Netanyahu: Israel 'Kini Sedang Berperang'

Tangkap layar kebakaran di Israel selepas diserang roket pejuang Hamas. - Foto AGENSI
Tangkap layar kebakaran di Israel selepas diserang roket pejuang Hamas. - Foto AGENSI
BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyatakan bahawa Israel 'kini sedang berperang' selepas serangan Hamas ke atas Israel dan penduduknya, lapor Agensi Anadolu.

"Kita berada dalam keadaan berperang, bukan operasi tentera. Hamas melancarkan serangan mematikan secara bertalu-talu terhadap Israel dan rakyatnya," kata pemimpin Israel itu dalam satu kenyataan.

Netanyahu mengarahkan 'pasukan Israel untuk membersihkan pusat bandar daripada pengganas' dan juga memerintahkan 'rizab tentera digerakkan secara besar-besaran.'

"Musuh akan berdepan akibat yang belum pernah terjadi sebelum ini," kata Netanyahu.

Stesen Penyiaran Israel melaporkan bahawa Menteri Pertahanan, Yoav Galant mengerah pasukan simpanan selepas mengumumkan persiapan untuk menghadapi situasi perang.

Israel telah mengisytiharkan 'kesiapsiagaan' untuk perang selepas puak-puak Palestin di Semenanjung Gaza melancarkan serangan roket ke atas Israel pada awal Sabtu, lapor Israel Broadcasting Authority.

Roket dilancarkan dari pelbagai lokasi di kawasan terkepung itu, tetapi sistem pertahanan Iron Dome Israel dapat memintas kebanyakan serangan, menurut wartawan AA.

Sekurang-kurangnya 20 orang Israel dilaporkan terbunuh manakala lebih 540 orang cedera setakat ini, menurut laporan media Israel. - BERNAMA-ANADOLU

Lelaki bujang ambil anak angkat perempuan berdepan tindakan

KOSMO!

PETALING JAYA – Lelaki berstatus bujang yang mengambil anak angkat perempuan untuk diletakkan di bawah jagaan mereka sendiri bakal berdepan dengan tindakan undang-undang.

Pengasas dan Pengerusi Persatuan Kebajikan Anak Kami, Siti Nursuraya Ali berkata, tindakan itu adalah berbahaya dari segi keselamatan terutama terhadap kanak-kanak tersebut.

Katanya, terdapat selebriti lelaki yang mengambil anak angkat perempuan untuk dijaga dan tinggal bersama di dalam satu rumah.

“Saya sendiri pernah membuat beberapa laporan kepada Bahagian Kanak-Kanak di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana ada saya melihat selebriti lelaki bujang mengambil anak angkat perempuan di mana benda itu adalah tidak dibenarkan berdasarkan undang-undang di Malaysia atas faktor keselamatan.

“Jadi macam mana budak itu boleh berada dalam jagaan selebriti bujang ini? Siapa yang benarkan? Dia melalui proses apa?

“Adakah pihak JKM atau pihak JPN terlepas pandang? Atau pun selebriti ni dia ambil anak angkat orang lain yang mana anak itu didaftarkan kepada ibu angkat lain, tetapi si selebriti bujang ini mengaku itu anak dia?,” soalnya menerusi satu temu bual di sebuah stesen radio tempatan baru-baru ini.

Selain itu, Siti Nursuraya mendedahkan terdapat juga selebriti yang mengambil anak angkat ini bagi tujuan meraih populariti.

“Ada juga kes yang mana anak angkat mereka itu diambil semula oleh JKM walaupun individu tersebut sudah berkahwin.

“Mereka ambil anak angkat dan gunakan anak itu untuk raih populariti di media sosial. Kami buat laporan dan memang terbukti.

“Ada juga video individu yang popular di media sosial menunjukkan budak itu dicubit, diketuk, dicucuk untuk memastikan budak tersebut menangis bagi meraih simpati,” dedahnya.

Sementara itu, menjengah ke ruangan komen, ramai turut mempersoalkan mengapa golongan selebriti atau VVIP mudah melepasi proses untuk mendapatkan anak angkat berbanding individu biasa yang lain.

“Yang peliknya pasangan dah berkahwin lama yang nak ambil anak angkat sangat rumit nak dapatkan, banyak proses. Tetapi selebriti senang-senang sahajaj dapat, kembar lagi. Adakah sebab duit?,” soal Siti Aisyah.

“Saya pernah mohon untuk dapatkan anak angkat lepas tiga tahun baru berjaya. Kadang saya lihat, ada selebriti minggu lepas luah rasa sunyi teringin nak ada kanak-kanak di rumah, selang seminggu dah tunjuk gambar bayi, kapsyen lega proses anak angkat dipermudahkan, sekejap sahaja. Buat saya termenung panjang, jauh betul nasib kita,” luah Rosilla. – KOSMO! ONLINE

Peraturan tidak boleh berjalan ketika guna eskalator

Agensi

Tokyo: Berkuat kuasa mulai Ahad lalu, peraturan bandar Nagoya melarang orang ramai berjalan di eskalator bagi mengelak kemalangan.

Lazimnya, individu yang mahu berjalan atas eskalator akan berada pada laluan kanan, manakala di sebelah kiri, hanya untuk mereka yang mahu berdiri.

Japan Today melaporkan, beberapa tahun kebelakangan ini, banyak insiden individu hilang keseimbangan dan terlanggar individu lain serta kemalangan membabitkan penumpang menaiki eskalator.

Justeru, peraturan baharu itu mewajibkan orang ramai berdiri ketika menaiki eskalator di stesen kereta api dan kemudahan lain di bandar itu.

Bagaimanapun, tiada penalti dikenakan, jika ada yang melanggar peraturan terbabit.

Kerajaan bandar Nagoya menyiarkan hebahan dan memasang poster mengenai peraturan baharu itu di stesen utama kereta api.

Nagoya bukanlah bandar pertama yang mengamalkan langkah ini.

Pada Oktober 2021, kerajaan wilayah Saitama pertama kali melaksanakan peraturan sama.

Satu kajian mendapati, pada satu ketika, penguatkuasaan menurunkan peratusan orang yang berjalan di eskalator daripada 60 peratus kepada 38 peratus, tetapi ia kini kembali ke tahap sebelum penguatkuasaan peraturan itu.
-hmetro

Israel diserang, lebih 5,000 roket dilepaskan

AFP
Antara roket yang dilepaskan dari Gaza ke Israel. - FOTO AFP
Antara roket yang dilepaskan dari Gaza ke Israel. - FOTO AFP
Baitulmaqdis: Lebih 5,000 roket dilepaskan dari Semenanjung Gaza ke Israel hari ini menandakan bermulanya 'Operasi Banjir Al-Aqsa' oleh pejuang Hamas.

Kumpulan itu berkata, pihaknya mengisytiharkan operasi terbabit bagi menamatkan jenayah dilakukan Israel.

