Warga emas maut, 9 cedera nahas di Taiping

FMT Reporters
Keadaan di lokasi kemalangan di Jalan Bukit Gantang dekat Kampung Sungai Jerai, Taiping hari ini. (Gambar JBPM Perak)
PETALING JAYA: Seorang warga emas maut, manakala sembilan lagi cedera dalam kemalangan di Jalan Bukit Gantang dekat Kampung Sungai Jerai di Taiping.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.37 petang tadi.

Selain wanita berusia 60 tahun yang meninggal dunia di lokasi kejadian, katanya, nahas membabitkan Honda City dan Perodua Myvi itu turut menyebabkan sembilan mangsa berusia tiga hingga 32 tahun cedera.

Beliau berkata, Honda City itu dinaiki enam individu, manakala Perodua Myvi dinaiki empat orang.

“Anggota bomba mengeluarkan mangsa tersepit menggunakan peralatan khas dan mangsa meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya menurut Bernama.

Dalam perkembangan lain, Sabarodzi berkata, seorang wanita belum dikenal pasti identitinya maut dalam nahas di Jalan Parit 7 Sungai Manik, Teluk Intan pada 5.13 petang tadi.

Katanya, kemalangan itu membabitkan Toyota Avanza dan Perodua Myvi yang turut mencederakan dua lelaki, termasuk seorang daripadanya berusia 60 tahun.

“Wanita itu yang menaiki Perodua Myvi disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Kementerian Kesihatan dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Anggota bomba mengeluarkan mangsa tersepit menggunakan peralatan khas, manakala seorang mangsa cedera dibawa ke hospital oleh Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Rawatan Kecemasan.”

Terengganu: Lagi kes wanita ditikam

Zaid Salim
am@hmetro.com.my
GAMBAR tular lokasi kejadian wanita ditikam dengan senjata tajam dalam kedai dobi, hari ini.

GAMBAR tular lokasi kejadian wanita ditikam dengan senjata tajam dalam kedai dobi, hari ini.
Kuala Nerus: Wanita cedera ditikam senjata tajam di sebuah premis dobi layan diri berhampiran Kem Sri Pantai, Seberang Takir di sini, hari ini.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

"Kita masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesan suspek. Setakat ini seorang mangsa wanita sahaja ditikam dan tiada kaitan samun," katanya.

Sementara itu, pekerja kedai serbaneka terletak bersebelahan premis dobi itu yang enggan dikenali berkata, melihat seorang lelaki berusia lingkungan 20-an dalam Proton Wira berwarna kelabu diletakkan di hadapan kedai berkenaan selama dua jam.

Dakwanya, lelaki itu hanya keluar dan mula menyerang mangsa selepas melihatnya memasuki premis.

"Suspek terus masuk premis dan kejadian kira-kira 3 petang," dakwanya.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis dobi itu, suspek dipercayai menikam mangsa yang berasal dari Kampung Telaga Daing, Seberang Takir dengan gunting.

Azeem ketiga terpantas Asia!

Syafiq Aznan
sukan@hmetro.com.my
AZEEM (kiri) ketika menuju garisan penamat. FOTO REUTERS
AZEEM (kiri) ketika menuju garisan penamat. FOTO REUTERS
Hangzhou: Pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi meraih pingat gangsa dalam acara 100m (m) di Sukan Asia 2022, sebentar tadi.

Dia melakukan catatan 10.11 saat untuk menamatkan saingan di tempat ketiga di belakang pelari China, Xie Zhenye yang memenangi emas dengan 9.97 saat.

Perak dimenangi atlet Thailand, Boonson Puripol dengan catatan 10.02saat.

Mungkin bosan rasa nak masuk lokap,

HarapanDaily.com
Mungkin bosan rasa nak masuk lokap, warga emas ini selamba main isu 3R
Seorang warga emas menarik perhatian warganet kerana dilihat selamba ‘bermain’ isu 3R (agama, kaum, diraja) dan meninggalkan komen mengaibkan Perdana Menteri di media sosial.

Walaupun Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini telah berulang kali memberi amaran agar tidak menyentuh isu 3R tetapi lelaki tua berkenaan nampaknya berdegil lantaran taasub menyokong pembangkang.

Tangkap layar memuatkan kenyataan pengguna Facebook yang menggunakan nama Udin Ujang itu tular apabila menyebut tentang Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri.

Rata-rata menyifatkan walaun berusia lanjut itu mungkin sudah bosan hidup bebas lalu berhasrat ingin masuk lokap dan hanya menanti masa untuk ‘dikutip’ Bukit Aman.

Ramai juga berharap pihak PDRM mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang menyebarkan sentimen kebencian tanpa mengira usia.

Dalam masa sama, warganet kecewa kerana golongan lebih berumur sepatutnya lebih matang dalam berpolitik dan menjadi contoh yang baik kepada anak muda.

Pada 9 September lalu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, PDRM akan terus memantau kenyataan kandungan dan kenyataan dibuat mana-mana individu berhubung isu 3R dalam pelbagai media sosial.

Beliau mengakui komen-komen berkaitan 3R akan berlanjutan bukan sahaja ketika musim pilihan raya memandangkan akan ada individu yang tidak bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan berhubung dengan isu 3R walaupun banyak kali nasihat serta amaran sudah diberikan.

Pendirian Pas yang berubah berkenaan qazaf

HarapanDaily.com

Ahmad Mursi

Pada tahun 2017 PAS konsisten kata tuduhan kepada Anwar itu konspirasi, kini walaun berlumba-lumba lakukan qazaf.

Pimpinan Pas yang panggil diri mereka ulamak, bisu seribu bahasa bila Ahli Parlimen Putrajaya Datuk Radzi Jidin buat qazaf.

Kemudian walaun2 sambung Qazaf di FB dan WhatsApp pula.

Mungkin dengan cara tu walaun ingat akan sakitkan hati lawannya, tapi sebenarnya kita kasihan betapa mudahnya menjadi fasiq dengan hanya guraun qazaf.

Pimpinan Pas mungkin anggap, bukan aku yang qazaf tapi pengikutnya. Lalu dibiar.

Mungkin mereka lupa dengan sabda Nabi Muhammad s.a.w: “Setiap kamu adalah pemimpin, dan kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang dipimpin”.

Perkara yang samar-samar, banyak keraguan, banyak pengakuan konspirasi. Eloklah ditinggalkan.

Tak berbaloi untuk jadi Fasiq kerana disisi Allah pelaku qazaf adalah KAZZAB. Pembohong Besar.

Takkan semata-mata nak mengata PM, kita risikokan iman kita.

Jangan kata abam tak ingatkan. Abam telah jalankan tugas abam.

33 Pati 'nak pulang' ditahan

Norzamira Che Noh
am@hmetro.com.my
ANTARA Pati warga Indonesia yang ditahan.  FOTO Ihsan IPD Kuala Langat
Kuala Langat: Seramai 33 pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia termasuk 11 wanita ditahan di kawasan Pantai Kelanang, Banting dekat sini, semalam dipercayai cuba menyusup keluar dari negara ini.

Difahamkan, sudah semalaman kumpulan Pati berkenaan berada di kawasan itu sebelum ditangkap.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, kesemua Pati berusia dalam lingkungan 17 hingga 50 tahun itu ditahan anggota Batalion 4 PGA Semenyih dengan bantuan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) menerusi rondaan yang dilakukan sekitar 1.30 tengah hari.

"Kumpulan berkenaan ditahan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan di kawasan terbabit. Hasil pemeriksaan mendapati kesemua individu iaitu 22 lelaki dan 11 wanita gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri.

"Soal siasat yang dilakukan, kesemua suspek mengaku ingin keluar dari negara ini melalui jalan laut yang tidak diwartakan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesemua suspek kini direman selama 14 hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/1963.

Selera kayangan, nak bayar harga marhaen?

HarapanDaily.com
Seorang pemimpin Pas dilihat hanya mengundang kecaman orang ramai apabila berkongsikan bil bayaran juadah makanannya.

Bekas Ahli Majlis Syura Ulama Pas, Zaharudin Muhammad berkenaan dianggap berselera kayangan tetapi mahu membayar dengan harga marhaen.

“Boleh tahan harga makanan…,” ringkas katanya yang juga menantu Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Menerusi butiran bil bertarikh 17 Ogos lalu yang dikongsikannya, terdapat tiga jenis lauk yang umum maklum sejak dulu memang sudah sedia mahal.

Di premis kawasan rehat dan rawat (R&R) PLUS Tapah itu, seekor sotong masala berharga RM20 manakala telur sotong dan telur ikan masing-masing RM20 sesenduk.

Susulan itu, rata-rata menyelar sikap Pas sama ada pemimpin apa lagi pentaasub parti yang ibarat memalukan diri sendiri dengan melakukan perbandingan tidak benar.

Malah, makan pun di R&R memang harga makanannya lebih tinggi berbanding premis biasa.

“Melantak kemudian berkira. Jual motor Mercedes ustaz.

“Saing-saing selera ikan kelah mereka ni.

“Ada orang bahagia kait semua benda untuk kecam kerajaan,” demikian antara komentar warganet.

Perlis: Suami tikam isteri hingga maut akibat cemburu

WAN MOHD NOOR HAFIZ WAN MANSOR
Anggota forensik IPK Perlis ke lokasi kejadian di rumah mangsa yang maut ditikam suaminya pada Sabtu.
Anggota forensik IPK Perlis ke lokasi kejadian di rumah mangsa yang maut ditikam suaminya pada Sabtu.
ARAU - Seorang pesara tentera menyerah diri di pondok pengawal Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis selepas menikam isterinya hingga maut dipercayai akibat cemburu di sebuah rumah di Jalan Padang Nyu, di sini pada pagi Sabtu.

Mangsa berusia 31 tahun merupakan seorang jururawat Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar meninggal dunia selepas ditikam dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi.

Menurut Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Md Rodi, suspek berusia 38 tahun dipercayai mengesyaki isterinya itu telah berlaku curang dan dipercayai bergaduh dengan mangsa di ruang tamu rumah semasa mangsa mahu keluar bekerja.

