Hotel di Makkah terbakar, lapan jemaah Pakistan maut

BERNAMA

New Delhi: Sekurang-kurangnya lapan jemaah umrah dari Pakistan terbunuh dalam kebakaran hotel di Makkah.

"Kami menerima laporan mengenai lapan kematian dan enam lagi warga Pakistan cedera dalam kejadian itu. Kedutaan kami di Jeddah sedang berhubung dengan pihak berkuasa tempatan untuk memberikan bantuan kepada mangsa dan keluarga mereka," lapor Associated Press of Pakistan (APP) memetik jurucakap kementerian luar pada Jumaat.

Menurut laporan media Pakistan pada Sabtu, mangsa berasal dari wilayah Punjab.

Kebakaran itu berlaku di tingkat tiga hotel yang terletak di Jalan Ibrahim Al Khalil.

Jemaah dari negara lain turut menginap di hotel itu.

Umno K'tan: 'Debek' benar Annuar kalau anak sendiri tak ikut masuk PAS

Malaysiakini

Bekas setiausaha agung Umno Annuar Musa disindir susulan langkah politik terbarunya memohon untuk menyertai PAS.

Ketua Penerangan Umno Kelantan Zawawi Othman berkata Annuar perlu mengajak anaknya yang juga Ketua Pemuda Umno Ketereh Afiq Amani terlebih dahulu menyertai PAS sebelum berkempen supaya orang lain mengikut langkah politik terbarunya itu.

"Orang luar akan melihat, kalau anak kandung beliau sendiri pun tidak meyakini tindakan ini, apatah lagi orang lain.

"Bak kata orang Kelantan,'debek' (lemah) benar kalau anak sendiri pun tak ikut dengan perjuangan ayahnya.

"Ini prasyarat penting untuk membuktikan keihklasannya.

“Mungkin juga Annuar ingin masuk untuk mencari tapak sebagai calon DUN dalam pilihan raya negeri nanti,” katanya.

Zawawi juga berkata Annuar tidak perlu menyebut jumlah bekas ahli Umno yang mungkin menyertai PAS, menyebutnya sebagai satu bentuk "propaganda".

Awal hari ini, bekas Annuar mengesahkan dia telah mengemukakan permohonan untuk menyertai PAS.

Dia berkata borang keahlian menyertai parti itu telah dihantar beberapa bulan lalu dan masih belum diluluskan PAS.

Ini selepas dilaporkan PN dijangka mengumumkan kemasukan Annuar dan lebih sepuluih bekas pemimpin Umno menyertai parti itu.

Sementara itu, Zawawi turut memberi amaran kepada PAS supaya berfikir dengan teliti sebelum menerima permohonan bekas ahli parlimen Ketereh itu.

"Umno telah masak dengan ragam dan perangai beliau ini. Silap hari bulan PAS pula akan terjerat dengan 'mind games' beliau," katanya.

Penyanyi habiskan RM59,000 untuk langgan pelacur, isteri terpaksa buka purdah untuk sara dan dapat penjagaan anak

MAISARAH AISYA

Tular sebelum ini mengenai pendedahan oleh isteri kepada penyanyi seberang, Virgoun yang dikatakan menghabiskan lebih RM59,000 untuk melanggan pelacur.

Disebabkan oleh pendedahan tersebut, Virgoun dikhabarkan telah memfailkan talak cerai terhadap isteri dan dapat hak penjagaan anak mereka.

Selepas lima tahun berpurdah, Inara terpaksa membuka tudungnya bagi memudahlan urusan untuk mencari nafkah untuk dapatkan semula penjagaan anak.

Inara dikatakan telah mendapat tawaran pekerjaan daripada sebuah syarikat produk kecantikan untuk menampilkan wajahnya.

Secara tidak langsung, syarikat itu menawarkan pekerjaan tersebut bagi membantunya untuk mendapatkan semula hak penjagaan anaknya.

Dalam pada itu, Inara berharap agar keputusannya untuk membuka purdah tidak mengundang prasangka buruk orang ramai memandangkan situasinya sedang darurat.

“Bismillah, saya pakai kerana Allah, saya buka kerana Allah untuk menghidupi anak-anak saya,” ujarnya dalam video di TikTok.

Seorang ADUN BN Melaka bakal sertai Pas?

HADI AB. MANAP 
MUHYIDDIN Yassin bersalaman dengan orang ramai sambil diiringi Mohd. Yadzil Yaakub (kanan) ketika Rumah Terbuka Aidilfitri PN Melaka di pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bemban, Jasin, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
JASIN: Pas bakal mempunyai wakil tunggalnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dalam persidangan dijadualkan berlangsung Julai ini, seandainya benar khabar angin yang mendakwa terdapat seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) akan menyertai parti itu.

Ura-ura itu dikuatkan lagi dengan kehadiran pemimpin berkenaan ke Rumah Terbuka Aidilfitri Perikatan Nasional (PN) Melaka yang berlangsung di pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bemban di sini, malam tadi.

Pengerusi PN negeri yang juga Ketua Pembangkang DUN, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub ketika ditemui tidak menafikan atau mengeyakan spekulasi itu, namun menyatakan pihaknya terbuka menerima mana-mana wakil rakyat kerajaan yang ingin bersama menguatkan barisan pembangkang.

Jelasnya, buat masa ini individu yang dimaksudkan belum menyatakan hasratnya secara rasmi sama ada ingin menyertai Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mahupun Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).

“Saya tak pasti hal itu tapi bagi saya, saya rasa benda itu tiada yang mustahil sebab kita lihat kerajaan sekarang pun, semua sedia maklum ada yang mengatakan ini sebagai cacamarba. Yang berhormat-yang berhormat yang berfikiran terbuka, berfikiran untuk membela rakyat saya rasa mesti akan melihat ini adalah benda yang tak betul, jadi dia akan cuba mencari peluang dan ruang untuk bersama dengan PN.

“Kami alu-alukan sebab kita sebenarnya satu parti untuk membela rakyat. Bukan semata-mata untuk memegang jawatan yang berhormat hanya untuk sekadar nama. Silakan,” katanya yang juga ADUN Bemban.

Rumah Terbuka Aidilfitri PN Melaka turut dihadiri Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Pada April lalu, Utusan Malaysia melaporkan, dua ADUN PN yang kini berstatus pembangkang dipelawa menyertai kerajaan negeri perpaduan Melaka sebelum Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti dibentangkan pada Sidang DUN, Julai ini.

Ketua Menteri yang baharu mengangkat sumpah ketika itu, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, jika kedua-dua mereka iaitu Mohd. Yadzil dan ADUN Sungai Udang, Dr. Mohd. Aleef Yusof bersetuju menyertai, Melaka bakal mencatat sejarah tersendiri menjadi negeri sifar pembangkang.

Bagaimanapun, kedua-dua ADUN berkenaan secara terbuka menolak pelawaan tersebut untuk terus kekal di blok pembangkang.

Dalam pada itu, Pesuruhjaya Pas Melaka, Zulkifli Ismail turut mengesahkan, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang permohonan rasmi daripada mana-mana ADUN BN untuk menyertai parti itu.

“Setakat ini hanya ada khabar angin, cuma sekadar khabar angin. Belum ada satu kepastian dan selagi belum ada satu kepastian kita tunggu sahajalah dan lihat,” katanya. – UTUSAN

Annuar Musa sah mohon sertai PAS

Haspaizi Zain

Bekas setiausaha agung Umno, Annuar Musa mengesahkan yang dia telah mengemukakan permohonan bagi menyertai parti PAS.

Annuar berkata, borang permohonan keahlian bagi menyertai PAS telah dihantar beberapa bulan lalu dan masih belum mendapat kelulusan PAS.

"Bukan 10 orang lebih daripada 1,000 bersama-sama dengan saya insya-Allah pada minggu kedua bulan Jun, kita hanya sekarang sedang menunggu (keputusan) daripada parti PAS.

"Saya mengesahkan saya telah membuat permohonan (menyertai) PAS, terpulanglah pada PAS untuk menerima saya ataupun tidak kerana saya ini bukan sesiapa pun.

"Keputusan yang saya buat (menyertai PAS) setelah saya meneliti secara dekat dan mendalam senario politik negara dan juga keadaan berlaku dalam politik Umno itu sendiri," katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Muafakat Nasional (MN) di ibu negara, hari ini.

PRN: Mampukah Anwar menangkis gelombang hijau?

Lim Hong Siang

Dari segi strateginya, Perdana Menteri Anwar Ibrahim agak tepat untuk memilih isu air ketika menyantuni pengundi Kelantan, dalam majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani baru-baru ini.

Sebagaimana yang kita sedia maklum, kemiskinan, pembangunan yang terbantut, infrastruktur yang serba kurang dan sebagainya, menjadi masalah yang membelenggu Kelantan buat sekian lama.

Malah jelajah ke Kelantan ini disempurnakan dengan sentuhan Anwar untuk ‘mendamaikan’ Nik Omar dan Nik Abduh, dua orang anak bekas menteri besar Kelantan merangkap Mursyidul Am PAS, Allahyarham Nik Abdul Aziz. Kedua-dua mereka kelihatan berselisih lantaran perbezaan politik sejak tahun-tahun kebelakangan.

Usaha yang didedahkan pihak ketiga (orang tengah, Wan Ji) ini memperlihatkan inisiatif Anwar untuk mencantumkan keluarga yang dicarik-carikkan mereka yang beretorik untuk menyatukan bangsa.

Barangkali inilah madani tanpa disebut madani – di sebalik pembangunan kebendaan, diangkat juga nilai kekeluargaan, persaudaraan dan kemanusiaan. Persoalannya, apakah langkah dan sentuhan ini memadai untuk “kerajaan madani” pimpinan Anwar menawan hati pengundi Kelantan, lantas menangkis “Gelombang Hijau” yang mengombak sejak PRU15 pada 19 November 2022?

Balik undi PAS di Kelantan

Tidak kurang netizen yang menyindir perantau Kelantan, kononnya menikmati segala kemudahan asas di Lembah Klang, mengamalkan gaya hidup moden, tetapi balik mengundi untuk mengekalkan PAS sebagai kerajaan negeri Kelantan – sedangkan realiti bahawa perantau terpaksa mencari rezeki di luar Kelantan dengan sendirinya membuktikan kegagalan kerajaan negeri PAS untuk mengurus tadbir dan membangunkan Kelantan.

Namun sindiran sedemikian tidak mencetuskan perubahan, sebaliknya mengasingkan kita antara satu sama lain. Anak Kelantan semakin terpanggil untuk mengekalkan negerinya sedemikian rupa, yang tidak “tercemar” dengan kepesatan pembangunan seperti kota di negeri lain.

Biar dunianya kalut dengan air paip yang selut, asalkan akhiratnya tenang dengan jiwa yang jernih.

Lantas sukar untuk Pakatan Harapan (PH) mahupun Umno-Barisan Nasional menembusi Kelantan dengan sekadar membedil peluru bergelar “pembangunan”. Minda masyarakat tempatan menjadi benteng paling kukuh untuk mempertahankan kuasa PAS di Kelantan.

Pembentukan persepsi dan cara pemikiran masyarakat tidak berlaku dalam tempoh sebulan atau setahun, lantas mustahil ia diubah dalam tempoh enam bulan “kerajaan madani” memerintah (di peringkat persekutuan), atau enam minggu sebelum pilihan raya negeri.

Dalam makalah berjudul Explaining PAS’s Dominance In Kelantan yang dibentangkan Dr Azmil Tayeb sebelum PRU15, kita diperlihatkan bagaimana PAS menggunakan mekanisme dan jentera dalam kerajaan negeri untuk memperluaskan pengaruhnya.

