Tu Dia!! Malaysia catat 84 juta serangan siber sehari

Malaysia mencatatkan purata 84 juta serangan siber setiap hari pada suku keempat 2022, menurut penyedia penyelesaian keselamatan siber global Fortinet.

Naib Presiden Fortinet Asia Tenggara dan Hong Kong Peerapong Jongvibool berkata serangan itu termasuk virus, botnet dan eksploitasi yang dikesan oleh penyelesaian keselamatan siber FortiGuard Labs, menjadikan negara ini salah satu lokasi yang paling terdedah di rantau ini.

Menurut FortiGuard Labs, ancaman siber di Malaysia mencatatkan sejumlah 61.1 juta pengesanan virus, 50.2 juta serangan botnet dan 7.5 bilion pengesanan eksploitasi sepanjang suku keempat 2022.

“(Sebagai perbandingan), ancaman siber pada skala global pada suku keempat 2022 merekodkan sekitar 200 bilion serangan setiap hari.

“Fortinet dapat mengesan ancaman dan meneutralkannya dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) kami serta keupayaan pembelajaran mesin,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif baru-baru ini.

Jongvibool berkata bahawa eksploitasi telah menjadi teknik terkini yang digunakan oleh penyerang siber apabila mereka meletakkan perisian hasad pada peranti sasaran mereka sambil menunggu masa yang sesuai untuk melaksanakan serangan itu.

“Trend serangan siber pastinya meningkat setiap hari kerana lebih ramai orang menggunakan pendigitalan dalam urusan harian mereka, menjadikan mereka lebih terdedah.

“Ringkasnya, penyerang kini lebih bijak (dan) mereka kini lebih bersedia dalam perancangan mereka dengan menggunakan AI kerana ia bukan untuk keseronokan lagi tetapi untuk perkara yang serius,” katanya.

Jongvibool berkata cabaran ketara yang dihadapi oleh industri keselamatan siber hari ini akan termasuk kerumitan persekitaran digital tempat aplikasi diedarkan, pengguna bekerja dari mana-mana sahaja, lebih banyak peranti yang dihubungkan pada aplikasi, dan kekurangan kemahiran keselamatan siber.

Beliau menekankan bahawa Fortinet kini merupakan penyedia hampir separuh daripada penggunaan tembok keselamatan di seluruh dunia, satu pencapaian dan peningkatan yang ketara sepanjang tahun lepas.

“Tahun lepas kami hanya bercakap tentang satu pertiga daripada keseluruhan penggunaan tembok keselamatan di dunia milik kami, kini kami hampir mencapai paras 50 peratus dan kami dapat mengesan lebih banyak serangan siber dalam pasaran.

“Dari perspektif global, kami dapat menunjukkan data yang sangat terperinci tentang teknik baharu yang digunakan oleh penyerang dan cara mereka merancang serangan mereka, dengan jenis perisian hasad atau eksploitasi yang mereka gunakan sekarang,” katanya.

Melangkah ke hadapan, Jongvibool berkata bahawa rancangan Fortinet bukan sekadar melangkaui inovasi teknologi malah ia menetapkan sasaran untuk mencapai masyarakat yang mampan dan merapatkan jurang kemahiran keselamatan siber dalam pasaran.

Beliau berkata syarikat itu menyasarkan untuk menjadi neutral karbon menjelang 2030, dengan penggunaan cipset litar bersepadu khusus aplikasi kecekapan kuasa yang lebih tinggi pada reka bentuk mereka yang secara amnya menggunakan kurang kuasa semasa beroperasi.

“Fortinet juga berjanji untuk menyediakan latihan kepada sejuta orang dalam keselamatan siber menjelang 2026, kerana kami telah mencapai sasaran awal kami iaitu sejuta orang yang disahkan dengan Pakar Keselamatan Rangkaian Fortinet (NSE) sebelum 2023,” katanya.

— BERNAMA

Model dibunuh dan dikerat, polis masih cari kepala

Agensi
Abby Choi. - FOTO Instagram
Abby Choi. - FOTO Instagram
Hong Kong: Polis telah menahan bekas suami Abby Choi, model Hong Kong yang dibunuh kejam.

SCMP melaporkan, lelaki berkenaan ditangkap di kawasan pantai Tung Chung kira-kira jam 1 tengah hari pada Sabtu.

"Kemungkinan dia sedang menunggu bot laju untuk melarikan diri dari bandar secara haram," kata laporan itu.

Pihak berkuasa menyifatkan pembunuhan itu sebagai "terancang" namun ia terbongkar semalam apabila polis menemui bahagian mayat Choi di sebuah rumah di Lung Mei Tsuen Tai Po.

Choi dilaporkan hilang pada Selasa.

Menurut pihak berkuasa, jenayah berkenaan dipercayai telah dirancang oleh bekas bapa mertua Choi yang merupakan bekas pegawai.

Menurut sumber, ia dikatakan berpunca daripada rasa tidak berpuas hati dengan pengendalian sebuah kediaman mewah.

Sebelum ini media melaporkan, polis Hong Kong telah membuat tiga tangkapan membabitkan bapa mentua, ibu mentua dan abang ipar mangsa.

Sebahagian mayat Choi ditemui di sebuah rumah kampung yang didirikan sebagai tapak penyembelihan, kata polis.

Ketika ini polis masih mencari kepala mangsa.

Polis berkata, sebahagian anggota badan mangsa telah ditemui di dalam peti sejuk.

Rumah yang menjadi lokasi pembunuhan itu berlaku dilengkapi gergaji elektrik dan pengisar daging yang telah digunakan untuk mengisar daging manusia.

Terdapat dua periuk rebusan dipercayai mengandungi tisu manusia ditinggalkan di tempat kejadian.

Apa ni? Siang-siang lagi PH Kelantan dah mengaku kalah

MALUNYA…SIANG-SIANG LAGI PH KELANTAN SUDAH MENGAKU KALAH!!

Shahbudin Husin
Semua parti yang masuk bertanding dalam pilihan raya adalah dengan hasrat untuk menang dan menubuhkan kerajaan.

Tidak kira siapa pun lawan yang akan dihadapi, keyakinan untuk menang mesti sentiasa ada.

Lagi pula, selagi keputusan belum diumumkan, macam-macam perkara di luar jangka boleh berlaku tanpa disangka-sangka.

Kadang-kadang yang dijangka menang tiba-tiba kecundang, manakala yang diramalkan kalah pula boleh beroleh kemenangan.

Itulah hukum dan adat dalam pertandingan, yang penting usaha mesti diteruskan sedaya yang mungkin, disertai kemudiannya dengan bertawakal kepada Tuhan.

Tetapi, lain benar dengan PH Kelantan dalam menghadapi PRN negeri itu tidak lama lagi.

Belum apa-apa lagi, PH Kelantan yang dipimpin oleh Nik Nazmi Nik Ahmad sudah menetapkan pendirian tidak mahu kepada kemenangan, sebaliknya sekadar ingin menjadi pembangkang yang kuat saja.

“Bagi saya tumpuan kita ialah untuk jadi pembangkang yang kuat. Sebab kita tahu kita bukan pilihan utama, di Kelantan ini kerana Perikatan Nasional (PN) khususnya PAS adalah pilihan utama.

“Jadi tumpuan kita adalah untuk jadi pembangkang yang kuat, bukan untuk menggantikan kerajaan sedia ada,” kata Nik Nazmi yang juga Naib Presiden PKR serta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim sebagaimana disiar di media beberapa hari lalu.

Adoiii…kenapa jadi macam ini?

Keinginan menjadi pembangkang yang kuat dan berwibawa sepatutnya hanya dilafazkan selepas keputusan pilihan raya diketahui, bukan sebelum bertanding lagi.

Bila masuk bertanding, mesti dengan keinginan untuk menang serta melakukan usaha sedaya yang mungkin.

Kalau awal-awal lagi sekadar mahu jadi pembangkang dan tidak mahu menang, sudah tentu mustahil rakyat mahu memberi sokongan.

Rakyat mengundi kerana berharap parti pilihan mereka mampu menjadi kerajaan, bukan mengundi untuk jadi pembangkang.

Lagi pun PH ketika ini, selain merupakan kerajaan di peringkat pusat, mereka juga sudah bersama dengan UMNO dan BN yang pernah menang di Kelantan sebelum ini.

Kenapa masih tiada keyakinan untuk menang juga?

Daripada awal-awal sudah mengaku kalah dan hanya ingin jadi pembangkang, lebih baik PH tak payah bertanding langsung – tentu dengan percuma saja terus dapat jadi pembangkang.

Malunya ada pemimpin macam ni…(ShahbudinHusin 24/02/2023)

Suami dukung, lempar isteri ke laut dari kapal


GAMBAR CCTV yang menunjukkan aksi sebelum berlaku kejadian seorang isteri dilempar dari kapal ke laut. -AGENSI

JAKARTA: Polis akhirnya menemukan jawapan terhadap tindakan seorang suami yang mendukung dan melempar isterinya ke laut dari kapal Merak-Bakauheni.

Lapor detik.com, Ketua Polis Lampung Selatan, AKBP Edwin berkata, si suami dikatakan mengaku berbuat demikian kerana mendapat bisikan ghaib.

“Dari keterangan pelaku, ketika ditanya salah seorang pegawai keselamatan kapal, pelaku mengakui menerima bisikan ghaib.

“Jadi, atas dorongan suara yang meminta pelaku menjatuhkan isterinya, pelaku akhirnya melakukannya,” kata Edwin.

Edwin mengatakan sehingga kini, pihaknya masih melakukan penyiasatan berhubung kes berkenaan.

Malah, polis pelancong Lampung Selatan kini masih mencari identiti pasangan suami isteri yang disebut-sebut yang merupakan warga Lampung Tengah.

“Masih kami cari pasangan ini. Berdasarkan informasi dari pihak kapal, mereka ini warga Lampung Tengah,” jelasnya.

Difahamkan aksi suami yang melempar isterinya dari sebuah kapal terakam dalam kamera litar tertutup (CCTV) dan menjadi tular dalam media sosial.

Dalam CCTV, pada mulanya, kelihatan
seorang isteri duduk di salah satu kerusi di atas kapal diikuti suaminya.

Tiba-tiba, suami tersebut mendukung wanita berkenaan dan kemudian melemparnya ke laut.

Mahathir akhirnya menyertai parti Putra yang diasaskan Ibrahim Ali

Malaysiakini 

Dr Mahathir Mohamad sah menyertai parti yang diasaskan Ibrahim Ali, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), bersama-sama 12 lagi yang telah keluar daripada Pejuang.

Antaranya Khairuddin Abu Hassan, yang memang dikenali sebagai ahli politik yang setia dengan bekas perdana menteri itu.

Perkara itu dimaklumkan bekas Ahli Majlis Eksekutif Pusat Pejuang, Armin Baniaz Pahamin di Facebook, semalam.

"Semua G13 (bekas ahli) selamat mendaftar keahlian untuk meneruskan perjuangan di bawah Putra.

"Misi dan matlamat kita perlu jelas untuk menjayakan sesuatu perjuangan. Perjuangan utama ialah untuk penyatuan orang, parti dan pertubuhan Melayu," katanya.

Pada minggu lalu, Mahathir berkata dia telah dipelawa untuk menjadi penasihat Putra dan tidak melihat sebab untuknya menolaknya.

“Jemputan untuk saya sertai parti Putra sesuai dengan perjuangan saya. Saya akan meneliti sama ada sesuai atau tidak dengan saya, kalau sesuai saya akan buat permohonan untuk menjadi ahli, kemudian kalau nak bagi saya jadi penasihat, bolehlah saya jadi penasihat,” katanya.