"Polis mengesyaki pergaduhan berlaku semasa mangsa ingin keluar bekerja kira-kira jam 6 pagi.

"Semasa pergaduhan berlaku, suspek telah menikam mangsa dengan sebilah pisau di bahagian dada sebelah kiri,” katanya pada sidang akhbar dekat sini pada Sabtu.

Jelas Ahmad Mohsin, suspek kemudiannya telah memindahkan mangsa yang tidak sedarkan diri ke dalam bilik tidur rumah tersebut.

Menurutnya, lelaki itu juga menghantar dua anak mereka masing-masing berusia lapan dan 10 tahun ke rumah pengasuh sebelum menyerahkan diri di pondok pengawal IPK Perlis pada jam 10 pagi pada Sabtu.

"Selepas suspek menyerah diri, polis melakukan siasatan ke atas rumah dan menemui mangsa yang ditutup dengan selimut tebal di dalam bilik tidur utama.

"Siasatan turut menemui satu kesan tikaman pada bahagian dada kiri mangsa sedalam kira-kira dua sentimeter.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah untuk bedah siasat," ujar Ahmad Mohsin.

Tambahnya, hasil pemeriksaan ke atas suspek juga didapati positif dadah dan ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Permohonan reman ke atas suspek pula akan dibuat di Kompleks Mahkamah Kangar esok (pada Ahad)," kata beliau.

Terjun dari kereta, minta tolong selepas 'dilarikan' pemandu e-hailing

Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my

Shah Alam: "Dia (pekerja) hubungi saya beritahu terjun dari kereta dan meminta tolong," kata Ayuni Dean, 44, mengenai kejadian pekerja perempuannya yang berdepan detik cemas 'dilarikan' pemandu e-hailing.

Menceritakan kejadian, pengusaha katering itu berkata, kejadian berlaku pada Rabu lalu ketika pekerjanya berusia 30 tahun dalam perjalanan ke tempat acara di Glenmarie, di sini.

Menurutnya, pekerja dipanggil Neera menghantar WhatsApp beritahu menaiki Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) kerana kereta yang diparkir dihalang kenderaan lain.

Katanya, Neera menaiki LRT Subang Jaya ke Glenmarie sebelum menempah e-hailing untuk ke tempat acara yang terletak tidak jauh dari stesen berkenaan.

"Ketika menaiki kereta, Neera beritahu pemandu kereta bahawa dia mahu buat bayaran secara tunai tetapi lelaki itu hanya diam.

"Sepanjang perjalanan, dia tanya soalan sama berulang kali tapi pemandu itu hanya memandangnya dan diam sebelum membawanya melalui lorong sunyi serta terdapat bangunan kosong.

"Neera pelik dan bertanya ke mana mahu pergi tapi lelaki itu diam lalu dia hubungi talian 999 minta bantuan. Pegawai khidmat pelanggan memintanya memasang pembesar suara untuk bercakap dengan lelaki itu tapi dia tetap diam dan meneruskan perjalanan.

"Apabila sampai di satu bangunan kosong, lelaki itu memperlahankan kereta seolah mahu berhenti dan Neera terus terjun serta lari menyelamatkan diri," katanya kepada Harian Metro.

Ayuni berkata, Neera kemudian menghubunginya meminta bantuan selain mendapatkan bantuan pengawal keselamatan berhampiran.

Berikutan kejadian, Ayuni membawa pekerjanya itu membuat laporan polis.

"Saya bersyukur Neera selamat dan tidak cedera. Saya tak sangka pula perkongsian kisah itu di laman sosial Facebook menjadi tular dan berharap menjadi pengajaran kepada masyarakat," katanya.

Ayuni turut menasihati penumpang e-hailing supaya mengamalkan tips keselamatan seperti mengambil gambar kenderaan sebelum menaikinya dan berkongsi maklumat pemandu serta 'live location' dengan ahli keluarga.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, siasatan sedang dijalankan.

Beliau berkata, polis sedang giat mengesan pemandu e-hailing terbabit bagi membantu siasatan.

Banjir besar di Kedah: Dulu Pas anggap bah di Pulau Pinang bala Allah

HarapanDaily.com
Banjir besar di Kedah: Dulu Pas anggap bah di Pulau Pinang bala Allah
Banjir besar di Kedah menyaksikan ribuan mangsa ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di empat daerah terjejas iaitu Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena dan Baling.

Namun, pemimpin Pas dilihat tahu pula ‘diam’ tidak mengeluarkan ‘fatwa’ berhubung musibah yang berlaku di negeri dikuasai Perikatan Nasional (PN) itu.

Berbeza semasa banjir di Pulau Pinang pada awal November 2017, pemimpin Pas menganggap bencana alam itu sebagai bala daripada Allah.

Ulama Pas, Mokhtar Senik ketika itu berkata, Pulau Pinang akan dilanda musibah jika ketua menteri merendah-rendahkan kerajaan Pas Kelantan.
Keadaan banjir di Kampung Paya Tok Teh Jitra baru-baru ini. Foto: Mahdzir Hasan Det

Malah, pemimpin Pas kontroversi tersebut berkata, kenyataan itu dibuat berdasarkan kepada “perhatian” yang diberikannya “sejak dulu”.

Selain itu, bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Ahmad Dusuki Abdul Rani juga mengulas tentang banjir di Pulau Pinang ketika itu.

Dia yang pada Ogos lalu akur aset Tabung Haji (TH) tidak dijual kepada bukan Islam mendakwa tiada kematian semasa Kelantan dinaiki air beberapa tahun sebelum 2017.

“Mati pulak tu tujuh orang. Kelantan yang banjir besar itu pun tak ada seorang pun yang mati, tapi yang (di Pulau Pinang) ni, tujuh orang meninggal dunia,” dakwanya.

Dusuki berkata demikian dalam satu siri ceramah yang disiarkan secara langsung di Facebook pemimpin yang kalah saman kes aset TH itu.

Dia turut mengaitkan penganjuran program Oktoberfest di Pulau Pinang dengan banjir berkenaan.

Kerja keras bangunkan negara, warga asing mahu jadi Perdana Menteri Malaysia

WAN SITI AMINAH

Satu rakaman memaparkan seorang lelaki warganegara asing dipercayai berasal dari Bangladesh telah mencuri perhatian ramai baru-baru ini.

Mana tidaknya, lelaki berkenaan mendakwa bahawa keturunan pendatang asing berkemungkinan mempunyai peluang untuk menjadi ahli Parlimen suatu hari nanti.

Lelaki tersebut percaya bahawa tiada perkara yang mustahil dan anak-anak warga Bangladesh juga boleh menjadi pemimpin negara iaitu Perdana Menteri Malaysia.

Menurutnya, keturunan warga asing berhak mendapatkan tempat di Parlimen kerana mereka telah berusaha keras untuk membangunkan Malaysia sebagai negara maju.

Berjaya mengundang perbincangan hangat, pandangan yang dikongsi oleh lelaki itu malah kelihatan seakan-akan memperlekehkan rakyat tempatan di negara ini.

Tular di media sosial, video yang memaparkan percakapan warga asing itu sempat dirakam dan dimuat naik semula di pelbagai platform media sosial termasuk TikTok.

“Malaysia sudah maju, sudah kaya kerana siapa? Kerana warga asing. Ini kilang-kilang (pelabur) Malaysia, semua dari luar negara. Dalam kilang siapa kerja? Kelapa sawit, potong getah, siapa buat?

“Kebun sayur, cuci longkang, korek longkang, pagi-pagi ambil sampah, siapa buat? Orang Bangladesh, warga asing, rajin kerja. Kami kerja keras, pandai cari duit. Bukan macam hang (rakyat tempatan).

“Satu hari nanti, anak-anak Bangla akan jadi (ahli) Parlimen Malaysia. Ingat, saya beritahu. Anak-anak orang Bangladesh akan jadi perdana menteri Malaysia,” katanya.

Menerusi rakaman sama, lelaki warga Bangladesh itu turut menyelar tindakan individu dikenali sebagai Ustaz Sophian menyerbu kedai milik warga asing di Pulau Pinang.

Katanya, Ustaz Sophian bersikap berat sebelah kerana tidak mahu menyerbu kedai yang dimiliki oleh warga asing yang berasal daripada Indonesia dan juga Thailand.

Lelaki berkenaan bagai memberi bayangan bahawa ustaz tersebut hanya menjadikan kedai milik warga Bangladesh sebagai sasaran ketika menjalankan operasi.

Rata-rata pengguna media sosial berpendapat bahawa Ustaz Sophian yang dimaksudkan lelaki itu adalah Pengerusi Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang.

Pengerusi yang bernama Mohd Sophian Mohd Zain itu dikatakan cukup dikenali dengan ketegasannya memerangi aktiviti haram warga asing di negeri tersebut.

Sedikit kebimbangan di hati kami jika PAS menang menguasai negara ini, lalu Sanusi jladi menteri

Abdullahjones

“Ka semayang (masjid) la Pok," kata Abu, "dah-dah la panjat bukit, masuk utan.”

Kami yang memang kaki nasi tambah ini pun apa lagi. “Ntah, esok payoh Abu nok ziarah ka. Neraka panas Pok."

“Pala otok ka,” jawab Pok.

Pok masih berambut panjang dan di media sosial dia menggunakan menggunakan filter gebu pada semua gambarnya.

Ia mengakibatkan wajah Pok yang menggerutu dek parut jerawat itu kelihatan manis, malah teramat manis . Dari jauh - kepada orang yang tidak hati-hati - lelaki itu kelihatan ada iras-iras pemain gitar kumpulan Sweet Charity, Rosli Mohalim.

Kami duduk berbual-bual setelah lama tidak bertemu. Pok bukan tak sembahyang, bahkan dia memang kuat sembahyang. Cuma dia culas ke masjid.

Kami ini kerana sudah lama kenal, bebas bergurau.

Biasalah, apabila rahsia siapa yang jual dadah, siapa yang hisap dadah, siapa yang mencuri seluar dalam di Chung Hwa Emporium sama-sama kami ketahui, tentulah tidak ada malu lagi antara kami untuk saling menasihati.