Misalnya Bahagian Dakwah Halaqat di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, dengan 540 orang pegawai, menawarkan imam, ustaz dan ustazah, pendakwah dan mubaligh untuk setiap kawasan parlimen di Kelantan. Bayangkan kesannya apabila pemimpin-pemimpin agama ini menyampaikan mesej melalui khutbah Jumaat, kuliah tafsir, kuliah subuh dan kuliah maghrib dan sebagainya sepanjang masa, di bumi yang mana tokoh agama memiliki kewibawaan yang tersendiri.

Tidak cukup dengan itu, PAS sedar betapa pentingnya untuk membina jaringan hubungan di peringkat akar umbi. Antara 833 orang penghulu di Kelantan, yang dikatakan memainkan peranan sebagai “mata telinga” untuk PAS di peringkat akar umbi, 14 orang Penghulu Seranta dipertanggungjawabkan untuk menjalin hubungan dengan perantau di luar negeri.

Pertemuan diadakan dari semasa ke semasa untuk mendengar rintihan dan aspirasi anak Kelantan yang merantau ke luar negeri, di samping Penghulu Seranta berkongsi agenda perjuangan PAS.

Sementara itu, PAS terus memintas dengan mendampingi golongan anak muda berumur 18 tahun, tatkala PH terbuai dengan andaian optimis bahawa situasi akan memihak kepada PH jikalau umur kelayakan pengundi diturunkan dari 21 ke 18 tahun.

PAS menerokai Tik Tok, menubuhkan “Alternative Riding Club” (ARC) yang berkonvoi dengan motosikal – aktiviti yang amat popular dalam kalangan anak muda. Interaksi di alam maya mahupun pertemuan secara fizikal dalam realiti menyentuh hati anak muda, tidak kira di mana mereka berada.

Generasi PAS

Itupun belum diambil kira satu generasi yang disemai benihnya sejak tahun 1980-an, dan kini dituai hasilnya selepas 40 tahun. Sekilas pandang dari statistik laman rasminya (https://pemudapas.org.my/pasti/), Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) mula beroperasi sejak tahun 1980, kini mencecah sejumlah 2,497 buah PASTI di seluruh negara.

Seramai 9,539 orang guru, dan seramai 125,065 orang murid berumur empat, lima dan enam pada tahun 2022. Bilangan pelajar PASTI menunjukkan peningkatan, iaitu 3.17% berbanding tahun 2021.

Malah PAS meneruskan cita-citanya untuk mewujudkan aliran pendidikan alternatif, dengan Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam Al-Furqan (SRITI) dan Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (SMITI). Didaftarkan pada tahun 2016, SRITI memiliki 146 buah sekolah di seluruh negara pada tahun 2020; sementara tujuh buah SMITI mula beroperasi pada tahun 2020.

Sesungguhnya sistem pendidikan alternatif ini belum dilengkapi dengan institusi pengajian tinggi kelolaan PAS, namun, ia menjadi rahsia terbuka bahawa Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) di setiap menara gading tempatan, yang membentuk Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) di peringkat pusat, mempunyai hubungan dengan PAS. Tanpa pertikaian, GAMIS menjadi kuasa politik dalam kampus yang pengaruhnya tidak boleh dipandang remeh.

Dengan jaringan sebegini, kita tidak perlu terkejut seperti Najib Razak ketika mendapati RM42 juta masuk ke akaunnya, apabila gelombang hijau mengombak. PAS cuma menuai hasilnya setelah berdekad-dekad membanting tulang untuk membina kekuatan akar umbinya. Formula, model, atau mekanisme yang digunakan PAS di Kelantan, sudah pasti akan dicedok rakan seperjuangannya setelah mengambil alih kuasa di negeri Terengganu, Kedah dan Perlis. Dan jikalau berjaya, kekuatan PAS hanya akan terus berkembang.

Pengaruh PAS tidak akan menyusut

Suka atau tidak, pengaruh PAS tidak akan menyusut dalam jangka masa terdekat. Harus juga kita mengakui satu realiti bahawa politik tidak selalunya rasional. Ada kalanya, malah kebanyakan masanya, hujah tidak mampu menyanggah sentimen, fakta gagal mengalahkan auta, bukti terus tenggelam ketika berdepan dengan fitnah.

Manusia mempercayai apa yang mahu dipercayainya, dan siapa yang dipercayainya. Di sini strategi PAS kena pada tempatnya. Dengan jaringan hubungan yang terbina, PAS mempunyai sentuhan tersendiri untuk menawan hati penyokongnya.

Namun ini tidak bermakna mustahil Kerajaan Madani pimpinan Anwar Ibrahim melakukan perubahan, cuma mereka perlu lebih pragmatik ketika mencaturkan strategi. Mustahil PH-BN menawan kubu PAS di Kelantan hanya dengan menganjurkan satu majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri. Mustahil Anwar mengolah restu satu generasi muda dengan konsep Madani-nya, sedangkan cendekiawan yang mampu mengolah konsep Madani, boleh jadi tidak lebih daripada bilangan jarinya.

Malah menggalaskan misi menangkis Gelombang Hijau di atas bahu sosok yang bernama Anwar Ibrahim sendiri antara punca masyarakat Malaysia ditenggelami Gelombang Hijau. Ia bukan sekadar sama ada Anwar mempertahankan prinsipnya, atau istiqamah dengan idealismenya, tetapi susunan gerak kerja yang teratur untuk mengolah persetujuan daripada masyarakat. Jelas, ia menuntut keringat satu pasukan untuk menyempurnakan misi ini, juga titisan peluh kesemua pendukung idealisme ini.

Andainya sebaran berita palsu, hujah berbaur kebencian, prejudis dalam group WhatsApp keluarga, atau saudara-mara pun gagal kita putuskan rantaiannya, jangan sesekali kita bermimpi bahawa Anwar mampu menangkis Gelombang Hijau.

Kalah atau menang, Anwar tetap hargai Umno

Shahrul Shahabudin

PETALING JAYA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak mungkin meninggalkan sekutu politik Umno atau Presidennya Ahmad Zahid Hamidi walaupun parti itu gagal mendapatkan undi Melayu dalam enam PRN akan datang, kata seorang penganalisis politik.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata keputusan buruk dalam PRN tidak akan mengurangkan relevan Umno atau Zahid kepada Anwar dan tidak akan menyebabkan Anwar, pengerusi Pakatan Harapan, mengutamakan sekutunya yang lain khususnya Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Sebelum ini, bekas Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata Anwar boleh kekal sebagai perdana menteri walaupun tanpa sokongan Barisan Nasional (BN) kerana beliau boleh bergantung kepada sokongan GPS.

Bagaimanapun, Awang Azman berkata Anwar masih memerlukan Umno dan Zahid.

“GPS hanya menyediakan 23 kerusi, potensi Umno untuk mendapatkan lebih banyak kerusi pada pilihan raya umum akan datang melebihi angka itu,” katanya kepada FMT.

Terdapat 31 kerusi parlimen di Sarawak dan walaupun GPS menguasai negeri itu, kerusi bandar secara tradisinya adalah kubu pembangkang.

Awang Azman juga berkata Anwar lebih rapat dengan Zahid berbanding Pengerusi GPS Abang Johari Openg, kerana mereka pernah bersama dalam Umno sebelum Anwar dipecat.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara Jeniri Amir, berkata Umno masih mempunyai sokongan kuat orang Melayu, dan inilah sebabnya Anwar tidak akan berusaha untuk menggantikan parti itu walaupun Umno menunjukkan prestasi buruk dalam PRN.

“PKR juga mempunyai keupayaan untuk menarik undi Melayu tetapi pada masa ini, Umno adalah pertaruhan terbaik untuk Anwar meraih sokongan Melayu,” katanya.

Jeniri juga berkata beliau tidak percaya kedudukan Zahid dalam Umno atau kerajaan akan terancam sekiranya parti itu gagal sokongan atau kerusi.

“Kedudukan Zahid (sebagai presiden Umno) tidak akan terjejas selagi Ahli Parlimen Umno tidak menarik balik sokongan mereka dan pemilihan Umno baru-baru ini menunjukkan keadaan itu tidak akan berlaku,” katanya.

Beliau berkata, walaupun tidak ada pertandingan untuk jawatan presiden dan timbalan presiden Umno, hampir semua pemegang jawatan tertinggi parti itu sehaluan dengan Zahid.

Kepala lelaki tersepit celah pintu kereta api

 
TANGKAP layar video menunjukkan seorang lelaki menahan kesakitan selepas kepalanya tersepit celah pintu kereta api di Yogyakarta. - AGENSI
KULON PROGO: Video yang menunjukkan kepala seorang lelaki tersepit pada pintu kereta api menjadi tular dalam media sosial negara ini.

Video tersebut yang dikongsi seorang pengguna Instagram menunjukkan seorang penumpang lelaki memakai baju putih menahan kesakitan kerana kepalanya tersepit celah pintu kereta api.

Kompas.com melaporkan, penumpang lain yang berada dalam kereta api itu cuba membantu lelaki berkenaan dengan menahan pintu supaya tidak tertutup sepenuhnya.

Dalam pada itu, Pengarah Hal Ehwal PT Kereta Api Indonesia (KAI), Daerah Operasi Yogyakarta, Franoto Wibowo mengesahkan insiden tersebut dan memohon maaf berhubung kejadian yang berlaku.

Katanya, insiden itu berlaku di Stesen Kereta Api Lapangan Terbang Antarabangsa Yogyakarta kelmarin pada pukul 11 pagi.

“Memang benar kepala seorang penumpang tersepit celah pintu ketika dia menaiki kereta api di lapangan terbang tersebut.

“Dengan bantuan penumpang lain dan anggota keselamatan, pintu dapat dibuka semula dan penumpang itu dapat diselamatkan.

“Penumpang itu memaklumkan dia dalam keadaan baik tanpa sebarang kecederaan dan enggan ke hospital kerana ingin meneruskan perjalanannya,” katanya.

Fratono memberitahu, insiden itu berlaku selepas penumpang berkenaan cuba membuka pintu secara paksa sebelum kereta api berhenti sepenuhnya.
-utusan 

Hangat: Kakitangan terkejut pemindahan ketua pengarah tenaga kerja

FMT Reporters
Asri Ab Rahman (kiri) dan Khair Razman Annuar dipercayai dirujuk ke kelompok penjawat awam yang akan ditempatkan ke jawatan baharu
KUALA LUMPUR: Penyingkiran Asri Ab Rahman sebagai ketua pengarah jabatan tenaga kerja mengejutkan ramai pegawai yang menyifatkan beliau ikhlas membantu ratusan warga Bangladesh terkandas tanpa pekerjaan baru-baru ini, menurut sumber dalaman.

Sumber mengesahkan kepada FMT bahawa arahan dikeluarkan semalam kepada Asri dan seorang lagi pegawai, Muhd Khair Razman Mohamed Annuar, timbalan ketua setiausaha operasi Kementerian Sumber Manusia.

Asri telah diminta melaporkan diri kepada ketua setiausaha negara manakala Razman kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkuat kuasa hari ini.

JPA sebelum ini menafikan dakwaan bahawa pegawai dirujuk dalam kelompok itu atas alasan tindakan tatatertib.

Sumber rapat dengan bidang buruh berkata Asri bekerja keras  membantu pekerja asing yang tiba secara sah tetapi menganggur.

“Ramai merasakan bahawa dia adalah mangsa keadaan, beliau dilihat kecewa tetapi tidak akan membuat rayuan kerana merasakan dia telah kalah dalam ‘pertempuran’ dalam keadaan itu.”

