Wanita tidak bayar hutang dibaling pisang

KOSMO!

Wanita itu melempar pisang ke arah penghutang. - Instagram
JAKARTA  – Sebuah klip video tular di media sosial Indonesia memaparkan seorang wanita membaling pisang ke arah wanita lain yang sedang menari di atas pentas kerana dikatakan tidak membayar hutang, lapor laman berita Suara.com semalam.

Video yang dirakam di sebuah majlis itu dimuat naik dalam akaun Instagram @terang_media.

Seorang wanita berbaju hijau pada awalnya kelihatan berbual dengan seorang lelaki dalam keadaan marah sambil memandang pentas.

Sementara itu, kelihatan dua wanita sedang menari berhampiran seorang penyanyi.

Tiba-tiba, wanita itu mencapai sebiji  pisang di atas meja dan menuju ke pentas sebelum membalingnya ke arah wanita bertudung yang sedang menari.

Walaupun dimaki wanita tersebut, tiga orang yang berada di pentas kelihatan ketawa dan meneruskan aktiviti mereka. 

Video itu mendapat perhatian netizen di ruangan komen.

“Wanita itu berjoget supaya tidak pening memikirkan hutang,” komen seorang netizen. – Agensi

Semua penumpang kapal selam Titan mati serta-merta

Utusan

BOSTON: Insiden ‘letupan kuat’ yang menyebabkan kapal selam Titan musnah boleh berlaku dengan daya dan kelajuan luar biasa akibat tekanan air di dasar laut.

Letupan yang disebabkan oleh kerosakan pada bahagian badan kapal selam atau faktor lain boleh menyebabkan kapal itu hancur dalam masa beberapa saat sebaik sahaja tekanan air menjadi semakin kuat.

Dalam keadaan itu, semua penumpang yang berada dalam kapal selam itu akan mati serta-merta.

Titan yang dibangunkan oleh OceanGate Inc of Everett di Washington direka mampu bertahan dengan tekanan air kuat, termasuk pada kedalaman bangkai kapal Titanic ditemukan, iaitu 3,800 meter di dasar lautan.

Kapal selam itu juga sebelum ini ‘berjaya pergi dan kembali’ dalam ekspedisi menyelusuri bangkai kapal berkenaan.

Namun, kebimbangan keselamatan kapal selam itu pernah dibangkitkan, terutamanya dalam tuntutan mahkamah yang melibatkan bekas pengarah operasi marin OceanGate, David Lochridge yang dipecat pada 2018.

Beliau dipecat selepas memberi amaran mengenai keadaan badan gentian karbon Titan yang dikatakan ‘tidak selamat’.

Seorang pakar kejuruteraan di Imperial College London, Roderick Smith berkata, kemalangan itu mungkin berlaku disebabkan oleh kegagalan kapal selam berkenaan menahan tekanan air yang kuat.

Smith menegaskan, bagi menentukan punca sebenar insiden itu, lebih banyak serpihan kapal selam itu perlu ditemukan untuk membolehkan siasatan penuh dilakukan.

Katanya, perkara itu mungkin sukar dilakukan, namun pasukan penyiasat boleh cuba melakukannya.

“Letupan kuat yang berlaku pada Titan mungkin menyukarkan untuk pasukan penyiasat menyusun kronologi kejadian, dari mula kapal selam itu bermasalah sehinggalah ia meletup yang mengorbankan kesemua penumpangnya,” katanya.

RISIKO SAMAN

Sebelum turun ke dasar lautan untuk menyertai ekspedisi melihat bangkai kapal Titanic, kelima-lima penumpang itu sudah pun menandatangani persetujuan untuk menanggung sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Namun, keluarga mangsa masih boleh menyaman pemilik OceanGate.

Kapal selam Titan dilaporkan hilang dari radar ketika melakukan selaman selama dua jam sebelum akhirnya disahkan meletup dan mengorbankan semua penumpangnya berdasarkan serpihan badan kapal yang ditemukan.

Kelima-lima penumpang berkenaan membayar sebanyak AS$250,000 (RM1.17 juta) setiap seorang untuk menyertai ekspedisi tersebut.

Menurut seorang wartawan CBS yang pernah mengikuti ekspedisi bersma OceanGate pada Julai tahun lalu memberitahu, dia perlu menandatangani persetujuan untuk menghadapi sebarang risiko, termasuk kemungkinan maut dalam dokumen yang disediakan.

Sehingga kini, OceanGate enggan memberi reaksi berhubung perkara berkenaan.

Pengecualian liabiliti tidak selalunya ‘kukuh’ dan hakimboleh menolaknya jika terdapat bukti kecuaian atau bahaya besar yang tidak didedahkan sebelum ini.

“Sekiranya terdapat aspek reka bentuk atau pembinaan kapal selam yang dirahsiakan daripada penumpang atau sememangnya sudah diketahui tidak sesuai untuk beroperasi, perlara itu boleh menyebabkan pengecualian liabiliti yang ditandatangani tidak berfungsi,” kata peguam dan pakar undang-undang maritim, Matthew D Shaffer.

Tahap kecuaian yang boleh memberi kesan terhadap pengecualian liabiliti bergentung kepada punca kemalangan yang ketika ini masih dalam siasatan.

TANGISI KEHILANGAN

Seorang bapa dan anak merupakan lima daripada penumpang yang terkorban dalam insiden kapal selam meletup.

Shahzada Dawood, 48, dan anak lelakinya, Sulema, 19, merupakan keluarga kaya yang mewarisi empayar perniagaan Dawood di Pakistan.

“Amat menyedihkan selepas kami dimaklumkan Shahzada dan anaknya terkorban dalam ekspedisi itu.

“Kami ingin mengucapkan takziah kepada semua keluarga yang terlibat dalam kehilangan ini,” menurut kenyataan Yayasan Dawood.

Dalam pada itu, keluarga ahli perniagaan Britain, Hamish Harding yang turut terkorban dalam kapal selam itu juga menzahirkan kesedihan.

“Beliau merupakan seorang yang amat baik dan kami semua menyayanginya,” jelas kenyataan dari keluarganya. – AGENSI

Sumbang mahram dengan ibu sendiri sejak sekolah

Agensi

Jakarta: Seorang lelaki berusia 28 tahun di Bukittinggi, Sumatera Barat dikesan melakukan hubungan terlarang dengan ibu kandungnya sejak sekolah menengah.

Kes sumbang mahram itu didedahkan Datuk Bandar Bukittingi, Erman Safar pada ceramah isu sosial yang diadakan di kediaman rasminya, Rabu lalu.

"Ada kes lelaki ini sudah berusia 28 tahun dan sedang dikuarantin. Dia sejak sekolah menengah sudah melakukan seks dengan ibunya," kata Erman.

Beliau turut mendedahkan latar belakang pemuda itu yang datang daripada keluarga kuat pendirian agama.

"Pihak berkuasa sedang kuarantin pemuda itu... sudah lima bulan," katanya dilapor TribunPadang.com yang dipetik Kompas.

Pengerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Solidariti Ganggam Solid IPWL, Agam Sukendra Madra berkata, kes sumbang mahram itu terbongkar apabila keluarga membuat laporan kepada pihaknya.

"Pemuda itu sedang kami rawat dan dia dikuarantin. Ia akan berlangsung selama tujuh bulan," katanya.

Sukendra berkata, keluarga mula melaporkan masalah pemuda itu selepas dia semakin tidak terkawal dan mengganggu ahli keluarga lain.

Katanya, keluarga memohon supaya pemuda itu dipulihkan, malah lelaki terbabit juga sudah mula mengancam dengan senjata tajam.

Menurutnya, pasukannya mendapati pemuda itu mengalami gangguan mental berdasarkan beberapa ujian penilaian yang dilakukan.

"Pemuda ini apabila diperiksa, ada gangguan jiwa. Otaknya mungkin bermasalah," katanya.

Hina Sultan Johor, lelaki disyaki pengendali FB ‘JDT Fan Club’ direman 3 hari

FMT Reporters

Seorang lelaki ditahan di Alor Setar, Kedah semalam kerana memuat naik hantaran berbaur penghinaan terhadap institusi diraja dan Sultan Johor menerusi akaun FB.
PETALING JAYA: Seorang lelaki dipercayai pengendali akaun Facebook JDT Fan Club ditahan polis kerana memuat naik hantaran berbaur penghinaan terhadap institusi diraja dan Sultan Johor.

Lelaki berusia 28 tahun itu ditahan semalam di Alor Setar, Kedah, dan telefon bimbit serta kad SIM yang dipercayai digunakan untuk memuat naik hantaran itu turut dirampas.

“Lelaki terbabit direman tiga hari sehingga 26 Jun ini dan siasatan dilakukan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman,” kata Setiausaha Polis Noorsiah Saaduddin dalam kenyataan, lapor Bernama.

Noorsiah berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mendatangkan kebencian serta penghinaan terhadap mana-mana raja dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan iaitu fitnah jenayah.

Suspek juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Noorsiah menasihatkan orang ramai agar tidak menggunakan platform media sosial sehingga mengundang kemarahan, menimbulkan rasa benci terhadap agama, bangsa dan raja serta menggugat keharmonian negara.

Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman dan keselamatan awam, tambahnya.

Dua suspek warga asing diburu dalam kes tembak di Cheras

TUAN NURHIDAYAH TUAN AB.GHANI
Lokasi dua warga asing bersenjatakan parang ditembak mati polis 6 Jun lalu.
KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menjejaki dua lagi lelaki bersenjatakan parang yang melarikan diri selepas dua rakan mereka ditembak mati di Taman Supreme, Cheras, di sini, 9 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, dua suspek masih belum dapat dikesan meskipun mendapat petunjuk seperti yang dimaklumkan sebelum ini.

“Kita masih menunggu laporan lanjut daripada pihak hospital dan usaha-usaha mengesan dua individu terbabit masih giat dijalankan.

“Memang ada dapat petunjuk dan kes in masih dalam siasatan,” ujarnya kepada pemberita ketika menghadiri majlis pelancaran Taman Angkat Amanita, Taman Bukit Cheras,di sini, pagi tadi.

Terdahulu media melaporkan, polis menembak mati dua lelaki berusia lingkungan 30-an disyaki terlibat dalam kegiatan pecah rumah di kawasan perumahan terbabit selepas mereka cuba menyerang polis menggunakan parang manakala dua lagi melarikan diri menggunakan sebuah kenderaan bernombor pendaftaran palsu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, polis telah mendapat petunjuk dan turut menubuhkan pasukan bagi mengesan kedua-dua warga asing berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/0585 atau balai polis berhampiran,”katanya. -KOSMO! ONLINE.