Antara perkara yang mengembangkan hati pada usia senja begini ialah apabila terserempak dengan sahabat-sahabat zaman lampau di masjid.

Berbunga-bunga hati ketika melihat teman pada zaman penuh kemalangan dulu kini saling berusaha mencari reda Tuhan. Balik asal, kata orang.

Sebut fasal balik asal, kita semua sememangnya patut berasa lega apabila kini kita dapati PAS sudah menjadi sebuah partai yang benar-benar memperjuangkan Islam.

Kita tentu saja tidak akan melupakan bagaimana mereka sampai hati menobatkan seorang politikus tidak beragama Islam sebagai jelmaan Khalifah Umar Abdul Aziz.

Tercalar benar muka kita dengan keaiban apabila mereka - hanya kerana mahukan kuasa - bertindak melulu menyamakan seorang bukan Islam dengan seorang pemimpin hebat Islam.

Hati kecil kita mahu menganggap itu sebagai khilaf, sementara hati besar kita pula teramat marah.

Juga siapa boleh melupakan apabila mereka itu - yang kerjanya siang dan malam adalah untuk kesejahteraan Islam - mula berkeris dan bertengkolok serta berbusana seorang sepasang lalu berarak di dewan partai ekstrem Melayu sambal berjujuran air mata!

Cari lokasi drama

Di mana akan kita halakan wajah kacak kita ini apabila partai yang faham ayat-ayat al-Quran, yang tahu bahawa tidak ada sebarang kemuliaan dalam apa bangsa sekali pun kecuali yang beriman kepada Tuhan, tiba-tiba menjadi bidak di atas papan catur politik?

Hancur luluh kulit wajah kita apabila dimalukan sedemikian rupa.

Mujurlah PAS kini kembali bercakap peri pentingnya Islam yang mereka bawa.

Lantang dan keras suara mereka mengherdik siapa saja yang membawa ajaran Islam jika ia adalah versi yang lain daripada apa yang mereka mahu.

Inilah PAS yang kita mahukan. Inilah PAS yang kita dambakan.

Mujur juga PAS dan rakan haus kuasanya berani menegur ahli politik yang pandai-pandai memetik ayat al-Quran sedangkan dia bukan seorang Islam.

Kita memang bimbang jika lebih ramai orang bukan Islam membaca al-Quran sedangkan kitab suci itu adalah hak eksklusif orang Islam.

Hari itu kami mengikut Pok membuat road trip. Pok mengajak kami ke Kuantan kerana dia perlu menghadiri mesyuarat sambil mencari lokasi penggambaran bagi sebuah drama arahannya.

Pok mendakwa dia ialah seorang pengarah dan produser filem-filem dokumentari. Untuk pertama kalinya dia akan mengarahkan sebuah drama tivi.

Itu adalah dakwaan Pok padahal kami belum pernah sekalipun seumur hidup melihat apa-apa hasilnya kerja dia. Kami anggukkan saja apabila Pok menceritakan yang dia mengarahkan itu dan ini sedangkan kami sebenarnya langsung tidak percaya.

Selain mesyuarat dan juga mencari lokasi, Pok juga membuat rancangan untuk bertemu dengan sahabat-sahabat yang sudah lama tidak ditemui.

Lalu Pok memanggil Boon, Lok, Dimunoh, Don, Abu, Paul Brian dan juga Mat Ganja.

Orang lama Salafi

Semua datang kecuali Mat Ganja dan Don. Mereka berdua berada di luar kawasan pada hari kami berkumpul. Semasa berbual itulah berlakunya dialog di atas tadi.

“Kalu dia boleh bako anok ayam, mende lagi kita nok harap,” kata Dimunoh apabila perbualan kami masuk isu harga barang-barang. Baru kami sedar rupanya beras, telur dan minyak adalah antara barang yang payah didapati sekarang.

Jika ada pun, harganya lebih mahal dari sebelum ini.

Dimunoh kemudian bercakap mengenai kapitalis dan merebak ke perbualan mengenai Che Guevara. Menurut Dimunoh, Che bukanlah komunis dalam erti kata sebenar.

Che mengikut Fidel Castro pada waktu itu hanya kerana itu wadah yang ada bagi menentang puak kapitalis. Lalu Dimunoh juga tidak bersetuju apabila ada ustaz yang disuruh bertaubat hanya kerana menceritakan perihal kehebatan tokoh tersebut.

Dimunoh orang salaf. Lama sebelum salaf menjadi kontroversi seperti sekarang, dia sudah melalui jalan itu. Sebab itu kami akan sentiasa berhati-hati untuk mengeluarkan pendapat di hadapan dia.

Bimbang dituduh pembawa bidaah.

Boon semasa remajanya bukanlah orang yang kuat bercakap. Hanya setelah menjadi guru dia mula pandai berbual. Boon baru beberapa bulan pencen sebagai pengetua sekolah.

Jika jabatan pendidikan tahu apa yang kami tahu tentang Boon, kami tak rasa dia akan pencen dengan jawatan sebesar itu.

Antara kami, yang paling sedikit dosanya kami rasa ialah Abu. Dia tidak melakukan perbuatan maksiat sejak muda. Jika ada pun kesalahan, ialah apabila dia jatuh cinta bukan pada waktu yang betul.

Kami adalah saksi kegagalan cinta yang dialami Abu.

Dia seorang yang aktif dalam sukan. Selain pemain bola sepak yang hebat Abu juga seorang atlet. Keistimewaan Abu ialah dalam bidang lumba lari jarak dekat.  

Selain itu dia juga seorang pelajar yang cemerlang. Semasa di sekolah dia seorang pelajar yang hampir sempurna. Maka Pok selalu menyebut Abu sebagai idolanya.

Sebut fasal idola, setelah sekian lama ketandusan wira, PAS kini bolehlah berbangga dengan kehebatan Sanusi Md Nor. Dia adalah 'al-Maseh' yang ditunggu-tunggu oleh semua penyokong  partai tersebut.

Kerugian buat negara

Partai yang baik tidak perlu membawakan idea-idea bernas seperti bagaimana mahu menjadikan sesebuah negara itu lebih baik. Cukup dengan berbuat lawak, berjanji lunak dan kadang-kadang menuduh lawan kita sebagai jahat dan lemah - maka sempurnalah kewibawaan yang dihajati.

Dan itu ada pada menteri besar negeri jelapang padi kita.

Memang dari dulu PAS hidup dengan hero yang sedemikian rupa. Penyokong PAS apabila pergi ceramah politik bukan mahu sangat mendengar idea-idea cerdik.

Mereka sudah lama membuat keputusan untuk memilih partai berkenaan walau apa pun yang terjadi. Mati dua kali dan hidup dua kali pun, PAS adalah pilihan hati.  

Lalu tujuan mereka memenuhi tempat ceramah adalah cuma untuk mendengar lawak jenaka dan juga sembang kencang mengenai jahatnya pemimpin partai-partai yang tidak bersama mereka.

Namun begitu, terdapat sedikit kebimbangan di hati kami.

Kami bimbang jika nanti PAS sudah menang dan menguasai negara ini, lalu Sanusi pun dilantik menjadi menteri. Kemudian sifat humor yang ada pada dia akan segera hilang.

Lihat saja apa yang terjadi kepada bekas wira PAS yang dulu iaitu Mat Sabu.

Daripada seorang yang sangat kelakar dan ‘comot’ dia menjadi seorang yang kemas dan tidak lagi berbuat jenaka seperti selalu. Tentu saja negara akan kehilangan dua tokoh lawak jika hal tersebut terjadi.

Apa yang boleh kita harapkan ialah, nanti apabila datang pilihan raya Sanusi dan Mat Sabu sama-sama tewas lalu mereka mula bekerjasama membentuk kumpulan lawak dua orang.  

Meletup beb!

Tentu selesai segala masalah yang kita hadapi nanti kerana kerja kita hanya bergelak dan ketawa dengan dua pelawak tersebut.

Harga beras, minyak dan telur - biar cukong yang tentukan. Kita biar menang sorak sudahlah. Peduli apa ekor bergelumang tahi. Yang penting, menang.

“Ingat pesan Abu,” kata kami kepada Pok sejurus dia keluar dari kereta apabila sampai di rumahnya.

“Yalah.... esok aku start,” jawab Pok.

Sama-sama kita doakan supaya Pok dan kita semua mendengar nasihat daripada Abu itu.

ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis dan pemerhati politik.

Mempersoal pengampunan diraja: Selepas sukarelawan polis, giliran anggota bomba pula komen aib di FB

HARAPAN DAILY 
Selepas sukarelawan polis, giliran anggota bomba pula komen aib di FB
Seorang anggota bomba tular di media sosial selepas memuat naik komen aib di Facebook, mengulangi tindakan seorang sukarelawan polis wanita sebelum ini.

Malah, dia juga dilihat secara terbuka mempersoal pengampunan diraja sambil menggunakan bahasa kesat.

“Pengampunan dirajalah, apalah. B*t** punya walanon banyak bunyi tapi bodoh,” katanya.

Tangkap layar komentar ekstremnya tersebar sehingga warganet menyelongkar identiti individu berkenaan.

Semakan mendapati anggota beruniform berkenaan berasal dari Tanjong Malim dan merupakan bapa kepada dua anak.

Rata-rata menasihatkan agar masyarakat lebih-lebih lagi penjawat awam dan anggota beruniform tidak keterlaluan menuruti perangai buruk pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang terjebak dalam kesalahan qazaf.

“Qazaf ni hukum khas, tak boleh panjangkan walaupun ada kes mahkamah. Ikut hukum yang tuduh, yang memanjangkan tuduhan tetap kena bawa empat saksi yang melihat. Jika tidak jadi qazaf.

“Oleh itu, sebaik-baiknya elakkan diri dari komen isu ini. Jangan galak sangat sampaikan keputusan Yang di-Pertuan Agong buat pengampunan penuh pun nak pertikai,” nasihat pengguna Facebook, Muhammad Fairul Al Qasas.

Kelmarin, seorang sukarelawan polis wanita di Mersing yang berusia 39 tahun itu ditahan kerana memuat naik komen di Facebook dengan niat mengaibkan secara keterlaluan.