"Kami memutuskan untuk menamatkan semua jenayah pendudukan (Israel), masa mereka untuk mengamuk tanpa bertanggungjawab sudah berakhir.

"Kami mengumumkan Operasi Banjir Al-Aqsa dan kami menembak, dalam serangan pertama selama 20 minit, lebih 5,000 roket dilepaskan," katanya.

Seorang wartawan AFP di Baitulmaqdis melihat roket dipintas, beberapa saat selepas siren berbunyi di seluruh bandar.

Katanya, pelancaran itu dimulakan kira-kira 6.30 pagi.

Tentera Israel membunyikan siren amaran di seluruh kawasan selatan dan tengah negara itu, menggesa orang ramai yang tinggal berhampiran mendapatkan perlindungan.

Jabatan kecemasan Magen David Adom mengesahkan, seorang wanita berusia 60-an di Israel terbunuh selepas terkena serangan itu.

Katanya, 15 lagi mangsa cedera dengan dua daripadanya parah.

Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, perdana menteri akan memanggil ketua keselamatan dalam masa terdekat ke atas keganasan itu.

Israel telah mengenakan sekatan yang melumpuhkan ke atas Gaza sejak 2007 selepas Hamas mengambil alih kuasa.

Sejak itu, pejuang Palestin dan Israel terbabit dalam beberapa siri peperangan yang dahsyat.

Serangan terbaharu itu menyusuli tempoh ketegangan yang memuncak September lalu apabila Israel menutup sempadan kepada pekerja Gaza selama dua minggu.

Penutupan lintasan itu berlaku ketika bantahan Palestin menggegarkan sempadan.

Penunjuk perasaan terpaksa membakar tayar dan membaling batu serta bom petrol ke arah tentera Israel, yang bertindak balas dengan gas pemedih mata dan peluru hidup.

Pengkritik mengecam penutupan sempadan sebagai hukuman kolektif terhadap ribuan pekerja Palestin, yang mempunyai potensi pendapatan jauh lebih besar di Israel berbanding di Gaza yang berdepan isu pengangguran tinggi.

18 maut, 27 cedera kemalangan babitkan bas bawa migran

Astro Awani

Keadaan bas yang terlibat dalam nahas di Mexico ketika ditarik trak tunda. - Foto AP

MEXICO CITY: Sekurang-kurangnya 18 individu maut selepas bas yang dinaiki mereka terlibat dalam nahas di Oaxaca, Mexico pada Jumaat.

Menurut pihak berkuasa tempatan, 27 individu lain cedera dalam insiden itu dan telah dikejarkan ke hospital berdekatan.

Tiga kanak-kanak dan dua wanita antara mangsa maut, kesemua mereka dikatakan merupakan pendatang asing dari Venezuela dan Haiti.

Kejadian tersebut dilaporkan berlaku pada jam 5 pagi waktu tempatan apabila bas berkenaan dikatakan terbabas sebelum terbalik di lebuh raya Oaxaca-Cuacnopalan.

Siasatan masih dijalankan bagi mengetahui punca kejadian.

Ini adalah insiden terbaru dalam siri kematian pendatang di Mexico untuk ke sempadan Amerika Syarikat (AS) dan kemalangan kini berlaku di kemuncak paras tertinggi pendatang tiba di sempadan berkenaan dalam cubaan lolos ke AS.

Kebiasaanya, mereka akan cuba menyeberangi mexico dengan bas, trak atau menaiki kereta api kargo secara haram di "laluan darat penghijrahan paling berbahaya di dunia" dengan 686 kematian dan kehilangan dicatatkan pada tahun 2022.

Namun mereka kebiasannya terpaksa berhadapan risiko kemalangan maut dan penculikan oleh kumpulan penjenayah dan rasuah oleh pegawai penguatkuasa.

Pertubuhan Migrasi Antarabangsa melaporkan lebih 8,200 pendatang telah meninggal dunia atau hilang di benua Amerika sejak 2014, kebanyakannya ketika cuba sampai ke AS melalui Mexico.

Pemimpin PN tak yakin menang di pelangai

HarapanDaily.com

PRK Pelangai: PN jangka tak menang
K PRAGALATH

Seorang pemimpin PN menjangkakan bahawa kemenangan tidak berpihak kepada parti mereka di dalam pilihan raya kecil Pelangai hari ini.

“Jika menang, ia pasti satu bonus besar buat kami tetapi sentimen di lapangan tidak memihak kepada kita, terutamanya dalam kalangan pengundi Cina.

“Kita berharap untuk mendapat undi Felda dan kakitangan awam kerana ada trend peningkatan sokongan dari mereka,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

Sementara itu sebilangan pemimpin BN yakin Pelangai akan kekal dikuasai mereka kerana jasa bakti Adun terdahulu Datuk Johari Harun yang telah meninggal dunia.

“Kita menjangkakan akan ada undi protes dan kelesuan mengundi tetapi kita optimistik sokongan untuk BN di Pahang kukuh,” kata seorang pemimpin yang tidak mahu dinamakan.

Penganalisa politik Azmi Hassan pula merasakan tumpuan perlu diberi kepada jumlah majoriti yang dimenangi BN.

“Jika mereka menang dengan majoriti kecil, itu petanda tidak baik. PN akan mendakwa gelombang hijau telah tiba di Pahang.”

Seramai 16,383 pengundi berdaftar akan menentukan pilihan mereka hari ini.

Ada tiga pilihan- calon Barisan Nasional (BN) Datuk Amizar Abu Adam, calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasli.

Berat ni? Wanita 'serang hendap' majlis perkahwinan bekas kekasih

Sinar Harian

Tetamu majlis perkahwinan sedang membersihkan tanah liat di muka pengantin. - Foto agensi

HANOI: Majlis perkahwinan yang meriah di daerah Takhah wilayah Ha Tinh, Vietnam bertukar menjadi kacau-bilau apabila bekas teman wanita pengantin lelaki menyerbunya dan membaling tanah liat kepada pengantin perempuan, lapor Thaiger.

Insiden yang tular di media sosial Vietnam menunjukkan pengantin wanita yang bersiap sedia berarak, tiba-tiba didatangi seorang perempuan yang membawa tanah liat.

Video yang dikongsi menyaksikan pengantin lelaki dan perempuan masuk ke dalam majlis sebelum seorang wanita membaling tanah liat kepada pasangan itu.

Selepas 'membalas dendam' dia melarikan diri dari tempat kejadian dan menyebabkan seluruh muka pengantin dipenuhi kotoran tanah liat.

Pada masa sama, orang ramai bergegas membersihkan pengantin dan majlis bersambung seperti biasa.

Pengerusi jawatankuasa komuniti tempatan, Chen Ba Huan, mendedahkan bahawa wanita yang membaling tanah liat itu adalah bekas teman wanita pengantin lelaki.

Pasangan itu sebelum ini menjalinkan hubungan dan mempunyai seorang anak.