Mahathir bersama 12 lagi ahli Pejuang keluar parti selepas ia mengambil keputusan untuk tidak lagi bersama Gerakan Tanah Air (GTA).

Banduan maut selepas bergaduh dalam penjara

Bernama

MELAKA: Seorang banduan lelaki meninggal dunia selepas tujuh hari menerima rawatan di Hospital Melaka akibat kecederaan selepas bergaduh dengan rakan sebilik di Penjara Sungai Udang.

Ketua Polis Melaka Tengah Christopher Patit berkata lelaki warga Indonesia berusia 47 tahun itu disahkan meninggal dunia 6.28 petang semalam oleh doktor bertugas.

“Mangsa dirawat di wad berkenaan sejak 17 Feb akibat pendarahan dalam kepala, kecederaan di bahagian kiri kepala selain luka di bahagian mata kiri dan telinga kiri, dipercayai dipukul dalam pergaduhan di bilik penjara dalam kejadian pukul 2.15 petang hari yang sama,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata pergaduhan itu dipercayai bermula apabila mangsa mengambil roti yang dibekalkan pihak penjara daripada rakan sebiliknya seorang warga tempatan berusia 33 tahun.

“Saksi kejadian yang merupakan seorang lelaki warga Nigeria mengatakan ketika kejadian dia lalu di hadapan sel dan melihat suspek sedang memukul mangsa dan menyuruh suspek menghentikan tindakannya,” katanya.

Christopher berkata kejadian itu disedari seorang warden dan mangsa yang ketika itu masih dalam keadaan sedar diberi rawatan awal sebelum dibawa ke Hospital Melaka.

Katanya bedah siasat dilakukan hari ini kira-kira pukul 3 petang tadi dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

'Allahuakbar, saya tak sangguplah buat macam tu'

Sudirman Mohd Tahir

sudirman@hmetro.com.my
MARYAM You Narae.
Kuala Lumpur: "Do you think money can buy everything? (Adakah anda fikir wang boleh membeli segala-galanya?)"

Demikian kata pempengaruh berasal dari Korea Selatan, Maryam You Narae, 31, atau Maryam yang ditawarkan untuk membuka tudung bagi menjayakan sesi fotografi bagi sebuah jenama terkenal.

Maryam yang juga isteri kepada sensasi YouTube, Ryzal Ibrahim berkata, dia menolak tawaran itu selain mempersolkan tindakan jenama berkenaan.

"Saya tolak buka tudung untuk 'photoshoot' sebab mereka cakap kalau orang tanya cakap saja 'photoshoot' tu buat sebelum saya pakai tudung. Allahuakbar, saya tak sangguplah buat macam tu. Jadi, saya tolak terus.

"Saya rasa macam tak percaya jenama ni minta saya buat macam tu walaupun 'highly known brand' (jenama terkenal) di Malaysia tapi pemikiran teruk. Di mana rasa hormat?

"Awak suruh saya buka tudung sebab jemama awak besar? Awak nak bagi RM100,000 atau RM1 juta pun, ia bukan alasan saya kena buka tudung," katanya.

Menerusi hantaran dimuat naik di Instagram, Maryam berharap tidak ada mana-mana mualaf lain yang terkena seperti dirinya.

"Sekarang 2023 pun masih ada situasi macam ni? Sampai sekarang saya tak percaya perkara ini terjadi pada saya. Tapi alhamdulillah, Allah kuatkan hati saya.

"Ada juga orang minta saya pakai tudung sebab duit, tapi saya rasa tak selesa kalau buat macam tu sebab duit. Kalau tak dapat pun tak ada rasa rugi walaupun sebesar kuman. Saya doakan semoga tiada mualaf berdepan situasi begini," katanya.

Menjengah di ruangan komen, kebanyakannya mendoakan semoga Allah SWT terus melindungi dirinya.

Hantaran dimuat naik itu mendapat lebih 73,000 tanda suka dan lebih 1,000 komen.

Terkejut 4 ekor babi tidur nyenyak dalam bilik

KOSMO
Seorang lelaki dipercayai penghuni bilik itu kemudian tiba dan menghalau babi-babi berkenaan sebelum ia melarikan diri. – Instagram
JAKARTA  –  Seorang lelaki terkejut apabila di dalam bilik tidurnya dimasuki empat ekor babi yang sedang tidur di atas tilamnya, lapor sebuah portal berita Taman Pendidikan di Indonesia.

Video tular di media sosial Indonesia itu memperlihatkan keadaan  sebuah bilik sewa yang dimasuki empat ekor babi yang sedang nyenyak tidur di atas tilam.

Kelihatan kawanan babi tersebut sedang tidur di atas tilam yang tidak dilapik dengan cadar.

Haiwan liar itu dilihat tidur dalam keadaan seolah-olah ia menghuni bilik sewa tersebut.

Seorang lelaki dipercayai penghuni bilik itu kemudian tiba dan menghalau babi-babi berkenaan yang kemudian melarikan diri.

Video itu menjadi tular dengan ramai netizen menyalahkan keadaan bilik yang serba daif itu sebagai punca kawanan haiwan itu menceroboh masuk.

“Kusangkakan ini rumah, rupa-rupanya kandang babi,” kata seorang netizen sambil berseloroh. – Agensi 

Jais: Ustaz Azhar Idrus tiada tauliah mengajar agama di Selangor

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan penceramah bebas Ustaz Azhar Idrus tidak mempunyai tauliah mengajar tentang agama Islam di Selangor.

Pengarah JAIS Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata demikian mengulas isu pembatalan Kuliah Maghrib Ustaz Azhar Idrus yang akan diadakan di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong di Shah Alam pada Ahad ini.

Katanya, kuasa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan JAIS adalah tertakluk kepada undang-undang dan peraturan berkuat kuasa di Selangor.

"Semua individu yang mengajar tentang agama Islam di Selangor perlu mematuhi undang-undang dan peraturan.

"Pihak masjid atau surau juga tidak boleh menjemput individu tidak memiliki tauliah mengajar diberikan di bawah Seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 Pindaan 2016," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular satu hantaran di Facebook Ustaz Azhar Idrus semalam berkenaan kuliah maghribnya yang sepatutnya diadakan di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah terpaksa dibatalkan atas kuasa JAIS.

"Mohon maaf kepada rakyat Selangor kerana tidak dapat menyampaikan kuliyah di negeri anda.

"Oleh kerana itu Kuliah Maghrib pada tarikh 26 Feb ditukarkan ke Masjid Ar-Rahimah Kampung Pandan, Kuala Lumpur. Mohon sebaran seluasnya," katanya.

- Bernama

Atuk ditangkap basah dengan wanita muda dalam tandas awam

KOSMO!
TANGKAP layar memaparkan senario tangkap basah di tandas awam Madura. - Instagram
JAKARTA – Seorang warga emas lelaki ditangkap basah selepas berdua-duaan dengan seorang wanita di dalam tandas awam, lapor laman berita Suara.com.

Serbuan ke atas pasangan itu tular selepas sebuah video yang merakam kejadian tersebut dimuat naik dalam akaun Instagram @terang_media.     

Rakaman memaparkan seorang lelaki bertopi keledar mengetuk pintu salah sebuah tandas awam dan cuba membukanya secara paksa.

Selepas beberapa kali pintu diketuk, pintu tandas dibuka dan seorang wanita muncul sambil membetulkan pakaian.

Bagaimanapun, wanita itu ditolak semula oleh lelaki tersebut ke dalam tandas. Seorang lelaki warga emas ditangkap turut berada di dalam tandas tersebut.

Dia menjadi sasaran kemarahan sehingga dijerit oleh lelaki yang menyerbunya. Ketika kejadian, warga emas itu hanya memakai kain pelikat.

Berdasarkan kapsyen hantaran tersebut, warga emas itu diserbu oleh anak lelakinya sendiri. Kejadian itu dikatakan berlaku di Madura, Indonesia.

Rakaman berkenaan mendapat perhatian orang ramai di ruangan komen.

“Sudah cukup umur nak mati tapi masih gatal datuk ni,” komen seorang netizen. – Agensi

Mahkamah Persekutuan: Siasatan SPRM terhadap Hakim Nazlan tak ikut protokol

Ho Kit Yen

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan bahawa siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap hakim Nazlan Ghazali dilakukan tanpa mengikut protokol.

Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan, yang mempengerusikan panel tujuh hakim berkata demikian dalam saman tiga peguam untuk mencabar siasatan SPRM terhadap hakim Mahkamah Rayuan hakim Nazlan Ghazali berhubung dakwaan RM1 juta yang tidak dapat dijelaskan dalam akaunnya.

“Badan penyiasatan seperti SPRM, mesti berunding dengan ketua hakim negara sebelum siasatan (dimulakan). Dan kegagalan tidak memaklumkannya, menunjukkan terdapat kekurangan bona fide di pihak mereka.

“Pengumuman itu (yang dibuat oleh SPRM di media) sudah cukup untuk merosakkan kebebasan kehakiman,” katanya. 

Peguam Haris Ibrahim, Nur Ain Mustapa dan Sreekant Pillai – memfailkan saman terhadap SPRM tahun lalu untuk mempersoalkan siasatan terhadap Nazlan.

Ketiga-tiga mereka mendakwa bahawa siasatan SPRM adalah pencabulan kebebasan badan kehakiman dan pengasingan kuasa oleh cabang eksekutif.

Hakim lain yang turut mendengar tuntutan peguam itu ialah Presiden Mahkamah Rayuan Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim Besar Malaya Zabidin Mohd Diah, dan hakim Nallini Pathmanathan, Vernon Ong, Harmindar Singh Dhaliwal, serta Rhodzariah Bujang.

Tengku Maimun juga mempersoalkan tempoh siasatan dan berkata, pada masa itu, spekulasi berleluasa bahawa rayuan SRC International Najib Razak akan didengar.

Pada 28 Julai 2020, Nazlan mensabitkan kesalahan Najib atas tuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah lebih RM42 juta dalam akaun bekas perdana menteri itu.

“Keinginan untuk mengetahui masa siasatan terhadap Hakim Nazlan, dilakukan tanpa rundingan dengan badan kehakiman, juga menimbulkan keraguan sama ada siasatan itu (dilakukan secara) bona fide,” katanya.

Tengku Maimun juga berkata, pendakwa raya juga mesti berunding dengan ketua hakim negara “semasa memberi arahan untuk siasatan dan berhubung keputusannya untuk mendakwa”.

“Walaupun badan penyiasat berhak menyiasat secara perlembagaan dan pendakwa raya mempunyai budi bicara sama ada untuk mendakwa atau sebaliknya, kuasa ini mesti dilaksanakan dengan suci hati.

“Jika siasatan dibuat untuk tujuan kolateral, maka ia boleh diketepikan,” katanya.

Peguam Malik Imtiaz Sarwar dan Surendra Ananth mewakili Haris, Ain dan Sreekant manakala Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin mewakili SPRM.

New Sin Yew muncul untuk Badan Peguam Malaysia sebagai amicus curiae (sahabat mahkamah).

Awas perokok, anda sentiasa diperhatikan

Izz Laily Hussein

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Sebanyak 70 notis kesalahan dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) atas pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (PPKHT 2004) dengan nilai kompaun boleh mencecah RM25,600 semalam.

Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr Aman Rabu berkata, ia susulan Operasi Bersepadu Penguatkuasaan PPKHT 2004 yang memeriksa 109 buah premis di seluruh negeri ini.

