waris itu, Paul Cohen, menunjukkan bahawa bailif mahkamah di Luxembourg mengeluarkan perintah rampasan kedua ke atas unit dan akaun bank berkaitan.

Cohen, dari firma guaman British, 4-5 Gray's Inn Square, memberitahu Reuters bahawa mahkamah daerah Luxembourg sememangnya telah menarik balik perintah rampasan pertama mengenai isu kecil yang telah ditangani, tetapi tidak membuat penghakiman berhubung merit timbang tara berkenaan.

"Terdapat ketetapan teknikal yang kini telah ditangani dengan berkesan, dan perintah pembekuan sekali lagi dilaksanakan ke atas aset Petronas di Luxembourg," katanya menerusi e-mel.

Mahkamah di Luxembourg tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen. Petronas dan menteri undang-undang Malaysia juga tidak menjawab permintaan untuk mendapatkan ulasan.

Pertikaian itu berpunca daripada perjanjian yang ditandatangani pada 1878 antara dua penjajah Eropah dan Sultan Sulu untuk menggunakan wilayah baginda di Malaysia masa kini – perjanjian yang Malaysia yang merdeka hormati sehingga 2013, dengan membayar jumlah token setiap tahun kepada waris kesultanan itu.

Kuala Lumpur kemudian menghentikan pembayaran selepas pencerobohan berdarah oleh penyokong bekas kesultanan itu yang ingin menuntut semula tanah mereka daripada Malaysia. Waris berkenaan berkata mereka tidak terlibat dalam pencerobohan itu dan meminta timbang tara berhubung penggantungan bayaran.

- Reuters

Macam-macam alasan diberi itulah penguatkuasa Malaysia

Penempatan haram dalam hutan sejak 8 tahun lalu diserbu 
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my

Cyberjaya: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya membongkar satu lagi penempatan haram warga asing yang berselindung di dalam hutan di daerah ini yang dipercayai wujud sejak lapan tahun lalu.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya membuat serbuan dengan kekuatan 321 pegawai Imigresen dan 55 pegawai serta anggota dari agensi lain termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, serbuan kira-kira 12 tengah malam tadi itu dibuat selepas pihaknya menerima maklumat daripada orang awam sebelum melakukan risikan di lokasi terbabit tiga minggu lalu.

"Berdasarkan pemerhatian dilakukan, kita mendapati terdapat kira-kira 100 rumah di kawasan berkenaan yang terletak dalam keadaan berselerak di dalam hutan ini.

"Hasil pemeriksaan dilakukan, kami menahan 26 lelaki dan 29 wanita berusia antara 16 hingga 70 tahun warga Indonesia yang mendiami kediaman di kawasan itu.

"Dianggarkan antara 30 hingga 40 warga asing berjaya melarikan diri ke belukar dan jauh ke dalam hutan ini dan kami memutuskan untuk tidak mengejar mereka atas faktor keselamatan serta keadaan gelap," katanya pada sidang media di lokasi serbuan, awal pagi tadi.

Khairul Dzaimee berkata, hasil soal siasat awal terhadap warga asing yang ditahan mendapati kebanyakan mereka masuk ke Malaysia menggunakan pas lawatan sosial.

"Ada antara mereka bekerja di kawasan berhampiran sebagai pencuci. Malah, saya juga dimaklumkan bahawa ada antara wanita yang tinggal di sini menjalankan perniagaan menjual kuih, nasi lemak, goreng pisang di sekitar Putrajaya dan Cyberjaya.

"Makanan itu dihasilkan dalam keadaan kotor dengan mereka tidak menerima suntikan (typhoid) seperti yang dikehendaki Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya.

Beliau berkata, penempatan itu sukar dikesan kerana ia terletak kira-kira tiga hingga empat kilometer (km) dari jalan utama dengan rumah dibina di celah pokok di tepi belukar di dalam hutan berkenaan.

"Dari segi bekalan elektrik, penempatan ini menggunakan generator, manakala bekalan air pula diperolehi dari perigi pada kedalaman antara tiga hingga lima meter yang dibuat sendiri oleh mereka dengan keadaan tandas serta perparitan yang daif.