Pemilik akaun ‘Ieyda Ibrahim’ itu disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang boleh disabit hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya.

Suspek turut disiasat mengikut peruntukan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955.

Terangganu: 'Saya sudah bakar rumah'

Rosli Ilham
am@hmetro.com.my
ABDUL Hamid melihat rumahnya di Kampung Besul Baru, Bukit Besi  yang musnah dipercayai dibakar anak lelakinya. FOTO Rosli Ilham.
ABDUL Hamid melihat rumahnya di Kampung Besul Baru, Bukit Besi yang musnah dipercayai dibakar anak lelakinya. FOTO Rosli Ilham.
Dungun: "Saya ingat dia bergurau rupanya dia benar-benar lakukan perkara itu," kata Abdul Hamid Mohd, 66, yang kehilangan rumah selepas didakwa dibakar anak lelakinya, hari ini.

Dalam kejadian 2.30 petang itu, kediaman Abdul Hamid di Kampung Besul Baru, Bukit Besi musnah, selain kereta dan sebuah motosikal.

Menurutnya, dia dan isterinya terpaksa berpindah ke rumah anak perempuan yang berjarak tiga kilometer dari kediaman itu kerana bimbangkan keselamatan diri disebabkan anak lelaki sering bertindak ganas.

"Jadi kami biarkan anak lelaki tinggal sendirian di situ. Selepas solat Jumaat tadi, saya cadang singgah untuk tengok keadaan dia dan rumah.

"Dalam perjalanan itu, saya singgah di kedai untuk beli minuman dan tiba-tiba anak lelaki muncul di kedai itu, dia minta wang sebelum saya beri RM10.

"Sebaik menerima wang itu, dia kata dia sudah bakar rumah. Saya tanya dia, kenapa bakar rumah, dia diam tidak cakap apa-apa," katanya.

Abdul Hamid berkata, dia segera ke rumahnya dan tidak menyangka apa yang dikatakan anaknya benar-benar berlaku dan api sedang marak ketika itu.

"Saya tidak mampu nak buat apa-apa kerana api besar dan hanya mampu berdoa, berserah kepada Tuhan," katanya.

Difahamkan, suspek yang berusia 40 tahun itu sudah ditahan polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS), Penolong Penguasa Bomba Shariffuddin Ali berkata, sepasukan enam anggota dan jentera ke lokasi untuk memadam kebakaran.

"Api berjaya dipadam sepenuhnya kira-kira jam 4 petang dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

'Raja banduan' sesuka hati masuk keluar penjara

Agensi
HECTOR Guerrero Flores. FOTO Agensi
HECTOR Guerrero Flores. FOTO Agensi
Caracas: Polis Venezuela giat memburu ketua kumpulan jenayah yang melarikan diri dari penjara mewah yang dikawalnya, sebelum kemudahan itu diserbu, baru-baru ini.

Hector Guerrero Flores tidak ditemukan ketika 11,000 tentera dan polis merampas semula Penjara Tocoron yang dikawal banduan.

Ketika berada dalam kawalan Guerrero Flores, Penjara Tocoron kelihatan seperti sebuah resort mewah dilengkapi zoo kecil, kelab malam dan kolam renang.

Lelaki berusia 39 tahun dari negeri Aragua itu keluar masuk penjara Penjara Tocoron, selama lebih sedekad.

Pada 2012, ketua kumpulan jenayah transnasional, Tren de Aragua berjaya melarikan diri dari penjara itu dengan merasuah pengawal.

Selepas penahanan semula pada 2013, dia dikembalikan ke penjara sama, namun dia menjadi individu berkuasa di dalam penjara berkenaan.

Dia bukan saja menjadikan Penjara Tocoron sebagai pusat operasi Tren de Aragua, tetapi di bawah pemerintahannya, penjara itu dilengkapi dengan semua kemudahan di hotel mewah.

Bahkan, keluarga banduan berpindah ke perkarangan penjara, dengan banduan mempunyai akses ke bank sementara, kedai pertaruhan, restoran dan besbol, manakala anak-anak mereka boleh melihat flamingo dan burung unta di dalam kandang haiwan.

Guerrero Flores dilaporkan boleh masuk dan keluar dari penjara itu dengan sesuka hati.

Pengarang Venezuela, Ronna Rísquez, yang menulis buku mengenai Tren de Aragua, menceritakan polis terserempak dengannya sekali di sebuah parti di atas kapal layar pada 2016.

Menurut Rísquez, banduan itu dengan tenang menunjukkan dokumen kebenaran daripada perkhidmatan penjara Venezuela yang membenarkannya untuk melakukan perjalanan dengan bebas di seluruh negara.

Dalam pada itu, pengarah pertubuhan bukan kerajaan Pemerhati Penjara Venezuela, Humberto Prado memberitahu BBC Mundo, Guerrero Flores hidup seperti seorang raja di penjara.

Katanya, Guerrero Flores tidak mempunyai saingan dalam penjara hingga membolehkan dia memerintah dengan selamat ke atas rangkaian jenayahnya yang semakin berkembang.

Tren de Aragua di bawah kepimpinannya berkembang ke Colombia, Ecuador, Peru dan Chile dan melakukan pelbagai kegiatan jenayah daripada memeras migran ke dalam pemerdagangan seks, pembunuhan kontrak dan penculikan.

Azeem ke separuh akhir, tundukkan ego jaguh Iran

Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my
AZEEM (tengah) menamatkan larian di tempat pertama ketika saringan 100m lelaki pada Sukan Asia 2022 di Stadium Pusat Sukan Olimpik Hangzhou. FOTO ASYRAF HAMZAH
AZEEM (tengah) menamatkan larian di tempat pertama ketika saringan 100m lelaki pada Sukan Asia 2022 di Stadium Pusat Sukan Olimpik Hangzhou. FOTO ASYRAF HAMZAH
Hangzhou: Pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi membuktikan dia berada di landasan untuk menyumbangkan pingat buat negara di temasya Sukan Asia Hangzhou kali ini apabila mengungguli saringan ketiga acara 100 meter (m).

Beraksi di Stadium Olimpik Hangzhou, Azeem tampak bersahaja tanpa perlu memerah keringat untuk menguasai acara itu dengan catatan 10.28 saat (s).

Tempat kedua dalam saringan itu dimenangi pelari Iran, Hassan Taftian dengan catatan 10.42s manakala atlet dari Oman, Ali Anwar Ali Al Balushi, ketiga, 10.47s.

Azeem ketika ditemui berkata, sasaran utamanya adalah untuk layak ke final dan membuktikan kepada pesaingnya iaitu Hassan, bahawa siapa yang lebih pantas kali ini.

"Ini amaran saya kepada Hassan. Dia selalu bermain psikologi dengan saya sejak Kejohanan Dunia dan juga ATF (Kejohanan Olahraga Asia).

"Hari ini, saya buktikan kepada dia, dia sudah berusia, sudah masa untuk dia bersara," katanya.

Azeem bagaimanapun perlu lebih berwaspada apabila turun beraksi di separuh akhir apabila seteru utamanya dari Thailand, Puripol Boonson turut layak ke peringkat berkenaan selepas merekodkan masa 10.13s ketika saringan keempat.

Azeem ketika ditemui mengakui, dia sebenarnya tidak gemar berlari di waktu malam dan ia adalah pengalaman pertamanya berlari di waktu itu selepas enam tahun.

"Saya tak suka berlari waktu malam. Tapi itulah jadual tuan rumah dan kita perlu ikut. Bagi saya, berlari waktu malam seperti kurang oksigen mungkin sebab saya sudah biasa berlari waktu pagi.

"Walau apapun saya tetap akan beri yang terbaik untuk negara dan sasaran sekarang adalah mara ke final seterusnya sumbangkan pingat buat Malaysia," katanya.

Sementara seorang lagi wakil negara, Khairul Hafiz Jantan turut menempah tiket ke separuh akhir yang akan berlangsung 7.30 malam esok.

Khairul merekodkan masa 10.48s pada saringan kelima menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat.

Turut beraksi dalam seringan itu adalah bekas juara remaja dunia 2018 dari Indonesia, Lalu Muhammad Zohri yang mengungguli saringan itu dengan catatan 10.22s.

Dalam aksi wanita, wakil negara, Zaidatul Husniah Zulkifli gagal melayakkan diri ke peringkat akhir apabila menamatkan saingan di kedudukan keenam dengan catatan 12.11s.

Murid maut ditimpa palang gol patah

BERNAMA

Bintulu: Seorang murid berusia 11 tahun meninggal dunia selepas ditimpa besi palang gol ketika aktiviti kokurikulum bersama rakan sekelasnya di Sekolah Kebangsaan St Anthony, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintendan Batholomew Umpit dalam satu kenyataan mengesahkan Balai Polis Pusat Bintulu menerima laporan kemalangan itu pada 7.24 pagi.

"Seorang murid warga tempatan telah terlibat dalam kemalangan dan mendapat kecederaan parah di kepala akibat ditimpa besi palang gol di tempat kejadian, yang dipercayai patah semasa aktiviti kokurikulum.

"Mangsa telah dibawa ke Hospital Bintulu dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan," katanya.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Beliau menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita yang tidak benar berkaitan kes itu.

Individu yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat kes Sarjan Ahmad Amir Youb Bahari di talian 013-5653756 atau bilik Gerakan IPD Bintulu di talian 086-318304.

Komen aib di Facebook, sukarelawan polis ditahan

Bernama
Polis menahan wanita berusia 39 tahun itu pada 10.58 malam semalam di kawasan Endau, Mersing. (Gambar PDRM)
JOHOR BAHRU: Seorang sukarelawan polis wanita ditahan semalam selepas disyaki meninggalkan komen bersifat mengaibkan dalam satu hantaran di Facebook.

Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat, berkata IPD Johor Bahru Selatan (JBS) menerima laporan dibuat seorang pegawai kanan polis yang melayari laman sosial itu dan menemui satu hantaran ditularkan pada 10.22 malam.