Katanya, daripada jumlah itu, 21 notis membabitkan kesalahan merokok di premis makanan mengikut Peraturan 11(1)(d) PPKHT 2004 membabitkan kompaun sehingga RM5,250.

"Sembilan notis dikeluarkan atas kesalahan menjual rokok di bawah harga minimum mengikut Peraturan 8C(1) PPKHT 2004 membabitkan nilai kompaun keseluruhan RM4,500.

"Satu notis juga dikeluarkan atas kesalahan menjual atau menawarkan untuk jualan apa-apa hasil tembakau dengan harga jualan runcit yang tidak diluluskan oleh Pengarah JKNJ di bawah Peraturan 8A(5A) PPKHT 2004 dengan kompaun bernilai RM500," katanya menerusi kenyataan media malam tadi.

Dr Aman berkata, sebanyak 2,134 paket rokok pelbagai jenama bernilai RM14,573 turut dirampas.

Semalam, JKNJ melancarkan operasi bersepadu bertujuan memastikan PPKHT 2004 dipatuhi semua pihak.

Katanya, operasi bersepadu bersama agensi luar seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu dijalankan serentak di seluruh negeri ini.

Untuk rekod, sepanjang tahun lalu, sebanyak 9,135 notis kesalahan dikeluarkan JKNJ dengan nilai kompaun terkumpul berjumlah lebih RM2.28 juta.

Dua kereta mewah dicuri di UK, jumpa di Thailand

BERNAMA

Bangkok: Jabatan Penyiasatan Khas Thailand (DSI) menemukan semula dua kereta mewah yang dicuri di Britain.

Menurut kenyataan DSI, dua kereta mewah itu - Porsche Cayenne telah dirampas di bilik pameran di Bangkok pada 15 Feb manakala mini Cooper di jumpai di sebuah kondominium di Bangkok pada 20 Februari.

"Siasatan mendapati enjin dan nombor casis dua kereta mewah itu sepadan dengan kenderaan yang dicuri yang disenaraikan oleh pihak berkuasa Britiain.

"DSI sedang berusaha untuk mengesan enam lagi kereta mewah yang dicuri," menurut kenyataan itu.

Kedua-dua kereta itu adalah antara 35 kereta mewah yang dilaporkan dicuri di England dan kemudian dihantar ke Thailand pada tahun 2017.

Agensi Jenayah Kebangsaan United Kingdom telah mengemukakan permohonan kepada DSI untuk membantu mencari 35 kereta mewah yang dicuri di Britain dan kemudian dihantar ke Singapura sebelum dibawa ke Thailand.

Menurut DSI nilai 35 kereta mewah itu dianggarkan berjumlah £2.4 juta (kira -kira 100 juta baht).

Media melaporkan, kereta itu dicuri antara Julai 2016 dan Mac 2017.

Zakir Naik: Kaitkan tangkapan LTTE dengan saya itu fitnah

FMT Reporters

KUALA LUMPUR: Penceramah kontroversi, Zakir Naik memberitahu Mahkamah Tinggi, beliau tidak memainkan sebarang peranan dalam penangkapan 12 individu oleh kerajaan yang didakwa mempunyai hubungan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Dalam pernyataan saksi yang dikemukakan sebagai bukti bagi saman fitnahnya terhadap bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, Naik berkata, pihak berkuasa negara ini pernah menahan individu yang didakwa mempunyai kaitan dengan LTTE sebelum ini.

Katanya, kenyataan Santiago pada 25 Nov 2019 yang membayangkan penangkapan dua Adun DAP berhubung kaitan dengan LTTE mungkin “sebagai balasan bagi kritikan terhadap penceramah kontroversi Dr Zakir Naik” adalah fitnah terhadapnya.

Naik sebelum itu dikecam kerana dikatakan mengkritik rakyat Malaysia berketurunan Cina dan India dalam satu acara di sebuah stadium di Kelantan.

“(Bekas menteri dalam negeri) Muhyiddin Yassin menyebut LTTE disenaraikan sebagai kumpulan militan di sini sejak 2014, manakala (bekas perdana menteri) Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau ‘berpuas hati’ dengan alasan pihak berkuasa dalam membuat tangkapan berkenaan.

“Berikutan itu, dakwaan (Santiago) terhadap saya tidak berasas langsung, dan hakikatnya pihak berkuasa Malaysia menahan individu dikaitkan dengan LTTE secara bebas dan atas kehendak sendiri.”

Beliau memfailkan saman terhadap Santiago pada 2019, selepas bekas Ahli Parlimen Klang itu didakwa mengaitkannya dengan penangkapan suspek LTTE, dan menuntut ganti rugi kerana mendakwa kenyataan itu menjejaskan reputasinya. Santiago dalam pembelaannya berkata, kenyataan itu ulasan wajar dan mendapat perlindungan bersyarat.

Naik turut memberitahu mahkamah, beliau memfailkan laporan polis pada 2019 terhadap beberapa pemimpin DAP, iaitu Santiago, P Ramasamy, Satees Muniandy dan M Kula Segaran, selain bekas diplomat Dennis Ignatius.

Selain itu, Naik berkata, akibat kenyataan Santiago, beliau sukar meneruskan aktiviti harian bersama keluarganya di tempat awam kerana bimbangkan keselamatannya.

Menurutnya, selepas ucapannya di Kelantan diputarbelitkan Santiago, beliau terpaksa mengeluarkan kenyataan media untuk menjelaskan maksud sebenarnya, selain meminta maaf kepada umum.

Perbicaraan bersambung di depan Hakim Akhtar Tahir.

Naik turut memfailkan saman terhadap Ramasamy dan Satees, manakala tindakan terhadap Kula Segaran diselesaikan di luar mahkamah pada Julai tahun lalu.

Pada 21 Feb 2020, Peguam Negara ketika itu, Tommy Thomas mengumumkan tuduhan terhadap 12 individu, termasuk Adun Gadek ketika itu, G Saminathan dan Adun Seremban Jaya, P Gunasekaran akan digugurkan.

Punya bebal, anak 7 setiap hari makan di kedai lepas tu kata menu Rahmah mahal

Bapa anak 7 cakap Menu Rahmah mahal, netizen persoal kenapa nak makan setiap hari di kedai
MAISARAH AISYA

Biasanya Menu Rahmah ini adalah buat golongan B4o yang tidak berkemampuan namun jika setiap hari makan kedai maka jangan salahkan inisiatif kerajaan.

Seperti satu tangkap layar yang tular di media sosial, mempersoal bagaimana harga tersebut untuk keluarga dengan tujuh anak adalah mahal.

Namun yang menaikkan kemarahan netizen adalah bagaimana lelaki tersebut membuat pengiraan untuk harga makanan untuk sebulan dengan menu tersebut sahaja.

“Saya, isteri dan tujuh anak. Sekali pergi makan Menu Rahmah RM45. Sehari dua kali makan jadi RM90. Nak pergi kedai kena minyak kereta lagi RM20.

“Jadi jumlah RM110 sehari. Sebulan RM3,300. Tu makan saja,” tulis status tangkap layar tersebut.

Seorang pengguna Twitter, @injang_nation musykil makanan apa yang diberikan kepada anak sebelum idea Menu Rahmah ini tercetus.

“Sebelum wujud Menu Rahmah, dia bagi tujuh anak dia makan apa? Kalau sebelum ni ada benda yang lebih murah dia bagi tujuh anak dia makan.

“Kenapa tetiba sekarang nak kena suap menu rahmah yang ‘membebankan’ tu? Beranak punya ramai mcm arnab, kemudian bising pasal kos nak bagi makan,” ujar ciapan tersebut.

Pemilik ciapan itu pada masa juga pelik mengapa ada yang sampai nak makan setiap hari di kedai, dan tidak memeilih untuk memasak di rumah.

“Kalau dah satu keluarga sembilan orang tapi tetap nak makan kat kedai juga setiap hari, tu bukan tak mampu, tu level bangang dah namanya,” tambahnya lagi.

Menu Rahmah ini untuk meringankan beban bagi yang tiada duit untuk makan bukannya meringankan tugas anda sebagai ibu bapa untuk menyediakan makanan buat anak.

Penjenayah letupkan dua mesin ATM, larikan RM349,000

Ruwaida Md Zain

am@hmetro.com.my

KEADAAN dua mesin ATM yang diletupkan. FOTO tular

KEADAAN dua mesin ATM yang diletupkan. FOTO tular

Shah Alam: Tiga suspek bertopeng dipercayai meletupkan dua mesin pengeluaran wang automatik (ATM) serta melarikan sejumlah RM349,000 di Setia Alam pagi tadi.

Ketiga-tiga suspek lelaki terbabit dipercayai memasuki ruangan mesin ATM itu jam 6.30 pagi dan mengambil masa kira-kira lima minit untuk meletupkan dua mesin ATM itu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pada jam 6.48 pagi tadi pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berkenaan kejadian itu.

Menurutnya, polis bergegas ke tempat kejadian dan mendapati dua mesin ATM dalam keadaan rosak teruk dipercayai diletupkan.

"Siasatan awal di lokasi mendapati sebuah mesin ATM berjaya dibuka manakala sebuah lagi gagal dibuka.

"Siasatan setakat ini juga mendapati tiga suspek dilihat memasuki premis ATM bank. Suspek menaiki kereta berwarna putih disyaki jenis Mitsubishi ASX.

"Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kabur dan tidak jelas kerana suspek menyembur CCTV terdapat di premis bank menggunakan cat berwarna hitam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Iqbal berkata, pihak forensik, Unit Pemusnah Bom (UPB) dan Post Balistic Investigation (PBI) turut ke tempat kejadian bagi membantu siasatan.

"Siasatan pihak forensik menyatakan letupan dipercayai dihasilkan dengan cara tekanan gas.

"Tiada kesan kebakaran di tempat kejadian dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

"Anggaran keseluruhan kerugian adalah berjumlah RM409,000 di mana wang tunai sebanyak RM349,000 manakala selebihnya kerugian mesin ATM itu setiap satu RM30,000," katanya.

Beliau berkata, usaha polis mengesan suspek sedang giat dijalankan.

"Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 436/379 Kanun Keseksaan. Sebarang maklumat berkaitan kes ini boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Mohammad Khairi di talian 012-2666025," katanya.

Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi 8 saat memaparkan keadaan mesin ATM berkenaan dalam keadaan rosak teruk.l

Bersatu: Cuba 'main dua kolam': Mukhriz terpaksa

Yasmin Ramlan, Alyaa Alhadjri & Isabelle Leong

Biarkanlah - begitu saja cara Bersatu menanggapi berita yang mendakwa Pejuang sedang merundingkan kerusi dengan dua gabungan berbeza menjelang pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin berkata dakwaan yang mengatakan Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir sedang mencari rakan kerjasama merupakan petanda mereka semakin terdesak.

“Maknanya, dia desperate (terdesak) sekarang untuk mencari tempat, biarkanlah.

“Sebagai orang politik, dia terpaksa... dia boleh bergantung hidup (dengan berbuat demikian),” katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen hari ini.

Hamzah berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung laporan BH Online semalam yang memetik exco Kedah sebagai mendakwa Mukhriz ada menyatakan hasrat Pejuang menjalin kerjasama dengan PN pada PRN akan datang.

Pada masa sama, sumber yang tidak didedahkan identitinya itu mendakwa Mukhriz turut mengadakan pertemuan dan menyatakan minat bekerjasama dengan PH.

Dakwa exco terbabit sikap ditunjukkan Mukhriz itu memperlihatkan dia sedang cuba bermain 'dua kolam' untuk pertahankan kerusinya iaitu DUN Jitra.