Bekas kapten skuad kebangsaan ditahan polis?

Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bekas pemain bola sepak terus 'menggegarkan' arena sukan tanah air dengan terbaharu seorang lelaki yang juga mantan kapten skuad kebangsaan sekitar tahun 2000 ditahan Polis dipercayai terbabit dengan kesalahan menceroboh bilik di sebuah hotel di sini, baru-baru ini.

Menurut sumber, laporan Polis itu dibuat oleh seorang lelaki selepas mendapati bekas pemain bola sepak terbabit menceroboh bilik hotel sebelum bertindak agresif hingga menyebabkan berlaku sedikit kekecohan.

"Ketika kejadian, terdapat seorang wanita berada di dalam bilik terbabit yang juga isteri kepada pengadu itu.

"Suspek yang pernah beraksi bersama sebuah pasukan di utara tanah air ikatakan bertindak agresif hingga menimbulkan ketakutan terhadap wanita itu.

"Berikutan kejadian terbabit, pengadu yang juga suami kepada wanita berkenaan membuat laporan Polis sebelum tindakan susulan diambil," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Katanya, bekas pemain bola sepak itu sudah ditahan Polis untuk siasatan lanjut dan dikatakan kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.

Media sebelum ini melaporkan, seorang bekas pemain kebangsaan dipercayai membelasah kekasihnya sehingga cedera selepas berlaku pergaduhan antara mereka, baru-baru ini.

Menurut sumber, pemain itu dikatakan sering melakukan perbuatan terbabit sehingga menyebabkan kekasihnya yang juga seorang doktor mendedahkan perkara itu kepada umum.

Berikutan itu, pemain pertahanan Sabah FC Mohd Rizal Mohd Ghazali didakwa di Mahkamah Majistret atas dua pertuduhan memukul dan merosakkan telefon bimbit teman wanitanya, dua minggu lalu.

Elok KJ dengar je nasihat Ramli Sarip

Mohsin Abdullah

OK, kita semua sudah tahu Khairy Jamaluddin bertemu Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin pada 19 Jun lalu berhubung pelawaan menyertai gabungannya. Tidak ada kenyataan rasmi menyusuli pertemuan itu, baik daripada Muhyiddin mahu pun Khairy. Cuma media memetik sumber yang mendakwa Khairy sudah memaklumkan pendirian kepada Muhyiddin dan presiden Bersatu itu pula dikatakan menerima pendirian berkenaan.

Tidak dijelaskan apa maksud Muhyiddin ‘menerima’ pendirian Khairy itu. Adakah menerima bermaksud menghormati pendirian Khairy, atau sekadar terima seperti orang terima surat, terima jemputan, dan sebagainya. Apa pendirian Khairy juga tidak didedahkan.

Orang nombor dua Muhyiddin dalam Bersatu, Ahmad Faizal Azumu, dipetik Malaysiakini berkata pertemuan Muhyiddin-Khairy “berakhir dengan positif”. Namun beliau turut berkata “saya tidak hadir sama jadi saya tidak boleh bercakap banyak tetapi saya tahu ia pertemuan yang baik”. Bagi saya jika tidak hadir, lebih molek jangan cakap langsung.

Apa pun pada 21 Jun lalu, Khairy menerusi podcastnya Keluar Sekejap memberi gambaran beliau menolak tawaran Muhyiddin. Ini kesimpulan pelbagai pihak berdasarkan jawapan Khairy kepada pertanyaan yang diaju Shahril Hamdan, co-host Keluar Sekejap.

Shahril mahu tahu sama ada Khairy sudah memberi jawapan muktamad kepada Muhyiddin. Jawab Khairy beliau sudah melakukan itu tetapi bersetuju untuk mempertimbangkannya lebih lanjut atas rasa hormat kepada Muhyiddin:

“Saya telah jumpa beliau dan beri pandangan saya kepada beliau dan beliau minta saya fikir lagi. Saya pun setuju untuk fikir lagi dan saya pun minta beliau sedikit masa.”

Pada hemat saya Khairy datang ke pertemuan itu dengan keputusan muktamad. This is obvious. Keputusan “muktamad” itu ialah tolak pelawaan Muhyiddin. Ini jelas kerana jika tidak apa perlunya Muhyiddin meminta Khairy “fikir lagi”, betul tak? Nyata Muhyididn mahu Khairy mengubah pendirian dan datang semula bertemu beliau dengan membawa keputusan yang beliau idamkan.

Tetapi mungkinkah Khairy juga mahu Muhyididn “fikir lagi” dan datang semula dengan tawaran yang lebih menarik? Tidak dapat dipastikan setakat ini. Bagaimanapun berdasarkan kata-kata Khairy sendiri ketika menjawab pertanyaan Shahril, jelas ini sesuatu yang tidak ‘cantik’ buat Khairy.

Meskipun beliau setuju “fikir lagi” atas rasa hormat kepada Muhyiddin yang pernah menjadi bosnya dalam kerajaan suatu ketika dahulu, ‘fikir lagi’ boleh membawa elemen negatif. Contohnya Khairy boleh dilihat sebagai politikus yang tidak punya pendirian, tidak tegas, boleh berdolak dalik atau dipujuk rayu yang berkemungkinan boleh mengubah pendirian ‘muktamad’.

Jika itu tidak bagus untuknya, lebih buruk ialah sesuatu yang dilapor The Star beberapa hari lalu. Memetik sumber akhbar itu melaporkan Khairy akan kekal tanpa menyertai mana-mana parti tetapi “akan berkempen untuk PN” pada enam pilihan raya akan datang.

Dakwaan sumber yang dipetik The Star itu tidak dapat disahkan. Jika benar Khairy tidak menyertai Bersatu atau PAS atau Gerakan tetapi akan kempen untuk PN, beliau akan dilihat sebagai politikus play safe – tidak berani ambil risiko. Khairy yang cukup fasih berbahasa Inggeris pasti tahu akan erti “you can’t have your cake and eat it”.

Situasi yang terbayang ialah dengan berkempen untuk PN, Khairy akan mendapat ganjaran jika PN menang besar pada PRN di negeri tertentu. Tetapi beliau tidak boleh dipersalahkan atau dipertanggungjawabkan jika PN tewas, kerana beliau bukan ahli parti PN. Bijak tetapi teringat juga saya akan ungkapan “berenang dua kolam”. Orang yang dilihat berenang dalam dua kolam umumnya tidak digemari ramai.

Khairy baru-baru ini mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Menurut Khairy, beliau menerima undangan Pejabat Perdana Menteri dan bertemu Anwar bersama individu lain termasuk Naib Presiden Umno Johari Ghani, yang pernah memegang jawatan menteri kewangan II dalam pentadbiran Najib Razak.

“Ini bukan tentang politik tetapi lebih kepada idea berkaitan ekonomi dan sebelum mesyuarat berakhir, perdana menteri berkata beliau mungkin akan memanggil semula kumpulan saya dalam masa sebulan untuk melihat draf naratif ekonomi Madani untuk kami teruskan memberi input. Jadi bagi saya tiada masalah walaupun saya bukan ahli PH atau BN yang menjadi teras kerajaan sedia ada,” Khairy dipetik berkata. Bagi saya ini sesuatu yang boleh dipuji.

Namun berbalik soal langkah politik beliau seterusnya. Khairy tidak punya banyak pilihan seperti yang dihuraikan artikel saya siaran FMT 14 Jun lalu bertajuk “Khairy Jamaluddin di persimpangan”.

Pun begitu Khary mesti buat keputusan muktamad dan menjelaskan pendirian secepat mungkin, sama ada terima atau tolak tawaran Muhyiddin atau sertai parti lain atau kekal ahli politik tanpa parti.

Teringat pula lagu “Jangan Tunggu Lama-lama”, nyanyian Ramli Sarip:

“Jangan tunggu lama lama nanti lama lama ia makin menyeksa.”

Elok rasanya Khairy meneliti lirik itu.

Catatan Pangkor buat menteri

Muhaimin Sulam

Ini catatan yang terlahir seusai lawatan kerja Salahudin Ayub ke Pulau Pangkor pada hujung minggu lalu. Dia hadir untuk sesi temu mata dengan kami.

Mungkin perjumpaan itu agak lewat namun ia tetap bermakna. Setelah lebih tujuh bulan menjadi menteri, itulah waktu dia berkesempatan menadah telinga untuk mendengar cerita dan cita-cita orang Perak.

Agenda pengukuhan pemerintahan melalui peranan parti agak jarang dibincangkan secara formal. Hal itu sebenarnya penting kerana ada fikiran yang menganggap hanya menteri, waibi dan pihak berkuasa yang berhak mengukuhkan pemerintahan.

Tetapi mereka gagal menyedari bahawa kadang-kadang golongan itulah yang boleh menjadi golongan yang melemah serta meruntuhkan.

Sekurang-kurangnya dengan adanya pertemuan di Pulau Pangkor itu dapatlah ditampung kelompangan atau kekurangan dalam memobilisasi potensi parti di akar umbi. Setidak-tidaknya Salahuddin dilihat memahami makna keutamaan dalam jemaah siasah.

Salahuddin memilih untuk bertemu di dewan perbincangan secara santai sambil menikmati deruan angin pantai dan suara ombak. Dia boleh sahaja memilih kedai mamak atau kedai kopi hipster untuk bersembang dengan kawan-kawan dalam senggang masa rasminya sebagai menteri. Dia menteri.

Biar berbeza dengan sesetengah pihak, meraikan dan menghormati perbezaan itu sangat penting. Itulah yang membezakan antara kami dengan Salahuddin.

Dia di atas, kami di bawah; tapi itu bukan bermakna wujud takah-takah pemisah sebagai darjat kehidupan.

Semalaman dia bertemu dengan pimpinan akar umbi Perak. Salahuddin masih Salahuddin yang dulu - bicaranya teratur dan fokus. Bijak dia memainkan tutur bicara dengan kata dan rasa.

Tetapi jangan lupa bahawa kami juga bijak mengukur panjang pendek akalnya.

Masyarakat demokrasi memang kritis. Jika tidak berdepan, mereka berselingkuh di belakang.