“Terdapat satu komen dibuat seorang pemilik akaun yang merujuk kepada seseorang atau individu yang dipercayai bermotif mengaibkan dan keterlaluan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati wanita yang membuat komen itu berkhidmat di Mersing dan semakan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sudah dihantar bagi siasatan lanjut ke atas pemilik akaun terbabit.

“Polis kemudian menahan wanita berusia 39 tahun itu pada 10.58 malam semalam di kawasan Endau, Mersing,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955.

Dalam pada itu, Kamarul menasihatkan orang ramai berhati-hati ketika menggunakan media sosial agar tidak mengeluarkan ayat menghina sesiapa sehingga mendatangkan kegusaran masyarakat.

Terdahulu, tular satu hantaran di Facebook yang menjadi trend terkini bertanyakan mengenai apa yang terlintas di fikiran apabila menyebut tentang sesuatu nama.

Berdasarkan hantaran tular itu yang menanyakan tentang “Bila sebut Madani, apa yang terlintas di fikiran anda?”

Suspek kemudian dilihat meninggalkan komen bersifat mengaibkan yang dipercayai ditujukan kepada seseorang.

Bagaimanapun, komen itu dipercayai sudah dipadam.

Mangsa ugutan pentaasub Pas boleh lapor kepada polis

HarapanDaily.com

AKMAL MANAF 

Seorang pentaasub Pas didapati melakukan ancaman dan ugutan dipercayai secara sihir terhadap orang lain di ruangan media sosialnya.

Tangkap layar perbualan pemilik akaun Facebook atas nama John Jonny Jane itu antara lain ‘menasihatkan’ mangsa ugutan terbabit supaya menjaga baik-baik anak dan isterinya.

Pengerusi Biro Undang-undang AMANAH (KANUN), Dr Zulqarnain Lukman (gambar atas) berkata, mangsa yang menerima ugutan sedemikian boleh membuat laporan kepada pihak polis.

“Cuma di Malaysia ini, sihir belum dimasukkan sebagai satu kesalahan jenayah kerana ianya sukar untuk dibuktikan,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai tindakan undang-undang yang boleh diambil oleh mangsa yang menerima ugutan seperti itu.

Bagaimanapun secara amnya, Dr Zul berkata, ugutan adalah satu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

“Ugutan jenayah telah ditafsirkan dalam Seksyen 503 Kanun Keseksaan yang mana secara ringkasnya sebagai mengugut untuk mendatangkan kecederaan kepada tubuh badan, nama baik dan harta.

“Dengan niat untuk mencetuskan ketakutan kepada mangsa atau untuk memaksa mangsa melakukan atau tidak melakukan sesuatu,” katanya lagi.

Sebelum ini, heboh di media sosial apabila John turut melampirkan gambar keluarga mangsa dengan komentar “lawa gambar bro” dan “comel tu semua”.

“Nanti kalau demam ke apa jangan (pergi) klinik ye bro,” tulisnya dengan meninggalkan emoji ketawa.

Lima polis antara ditahan berhubung dakwaan culik

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Enam lelaki termasuk anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditahan berhubung dakwaan menculik penganggur dari kedai makan di Desa Petaling, di sini Selasa lalu.

Mereka berusia antara 27 hingga 42 tahun ditahan kelmarin dengan lima daripadanya adalah anggota dan pegawai di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaludin berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 26 tahun pada 5.48 petang hari kejadian.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Cheras membuat tangkapan ke atas enam lelaki tempatan.

"Lima daripada enam suspek yang ditahan merupakan anggota dan pegawai PDRM, kesemuanya ditahan di IPD Cheras," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu tular di media sosial berhubung beberapa anggota dan pegawai polis yang bertugas di sebuah balai polis sekitar ibu negara didakwa terbabit dengan sindiket judi haram.

Bagaimanapun setakat ini tidak dapat dipastikan sejauh mana kesahihan dakwaan yang dikongsikan menerusi Telegram berkenaan.

Mengulas lanjut Zam Halim berkata motif kejadian masih dalam siasatan dan meminta orang ramai supaya tidak membuat spekulasi berhubung kes itu.

"Siasatan terperinci sedang diteruskan dan kertas siasatan yang lengkap akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen Seksyen 365/ 342/ 323 Kanun Keseksaan. Kesemua suspek direman sehari dan dibebaskan dengan jaminan polis," katanya.

Raja Bahrin: PAS sendiri 'undang' polis awasi gerak kerja di Pelangai

Malaysiakini 

Amanah berpendapat PAS tidak wajar berasa 'rimas' dengan kehadiran pasukan keselamatan semasa berkempen di Pelangai sekarang.

Ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, berkata keadaan itu berlaku kerana PAS sendiri seolah-olah menjemput polis dengan pelbagai kenyataan mereka terhadap kerajaan.

Hal itu, katanya, patut disedari Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan selaku seorang ahli politik senior, pernah menganggotai kabinet dan memiliki latar belakang pendidikan undang-undang.

Selaku peguam, katanya, Takiyuddin tentu sedar betapa pentingnya nilai keselamatan awam dipelihara terutamanya apabila ramai orang luar dan tidak di kenali bertumpu di Pelangai.

"Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, sendiri pernah membayangkan jutaan orang Islam akan membanjiri Kuala Lumpur untuk berdemonstrasi ekoran insiden Howard Lee memetik ayat al-Quran.

"Tidak cukup dengan itu, serangan peribadi, mencarut dan membabitkan kecaman tubuh badan ahli DAP juga berlaku, kemudian mendakwa akan ada 'apek berseluar pendek' mengajar agama di masjid suatu hari.

"Dengan suhu politik yang dipanaskan sebegitu, tentulah lebih baik polis mengambil langkah berjaga-jaga supaya api kebencian tidak merebak," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengerusi Amanah Terengganu itu juga mengingatkan, di Pelangai lebih 20 peratus daripada pengundinya adalah masyarakat Cina.

Polis bertindak betul

Pagi tadi PAS menzahirkan rasa tidak senang apabila program dan gerak kerja mereka di Pelangai seakan-akan dibayangi polis. Misalnya Takiyuddin mendakwa ada anggota Cawangan Khas (SB) mengikut pergerakan calon PN, Kasim Samat, bertemu orang ramai.

Jumlah kehadiran anggota polis juga dianggap "luar biasa" ramainya termasuk di bilik gerakan atau pusat operasi PN sehingga menakutkan banyak pihak.

Lebih 16,000 orang pemilih berdaftar layak mengundi melantik wakil rakyat baru untuk kerusi Dewan Undangan Negeri Pelangai esok berikutan kematian penyandangnya, Johari Harun, pada 17 Ogos lalu.

Kasim merupakan Naib Yang Dipertua PAS Bentong dan menjadi pertaruhan PN sekali lagi di Pelangai. Dia berdepan dengan dua pencabar iaitu Amizar Abu Adam (BN) dan Haslihelmy DM Zulhasli (bebas).

Kasim Samat (kanan)
Raja Kamarul Bahrin berkata polis mengambil langkah yang betul apabila berhati-hati menjaga ketenteraman awam ketika pelbagai kemungkinan atau ketegangan wujud di Pelangai.

Justeru, katanya, PAS tidak patut menyalahkan pihak berkuasa kerana parti itu sendiri memanaskan suhu politik di dalam negara, khususnya di Pelangai sejak awal tempoh berkempen lagi.

"Sebagai peguam Setiausaha Agong PAS patut menasihatkan Sanusi mengenai pentingnya menjaga ketenteraman awam.

"Politik kebencian agama dan kaum memang patut diawasi oleh pihak polis kerana suasana yang menjurus ke arah itu disumbangkan sendiri oleh PAS," katanya.

Bila PAS bagi bola tanggung

Hishamuddin Aun

Tempoh hari bukan main galak lagi Tuan Ibrahim Tuan Man berkongsi yang Pas dapat bola tanggung sebagai modal kempen pada PRK Pelangai 7 Oktober ini. Kata timbalan presiden PAS itu, kalau tak ambil peluang smash bola tanggung itu, kira paling rugilah. Peluang dah di depan mata, apa lagi gunakan sajalah.

Maksud Tuan Ibrahim itu ialah keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan (DNAA) Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram membabitkan Yayasan Akalbudi.

Keputusan pada 4 September itu dibuat Hakim Collin Lawrence Sequerah selepas membenarkan permohonan yang dikemukakan timbalan pendakwa raya. Ini susulan Jabatan Peguam Negara berhujah bahawa langkah itu untuk membolehkan siasatan lanjut dan mengelakkan keadilan daripada tidak dilaksanakan.

Tuan Ibrahim kata kerajaan perpaduan pun harus tahu apa-apa isu yang melibatkan kepentingan negara dan kepentingan awam adalah isu-isu yang PAS akan bawa di Pelangai, tambahan pula ia tidak akan jadi tugas mudah buat PAS dalam pertandingan tiga penjuru kali ini.

DUN Pelangai diketahui kubu kuat Barisan Nasional (BN) yang diwakili bekas menteri besar Pahang Adnan Yaakob sejak PRU7 pada 1986, sebelum diambil alih oleh Allahyarham Johari Harun pada PRU15 2022. Lantaran itu, apa saja yang Pas boleh gunakan terhadap BN tentunya akan mereka gunakan sehabis-habisnya. Cuma ketika membuat kenyataannya itu di lobi Parlimen 14 September lalu, Tuan Ibrahim mungkin tidak jangka yang dalam sesingkat masa, bola tanggung boleh kembali kepada BN, khususnya Umno, dalam bentuk satu lagi keputusan mahkamah, tidak kiralah ia pada skala lebih kecil atau besar.

Kata orang, cakap siang pandang-pandang, cakap malam pula elok dengar-dengar. Apa yang kita kata kepada orang, silap haribulan boleh berbalik kepada kita. Itu yang dirasakan terhadap Tuan Ibrahim, yang turut mempertikaikan satu hujah Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengenai janji untuk menurunkan harga minyak di Parlimen baru-baru ini.