Malaysiakini melaporkan tindakan mengejut itu dibuat atas arahan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Zaini Ujang yang dilantik April lalu, ketika ramai pekerja asing terkandas di negara ini tanpa pekerjaan.

Laporan itu juga menyebut ada siasatan dalaman terhadap kuota kelulusan kuota buruh asing.

Media melaporkan ratusan pekerja Nepal dan Bangladesh mendakwa ada ejen menawarkan pekerjaan dengan yuran tinggi tetapi tidak menunaikan janjinya.

Laporan itu menyebut siasatan dalaman dilakukan Zaini mendapati beberapa kakitangan berpangkat rendah yang membuat tawaran untuk orang atasan, dan mereka telah tampil menamakan pihak memberi arahan.

Antara isu mendorong siasatan adalah kurangnya usaha wajar dalam proses kelulusan kuota pekerja asing.

“Pemeriksaan terhadap proses kelulusan didorong oleh kebimbangan mengenai layanan terhadap pekerja Bangladesh dan Nepal, yang tiada pekerjaan sejak mereka tiba di Malaysia,” kata laporan itu.

Semalam, FMT melaporkan sekurang-kurangnya 120 pekerja Bangladesh yang terkandas tanpa pekerjaan sejak tiba di Malaysia empat bulan lalu.

Awal bulan ini, Menteri Sumber Manusia V Sivakumar mengesahkan lima kakitangannya telah dipecat bagi memastikan kementerian berfungsi dengan berkesan dan lancar.

Bulan lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menahan tiga pembantunya berhubung siasatan pengambilan pekerja asing.

Sivakumar turut dipanggil memberi keterangan kepada SPRM pada 16 April lalu.

Pengarah APM Kedah meninggal dunia, jatuh di Everest

Samadi Ahmad dan Zuliaty Zulkifi
am@hmetro.com.my
AWANG Askandar (dua dari kanan) meninggal dunia hari ini selepas terjatuh ketika mendaki ke puncak Everest. FOTO Ihsan ME 2023.
AWANG Askandar (dua dari kanan) meninggal dunia hari ini selepas terjatuh ketika mendaki ke puncak Everest. FOTO Ihsan ME 2023.
Putrajaya: Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah yang juga pendaki Malaysia Everest 2023 (ME 2023) Awang Askandar Ampuan Yaacub meninggal dunia ketika menawan gunung tertinggi itu.

Beliau meninggal dunia pada 10.30 pagi waktu Nepal (12.45 tengah hari waktu Malaysia) selepas terjatuh pada ketinggian 8,000 meter dari aras laut.

Ketua Misi ME 2023, Azim Afif Ishak,35, berkata, ketika kejadian Allahyarham bersama Muhammad Hawari Hashim, 33, sedang melakukan pendakian dan hanya memerlukan kira-kira 20 minit untuk sampai ke puncak.

Azim berkata, selepas jatuh, Allahyarham dibawa ke kem empat dengan bantuan malim gunung untuk diberikan rawatan dan meninggal dunia pagi tadi.

Menurutnya, jenazah akan dibawa turun sehingga ke kem dua, esok untuk diterbangkan ke hospital dengan helikopter namun, bergantung kepada cuaca.

"Kejadian sudah dimaklum kepada Kedutaan Malaysia di Nepal dan keluarga Allahyarham juga sudah dimaklumkan mengenai insiden.

"Pihak kami akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Nepal bagi menguruskan jenazah," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, selepas terjatuh Allahyarham masih dalam keadaan sedar dan Hawari meneruskan pendakian sehingga ke puncak.

Misi ME 2023 ini adalah percubaan kedua Allahyarham selepas tertangguh tahun lalu disebabkan faktor cuaca, dengan misi itu dipecahkan kepada dua pasukan yang mana Awang Askandar bersama Hawari memulakan misi pertama, manakala Azim Afif dia dan Tiong Ling Yang, 30, kumpulan kedua.

Sedih dengan kejadian itu, katanya, misi kumpulan kedua akan ditangguhkan bagi menguruskan jenazah Allahyarham.

Media tempatan Nepal melaporkan Allahyarham adalah warga asing ke sembilan meninggal dunia bagi musim pendakian tahun ini termasuk malim gunung.

Hujan ribut: 19 lokasi pokok tumbang di ibu negara

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my
PREMIS berhampiran Balai Bomba dan Penyelamat Hang Hang Tuah yang dihempap pokok tumbang akibat ribut. FOTO Ihsan JBPM.
PREMIS berhampiran Balai Bomba dan Penyelamat Hang Hang Tuah yang dihempap pokok tumbang akibat ribut. FOTO Ihsan JBPM.
Kuala Lumpur: Beberapa kenderaan dan bangunan rosak selain laluan terhalang akibat pokok tumbang selepas ribut dan hujan lebat di ibu negara, petang tadi.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan pokok tumbang di 19 lokasi setakat 8.12 malam.

"Semua 19 lokasi itu termasuk Jalan Kuching; Jalan Ampang; Jalan Jinjang Aman 2; Jalan Kampung Padang Balang; Jalan Danau Saujana 1 Danau Kota, Jalan Sultan Ismail (Bukit Nanas); Jinjang Selatan; Astana Mont Kiara; PSN Raja Chulan dan Kampung Padang Balang.

"Selain itu, pokok tumbang juga dilaporkan di Jalan Dato Senu 26; Jalan Syed Putra; Jalan Stesen Sentral 2; Jalan Ipoh (SMK Batu Muda); Tasik Titiwangsa; Jalan Udang Kepal Segambut; Masjid Negara; Jalan Santan, Segambut dan Jalan 2/23D Danau Kota," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, dalam kejadian itu, beberapa kenderaan membabitkan kereta dan motosikal dilaporkan dihempap pokok tumbang.

"Ada juga laporan yang terima membabitkan pokok tumbang menghalang laluan selain menghempap rumah.

"Kerja-kerja mengalihkan pokok sedang dijalankan," katanya.

Semoga Sanusi insaf dan tak 'koyak' lagi - Mahfouz Omar

Malaysiakini

Pengerusi PH Kedah Mahfuz Omar melahirkan rasa lega atas permohonan maaf Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor kerana memfitnahnya berkaitan tuduhan perpindahan syarikat judi di negeri itu.

"Alhamdulillah, apa yang saya boleh katakan ialah nampaknya Sanusi akur dengan hakikat bahawa beliau telah memfitnah saya. Semoga beliau insaf.

"Mana kan tidak, jika Sanusi merasakan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan itu tidak betul, sudah pasti beliau akan merayu ke Mahkamah Persekutuan.

"Tetapi memandangkan Sanusi tidak teruskan dengan rayuan ke peringkat Mahkamah Persekutuan, nampaknya Sanusi akur dan bersetuju dengan apa yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan bahawa Sanusi telah memfitnah saya," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Mahfuz berkata kenyataan Sanusi itu menunjukkan dia tidak ada langsung sebarang kaitan dengan pemindahan premis pusat judi Sports Toto seperti yang difitnah pemimpin PAS itu.

"Keputusan mahkamah yang mendapati Sanusi bersalah memfitnah saya membuktikan tidak pudar sensitiviti saya terhadap isu-isu seperti yang didakwa oleh Sanusi dalam fitnahnya terhadap saya. Alhamdulillah.

"Semoga keinsafan Sanusi ini berkekalan dan tidak lagi koyak," katanya lagi.

Mahkamah Rayuan pada 3 April lalu menolak rayuan Sanusi untuk mengetepikan saman fitnah Mahfuz yang juga naib presiden Amanah.

Peguam Mahfuz, Noorazmir Zakaria, berkata panel hakim juga menerima rayuan pihaknya agar jumlah ganti rugi yang ditetapkan mahkamah tinggi dinaikkan dari RM50,000 kepada RM120,000.

Sanusi yang juga pengarah pilihan raya PAS mengaitkan Mahfuz - selaku wakil rakyat Pokok Sena ketika itu- dalam isu pemindahan Sport Toto ke kawasan terbabit.

Mahfuz juga mendakwa Sanusi menerbitkan video kira-kira lapan saat pada 27 Julai 2019 yang memaparkan sekumpulan individu membantah pembukaan Sport Toto di Pokok Sena sambil memegang sepanduk yang tertera nama plaintif.

Dalam kenyataan di Facebook juga, Sanusi juga menyatakan kronologi kesnya sejak mengemas kini status fitnah itu pada 30 Julai 2019.

“Atas saman fitnah yang difailkan oleh Mahfuz Omar terhadap saya berkaitan Hantaran FB tersebut, Mahkamah Tinggi pada 8.11.2021 dan Mahkamah Rayuan pada 3.4.2023 telah memutuskan bahawa hantaran FB saya tersebut adalah satu kenyataan fitnah terhadap Mahfuz Omar, dan saya diperintahkan untuk memohon maaf.

“Oleh yang demikian, saya dengan ini memohon maaf kepada Mahfuz Omar atas kenyataan yang dibuat di dalam Hantaran FB tersebut,” kata menteri besar Kedah itu pada hari ini.

Warga Pakistan ditahan, rogol wanita OKU

Siti Rohana Idris
am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Lelaki warga Pakistan ditahan bagi membantu siasatan kes rogol seorang wanita berstatus Orang Kurang Upaya (OKU).

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian yang berlaku tengah hari kelmarin.

"Sekitar jam 1 tengah hari, mangsa yang berusia 30 tahun dan mengalami masalah ketidakupayaan intelektual berseorangan berjalan ke kedai makan di Jalan Padang Tembak, di sini.

"Suspek kemudian mengajak mangsa ke tingkat atas sebuah rumah kedai dan merogol mangsa.

"Mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut manakala pihak kami segera mengesan suspek," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Rosdi berkata, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu berjaya menangkap lelaki Pakistan itu di kawasan perindustrian Pengkalan Chepa.

Menurutnya, ujian saringan awal air kencing terhadap suspek yang berusia 42 tahun adalah negatif.

"Suspek juga tiada rekod kesalahan lampau dan dia ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam hingga 24 Mei ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan (KK)," katanya.

MB Kedah Sanusi mohon maaf secara terbuka pada Mahfuz

Malaysiakini

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor hari ini membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah Mahfuz Omar kerana memfitnahnya berkaitan perpindahan syarikat judi di negeri itu.

“Atas saman fitnah yang difailkan oleh Mahfuz Omar terhadap saya berkaitan Hantaran FB tersebut, Mahkamah Tinggi pada 8.11.2021 dan Mahkamah Rayuan pada 3.4.2023 telah memutuskan bahawa hantaran FB saya tersebut adalah satu kenyataan fitnah terhadap Mahfuz Omar, dan saya diperintahkan untuk memohon maaf.

“Oleh yang demikian, saya dengan ini memohon maaf kepada Mahfuz Omar atas kenyataan yang dibuat di dalam Hantaran FB tersebut,” katanya.

Mahkamah Rayuan pada 3 April lalu menolak rayuan Sanusi untuk mengetepikan saman fitnah Mahfuz yang juga naib presiden Amanah.

Peguam Mahfuz, Noorazmir Zakaria, berkata panel hakim juga menerima rayuan pihaknya agar jumlah ganti rugi yang ditetapkan mahkamah tinggi dinaikkan dari RM50,000 kepada RM120,000.

Sanusi yang juga pengarah pilihan raya PAS mengaitkan Mahfuz - selaku wakil rakyat Pokok Sena ketika itu- dalam isu pemindahan Sport Toto ke kawasan terbabit.

Mahfuz juga mendakwa Sanusi menerbitkan video kira-kira lapan saat pada 27 Julai 2019 yang memaparkan sekumpulan individu membantah pembukaan Sport Toto di Pokok Sena sambil memegang sepanduk yang tertera nama plaintif.