Bagaimanapun, keluarga pengantin lelaki tidak merestui hubungan mereka dan menghalangnya berkahwin.

Polis kini sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian itu. - Sinar Harian memetik agensi

Sempat buat panggilan video minta tolong sebelum lelaki ini hilang

KOSMO!
Tangkap layar rakaman panggilan video terakhir Muhammad Daniel bersama tunangnya (kiri) sebelum dia dilaporkan hilang.
PETALING JAYA – Seorang lelaki dilaporkan hilang sejak 3 Oktober lalu, selepas membuat penghantaran (COD) telefon bimbit jenis iPhone kepada seorang pelanggan.

Mangsa dikenali sebagai Muhammad Daniel Haikal, 27, itu dikatakan sempat menghubungi tunangnya melalui panggilan video dalam keadaan cemas sambil menangis meminta tolong.

Berdasarkan log aktiviti, lokasi terakhir Muhammad Daniel adalah di Pulau Pinang dan dia sepatutnya pulang ke rumahnya di Kuala Lumpur selepas selesai COD pada tarikh tersebut.

Menerusi perkongsian oleh ibu saudaranya yang dikenali sebagai Eyraswan Ramadhan di Instagram semalam, wanita itu meminta bantuan orang ramai untuk mengesan keberadaan anak saudaranya.

“Anak buah saya, Daniel sudah hilang sejak beberapa hari lalu selepas pergi COD iPhone dengan pelanggan yang tidak dikenali.

“Dia sempat ‘video call’ dengan tunangnya dan meminta tolong untuk diselamatkan. Dalam masa sama dia menangis dan berlari untuk mencari jalan keluar dari tempat tersebut (tidak dinyatakan).

“Tetapi ‘video call’ terputus sebab bateri telefon habis. Dia tak sempat beritahu di mana lokasinya,” katanya.

Bercerita lanjut, setakat semalam, pihak keluarga masih belum menerima sebarang maklumat terbaharu berkaitan Muhammad Daniel meskipun laporan polis telah dibuat.

“Semoga Allah permudahkan urusan anakku, Muhammad Daniel Haikal. Semua tempat mama cari abang, tak jumpa. Semoga abang cepat balik.

“Ya Allah ya Tuhan, lindungilah anakku. Jauhkanlah dia dari benda-benda yang tak baik,” luahnya. – KOSMO! ONLINE

Banjir kilat: Polis selamatkan pemandu daripada lemas Pemandu itu terperangkap dalam kenderaannya

FMT Reporters
Seorang anggota polis menyelamatkan pemandu sebuah kenderaan yang sedang tenggelam dalam kejadian banjir kilat di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur petang tadi.
PETALING JAYA: Tiga anggota polis trafik sanggup bergadai nyawa untuk menyelamatkan seorang pemandu yang hampir lemas selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaikinya tenggelam dalam kejadian banjir kilat di terowong Jalan Chan Sow Lin petang tadi.

Menurut laporan Harian Metro, tiga anggota polis berkenaan diarahkan mengawal lalu lintas selepas beberapa jalan di Kuala Lumpur dilandar banjir kilat susulan hujan lebat.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur Zulkafli Chek Lah berkata ketika tiba di jalan Chan Sow Lin, mereka melihat sebuah MPV jenis Nissan X-Trail terapung di terowong yang dinaiki air dan pemandunya terperangkap di dalam kenderaan.

“Melihat keadaan itu, salah seorang anggota berkenaan lantas terjun ke dalam air bagi menyelamatkan dan mengeluarkan mangsa,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, pemandu kereta berusia 27 tahun itu pada mulanya terperangkap kerana tidak dapat membuka pintu bahagian pemandu yang sudah ditenggelami air.

“Namun, lelaki itu berjaya keluar melalui pintu penumpang belakang yang masih terapung beberapa minit kemudian.

“Mangsa kemudian dibawa ke tempat selamat dengan bantuan anggota terbabit,” katanya.

Menurutnya, tiga anggota polis yang terlibat menyelamatkan mangsa itu adalah Koperal Syed Syafiq Syed Halim, Lans Koperal Muhammad Afizul Ismail dan Lans Koperal Shahrip Kamaruzaman.

Terdahulu, hujan lebat di Kuala Lumpur menyebabkan beberapa jalan utama dilanda banjir kilat pada jam 6 petang tadi.

Mulut celupar Sanusi, 'tohmahan' PN boleh makan diri - Analisis

Hariz Mohd

PRK PELANGAI: Walaupun Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor disambut seakan bintang selebriti di negeri-negeri yang ditadbir PAS namun keadaannya agak berbeza di Pelangai.

Dia dikatakan tokoh kontroversi yang selalu melawak dengan jenaka yang dianggap kasar oleh sesetengah pihak.

Sanusi, yang juga pengerusi PN Kedah, menggesa pengundi di Pelangai untuk menolak BN dan PH, bagi menyuarakan penentangan terhadap apa yang didakwanya sebagai liberalisme oleh kerajaan persekutuan.

Ketika berceramah pada malam penamaan calon di Felda Kemasul, Sanusi membangkitkan langkah Ahli Parlimen Ipoh Timur Howard Lee yang memetik terjemahan sepotong ayat al-Quran baru-baru ini.

"Yang liberal ni dia kata sekurang-kurangnya dia (Howard) mengaji..kepala bapak hang...hang bodoh.

"Quran ni Tuhan turunkan penuh kesucian, kemuliaan dia ada disiplin untuk menghurai, untuk menterjemah.

"Ni hangpa alif ba ta pun tak tahu...kote (anu) pun tak kerat," kata Sanusi pada majlis ceramah PN itu.

Walaupun Sanusi tidak menyertai kempen di Pelangai sejak itu, namun kenyataan kontroversinya menjadi bahan kempen BN dan PN untuk menggambarkan bagaimana pemimpin PN bercanggah dengan mesej agama yang mereka dakwahkan.

"Yang saya herannya, pemimpin, ulama besar dia (PAS) tak kata apa seolah-olah ulama (PAS) ni bagi cop halal (pada Sanusi).

"Mencarut boleh, hina orang boleh, maki orang boleh, cerca orang boleh.

“Seolah-olah dia (Sanusi) ambil cop halal daripada ulama yang ada dalam PAS," kata pemimpin Amanah Mahfuz Omar (gambar, atas) semasa ceramah di Felda Kemasul, Bentong pada 1 Oktober lalu.

Sanusi pertikai khutbah PM di New York

Bagi pemimpin BN dan PH, tingkah laku Sanusi menunjukkan apa yang tidak kena dengan PN - bahawa gabungan itu 'memutar-belit cerita dan melemparkan tuduhan' serta tidak begitu acuh dengan isu yang menjejaskan penduduk tempatan.

Topik popular di kalangan pemimpin PN akhir-akhir ini ialah lawatan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ke New York ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu baru-baru ini.