Banyak menuntut kesabaran

Tidak semua dipenuhi tetapi sekurang-kurangnya rasa kesal, kecewa dan resah dikikis sedikit sebanyak. Bebanan sebagai parti pemerintah tidak seimbang dengan keupayaan dan peluang yang ada.

Politik itu banyak fatamorgananya. Bimbang cinta menjadi benci. Berahi kehilangan semangat. Kesetiaan bertukar khianat.

Tiba-tiba di celah basa basinya itu, teringatkan deklamasi Ken Zuraida pada puisi Ali Topan yang bertajuk Kepada Cinta:

Kepada cinta aku bertanya: "Mengapa benci marak di sini?"
Kepada doa aku bertanya: "Mengapa dusta laris di sini?"
Kepada berita aku bertanya: "Mengapa fakta dikhianati?"
Kepada sastera aku bercerita tentang kata-kata yang berubah arti.

Cinta berbisik kepada kepada sunyi
Banyak orang gelap nurani.

Doa berpesan pada sepi
Banyak orang berlagak suci.

Ceh!

Puisi itu benar-benar menghentak kemunafikan manusia sama ada dalam bercinta, beribadah, berhubungan hatta dalam menikmati keindahan dan keasyikan.

Itu antara mesej Salahuddin kepada kami yang boleh dikongsi di sini. Memang dia tidak berpuisi begitu tetapi kurang lebih kata-kata yang boleh dihampar sedemikianlah.

Oleh kerana itu orang bawahan dan pertengahan dalam parti perlu meningkatkan fikah memerintah terutamanya dalam kemahiran syariah negosiasi. Juga menyantuni perkongsian kuasa dan bernegara dengan rakan dan bekas lawan.

Banyak yang menuntut kesabaran dan kearifan bersiasah. Usah dihitung pengorbanan rasa dan harta.

Fikah melawan, bertempur dan berperang bukanlah yang hendak dipraktikkan kecuali sekadar sebagai ilmu, kemahiran yang boleh dikongsikan dalam melayan sejarah bersama sewaktu zaman silam.

Hindarkan diri daripada berlawan sesama kawan di bahtera sendiri. Bukan apa, dibimbangi darah kawan itulah yang nanti menenggelamkan bahtera, bukan ombak di luar sana.

Salahuddin ialah menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup yang dahulunya dikenali sebagai  kementerian hal ehwal pengguna. Entah kenapa istilah ‘pengguna’ tidak lagi digunakan secara rasmi pada nama kementerian itu.

Mungkin enggan diasosiasi dengan nafas sosialis yang akrab dengan konsumerisme?

Pada masa sama perlu diinsafi bahawa Istilah ‘rahmah’ yang didukung Salahuddin ke mana-mana itu belum pasti memiliki kuasa politik. Ia lebih kepada kecenderungan semasa.

Kementerian dia adalah kementerian berkaitan hal-hal menjaga mulut, perut dan usus rakyat.

Dia sewajarnya memasukkan silibus hal ehwal politik dalam kurikulum kementerian. Apa makna sebuah negara demokrasi dan madani jika masyarakatnya naif tentang kuasa pengguna dan menggunakan kuasa?

Tiada jalan singkat untuk bahagia

Salahuddin wajar mendidik rakyat menjadi pengguna kuasa politik daripada dimanupulasi politikus penunggang idealisme beragama dan bangsa.

Kewajaran ini adalah fundamental kepada pembinaan masyarakat madani.

Pentas demokrasi ini adalah pasaran kuasa yang terbuka luas. Pemain-pemainnya bukan setakat ahli politik. Sang birokrat, istana, sarjana, lebai, artis dan segala macam rupa yang menjadi warga pada tanah air ini terlibat sama ada secara langsung atau tidak dalam meraih kuasa.

Makenisme pasaran kuasa dan barangan tidak berdasarkan permintaan dan penawaran yang dapat diukur melalui angka dan fakta.

Pasaran kuasa dan barangan lebih banyak ditentukan oleh sentimen, propaganda dan madu bersalut racun daripada angka dan fakta.

Dalam dunia sebegini, tiada jalan singkat untuk berasa bahagia, adil dan sejahtera melainkan terus berpegang bara kesabaran selagi termampu.

Inilah yang boleh kami di bawahan lakukan.

Jangan biarkan kesabaran itu diasak sehingga ke dinding, dan kebijaksanan tersingkir!

Tak perlu fikir lagi tentang KJ - Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu

FMT Reporters

PETALING JAYA: Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu berkata, persoalan sama ada bekas pemimpin Umno Khairy Jamaluddin akan menyertai parti itu atau sebaliknya tidak lagi perlu difikirkan.

Beliau berkata, banyak perkara lain yang perlu diberi perhatian, berbanding hanya tentang seseorang pemimpin politik, kerana mereka “datang dan pergi”.

“Saya harap kita tak perlu terlalu fikir tentang seorang pemimpin, tapi perlu bimbang keadaan kos sara hidup rakyat begitu tinggi dan sebagainya yang perlu diberi keutamaan.

“Pemimpin politik datang dan pergi, kita semua sepatutnya beri fokus untuk pelihara rakyat, berbanding memikirkan di mana seseorang nak bertanding,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Bilik Gerakan PN Negeri Sembilan di Seremban, menjawab persoalan tentang kedudukan bekas Ahli Parlimen Rembau itu dengan Bersatu, lapor Sinar Harian.

Faizal bagaimanapun berkata, beliau menghargai pemimpin seperti Khairy yang mengutamakan rakyat berbanding kedudukan politiknya.

“Saya lihat beliau sebagai seorang tokoh pimpinan yang sanggup bekerja untuk rakyat dan negara dalam apa juga kapasiti. Itu jauh lebih penting,” katanya.

Dilaporkan sebelum ini bahawa Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin enggan mengulas lagi mengenai tawaran kepada Khairy untuk menyertai Bersatu.

Muhyiddin yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, Khairy sudah menjelaskan mengenai tawaran itu di podcast Keluar Sekejap.

Dalam episod terbaru Keluar Sekejap pada Rabu, Khairy berkata, beliau memohon “masa tambahan” untuk memikirkan tawaran menyertai Bersatu yang dibuat Muhyiddin bulan lepas.

Ekonomi rakyat merosot, lembu korban banyak tak laku

JAMLIAH ABDULLAH
ZAINOL ABIDIN melihat lembu ternakan yang dipelihara untuk ibadah korban di Jalan Sintok, Jitra semalam.
JITRA – Penternak lembu di daerah ini mendakwa, tempahan haiwan ternakan itu bagi ibadah korban pada tahun ini menurun sebanyak 20 peratus berbanding tahun lepas.

Seorang penternak yang juga Pengarah Urusan Fatimah MZ Agro Farm Sdn. Bhd., Zainol Abidin Mohamad, 65, berkata, setakat ini, pihaknya hanya berjaya menjual 110 daripada 300 lembu yang disediakan bagi ibadah itu.

“Berbanding tahun lepas, kita berjaya jual 200 lembu, mungkin situasi ini disebabkan faktor ekonomi semasa,” katanya di ladang ternakannya di Jalan Sintok, dekat sini semalam.

Menurutnya, pihaknya masih mengekalkan harga lembu antara RM5,400 hingga RM6,000 seekor mengikut saiz di sebalik kenaikan harga dedak.

“Kalau nak kurangkan lagi harga lembu, agak susah sebab kita terpaksa tanggung kos makanan lembu yang agak tinggi,” ujarnya.

Tambahnya, pihaknya masih membuka tempahan lembu korban sama ada secara hidup atau tompok sehingga 28 Jun ini.

“Kita juga menyediakan servis penyembelihan kepada pelanggan yang berhasrat memudahkan urusan ibadah korban mereka.

“Pelanggan boleh datang ambil daging sahaja, semua pro­ses menyembelih dan melapah diuruskan pihak ladang,” kata­nya.

Sementara itu, seorang penternak dari Pokok Sena, dekat sini, Ramli Abu Bakar, 52, berkata, sambutan untuk lembu korban pada tahun ini agak kurang memberangsangkan.

“Agak lembab, saya menyediakan 90 ekor lembu berbanding 100 ekor pada tahun sebelum ini.

“Sekarang saya hanya me­nerima tempahan sebanyak 50 ekor lembu dan berharap sebelum 28 Jun ini, semua habis ditempah.

“Hal ini berlaku mungkin ke­rana sekarang ba­nyak persai­ngan memandangkan ramai penternak menyediakan lembu korban, selain banyak orang masih terkesan dengan pandemik Covid-19,” katanya yang sudah 14 tahun menjadi penternak.

Ujarnya, kenaikan harga makanan ternakan terutama dedak ketika ini turut mempengaruhi harga haiwan antara RM4,000 hingga RM5,300 seekor.

Kelantan: Seorang maut, seorang terselamat ketika luncur udara

Amalina Alias
am@hmetro.com.my

Bachok: Seorang maut dan seorang selamat dalam kejadian lemas di Pantai Irama, petang tadi.

Kedua mangsa dipercayai sedang melakukan aktiviti luncur udara (paragliding) sebelum berlaku kejadian.

Mereka dipercayai terjatuh kira-kira 120 meter dari menara Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Kes ustaz Ebit Lew: Kumpulan WhatsApp ada gambar, video lucah ditemui dalam telefon bimbit

Bernama

TENOM: Seorang saksi dalam perbicaraan kes pendakwah Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew memberitahu Mahkamah Majistret ada satu kumpulan WhatsApp mengandungi gambar dan video berunsur lucah ditemukan dalam telefon bimbit yang diterimanya pada 8 Okt 2021.

Juruanalisis Kanan Audio Video Polis, Latifah Abdul Aziz, 43, berkata telefon bimbit itu dihantar ke makmal forensik polis kira-kira pukul 12.02 tengah hari oleh pegawai penyiasat.

Saksi pendakwaan ketujuh itu berkata telefon bimbit itu disimpan dalam keadaan selamat, sebelum dikeluarkan pada 22 Okt 2021 untuk proses analisis namun telefon bimbit itu mempunyai kata laluan.

“Saya menghubungi pegawai penyiasat untuk mendapatkan kata laluan bagi membolehkan akses oleh sistem analisis dan diberikan pada hari yang sama…saya kemudian jalankan analisis terhadap telefon bimbit itu sebelum menemukan kumpulan WhatsApp itu,” katanya.

Latifah berkata demikian semasa pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad yang bertanya hasil analisis saksi terhadap telefon bimbit yang diterimanya itu.