Dalam kenyataan di Facebook juga, Sanusi juga menyatakan kronologi kesnya sejak mengemas kini status fitnah itu pada 30 Julai 2019.

Mati berhampiran balai polis dengan 4 kesan tembakan di kepala

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang lelaki maut dengan empat kesan tembakan di kepala dalam kejadian dekat Balai Polis Sungai Jarom di Kuala Langat malam tadi.

Ketua Polis Kuala Langat, Ahmad Ridhwan Nor @ Saleh, berkata pihaknya menerima aduan kejadian itu daripada sukarelawan polis kira-kira 11.30 malam.

Katanya, pengadu sedang membuat rondaan keselamatan di balai polis itu dan mendengar beberapa letupan kuat dekat kawasan terbabit sebelum mendapati seorang lelaki tempatan yang berlumuran darah terbaring di bahu jalan.

“Unit Forensik IPK Selangor hadir dan menemui lima kelongsong peluru di sekitar tempat kejadian. Pemeriksaan ke atas mangsa juga mendapati empat kesan tembakan di bahagian kepala,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Beliau berkata, pegawai Klinik Kesihatan Telok Panglima Garang mengesahkan mangsa mati di tempat kejadian akibat pendarahan di kepala.

Katanya, mangsa berusia 39 tahun itu mempunyai 13 rekod lampau atas pelbagai kesalahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Ridhwan berkata, polis giat mengesan suspek dan menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis.

Katanya, individu mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh ke balai polis berdekatan atau hubungi bilik gerakan IPD Kuala Langat di talian 03 31872222.

Hangar!! SPRM siasat bekas menteri kanan, Tan Sri kes seleweng lebih RM2.3 bilion

Amir Abd Hamid
amir_hamid@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah membuka beberapa kertas siasatan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 ke atas seorang tokoh perniagaan dan seorang bekas menteri kanan berhubung penyelewengan dana negara berjumlah lebih RM2.3 bilion.

Menurut sumber, siasatan itu adalah kesinambungan dan tambahan daripada pendedahan dokumen-dokumen sulit yang dibuat oleh 'International Consortium of Investigative Journalists' (ICIJ) berhubung transaksi-transaksi yang disyaki berlaku di beberapa pusat kewangan luar pesisir.

"Tumpuan siasatan adalah berhubung dengan pembelian dan pemilikan saham di sebuah syarikat tersenarai oleh sebuah syarikat gergasi negara yang dikatakan didalangi oleh bekas menteri kanan ini.

"Difahamkan juga, transaksi pembelian dan pemilikan saham ini dipercayai menjadi punca kepada kemerosotan ekonomi negara serta kejatuhan matawang ringgit pada hujung 1990-an dan sudah diseleweng bagi kepentingan individu-individu terbabit untuk diselamatkan (bail out) daripada mengalami kerugian yang lebih teruk," katanya.

Menurut sumber, penyiasatan juga bertumpu kepada transaksi-transaksi daripada hasil penjualan saham syarikat tersenarai berkenaan.

Sementara itu, kata sumber, siasatan itu juga meliputi pemilikan aset-aset berharga dikenal pasti oleh SPRM dimiliki oleh ahli perniagaan bergelar Tan Sri dan bekas menteri kanan serta ahli keluarga mereka yang dianggarkan bernilai berbilion ringgit berada di dalam serta di luar negara.

Tambah sumber, SPRM juga sudah merakam keterangan 14 saksi dalam tempoh beberapa minggu lalu berhubung penyiasatan ini termasuk keterangan daripada tokoh perniagaan dan bekas menteri kanan itu berkaitan dengan dokumen-dokumen sulit yang didedahkan oleh Pandora Papers.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Azam berkata, siasatan tertumpu kepada Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berhubung kesalahan salah guna kuasa untuk mendapat suapan dan kesalahan pengubahan wang haram mengikut Seksyen 4 (1) AMLATFPUAA 2001.

Betulkah penyokong, akar umbi BN masih ‘waspada’ PH?

Reshna Reem Ganesan

PETALING JAYA: Penyokong dan akar umbi Barisan Nasional (BN) masih berwaspada terhadap Pakatan Harapan (PH) dan mungkin tidak mahu dikaitkan dengan logo gabungan berkenaan pada PRN akan datang, kata penganalisis.

James Chin dari Universiti Tasmania berkata, penggunaan logo PH akan memberi bayangan BN dikawal PH, bukannya dua gabungan itu memimpin negara bersama.

“Mereka (BN) mahu menggunakan logo sendiri kerana bimbang penyokong Umno masih belum menerima kerajaan perpaduan, dan jika menggunakan logo PH, mereka tidak akan mendapat undi,” katanya kepada FMT.

“Di kawasan luar bandar, orang Melayu selalunya mencari lambang dacing kerana ia memang dikenali sebagai logo Melayu.”

Semalam, Ketua Pemuda Umno Selangor, Imran Tamrin dilaporkan berkata, BN negeri itu belum sedia menggunakan logo PH pada PRN kerana kerjasama dua gabungan itu masih baharu dan kesukaran dijangka di peringkat jentera, jika BN memilih logo gabungan lain.

Sebelum ini, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan satu logo diwujudkan bagi kegunaan PRN yang menggabungkan PH dan BN.

Bagaimanapun, Chin berkata, dua gabungan itu perlu mendaftar sebagai gabungan baharu bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum menggunakan logo baharu.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, penyokong PH tetap akan menunjukkan sokongan untuk BN, jika lambang dacing digunakan dalam PRN, tetapi mungkin sebaliknya bagi penyokong BN.

“Ini bukan jalan dua hala kerana kemarahan akar umbi Umno terhadap PH, khususnya DAP, masih kuat.

“Akar umbi Umno masih ragu-ragu bekerjasama secara rapat dengan PH. BN sepatutnya kekal menggunakan logonya, bukan saja di Selangor, malah di lima negeri lain.”

Katanya, tiada keperluan untuk logo khas bagi mewakili kerajaan perpaduan kerana hanya dua parti itu yang aktif di enam negeri berkenaan.

Kerajaan perpaduan merangkumi PH, BN serta dua gabungan pemerintah di Malaysia Timur, iaitu Gabungan Rakyat Sabah dan Gabungan Parti Sarawak, dengan sokongan Warisan serta Muda, selain parti dan wakil bebas lain.

Pakatan Hadi-Dr M menerusi Proklamasi Orang Melayu dijangka hakis pengaruh Muhyiddin

Nora Mahpar

PETALING JAYA: Penganalisis berkata jika sebelum ini Hadi Awang dan Muhyiddin Yassin dilihat gandingan utama dalam politik pro-Melayu, keadan itu dijangka boleh berubah apabila Hadi mendukung Proklamasi Orang Melayu yang diilhamkan Dr Mahathir Mohamad.

Ariff Aizuddin Azlan dari UITM percaya pakatan presiden PAS dan bekas perdana menteri itu berpotensi mencipta “naratif baharu”.

“Sebelum proklamasi dijalankan, memang Muhyiddin dilihat watak dominan (dalam isu Melayu), tetapi saya kira akan terbentuk naratif baharu apabila Hadi mula mendekati Mahathir,” katanya kepada FMT.

Meskipun Perikatan Nasional gagal membentuk kerajaan pada pilihan raya lalu, Ariff berkata sentimen pro-Melayu masih tebal dalam kalangan pengundi Melayu dan percaya proklamasi itu akan menguatkan lagi sentimen itu.

Pada pilihan raya sama, Mahathir gagal mempertahankan Parlimen Langkawi apabila tewas di tangan calon PN. Secara keseluruhan, PN menang 74 kerusi, yang mana 43 kawasan milik PAS dan 31 ditawan Bersatu.

“Memang benar Mahathir kalah dalam PRU15 bagaimanapun kita perlu lihat naratif baharu ini kerana melibatkan presiden PAS,” kata Ariff.

Meskipun Muhyiddin merestui beberapa pemimpin Bersatu menyokong proklamasi tersebut, Ariff perkara gandingan Hadi dan Mahathir akan “sedikit sebanyak memberi kesan” terhadap keupayaan Muhyiddin membawa isu Melayu.

Di sebalik perasaan tidak suka segelintir pihak terhadap cara Mahathir, Ariff percaya penglibatan Hadi akan mendorong kelompok itu untuk “cuba memahami” inisiatif itu, katanya.

Sementara itu, Salawati Mat Basir dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata Muhyiddin ketika ini kelihatan “tak berapa berbisa” berbanding ketika PRU15.

Beliau meramalkan peluang PAS akan lebih baik pada PRN di enam negeri kelak, dan percaya proklamasi oleh Mahathir itu akan memberi kesan kepada penyokong politik pro-Melayu.

“Sebenarnya isu Melayu ini dah berzaman tetapi inilah ‘ganja’ bila nak masuk pilihan raya, kerana orang Melayu ini suka diingat-ingatkan tentang ‘ekonomi teruk, sosial teruk’,” katanya.

Guna seluar dalam bunuh bayi baharu lahir

Agensi

Jakarta: Wanita muda dari Tulungagung, Jawa Timur didakwa atas pertuduhan membunuh anak kandungnya sendiri dengan menekup muka bayi itu dengan seluar dalam.

Portal Kompas melaporkan, mangsa adalah adalah bayi yang dilahirkan pada 23 April lalu kira-kira jam 8 pagi.

Wanita berumur 23 tahun itu melahirkan bayinya dengan tiada siapa di rumah kerana ahli keluarga lain pergi menziarah rumah saudara maranya sempena Aidilfitri.

Panik dan takut, wanita itu menekup bayinya dengan seluar dalam sehingga meninggal dunia.

Pada mulanya, wanita itu mengaku bahawa seluar dalamnya itu terlilit kepada bayi secara tidak sengaja ketika melahirkan anaknya itu.

"Ada percanggahan pengakuannya dengan fakta yang kami dapatkan," kata Ketua Polis Tulungagung, Agung Kurnia Putra

Agung berkata, wanita itu hamil selepas menjalin hubungan dengan kekasihnya yang ketika ini bekerja di Taiwan.

Bagaimanapun, wanita itu menyembunyikan kehamilannya dari keluarganya dan berharap mengalami keguguran.

"Disebabkan itu, dia menyembunyikan kehamilan dan menjalankan aktiviti seperti biasa dengan harapan kandungannya gugur.

"Tapi, kandungannya bertahan sehingga masuk usia sembilan bulan," katanya.

Kerana perbuatan wanita itu yang melemaskan anaknya dengan seluar dalam, rahang bahagian bawah bayi itu patah.

Selepas mendapati bayinya sudah tidak bernyawa, gadis itu memasukkan jasad anaknya itu ke dalam beg.

Dia kemudian menyimpannya di dalam almari sebelum ke tandas untuk membersihkan diri.

Bagaimanapun, wanita itu jatuh pengsan kerana mengalami banyak pendarahan.

Selepas sedar daripada pengsan dia meminta temannya ke hospital.

Wanita mengakui bahawa dia baharu sahaja melahirkan anak dan pihak hospital bagaimanapun meragui kesan yang dilihat kepada bayi itu.

Mereka (hospital) bertindak merakamkan video sebagai bukti untuk tidak dipersalahkan atas kematian bayi itu sebelum dilaporkan kepada polis.

Wanita dipenjara 6 tahun kerana membunuh perogolnya

Bernama-Dpa

Mexico City: Seorang wanita Orang Asli di sini dijatuhi hukuman penjara enam tahun dua bulan pada Khamis atas pertuduhan membunuh perogolnya lapor agensi berita Jerman (dpa).