Di luar perhimpunan, Anwar menyampaikan khutbah Jumaat di Pusat Kebudayaan Islam New York (ICCNY), dan ini juga dikritik oleh pemimpin PN di Pelangai.

Sanusi, misalnya, mendakwa tidak ramai perwakilan PBB yang hadir untuk mendengar ucapan perdana menteri kerana masyarakat antarabangsa kononnya mengenali Anwar sebagai pembohong.

"Kenapa tak ada orang? Sebab orang luar pun tahu dia kuat membohong, daripada dengar lebih baik keluar.

"Sebagai rakyat Malaysia, kita patut malu kerana ketika berucap di UNGA orang tak mahu dengar," katanya pada 24 Sept lalu.

"Heran apa. Sini tiap-tiap Jumaat, khutbah tidak masuk berita pun. Dia nak pi tipu orang New York," dakwa menteri besar Kedah itu.

Bagi Ketua Bersatu Pahang Saifuddin Abdullah, dia memberitahu orang Pelangai bahawa Anwar salah kerana menggunakan istilah "pencerobohan" (invasion) untuk menggambarkan perang Rusia di Ukraine ketika berucap di perhimpunan agung PBB.

Dakwaan ini disangkal semasa ceramah BN dan PH, yang menggunakan kenyataan Saifuddin ini sebagai satu lagi contoh tabiat PN menyebarkan maklumat salah.

Anwar, ketika hadir ke Pelangai pada Isnin untuk berkempen, menggambarkan PAS dan PN sebagai perikatan politik yang biadab.

"Anda boleh tidak bersetuju dengan saya, dengan Pakatan Harapan atau pun DAP, tetapi jangan sampai ke tahap 'menghina, mencaci'," kata Anwar.

Felda medan tempur PRK

Pada separuh masa kedua kempen, BN dan PH meningkatkan usaha mereka di tiga Felda, kawasan pilihan raya yang menempatkan separuh pengundi Pelangai.

Walaupun penempatan Felda dari segi sejarah sukar untuk menyokong parti Anwar, PKR, dia disambut kira-kira 1,000 orang ketika menghadiri majlis Felda pada 2 Okt lepas.

Anwar ketika berucap mengingatkan peneroka Felda bahawa pentadbiran kerajaan perpaduan yang menjadikan skim pengecualian hutang untuk peneroka yang dimulakan semasa Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri.

Ini, kata Anwar, kerana dialah yang mendapatkan RM8.3 bilion yang diperlukan, dan ini telah mendapat sokongan sekutunya DAP - sebuah parti yang sering difitnah oleh PN.

"Saya bentang di jemaah menteri, kena bentang dalam jemaah menteri nak sign RM83 bilion ini.

"Bila saya bawa (ke kabinet), Datuk Seri Zahid (Hamidi), dia senang, dia sokong. Timbalan Perdana Menteri 2 Fadillah (Yusof) dari Sarawak dia sokong.

"Anthony Loke (Setiausaha Agung) DAP, dia sokong. Dia kata ini untuk orang Felda yang susah, tak ada masalah.

“Yang nak marah DAP ni apa pasal? Kerana dia Cina. Melayu (dalam DAP) pun ada Rara," kata Anwar berseloroh, merujuk kepada Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman.

PN dakwa Adun BN akan lompat

Sehari kemudian, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin memberitahu pengundi Pelangai bahawa jika mereka memilih calon PN, ada kemungkinan kerajaan Pahang akan runtuh dan bertukar pentadbiran.

Muhyiddin menjelaskan dengan jelas bahawa Pahang tidak seperti kebanyakan negeri, tidak mempunyai undang-undang yang menghalang Adun daripada berpaling tadah.

"Mungkin nanti ada YB Umno sedar kesilapan dan ingin masuk jemaah kita.

“(Jika ia berlaku) Insya-Allah (Timbalan Presiden PAS) Tuan Ibrahim (Tuan Man) bakal menteri besar Pahang,” katanya.

Dakwaan Muhyiddin itu dua hari sebelum Akademi Pengajian Melayu (APM) Universiti Malaya mengeluarkan hasil tinjauannya yang mendedahkan hanya 13.5 peratus responden setuju kerajaan negeri perlu ditukar.

Ketika ditanya jika pentadbiran BN-PH di Pahang patut dikekalkan sehingga habis penggal, 58.6 peratus responden bersetuju, kata kajian itu.

Majoriti responden yang tinggal di tiga Felda di Pelangai - Chemomoi, Sungai Kemasul dan Sungai Kemahal - berkata mereka berpuas hati dengan kerajaan negeri.

Majoriti responden juga, iaitu sebanyak 50.8 peratus, berpandangan wajar untuk kerajaan persekutuan kekal sehingga habis penggal.

"(Responden mendapati) naratif pertukaran kerajaan persekutuan atau kerajaan negeri yang kurang rasional ada kemungkinan boleh menyebabkan berlaku kehilangan keyakinan pengundi terhadap platform kempen PN," kata APM.

Pengundi Pelangai akan memilih Adunnya esok 7 Oktober.

Biar Muhyiddin, Tuan Ibrahim berangan-angan

 Hishamuddin Aun

Muhyiddin Yassin kata Perikatan Nasional (PN) yang dipengerusikannya mampu bentuk kerajaan Pahang yang baharu jika menang PRK Pelangai Sabtu ini. Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man pula tambah itu boleh berlaku kerana DUN Pahang belum luluskan undang-undang anti-lompat parti.

Kedua-duanya bayangkan kemungkinan itu tidak boleh diketepikan – menang Pelangai dan kemudian dapat empat Adun Barisan Nasional (BN)-Pakatan Harapan (PH) yang dikatakan mahu menyeberang. Tapi sebenarnya kedua-duanya – baik Muhyiddin mahupun Tuan Ibrahim – juga naif dan cuai hingga cakap-cakap mereka tak boleh pakai.

Pada PRU15, BN menang 16 kerusi DUN Pahang manakala PN mendapat 17 kerusi. BN kemudian menubuhkan kerajaan negeri dengan PH yang memiliki lapan kerusi DUN yang memberikan kedua-dua gabungan itu majoriti dengan 24 kerusi. Jadi, bagaimana PN mampu mengambil alih pentadbiran Pahang jika menang PRK Pelangai yang memberikan tambahan cuma satu kerusi kepada 18?

Jawapan Muhyiddin ialah itu boleh dicapai jika benar khabar angin ada empat Adun di pihak kerajaan sekarang yang ingin menyertai PN. Makna kata jika itu berlaku, PN yang akan dapat majoriti dengan 22 kerusi manakala BN-PH akan tinggal 20 kerusi di DUN Pahang yang memiliki 42 kerusi.

“Ya, (kemenangan kerusi Pelangai) tak akan mengubah (komposisi) kerajaan kerana tambah satu (kerusi sahaja). (Ia juga bermakna) kurang empat (kerusi sahaja berbanding kerajaan negeri).