Difahamkan, Mukhriz mengadakan pertemuan dengan Pengerusi PH Kedah Mahfuz Omar.

Selain kerusi Jitra, akhbar itu turut melaporkan Mukhriz memohon kerusi DUN Anak Bukit - yang kini disandang wakil Pejuang, Amiruddin Hamzah - dikekalkan buat mereka sekiranya kerjasama itu menjadi kenyataan.

Amiruddin merupakan setiausaha agung Pejuang.

Pada 14 Januari lalu, Mukhriz membawa Pejuang untuk berundur dari Gerakan Tanah Air (GTA) dengan alasan bagi memberi tumpuan kepada usaha pengukuhan parti itu sebelum memberi nilai tambah kepada mana-mana gabungan.

Dia berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pandangan para perwakilan dalam Perhimpunan Agung Pejuang, berikutan kekalahan teruk parti itu pada PRU lalu.

Pejuang merupakan parti yang lahir daripada perpecahan dalam Bersatu. Mukhriz sendiri pernah menjadi timbalan presiden Bersatu.

Remaja rogol adik kandung hingga lahir anak

Bernama

JELEBU: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret atas tuduhan merogol adik kandungnya sehingga melahirkan anak.

Tertuduh membuat pengakuan bagi dua pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Norshazwani Ishak secara tertutup.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh melakukan persetubuhan dengan adik kandungnya berusia 14 tahun di sebuah rumah di Palong antara 21 Jun 2022 hingga 30 Jun 2022 sekitar 11 malam hingga 12 tengah malam yang perhubungan tersebut tidak dibenarkan di bawah undang-undang atau hukum agama yang terpakai kepada tertuduh untuk berkahwin dengan mangsa.

Bagi pertuduhan kedua, remaja tersebut melakukan perkara sama pada 1 Sept 2022 hingga 10 Sept 2022, sekitar 11 malam hingga 12 tengah malam bersama mangsa di lokasi yang sama.

Kesalahan itu boleh dihukum mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan dan berdepan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak lebih daripada 30 tahun dan hendaklah juga dihukum dengan sebatan.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Muhammad Nizam Rafii dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan wang jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan sehingga kes selesai. Remaja itu juga perlu tinggal berasingan dengan mangsa dan dilarang menghubungi dan mendekati mangsa.

Sebutan semula kes pada 22 Mac bagi laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Mengikut fakta kes, pada 16 Feb, sekitar 6.08 pagi, pengadu yang merupakan seorang doktor dan petugas Klinik Kesihatan memaklumkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun bersalin, di sebuah rumah di Felda Palong, Gemas.

Pegawai perubatan ke rumah tersebut mendapati mangsa berada di atas katil di ruang tamu bersama seorang bayi lelaki cukup sifat dalam keadaan uri masih bersambung.

Mangsa dan bayi kemudian dirujuk ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di Kuala Pilah untuk tindakan lanjut.

SPRM siasat jika RM50 juta untuk Bersatu masuk ke poket sendiri

Malaysiakini

Suruhanjaya Pen­cegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meneliti jejak wang RM50 juta daripada RM300 juta dana di bawah Pakej Rangsangan Eko­nomi yang didakwa diterima Bersatu.

Sumber memberitahu Utusan, SPRM akan menyiasat sama ada RM50 juta itu di­gunakan semasa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu atau kemungkinan masuk ‘ke poket sendiri’.

Sumber memberitahu siasatan SPRM mendapati ada pihak yang ‘membelanjakan’ jumlah tertentu dana itu dan siasatan akan meneliti ke mana serta tujuan wang itu digunakan.

Mengulas lanjut, kata sumber itu, kertas siasatan berke­naan hampir dilengkapkan selepas beberapa pemimpin Bersatu dipanggil SPRM sebelum ini bagi memperinci setiap wang yang dibelanjakan.

“Kertas siasatan hampir siap sebelum tindakan seterusnya diambil. Dua akaun bernilai RM40 juta milik Bersatu masih dibekukan SPRM,” jelasnya ketika dihubungi semalam.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan sumber SPRM mendakwa Bersatu menerima sumbangan daripada kira-kira 10 kontraktor yang menerima pelbagai projek semasa parti itu menjadi kerajaan.

Menurut sumber berkenaan sumbangan itu disyaki berjumlah lebih RM300 juta dan dipercayai ada kaitan dengan Pakej Rangsangan Ekonomi ketika era pandemik.

Susulan itu SPRM membekukan dua akaun Bersatu yang mempunyai baki RM40 juta daripada RM300 juta berkenaan.

RM260 juta yang lain didakwa telah dibelanjakan untuk membiayai kempen pilihan raya Bersatu, menurut laporan Utusan Malaysia.

Baru-baru ini beberapa pemimpin Bersatu termasuk ketua penerangannya, Wan Saiful Wan Jan didakwa atas tuduhan rasuah dalam kes berasingan melibatkan Jana Wibawa.

Lembah Klang 'syurga' pendatang

Muhaamad Hafis Nawawi, Muhammad Saufi Hassan, Nurul Hidayah Bahaudin dan Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
am@hmetro.com.my
Nisbah seorang warga asing setiap 10 penduduk tempatan.
Nisbah seorang warga asing setiap 10 penduduk tempatan.
Kuala Lumpur: Angka mencetuskan rasa gusar apabila nisbah mendapati terdapat seorang penduduk warga asing bagi setiap 10 penduduk tempatan di Malaysia ketika ini.

Nisbah ini mengambil kira sejumlah 2.6 juta warga asing berdaftar selain kewujudan sekurang-kurangnya 400,000 pendatang asing tanpa izin (Pati) yang menyusup masuk dan bekerja secara haram di negara ini.

Ia berdasarkan kenyataan Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin baru-baru ini bahawa terdapat 33 juta penduduk Malaysia merangkumi 90.2 peratus atau 30.4 juta penduduk warganegara dan lapan peratus atau 2.6 juta bukan warganegara.

Walaupun ada yang beranggapan jumlah Pati yang berada di Malaysia jauh lebih besar bilangannya berbanding pendatang asing berdaftar, namun kewujudan ratusan penempatan didiami komuniti warga asing di seluruh negara bukan lagi aneh.

Menumpukan beberapa kawasan di Lembah Klang, koloni dihuni warga Bangladesh, Myanmar, Nepal dan pelarian etnik Rohingya didapati semakin berkembang berbanding sedekad lalu.

Ini memandangkan lokasi Lembah Klang menawarkan pekerjaan khusus dalam bidang perkhidmatan, pembinaan dan pembersihan selain ramai antara mereka menceburi bidang perniagaan.

Berdasarkan tinjauan wartawan Harian Metro mendapati, kewujudan pendatang asing tidak lagi hanya berkisar dalam kalangan warga Indonesia, Nepal, Myanmar mahupun Bangladesh seperti 10 tahun lalu.

Malah kini Malaysia turut dihuni koloni warga asing dari Timur Tengah, Korea, China, Pakistan, Afrika dan beberapa negara lain.

Isu kebanjiran warga asing ini turut menggusarkan penduduk tempatan apabila rata-rata mereka akan membina koloni sendiri hingga menghilangkan 'identiti' tempatan di sesebuah kawasan.

Serbuan terbaru Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di perkampungan haram Pati Indonesia di Nilai Spring, Negeri Sembilan, Cyberjaya dan perkampungan Pati Myanmar serta Nepal di Melaka sejak awal Februari ini membuktikan koloni ini rancak berkembang.

Malah di setiap penempatan haram diserbu, Pati terbabit turut membina surau, kedai runcit, restoran dan sekolah sekaligus membuktikan mereka sudah bertapak lama di Malaysia.

Sebagai contoh, tinjauan wartawan di kawasan perumahan di Batu 8 1/2, Gombak, Selangor, mendapati kawasan itu turut dijajah komuniti etnik Rohingya yang semakin ramai berbanding pendatang Indonesia.

Mereka hampir mendominasi kawasan itu sehingga menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan warga tempatan.

Penduduk tempatan yang mahu dikenali sebagai Su, 45, berkata, pemilik tanah di kalangan warga tempatan membina rumah panjang membabitkan berpuluh unit sebelum disewakan kepada warga asing pada kadar sekitar RM650 sebulan.

"Mereka (warga asing) tiada rasa hormat terhadap orang tempatan. Malah ada seorang lelaki warga Rohingya dianggap 'bos' dalam kalangan mereka dan memiliki lima stor mengumpul besi buruk.

"Mereka kerap menimbulkan masalah apabila gemar bergaduh, mabuk dan berkumpul beramai-ramai sehingga ke awal pagi dan membuat bising. Bukan tidak pernah menegur perbuatan mereka, namun kita pula dimarahi," katanya.

Sementara itu, golongan sama turut dikesan menguasai kediaman sekitar Tasik Permai, Ampang, apabila kumpulan warga asing Myanmar semakin bertambah.

Rata-rata mereka menyewa di kawasan itu dan bekerja mengutip besi buruk dengan menggunakan motosikal roda tiga.

Sementara itu kelompok warga asing Bangladesh dan Pakistan pula mudah ditemui sekitar kawasan Lebuh Ampang, Bukit Bintang dan Nilai, Negeri Sembilan apabila gemar membuka perniagaan alatan elektronik, tekstil, kedai jahitan, perabot dan permaidani.

Begitu juga dengan warga asing China dan Korea yang turut didapati semakin bercambah di sekitar Ampang, Cheras dan Kuchai Lama di sini, apabila rata-rata mereka membuka kedai runcit, kedai ubat-ubatan tradisional dan makanan sejuk beku diimport dari negara asal.

Sementara itu Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa (MHO) Datuk Hishamuddin Hashim berkata, tinjauannya turut mendapati kawasan seperti Keramat, Puchong dan Setiawangsa menjadi lokaliti hotspot untuk warga asing menetap.

"Warga asing ini biasanya memilih tinggal di lokasi berhampiran dengan tempat kerja dan memiliki kemudahan awam yang baik berbanding kawasan luar Lembah Klang.

"Kalau di luar Lembah Klang, mereka akan terbabit dalam segmen pekerjaan lain yang dibenarkan namun tidak ramai jika dibandingkan dengan Lembah Klang.

"Kalau kita lihat kepada data Jabatan Perangkaan Malaysia, seramai 2.6 juta warga asing berada di dalam negara ini, itu tidak termasuk mereka yang masuk secara haram. Jadi jumlah berkenaan pasti lebih tinggi," katanya.
INFOGRAFIK

Ketua koloni bagai 'magnet'

Wujud ancaman keselamatan yang jelas jika tiada pemantauan atau pangkalan data khusus berhubung lokaliti warga asing sehingga membentuk 'koloni' di Malaysia.

Ia makin dibimbangi apabila lahirnya 'ketua koloni' berperanan sebagai 'magnet' yang membawa masuk lebih ramai warga asing sekali gus memberi masalah baharu kepada keselamatan negara.

Pensyarah Jabatan Hubungan Antarabangsa, Keselamatan dan Undang-undang, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Prof Dr Mohd Mizan Aslam berkata, jumlah warga asing berdaftar di negara ini sekitar 2.6 juta perlu diamati semula.

"Ia tidak termasuk pendatang asing tanpa izin (Pati) yang tidak mempunyai dokumen, masuk secara haram dan tinggal lebih masa.

"Kita sudah melihat wujudnya trend warga asing tinggal secara koloni di sesuatu kawasan sehingga 'menyingkirkan' rakyat tempatan berikutan jumlah mereka yang semakin ramai.