"Penempatan itu juga mempunyai kemudahan lain termasuk kedai runcit, surau yang boleh menempatkan antara 30 hingga 40 jemaah dan kedai kopi," katanya.

Menurutnya, kebanyakan warga asing yang tinggal di penempatan itu dikenakan sewa RM500 setiap bulan bagi setiap rumah dengan bayaran dikutip oleh ketua sebelum diserahkan kepada pihak tertentu.

"Kami akan mengenal pasti pemilik tanah ini bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil atas kesalahan melindungi pendatang asing tanpa izin (Pati).

"Semua warga asing yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen di Putrajaya untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.

Kereta terbalik lepas langgar bonggol, penyamun ‘rembat’ pula Myvi polis untuk larikan diri

WAN SITI AMINAH

Sebuah rakaman yang memaparkan seorang lelaki ditembak sebelum berjaya melarikan diri dengan kereta Produa Myvi tular di media sosial baru-baru ini.

Video kejadian tembak-menembak yang dipercayai berlaku di Klang, Selangor itu dimuat turun di akaun Facebook milik info.semasa.

Percaya atau tidak, kenderaan yang digelar ‘King’ itu sebenarnya kepunyaan detektif yang ditugaskan untuk menangkapnya.

Kejadian itu bermula apabila polis mengejar suspek yang memandu proton Inspira itu dari daerah Banting menuju ke Klang.

Apabila memasuki kawasan Masjid Kampung Pendamar, suspek yang sempat melanggar kereta polis itu bertindak memandu secara merbahaya.

Suspek kemudian terbabas di tepi jalan kampung itu setelah melanggar bonggol jalan dengan kelajuan yang tinggi.

Turut melanggar kenderaan orang awam, lelaki yang berusia 31 tahun itu meninggalkan kenderaannya untuk melarikan diri.

Mula berlari ke kawasan kampung, polis kemudian memberhentikan ‘King’ di belakang Inspira yang terbalik itu bagi mengejar suspek.

“Setelah itu, suspek kembali ke lokasi tempat kereta suspek terbabas dan masuk ke dalam kereta yang digunakan oleh pasukan polis.

“Pada masa tersebut anggota polis yang mengejar suspek telah melepaskan beberapa das tembakan.

“Ini adalah untuk mengelakkan suspek melarikan diri dan mengancam nyawa orang awam,” kata ACP Cha Hoong Fong.

Cha yang merupakan Ketua Polis Daerah Klang Selatan itu berkata suspek yang berjaya melepaskan diri itu telah ditahan di kawasan Jalan Kem, Pelabuhan Klang.

Orang tak siuman tikam pesakit di hospital

Malaysiakini 

Seorang pesakit yang menunggu rawatan di bahagian kecemasan Hospital Selayang ditikam seorang lagi pesakit yang mengalami masalah psikiatri semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan kejadian itu dan menegaskan penyerang dibawa masuk oleh polis.

“Kejadian tikaman itu dilakukan oleh pesakit psikiatri yang dibawa masuk oleh polis, ia boleh berlaku di mana-mana sahaja.

"Kami perlu melindungi pesakit kami di jabatan kecemasan dan klinik kami. Kami perlu menyemak SOP kami untuk pesakit yang mengalami gangguan psikiatri," tulis Noor Hisham di Twitter.

Noor Hisham mengulas artikel oleh Straits Times Singapura yang pertama kali melaporkan kejadian itu dan mendakwa penyerang menjadi ganas selepas lama menunggu untuk dimasukkan.

Laporan itu mendakwa bahawa semua wad di hospital itu penuh ketika itu manakala ramai yang menunggu giliran di bahagian kecemasan.

Semakan di KKMNow - laman web data terbuka Kementerian Kesihatan - mencadangkan penggunaan katil Hospital Selayang berada pada tahap 69.6 peratus setakat malam tadi.

Hospital Selayang mempunyai jabatan psikiatri dan kesihatan mental.