Lew, 37, yang diwakili peguam Ram Singh berdepan 11 pertuduhan, antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan menghantar perkataan dan gambar lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Majistret Nur Asyraf Zolhani kemudiannya menetapkan perbicaraan disambung dari 16 hingga 18 Ogos depan.

'Anak tak mengaku dia lahirkan bayi tapi saya nampak lelehan darah di betisnya'

Siti Rohana Idris
am@hmetro.com.my

Tumpat: Bayi perempuan ditemukan di belakang rumah di Kampung Geting, di sini, dipercayai baru dilahirkan oleh seorang remaja.

Bayi itu disyaki dilahirkan jam 9.30 pagi oleh remaja berusia 18 tahun secara bersendirian tanpa pengetahuan keluarga.

Ibu remaja itu yang mahu dikenali sebagai Liza, 37, berkata, dia dihubungi anak perempuannya itu memaklumkan terdengar jeritan bayi dari belakang rumah dan mendakwa ada individu membuang bayi.

"Saya ketika itu sedang bekerja di kedai kopi dan selepas menerima panggilan anak, saya tidak terus pulang kerana sedang membungkus nasi untuk pelanggan.

"Tidak lama kemudian, anak menelefon sekali lagi dan saya meminta seorang saudara ke lokasi yang diberitahu untuk memastikan kesahihan berita itu.

"Selepas keadaan di tempat kerja sedikit tenang, saya pulang ke rumah dan melihat jiran sedang memangku bayi perempuan dan saya terus bertanyakan anak perempuan adakah bayi itu anak dia namun dia nafikan," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.

Liza yang berasal dari Sungai Golok, Thailand berkata, jiran memberitahu bayi perempuan itu ditemukan dalam keadaan berbogel dan sudah kebiru-biruan manakala tali pusat sudah dipotong dan uri pula siap ditanam tidak jauh dari tempat bayi itu ditemukan.

Menurutnya, anaknya masih belum berkahwin dan tidak tahu jika remaja itu mengandung kerana fizikalnya yang memang semula jadi berisi.

Dia berkata, anaknya itu baru menetap bersamanya sejak Ramadan lalu selepas bapa kandung yang juga bekas suami Liza meninggal dunia akibat serangan strok.

"Saya mendesaknya untuk mengaku bahawa bayi perempuan itu anaknya tapi dia enggan sebaliknya mendakwa lelehan darah yang turun di betisnya adalah kerana datang bulan.

"Buntu memikirkan perkara itu menyebabkan kami terpaksa menghubungi polis dan anak serta bayi perempuan itu dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut," katanya yang sedang hamil enam bulan bersama suami baru.

Liza berkata, anaknya itu tidak menunjukkan perubahan ketara sebaliknya memberitahu rasa kurang sihat dan terasa lapar ketika bangun dari tidur kira-kira jam 1 pagi tadi.

Menurutnya, sebelum turun bekerja ke kedai kopi jam 4 pagi, Liza sempat memasak untuk remaja perempuan itu yang dikatakan demam tanpa memikirkan apa-apa yang pelik.

"Beberapa jam selepas itu saya dikejutkan dengan berita penemuan bayi perempuan oleh anak dan lebih mengejutkan ia mungkin dilahirkan anak saya sendiri," katanya.

Sementara itu, Asisten Komisioner Amran Dolah mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan bayi perempuan itu dan siasatan lanjut sedang dibuat.

Bekas calon BN didakwa 77 tuduhan tipu jual beli rumah, tanah

FMT Reporters
Hamidah Muhamad ketika dibawa ke Kompleks Mahkamah Taiping di mana dia mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Majistret atas 77 tuduhan menipu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Seorang wanita yang pernah bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) pada PRU15 didakwa di dua Mahkamah Majistret berasingan di Taiping atas tuduhan menipu jual beli rumah dan tanah yang tidak wujud.

Hamidah Muhamad, 47, didakwa atas 77 tuduhan menipu dan memperdaya mangsa untuk membeli hartanah itu.

Dia dituduh menyebabkan empat mangsa mengalami kerugian kira-kira RM350,000, lapor Sinar Harian.

Hamidah mengaku tidak bersalah atas semua tuduhan.

Bagi 38 tuduhan pertama mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Hamidah didakwa menipu tiga beradik Razhiyah, Robiah dan Faridah Salleh, serta seorang lagi individu dengan memperdayakan mereka membeli sebuah rumah dan sebidang tanah di Mukim Assam Kumbang, Taiping hingga mendorong mereka memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun.

Dia dituduh menyebabkan tiga beradik itu dan Efendi Zainuddin mengalami kerugian lebih RM200,000, antara 2021 hingga 2022.

Tuduhan dibacakan dihadapan Majistret R Prabakaran, yang membenarkan Hamidah diikat jamin RM12,000 dengan dua penjamin dan mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Di mahkamah berasingan, ibu kepada empat anak itu juga mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Nur Atiqah Sapari atas 39 tuduhan menipu tiga beradik itu menyebabkan mereka mengalami kerugian lebih RM150,000.

Semua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda.

Kedua-dua mahkamah menetapkan 31 Julai ini untuk pengurusan kes.

Menurut The Star, Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Siti Nur Amalina Harun manakala Hamidah diwakili S Ingaradivel.

Pada PRU15 Hamidah dinamakan sebagai calon BN untuk bertanding di DUN Jelapang di Perak. Hamidah daripada Makkal Sakthi, parti yang dianggap sebagai “Friends of BN.

Bagaimanapun, Hamidah tewas kepada calon DAP dalam saingan tiga penjuru.

Roslan Shah kecewa sikap pendakwah terkenal

KOSMO!
Roslan Shah
PETALING JAYA – Selebriti dari Singapura, Roslan Shah mengakui dirinya sedikit kecewa dengan sikap pengurusan seorang pendakwah terkenal Malaysia yang tidak memaklumkan tentang kehadiran beliau di satu karnival di negara jiran itu yang bermula hari ini.

Jelasnya, dia tahu tentang ketidakhadiran pendakwah terkenal itu selepas dimaklumkan oleh penganjur kernival yang melihat pendakwah tersebut dan isteri memuatnaik gambar mereka yang berada di Mekah ketika ini.

“Saya terkejut, sebab saya dihubungi oleh pengurusnya sebelum ini yang menyatakan minat untuk menyertai karnival tersebut. Saya telah memaklumkan kepada penganjur dan penganjur telah sediakan tapak perniagaan serta menempah hotel kepada mereka.

“Saya kecewa dengan keadaan ini, tidak tahu silap siapa? Pengurus atau dia sendiri. Tidak mungkin pergi Mekah mengejut macam ni, setahu saya mesti ada tempoh untuk sediakan visa,” jelas Roslan Shah kepada Kosmo! hari ini.

Tambah pengacara itu lagi, tiada perjanjian sah atau hitam putih antara beliau dengan pengurus pendakwah itu disebabkan kepercayaan dan kejujuran yang mereka ‘tonjol’ selama ini.

“Ya, saya akui tiada perjanjian hitam putih. Tapi saya kecewa dengan kepercayaan yang saya beri sehingga saya terpalit dalam hal ini, saya risau orang dah tak percaya saya.

“Saya percaya atas dasar kita sama-sama Islam, dengan apa yang ditunjuk selama ini berbeza dengan apa yang dilakukan. Jujur saya tidak akan bayar ganti rugi kepada penganjur,” katanya.

Terdahulu, kecoh di media sosial berkenaan seorang pendakwah terkenal telah menjadi punca pihak penganjur sebuah acara jualan mengalami kerugian puluhan ribu ringgit kerana ketidakhadiran beliau.

Perkara tersebut dibangkitkan oleh Roslan Shah di mana pendakwah tersebut sebelum ini didakwa bersetuju untuk hadir ke acara tersebut yang diadakan di Singapura bermula esok.

Bagaimanapun, pihak pengurusan terkejut melihat pendakwah terbabit kini berada di tanah suci Mekah dan mendakwa tidak dimaklumkan. – KOSMO! ONLINE

Lelaki ini didakwa belasah isteri dengan kayu golf, baton besi dan buluh

Meor Riduwan Meor Ahmad
am@hmetro.com.my
AZWAN didakwa sengaja mencederakan isteri hingga parah guna kayu golf, baton besi dan buluh, Isnin lalu. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
AZWAN didakwa sengaja mencederakan isteri hingga parah guna kayu golf, baton besi dan buluh, Isnin lalu. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Melaka: Pengemas penginapan didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas tuduhan mencederakan isterinya dengan kayu golf dan baton besi gara-gara mengetahui mangsa curang dengan lelaki lain, Isnin lalu.

Azwan Azman, 32, yang dituduh mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama 326A kanun sama mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Mengikut pertuduhan dia didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah kepada Noraishah Ya'acob, 28, dengan menggunakan kayu golf, baton besi dan buluh.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Seri Emas 3, Taman Seri Telok Mas, di sini, pada 19 Jun lalu, jam 3.30 pagi.

Seksyen 326 dan 326A KK memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, N Sivashangari yang menjalankan pendakwaan membantah jaminan diberikan mengambil kira kecederaan parah dialami mangsa.

Peguam Muhammad Syah Azlan Abdullah bagaimanapun memohon jaminan rendah diberikan terhadap tertuduh yang juga bapa dua anak sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara.

Katanya, ibu tertuduh bersedia menjadi penjamin dan hanya menyediakan wang RM4,000.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dilepaskan dengan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 1 Ogos depan bagi pengurusan kes dan serahan dokumen.

MP PKR yang menyertai 'Langkah Sheraton' akan terima habuan

'Khianati' PKR: Tindakan undang-undang terhadap bekas ahli mungkin diteruskan - Fahmi
Malaysiakini

PKR mungkin mempertimbangkan untuk meneruskan tindakan undang-undang terhadap beberapa bekas ahlinya yang telah mengkhianati parti sebelum ini, kata Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil.

Beliau berkata perkara ini berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang memerintahkan bekas Naib Presiden PKR Datuk Zuraida Kamaruddin membayar RM10 juta kepada parti berkenaan kerana melanggar syarat bon yang mengikatnya kepada parti itu.

“Dalam Mesyuarat Pimpinan Pusat PKR akan datang mungkin ada perbincangan di mana tindakan terhadap Zuraida telah diambil dan ada keputusan sebegini…

“Bukan beliau sahaja yang melompat parti pada waktu itu tetapi ada sejumlah yang lain.