Mahkamah mengambil perhatian bahawa wanita itu yang dinamakan sebagai Roxana bertindak mempertahankan diri apabila dia membunuh penyerangnya pada 2021, namun memutuskan dia menggunakan kekerasan yang berlebihan.

Wanita berusia 23 tahun itu mula-mulanya mengetuk lelaki itu sehingga pengsan sebelum mencekik dan cuba memotong badannya.

Dia menyimpan mayat itu sekurang-kurangnya 20 jam sebelum memasukkannya ke dalam beg plastik di jalan.

Mahkamah berkata ia mengambil kira "kelemahannya sebagai seorang wanita dan sebagai orang asli" dalam hukumannya.

"Ia adalah hidup saya atau hidupnya," kata wanita itu dalam temu bual dengan saluran berita Eme Equis. "Saya hanya mahu mempertahankan hidup saya daripada perogol," katanya, sambil menambah bahawa dia bertindak kerana takut.

Dia masih boleh membuat rayuan terhadap keputusan itu.

Ibu tunggal dari negeri selatan Oaxaca itu disokong oleh pertubuhan wanita. Dia sudah menghabiskan sembilan bulan dalam tahanan pra-perbicaraan sebelum dibebaskan sepanjang tempoh perbicaraan.

KJ tanya PAS: Boleh tak kita berhenti bercakap pasal Coldplay ni?

Malaysiakini

“Kalau tak nak pergi Coldplay, jangan pergi, that’s all (itu saja),” demikian pesanan dititipkan bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin buat pemimpin serta penyokong PAS.

Dia yang pernah menjadi menteri beberapa kali turut menyeru PAS agar mereka menghentikan desakan kepada kerajaan untuk membatalkan konsert siri jelajah kumpulan dari Britain itu yang dijadual berlangsung 22 Nov depan.

Khairy yang lebih dikenali sebagai KJ juga kelihatan bosan dengan polemik pro dan kontra yang berlangsung rentetan konsert tersebut, termasuk membabitkan "kawan-kawan" ahli politik itu dalam kalangan pemimpin PAS.

“Boleh tak kita berhenti bercakap pasal ini semua?

"Saya pun ada kawan-kawan dalam PAS. Konsert semua tak boleh… batalkan konsert,” katanya mengupas soalan diberikan kepadanya pada program santai borak bersama bekas ketua penerangan Umno, Shahril Hamdan, melalui podcast di YouTube semalam.

Untuk rekod, di sebalik kedudukan kanan Khairy dan Shahril dalam politik, kedua-dua mereka kini bukan lagi anggota Umno. Ketika Khairy dipecat daripada parti, Shahril pula digantung keanggotaannya.

Terdahulu Khairy diajukan soalan oleh Shahril mengenai tindakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang mengalu-alukan kedatangan kumpulan yang didakwa sesetengah pihak sebagai menyokong LGBT itu.

Menjawab soalan itu lagi, Khairy berkata, memang wajar Anwar membuka ruang untuk Coldplay mengadakan persembahan di negara ini kerana ia satu perniagaan yang menguntungkan.

Bahkan katanya, dia sendiri sudah lama teruja untuk menonton konsert kumpulan yang terkenal dengan lagu Yellow dan Fix You itu namun 'tidak berkemampuan.'

“Kita di Malaysia agak ketagihan konsert. Selalu dia (Coldplay) bypass Malaysia, tapi kali ini kita dikejutkan dengan berita bagus, Coldplay datang Malaysia pada Nov.

"Saya tak pernah tengok Coldplay macam saudara Shahril sebab tu tunggu mereka datang sini. Saya bukan golongan T20.

“Adakah memberi kebaikan? Sudah tentu, ia adalah konsert besar. Kalau Coldplay tak main (adakan konsert) di negara jiran, orang dari negara itu akan datang ke negara kita, macam kita pergi Singapura.

“Silap-silap tiket kalau dah habis dalam 5 minit mungkin boleh tambah satu malam lagi. Mungkin, mungkin… dan kita akan dapat perniagaan….

"Itu yang kita perlukan, kita perlukan keterujaan,” katanya.

Tak berbunyi semasa jadi kerajaan

Semalam tokoh ulama PAS, Ahmad Dusuki Abdul Rani, mengaitkan beberapa bencana alam dengan penganjuran konsert Coldplay dan menganggap ia sebagai peringatan daripada Allah.

Ahli jawatankuasa kerja PAS Pusat Nasrudin Hassan juga mahu kerajaan membatalkan konsert Coldplay yang dilabelkan persembahan tidak membawa sebarang kebaikan untuk negara, agama dan rakyat negara ini.

Nasrudin mempersoalkan jika tindakan kerajaan itu bertujuan mahu menyuburkan budaya hedonisme dan songsang di negara ini.

Sementara itu, Shahril berkata, dia pernah meminati dan menonton konsert Coldplay sewaktu menuntut di United Kingdom suatu ketika dulu.

Namun, katanya, ketika itu dia tidak berpuas hati dengan persembahan secara langsung dibuat band berkenaan.

“Sebabnya, saya tak suka live performance mereka. Saya hanya suka dua album awal diterbitkan, tapi lepas tu mereka dah jadi terlalu komersial, maaf kalau ada tak suka saya cakap begini,” katanya.

Shahril turut mempersoalkan mengapa PAS tidak mengkritik atau membatalkan beberapa konsert berskala besar pernah diadakan sewaktu parti itu berada dalam kerajaan.

“Ada konsert sewaktu PAS jadi kerajaan tapi ‘tak berbunyi’ pula. Ini satu lagi contoh mudah mengkritik, apabila serangan mereka tak melekat,” katanya.

PAS akan umum kemasukan Annuar, Takiyuddin kata KJ minat sertai Bersatu

FMT Reporters

PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) akan mengumumkan kemasukan Annuar Musa termasuk lebih 10 bekas pimpinan Umno dalam PAS, selain gabungan itu turut mempertimbangkan mereka untuk bertanding, menjelang PRN.

Timbalan Setiausaha Agung PN Takiyuddin Hassan, juga menyatakan bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin pula “menunjukkan minat” menyertai Bersatu.

Katanya, pengumuman penerimaan keahlian tokoh politik berkenaan dalam PAS dijangka akan dibuat penghujung bulan ini.

“Saya mengesahkan borang permohonan beberapa tokoh besar itu telah siap, kita tunggu masa untuk membuat pengumuman sahaja. Insya-Allah akhir bulan ini.

“Saya boleh mengesahkan Tan Sri Annuar Musa sudah isi borang untuk menyertai PAS, dan kita akan buat pengumuman dalam waktu terdekat dan bersama rakan-rakan lain dalam Umno (bekas ahli),” katanya menurut Astro Awani.

Mengulas mengenai isu kalimah Allah, beliau yang juga ketua Whip Parlimen PN, berkata gabungan itu akan membawa usul berhubung isu itu pada persidangan Parlimen akan datang.

Katanya, isu melibatkan kalimah Allah sepatutnya dibawakan ke Mahkamah Syariah kerana isu tersebut bukan di bawah bidang kuasa Mahkamah Sivil.

Anthony Loke: Kalimah Allah: Jemaah Menteri Dr M putus selesai kes luar mahkamah

FMT Reporters

PETALING JAYA: Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook menegaskan penyelesaian kes kalimah “Allah” di luar mahkamah berdasarkan keputusan Jemaah Menteri ketika Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri dan bukan atas permintaan parti itu.

Loke berkata, tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin mengaitkan DAP dalam isu kalimah adalah tidak adil.

“Siapa yang dia (Muhyiddin) maksudkan? Pada ketika itu saya juga ada dalam Kabinet dan saya tak pernah bangkitkan isu itu.

“Malah, keputusan untuk cuba selesaikan isu itu di luar mahkamah sebenarnya keputusan Kabinet dan mungkin dia tak hadir ketika mesyuarat Kabinet yang membuat keputusan itu,” katanya menurut Sinar Harian.

Menurut Loke, Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak bersetuju dengan keputusan berkenaan dan mahu ia dibawa ke Mahkamah Tinggi yang kemudian memutuskan penggunaan kalimah “Allah” dibenarkan kepada penganut Kristian di Sarawak secara bersyarat dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pendidikan.

“PN tiada modal selain memainkan atau mengapikan sentimen perkauman dan agama.

“Seperti dinyatakan oleh perdana menteri yang Kabinet secara tegas mempertahankan bahawa isu agama perlu ditangani dengan sensitif dan baik,” katanya.

Semalam, Muhyiddin mendakwa ada menteri DAP pernah meminta supaya kes kalimah Allah membabitkan Jill Ireland diselesaikan di luar mahkamah.

Beliau berkata, kejadian itu berlaku sewaktu memegang portfolio sebagai menteri dalam negeri dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2020.

Muhyiddin berkata, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Jill Ireland pada 2021, namun kerajaan PN pada ketika itu berpendirian keputusan kes tersebut mesti dirayu ke peringkat Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2021 memutuskan bahawa Jill boleh menggunakan kalimah “Allah” secara bersyarat dalam pembelajaran agamanya.

Hakim ketika itu, Nor Bee Ariffin, berkata arahan KDN pada 5 Dis 1986 yang melarang penggunaan kalimah “Allah”, “Baitullah”, “Solat”, dan “Kaabah” sebagai tidak konsisten dengan keputusan dasar Jemaah Menteri tahun sama.

Nenek teruja kahwin diri sendiri

Agensi
Dorothy ‘Dottie’ Fideli. FOTO Agensi
Dorothy ‘Dottie’ Fideli. FOTO Agensi
Washington: Usia bukan penghalang untuk wanita berusia 77 tahun di Amerika Syarikat (AS) mengecap bahagia dengan berkahwin lagi walaupun dengan dirinya sendiri.

Mirror UK melaporkan, Dorothy 'Dottie' Fideli memakai gaun pengantin putih dengan veil atau kain layah ketika melangsungkan perkahwinan impiannya.

Ibu kepada tiga anak itu sebelum ini berkahwin dalam satu majlis ringkas pada 1965.

Dia dan suaminya berpisah sembilan tahun kemudian dan menurut Dorothy dia kini bersama dirinya selama 40 tahun.

Dorothy yang tinggal di komuniti persaraan O'Bannon Terrace di Goshen, Ohio dapat idea untuk berkahwin dengan dirinya daripada seorang rakan yang pernah menganjurkan majlis serupa dalam rancangan bual bicara televisyen.

"Saya sudah melakukan segala-galanya. Mengapa tidak? Saya akan berkahwin dengan diri saya sendiri," katanya.

Anak perempuan Dottie, Donna Pennington fikir ia adalah idea yang bagus malah membantu menguruskan semua termasuk masakan dan menghiasi bilik komuniti di rumah persaraan ibunya menjelang hari bahagia itu

Tetamu yang hadir dihidangkan dengan potongan kek putih bercorak bunga ros merah, ditambah dengan biskut berbentuk hati dan sandwic jari berbentuk loceng perkahwinan.

Walaupun gugup, dia mengakui teruja dapat 'berkahwin' lagi

Dalam temu bual berasingan dengan KCEN, Dorothy berkata, dia tidak pernah terfikir akan kelihatan secantik itu.

"Ia menyentuh emosi kerana sesuatu yang saya inginkan selama ini," katanya.
-hmetro 

Lokman Adam: KJ mungkin terima tawaran PN jika jadi calon MB

K. Parkaran

PETALING JAYA: Khairy Jamaluddin mungkin menerima tawaran Muhyiddin Yassin menyertai Bersatu, jika beliau dinamakan sebagai calon menteri besar oleh Perikatan Nasional (PN) pada PRN akan datang, kata seorang pemimpin Umno.