Menurut Straits Times, mangsa ditikam tiga kali - sekali di bahagian belakang dan dua kali di perut.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata dia telah melawat hospital malam tadi selepas sidang Dewan Rakyat untuk bertemu keluarga mangsa dan pasukan yang merawat mangsa.

"Status terkini pesakit juga akan dilaporkan dari masa ke semasa kepada keluarga.

"Perkara ini sedang dalam siasatan pihak yang berwajib," katanya.

Kes Abdul Hadi, polis tunggu arahan TPR

Raja Noraina Raja Rahim

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis masih menunggu arahan lanjut daripada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) berhubung kes Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata, kertas siasatan sudah dilengkapkan dan diserahkan kepada TPR, tahun lalu.

"Kertas siasatan sudah dikemukakan di pejabat TPR tahun lalu dan kita masih menunggu arahan lanjut," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Pada 5 Disember lalu, Abdul Hadi dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul susulan beberapa laporan yang dibuat terhadapnya.
Advertisement

Abdul Hadi sebelum ini mendakwa DAP mempromosikan Islamofobia dan menghalang Pas daripada berkuasa, selain turut menyifatkan parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu 'tidak bermoral'.

Sering update isu semasa di media sosial, warganet pelik bagaimana Najib dapat akses internet di penjara

WAN SITI AMINAH

Pengguna media sosial hairan bagaimana Datuk Seri Najib Razak boleh membuat hantaran tular dari dalam penjara.

Bekas Perdana Menteri Malaysia itu sering muat naik pandangan serta cadangan mengenai isu yang sedang dipertikaikan oleh rakyat Malaysia

Tidak pernah ketinggalan, setiap penulisan dikongsi beliau di Facebook atau Twitter sering mendapat perhatian oleh pengguna media sosial itu.

Baru-baru ini, bekas Ahli Parlimen Pekan itu menciap pendangannya mengenai tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad keluar dari parti Pejuang.

Mendapat tontonan lebih dari setengah juta, ciapannya itu menuai pelbagai reaksi terutama mengenai pengurusan akaun sosial medianya.

Manakan tidak, pada tahun lalu, Najib telah dijatuhkan hukuman penjara bertempat di Kajang selama 12 tahun.

Oleh yang demikian, pengguna media sosial berasa ganjil bagaimana banduan penjara boleh mendapatkan akses internet.

Seorang pengguna bernama Azhar berpendapat Anwar Ibrahim perlu mengadakan pemeriksaan dalam sel penjara yang didiami Najib.

Dia musykil sekiranya Najib Razak mempunyai akses kepada telefon pintar miliknya dan meminta kakitangan untuk merampasnya.

“Nak mintak tolong @anwaribrahim check (pantau) dalam penjara kenapa Najib ni boleh main telefon. Mohon rampas, periksa bawah tilam ke, celah loker ke,” katanya.

“Memang kat penjara boleh akses internet dan Twitter ya?. Maaf, saya tak cakna kehidupan orang di dalam penjara,” kongsi pengguna lain.

Tahun lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara beserta denda RM210 juta ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Sorok ratusan bilion, bekas Menteri Kewangan antara disiasat

Hmetro 
Kuala Lumpur: Seorang bekas Menteri Kewangan dan beberapa individu kenamaan lain antara disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pendedahan 'Pandora Papers' yang mendedahkan mengenai penyimpanan harta luar biasa di luar negara.

Difahamkan, menteri berkenaan sudah diambil keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

Sumber yang dilapor BH berkata, siasatan ketika ini adalah menjurus kepada kekayaan luar biasa yang dimiliki beberapa individu dan kaitan dengan syarikat luar pesisir di luar negara.

SPRM juga menyiasat, adakah terdapat hubung kait kewangan yang dimilik hasil daripada tender dan projek kerajaan.

Setakat ini juga, difahamkan tiada pembekuan aset dilakukan oleh SPRM.

Malah ramai lagi individu termasuk bekas menteri dan keluarga yang mempunyai kaitan dengan dakwaan 'Pandora Papers'.

Sementara itu, usaha BH untuk menghubungi Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika ini masih belum berhasil.

Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjadi Ketua Pembangkang pernah mengusulkan untuk membahaskan pendedahan Pandora Papers.

Beliau pada sesi Parlimen 2021, berang malah menuduh Speaker Dewan Rakyat ketika itu sengaja menolak usul itu, malah mendakwa, Datuk Azhar Azizan bertindak sebagai 'peguam bela' kepada pemimpin politik dan ahli perniagaan yang dikaitkan dalam laporan itu.

Anwar berkata, pendedahan `Pandora Papers' itu perlu dibentang dan dibahaskan dengan segera kerana wujud dakwaan menyatakan jumlah wang dari Malaysia yang disimpan di luar negara, mencecah ratusan bilion.

Katanya, ia wajar dibahaskan segera kerana ia bukan saja membabitkan Pandora Papers, tetapi juga laporan Global Financial Integrity 2012 serta pendedahan Panama Papers pada 2015.

Pendedahan Pandora Paper menyebut, kira-kira 12 individu Malaysia termasuk empat ahli politik di antara puluhan ketua negara, kerajaan dan pemerintah dari serata dunia yang didapati menggunakan tempat perlindungan cukai luar pesisir bagi menyembunyikan aset bernilai ratusan juta dolar, sepanjang 25 tahun lalu.

Kertas siasatan Hadi didakwa fitnah PH diserah TPR

Shahrul Shahabudin

PETALING JAYA: Kertas siasatan berhubung kenyataan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, yang mengaitkan Pakatan Harapan (PH) dengan fahaman komunis dan anti-tuhan sudah diserahkan kepada pejabat timbalan pendakwa raya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Azmi Abu Kassim, berkata kertas siasatan diserahkan sejak tahun lalu.

“Kita masih menunggu arahan lanjut daripada pejabat timbalan pendakwa raya,” katanya dalam sidang media di IPK Kuala Lumpur.

Pada 10 Nov lalu, PH membuat laporan polis terhadap Hadi yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah.

November lalu, Setiausaha DAP Kuala Lumpur, Lim Lip Eng, dilaporkan berkata Hadi didakwa mengeluarkan kenyataan mengaitkan PH dengan fahaman komunis serta anti-tuhan dalam satu majlis di Temerloh, Pahang.

Dalam perkembangan lain, Azmi memaklumkan polis sedang melengkapkan siasatan melibatkan perhimpunan tanpa permit di hadapan Kedutaan Sweden dan Belanda pada 27 Jan lalu.

Katanya, 14 individu sudah dipanggil membantu siasatan dan kertas siasatan akan diserahkan kepada pejabat timbalan pendakwa raya Rabu ini.

Terdahulu, polis dilaporkan mengesan tunjuk perasaan dan serahan memorandum bagi membantah pembakaran al-Quran serta penghinaan Islam yang tidak mematuhi undang-undang di hadapan dua kedutaan itu.

Pemerhatian polis mendapati kira-kira 80 individu menyertai perhimpunan di hadapan Kedutaan Belanda dan 400 orang mengambil bahagian dalam perhimpunan di hadapan Kedutaan Sweden.

'Mayat itu kakak saya...'

Meor Riduwan Meor Ahmad
am@hmetro.com.my

Melaka: "Saya langsung tak sangka kakak terbabit kemalangan. Apabila kain putih itu diselak, saya terkejut melihat mayatnya," kata Muhammad Rezza Afiqie Ali Mohd Nor, 27.

Kakaknya, Noor Izwani, 35, maut bersama rakan sekerjanya, Nuraisah Djaapar, 36, dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah- Jasin (AMJ) berhampiran Kandang, dekat sini, jam 7.40 pagi tadi.

Menurutnya, ketika kejadian dia dalam perjalanan untuk bekerja di Batu Berendam sebelum terserempak kemalangan terbabit.

"Saya keluar dari rumah di Jalan Pasir Gembor 2, Kampung Sempang, Merlimau jam 8.05 pagi dan berhenti melihat kemalangan jalan raya.