“Maka PKR mungkin meneruskan tindakan undang-undang kepada mereka yang telah mengkhianati parti,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Parlimen Lembah Pantai di Kuala Lumpur hari ini.

Hakim Datuk Akhtar Tahir membenarkan saman PKR itu selepas mendapati bon tersebut merupakan kontrak yang sah dan mengikat malah mahkamah juga memerintahkan Zuraida untuk membayar kos RM50,000.

Mengalu-alukan keputusan Mahkamah Tinggi itu, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi dan Digital berkata ia juga membuktikan pendirian PKR bahawa tindakan lompat parti adalah tidak berprinsip walaupun Zuraida melanggar kontrak itu semasa negara belum melaksanakan Akta Anti Lompat Parti.

“Sebab itu PKR mengenakan bon kepada beliau (Zuraida) dan kepada semua yang bertanding (pilihan raya) atas tiket PKR,” kata beliau dan mengingatkan semua ahli PKR supaya tidak sesekali mengkhianati parti itu.

Gambar fail, Langkah Sheraton.

Pada Februari 2020, seramai 11 ahli parlimen mewakili PKR termasuk Zuraida mengisytiharkan keluar parti serta Pakatan Harapan (PH) dan antara yang turut keluar ialah bekas Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Sementara itu, mengenai Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang SPM itu, Fahmi berkata seramai 34 pelajar kawasan Parlimen Lembah Pantai telah menerima sumbangan wang tunai sebagai tanda memberi semangat setelah mendapat keputusan cemerlang dalam SPM tahun lepas.

“Ini adalah sebahagian usaha saya sebagai Ahli Parlimen untuk membantu mereka yang ramai daripada keluarga B40 dan M40 dengan harapan anak-anak ini dapat meneruskan pelajaran.

“Semoga mereka juga dapat mendampingi dan mempelajari pelbagai teknologi baharu seperti kecerdasan buatan dan mengikuti trend terkini supaya mereka bersedia untuk memasuki alam pekerjaan nanti,” kata Ahli Parlimen Lembah Pantai itu.

- Bernama

Najib tarik balik rayuan untuk dokumen keluarga Zeti, Jho Low

V Anbalagan

PUTRAJAYA: Bekas perdana menteri Najib Razak yang dipenjarakan menarik balik rayuannya di Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan dokumen berkaitan syarikat yang dikawal keluarga bekas gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz serta ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Peguam utama, Shafee Abdullah memberitahu panel tiga hakim dipengerusikan Abang Iskandar Abang Hashim bahawa penarikan balik itu dibuat tanpa prejudis.

“Kami akan membangkitkan perkara ini semasa perbicaraan 1MDB (di Mahkamah Tinggi) dan di peringkat rayuan,” katanya.

Shafee berkata pihak pendakwaan tidak akan membantah permohonan itu apabila saksi memberi keterangan dalam perbicaraan.

Mahkamah perintah Zuraida bayar RM10 juta kepada PKR

Hidir Reduan Abdul Rashid

Mahkamah sivil memerintahkan Zuraida Kamaruddin membayar RM10 juta kepada PKR kerana berpaling tadah daripada parti itu selepas menang kerusi parlimen Ampang buat kali ketiga pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pagi ini membenarkan tuntutan mahkamah bon RM10 juta daripada PKR terhadap bekas menteri itu, yang kehilangan kerusi Ampang kepada wakil PKR Rodziah Ismail pada PRU15 tahun lepas.

Peguam parti itu Navpreet Singh mengesahkan keputusan yang disampaikan oleh hakim mahkamah sivil Akhtar Tahir semasa prosiding dalam talian.

“Mahkamah membenarkan tuntutan plaintif (PKR) yang meminta defendan membayar RM10 juta kepada pihak di bawah bon itu.

“Mahkamah mendapati bon itu adalah kontrak yang sah dan mengikat. Mahkamah berpandangan bahawa RM10 juta itu bukan tidak seimbang tetapi jumlah yang munasabah untuk bertindak sebagai sekatan bagi menghalang ahli parti daripada bertindak bertentangan dengan kepentingan parti; dan bahawa jumlah yang kurang tidak akan menjadi penghalang.

"Kos RM50,000 juga diberikan memihak kepada plaintif," kata Navpreet kepada media.

Semasa perbicaraan penuh tindakan sivil itu pada 29 Mac, Setiausaha Agung PKR yang juga Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail memberi keterangan bahawa Zuraida menang kerusi Ampang kerana bertanding di bawah panji parti dan bukan atas kekuatan sendiri.

Di mahkamah perbicaraan pada 30 Mac, Zuraida memberi keterangan bahawa dia tidak mengetahui butiran bon RM10 juta itu dan mendakwa dia dipaksa menandatanganinya sebelum bertanding di kawasan parlimen itu.

Zuraida merupakan bekas naib presiden PKR yang kemudian menyertai Bersatu dan selepas itu menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) serta kini terlibat dalam pertikaian dengan Presiden PBM Larry Sng.

Kapal selam meletup berhampiran bangkai Titanic, semua maut

AFP
KAPAL selam Titan. FOTO OceanGate Expeditions / AFP
KAPAL selam Titan. FOTO OceanGate Expeditions / AFP
Boston: Kesemua lima orang di dalam kapal selam yang hilang berhampiran bangkai kapal Titanic meninggal dunia selepas kapal mereka mengalami apa yang dikatakan oleh Pengawal Pantai AS pada Khamis sebagai "letupan bencana" di laut dalam.

Pengumuman suram itu menamatkan operasi mencari dan menyelamat multinasional sejak kapal pelancong kecil itu hilang di Atlantik Utara empat hari lalu.

Laksamana Muda John Mauger memberitahu wartawan di Boston bahawa analisis menunjukkan serpihan yang ditemukan di dasar laut, 1,600 kaki (500 meter) dari Titanic, adalah konsisten dengan letupan ruang tekanan kapal selam itu.

"Bagi pihak Pengawal Pantai Amerika Syarikat dan seluruh perintah bersatu, saya mengucapkan takziah kepada keluarga," kata Mauger.

Di dalam kapal selam itu, penjelajah British, Hamish Harding: pakar kapal selam Perancis, Paul-Henri Nargeolet; taikun Pakistan-British Shahzada Dawood dan anaknya Suleman, dan Stockton Rush, Ketua Pegawai Eksekutif pengendali kapal selam OceanGate Expeditions.

OceanGate berkata: "Kami bersedih atas kehilangan nyawa dan kegembiraan yang mereka bawa kepada semua orang yang mereka kenali."

Pengawal Pantai mengumumkan awal Khamis bahawa robot bawah air menemui "medan serpihan" di kawasan pencarian.

Penganalisis: Tak mustahil PAS tuntut jawatan MB Selangor jika PN menang

Nora Mahpar

PETALING JAYA: Pemerhati politik berpandangan tidak mustahil PAS akan menuntut jawatan menteri besar Selangor sekiranya Perikatan Nasional (PN) menawan negeri itu pada PRN kelak, walaupun Bersatu menegaskan tampuk kerajaan negeri ‘milik’ mereka.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara tidak menolak kemungkinan itu sekiranya PAS memenangi lebih banyak kerusi berbanding Bersatu, bahkan parti itu boleh mewajarkan tuntutan dengan alasan pengaruh lebih besar dan pernah mentadbir bersama Pakatan Rakyat.

“Sememangnya akan jadi masalah sekiranya PAS dapat kerusi terbanyak dalam satu-satu negeri berbanding Bersatu,” katanya kepada FMT. “Sudah pasti PAS akan mendakwa orang dia yang sepatutnya jadi menteri besar walaupun sebelum ini Bersatu telah mengesyorkan ‘poster boy’ daripada mereka.”

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang juga pengerusi PN pada Mac berkata jawatan menteri besar Selangor dan Negeri Sembilan akan diberi kepada Bersatu sekiranya PN menang PRN akan datang.

“Jika PAS menang lebih banyak kerusi adakah mereka akan menuntut jawatan menteri besar? Itu satu kemungkinan tetapi mereka boleh berunding,” kata Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

“Walaupun peranan PAS tidak sebagai menteri besar, mungkin PAS akan diberi jawatan timbalan menteri besar di Negeri Sembilan dan Selangor. Itu sebagai langkah kompromi sekiranya dua pihak berkeras menuntut jawatan menteri besar.”

Beliau percaya jawatan nombor satu itu wajar diberikan kepada Bersatu walaupun kemungkinan besar PAS menang lebih banyak kerusi, kerana Selangor perlukan pentadbir yang berfikiran dinamik.

“PAS agak ‘kurang’ di situ,” katanya. “Iklim dan suasana politik serta pemikiran rakyat di Selangor agak sesuai dengan pendekatan Bersatu.”

Azmi berkata Muhyiddin mungkin merasakan bahawa meletakkan PAS sebagai ‘watak utama’ di Selangor akan menawarkan hati pengundi Melayu di negeri itu, yang berbeza dengan pengundi di Kedah, Kelantan, dan Terengganu dari segi tingkah laku dan citarasa.

“Jika mereka melihat contoh (kepimpinan) MB dari PAS mentadbir negeri, ia boleh menimbulkan persepsi negatif; jadi sebab itu Muhyiddin terlebih dahulu menyatakan menteri besar datang dari Bersatu,” katanya.

Sebelum ini, Muhyiddin berkata hasil rundingan dengan PAS menyimpulkan Kedah, Kelantan, dan Terengganu milik PAS sementara Pulau Pinang akan ditentukan menerusi bilangan kerusi yang dimenangi oleh parti-parti komponen PN.

PN juga dilaporkan mahu menamakan bekas menteri besar, Azmin Ali, sebagai “poster boy” di Selangor namun ditentang akar umbi PAS.

Teresa Kok nasihat Adun PAS dosa sebar fitnah

‘Dosa dari segi agama’, Teresa nasihat Adun PAS muat naik poster palsu lantikan pengerusi Felda
Teresa Kok berkata Khalil Yahaya sebagai Adun Kubu Gajah sepatutnya lebih berhati-hati sebelum memuat naik sebarang maklumat.

FMT Reporters
Naib Pengerusi DAP Teresa Kok menafikan dakwaan beliau dilantik menjadi pengerusi Felda baharu.
PETALING JAYA: Naib Pengerusi DAP Teresa Kok membidas tindakan seorang Adun PAS memuat naik sebaran poster yang mendakwa beliau dilantik menjadi pengerusi Felda yang baharu.