Pengarah Komunikasi Umno, Lokman Adam berkata, perkara ini mungkin dituntut bekas menteri kesihatan itu “jika tidak sabar dengan keadaannya sekarang”.

“Tak mustahil Khairy diterima semula (oleh Umno),” kata Lokman dalam sesi soal jawab secara langsung di Facebook Live semalam.

“(Namun) kalau gelojoh dan tak sabar, maka beliau akan terima pelawaan Muhyiddin jadi calon PN, calon menteri besar … tidak mustahil.”

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan di negeri mana Khairy akan dicalonkan sebagai menteri besar, tetapi kemungkinannya adalah Selangor dan Negeri Sembilan.

Lokman, yang juga ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno berkata, BN dan PH tidak harus leka kerana kerajaan perpaduan “tidak selamat” ketika ini.

“Saya nak beritahu PH, jangan selesa sangat … kita tidak kuat langsung (sekarang ini),” katanya.

“Bukan perkara mudah untuk kita dapat sokongan, khususnya orang Melayu … apatah lagi kebelakangan ini, banyak bangkit isu yang mudah diputar belit oleh PN untuk mereka peroleh kelebihan.”

Semalam, Muhyiddin menawarkan Khairy kerusi dalam Majlis Pimpinan Tertingginya, jika bekas pemimpin Umno itu memutuskan untuk menyertai Bersatu.

Pengerusi PN itu dilaporkan berkata, terdapat dua kekosongan dalam MPT Bersatu dan beliau sudah berbincang dengan pemimpin Bersatu lain.

Menjawab soalan penonton sama ada Khairy akan mengikut jejak Dr Mahathir Mohamad, yang dipecat Umno pada 1960-an, tetapi diterima semula sebelum menjadi perdana menteri, Lokman tidak menolak kemungkinan itu.

“Kalau Khairy betul-betul bijaksana, beliau akan bersabar, tunggu suatu hari nanti dapat kembali ke pangkuan Umno.

“Saya rasa KJ bukanlah orang yang tak boleh berfikir…beliau masih boleh berfikir dengan waras. Saya rasa beliau pun tahu, Umno masih lagi pilihan utamanya.

“(Saya) juga pernah dibuang oleh Zahid Hamidi, tetapi diambil balik (menyertai Umno) oleh beliau.”

Ditanya mengapa BN memilih untuk berganding bahu dengan PH dan bukannya PN selepas PRU15, Lokman berkata, pengalaman Umno selepas parti itu membantu Muhyiddin menjadi perdana menteri susulan Langkah Sheraton pada Februari 2020 masih segar dalam ingatan mereka.

“Muhyiddin mula membuli kami selepas memegang jawatan tertinggi. Beliau dan parti itu tidak menghargai hakikat Umno bersetuju menyokongnya, walaupun Bersatu hanya mempunyai 32 kerusi (ketika itu).

“Malah, beliau menggunakan kuasanya untuk memecahbelahkan Umno dengan memberikan ganjaran kepada beberapa pemimpinnya dan menarik mereka menyertai Bersatu,” katanya.

'Tak kena selera ajak gocoh, PAS Kelantan serupo sekala'

N Faizal Ghazali

Pemuda Umno Kelantan ‘memulangkan paku buah keras’ terhadap kenyataan rakan sejawatan daripada PAS yang mengkritik lawatan Perdana Menteri Anwar Anwar Ibrahim ke negeri itu baru-baru hanya sebagai ‘tazkirah’ yang diperbaharui sebutannya.

Ketua Pemuda Umno Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata Mohamad Kamal Mohamed tidak perlu palitkan keseluruhan rakyat Kelantan dengan kegelojohan untuk terus memerintah dengan cara memesongkan fikiran rakyat.

“Terima Kasih diucapkan kepada saudara Mohamad Kamal, yang baru sahaja mengakui kontrak federalisme seperti sediakala, tidak pernah dilanggar kerajaan persekutuan.

“Jika kontrak federalisme tidak dilanggar, apa masalah sebenar PAS Kelantan? Kelantan adalah Kelantan, manakala PAS adalah PAS yang berperangai serupa ‘sekala’ dan sentiasa mencari isu mengheret pemikiran rakyat untuk turut sama berfikiran seperti mereka.

“Kerajaan persekutuan sejak BN memerintah tidak pernah meminggirkan Kelantan, yang sengaja menciptakan isu dipinggirkan adalah PAS.

“Sangat banyak bukti di segenap ceruk pelusuk negeri Kelantan, ada pembangunan daripada kerajaan persekutuan dalam kerangka federalisme mahupun pembangunan tambahan luar kerangka federalisme,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Mohamad Kamal menyifatkan terma kerjasama yang ditekankan perdana menteri semasa ucapan di Rumah Terbuka Malaysia Madani di Kota Bharu Jumaat lalu bukanlah sesuatu yang baru.

Bahkan, katanya ia adalah kontrak federalisme yang memayungi Perlembagaan Malaysia.

Justeru ucapan Anwar tersebut boleh dilihat hanya sebagai ‘tazkirah’ yang diperbaharui sebutannya.

Sementara itu, Mohd Azmawi berkata anak Kelantan di perantauan yang berkhidmat dengan kerajaan persekutuan juga tidak pernah disekat atau didiskriminasi dan terbukti ramai yang memegang jawatan penting dalam pentadbiran persekutuan pasti tidak mahu melihat Kelantan ketinggalan.

“Takkanlah PAS Kelantan mahu juga menyatakan kumpulan pelaksana yang terdiri daripada anak Kelantan ini di dalam perkhidmatan awam ini mahu melihat Kelantan ketinggalan?

“Semak di dalam pentadbiran kerajaan kegeri sendiri terlebih dahulu, yang ada dalam pentadbiran Kelantan itu ramai dalam kalangan ‘anak-beranak’ kepimpinan PAS yang secara tidak sedar menghalang kemajuan Kelantan itu sendiri,” katanya.

Dia turut menyelar kenyataan Mohamad Kamal (gambar, atas) yang didakwa bersikap ‘kekampungan’ dengan mengkritik penegasan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berhubung penyelesaian isu bekalan air di Kelantan.

Mohd Azmawi berkata menteri itu bukan berkonfrantasi dengan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), sebaliknya dia nampak kepincangan yang berlaku dalam pentadbiran agensi terbabit.

“Berhentilah daripada menunjuk lagak ‘kekampungan’ tak kena selera kita sikit ajak ‘gocoh’.

“Tindakan menteri (Nik Nazmi) sama seperti Umno Kelantan tuntut semasa AKSB bersetuju untuk menandatangani Perjanjian Migrasi Air dengan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

“Umno Kelantan ketika itu mahu pengurusan AKSB dirombak sepenuhnya kerana terbukti pengurusan yang sama telah menyumbang kepada kegagalan AKSB dalam membekalkan air bersih kepada rakyat.

“Ambo rakyat negeri Cik Siti Wan Kembang, Nik Nazmi juga sama, kami hanya mahu melihat Kelantan yang lebih makmur dan berjaya.

“Sudah 33 tahun PAS Kelantan mentadbir, alasan masih sama ‘dianaktirikan’ sedangkan semasa ramai pemimpin PAS Kelantan menjadi menteri tiada apa perubahan besar berlaku termasuk dalam isu royalti petroleum,” katanya.

Dalam perkembangan sama Pengarah Pilihan Raya Amanah Kelantan Ariff Bashiruddin Rusli turut membidas kenyataan Mohamad Kamal yang disifatkan bersikap seperti ‘samseng jalanan’.

Pimpinan makin mundur

Adalah malang katanya, apabila Pemuda PAS Kelantan masih bersikap seperti samseng jalanan, dengan memperkecilkan usaha pihak kerajaan persekutuan, untuk menyelesaikan masalah bekalan air yang gagal diselesaikan kerajaan negeri selepas sekian lama PAS memerintah Kelantan.

“Jika begini sikap yang dizahirkan oleh calon pimpinan sebuah parti yang mengaku Islam, maka kita dapat simpulkan bahawa PAS hanya melahirkan generasi pimpinan yang semakin mundur ke belakang pemikirannya.

“Landskap politik negara di era Madani ini sudah berubah, dengan semangat perpaduan dan toleransi menjadi tonggak utama, demi memastikan kesejahteraan hidup rakyat dan kestabilan dalam negara ini kembali dipulihkan.

“Amalan politik permusuhan yang keras, hanya menatijahkan situasi di Kelantan tidak semakin baik, bahkan hanya kekal ‘serupa sekala’, tiada perubahan yang boleh memanfaatkan rakyat negeri ini,” katanya ketika di hubungi Malaysiakini.

Tukang pidato dan pecacai politik

Imlan Adabi

Ada seorang lelaki berusia 50-an yang amat dikenali di Kota Bharu pada sekitar 1970-an. Hampir setiap hari dia ada di pasar besar dan hentian bas tanpa peduli akan orang yang lalu-lalang di situ.

Hal itu kerana tugas lelaki terbabit di situ ialah berpidato dengan kawasan kaki lima sebagai pentasnya.

"Merdeka, merdeka, merdeka; nasi berlauk nasi kerabu; kita pakat sambut  merdeka; makan nasi lauk budu," suara lantang lelaki itu menghiasi Kota Bharu.

Dan dia dianggap wira rakyat jalanan.

"Merdeka merdeka merdeka. Umno PAS tak boleh pakai, kedua-duanya dok melarat. Dapat pitih lupa rakyat".

Kami tidak kenal asal-usul lelaki terbabit . Orang menyebutnya Tok Awe Merdeka. Ada ketikanya dia bercerita tentang politik tetapi sesekali dia menjadi lebih menyeronokkan apabila bercakap tentang janda yang ‘hangat.’

Tok Awe Merdeka akan menghilangkan diri seketika apabila ada peniaga yang memberi dia nasi kerabu atau nasi berlauk bersama teh O untuk mengalas perut.

Mitos Tok Awe Merdeka hidup dalam kalangan penduduk Kota Bharu bertahun-tahun lamanya.

Kemunculan ustaz baru

Ada yang berkata dia tidak siuman kerana putus cinta. Ada yang mendakwa dia sebenarnya ialah perisik polis yang hanya menyamar sebagai orang gila untuk menyiasat kecenderungan orang Kelantan terhadap kerajaan Perikatan.

Kami tidak peduli siapa lelaki itu kerana pidato beriramanya menghiburkan, malah yang ada ketika tertentu ia terasa bernas.

Sehinggalah saya meninggalkan Kota Bharu pada awal 1980-an, mitos Tok Awe Merdeka terusik dalam lagu dikir barat Seman Wau Bulan, serta diselitkan juga dalam wayang kulit oleh Dollah Baju Merah.

Selepas 50 tahun saya merumuskan pidato adalah kerja pecacai politik yang mencari makan untuk kelangsungan hidup. Jika Tok Awe Merdeka mendapat 'habuan' nasi kerabu dan nasi berlauk, orang politik dapat kuasa (jika ada yang mempercayai pidato mereka).

Pada awal dekad 1980-an ramai ustaz yang baru balik dari Mesir atau Jordan menghiasi masjid dan surau di kampung kami. Ramai yang berasal Kelantan tetapi ada juga dari Terengganu.

Mereka dikatakan lebih alim dan berilmu kerana belajar di tanah Arab - sumber asal kewujudan Islam.

Mereka berbeza daripada ustaz keluaran pondok Tok Kenali atau pondok Sungai Durian.

Mereka mengajar kami tentang Islam yang 'sebenar'. Mereka mengajar tentang jihad dan perjuangan menegakkan negara Islam. Mereka memberitahu bahawa perlembagaan yang wujud sejak 1957 adalah sekular kerana tidak berlandaskan al-Quran dan hadis.