“Mungkin nanti ada YB Umno sedar kesilapan dan ingin masuk jemaah kita. (Jika ia berlaku) Insya-Allah Tuan Ibrahim bakal menteri besar Pahang,” katanya pada sesi dialog bersama NGO Melayu di Simpang Durian, Pelangai petang Selasa lepas.

Tidakkah ini cuba kelirukan pengundi? Ini kerana Muhyiddin membuat kenyataan itu berdasarkan khabar angin dan andaian yang beliau sendiri tidak pasti betul atau tidaknya. Asalkan ia sedap didengar pengundi dan ia dapat menarik sokongan mereka kepada PN, kepadanya hentam sajalah.

Mengenali Muhyiddin, tentunya beliau boleh saja menjelaskan kemudian yang kenyataannya itu telah dilaporkan di luar konteks seperti yang biasa dibuatnya ketika kempen PRK Pulai dan Simpang Jeram bulan lalu.

Bercakap kepada wartawan selepas majlis dialog itu, Muhyiddin hairannya mengakui pula yang beliau tidak pasti siapa yang dikatakan empat (Adun) yang mahu menyeberang itu.

“Kami terbuka kepada sesiapa yang ingin sokong. Tapi saya tak pasti jika khabar angin ini ada kebenarannya. Apa-apa pun, Pelangai penting buat kami. Kami bekerja keras untuk jelaskan kepada pengundi agar mereka boleh beri undi kepada calon kami, Kasim Samat.

“Jika menang, ia pastinya kuatkan kedudukan PN. Kami tahu jumlah (kerusi) masih tak cukup, tapi jika ia boleh buka peluang untuk kami tubuh kerajaan, pastinya kami harap dapat berbuat demikian,” katanya. Kasihan penyokong PN mentah-mentah diperdayakan.

Di majlis dialog itu, Tuan Ibrahim berkata jika benar ada empat Adun yang ingin menyertai PN, beliau ingin bertemu dengan mereka. Ketua pembangkang di DUN Pahang itu sekurang-kurangnya jujur yang beliau tak tahu sama ada perkara itu benar atau tidak.

“Jawapan saya mudah – jika memang ada empat Adun (yang ingin sertai), bawa jumpa saya. DUN Pahang belum luluskan undang-undang anti-lompat parti. Kami masih akan bincangkan rang undang-undang ini,” kata Adun Cheka itu lagi.

Rang Undang-undang (RUU) anti lompat parti asalnya dijadual dibentangkan di DUN Pahang pada 8 Mei lalu tetapi pembangkang meminta penangguhan. Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail berkata ketika itu kerajaan negeri bersetuju dengan permintaan pembangkang yang meminta lebih masa untuk meneliti rang undang-undang tersebut.

Lagipun, RUU anti lompat parti di Pahang hanya dapat direalisasikan jika memperoleh sokongan 2/3 atau 28 Adun. Blok kerajaan ketika ini hanya mempunyai 23 Adun iaitu kurang lima kerusi untuk mencapai 2/3 bagi meluluskannya.

“Sebab mereka (pembangkang) menyatakan tidak menyokong. Kalau bawa sekalipun, mereka tidak sokong, tidak boleh juga. Sebab kita (kerajaan) tiada dua pertiga,” kata menteri besar di Program Sembang Santai Veteran di Kampung Bukit Gajah, Simpang Pelangai kelmarin.

Wan Rosdy turut menyelar kenyataan Muhyiddin konon ada Adun BN mungkin menyertai PN sekiranya gabungan itu menang kerusi Pelangai sambil menyifatkan ia satu bentuk fitnah yang bertujuan mengelirukan dan menakutkan rakyat serta pengundi menjelang PRK Sabtu ini.

Tuan Ibrahim ketika majlis dialog kelmarin berkata belum ada wakil rakyat pihak kerajaan yang mendekatinya atau PN setakat ini, yang jika boleh disimpulkan dengan mudah, bermaksud kedua-dua beliau dan Muhyiddin sebenarnya tak tahu tapi mereka tetap bercakap mengenai benda yang tak diketahui asal-usulnya.

Aneh kerana ia membabitkan dua pemimpin tertinggi PN yang dah banyak menuduh pimpinan kerajaan perpaduan berbohong itu dan ini. Tapi jika difikirkan balik, ia tak aneh pun kerana itu biasa dengan mereka. Sekurang-kurangnya, mereka tak menyalahkan ‘kerengga’ kerana mengacau.

Dari selepas PRU15 November tahun lalu lagi – dah hampir setahun pun – PN dan Muhyiddin masih dibuai angan-angan hingga Tuan Ibrahim pun nampaknya terjebak sama. Jika pentadbiran Pahang berubah, Tuan Ibrahim dibayangkan akan menjadi menteri besar.

“Mungkin nanti ada YB Umno sedar kesilapan dan ingin masuk jemaah kita. (Jika ia berlaku) Insya-Allah Tuan Ibrahim bakal menteri besar Pahang,” kata Muhyiddin kelmarin. Jawapannya lambaaat lagi.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Mohd Sharkar Shamsudin menolak ura-ura ada Adun Umno akan berpaling tadah sebagai khabar angin semata-mata. “Tak betul tu, berita angin je. Tiada siapa nak jadi kerajaan pembangkang pada kerajaan pusat,” katanya.

IDE ramal BN menang DUN Pelangai

HarapanDaily.com

K PRAGALATH

Institut Darul Ehsan (IDE) meramalkan bahawa calon BN Datuk Amizar Abu Adam dari Umno akan memenangi pilihan raya kecil DUN Pelangai esok.

Ia meramalkan dalam situasi terbaik Amizar akan memperoleh dua pertiga undi dan dalam situasi terburuk akan menang dengan majoriti 10% perbezaan undi.

“Unjuran terbaik bagi BN adalah mengatasi PN dengan kelebihan 33% undi dengan jangkaan BN mendapat 64% undi dan PN mendapat 31% undi,” kata IDE dalam satu kenyataan media.

“Unjuran terendah ialah BN memperolehi 10% perbezaan undi dengan PN disebabkan faktor peratusan turun mengundi dan peralihan undi PN kepada BN. Namun, dalam senario ini BN masih boleh menang tipis mengatasi PN.

Pusat tersebut meramalkan peratusan keluar mengundi dalam PRK ini akan menurun 77.1% yang dicatatkan dalam PRU-15 kepada sekitar 65%.

IDE yakin dengan kemenangan BN kerana terdapat empat daerah mengundi di Pelangai yang juga kubu kuat BN iaitu:
Manchis
Sungai Gapoi
Telemong
Sungai Perdak

BN mempunyai unjuran kekuatan 3000 undi daripada 4999 pengundi di keempat-empat daerah mengundi.

IDE turut meramalkan persaingan di kawasan Felda memandangkan terdapat tiga kawasan Felda di Pelangai – Sungai Kemasul, Felda Chemomoi dan Sungai Kemahal.