"Pastinya dalam anggota koloni ini terdapat kalangan mereka yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah. Namun mereka 'dilindungi' ahli koloni berkenaan, diberikan tempat tinggal dan mungkin pekerjaan.

"Dalam aspek keselamatan, ini jelas memberi kesan langsung kepada keselamatan domestik khususnya akan menyumbang kepada indeks jenayah setempat," katanya.

Beliau berkata, tidak mustahil bahawa ada dalam kalangan migran atau Pati pelbagai negara ini adalah penjenayah dikehendaki di negara asal.

"Ini termasuklah pelarian khususnya Rohingya yang terbabit dalam gerakan 'Arakan Rohingya Salvation Army' (ARSA)," katanya.

Menurutnya, pemantauan serta penentuan pangkalan data lokaliti pendatang asing ini perlu dipergiatkan.

"Jika berlaku sebarang insiden tidak diingini, pihak berkuasa mempunyai petunjuk untuk memulakan siasatan.

"Pihak berkuasa perlu tahu pergerakan warga asing serta taburan kependudukan mereka di negara ini khususnya di kawasan strategik seperti di Lembah Klang.

"Setiap data berkenaan pastinya mempunyai semak silang dengan Polis Antarabangsa (Interpol) supaya pihak berkuasa tempatan tahu individu yang mempunyai latar belakang atau sejarah dalam pergerakan radikal.

"Kerjasama dengan Interpol dalam aspek maklumat berkenaan akan dapat mewujudkan satu pangkalan data warga asing paling komprehensif sekali gus memudahkan tugas pihak berkuasa jika berlaku sebarang perkara tidak diingini membabitkan ancaman keselamatan," katanya.

Mohd Mizan berkata, kaedah ini juga akan memudahkan pihak berkuasa memantau dan mengambil tindakan supaya sebarang anasir subversif itu dapat dihentikan di peringkat awal kerana ia mampu menggugat keamanan negara.
ANTARA Pati yang ditahan imigresen di Cyberjaya.

ANTARA Pati yang ditahan imigresen di Cyberjaya.
Imigresen giat kenal pasti penempatan haram

Usaha mengenal pasti semua penempatan haram warga asing di seluruh Malaysia sedang giat dilakukan pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi memastikan koloni ini tidak terus melarat.

Berdasarkan risikan wujud lebih banyak koloni atau perkampungan haram warga asing yang menjadikan kawasan terpencil, hutan dan bekas tapak binaan atau rumah kongsi sebagai penempatan mereka.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, terdapat beberapa penempatan haram warga asing yang berada dalam pemantauan serta pemerhatian pihak JIM.

Menurutnya, JIM sebelum ini memberi fokus operasi terhadap majikan, kilang, premis pekerjaan dan lain-lain yang menggaji pendatang asing tanpa izin (Pati).

"Dengan program rekalibrasi sedang berjalan, ada antara mereka dengan sengaja dilihat tidak mahu menyertai program berkenaan terutama di penempatan haram kerana menyangka mereka tidak dikesan oleh pihak berkuasa," katanya.

Khairul Dzaimee berkata, semua penempatan haram warga asing berkenaan akan dihapuskan dengan kerjasama daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

PEGAWAI dan anggota imigresen memeriksa Pati yang  ditahan ketika operasi bersepadu  di Cyberjaya.

PEGAWAI dan anggota imigresen memeriksa Pati yang ditahan ketika operasi bersepadu di Cyberjaya.

Kertas siasatan ambilalih Menara KL diserah pada peguam negara, kata Azam

Mohamad Fadli

PUTRAJAYA: Siasatan berhubung pembelian dan pengambilalihan Menara Kuala Lumpur (Menara KL) sudah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.

“Siasatan telah lengkap dan telah dikemukakan pada peguam negara… tunggu masa terdekat keputusan daripada peguam negara,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM.

Pada 7 Jan lalu, SPRM menahan dua pengarah kanan syarikat bagi membantu siasatan pembelian saham dan pengambilalihan konsesi Syarikat Menara KL yang didakwa membabitkan rasuah bernilai ratusan ribu ringgit.

Individu bergelar ‘Datuk’ berusia antara 49 dan 59 tahun itu direman bagi membantu siasatan.

Skop siasatan SPRM menjurus sama ada wujudnya elemen rasuah dalam penjualan 100% saham TM dalam Syarikat Menara KL Sdn Bhd (MKLSB) kepada Hydroshoppe Sdn Bhd (HSB) pada Oktober 2022.

Pengguna akaun Twitter, @FreeMsian, menggambarkan Menara KL sebagai “cash cow”, sambil menyatakan struktur tarikan pelancong itu menjana pendapatan RM66 juta pada 2019 dan merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM25 juta.

Pengguna itu juga membangkitkan soal pemindahan 10 juta saham MKLSB tidak dihebahkan kepada umum.

Hydroshoppe turut didakwa merupakan syarikat bermasalah yang dalam proses dinyahsenarai oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kerana tidak aktif sejak 14 tahun lalu, namun secara tiba-tiba “mendapat talian hayat” daripada TM.

@FreeMsian juga membuat dakwaan mengaitkan perkara itu dengan Annuar Musa yang ketika itu adalah menteri komunikasi dan Multimedia. Bagaimanapun, Annuar menafikan terlibat kerana tender pengambilalihan tertakluk di di bawah Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri (Ukas) pada ketika itu di bawah Mustapha Mohamed.

Pada 29 Dis lalu, TM dalam kenyataannya, berkata keputusannya tidak lagi memegang konsesi bagi pengurusan Menara KL dibuat kerana mahu menumpukan kepada perniagaan terasnya iaitu perkhidmatan telekomunikasi.

Syarikat berkaitan kerajaan itu juga menafikan dakwaan bahawa rancangan berkenaan dibuat secara senyap-senyap.

Menurut TM, perubahan dalam pegangan saham Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd, yang merupakan syarikat yang menguruskan Menara KL, telah dimaklumkan kepada Bursa Malaysia melalui pengumuman kewangan TM pada suku ketiga 2022.

Lelaki dakwa SPRM sogok RM10 juta untuk kaitkan Muhyiddin ditahan

Malaysiakini

Individu yang mendakwa bahawa SPRM menawarkan RM10 juta kepada Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan sebagai pertukaran untuk menganiayai bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin dalam kes rasuah sudah ditahan, kata Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki.

Menurutnya, lelaki yang dikenali sebagai Mohamad Shafiq Abdul Halim itu ditahan selepas hadir ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya petang semalam.

"Kita telah mengambil tindakan yang mana kita buat laporan dan buka siasatan terhadap orang ini. Semalam SPRM menahannya.

"Walaupun saya tahu dia telah membuat permohonan maaf dalam Facebook, ini satu perkara yang saya tegaskan sekali lagi saya secara peribadi tidak ampunkan orang begini yang merosakkan reputasi SPRM dengan membuat tuduhan liar,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Azam berkata, akibat daripada kenyataan itu, satu spekulasi yang amat tidak baik telah ditimbulkan terhadap SPRM sedangkan dakyah berkenaan tidak boleh dipadamkan, dan masih ada rakyat yang mempercayai dakwaan tersebut.

"Kalau hendak cakap secara jujurnya, mana hendak cari RM10 juta dan beri kepada Wan Saiful.

"Jadi minta maaf itu saya rasa satu perkara yang sengaja dipermain-mainkan," katanya lagi.

Sebelum ini, Mohamad Shafiq, yang mendakwa dirinya sebagai penyelidik bebas untuk Wan Saiful, membuat tuduhan itu melalui klip video 44 saat yang dimuat naik ke TikTok.

Dia bagaimanapun kemudiannya menulis permohonan maaf kepada SPRM dan mendakwa telah tersilap cakap selepas laskar siber Pakatan Harapan memprovokasinya.

Mengulas lanjut, Azam berkata, Mohamad Shafiq akan disiasat mengikut Seksyen 48 Akta SPRM 2009 kerana mengganggu siasatan berkaitan projek Jana Wibawa.

Sebelum ini video berdurasi 44 saat itu tersebar di Twitter yang memaparkan seorang lelaki mendakwa RM10 juta ditawarkan SPRM kepada Wan Saiful yang juga adalah ahli Parlimen Tasek Gelugor.

Selasa lalu, Wan Saiful, 48, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta pada tahun lalu.

Bagaimanapun, pemimpin Bersatu itu mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Kes Jana Wibawa: Siasatan berterusan, termasuk ke atas Muhyiddin

Ng Xiang Yi

SPRM tidak menolak akan ada lagi pendakwaan berkaitan program Jana Wibawa, yang setakat ini telah menyaksikan dua individu dihadapkan ke mahkamah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata ada "tiga atau empat" lagi kertas siasatan berkaitan kes itu yang sedang disiapkan untuk diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.

"Ada beberapa lagi kertas siasatan sedang dijalankan, pegawai penyiasat sedang siapkan kertas siasatan berkenaan.

"Saya tidak menolak mana-mana pihak atau pemimpin jika terlibat menerima suapan untuk sesuatu perkara, maka akan ada siasatan," katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Ditanya jika Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin jika akan didakwa, Azam berkata dia tidak dapat mengulas perkara itu kerana siasatan sedang dijalankan.

"Siasatan terhadapnya berjalan seperti biasa...Saya serahkan kepada peguam negara apabila siasatan diselesaikan," katanya.

Terdahulu, Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut didakwa atas empat pertuduhan rasuah berkaitan Jana Wibawa di dua mahkamah berbeza.

Baca: PANDUANKINI: Apa itu program Jana Wibawa?

Semalam, SPRM turut mendakwa Pengarah syarikat perabot SSH Furniture Sdn Bhd, Datuk Teo Wee Cheng di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas sembilan pertuduhan meminta dan menerima rasuah berhubung program itu.

Bekas Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan, yang turut didakwa atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah, mendakwa partinya menjadi mangsa pendakwaan terpilih.

Ditanya berkenaan perkara itu, Azam menafikan dakwaan Wan Saiful dan menegaskan SPRM bertindak secara profesional selepas menerima tujuh aduan yang diterima.

"Kita bukan alat untuk mana-mana parti politik. Siasatan kita berdasarkan aduan dan maklumat, tiada pendakwaan terpilih dalam isu ini," katanya lagi.

Ahli Parlimen pembangkang 'panas' dengar perkongsian Rafizi

Mahaizura Abd Malik

mahaizura@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ucapan penggulungan Menteri Ekonomi Mohd Rafizi Ramli di Dewan Rakyat hari ini yang terselit 'teguran' terhadap inisiatif kerajaan terdahulu mengundang kemarahan Ahli Parlimen pembangkang.

Keadaan menjadi kecoh apabila beberapa Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) bangun menyampuk dan ada yang meminta izin untuk mencelah.

"Apabila harga siling telur, contohnya yang diperkenalkan pentadbiran lepas, walaupun niatnya itu hanyalah untuk seketika saja, ia sampai ke peringkat seperti mana kita telah dengar iaitu kos pengeluaran seekor ayam atau sebiji telur lebih tinggi daripada ditetapkan kerajaan.

"Jadi ia mula membawa kesan kepada bekalan ayam dan telur dalam negara.

"Pentadbiran Yang Berhormat (YB) Tambun (Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim) Insya-Allah kita tak mahu ulangi perkara ini, iaitu sebarang bentuk campur tangan kerajaan membabitkan kawalan harga, tidaklah boleh sehingga memusnahkan rantaian bekalan dan mengakibatkan ketiadaan bahan mentah di pasaran.