Beliau berkata, sepatutnya Adun Kubu Gajah, Khalil Yahaya, perlu lebih berhati-hati sebelum memuat naik sebarang maklumat.

“Jangan jadi penyebar berita palsu. Ini adalah kesalahan di bawah undang-undang, dan juga dosa dari segi agama,” katanya di Facebooknya.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan beliau dilantik menjadi pengerusi Felda.

Terdahulu, Felda menafikan terdapat sebarang pelantikan baharu bagi jawatan pengerusi yang kosong berkuatkuasa 30 Jun.

“Tiada sebarang pengumuman rasmi berkenaan pelantikan pengerusi Felda yang baharu sehingga hari ini 22 Jun 2023. Sebaran poster adalah tidak berkaitan,” katanya dalam kenyataan ringkas.

Kenyataan itu dibuat menerusi Facebook Felda susulan tersebar poster mendakwa Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok telah dilantik menjadi pengerusi baharu.

Dalam pada itu, Khalil telah membuat permohonan terbuka di Facebook miliknya berhubung sebaran poster melibatkan Teresa.

“Permohonan maaf secara terbuka…posting (hantaran) tadi bukanlah dari pihak Adun tetapi ‘admin’ yang mengelola ‘page’ (halaman),” katanya.

Jawatan pengerusi Felda kosong selepas penyandangnya, Idris Jusoh, mengesahkan berundur daripada jawatan itu berkuat kuasa 30 Jun.

Menerusi laman Facebook, bekas menteri pendidikan tinggi itu menjelaskan, beliau menerima keputusan daripada Pejabat Perdana Menteri bagi memberi laluan kepada lantikan pengganti baharu.

Kes Ebit Lew: '936 tangkap layar sejarah layari laman lucah dalam telefon dianalisis'

Bernama

Seorang saksi dalam perbicaraan kes pendakwah Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew memberitahu Mahkamah Majistret Tenom di Sabah hari ini bahawa sebanyak 936 gambar tangkap layar mengenai sejarah melayari laman sesawang berunsur lucah diperoleh hasil analisisnya daripada sebuah telefon bimbit.

Juruanalisis Kanan Audio Video Polis Diraja Malaysia (PDRM) Latifah Abdul Aziz, 43, berkata daripada jumlah itu 146 gambar tangkap layar adalah berunsur lucah.

"Saya mohon untuk merujuk gambar tangkap layar yang pertama dan terakhir, tempoh sejarah yang berjaya dikenal pasti bermula pada 14 Jun 2020 hingga 19 Ogos 2021," kata saksi ketujuh pendakwaan itu.

Latifah turut memaklumkan dia juga diarahkan untuk menjalankan analisis bagi sebuah lagi telefon bimbit dan menemui lapan imej berunsur lucah.

Dia berkata imej-imej itu adalah daripada aplikasi WhatsApp dan mendapati hanya satu imej sahaja yang mempunyai penambahan pelekat aplikasi WhatsApp.

Semalam, saksi itu memberitahu mahkamah bahawa laman sesawang itu diakses daripada aplikasi Google.

Pada prosiding hari ini, peguam Ebit Lew Ram Singh membantah soalan daripada pihak pendakwaan kepada saksi mengenai sejarah carian menerusi Google.

Peguam itu berkata dia berpendapat tiada bukti dalam sejarah carian melalui Google bahawa sesebuah laman sesawang sebenarnya dilawati sebagaimana dikatakan saksi.

Ram Singh berkata terlalu banyak carian dibuat di dalam telefon bimbit itu yang dianalisis saksi dan tidak relevan kepada pertuduhan.

Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria berkata pihak pendakwaan ingin mengemukakan keterangan yang relevan dengan pertuduhan merujuk kepada carian Google berunsur lucah pada tarikh-tarikh pertuduhan.

Zahida berkata keterangan itu penting untuk menunjukkan perbuatan dan keadaan tertuduh pada tarikh-tarikh tersebut yang melayari laman sesawang berkenaan sebelum menghantar mesej berunsur lucah kepada pengadu.

Lew, 37, berdepan 11 pertuduhan, antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan menghantar perkataan dan gambar lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung esok.

-Bernama

Mahkamah tolak permohonan reman pendakwah bebas

NURUL HIDAYAH HAMID
Mahkamah Majistret Kangar menolak permohonan reman dikemukakan terhadap seorang pendakwah bebas (kiri) pada Khamis.
Mahkamah Majistret Kangar menolak permohonan reman dikemukakan terhadap seorang pendakwah bebas (kiri) pada Khamis.
KANGAR - Mahkamah Majistret Kangar di sini, pada Khamis menolak permohonan reman dikemukakan terhadap seorang pendakwah bebas berhubung kes menggunakan gelaran Datuk yang tidak diiktiraf.

Majistret, Siti Nor Hasliza Md Ali menolak permohonan perintah reman terhadap suspek berasal dari Kedah itu selepas mengambil maklum alasan yang dikemukakan oleh peguam yang mewakilinya.

Pendakwah bebas berusia 33 tahun itu diwakili peguam Nur Iman Nor Azmi, Siti Hajar Ahmad dan Zuhair Ahmad Zakuan serta Nurul Hanani Che Nor.

Nur Iman berkata, mahkamah telah menolak permohonan reman tersebut dan anak guamnya bebas dengan jaminan polis.

"Mahkamah turut tidak membenarkan permohonan reman itu memandangkan anak guam saya merupakan individu yang dikenali dan tidak berpotensi untuk melarikan diri.

"Kini kes tersebut masih dalam siasatan dan anak guam kami bersedia memberi kerjasama kepada polis," katanya.

Sebelum itu, pendakwah bebas tersebut tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kangar di sini, kira-kira jam 9.30 pagi bagi mendapatkan perintah reman sambil diiringi anggota polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop mengesahkan mengenai penahanan pendakwah bebas itu sebelum ini.

Yusharifuddin berkata, pendakwah bebas itu disyaki menggunakan gelaran tidak diiktiraf dan anugerah 'Datuk' berdasarkan hantaran di Facebook pada 1 Mei lepas.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia dan Seksyen 3(2) Akta Kesalahan yang berhubungan dengan Anugerah 2017.

Adun PAS minta maaf kongsi dakwaan Teresa jadi pengerusi baru Felda

Malaysiakini
story-image
Adun Kubu Gajah Khalil Yahaya memohon maaf selepas laman Facebooknya berkongsi dakwaan yang Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok dilantik sebagai pengerusi Felda menggantikan Idris Jusoh.

"Permohonan maaf secara terbuka - hantaran tadi bukanlah dari pihak Adun tetapi admin yang mengelola laman," kata Adun PAS itu di Facebook.

Semalam, Idris berkata khidmatnya sebagai pengerusi Felda tamat lebih awal iaitu pada 30 Jun ini, berbanding tarikh sepatutnya iaitu Mei tahun depan.

“Saya telah menerima keputusan dari Pejabat Perdana Menteri untuk mengundur diri dari jawatan Pengerusi Felda berkuatkuasa pada 30 Jun.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang telah memberi peluang kepada saya untuk menjawat jawatan ini di bawah kepimpinannya,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Terdahulu, satu poster yang mengucapkan tahniah kepada Kok atas "pelantikannya" ke jawatan itu disebarkan di media sosial.

Felda kemudian menafikan pelantikan itu dengan berkata tiada sebarang pengumuman rasmi berkenaan pengerusi baru Felda setakat ini.

"Sebaran poster adalah tidak berkaitan," menurut hantaran itu.

Laman Facebook Khalil turut mengongsikan poster tersebut, diiringi kata-kata: "Hari ini dimaklumkan pengerusi Felda telah ditukar ke YB Teresa Kok, menggantikan Idris Jusoh. Selamat berkhidmat."

Bagaimanapun hantaran itu didapati telah dipadam susulan penafian Felda.

Pelajar tahfiz hilang dalam kebun getah

Bernama
Operasi mencari dan menyelamat Muhammad Naufal Adzimi Mohd Hariss yang hilang di Kampung Tanjong Sejarah, Kampung Tawai di Gerik sejak semalam disambung esok.
IPOH: Hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR) Muhammad Naufal Adzimi Mohd Hariss, 17, yang hilang di Kampung Tanjong Sejarah, Kampung Tawai di Gerik sejak semalam, masih gagal menemui remaja itu dan akan diteruskan esok.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pencarian pada radius tiga kilometer, dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) bersama Pasukan Multi Skill (MUST) bomba dari lokasi terakhir motosikal mangsa ditemukan, namun setakat ini belum menemui sebarang petunjuk.

“Operasi bagaimanapun telah ditangguhkan hari ini sekitar jam 6 petang dan akan disambung esok pagi,” katanya dalam satu kenyataan.

Sabarodzi berkata operasi yang disambung hari ini, dimulakan 10 pagi tadi telah dibahagikan kepada enam kumpulan mengikut laluan yang telah ditetapkan, melibatkan 82 orang daripada agensi kerajaan melibatkan 25 anggota polis, bomba (12), Unit K9 (3), Majlis Daerah Gerik (5), Pejabat Daerah (2) dan 35 orang awam.

Pada Khamis, Balai Bomba Gerik menerima laporan berhubung kejadian seorang remaja lelaki hilang pada 1.33 pagi dengan lokasi terakhir mangsa dilihat di sekitar Kampung Ulu Kenderong, Jalan Air Bertam pada jam 9.00 pagi.

Pelajar sebuah sekolah tahfiz itu dikatakan mengalami gangguan emosi, bagaimanapun tidak pulang ke rumah sehingga petang, sebelum pencarian digerakkan keluarga dan rakan mangsa.

Bagaimanapun usaha mereka hanya berhasil menemukan motosikal yang ditinggalkan mangsa dalam kawasan kebun getah sekitar pukul 6 petang.

'Bila masa saya dan Hamzah bertumbuk?'

Alyaa Alhadjri

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin menafikan khabar angin yang mendakwa wujud keretakan dalam Bersatu.

Bercakap semasa sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat majlis presiden PN, Muhyiddin yang juga presiden Bersatu menyifatkan khabar angin itu sebagai "perang saraf" oleh seteru mereka.

“Tiada langsung masalah antara PAS, Bersatu dan Gerakan.

“Ini dibuat sebab dah tiada modal. Padahal parti paling harmoni ialah PN. PAS, Bersatu, Gerakan tiada masalah langsung. Dalaman masing2-masing pun damai.