"Pada mulanya saya langsung tidak perasan kereta kakak yang remuk dan sebaik kain putih menutupi salah satu mayat diselak oleh seorang lelaki, saya nampak wajah kakak.

"Saya terus memberitahu anggota polis bertugas bahawa saya waris si mati dan meminta izin untuk masuk melihat mayat," katanya sebak ketika ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka.

Muhammad Rezza Afiqie berkata, mangsa adalah anak ketiga daripada lapan beradik dan seorang ibu tunggal kepada dua anak berusia tujuh dan enam tahun.

Menurutnya, selepas bercerai, kakaknya yang sebelum ini berniaga di Port Dickson, Negeri Sembilan tinggal bersama bapa di kampung dan bekerja di sebuah kilang.

"Kami tinggal bersama iaitu saya, ayah, kakak dan dua anaknya. Arwah seorang yang penyayang dan peramah.

"Cuma semalam (kelmarin) saya perasan ada sedikit perubahan apabila kakak tiba-tiba jadi pendiam, tapi tidak sangka itu jadi petanda kematiannya," katanya sambil memaklumkan jenazah akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sempang, Merlimau.

Sementara itu, bapa Nuraisah, Djaapar Umareng, 62, berkata, dia masih terbayang-bayang wajah anak sulung daripada empat beradik itu menikmati sup ketam dimasaknya petang semalam.

Katanya, arwah yang masih bujang seorang penggemar makanan laut seperti ketam, udang dan sotong namun tidak suka memakan ikan.

"Kebetulan semalam (kelmarin) saya dapat menjaring beberapa ekor ketam bunga yang saya masak sup dan arwah sempat minta seekor untuk masak sambal.

"Saya tengok dia makan cukup berselera sup ketam dan ketam masak sambal itu membuatkan saya sayu, namun reda ajal dan maut ketentuan Allah," katanya sambil memberitahu jenayah akan disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Serkam Darat.

Djaapar berkata, arwah anak yang banyak membantu kehidupan mereka sekeluarga termasuk membeli perkakasan rumah hasil bekerja kilang kira-kira enam tahun lalu, apatah lagi dia hanya bekerja seorang nelayan pantai.

Mayat bayi ditemukan di pekarangan masjid

Malaysiakini 

Mayat bayi perempuan dipercayai baru dilahirkan ditemukan di pekarangan Masjid Kariah Kampung Sri Jemapoh, Juasseh, Kuala Pilah dekat Seremban petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Supt Amran Mohd Gani berkata polis menerima maklumat pada pukul 4.35 petang daripada seorang lelaki berhubung penemuan mayat bayi yang dibalut dengan kain dan diletakkan di dalam beg berwarna kuning.

“Kita percaya bayi perempuan tersebut baru dilahirkan dalam tempoh 24 jam. Siasatan terperinci sedang dilakukan berhubung kes ini.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu supaya tampil bagi membantu siasatan atau menghubungi hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah di talian 06-4842999 atau ke balai polis berhampiran.

- Bernama

Nak berehat sekejap kata Azmin Ali

Farah Marshita Abdul Patah

farahmarshita@bh.com.my
 
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan berehat sebentar daripada arena politik dan mahu membuat perancangan baharu.

Bagaimanapun, Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) itu menerusi ciapan di laman Twitter miliknya, berkata beliau akan terus bertekad untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara.

"Kepada semua rakyat Malaysia, ini adalah rehat seketika dalam kerjaya saya untuk berkhidmat kepada rakyat bagi memikirkan perancangan baharu.

"Namun begitu, tekad saya untuk berkhidmat kepada negara dan rakyat tidak akan putus," katanya.

Sebelum ini, PN tidak menolak kemungkinan mencalonkan Mohamed Azmin sebagai Menteri Besar Selangor sekiranya menang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang perlu diadakan sebelum Jun tahun ini.

Timbalan Pengarah Jentera Pilihan Raya PN Selangor, Kapten (B) Datuk Dr Zulkafperi Hanafi, berkata peluang sentiasa terbuka kepada bekas Menteri Besar Selangor itu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa untuk kembali memimpin negeri ini.