"Saya dan YB Tambun dan Kota Raja (Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu) terbabit setakat ini dalam usaha kita percepatkan penyelesaian kepada kebergantungan import makanan ayam supaya masalah ini tak berulang.

"... yang tak diusahakan sahabat-sahabat di seberang sana sepanjang 33 bulan mereka berada dalam kerajaan, sehingga kita ada masalah ini sekarang," katanya, menggulung perbahasan Titah Diraja bagi kementeriannya.

Mohd Rafizi turut menyelar Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim sebagai tidak melakukan apa-apa ketika menjadi menteri terdahulu, apabila menyentuh mengenai pembukaan 800 hektar tanah untuk diusahakan golongan B40 dan miskin tegar.

"Sekarang dalam tempoh pendek, kita akan bermula dengan 800 ekar (324 hektar) dulu, dibuka kepada golongan B40 dan miskin tegar untuk mengusahakan tanaman.

"Kita berharap kerajaan negeri termasuk dari pembangkang turut sama menyertai usaha ini untuk tambah lagi lot tanah yang boleh diusahakan segera supaya kita dapat menambah bekalan makanan, bukan semata-mata mengharapkan suntikan subsidi kerajaan untuk menurunkan harga, dalam keadaan kekangan kewangan ditinggalkan YB Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dulu," katanya.

Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mencelah dengan mengatakan ucapan Mohd Rafizi berkaitan subsidi bercanggah dengan Mohamad serta menyelar Rafizi sebagai retorik atau cakap tak serupa bikin dalam isu kos sara hidup.

Mohd Rafizi: Seingat saya yang nyatakan dia boleh selesaikan masalah (kos sara hidup) satu dua minggu, itu Bagan Serai (Datuk Idris Ahmad) masa dia mula menjadi menteri.

Idris: Apa pula Bagan Serai ini? Jangan bawa cerita pelik-pelik. Bila saya cakap bab ekonomi?

Serentak itu, Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) dan Mohd Syahir Che Sulaiman (Bachok-PN) turut bangun masing-masing menyindir Mohd Rafizi mahu melepaskan diri dan meminta menteri itu mengaku jika tidak boleh selesaikan isu berkenaan, manakala Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) meminta Mohd Rafizi menjawab dengan baik tanpa menyindir kerajaan terdahulu.

Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul cuba menurunkan suhu panas itu dengan mengarahkan Ahli Parlimen duduk dan meneliti siaran sidang sebelum ini dalam YouTube bagi menentukan siapa benar.

Mohd Rafizi kemudian menyambung dengan mengatakan Rosol tidak memahami maksud disampaikannya.

"Hulu Terengganu nampaknya tak faham sebenarnya apa disebutkan Kota Raja, Tambun dan saya, beza semasa Hulu Terengganu dalam kerajaan yang diusahakan hanyalah kawalan harga semata-mata.

"Daripada sasaran beberapa bulan oleh kerana tak ada usaha tambah sumber baharu, supaya kita imbangi bekalan, sebab itu dari dua, tiga bulan sampai jadi setahun, hingga kesan kepada bekalan ayam dan telur sekarang.

"Apa diusahakan ialah dari sekitar enam bulan dari sekarang, (mengikut) unjuran kerajaan sumber permintaan dan pembekalan ayam serta telur ini akan stabil, itu membolehkan kita tak lagi memerlukan subsidi dalam tempoh akan datang... itu yang dimaksudkan Kota Raja tetapi diputar belit oleh Hulu Terengganu," katanya.

Mohd Rafizi berkata, perkongsian angka diberikan pedih untuk didengar pembangkang dan kerana itu pihak berkenaan marah.

Mohd Misbahul: Tak pedih kalau beri angka elok-elok. Perli-perli tu janganlah. Tengok Mat Sabu tadi elok saja cakap

Tidak sampai sejam dirompak, lelaki berjaya kesan pelaku guna aplikasi ‘Find My Apple’

WAN SITI AMINAH

Tindakan pantas seorang lelaki menghidupkan ciri pengesan peranti di dalam telefon pintarnya membuahkan hasil apabila berjaya menjejaki penjenayah yang terlibat.

Bernasib baik, lelaki itu menemui semula barang miliknya iaitu komputer riba, Macbook Pro, Ipad beserta jam tangan pintar, iWatch.

Lelaki yang dikenali sebagai Arvin Tharan itu mulanya bertindak mencari kamera litar tertutup (CCTV) selepas mendapati keretanya dipecah masuk.

Apabila mendapati CCTV itu gagal merakam kejadian tersebut, Arvin segera menhidupkan pengesan peranti, Find My Apple di telefon pintar miliknya.

Untungnya, tidak sampai sejam dirompak, Arvin berjaya mengesan suspek yang sedang leka melepak di sebuah kedai kopi di Sri Petaling.

“Saya memandu ke balai polis berhampiran dan meminta bantuan segera kerana saya masih dapat mengesan mereka.

“Apabila sampai di kedai kopi, polis menasihatkan saya untuk mencari lelaki itu sendiri kerana pencuri mungkin mengecam mereka (polis),” katanya.

Terang Arvin, selepas berjaya mengesan perompak bersama jamnya (iWatch), dia menghampiri suspek dengan berpura-pura memesan makanan.

Apabila sudah mendapat kepastian, dia segera memanggil polis tanpa seragam untuk segera menangkap suspek yang mempunyai 16 rekod jenayah pecah kenderaan.

Dituduh rogol kanak-kanak, 3 remaja mengaku tak salah

Bernama

JEMPOL: Tiga remaja lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bahau atas pertuduhan merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun, bulan lepas.

Remaja berusia 14 dan 17 tahun didakwa secara berkumpulan merogol mangsa di sebuah hotel di Bahau pada 11.30 malam 28 Jan lepas. Mereka didakwa mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan

Remaja berusia 16 tahun didakwa merogol kanak-kanak itu di antara 3 pagi hingga 1 tengahari 29 Jan lepas di hotel sama dan dituduh Seksyen Seksyen 376 (2)(d) Kanun Keseksaan (Akta 574).

Remaja berumur 14 tahun dan 17 tahun itu masing-masing diwakili peguam P M Nagarajan dan Abu Bakar Isa Ramat manakala remaja berusia 16 tahun tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan semua tertuduh diikat jamin RM6,000 dan menetapkan 22 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa polis Baharudin Bah Bam di hadapan Majistret Norshazwani Ishak.

Syed Saddiq: ‘Saya mangsa politik balas dendam’

V Anbalagan

KUALA LUMPUR: Bekas ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa dia didakwa kerana enggan menyokong perdana menteri ketika itu, Muhyiddin Yassin.

Syed Saddiq juga berkata beliau tidak bersalah dan bukti telah disembunyikan daripadanya.

Presiden Muda itu membuat pembelaannya terhadap tuduhan bersubahat dalam pecah amanah jenayah (CBT), penyelewengan aset dan pengubahan wang haram berhubung dana berjumlah RM1.2 juta yang dikaitkan dengan Pemuda Bersatu.

Ketika soal balas oleh peguamnya, Haijan Omar, Syed Saddiq juga mendakwa seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu dia tidak akan menghadapi sebarang masalah jika menyokong Muhyiddin.

Beliau berkata pegawai itu, yang dikenalinya sebagai Ihsan, memberitahunya Muhyiddin membawanya masuk Bersatu dan presiden Bersatu masih mengambil berat terhadapnya.

“Saya memberitahu pegawai itu semasa menjalankan siasatan SPRM, saya tidak akan (menyokong Muhyiddin) kerana saya mempunyai prinsip,” kata Syed Saddiq, yang juga Ahli Parlimen Muar.

Beliau mendakwa Ihsan berkata kepadanya SPRM akan digunakan setiap kali berlaku pertukaran kerajaan.

Katanya, beliau dilucutkan keahlian Bersatu kerana enggan menyokong Muhyiddin, yang dilantik sebagai perdana menteri selepas kejatuhan kerajaan persekutuan pimpinan Pakatan Harapan pada Februari 2020.

Penjelasan mengenai dana

Syed Saddiq turut disoal mengenai pertuduhan CBT sebanyak RM1 juta dan penyelewengan RM120,000.

Mengenai pertuduhan CBT, beliau berkata, tiada peruntukan dalam perlembagaan Bersatu bahawa beliau mesti mendapat kelulusan Majlis Tertinggi untuk menggunakan dana.

Beliau berkata, wang itu digunakan untuk membiayai program anti-Covid-19, aktiviti Ramadan, dan hari raya pada 2020.

Mengenai dakwaan penyelewengan RM120,000, beliau berkata, wang itu diperolehi daripada dua projek mengumpul dana diadakan di Muar dan Ampang pada 2018.

Syed Saddiq berkata dia menggunakan wang simpanan sendiri untuk membiayai kempen memenangi kerusi Muar pada PRU14, dan kira-kira RM170,000 telah dibelanjakan, seperti dilaporkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Beliau berkata, kutipan derma itu tiada kaitan dengan Bersatu dan RM120,000 itu dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya.

Perbicaraan di hadapan hakim Azahar Abdul Hamid bersambung.

Fitnah: Anwar beri Awang 3 hari untuk mohon maaf

Malaysiakini

Anwar Ibrahim mengemukakan surat tuntutan (LOD) kepada bekas timbalan menteri, Awang Hashim berhubung kenyataan ahli parlimen Pendang itu yang menuduh perdana menteri berdendam lebih teruk daripada Dr Mahathir Mohamad.

Menurut peguam Anwar dalam surat bertarikh hari ini Awang dituntut menarik balik kenyataannya secara terbuka, memohon maaf tanpa syarat dan berjanji tidak akan mengulangi dakwaan fitnah itu lagi.

“Kami telah diarahkan oleh pelanggan kami untuk menuntut daripada anda seperti berikut: Menarik balik perkataan fitnah secara terbuka, serta-merta dan tanpa ragu-ragu serta menarik balik semua komen yang menyinggung perasaan dan memfitnah.

“Permohonan maaf tanpa syarat dalam cara dan bentuk yang akan diluluskan oleh kami sebagai penasihat undang-undang untuk disiarkan dalam akhbar dan media pilihan peguam kami.

"Dan aku janji bertulis oleh anda untuk tidak mengulangi sebarang dakwaan atau komen seperti dalam perkataan fitnah dalam artikel."

Surat itu dikeluarkan peguam Anwar dari firma SN Nair & Partners.

Terdedah kepada kebencian awam

Melalui LOD berkenaan juga Anwar menuntut Awang memberikan kos pampasan substantif atas kerosakan reputasinya sebagai perdana menteri, serta semua kos perundangan yang timbul daripada perkara tersebut.

“Kami menunggu jawapan anda tanpa sebarang kelewatan. Jika pelanggan kami tidak menerima sebarang maklum balas yang memuaskan dalam tempoh tiga hari dari tarikh notis, arahan kami adalah untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap anda,” kata surat itu.

Pada 21 Feb lalu Awang dilaporkan menuduh Anwar lebih berdendam daripada Mahathir selepas salah seorang pemimpin kanan PN, Wan Saiful Wan Jan didakwa atas tuduhan rasuah di mahkamah.

Wan Saiful merupakan ketua penerangan Bersatu dan dia meletakkan jawatan tersebut hari ini.

Bersatu dan PAS adalah antara parti komponen PN yang pernah mentadbir negara selama kira-kira 17 bulan. Awang pernah dilantik menjadi timbalan menteri sumber manusia.

Dalam komennya Awang mempersoalkan mengapa kerajaan tidak membuat sebarang pertuduhan terhadap skandal kapal tempur pesisir (LCS) - kes yang dikaitkan dengan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

“Kami (PN) sebagai pembangkang, ugutlah apa saja… segala tribulasi dan fitnah yang kami hadapi lebih teruk.