“Kami bertengkar pun tiada, sengaja dibuat-buat saja. "Bila masa saya dan Hamzah (Zainudin) bertumbuk? Jangan percayalah. Ini psywar (perang saraf), pihak-pihak cybertroopers dan mereka yang menggunakan media sosial untuk alih dari isu pokok,” katanya.

Muhyiddin merujuk kepada Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin, yang turut hadir di ibu pejabat PN hari ini.

Ahli parlimen Pagoh itu diminta mengulas mengenai laporan media yang memetik sumber yang mendakwa kedua-dua pemimpin Bersatu itu bertelagah berhubung hala tuju Bersatu.

Muktamat: PAS akan bertanding di 126 kerusi, Bersatu 83 kerusi, dan Gerakan 36 kerusi - Muhyiddin

Mohamad Fadli

KUALA LUMPUR: Rundingan kerusi antara parti komponen Perikatan Nasional bagi PRN enam negeri akan datang telah dimuktamadkan.

Pengerusi Muhyiddin Yassin mengumumkan PN akan bertanding di semua 245 kerusi DUN, melibatkan Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, dan Terengganu.

Katanya pada sidang media petang tadi selepas mesyuarat majlis presiden PN, PAS akan bertanding di 126 kerusi, Bersatu 83 kerusi, dan Gerakan 36 kerusi.

“Lambang setakat ini kekalkan Kelantan dan Terengganu pakai lambang PAS, kecuali pimpinan PAS nak guna lambang PN. Yang baki akan guna lambang PN,” katanya.

Muhyiddin memaklumkan bahawa jumlah kerusi baharu bukan penyandang yang akan ditandingi oleh Bersatu adalah 64, PAS 50, dan Gerakan 36.

Menurut laporan media, Dewan Undangan Negeri bagi Kedah akan dibubarkan pada 28 Jun, Pulau Pinang (28 Jun), Selangor (23 Jun), Negeri Sembilan (2 Julai secara automatik), dan Kelantan (22 Jun), manakala Terengganu dijangka bubar selepas 26 Jun.

Serangan MP PAS pada Anwar selektif, berniat jahat

Malaysiakini

Dakwaan seorang ahli parlimen PN bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim hanya mengutamakan program bertemu mahasiswa di universiti dan tidak memberi tumpuan keadaan ekonomi negara disifatkan sebagai tuduhan selektif dan berniat jahat.

Ahli Parlimen Gopeng Tan Kar Hing menganggap dakwaan itu sengaja dibuat untuk menggambarkan Anwar tidak membangunkan ekonomi dan hanya mahu menarik sokongan belia bagi PRN di enam negeri yang akan diadakan.

"Tetapi hakikatnya, perdana menteri telah memperkenalkan tiga tonggak utama dalam usaha meningkatkan pasaran modal bagi pertumbuhan ekonomi, menggalakkan simpanan dan kemasukan pelaburan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tan merujuk ucapan Anwar pada 19 Jun lalu yang menggariskan tiga perkara tersebut, termasuk meluaskan pelaburan mampu milik dengan pengurangan duti setem saham, menarik kumpulan pelabur untuk menyokong pembiayaan Perusahaan Kecil dan Sederhana(PKS) serta pembaharuan struktur untuk pasaran modal dan transformasi ekonomi.

Semalam, Ahli Parlimen Besut Che Mohamad Zulkifly Jusoh (gambar) dilaporkan menggesa Anwar agar menumpukan sepenuh perhatian ke arah menangani kesusahan rakyat dan ekonomi negara berbanding membuat lawatan ke kampus untuk bertemu pelajar.

Che Mohamad yang mewakili PAS itu berkata sesi perjumpaan Anwar dengan pelajar universiti boleh dilihat sebagai program kempen politik secara terbuka di universiti, untuk mempengaruhi undi anak muda menjelang pilihan raya negeri tidak lama lagi.

Mengulas lanjut, Tan mempersoalkan jika Che Mohamad Zulkifly tidak mengikuti perkembangan atau hanya membaca berita secara selektif.

"Jika perdana menteri jarang bertemu dengan mahasiswa, (ahli Parlimen) Besut jugalah yang akan menuduh atas alasan kerajaan tidak peduli belia, kerana fokus dan strategi PN adalah menimbulkan kebencian dan kemarahan dalam kalangan rakyat supaya PN dapat menang dalam PRN,” katanya lagi.

Mengulas isu pembangkang tidak terima peruntukan kerajaan, Tan berpandangan PN sengaja memainkan watak sebagai mangsa supaya kerajaan boleh digambarkan sebagai kerajaan yang zalim.

"Isu ini telah berulang-kali dibangkit dan dibicarakan dalam Dewan Rakyat, dan pendirian kerajaan jelas iaitu pembangkang perlu berunding dengan kerajaan.

"Tetapi PN masih menolak cadangan tersebut supaya mereka boleh terus memainkan watak mangsa di luar dewan bagi menimbulkan perasaan simpati dalam kalangan penyokong,” dakwanya lagi.

Wanita jelita tiduri, menghendap tiga pemain bola sepak terlepas hukuman penjara

KOSMO!
Melissa tiba di mahkamah pada Selasa lalu. - PA
LONDON – Seorang pesohor media sosial yang menggelar dirinya ‘Devil Baby’ terlepas hukuman penjara selepas mengganggu dan mengintai tiga pemain bola sepak Liga Perdana Inggeris, lapor akhbar Mirror UK semalam.

Orla Melissa Sloan, 22, menggunakan 21 nombor telefon untuk mengganggu pemain tengah Chelsea, Mason Mount selama empat bulan antara 19 Jun dan 28 Oktober tahun lalu.

Dia turut mengintai  bekas rakan sepasukan Mount, Billy Gilmour antara 10 September hingga 28 Oktober 2022, serta rakan sepasukan Mount, Ben Chilwell antara 20 hingga 29 Oktober 2022.

Mount, 24, turut bimbang Melissa akan muncul di padang latihan kelab itu, manakala mesej yang dihantar wanita itu menyebabkan Gilmour, 22, tidak dapat tidur.

Di Mahkamah Majistret Westminster, Melissa didakwa meniduri Mount selepas mereka bertemu di sebuah parti di rumah rakan sepasukannya di England, Chilwell pada November 2020.

Pendakwa raya, Jason Seetal berkata bahawa Melissa dan Mount menjalinkan hubungan selama enam bulan sebelum pemain itu memilih untuk berpisah.

“Setelah memutuskan hubungan, Mount mula menerima banyak mesej. Dia meminta Melissa berhenti menghantar mesej sebelum menyekat nombor telefon itu.

“Mount kemudian menerima mesej daripada nombor baharu dan setiap kali dia menyekat nombor itu, dia akan menerima mesej daripada nombor telefon lain,” kata Seetal.

Mahkamah memutuskan bahawa Melissa perlu menjalani pemulihan selama 30 hari dan 200 jam kerja kemasyarakatan tanpa gaji. Dia juga mesti membayar Gilmour £500 (RM2,971), Mount dan Chilwell £300 (RM1,782) setiap seorang serta ditambah kos lain. 

Wanita itu juga dihukum penjara 12 minggu yang digantung selama 18 bulan. Ia bermaksud Melissa tidak perlu menjalani hukuman penjara sekiranya berkelakuan baik sepanjang tempoh itu. – Agensi 

Pas gagal batal saman Mujahid berhubung dakwaan sokongan terhadap LGBT

BERNAMA

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan Pas untuk membatalkan saman fitnah oleh Datuk Seri Dr Mujahid Yusof terhadap parti itu berhubung dakwaan Naib Presiden Amanah berkenaan menyokong budaya songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Peguam Noorazmir Zakaria mewakili Mujahid berkata, Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh yang membuat keputusan itu semalam memerintahkan parti berkenaan membayar kos RM3,000 kepada Mujahid.

"Mahkamah menetapkan perbicaraan kes saman itu pada 24 hingga 26 November 2025," katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Peguam Mohd Faizi Che Abu, mewakili Pas pula berkata mahkamah menolak permohonan parti itu selepas berpendirian terdapat isu yang perlu dibicarakan dalam kes saman itu antaranya sama ada akaun Facebook itu milik Pas atau tidak.

Pada 15 Februari lalu, Pas yang diwakili Setiausaha Agungnya Datuk Seri Takiyuddin Hassan memfailkan permohonan membatalkan saman atas alasan Mujahid selaku plaintif gagal mendedahkan apa-apa kausa tindakan yang munasabah terhadap parti berkenaan.

Mujahid memfailkan saman itu pada 15 Disember 2022, mendakwa pada 16 Oktober tahun sama, Pas selaku defendan dengan niat jahat telah menjatuhkan maruah, mengaibkan dan memfitnahnya dengan membuat atau menerbitkan kenyataan fitnah di ruangan status akaun Facebook parti itu.

Sehubungan itu, beliau memohon suatu perintah supaya Pas menarik balik serta memadam kenyataan fitnah dan gambar plaintif itu dalam tempoh 14 hari dari tarikh penghakiman selain memohon ganti rugi am, teladan dan teruk.

Menerusi pernyataan pembelaan, Pas mendakwa pernyataan tuntutan plaintif adalah cacat dan tidak sah kerana plaintif gagal menamakan pelaku kesalahan yang mempunyai kawalan serta melakukan penerbitan bagi artikel berkenaan.

Tembak kucing jiran, bekas tentera didenda RM20,000

Bernama 
Aziz Tambi dibawa ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh untuk menghadapi tuduhan hari ini. (Gambar Bernama)
MELAKA: Seorang bekas tentera didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh selepas mengaku bersalah menembak seekor kucing jirannya dengan senapang angin tahun lalu.

Aziz Tambi, 63, didakwa melakukan penganiayaan terhadap haiwan dengan menyebabkan penderitaan tidak sepatutnya terhadap kucing milik Amran Majid, 45, dengan cara menembaknya.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Lorong Mat Lajis, Bukit Rambai di Melaka Tengah kira-kira 2.30 petang 18 Jun 2022.

Pertuduhan mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) yang membawa denda minimum RM20,000 dan maksimum RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Asraf Anuar Sharuddin memohon hukuman setimpal ke atas tertuduh bagi memberi pengajaran kepada masyarakat supaya tidak bertindak terburu-buru.