Anwar, ketika menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 di Dewan Rakyat pada 19 September lalu menjelaskan ketika beliau membuat janji “hari ini kita menang, esok harga minyak turun”, ia dipersetujui bersama oleh pimpinan PKR, DAP, dan PAS, yang Tuan Ibrahim adalah sebahagian daripada gabungan ketika itu. Tapi pembangkang bukannya nak dengar.

Ketika Anwar mahu menjelaskan DNAA Zahid atas budi bicara peguam negara ketika itu mengikut Perkara 145(3) Perlembagaan – seperti dituntut mereka melalui usul yang lebih awal ditolak – mereka sebaliknya buat ‘drama’.

Belum pun habis penjelasan Anwar, blok pembangkang keluar berama-ramai dari Dewan Rakyat atas alasan rakan mereka yang juga Ahli Parlimen Putrajaya Radzi Jidin diserang tanpa bukti. Kasihan Radzi yang sehingga hari ini terus dipersendakan di media sosial dengan video pekikan “tarik balik, tarik balik” olehnya, dengan sebilangan netizen menggelarnya Ahli Parlimen yang mudah “koyak”.

Menjelang PRK Pelangai, isu DNAA Zahid ini sudah lebih dahulu digunakan Pengarah Pilihan Raya PN Sanusi Nor dalam majlis ceramah di Dataran Purnama, Simpang Pelangai, Pahang Ahad lalu. Namun, sukar diukur penerimaan ramai terhadap isu itu kerana mereka lebih terhibur dengan lawak jenaka dan maki-hamun yang dibawa Sanusi dalam loghat Kedahnya.

Sanusi mungkin laku keras di Kedah sepanjang kempen PRK enam negeri 12 Ogos lalu tapi tak laku dalam kempen PRK Pulai dan Simpang Jeram pada 9 September. Lawak jenakanya yang dikitar semula umpama memainkan piring hitam lama, semakin jemu untuk didengar.

Kelmarin pula, Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan keputusan PRU15 bagi Parlimen Kemaman terbatal dan tidak sah, sekali gus membatalkan kemenangan PN. Hakim Anselm Charles Fernandis menerima dakwaan pempetisyen berhubung sogokan semasa tempoh berkempen untuk meraih undi bagi calon, Che Alias Hamid dari PAS.

Ini kes kedua seumpamanya. Pada 27 Jun lalu, Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu membatalkan kemenangan calon PAS, Ahmad Amzad Hashim bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu. Keputusan dibuat Hakim Mohd Firuz Jaffril selepas pihak pempestiyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen PRU15. Ahmad Amzad kemudian menang PRK Kuala Terengganu dengan majoriti 47,266 pada 12 Ogos serentak dengan PRN enam negeri.

Ini bukan tuduhan atau sangkaan jahat, ini keputusan mahkamah. Agak-agak Tuan Ibrahim rasa ini cukup tak untuk Umno jadikan bola tanggung? Barulah kira adil jika kedua-dua pihak sama-sama mahu gunakan kes mahkamah dan biarkan pengundi membuat tafsiran sendiri dalam memutuskan pilihan mereka.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Lokman Noor Adam, dalam siaran hariannya di dalam talian pada malam yang sama dengan keputusan mahkamah itu, menyimpulkan bahawa mahkamah mengesahkan bahawa PN dan juga PAS parti perasuah.

Ini berdasarkan hakim menerima dakwaan pempetisyen itu bahawa terdapat sogokan di beberapa majlis rasmi kerajaan negeri Terengganu melalui dana bantuan i-Belia dan i-Siswa yang diagihkan kepada pengundi ketika tempoh berkempen PRU15 untuk meraih undi kepada Che Alias.

“Kalau nak ikutkan, i-Belia dan i-Siswa ini sebenarnya di seluruh negeri Terengganu. Kalau semua pihak boleh memainkan peranan memberi keterangan di mahkamah, maka sudah pasti seluruh negeri Terengganu boleh dibatalkan pilihan raya mereka,” kata Lokman lagi. Tapi itu pandangan beliau, terpulang kepada sesiapa saja untuk buat penilaian.

Setakat ini, belum lagi didengar ada mana-mana pemimpin Umno yang menggunakan keputusan Mahkamah Pilihan Raya ke atas calon PAS Kemaman itu di pentas ceramah di Pelangai. Barangkali tidak seperti PAS, Umno sebenarnya tidak ketandusan modal daripada segi rekod perkhidmatan, pembangunan, dan perpaduan untuk memikat hati pengundi.

Cuma, sekadar mengulangi kata-kata Tuan Ibrahim, kalau tak ambil peluang daripada bola tanggung, kira paling rugilah!

PN-Pas lebih pembangkang atau Khawarij?

HarapanDaily.com

AHMAD MURSI

Fungsi pembangkang dalam negara demokrasi adalah untuk semak dan imbang perjalanan kerajaan.

Wacana yang sepatutnya adalah hal berkaitan tatakelola, polisi, pengubalan undang-undang dan belanjawan kerajaan.

Di Parlimen, apabila PMX debat isu tatakelola, pembangkang balas dengan qazaf PMX.

Mencela hal peribadi PMX yang tiada kaitan dengan urusan kerajaan terkeluar daripada skop fungsi pembangkang dan jelas sekali adalah perangai Khawarij (bersikap ekstrem termasuk mengkafirkan sesama Islam hanya kerana khilaf dalam perkara-perkara furu’ agama atau berbeza pendekatan dalam isu politik).

Isu liwat adalah fitnah yang sedang tidur dan segalanya telah selesai dengan Pengampunan Diraja.

Dulunya, fitnah itu dicetus untuk halang Anwar menjadi PM, tetapi kini berbeza kerana Anwar telah dilantik sebagai pemerintah yang sah mengikut Perlembagaan.

Waktu pemilihan telah tamat dan kewajiban taat kepada pemerintah dalam hal yang makruf, sama ada suka atau tidak adalah sabit dalam hadith yang sahih.

Ahli PN-Pas kini berlumba-lumba membuka aib peribadi, mencela dan memaki-hamun hal yang tiada kaitan urusan kerajaan di ceramah dan media sosial.

Mungkin dengan cara itu, mereka rasa wajar keluar daripada ketaatan. Banyak tohmahan mereka di media sosial dan kumpulan WhatsApp agak menakutkan kerana ciri-ciri Khawarij sangat jelas.

Antara tuduhan mereka seperti liberal, munafik, puak-puak kafir, bahan bakar api neraka, puak tut@h jub@, luar tabi’ie, puak tak ada iman, puak lawan Islam dan lain-lain.

Memerangi Khawarij beroleh pahala pada hari kiamat sepertimana disebut dalam hadith sahih. (HR Bukhari 6930). Ahli ilmu perlu kedepan menggunakan hujah dan bayan.

Sembilan lelaki didakwa merusuh guna senjata

Bernama

MELAKA: Sembilan lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh atas tuduhan merusuh menggunakan senjata tajam sehingga menyebabkan dua daripada mereka cedera.

P Kogilanathan, 24, dituduh dengan dua pertuduhan iaitu menyebabkan cedera parah ke atas D Mahendran, 43, dan N Murthy, 37, dengan menggunakan sebilah parang iaitu satu senjata yang boleh menyebabkan kematian jika digunakan sebagai senjata salah.

Dia dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di persimpangan Taman Ayer Merbau, Jasin pada 12.32 tengah malam, 11 September lalu.

Kogilanathan dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat.

Sementara itu, lapan lagi tertuduh iaitu A Loges, 30; V Megan, 26; R Thiven, 26; Mahendran; P Thanabalan, 33; Murthy; D Thivendran, 33; dan M Kugan, 28, dituduh secara bersama merusuh dengan menggunakan senjata seperti parang, besi dan kayu sehingga menyebabkan cedera di kepala dan badan.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pegawai Pendakwa Nora Yaacob memohon agar mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM25,000 bagi setiap pertuduhan ke atas Kogilanathan manakala RM15,000 bagi lapan tertuduh lain.

Bagaimanapun, tiga peguam tertuduh iaitu Jason Anthony, V Segaran dan SA Amritpal Singh memohon agar semua tertuduh dibenar diikat jamin dengan jaminan rendah memandangkan mereka masih menanggung keluarga masing-masing.

Jason mewakili Kogilanathan; Segaran mewakili Loges, Megan, Thiven dan Kugan manakala Amritpal Singh mewakili Mahendran, Thanabalan, Murthy dan Thivendran.

Hakim Elesabet Paya Wan membenarkan Kogilanathan dibenar diikat jamin RM12,000 bagi kedua-dua pertuduhan manakala lapan yang lain masing-masing diikat jamin RM7,000 serta menetapkan 7 November ini sebagai sebutan semula kes.

Polis sedang lengkapkan permohonan notis merah menantu Muhyiddin

Bernama

Permohonan notis merah Interpol ke atas dua individu termasuk menantu bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin, Muhammad Adlan Berhan masih dalam proses dilengkapkan.

Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay berkata terdapat beberapa isu teknikal yang kini masih dalam proses dikemas kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Apabila kami dapat lengkapkan ia (notis merah Interpol) kami akan buat permohonan rasmi kepada Interpol kembali,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain serta Pengarah Jabatan Intergriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman Azri Ahmad.

Bulan lepas Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki memberitahu media bahawa Muhammad Adlan, 48, dan Mansoor Saat, 69, dikehendaki tampil ke SPRM bagi tujuan pendakwaan kes rasuah dan penyelewengan berhubung projek berkaitan pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.

Sebelum ini, hasil semakan dengan Jabatan Imigresen mendapati kedua-dua individu terbabit meninggalkan Malaysia masing-masing pada 17 dan 21 Mei lepas, dan tiada rekod masuk kembali ke negara ini.

Mengulas mengenai siasatan berhubung dakwaan Ahli Parlimen Ipoh Timur Howard Lee Chuan How menghina agama Islam dengan mentafsir sendiri ayat al-Quran, Ayob Khan berkata dua laporan polis telah diterima berhubung kes itu.

“Lee telah selesai diambil keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak pada Selasa lepas dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Sebelum ini, Lee memohon maaf secara terbuka atas tindakannya memetik ayat al-Quran dalam satu video di laman media sosialnya baru-baru ini dan menjelaskan bahawa dia sama sekali tidak berniat menyentuh sensitiviti masyarakat Islam.