“Bagi saya, kalau inilah permulaan PM, dia adalah perdana menteri paling teruk di Malaysia. Malah Dr Mahathir yang dikata zalim pun tak (sezalim itu) setakat ini.

“Sifat balas dendam PM ini sangat kuat dan sangat pendendam,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen.

Dalam LOD sama peguam Anwar berkata komen dibuat Awang adalah tidak benar, membebankan, mengelirukan dan tidak munasabah serta berniat jahat.

Katanya kenyataan itu dibuat untuk memburukkan imej Anwar di mata orang ramai sama ada di dalam atau luar negara sehingga ia mendedahkan perdana menteri kepada kebencian dan penghinaan.

Menurut LOD tersebut Anwar tidak pernah campur tangan dalam sebarang siasatan oleh agensi penguatkuasaan di negara ini, justeru tiada pendakwaan terpilih dibuat seperti yang dituduh Awang.

Jana Wibawa: ‘Datuk’ dituduh terima rasuah RM12.8 juta

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang ahli perniagaan didakwa atas sembilan pertuduhan meminta dan menerima rasuah sebanyak RM12.8 juta berkaitan projek Jana Wibawa, di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, antara Julai 2021 hingga Oktober 2022.

Tertuduh, Teo Wee Cheng, 65, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin, di hadapan Hakim Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Menurut Berita Harian, Teo yang juga pengarah SSH Furniture Sdn Bhd, didakwa atas dua pertuduhan meminta wang suapan RM3.9 juta dan RM7.4 juta, yang juga 10% daripada harga kontrak membabitkan program Jana Wibawa bernilai RM39.7 juta dan RM74 juta.

Ia masing-masing bagi projek menaiktaraf jalan pintasan dari Jalan Sawah Baru ke Tenang Stesen, di Segamat dan membina jalan dari Kampung Belukar Durian ke Persimpangan Felda Waha, di Sedili, Kota Tinggi.

Ia sebagai upah bagi membantu Syarikat Muar Usaha Bakti Sdn Bhd mendapatkan projek itu, selain mendorong Syarikat Liku Prestasi Sdn Bhd yang memperoleh projek di Kota Tinggi supaya melantik Syarikat TS Dynamic Construction Sdn Bhd sebagai sub kontraktor.

Perbuatan itu didakwa dilakukan Teo di Pejabat Trimetro Development Sdn Bhd., Jalan Majidi, Muar antara Julai 2021 dan Mei hingga Jun 2022.

Teo juga didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta bagi projek menaiktaraf jalan pintasan dari Jalan Sawah Baru ke Tenang Stesen, di Segamat dan membina jalan dari Kampung Belukar Durian ke Persimpangan Felda Waha, di Sedili, Kota Tinggi.

Ia sebagai upah bagi tertuduh membantu Syarikat Muar Usaha Bakti Sdn Bhd mendapatkan projek di Segamat dan sebagai upah kerana bersetuju melantik Syarikat TS Dynamic Construction Sdn Bhd sebagai sub kontraktor.

Semua kesalahan itu pula didakwa dilakukan di syarikat miliknya di Kawasan Perindustrian Pagoh, Muar antara 20 Ogos 2021 sehingga 15 Nov 2022.

Semua pertuduhan itu dilakukan mengikut Seksyen 16(a)((A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Pengarah II, Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Ahmad Akram Gharib, sementara tertuduh diwakili peguam bela Cains Tan.

Hakim kemudian membenarkan Teo diikat jamin RM500,000 menerusi wang cagaran dengan seorang penjamin warga tempatan, selain pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga selesai kes.

Hakim turut memerintahkan wang cagaran berkenaan diserahkan pada hari ini juga.

Mahkamah turut menetapkan 17 Mei depan sebagai sebutan kes dan serahan dokumen.

Muhyiddin terima peletakan jawatan Wan Saiful sebagai ketua penerangan Bersatu

Mohamad Fadli

KUALA LUMPUR: Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menerima peletakan jawatan Wan Saiful Wan Jan sebagai ketua penerangan parti itu.

Beliau berkata, pengganti bagi mengisi jawatan itu akan dilantik dalam masa terdekat.

“Saya sudah jumpa Wan Saiful, pagi tadi dan lepas bincang (beliau) setuju untuk letak jawatan sebagai ketua penerangan Bersatu,” katanya pada sidang media di Parlimen.

Ketua Dewan Ulama PAS: PAS banyak duit, boleh bagi Bersatu

Malaysiakini 

PAS bersedia memberikan dana kepada Bersatu bagi untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri berikutan akaun parti gabungannya itu telah dibekukan.

Menurut Ketua Dewan Ulama PAS, Nik Muhammad Zawawi Salleh, tidak kira untuk apa pun, partinya akan sentiasa menyokong sekutunya dalam Perikatan Nasional (PN) bagi mendepani PRN.

“PAS ini banyak duit. Kalau Bersatu tiada duit, maka kita beri mereka duit. Tetapi, tidak kiralah untuk apa-apa pun selepas ini, duit banyak sahaja yang akan diberikan oleh ahli-ahli PAS.

“Sebenarnya, PAS tidak perlukan satu jumlah yang besar pun. Macam saya sendiri bertanding pilihan raya, saya tidak keluar duit banyak, berapa ribu sahaja saya keluarkan.

“Selebihnya ahli-ahli PAS yang bayarkan. Jadi, kita mahu kata apa?” katanya yang dipetik oleh Utusan Malaysia.

Ahli Parlimen Pasir Puteh itu mengulas spekulasi bahawa PAS akan meninggalkan PN kerana Bersatu tidak lagi mempunyai wang untuk menggerakkan kempen-kempen dalam PRN nanti.

Awal bulan ini, SPRM membekukan dua akaun bank Bersatu, dengan kira-kira RM40 juta, berhubung dakwaan parti itu menerima sumbangan daripada kira-kira 10 kontraktor yang menerima pelbagai projek ketika parti itu mentadbir kerajaan.

Ketua Pesuruhjaya, SPRM, Azam Baki sebelum ini mengesahkan akaun-akaun itu dibekukan bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi bernilai RM92.5 bilion.

Mengulas mengenai pembekuan itu, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin pula berkata dia akan menulis surat kepada SPRM memohon pembekuan akaun berkenaan ditarik balik supaya parti itu dapat membayar gaji kakitangan parti dan sewa pejabat.

Lelaki New Zealand cedera jatuh ke tingkat 11 ketika lari dari Imigresen

Nurul Hidayah Bahaudin

nurul.hidayah@hmetro.com.my
 
Petaling Jaya: Lelaki warga New Zealand cedera selepas terjatuh dari tingkat 14 ke tingkat 11 selepas melarikan diri daripada pemeriksaan pihak berkuasa di sebuah blok di Pusat Perdagangan Phileo Damansara, di sini, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 5.15 petang.

"Seramai 11 anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Damansara dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, kami dimaklumkan seorang lelaki warga New Zealand berusia 36 tahun terjatuh dari tingkat 14 ke tingkat 11 akibat melarikan diri dari pihak Imigresen," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kejadian itu menyebabkan lelaki berkenaan cedera di bahagian tangan dan tulang pinggul.

"Mangsa dibawa turun oleh pihak bomba menggunakan pengusung sebelum mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan Bulan Sabit Merah," katanya.

Pengguna TikTok dakwa SPRM tawar RM10 juta kepada Wan Saiful berdepan tindakan undang-undang

Nora Mahpar dan Faisal Asyraff

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan seorang pengguna TikTok bahawa ia menawarkan RM10 juta kepada Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan, untuk menjadi saksi bagi mendakwa presidennya, Muhyiddin Yassin.

Individu berkenaan membuat tuduhan itu dalam satu video ringkas di TikTok hari ini. Wan Saiful pagi tadi didakwa di mahkamah atas tuduhan menerima rasuah berkaitan inisiatif Jana Wibawa.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, menepis dakwaan itu sebagai fitnah dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap individu itu.

“Manusia beginilah yang merosakkan kepercayaan masyarakat kepada SPRM,” katanya kepada FMT.

Sementara itu, semakan FMT dengan pihak Wan Saiful mendapati individu terbabit adalah penyelidik sembilan kepada Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu.

Terdahulu, Wan Saiful minta dibicarakan selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan menerima rasuah hampir RM7 juta berkaitan inisiatif Jana Wibawa. Beliau juga mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan meminta suapan melibatkan projek bernilai RM232 juta berkait inisiatif berkenaan.

Beliau berdepan hukuman penjara sehingga maksimum 20 tahun, dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Program Jana Wibawa merupakan inisiatif pakej rangsangan berdepan Covid-19 bagi membantu kontraktor Bumiputera.

Program itu terpalit dengan kontroversi selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kos yang terlibat dalam beberapa projek diberikan adalah terlalu tinggi, dan beberapa juga tidak melalui proses tender.

Pakej rangsangan terbabit dilaksanakan ketika Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri. Pada Jumaat, Muhyiddin berkata, beliau disoal siasat sebagai saksi dan menafikan sebarang penyelewengan dana.

Kes buang al-Quran, 8 individu diambil keterangan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis mengambil keterangan 8 individu bagi membantu siasatan berhubung penemuan 13 naskhah al-Quran yang dipercayai dibuang di dalam longkang di Tasik Sri Murni, Jinjang pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Azmi Abu Kassim berkata, semua lapan individu terbabit berada di lokasi kejadian, termasuk perakam video yang tular di media sosial.

“Kita juga merakam keterangan individu yang ada dalam video tular itu bagi membantu siasatan. Keterangan lapan individu terbabit, penting bagi membolehkan kita mengesan mereka yang bertanggungjawab.

“Polis turut melakukan siasatan di masjid serta surau berhampiran bagi mengenal pasti sama ada al-Quran itu berasal dari rumah ibadat berkenaan,” katanya menurut Berita Harian.

Azmi berkata, pihaknya turut melakukan pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian bagi membantu siasatan.

“Semua 13 naskhah al-Quran itu juga dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis,” katanya.

Pada 18 Feb lalu, seorang wanita tempatan, yang juga Ahli Kesatuan Nelayan Kebangsaan, membuat laporan polis memaklumkan penemuan beberapa naskah kitab suci itu di dalam longkang.

Ketua Polis Sentul Beh Eng Lai berkata, saksi itu sedang beriadah bersama suaminya sebelum ternampak sebuah beg berwarna biru di dalam longkang berdekatan dengan kolam takungan tasik dan hasil pemerhatiannya mendapati senaskah al-Quran dalam keadaan terbuka dan terkeluar dari beg tersebut.

“Kemudian, saksi telah meminta bantuan daripada seorang lelaki tempatan yang tidak dikenali berada berhampiran dengannya untuk membawa naik beg itu dan kesemua naskah al-Quran terbabit telah dibawa keluar dan dihantar ke Masjid Annas Kampung Selayang Lama untuk disimpan,” katanya.

Papagomo diarah bela diri tuduhan cederakan Syed Saddiq

V Anbalagan
Wan Muhammad Azri Wan Deris atau dikenali sebagai Papagomo (kiri) tuduhan mendatangkan kecederaan terhadap Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Saujana Impian, Kajang pada 2019.
KAJANG: Bekas blogger Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo diarah membela diri oleh Mahkamah Majistret atas satu tuduhan mendatangkan kecederaan terhadap Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman empat tahun lalu.

Majistret, Muhammad Noor Firdaus Rosli membuat keputusan ini selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Papagomo.