Mereka mengajar perkataan seperti taghut , kafir zimmi dan kafir harbi yang sebelum itu tidak kami fahami.

Pidato ustaz-ustaz muda bukan sahaja bergema di masjid dan surau, malah di hentian bas serta kaki lima deretan rumah kedai melalui kaset yang dipasang dengan gelombang suara yang kuat.

Semangat juang sesetengah anak muda yang kurang ilmu boleh tahan memuncaknya setiap kali ustaz terbabit meninggikan suara tentang jihad.

Sesekali ia disambut dengan laungan takbir.

Mainan politik antarabangsa

Kami yang Islam sejak kecil tidak pernah merasai kepanasan sedemikian rupa. Sebelum kedatangan ustaz - yang kemudian dipanggil ulama - yang baru pulang dari Timur Tengah itu, kami hidup damai tanpa sengketa.

Benarlah hujah Tok Awe Merdeka beberapa tahun sebelumnya bahawa Umno dan PAS kedua-duanya ‘tak boleh pakai.’

Apabila dapat kuasa mereka akan melupakan rakyat.

Pada pertengahan dekad 1980-an peristiwa berdarah di Lubuk Merbau dan Memali berlaku. Kedua-duanya insiden politik yang benihnya ditanam oleh sang politikus yang berapi-api pidato mereka.

Pengalaman ngeri di Malaysia itu sempat saya heret ke Jakarta ketika menghadiri program pertukaran belia Asean.

Di kaki lima pasar utama, saya lihat sosok pemidato yang cepat menangkap berahi untuk mendengar: "Sudara-sudara, buang saja anu kalian kalau baru tempur sekali sudah melengkung. Lebih baik berikan saja pada anjing kalau enggan minum obat."

Orang banyak. Pidato dengan tema seks sebegitu merupakan hujah yang mudah memancing. Sama seperti pidato politik atau 'kuliah' ustaz selebriti, ceramah tentang seks dan ubat kuat mudah memancing pendengar.  

Pengalaman di Jakarta adalah kesinambungan dari Kota Bharu. Cerita politik dan seks mudah diingat dan menambat minat.

Hari ini bukan sahaja Tok Awe Merdeka dan ustaz muda di kampung. Pidato adalah rutin untuk mengolah persetujuan umum.

Presiden AS Joe Biden menyebut Vladimir Putin sebagai "tukang bantai" dan mendorong Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) untuk menggulingkan presiden Rusia itu dari kekuasaan di Kremlin.

Biden menyampaikan pidato bersejarah di Warsaw, Poland pada 26 Mac 2022 iaitu sebulan setelah Rusia memulakan serangannya ke atas Ukraine.

Selama Biden berpidato, peluru Rusia dilaporkan menghujani kota Lviv yang hanya berjarak 65km dari perbatasan Poland.

Biden berjanji untuk terus berjuang bersama Ukraine, namun sehingga kini AS tidak pernah menghantar tentera menentang Rusia kecuali memberi pinjaman bersama kadar faedah yang tinggi, sekali gus terus memiskinkan Ukraine.

Rakyat yang terbakar

Pada 20 Jan 1963 Indonesia mengambil sikap bermusuhan terhadap Malaysia. Sukarno memproklamirkan gerakan Ganyang Malaysia melalui pidato pada 27 Julai tahun yang sama.

"Kalau kita lapar itu biasa. Kalau kita malu itu juga biasa. Namun kalau kita lapar atau malu itu kerana Malaysia, kurang ajar! Kerahkan pasukan ke Kalimantan hajar cecunguk Malayan itu! Pukul dan sikat jangan sampai tanah dan udara kita diinjak-injak oleh Malaysian keparat itu," katanya.

Pidato kosong Sukarno itu tidak ke mana kerana Malaysia mencapai kemajuan yang lebih baik berbanding negara tersebut.

Sejarah mengajar bahawa pidato tanpa akal adalah tin kosong yang tidak membawa hasil kecuali kebisingan.  

Realpolitik sepanjang zaman memerlukan pemidato yang hebat sebagai pencacai siasah.

Lidah mereka adalah api yang membakar, dan yang terbakar hangus ialah rakyat yang terbuai.

Seperti Tok Awe Merdeka, kerja bercakap dan berhujah hanya menguntungkan orang tertentu sahaja.

PN seolah sudah putus asa raih undi bukan Melayu

Nora Mahpar

PETALING JAYA: Langkah beberapa pemimpin Perikatan Nasional termasuk Presiden PAS, Hadi Awang, menandatangani Proklamasi Orang Melayu seolah menunjukkan gabungan itu sudah ‘berputus asa’ meraih undi orang bukan Melayu.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara percaya PN sanggup memainkan isu-isu Melayu dan Islam kerana menyedari tidak ramai pengundi bukan Melayu akan menyokongnya, sepertimana yang ditunjukkan pada PRU15.

“Proklamasi Orang Melayu dapat meyakinkan pengundi Melayu terutama di enam negeri yang akan mengadakan PRN. Bagi menarik pengundi bukan Melayu, PN seolah-olah sudah ‘give up’,” katanya kepada FMT.

Isu melibatkan orang Melayu walaupun sudah berzaman diperkatakan oleh pencetus proklamasi, Dr Mahathir Mohamad, umpama ‘ganja’ menjelang pilihan raya, kata Salawati Mat Basir dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

“Isu dasar dan ekonomi rakyat yang masih belum dapat diselesaikan oleh kerajaan Anwar Ibrahim juga dijangka memberi kelebihan untuk orang ramai tertarik dengan ‘gerakan’ Mahathir,” katanya.

Beliau meramalkan Proklamasi Orang Melayu itu akan membantu PAS mengukuhkan pengaruhnya di kawasan-kawasan yang tidak menyokong ‘kerajaan perpaduan’.

“Kawasan-kawasan yang bukan penyokong kerajaan memang akan naikkan bendera PAS. Kalau agresifnya PAS itu, sukar untuk dapat undi bukan Melayu atau Melayu bandar kerana mereka rasa terancam.”

Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi Mara percaya tindakan PAS berganding dengan Mahathir hanya akan menjarakkan lagi PN dengan pengundi bukan Melayu.

“Kehilangan besar PAS adalah golongan pengundi bukan Melayu khususnya berada di Sabah dan Sarawak. Dalam kerangka masyarakat majmuk, mereka seharusnya disantuni.”

Masjid Nabawi 'diserang' belalang

BERNAMA

Madinah: Pengunjung dan jemaah umrah yang kini berada di Kota Madinah, Arab Saudi bukan sahaja diuji dengan cuaca panas membahang tetapi juga berdepan gangguan longgokan serangga ekoran gelombang bermusim serangan belalang.

Sehubungan itu, Agensi Pengurusan Masjid Nabawi dengan kerjasama pelbagai agensi di bawah Jabatan Tertinggi bagi Hal Ehwal Haramain mengerakkan lebih 1,000 petugas pembersihan setiap hari dan sepanjang masa bagi memastikan masjid berkenaan sentiasa selamat dikunjungi.

"Buat masa ini agensi menugaskan lebih 1,000 petugas pembersihan dan lebih 600 alat pembersih elektrik dan manual khusus untuk mengumpul serangga", menurut kenyataan agensi itu yang disiarkan di laman sesawang rasminya hari ini.

Kenyataan itu menyebut bilangan petugas akan ditambah dari semasa ke semasa dan kerja pembersihan serta pembasmian kuman giat dijalankan di Masjid Nabawi, termasuk halaman dan fasilitinya, dengan kerjasama Agensi Perkhidmatan dan Perlindungan Alam Sekitar.

Sementara itu, Bahagian Hal Ehwal Teknikal, Operasi dan Penyelenggaraan agensi itu turut mengambil inisiatif mengurangkan peratusan pencahayaan di sekitar Masjid Nabawi pada waktu malam, selain membuka payung masjid sepanjang masa.

Untuk rekod, lazimnya gelombang bermusim serangan belalang berlaku di Arab Saudi antara Januari hingga Jun.

Mudir pusat tahfiz didakwa lakukan amang seksual, seks luar tabii tiga pelajar

HADI AB. MANAP
TERTUDUH yang juga warga Singapura mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan seks luar tabii terhadap tiga pelajarnya di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
 
MELAKA: Seorang warga Singapura yang juga mudir sebuah pusat tahfiz di Tanjung Minyak di sini, didakwa dengan lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan seks luar tabii terhadap tiga pelajarnya.

Bagaimanapun, tertuduh, Muhammad Firdaous Abdul Rashif, 40, mengaku tidak bersalah dalam dua prosiding berasingan di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam dan Hakim Mohd. Sabri Ismail di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Mengikut tiga pertuduhan di bawah Seksyen 14 (a) dan 14 (b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, tertuduh didakwa telah melakukan amang seksual fizikal terhadap tiga pelajarnya yang masing-masing berusia 13 tahun 9 bulan, 14 dan 15 tahun.

Perbuatan itu dilakukan dalam bilik di rumah guru pusat tahfiz berkenaan pada 20 Julai 2022 dan Mac 2023.

Tertuduh yang juga pengasas pusat tahfiz terlibat boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Bagi dua lagi pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap dua mangsa sama di lokasi sama pada Mac 2023.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aliff Asraf Anuar Sharuddin, Muhammad Nazrin Ali Rahim dan Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal manakala tertuduh diwakili peguam Fahmy Sulaiman.

Pembelaan merayu jaminan dibenarkan
dengan alasan anak guamnya menanggung dua isteri dan enam anak berusia setahun setengah sehingga 13 tahun.

Darmafikri kemudian membenarkan jaminan RM20,000 bagi dua pertuduhan dihadapannya manakala Mohd. Sabri tidak membenarkan jaminan bagi satu pertuduhan di bawah Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Pada 13 Mei lalu, Utusan Malaysia melaporkan, mudir dan warden asrama sebuah pusat tahfiz di Tanjung Minyak yang dipercayai terlibat dengan kes amang seksual fizikal dan penderaan kanak-kanak direman empat hari.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Ayer Keroh, Nurul Bahiyah Kamaluddin sehingga semalam terhadap suspek yang berumur 40 dan 36 tahun.

Kedua-dua tertuduh yang juga adik beradik disiasat di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001, susulan enam laporan dibuat oleh enam pelajar pusat tahfiz berkenaan. – UTUSAN

Rindu tak jumpa emak 27 tahun

Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my
Saufi Marwan Muhammad Hariri bersama ibunya. FOTO Ihsan Saufi Marwan Muhammad Hariri
Saufi Marwan Muhammad Hariri bersama ibunya. FOTO Ihsan Saufi Marwan Muhammad Hariri
Kodiang: Selepas 27 tahun terpisah, Saufi Marwan Muhammad Hariri bertemu semula dengan ibu kandungnya, Jeh-An Adsanee dalam satu pertemuan di Satun, Thailand, baru-baru ini.

Penyatuan semula dua beranak itu mendapat perhatian netizen selepas Saufi Marwan, 32, memuat naik video pertemuan dengan ibunya di TikTok.

Menerusi video itu, jelas kerinduan pada wajah Saufi Marwan dan Jeh-An Adsanee, 55, terhadap satu sama lain malah mereka terus berpelukan dan menangis sebaik bertentang mata.

Saufi Marwan tidak datang berseorangan tetapi ditemani isteri, Najla Zakaria, 32, dan dua anak mereka.

Berkongsi kisah sebenar, Saufi Marwan berkata, dia dan ibunya bertemu semula pada Ramadan tahun lalu.

Guru Sains Sukan, Pendidikan Jasmani dan Kesihatan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Nyior, Jitra, Kedah itu berkata, ia adalah pertemuan pertama mereka selepas hampir tiga dekad terpisah tanpa khabar berita.