Mengenai perkembangan siasatan dakwaan kes gangguan seksual dan fitnah membabitkan pendakwah bebas serta pempengaruh media sosial The Mondy Tattoo, Ayob Khan berkata setakat ini 10 individu telah selesai memberi keterangan dan beberapa individu lagi akan dipanggil.

-Bernama

Kecoh penyokong tegar Pas ugut nak sihir walau mengaku pejuang Islam

HARAPAN DAILY 
Kecoh penyokong tegar Pas ugut nak sihir walau mengaku pejuang Islam
Kecoh di media sosial seorang individu yang sahih merupakan penyokong Pas melakukan ancaman dan ugutan dipercayai secara sihir terhadap orang lain.

Tangkap layar perbualan pemilik akaun Facebook atas nama John Jonny Jane itu antara lain ‘menasihatkan’ mangsa ugutan terbabit supaya menjaga baik-baik anak dan isteri.

John juga memberi amaran agar mangsa jangan terlalu berani kerana “tak pasal jenuh berubat” dan berkata, jangan hanya disebabkan lelaki berkenaan, anak dan isteri mangsa yang mendapat masalah.

Lebih mengejutkan sekaligus menguatkan ugutannya apabila John melampirkan gambar keluarga mangsa dengan komentar “lawa gambar bro” dan “comel tu semua”.

“Nanti kalau demam ke apa jangan (pergi) klinik ye bro,” tulisnya dengan meninggalkan emoji ketawa.

Walaupun begitu, ‘mamat sihir’ itu dilihat memilih pula bulan mengikut takwim Islam untuk tujuan sihir yang dirancangnya.

Dakwanya, bulan Rabiulawal yang juga bulan keputeraan Nabi Muhammad SAW ‘haram’ untuk tujuan jahat itu sebaliknya perlu ‘tunggu masa dia’.

“Ada masa-masa dia boleh buat… hahaha,” tulisnya.

Dia juga mengulangi ugutannya dengan mengaitkan gambar keluarga mangsa yang dimuat turun dari media sosial itu.

“Ok la bro. Nak print gambar dulu. Simpan siap-siap. Bye, bye hahaha. Pagar siap-siap bro,” kata John lagi.

Susulan itu, orang ramai menasihati individu yang diugut tersebut supaya membuat laporan polis dengan menyertakan tangkap layar perbualan mereka.

Ada juga yang meninggalkan meme berupa tangkap layar kecaman Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Kamal pada tahun 2019 yang berkata, “bodoh penyokong Pas”.

Sementara itu, semakan Harapan Daily di akaun Facebook John Jonny Jane juga mendapati lelaki itu dilihat begitu obses menyerang dan memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Nak serang inisiatif mesin layan diri IPR tapi logik ‘Naratif Rakyat’ kena kecam

HarapanDaily.com
Nak serang inisiatif mesin layan diri IPR tapi logik ‘Naratif Rakyat’ kena kecam
Satu ciapan di laman X ‘Naratif Rakyat’ yang dilihat cuba untuk menyerang inisiatif mesin layan diri di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dilihat hanya mengundang kecaman.

Logik yang cuba diasak tentera siber itu untuk memburukkan Kerajaan Perpaduan dan lebih khusus lagi Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang digelarnya ‘Raja Formula’ sukar diterima dengan akal bijak.

“Setiap paket nasi lemak yang dibeli dari vending machine, kurang satu paket nasi lemak yang dijual makcik tepi jalan.

“Siapalah yang bodoh sampai undi Raja Formula ni?” ciap Naratif Rakyat semalam.

Namun, rata-rata komentar antara lain mengingatkan bahawa mesin layan diri IPR itu memang diletakkan di tempat awam, kawasan tumpuan atau lokasi yang dilihat mempunyai pembeli berskala besar.

Pemilihan lokasi itu sekaligus tidak menyebabkan persaingan apa lagi menjejaskan pendapatan peniaga nasi lemak secara fizikal di tepi jalan.

Warganet juga berpendapat peniaga masing-masing mempunyai ruang dan platform selain kreativiti untuk memastikan barang jualan laku di pasaran.

“Vending machine tu bukan di kampung. Lagipun orang naik LRT mana ada masa untuk beli tepi jalan.

“Kalau ada jual nasi lemak dalam TikTok online bermakna kuranglah satu bungkus nasi lemak yang dijual makcik di tepi jalan? Apa yang kau mengarut ni?

“Sampai macam ni bodohnya ye sebab takde benda yang dicondemn. Kalau ikut logik kau ni, baiklah rakyat Malaysia tak payah niaga.

“Setiap paket nasi lemak yang dibeli dari Mekdi, kurang satu paket nasi lemak yang dijual makcik tepi jalan. Siapalah yang bodoh sampai biarkan Mekdi bermaharajalela ni?” demikian antara kecaman dan sindiran netizen.

Untuk rekod, program mesin layan diri IPR yang dilancarkan oleh Rafizi pada Mac lalu menyaksikan usahawan terbabit mampu menjana keuntungan lebih RM2,000 dalam sebulan.

Inisiatif tersebut membantu ribuan usahawan kecil terutama golonga muda di kawasan pusat dan pinggir bandar untuk mengubah nasib dan menambah pendapatan sampingan.

Menerusi program tersebut, peserta tidak dikenakan sewa selama dua tahun dan cas elektrik pula ditanggung pemilik tapak atau rakan strategik.

Pangkah calon ke pangkah parti?

Mohsin Abdullah

Persoalan yang diaju tajuk artikel ini ialah kita undi calon atau parti apabila membuat pilihan di peti undi. Ia bukan persoalan baharu. Tetapi oleh kerana iklim politik negara masih panas (kalau sudah reda, rasanya masih suam) elok ditimbulkan walaupun sekadar peringatan.

Tidak dinafi faktor calon amat penting diambil kira. Yang dicari ialah orang yang rajin, bijak, yang boleh deliver, tidak terpalit skandal, dan bebas rasuah. Bagi sesetengah pengundi, kriteria termasuk takut kepada Tuhan dan patuh ajaran agama. Menurut mereka jika takut kepada Tuhan semua kriteria lain yang disebut tadi akan fall into place.

Betul tetapi bab calon warak menjadi pilihan akan menyaksikan calon berlagak alim walaupun tak alim. Agama diperguna demi undi. Takpa itu soal lain.

Ada politikus atau yang mahu jadi politikus menawarkan diri sebagai calon untuk berkhidmat. Ini golongan calon bebas yang mendakwa bosan dan tidak percaya mana-mana parti politik lalu bertanding pilihan raya bersendirian. Tidak dinafikan ada di antara mereka jujur dan ikhlas mahu laksana apa yang dikata tetapi sering calon bebas dikaitkan dengan unsur negatif seperti dituduh ditaja pihak tertentu, pengacau daun, pemecah undi atau jadi proksi. Untuk membuktikan itu semua memang sukar namun tuduhan terus dilempar.

Apa pun calon bebas biasanya tidak menang meskipun ada yang benar jujur. Tanpa sumber dan jentera pilihan raya mereka kalah. Sejak 2013, pilihan raya umum menyaksikan sejumlah besar calon bebas muncul yang mengakibatkan pertandingan pelbagai penjuru. Mengapa? Kita punya jawaban sendiri. Hakikatnya mereka semua gagal.

Ini bukan bererti calon bebas tidak pernah menjadi pilihan rakyat. Bagi saya, calon bebas paling cemerlang ialah Mohd Jabar Yusof atau lebih dikenali sebagai Cikgu Jabar. Saya pernah tulis mengenai beliau untuk FMT tiga tahun lalu. Dengan dana terhad (wang sendiri hasil penjualan tanah miliknya) dan dibantu pasukan kecil sukarelawan, Cikgu Jabar menang DUN Batu Laut di Selangor pada pilihan raya 1972, 1978, dan 1982. Hebat. Tetapi itu cerita lama.

Pada 1988 Shahrir Samad, akibat sengketa dalaman Umno, bertindak keluar parti dan melepaskan Parlimen Johor Bahru sekali gus membuka laluan untuk pilihan raya kecil diadakan. Beliau bertanding semula atas tiket bebas dan menang. Pun begitu kemenangannya disebabkan sentimen anti-Mahathir Mohamad, presiden Umno ketika itu. Shahrir dikatakan dibantu jentera Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah. Ini juga cerita lama. Shahrir pun sudah kembali ke pangkuan Umno.

Pun begitu akibat langkah Shahrir mengosongkan kerusi untuk memaksa pilihan raya kecil diadakan, satu fasal dimasukkan ke dalam Perlembagaan yang menyebut seseorang wakil rakyat yang meletak jawatan (dan mengosongkan kerusi yang dimenangi) dilarang bertanding semula dalam mana-mana pilihan raya selama lima tahun. Sejak itu tidak ada wakil rakyat yang berani mengikut jejak langkah Shahrir.

Pada pilihan raya umum November lalu muncul beberapa individu bertanding sebagai calon bebas. Tidak terikat dengan mana-mana parti kerana mendakwa “parti politik tak boleh pakai” lalu menyarankan rakyat mengundi berdasarkan calon. Mereka terdiri daripada golongan teknokrat dan profesional yang agak terkenal, dihormati ramai, dan mempunyai kredibiliti namun semua tewas. Ada pelbagai faktor antaranya pengundi persoal bagaimana mereka mahu membawa perubahan yang dilaungkan secara individu. Ini kerana perubahan hanya boleh dibuat oleh sesebuah kerajaan yakni Ahli Parlimen secara berkumpulan dalam sesebuah parti yang milik majorti.

Realitinya rakyat negara ini mengundi parti. Bukan kriteria calon tidak penting tetapi parti menjadi pilihan kerana parti boleh membentuk kerajaan. Mereka juga yakin calon yang dikemukakan parti yang dipilih adalah baik. Kadangkala tepat kadangkala tidak.