Ia mengakui PN mempunyai kelebihan di kalangan pengundi bawah 40 tahun tetapi kumpulan pengundi 50 ke atas merupakan penyokong kuat BN.

BN juga mempunyai kelebihan 51% hingga 71.6% undi di daerah mengundi Kampung Jawi-Jawi dan Simpang Pelangai.

SPRM temu petunjuk baharu kecurian REE Kedah

Bernama

KUALA LUMPUR: Siasatan dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes kecurian unsur nadir bumi di Kedah berjaya menemukan beberapa petunjuk baharu, kata Ketua Pesuruhjaya Azam Baki.

Azam berkata sepanjang tempoh siasatan dilakukan, SPRM juga menggunakan khidmat pakar untuk mengenal pasti tempoh masa serta kuantiti unsur nadir bumi disyaki dicuri berdasarkan ujian makmal.

“Siasatan kes berkenaan masih berjalan melibatkan siasatan berkait isu-isu rasuah, salah guna kuasa dan pecah amanah terhadap individu dan agensi-agensi penguatkuasaan yang terlibat,” katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut tentang perkara itu kerana dikhuatiri mengganggu siasatan.

Julai lalu, 10 exco Kedah dipanggil memberikan keterangan kepada SPRM bagi membantu siasatan berhubung kes itu.

Selain itu, media turut melaporkan seorang pegawai kanan Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah dan seorang wanita yang merupakan pengarah sebuah syarikat ditahan SPRM bagi membantu siasatan kes rasuah lebih RM13 juta serta salah guna kuasa membabitkan isu berkenaan.

Menteri Besar Kedah Sanusi Nor turut mengesahkan beliau dipanggil memberikan keterangan berhubung kes berkenaan kepada SPRM pada September lalu.

'Derhaka ibu', 3 lelaki ditahan

Mohd Khidir Zakaria
am@hmetro.com.my
SEORANG ibu yang juga warga emas (duduk) ketika mengadu masalahnya yang didera anaknya sendiri kepada NGO Semboyan yang diketuai Yusof Azmi. FOTO Tular
SEORANG ibu yang juga warga emas (duduk) ketika mengadu masalahnya yang didera anaknya sendiri kepada NGO Semboyan yang diketuai Yusof Azmi. FOTO Tular
SEORANG ibu yang juga warga emas (duduk) ketika mengadu masalahnya yang didera anaknya sendiri kepada NGO Semboyan yang diketuai Yusof Azmi. FOTO Tular
Port Dickson: Tiga lelaki ditahan berkaitan dengan tular 'derhaka ibu' di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, mereka ditahan selepas soal siasat dilakukan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini, pada 6.30 petang semalam.

"Hasil semakan rekod jenayah lampau dapati kesemua mereka itu tidak mempunyai rekod jenayah dan dadah, manakala ujian saringan awal air kencing juga negatif.

"Mereka juga dibawa reman selama empat hari bermula hari ini," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Sebelum ini, pihak polis mengesan satu video tular yang dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook berkaitan seorang lelaki yang melakukan kekerasan terhadap seorang warga emas yang juga dipercayai adalah ibunya hingga mendapat perhatian sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Semboyan yang diketuai Yusuf Azmi.

Menurut Aidi Sham, polis dalam proses melengkapkan kertas siasatan dengan memanggil beberapa saksi untuk membantu siasatan sebelum merujuk kepada pihak Pendakwaan Negeri Sembilan untuk arahan lanjut.

Katanya, polis sudah membuka satu kertas siasatan berkaitan insiden terbabit yang disiasat mengikut Seksyen 323 dan 427 Kanun Keseksaan.

SPRM didakwa serbu firma milik peguam peribadi Muhyiddin, Bersatu

MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN 

PETALING JAYA: Peguam peribadi kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu Rosli Dahlan mendakwa bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu firma guamannya pukul 10.30 pagi tadi. 

Katanya, seramai 12 pegawai SPRM menyerbu firma guaman Rosli Dahlan Saravana (RDS) yang menuntut kuasa penyiasatan untuk mengakses seluruh pejabatnya.

Katanya, pegawai SPRM yang diketuai individu bernama Mohd. Farid Ismail, Mohamad Safwan Arbangi dan Siti Aida Khairudin menuntut hak menggeledah dan merampas dokumen-dokumen di firma tersebut.

“Kami memaklumkan pegawai SPRM, mereka tidak boleh menyalah guna kuasa mereka dan mereka tidak diberi kuasa untuk merampas dokumen terlindung firma guaman di bawah seksyen 46 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Seksyen 46 Akta SPRM menjelaskan:

(1) Walau apa pun mana-mana undang-undang bertulis lain, seseorang Hakim Mahkamah Tinggi boleh, apabila permohonan dibuat kepadanya berhubungan dengan sesuatu penyiasatan apa-apa kesalahan di bawah Akta ini, memerintahkan seseorang peguam bela dan peguam cara supaya mendedahkan maklumat yang tersedia kepadanya yang berkenaan dengan apa-apa transaksi atau urusan yang berhubungan dengan apa-apa harta yang boleh disita di bawah Akta ini. 

(2) Tiada apa-apa jua dalam subseksyen (1) boleh menghendaki seseorang peguam bela dan peguam cara mematuhi apa-apa perintah di bawah subseksyen itu sehinggakan pematuhan itu akan mendedahkan apa-apa maklumat atau komunikasi terlindung yang sampai kepada pengetahuannya bagi maksud apa-apa prosiding yang belum selesai.

Rosli merupakan rakan kongsi firma guaman RDS iaitu peguam utama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Muhyiddin.

RDS turut bertindak untuk bekas Perdana Menteri itu dan memulakan saman fitnah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas hal-hal berkaitan Felda.

Katanya, sebelum ini, pegawai SPRM juga cuba menyerbu pejabat firma guaman Tetuan Chetan Jethwani & Co. 

Chetan Jethwani juga bertindak sebagai peguam cara dan kaunsel untuk kepemimpinan Bersatu. 

Dalam pada itu, kata Rosli, kes saman fitnah terhadap Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam yang ditetapkan untuk pendengaran pada minggu lalu ditangguh kepada 11 Disember 2024.  

“Terdapat syak wasangka bahawa serbuan ini dibuat bagi membolehkan SPRM mendapat akses kepada fail-fail di firma guaman yang berkaitan bagi kes-kes yang dinyatakan di atas dan kemudiannya mungkin dibocorkan kepada pihak bertentangan. 

“Ironinya, baru minggu lalu, saya memberi ucapan di dua persidangan undang-undang. 

“Salah satu topik mengenai fitnah dan yang kedua mengenai AMLA dan penyalahgunaan kuasa oleh agensi penguatkuasaan, khususnya SPRM dalam menyalah guna kuasa penyiasatan mereka, membocorkan siasatan mereka dan dalam proses itu dan memfitnah orang yang menjadi sasaran,” katanya. 