"Saya dan emak terpisah ketika berumur empat tahun dan difahamkan, puncanya adalah kerana ada konflik ketika itu.

"Oleh kerana ayah ada masalah kesihatan mental dan tidak bekerja, saya dibesarkan datuk dan nenek.

"Jadi, saya dapat kasih sayang daripada mereka yang membesarkan saya sehingga masuk ke universiti," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Menurutnya, individu terdekat dan rakan sejak di bangku sekolah hingga ke universiti sebelum ini kerap menasihatkannya untuk mencari ibu kandung.

Bagaimanapun Saufi Marwan enggan kerana beranggapan ibunya bersalah kerana meninggalkannya ketika kecil.

"Saya tak nak cari sebab ego, marah dan ada dendam dengan emak kerana dahulu, saya tak tahu cerita sebenar.

"Pernah juga nak cari ibu sebelum kahwin dahulu tetapi niat itu terbantut namun terbuka hati selepas dipujuk isteri pada awal Ramadan tahun lalu.

"Lagipun isteri nak sangat jumpa ibu mentuanya dan hidup saya pula berasa kosong selepas kematian ayah dua tahun lalu.

"Oleh kerana itu, saya jadi lembut hati dan nekad untuk cari emak,"katanya.

Saufi Marwan berkata, dia ada bertanya dengan adik beradik lain mengenai ibunya namun tidak dapat maklumat diperlukan.

Menyedari tiada cara lain, Saufi Marwan memuat naik hantaran di Facebook (Fb) sebagai usaha untuk menjejak ibunya.

"Saya tak tahu banyak mengenai emak. Apa yang saya tahu emak tinggal di Satun. Jadi saya kongsi maklumat yang ada di Fb.

"Tiga hari kemudian, saya dihubungi seorang wanita menerusi kiriman mesej di Fb menyatakan dia kenal dan sedia bantu dapatkan nombor telefon daripada keluarga emak di Satun.

"Hasil pertolongan wanita itu, saya dapat berhubung semula dengan emak menerusi panggilan video dan dia sudah ceritakan kisah sebenar sebelum kami bersua muka.

"Pada waktu itu, baru saya tahu kisah sebenar malah emak pernah beberapa kali datang ke Malaysia untuk cari saya namun tiada rezeki kami berjumpa sebelum ini disebabkan ada halangan," katanya.

Berhubung kisahnya yang tular, Saufi Marwan berkata, niatnya memuat naik video di TiKTok sekadar untuk berkongsi kegembiraannya dan simpanan peribadi di platform berkenaan.

"Tak sangka pula boleh tular namun kebanyakan komen positif tetapi ada juga yang kecam dengan mempersoalkan mengapa baru cari emak selepas sekian lama terpisah.

"Betul juga apa yang dikatakan itu, cuma dahulu saya terlalu ikutkan perasaan dendam dan amarah serta terlalu ego walaupun sedih sebenarnya apabila tengok orang lain ada ibu.

"Apa pun itu kisah lama dan kini, saya bersyukur kerana emak sudah kembali. Buat masa ini, emak masih tinggal di Satun dan saya akan pulang ke sana sekali sebulan.

"Memang ada perancangan untuk bawa emak tinggal bersama di sini dan mudah-mudahan ia jadi kenyataan nanti," katanya.

Flat macam ‘reban ayam’, Sultan Johor beri amaran jangan jadikan isu politik

FMT Reporters

PETALING JAYA: Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memberi amaran supaya tidak menjadikan teguran baginda terhadap flat kos rendah kotor di negeri itu sebagai isu politik.

Katanya, isu kekotoran di kawasan flat kos rendah itu adalah masalah lama yang gagal diselesaikan pentadbiran sebelum ini.

“Ini bukan perkara baharu. Kerajaan-kerajaan sebelum ini mengetahui mengenai keadaan flat kos rendah di Johor.

“Tetapi mereka tidak berbuat apa-apa. Sekarang, kerajaan perpaduan yang baharu terpaksa menguruskan masalah-masalah sampah ini,” titah baginda dalam kenyataan dimuat naik di Facebook rasminya.

Baginda juga menyifatkan kerajaan sebelum ini tidak mengambil peduli isu flat kotor, sehingga menyebabkan kerajaan perpaduan pula menanggung permasalahan itu.

Sultan Ibrahim bertitah, baginda juga menyatakan rasa tidak puas hati dilaksanakan syarikat bertanggungjawab dalam menguruskan kerja pembersihan dan pungutan sampah di kawasan flat.

Baginda turut menyatakan penghargaan kepada komitmen Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming yang datang menghadap kelmarin, bagi menyelesaikan masalah berbangkit.

Pada Isnin, Sultan Ibrahim menzahirkan perasaan kecewa terhadap keadaan bangunan, penyelenggaraan serta tahap kebersihan flat kos rendah di negeri itu.

Baginda bertitah, kebanyakan flat kos rendah di Johor berada dalam keadaan daif serta dipenuhi pelbagai sampah sarap seolah-olah rakyat hidup dalam “reban ayam”.

Dakwa Starbucks tak halal, lelaki didenda RM5,000

Angelia Lau

SEPANG: Seorang penjual telefon bimbit didenda RM5,000 selepas mengaku bersalah berkongsi maklumat palsu mengenai status “halal” minuman Starbucks di Facebook tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen Azrol Abdullah memerintahkan Irwan Sidik, 34, dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda itu.

Irwan dituduh menerbitkan satu hantaran bawah nama profil “Boss Eone” kira-kira 10 malam pada 28 Dis 2022.

Dalam hantaran itu, dia mendakwa produk syarikat kopi tersebut “haram” kerana didakwa mengandungi E471 (Emulsi 471) mono digliserida yang berasal daripada daging babi, alkohol, dan arak.

Hantaran itu dibaca pada 3 petang 3 Jan 2023, di ibu pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) di Cyberjaya.

Irwan didakwa bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1988, dibaca bersama Seksyen 233(3), kerana membuat dan memulakan komunikasi palsu dengan niat mengganggu.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda tidak melebihi RM50,000, atau kedua-duanya. Seseorang yang melakukan kesalahan juga boleh dikenakan denda tambahan RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SKMM, Mai Zairani Zainal Abidin yang meminta mahkamah menjatuhkan hukuman berat sebagai pengajaran bukan hanya kepada tertuduh tetapi masyarakat secara umum.

Irwan, yang tidak diwakili peguam, memohon hukuman ringan kerana hanya mempunyai simpanan RM5,000 dan bertanggungjawab menjaga ibunya yang sakit.

7 polis termasuk seorang pegawai ditahan disyaki terlibat judi ekor haram

SAFINA RAMLI

GEORGE TOWN: Seorang pegawai dan enam anggota polis sebuah balai polis di kawasan Timur Laut di sini ditahan kerana disyaki terlibat dengan aktiviti judi ekor haram.

Selain mereka, lima orang awam turut ditahan kerana dipercayai terlibat dengan aktiviti berkenaan.

Kesemua mereka ditahan dalam operasi yang dijalankan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman pada semalam dan kelmarin.

Difahamkan, ketika ditahan kesemua mereka sedang bermain judi ekor haram dan polis turut merampas peralatan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti tersebut.

Antara barangan yang dirampas termasuk telefon bimbit, wang tunai, komputer riba, mesin mengira wang kertas, buah mahjong, dadu dan sebagainya.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin mengesahkan penahanan anggota dan pegawai polis berkenaan, namun enggan mengulas lanjut memandangkan kes tersebut masih dalam siasatan.

”Saya sahkan, namun tidak dapat ulas lanjut kerana masih dalam siasatan polis,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini hari ini. – UTUSAN

Mid Valley ditutup sementara

FMT Reporters

PETALING JAYA: Pusat beli-belah Mid Valley Megamall ditutup hari ini untuk penilaian kerosakan susulan kebakaran pagi tadi.

Pihak pengurusannya berkata, kebakaran di pencawang luar Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu sudah dipadamkan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Demi keselamatan semua pihak, katanya, bekalan elektrik berdepan gangguan sementara sehingga pihak berkuasa membenarkan ia diaktifkan semula.

“Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul dan ingin menegaskan keselamatan pengunjung tetap menjadi keutamaan kami,” katanya di Facebook.

Ia mengucapkan terima kasih kepada pelanggan dan penyewa atas kerjasama mereka, serta Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis serta TNB yang bertindak pantas.

Terdahulu, TNB berkata, pihaknya sedang mengenal pasti punca kebakaran dan bekalan giat dipulihkan selepas pencawang masuk utama (PMU) pusat beli-belah itu terbakar pada 10:27 pagi tadi.

“Kebakaran menyebabkan gangguan bekalan kepada pengguna di kawasan terhad sekitar Mid Valley dan sebahagian Desa Pantai.

“TNB mengambil langkah segera untuk pemulihan bekalan dengan sebahagian pengguna terlibat mendapat bekalan seawal 10.55 pagi. TNB sedang berusaha memulihkan bekalan kepada pengguna yang masih terkesan,” menurut TNB.

Agong perkenan Jemaah Menteri sembah cadangan berkait kalimah ‘Allah’

FMT Reporters

PETALING JAYA: Jemaah Menteri mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan cadangan berhubung penggunaan kalimah “Allah” kepada Majlis Raja-Raja, kata Anwar Ibrahim.

Perdana menteri dalam kenyataan berkata, keputusan itu dicapai selepas mesyuarat Jemaah Menteri membincangkan keputusan Peguam Negara untuk menarik balik rayuan terhadap kes Jill Ireland berhubung bahan penerbitan mengandungi kalimah “Allah”.

“Jemaah Menteri mengambil maklum bahawa keputusan yang dibuat hanya berkisar soal pentadbiran dan tidak merubah ketetapan Mahkamah Persekutuan pada tahun 2014.

“Bagi menyelesaikan isu ini secara menyeluruh dan bersepadu, Jemaah Menteri mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah ‘Allah’ kepada Majlis Raja-Raja.

“… dan pada masa sama memperkukuh perpaduan dan keharmonian antara kaum dan agama di Malaysia,” katanya.

Kelmarin, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah “Allah” dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Notis pemberhentian rayuan itu, yang difailkan pada 18 April lalu menyatakan kedua-dua perayu tidak berniat meneruskan notis rayuan dikemukakan pada 12 Mac 2021 dan memberhentikan keseluruhan rayuan di Mahkamah Rayuan tanpa perintah terhadap kos.

Pada 10 Mac 2021, Mahkamah Tinggi membuat keputusan tersebut selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman yang difailkan Jill Ireland, wanita suku kaum Melanau dari Sarawak yang beragama Kristian.

Bagaimanapun, Anwar semalam dilaporkan berkata keputusan kes penganut Kristian boleh menggunakan kalimah “Allah” dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran adalah khusus untuk Sarawak.

Terdahulu, Ketua Penerangan Bersatu, Razali Idris berkata KDN tidak berhak menarik balik rayuan penggunaan kalimah “Allah” tanpa merujuk pihak berkuasa agama serta Majlis Raja-Raja sebagai ketua agama.

Sementara itu, Anwar menambah kerajaan dipimpinnya menghormati, memperakui, dan menerima pakai ketetapan enakmen negeri-negeri dan titah Yang di-Pertuan Agong pada 7 Feb yang menzahirkan agar dikekalkan dasar sedia ada yang sedang berkuat-kuasa berhubung isu penggunaan kalimah “Allah”.

“Kerajaan akan sentiasa mempertahan Perlembagaan Persekutuan terutama Perkara 3 berhubung agama Islam adalah agama persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai,” katanya.