“Saya mengarahkan tertuduh membela diri selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie,” kata Noor Firdaus.

Bekas exco Pemuda Umno itu dituduh mendatangkan kecederaan pada bahagian leher dan bahu bekas menteri belia dan sukan itu di tepi jalan Persiaran Impian Perdana, Saujana Impian di sini pada jam 11.05 pagi, 16 Feb 2019.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Noor Firdaus bagaimanapun, meminda satu lagi pertuduhan terhadap Papagomo daripada mengaibkan kehormatan kepada menghina.

Ahli perniagaan berusia 40 tahun itu dituduh menyebut perkataan ‘kau bodoh’ terhadap presiden Muda di lokasi dan tarikh sama.

Noor Firdaus berkata, pendakwaan gagal membuktikan elemen tuduhan tetapi berjaya membuktikan kes prima kes di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1995.

“Walaupun perkataan digunakan itu mungkin kesat tetapi ia tidak mengaibkan kehormatan Syed Saddiq,” katanya.

Menurutnya, Papagomo didakwa mengikut Akta Kesalahan Kecil kerana tindakan itu mungkin menyebabkan keamanan terganggu.

Sekiranya didapati bersalah, Papagomo berdepan hukuman dengan RM100.

Papagomo mengaku tidak bersalah.

Mahkamah kemudiannya menetapkan tarikh 22 hingga 23 May dan 12 hingga 13 Jun untuk tertuduh membela diri.

Papagomo diwakili peguam Logen Eskander dan Nik Saiful Adli Burhan manakala pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Nurfarhanim Abdul Halim.

'Sikap pendendam Anwar lebih teruk daripada Tun M'

Fahmy A Rosli

fahmy.azril@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) menyifatkan sikap pendendam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pendakwaan terpilih lebih teruk berbanding ketika pentadbiran pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Merujuk pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang berdepan dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM6.9 juta hari ini, Awang berkata ia adalah satu permulaan daripada tindakan Perdana Menteri.

"Kami (PN) sebagai pembangkang, ugutlah apa saja… segala tribulasi dan fitnah yang kami hadapi lebih teruk.

"Bagi saya, kalau inilah permulaan, dia adalah perdana menteri paling teruk di Malaysia. Malah Dr Mahathir yang dikata zalim pun tak (sezalim itu) setakat ini.

"Sifat balas dendam PM ini sangat kuat dan sangat pendendam," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Ditanya pendakwaan terhadap pemimpin PN bersifat politik, Awang enggan menganggapnya seperti itu tetapi mengakui ia 'percaturan' boleh memberi kesan besar kepada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Katanya ia juga satu strategi terdesak Anwar yang sanggup menggunakan kaedah ugutan untuk mendapatkan sokongan pengundi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

"Itu sudah semestinya (guna sebagai isu melemahkan PN). Bagi saya ini ialah satu isyarat kepada pemimpin lain bahawa kalau yang tak ada jawatan pun, SPRM boleh diarah untuk mendakwa apatah lagi kamu duduk dalam eksekutif. Kamu semua bersedia untuk didakwa.

"Saya tak nak kata politik atau isu apa sebagainya. Tetapi saya rasa paling dekat dalam pemikiran saya ialah kita hadapi PRN dan ini beri kesan besar kepada kerajaan PH-BN.

"PMX (Anwar) ini, bagi saya 'illegal number' yang buat dia menjadi perdana menteri. Ini satu percaturan di luar jangkaan yang menyebabkan dia jadi Perdana menteri. Jadi dia perlu meraih sokongan daripada pengundi apabila dia nak hadapi PRN," katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa Anwar tidak pilih kasih dengan mengambil tindakan pendakwaan secara terpilih.

Katanya, kes membabitkan dakwaan serius seperti kapal tempur pesisir (LCS) sepatutnya perlu didahulukan.

"Kalau inilah permulaan kerajaan PMX yang ambil tindakan terpilih, minta kerajaan terus siasat kes-kes sebelum ini dahulu. Jangan ikut kes terpilih contohnya kes Pandora Papers, Tan Sri Daim (Zainuddin) yang beberapa penggal lama jadi menteri kewangan, ini saya minta persepsi dendam PMX jangan diteruskan.

"Biarlah pendakwaan serius ini dan tidak terpilih... biarlah (pendakwaan kes) LCS dahulu sebab (individu terbabit dalam isu) LCS dikatakan bersama di kiri dan kanan PMX," katanya.

Wan Saiful dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini, atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta pada tahun lalu.

Bagaimanapun, Wan Saiful, 48, yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Pulau Pinang, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.

Terdahulu Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa parti itu menjadi mangsa 'pendakwaan terpilih' Wan Saiful didakwa atas dakwaan rasuah RM6.9 juta.

Pada sidang media di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, di sini hari ini, bekas perdana menteri itu berkata setiap parti politik memerlukan dana untuk menjalankan aktiviti parti dan Perlembagaan membenarkan sumbangan diterima daripada ahli, orang ramai dan juga individu yang menyokong perjuangan parti.

"Setakat ini tidak ada satu pun undang-undang khusus untuk pembiayaan politik di Malaysia.

"Hari ini, parti BERSATU telah menjadi sasaran pendakwaan terpilih kerana menerima sumbangan dana politik yang secara tiba-tiba menjadi satu kesalahan jenayah," katanya.

Kait Menu Rahmah dengan kanser, Speaker buat keputusan esok

Danial Azhar

KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul berkata beliau akan merujuk kepada Hansard sebelum memutuskan sama ada mengambil tindakan terhadap Dr Halimah Ali (PN-Kapar) kerana mengaitkan program Menu Rahmah dengan penyakit kanser dan autism.

Dr Kelvin Yii (PH-Bandar Kuching) yang membangkitkan perkara itu berkata, mengikut Perkara 36(12) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, ahli dewan yang membuat kenyataan mengelirukan dan boleh disifatkan sebagai menghina Dewan.

Yii berkata, Halimah perlu diarahkan menarik balik kenyataannya itu dan meminta maaf kepada Dewan Rakyat dan orang ramai terutama pesakit kanser dan autisme

Beliau juga mengemukakan usul untuk Halimah dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Johari berkata, beliau akan merujuk kepada Hansard sebelum membuat keputusan esok.

Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) kemudiannya bangun dan berkata, Perkara 36(12) menyatakan ahli Dewan tidak boleh membuat tuduhan terhadap ahli Dewan yang lain. Katanya, Yii membuat tuduhan palsu kerana Halimah tidak pernah mengaitkan program Menu Rahmah dengan kanser dan autisme.

Tambahnya, Hansard akan membuktikan perkara itu. Keadaan itu menyebabkan berlaku pertelingkahan antara Misbahul, Yii dan RSN Rayer (PH-Jelutong) sebelum Halimah mencelah untuk menyatakan beliau tidak bersalah.

Johari kemudiannya campur tangan dan mengarahkan semua Ahli Parlimen itu duduk dan berkata: “Hansard tiada pada saya. Saya tidak mahu tersilap membuat keputusan.”

Halimah sebelum ini didakwa mengait program untuk makanan kos rendah itu dengan punca kanser dan autisme ketika membahaskan titah diraja Yang di-Pertuan Agong pada 14 Feb lalu.

Azmin Ali: Jangan salah tafsir kenyataan ‘rehat sementara’

Mohamad Fadli

KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor Azmin Ali berkata, kenyataannya mahu berehat sementara waktu daripada arena politik tidak patut disalah tafsir.

Sebagai pemimpin Bersatu, katanya, menjadi tanggungjawabnya untuk memastikan parti menang pada PRN akan datang.

“Saya ahli parti dan saya bertanggungjawab untuk memastikan parti menang dalam pilihan raya akan datang.

“Jangan salah tafsir seketika itu… (mungkin berehat) satu hari, seminggu atau sebulan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi memberi sokongan kepada Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan yang didakwa menerima rasuah hampir RM7 juta berhubung program Jana Wibawa.

Pada 12 Feb, Azmin yang juga ADUN Bukit Antarabangsa mengumumkan beliau berehat sementara daripada arena politik untuk merancang kembali kariernya.

Dalam pada itu, Azmin enggan mengulas ketika ditanya sama ada beliau akan bertanding atau dicalonkan pada PRN nanti.

“Bila DUN dibubarkan, sudah pasti parti akan meneliti calon-calon akan dikemukakan.

“(DUN), belum bubar…jadi belum lagi (ada pencalonan),” katanya.

Polis angkut replika senjata PAS

Malaysiakini

PAS menyerahkan replika senjata yang digunakan dalam perarakan kontroversi di Setiu, Terengganu pada 17 Februari lalu kepada polis.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Berangan Sulaiman Sulong memaklumkan perkara itu berdasarkan maklumat diterimanya daripada Ketua Pemuda PAS Marang Yusof Abdul Hadi.

“Pemuda memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dan juga mengucap terima kasih di atas layanan baik yang diberikan oleh pihak polis. 

“Barang-barang replika dan kostum yang diperbuat daripada kayu, dan plastik PVC telah diserahkan kepada pihak polis. 

“Juga ucapan terima kasih diberikan kepada semua yang menyokong mereka. Pemuda kekal tenang,” katanya.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail semalam berkata dia memandang serius terhadap perarakan menggunakan “replika bersenjata tajam” melibatkan PAS di Setiu, Terengganu pada 17 Februari.

Katanya, perarakan itu menimbulkan kegusaran awam, apatah lagi ketika suhu politik di beberapa negeri yang bakal berdepan dengan pilihan raya negeri semakin memuncak.

Berdepan kritikan hebat, pemimpin-pemimpin PAS mempertahankan Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit 2023) dengan menyamakannya dengan cosplay, perarakan Hari Kebangsaan dan Hari Pahlawan serta persembahan opera.

Sementara itu, menulis di media sosial malam tadi, Sulaiman bagaimanapun berkata mereka sedih apabila perkara itu “dipolemikkan menjadi satu ketakutan dan kegusaran oleh umat Islam sendiri”. 

"Hanya kepada Allah kami berserah, perjuangan diteruskan. Sekalung tahniah buat Pemuda,” katanya.

12 dipanggil bantu siasatan

Sementara itu, media melaporkan polis sudah memanggil 12 individu, termasuk penganjur program bagi membantu siasatan berhubung acara pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Terengganu Rohaimi Md Isa, selain anggota jawatankuasa program, sebahagian peserta juga akan dipanggil.

Rohaimi mendedahkan polis sudah menerima tiga laporan, termasuk melibatkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri Raja Kamarul Bahrin Shah.

PAS lapor polis terhadap Harian Metro

Sementara itu, di sebalik asakan, Pemuda PAS juga membuat laporan polis terhadap Harian Metro yang didakwa menggunakan gambar yang memberi gambaran salah terhadap mereka.

Laporan itu dibuat oleh Ketua Penerangan Pemuda PAS Terengganu Muhammad Irsyad Syafiq Burhanuddin di ibu pejabat polis daerah Kuala Terengganu hari ini. 

Ketua Penerangan PAS Terengganu Hishamuddin Abdul Karim merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh yang turut hadir menuntut permohonan maaf terbuka.

Laporan di Harakahdaily itu tidak menyatakan dengan jelas laporan yang dirujuknya. 

Bagaimanapun, di artikel lain tulisan Ahmad Fahmi Mokhtar daripada Darulnaim Research Centre di media rasmi PAS itu memaparkan penggunaan gambar rampasan senjata oleh pihak polis.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan maklum balas Harian Metro berkaitan perkara itu.