Rosli ketika dihubungi Utusan Malaysia memberitahu, beliau dalam perjalanan ke ibu pejabat SPRM untuk memberi keterangan petang ini. -UTUSAN

JPJ: Ingkar peraturan cermin gelap boleh didenda, penjara

Sinar Harian

Ingkar peraturan cermin gelap boleh didenda, penjara - JPJJPJ pada Mei 2019 telah memperkenalkan peraturan baharu mengenai pemakaian cermin gelap kepada kenderaan persendirian. - Gambar fail

PUTRAJAYA: Pemandu atau pemilik berdaftar kenderaan yang melanggar peraturan cermin gelap boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan bagi kesalahan pertama.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam satu kenyataan berkata, bagi sabitan berikutnya pula, denda tidak melebihi RM4,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan, atau kedua-duanya sekali.

Menurutnya, Kementerian Pengangkutan melalui JPJ pada Mei 2019 telah memperkenalkan peraturan baharu mengenai pemakaian cermin gelap kepada kenderaan persendirian.

"Peraturan baharu tersebut telah diwartakan di bawah Kaedah-kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991 (Pindaan 2019).

"Peraturan-peraturan tersebut telah menetapkan bahawa Kadar Ketelusan Cahaya (VLT) bagi cermin kenderaan yang dibenarkan ialah Subkaedah (1) iaitu cermin hadapan kenderaan 70 peratus, Subkaedah (3), cermin tepi sisi kiri kanan pemandu 50 peratus dan Kaedah 12(1)(b), cermin sisi bahagian belakang dan cermin belakang 0 peratus," katanya pada Jumaat.

Tambah kenyataan itu, JPJ tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas kepada pemandu atau pemilik kenderaan yang gagal mematuhi peraturan penggunaan cermin gelap yang ditetapkan.

Ujarnya, berdasarkan rekod, JPJ telah mengeluarkan sebanyak 108,428 notis kesalahan yang melibatkan cermin gelap sejak tahun 2019.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 17,218 telah dikenakan saman JPJ(P)22," katanya.

Bagaimanapun, kata JPJ, selaras dengan peraturan penggunaan cermin gelap kepada kenderaan persendirian, mana-mana individu atas faktor keselamatan atau kesihatan boleh memohon kelulusan untuk menggunakan cermin gelap dengan cara memohon melalui pos atau portal JPJ www.jpj.gov.my.

"Sehingga kelulusan diperoleh, mana-mana individu hendaklah mematuhi peraturan yang sedang berkuat kuasa.

"JPJ juga ingin menasihati orang awam supaya sentiasa mematuhi peraturan-peraturan sedia ada yang telah ditetapkan," ujarnya.

Jelas JPJ, orang awam digalakkan untuk memberi kerjasama kepada pihaknya sekiranya terlihat kenderaan yang tidak mematuhi peraturan ini dengan menyalurkan aduan secara langsung melalui e-Aduan@JPJ di aplikasi MyJPJ. - Sinar Harian

Lelaki Diperintah Bayar RM30,000 Kerana Hamilkan Isteri Orang

VOCKET

Mahkamah telah memerintahkan seorang lelaki bukan Islam membayar pampasan kepada suami kekasihnya, hasil daripada hubungan luar nikah yang membawa kepada keretakan rumah tangga, lapor Utusan Malaysia.

Lelaki berusia 26 tahun yang menetap di Baling, Kedah itu didapati bersalah menjalinkan hubungan sulit dengan seorang wanita berusia 32 tahun sehingga menyebabkan kelahiran seorang anak.

Hakim Mahazan Mat Taib dari Mahkamah Tinggi Alor Setar mengeluarkan perintah itu selepas menerima petisyen balas suami.

Dalam keputusannya, Hakim Mahazan menekankan keseriusan hubungan sulit dan perzinaan sebagai faktor yang menyumbang kepada pembubaran perkahwinan itu.

Beliau menyifatkan jumlah pampasan RM30,000 itu munasabah, memandangkan salah laku kedua-dua pihak terbabit dan bertujuan sebagai pengajaran kepada umum.

Wanita itu sebelum ini memfailkan cerai di bawah Akta Perkahwinan dan Perceraian.

Selepas itu, pemandu treler berusia 38 tahun dari Sik memfailkan petisyen balas, menamakan lelaki dari Baling itu sebagai parti dan menuduhnya berzina dengan isterinya.

Selepas memfailkan petisyen balas, isteri dan lelaki simpanan itu meninggalkan negara dan belum pulang.

Mereka juga tidak menjawab petisyen balas. Peguam suami menyatakan bahawa mereka mengemukakan pelbagai bukti kepada mahkamah, termasuk gambar dari profil Facebook ahli keluarga lelaki yang terlibat dalam hubungan itu.

Di bawah undang-undang perkahwinan sivil, mahkamah mempunyai budi bicara untuk memerintahkan individu yang didapati bersalah berzina dalam hubungan pasangan suami isteri membayar pampasan, menjadi contoh kepada masyarakat.

Mahkamah kekal hukuman penjara 20 tahun warga Bangladesh kerat isteri

V Anbalagan
Keratan mayat seorang wanita ditemukan di dalam dua beg pakaian di tebing sungai berhampiran Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 2018. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR: Mahkamah Rayuan mengesahkan hukuman penjara 20 tahun terhadap seorang warga Bangladesh yang membunuh, mengerat kemudian menyumbat bahagian badan isterinya dalam dua beg pakaian.

Panel tiga anggota yang dipengerusikan oleh Hakim Vazeer Alam Mydin Meera menolak rayuan Shahzada Saju terhadap hukuman itu selepas mendapati hakim bicara tidak melakukan sebarang kesilapan yang boleh dirayu ketika menjatuhkan hukuman.

“Hukuman itu wajar kerana ia tindakan yang mengerikan. Mahkamah harus mempertimbangkan elemen kepentingan awam.

“Sebagai suami mangsa, (Shahzada) sepatutnya menjaga isterinya, sebaliknya dia mengambil nyawanya,” kata Vazeer yang bersidang bersama Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim dan SM Komathy Suppiah.

Pada 7 Ogos 2018, Shahzada, seorang bekas pelayan didakwa membunuh Sajeda-E Bulbul, juga warga Bangladesh, di Dang Wangi, Kuala Lumpur antara 3 dan 5 Julai 2018.

Dia mengaku bersalah pada 26 Mei tahun lepas, selepas hakim perbicaraan mengurangkan tuduhan kepada homisid salah tidak bersamaan dengan bunuh pada penutupan kes pendakwaan.

Terdahulu hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Fuad Abdul Aziz meminta rayuan itu ditolak kerana hukuman penjara 20 tahun selaras dengan trend hukuman bagi kesalahan itu.

Vijey Esvaren selaku peguam mewakili Shahzada memohon keringanan bagi anak guamnya agar dapat pulang ke rumah untuk menjaga ibunya.