Peguam Ishak Mohd Kari yang mewakili Aziz bagaimanapun merayu hukuman ringan atas alasan tertuduh pernah berjasa kepada negara dan menerima pingat penghargaan, selain tindakan itu diambil kerana lama bersabar dengan jirannya.

Hakim Darmafikri Abu Adam memutuskan denda RM20,000 atau penjara enam bulan, jika gagal bayar denda.

Menteri KDN: Razaruddin, Ayob Khan akan tangani isu 3R

Hariz Mohd

Ketua Polis Negara Razarudin Husain dan Timbalannya Ayob Khan Mydin Pitchay yang baru dilantik hari ini diberitahu untuk memberi tumpuan menangani ucapan kebencian yang menyentuh isu 3R (agama, raja dan kaum).

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail berkata ini antara perkara yang perlu menjadi keutamaan dua pegawai tertinggi pasukan polis itu dalam menggalas tugas baru mereka.

“Isu ini dilihat membimbangkan malah ketika mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah baru-baru ini ada membincangkan mengenai perkara ini,” katanya.

"Itu jelas beri isyarat pada Razarudin dan Ayob Khan, kalau julang awal tugas mereka berdua, kena address isu ini dengan kemas sekali," kata Saifuddin lagi.

Menteri dalam negeri berkata demikian semasa menyampaikan ucapannya pada majlis penyerahan tugas antara Razarudin dan KPN Acryl Sani Abdullah Sani yang akan bersara, di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut semasa sidang media kemudiannya, Saifuddin berkata kenyataan menyinggung perasaan yang menyentuh 3R semakin membimbangkan di negara hari ini.

Justeru, tegasnya, perlu perhatian lebih untuk menangani masalah itu.

PKR dan BN Terengganu tak 'sebulu'?

Muhammad Yusri Muzamir
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: PKR Terengganu mengingatkan rakan sekutunya, Barisan Nasional (BN) supaya memuktamadkan rundingan pembahagian kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) secara harmoni.

Ketua Penerangan AMK negeri, Wan Muhammad Haikal Wan Ghazali, berkata, ia bagi mengelak berlakunya pertikaian semasa proses pengundian.

Beliau berkata, ia berikutan Pakatan Harapan (PH) dan BN memiliki tujuan sama iaitu membentuk kerajaan perpaduan di Terengganu, selaras pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

Katanya, ia sekali gus akan memberi Terengganu nafas baharu dan memperbaiki kelemahan pentadbiran PAS yang menerajui kerajaan negeri selama satu penggal.

"Kenyataan dikeluarkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Said berkenaan kekuatan sebenar UMNO dan PAS di Terengganu dan perlunya Pakatan Harapan (PH), terutama PKR mengukur baju di badan sendiri.

"Kenyataan ini sebenarnya tiada masalah memandangkan PH negeri sejak bertapak di Terengganu melalui dua pilihan raya umum sebelum ini, sememangnya akur kekuatan ini perlu diteruskan melalui gerak kerja pimpinan dan akar umbi yang lebih agresif," katanya malam tadi.

Ahmad Said kelmarin, dipetik berkata, PKR perlu 'ukur baju di badan sendiri' sebelum menuntut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu untuk bertanding pada PRN akan datang.

Beliau dilaporkan berkata, PKR sepatutnya mengambil kira pelbagai aspek termasuk kekuatan jentera dan jumlah penyokong serta ahli akar umbi dimiliki sebelum membuat desakan.

Bekas Menteri Besar Terengganu itu mengulas desakan jawatankuasa PKR Cabang Kuala Terengganu yang menuntut kerusi kawasan DUN Bandar dikembalikan kepada partinya untuk meletakkan calon.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) calon PKR, Azan Ismail yang bertanding atas tiket PAS memenangi kerusi DUN Bandar selepas menewaskan calon BN, Datuk Toh Cin Yaw dengan majoriti 2,159 undi.

Bagaimanapun, Azan gagal mengekalkan kemenangan apabila bertanding atas tiket PKR pada pertandingan tiga penjuru pada PRU14.

Azan hanya memperoleh 3,996 undi manakala calon BN, Toh Seng Cheng hanya mendapat 5,042 undi dan kerusi DUN Bandar dimenangi calon PAS, Ahmad Shah Mohamed yang memperoleh 7,133 undi.

Sementara itu, Wan Muhammad Haikal turut menasihati BN supaya memuktamadkan pembahagian kerusi secara baik, tanpa ada kenyataan mengguris perasaan rakan komponen lain dalam Kerajaan Perpaduan, seperti di lima negeri lagi yang turut berdepan PRN.

"Saya yakin baik kepimpinan utama BN Terengganu, mahupun PH negeri. Kita semua mahu proses rundingan ini selesai secara muktamad dan harmoni tanpa ada berlaku pertikaian semasa proses pengundian.

"Saya juga yakin jika kita mampu menunjukkan kebersamaan lebih kukuh, pasti rakyat lebih yakin untuk bersama dan memberi peluang untuk kita mentadbir Terengganu," katanya.

Raja Petra kena bidas: Jangan ‘play victim’, kamu boleh kembali bila-bila masa

Nicholas Chung
PUTRAJAYA: Penulis blog kontroversi Raja Petra Kamarudin dialu-alukan untuk kembali ke Malaysia tetapi mesti melalui saluran yang betul dan mempunyai dokumen perjalanan yang diperlukan, kata Saifuddin Nasution Ismail.

Menteri dalam negeri itu berkata Raja Petra boleh menghubunginya secara terus jika tidak mempunyai dokumen perjalanan yang diperlukan.

“Kalau dia rindu sangat nak balik ke tanah air, dia pun rakyat malaysia, dia nak balik, dia cuma perlu buat benda yang betul.

“Jalur undang-undangnya adalah dia kena berurusan dengan siapa? Bukan dengan menteri belia dan sukan, bukan menteri pertanian. Dia kena berurusan dengan KDN. Jadi soalannya sudahkah dia berbuat demikian? Kalau sudah, bila surat dihantar, emel kepada siapa? Siapa dalam Bukit Aman yang dia hubungi?

“Untuk Raja Petra, pertama, jangan ‘play victim’. Kedua, kalau dia benar-benar nak datang balik, dia dialu-alukan,” kata Saifuddin media dalam temubual di pejabatnya semalam.

Beliau mendakwa Raja Petra, yang dianggapnya sebagai rakan ketika gerakan Reformasi, telah melarikan diri dari Malaysia untuk mengelak tindakan mahkamah.

Dalam video Twitter yang dimuatnaik pada Selasa, Raja Petra berkata dia telah beberapa kali cuba pulang ke Malaysia malah bertemu Zahid Hamidi berhubung perkara itu ketika menjadi timbalan perdana menteri dalam pentadbiran Najib Razak dahulu.

Dia turut mendakwa telah cuba berunding kembali dengan Bukit Aman “berkali-kali”, malah telah mengadakan rundingan dengan “dua menteri” serta Azalina Othman Said mengenai perkara itu.

“Kerajaan tidak mahu saya kembali ke Malaysia kerana bimbang saya akan membahayakan kerajaan. Itu alasan yang mereka berikan,” dakwanya.

Raja Petra mendakwa dia berjaya memperbaharui pasportnya dengan bantuan Zahid, tetapi tidak mendedahkan bila ia dilakukan atau jika ia telah tamat tempoh sekarang.

Penulis blog itu juga mendakwa tiada kes mahkamah atau pertuduhan yang tertunggak terhadapnya, mengatakan dia telah berjaya menjejakkan kaki di kedutaan dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Thailand, Indonesia, Singapura dan London tanpa sebarang isu.

“Apa sahaja pertuduhan terhadap saya telah digugurkan, pertuduhan itu telah ditarik balik,” dakwanya.

Raja Petra dilaporkan melarikan diri dari negara ini pada 2009 selepas dua waran tangkap dikeluarkan terhadapnya kerana gagal hadir ke prosiding mahkamah berhubung artikel yang didakwa berunsur fitnah yang disiarkan di blognya.

Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan Zahid bercuti 2 minggu

Nicholas Chung

PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi sedang bercuti dua minggu.

Setiausaha agung PKR itu berkata, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim akan menemui Zahid tidak lama lagi bagi memuktamadkan rundingan beberapa kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi PRN di enam negeri.

“(Mereka akan berjumpa) apabila Zahid pulang dari cutinya. Zahid sedang bercuti,” katanya dalam wawancara di pejabatnya semalam.

Saifuddin turut mengesahkan Zahid bercuti dua minggu dan pengerusi BN itu dijangka pulang ke tanah air dalam masa beberapa hari lagi.

Minggu lalu, Anwar menafikan khabar angin Zahid bercuti selama dua minggu.

Rundingan dengan BN mudah, tidak seperti PAS

Saifuddin berkata, rundingan agihan kerusi dengan BN mudah, tidak seperti rundingan pembahagian kerusi PKR dengan PAS dahulu.

Katanya, beliau menganggotai jawatankuasa PKR untuk rundingan agihan kerusi bagi PRU sejak 1999 dan proses itu lebih rumit dahulu.

Beliau berkata, mudah berurusan dengan Umno kerana pemimpin BN lebih bersikap terbuka berbanding PAS yang cenderung membuka “laci bawah meja” apabila rundingan dianggap selesai.

“Yang paling penting apa dia? Sebaik anda bersetuju dengan sesuatu, jangan jadi pengkhianat. Dan dalam sejarah kita dengan PAS, berlaku pengkhianatan oleh PAS.

“(Pada PRU 2013) kami kalah di kerusi DUN Kota Damansara. Calon kami kalah kerana PAS memutuskan untuk meletakkan calon di situ dan Umno menang,” katanya merujuk PKR, PAS dan DAP menjadi sekutu dalam Pakatan Rakyat.

Beliau berkata, hubungan dengan parti Islam itu jauh lebih baik ketika ia diterajui pemimpin seperti Allahyarham Nik Aziz Nik Mat, Fadzil Noor dan Haron Din.

Saifuddin berkata, PAS yang diketuai Abdul Hadi Awang bukan parti dikenalinya kerana pemimpinnya mengambil laluan agama dan menyamakan perbezaan politik dengan pertikaian agama.

Katanya, lebih baik Perikatan Nasional berkempen menentang kerajaan berdasarkan dasar dan program berbanding menggunakan royalti, kaum atau agama (3R).

Tetapi, beliau menjangkakan isu 3R akan dimainkan pembangkang khasnya menjelang PRN di enam negeri.