Dr Zulkafperi berkata, PN juga yakin ke arah itu berdasarkan pengalaman Mohamed Azmin yang pernah menjadi Menteri Besar Selangor dari 2014 hingga 2018 dan ADUN Bukit Antarabangsa sejak 2008.

Zahid Hamidi: Mulut Ramasamy memang ‘celupar’, jangan layan dia

Nora Mahpar

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi menyelar sikap Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II P Ramasamy yang terus memainkan sentimen perkauman sambil menggelarnya “bermulut celupar”.

Zahid yang juga presiden Umno, berkata beliau tidak mahu melayani sikap pemimpin DAP itu dan menyerahkan kepimpinan partinya menyelesaikan perkara berkenaan.

“Dia memang dikenali sebagai ‘loose cannon’ (mulut celupar). Kita tak patut layan, biarkan parti dia selesaikan masalah itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri rumusan bengkel dan hala tuju strategik Kementerian Pembangunan Desa Dan Wilayah (KKWD)

Baru-baru ini, Ramasamy menerusi hantaran dalam Facebook, dikatakan meminta kerajaan melaksanakan reformasi dalam sektor perkhidmatan awam kerana menurutnya ia kini didominasi orang Melayu.

Ramasamy juga mahu Perdana Menteri Anwar Ibrahim segera menangani isu berkenaan serta memastikan perkhidmatan awam mencerminkan komposisi etnik negara ini.

Semalam, Anwar dilapor berkata, kerajaan tidak akan mempertimbangkan cadangan supaya reformasi dilakukan untuk mengurangkan dominasi orang Melayu dalam sektor perkhidmatan awam.

Beliau berkata, kerajaan tidak menganggap dominasi kaum Melayu dalam sektor itu sebagai satu masalah pada masa ini.

Susulan kontroversi itu, beberapa pihak termasuk sayap Pemuda PKR Pulau Pinang mendesak Ramasamy meletakkan jawatannya berikutan kerap mengeluarkan kenyataan bersifat prejudis.

Ketua Penerangannya, Abshar Nurasyraf berkata, Ramasamy dilihat cuba mengeluarkan kenyataan bersifat kontroversi yang tidak menguntungkan rakyat mahupun negara, malah hanya menjadi liabiliti terhadap semua pihak.

Terjun laut elak polis, remaja ditemukan lemas

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang remaja warga Filipina lemas selepas terjun ke laut dipercayai mengelak diperiksa polis, dalam kejadian di Kampung Pukat Pasir Putih, Sandakan.

Dalam kejadian semalam, lelaki berusia 18 tahun itu ditemui rakan sekerjanya tidak jauh dari kawasan mangsa dipercayai terjun.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sabah, berkata pihaknya dimaklumkan melalui aplikasi sistem pesanan ringkas, WhatsApp bahawa mangsa ditemui terapung, pada 8.48 malam.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mayat remaja berkenaan kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 9.48 malam,” katanya menurut Astro Awani.

Operasi SAR dijalankan bomba, Pasukan Polis Marin (PPM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Askar mengamuk tembak mati 4 rakan

Bernama

MANILA: Empat terbunuh dan seorang lagi parah selepas seorang askar mengamuk dan melepaskan tembakan ke arah rakannya yang sedang tidur di sebuah kem tentera di utara Mindanao di selatan Filipina pada Sabtu, lapor Xinhua memetik tentera Filipina.

Penembak berkenaan kemudian ditembak mati.

Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira 1.10 tengah hari waktu tempatan di Kem Evangelista di Cagayan de Oro City.

Empat mangsa itu maut di tempat kejadian, kata pegawai bertugas Alden Brinas dipetik sebagai berkata.

Selepas tembakan awal, lelaki bersenjata itu cuba memasuki bilik lain namun dihalang dua anggota lain yang kemudiannya berjaya merampas senjata api dan menembak suspek hingga mati, kata BriƱas.

Anggota yang cedera parah kini menjalani rawatan di hospital tempatan.

Brinas tidak menyatakan punca lelaki itu mengamuk dan siasatan masih dijalankan.