Ada pihak berkata people make the party. Manusia yang menubuh parti, menggubal perlembagaan dan dasarnya. Semua dakwa parti mereka terpaling baik. Cuma masalahnya apabila dasar parti dilihat tidak sesuai dilaksanakan di negara ini dengan rakyat yang berbilang kaum dan agama. Masalah juga apabila dasar parti yang dilihat baik tidak dituruti orang parti sendiri yang tidak baik. Maka orang baik dalam parti lah yang mesti membaiki keadaan sebelum bencana menimpa.

Kesimpulannya rakyat selaku pemilih boleh tepuk dada tanya selera.

‘Menunggang’ agama berbeza dengan berpolitik menurut agama

HARAPAN DAILY 

AHMAD MURSI

Bila Haji Hadi kata “PKR LAWAN AL-QURAN” tanpa dijelas lawan bagaimana, itu menunggang agama.

Sama seperti Khawarij tunggang kata “Tiada Hukum Melainkan Hukum Allah” untuk lawan S.Ali dan halalkan darahnya dan S.Muawiyyah.

Tunggangan lain bila Hj Hadi haramkan yang halal untuk kritik lawan politiknya seperti katanya “NDAA tiada dalam Islam”. Akhirnya disanggah oleh ahli hukum.

Sebaliknya pula ‘Rasuah’ yang haram dianggap ‘Sedekah’ yang halal. Mahkamah hingga batalkan dua kerusi PAS K.Terengganu dan Kemaman sebab rasuah.

Dalam tunggangan itu, mereka melanggar banyak sendi asas ajaran Islam tapi dirasakan wajar kononnya ‘demi perjuangan Islam’. Inilah ilusi pengikut Khawarij sejak dulu.

Fitnah, bohong, takfiri, adu domba, mencarut, mencerca, Qazaf, body shaming dalam ceramah diikuti Takbir ahli PAS.

Dahulunya tunganggan Khawarij ialah tuduhan Kufur, Munafiq, Fasiq kepada Ahlul Syahadah. Kini istilah itu ditambah dengan Liberal, Sekular, Freemason dll.

BERPOLITIK MENURUT AGAMA

Jika ‘Berpolitik Menurut Agama’ pula, mereka tidak akan mendekati rasuah, fitnah dan Qazaf sebaliknya bercakap dan membuat hal yang baik.

Dengan itu Islam dilihat agama rahmah dan indah oleh muslim dan non-muslim kerana integriti, kompitensi, contoh tauladan, kerja kuat dan akhlak yang baik.

Mengkritik untuk memperbaiki itu ‘berpolitik menurut agama’, cerca dan mencipta fitnah disalut dengan istilah agama pula itulah ‘menunggang agama’.

Sepatutnya, agama tidak semata-mata ada dalam perlembagaan parti, tapi terzahir dalam pengamalan dan cara berfikir pengikutnya.

13 warga asing ditahan terlibat kes bunuh penjual buah

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: 13 warga asing ditahan termasuk suspek utama berhubung kejadian penjual buah warga tempatan yang mati ditikam di hadapan sebuah rumah di Taman OUG di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, kesemua lelaki berusia lingkungan 22 hingga 52 tahun itu ditahan dalam serbuan 11 pagi, hari ini.

"Bertindak atas maklumat tangkapan awal, polis berjaya menangkap suspek utama dan membuat rampasan beberapa barang kes.

"Polis berjaya menahan semua suspek dalam kes ini dalam tempoh 48 jam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, penjual buah berusia 80 tahun maut akibat ditikam di beberapa bahagian badan dan muka dalam kejadian di hadapan rumah dua tingkat sekitar Taman OUG, di sini, Selasa lalu.

Sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan jam 7.40 petang dan menahan empat suspek lelaki warga asing berusia lingkungan 29 hingga 52 tahun.

Mengulas lanjut beliau berkata, kesemua suspek direman sehingga 4 Oktober bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (bunuh).

"Sebarang spekulasi berkaitan kes ini hendaklah dihentikan.

"Maklumat berkaitan jenayah boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis," katanya.

Sanusi: Politikus cerdik atau licik?

Mohsin Abdullah

Sanusi Md Nor. Suka atau tidak, beliau popular. Paling tidak Sanusi dikenali. Ramai tahu siapa Sanusi. Ada yang suka ada yang menyampah. Ada yang sanjung ada yang meluat. Umum tahu kenapa.

Bagi saya sang politikus yang digelar panglima perang PAS seorang yang “shrewd” dan “cunning“. Terjemahan shrewd ialah cerdik. Manakala cunning ialah licik. Keduanya istilah rasmi. Jika diambil kira bahasa pasar, terjemahannya membawa kepada istilah yang kasar bunyinya dan tidak manis diketengahkan di sini. Untuk artikel ini saya memilih terjemahan rasmi.

Semalam FMT melaporkan beliau menganggap dirinya tidak layak menjadi naib presiden PAS lantas menolak tawaran bertanding. Pertandingan dijadual pada muktamar parti itu Oktober ini.

“Saya ada (terima tawaran). Saya tolak. Saya rasa saya tak padan (sesuai) jadi naib presiden, jadi AJK padan lah,” kata beliau dipetik FMT.

Lazimnya dalam pertandingan jawatan parti politik tidak ada tawaran dibuat. Tidak ada “nah hang tanding”. Yang ada pencalonan. Mungkin sebelum pencalonan ada bisik-bisik untuk tanya jika si polan berminat. Bukan menuduh Sanusi tidak berkata benar. Jangan salah sangka. Sekadar menyatakan kelaziman tapi mungkin dalam PAS berbeza.

Apa pun bagi saya, apabila berkata beliau tolak tawaran kerana anggap diri tidak layak, kata-kata demikian mampu mencairkan ramai dalam PAS dan juga luar PAS, iaitu kalangan orang Melayu amnya.

Lihat lagi apa yang beliau kata: “Saya akan bertanding AJK sebab saya rasa saya patut duduk situ saja. Saya tahu diri saya tang (di) mana”. Berkata juga beliau tidak layak duduk di kerusi top 5. Siapa yang tidak cair mendengar itu semua?

Orang Melayu terutama di Kedah akan sifatkan Sanusi seorang pemimpin yang rendah diri, tidak sombong, tidak bongkak walaupun berjawatan menteri besar. Sanusi amat faham budaya Melayu yang tidak suka orang yang sombong, takbur, dan cakap besar.

Apabila beliau berkata “tak padan jadi naib presiden jadi AJK padan lah” maka sah beliau akan kekal dalam Jawatankuasa PAS Pusat. Mustahil beliau akan kalah pemilihan. Oleh itu untuk menjawab pertanyaan yang tertera pada tajuk artikel ini, saya sekali lagi kata Sanusi cerdik juga licik.

Bagaimanapun seseorang politikus gemar juga menggunakan taktik reverse psychology untuk mendorong seseorang (atau sekumpulan) berbuat sesuatu dengan memberitahu mereka jangan buat sesuatu yang dimaksudkan itu. Ada juga yang amat minat test water. Adakah Sanusi seperti sang politikus yang gemar reverse psychology dan test water?

Perlu diambil kira beliau masih muda. Baru berusia 49 tahun. Tentu ramai setuju jika saya kata beliau punya masa depan cerah dalam arena politik negara khususnya PAS. Parti itu pasti memerlukan pemimpin muda untuk membawa ia ke tahap lebih tinggi. Presiden Hadi Awang agak lanjut usia dan timbalannya, Tuan Ibrahim Tuan Man pada usia 63 bukan lah dianggap muda. Lalu jawatan naib presiden kedudukan cukup penting bagi seseorang politikus membuat langkah seterusnya.

Lantas mungkinkah Sanusi akan dipujuk oleh ahli parti untuk mengorak langkah? Bertanding jawatan naib presiden meski mengaku tidak layak? Mungkinkah beliau akan ‘terpaksa akur’ jika suara akar umbi mahukan beliau bertanding? Terpulang interpretasi masing-masing.

Hakikatnya PAS perlukan Sanusi, meskipun beliau hanya duduk dalam Jawatankuasa PAS Pusat sebagai ahli biasa. Jika tidak masakan beliau diangkat sebagai pengarah pilihan raya PAS – melangkaui tiga naib presiden di atasnya.

Sanusi diakui agak crude terutama semasa berceramah dan membuat kenyataaan di depan media. Kasar dan kadangkala dianggap ‘lucah’. Rasanya ada dalam kalangan PAS terutama orang lama yang tidak senang dengan cara beliau, yang mungkin dilihat tidak sesuai dengan imej ‘orang alim’ yang cuba ditonjolkan parti.

Tetapi jika ada yang tidak senang ia dipendamkan, pada hemat saya. Malah kepimpinan tertinggi amat toleran terhadap apa yang dikata dan dilakukan Sanusi meskipun kontroversial. Sebab? Caranya diterima ramai. Tidak boleh dinafikan prestasi baik PAS pada enam PRN beberapa bulan lalu banyak disumbangkan oleh Sanusi.

Sanusi bercakap kasar dilihat orang ramai, terutama orang Melayu luar bandar, sebagai bercakap ikhlas dan berterus-terang. Beliau dianggap one of us atau salah seorang daripada kami yakni orang kampung. Apatah lagi beliau selalu mengingatkan khalayak bahawa dia anak orang miskin dalam keluarga besar, adik-beradik 13 orang. Beliau dilihat tidak lupa asal-usul meskipun pegang jawatan tinggi. Dia dianggap contoh terbaik poor kampong boy made good. Maka tersentuh orang Melayu dibuatnya. Mereka suka Sanusi sekaligus suka PAS.

Namun tidak disangkal tingkah laku Sanusi ada juga merugikan PAS pada aspek sokongan orang bandar termasuk Melayu dan tentunya masyarakat bukan Melayu. Pun begitu bagi PAS sasaran utama ialah Melayu konservatif yang majoritinya berada di luar bandar, dan Sanusi lah tarikannya. Lalu PAS rela menutup mata terhadap apa jua kelemahan dan kepincangan Sanusi (jika ada).

Bolehkah keadaan ini disimpulkan sebagai ‘hang tolong aku, aku tolong hang’? Bagi saya boleh. Saya ulang Sanusi is both shrewd and cunning. Cerdik dan licik.