Dilaporkan bahawa bahagian mayat yang dikerat itu ditemukan dalam dua beg pakaian di tebing sungai berhampiran Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Polis menahan Shahzada di Johor Bahru pada 25 Julai 2018. Motif pembunuhan tidak didedahkan.

Dalam kes lain, mahkamah yang sama mengekalkan hukuman penjara 20 tahun terhadap Goh Jie Keat, yang juga mengaku bersalah membunuh anak saudaranya, Serena Yip Pei Yee, 3, di sebuah rumah di Taman Kepong, Kuala Lumpur, pada 18 Jun 2018.

Goh pada mulanya didakwa atas tuduhan membunuh, tetapi tuduhan dikurangkan kepada homisid salah tidak bersamaan dengan bunuh selepas pihak pendakwaan menerima representasinya semasa perbicaraan.

Laporan bedah siasat mendapati terdapat 56 kesan tikaman pada mangsa dipercayai menggunakan objek tajam.

Terdahulu, peguam N Subramaniyan mencadangkan hukuman penjara antara 12 hingga 15 tahun dari tarikh tangkap, dengan berkata anak guamnya seorang pesalah muda ketika kesalahan itu dilakukan.

Beliau tidak mempertikaikan jumlah kecederaan pada mangsa, tetapi berkata anak saudara tertuduh berulang kali mengusik tertuduh, yang ketika itu berusia 21 tahun, sehingga menyakitkan hatinya.

“Ia bukan tindakan yang dirancang,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izhani Zainal berhujah bahawa tempoh hukuman itu wajar memandangkan hukuman penjara maksimum bagi kesalahan itu ialah 30 tahun.

Lelaki parah ditetak dengan parang

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang lelaki parah ditetak dengan parang oleh seorang individu yang mengamuk di Matu, Mukah, dalam kejadian awal pagi tadi.

Ketua Polis Matu, Neil Beginda, berkata polis menerima laporan berhubung kes pada 1 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik anggota tiba di lokasi, mangsa yang berusia 56 tahun itu didapati sedang duduk di tangga rumah dalam keadaan berlumuran darah.

“Terdapat kesan tetakan di bahagian dahi, belakang kepala, pergelangan tangan kanan dan ibu jari sebelah kiri hampir putus,” katanya dalam kenyataan, menurut Harian Metro.

Beliau, mangsa dibawa ke sebuah klinik sebelum dirujuk ke Hospital Sibu untuk mendapat rawatan lanjut.

Bagaimanapun katanya, mangsa dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan di Hospital Sibu.

“Suspek berusia 57 tahun telah ditangkap dan parang yang digunakan untuk menetak mangsa turut ditemui.

“Suspek direman sehingga 9 Oktober ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.

'Aku mahu potong tangan, cungkil mata kamu'

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my
TAN Hock Meng dibawa keluar selepas mengaku salah mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah. FOTO Alias Abd Rani
Muar: "Apa hal ambil gambar ini," kata seorang pekerja tapak semaian yang didenda RM4,300 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tiga pertuduhan mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah, bulan lalu.

Tertuduh, Tan Hock Meng, 40, dihadapkan dua pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 kanun sama membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan oleh dibaca jurubahasa di hadapan Majistret Fatin Dalilah Khalid.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa mendatangkan kecederaan terhadap Gan Kee Chai, 58, dengan kedua-dua kejadian berlaku pada 26 dan 27 September, jam 2.30 petang di Taman Cempaka Selatan di sini.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian mengenakan denda RM900 bagi setiap pertuduhan dan mengarahkan tertuduh dipenjara dua bulan jika gagal membayarnya.

Untuk satu lagi pertuduhan, dia didakwa menggunakan sebilah pisau dan garpu sambil mengacu ke arah mangsa sama dan berkata 'mahu memotong tangan, cungkil mata'.

Justeru, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dengan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Fatin Dalilah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,500 bagi kesalahan ini, pada masa sama, mahkamah mengarahkan tertuduh dipenjara tujuh bulan jika gagal membayarnya.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Mohammad Zuwairi Md Noor manakala tertuduh diwakili peguam Nor Hafizah Abdullah dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YGBK).

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah mengenakan hukuman paling maksimum dengan mengambil kira kesalahan serius dilakukan tertuduh.

Bagaimanapun, Nor Hafizah dalam rayuannya memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan memandangkan anak guamnya perlu menanggung dua anak serta ibu bapa sudah uzur.

Bayi 8 bulan maut seharian tertinggal di dalam kereta

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang bayi perempuan meninggal dunia selepas tertinggal kira-kira 10 jam di dalam kereta ibunya di kawasan letak kenderaan Hospital Canselor Tunku Muhriz (HTCM), Cheras, semalam.

Difahamkan bahawa ibu mangsa, yang juga seorang doktor, menyangka sudah menghantar bayinya berusia lapan bulan itu ke taska sebelum ke tempat kerja.

Ketua Polis Cheras Zam Halim Jamaluddin hari ini berkata, pegawai perubatan HTCM menerima mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri pada 5.53 petang.

Bagaimanapun, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia pada hari sama.

“Hasil siasatan awal mendapati pada 7.20 pagi, ibu mangsa meletakkan mangsa di bahagian belakang penumpang sebelah kiri di dalam kereta untuk dihantar ke taska.

“Bagaimanapun, ibu mangsa terus memandu keretanya ke tempat kerja dengan anggapan mangsa sudah dihantar ke taska,” kata Zam Halim, lapor Berita Harian.

Ibu mangsa hanya menyedari mangsa masih berada di dalam keretanya pada petang hari sama selepas suaminya memaklumkan bahawa mangsa tiada di taska.

Menurut Zam Halim, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan.

BAIK ANWAR LUPAKAN SAJA NAK BAWA MASUK MCA SERTAI KABINET

Shahbudin Husin

Pada mulanya saya tidak mahu memberi sebarang ulasan tentang kenyataan seorang pemimpin MCA yang mahu Anwar Ibrahim melepaskan jawatan sebagai Menteri Kewangan, sambil mencadangkan beberapa menteri juga perlu digugurkan.

Selain Anwar yang dimintanya melepaskan jawatan Menteri Kewangan, menteri yang dikehendakinya digugurkan ialah Rafizi Ramli, Mohamad Sabu dan Nga Kor Ming.

Sebagai tanggapan awal, saya tidak fikir kenyataan pemimpin MCA bernama Mike Chong itu merupakan pendirian rasmi MCA, manakala beliau pula bukanlah pemimpin yang dikenali sebelum ini.

Lebih daripada itu, Mike Chong juga tiada rekod pernah memegang sebarang jawatan dalam kerajaan, jauh sekali ada berpengalaman jadi menteri atau timbalan menteri.

Jadi, bagi saya, tak perlu dilayan sangat kenyataannya itu.

Tetapi, memandangkan beberapa menteri seperti Mohamad Sabu sendiri dan Anthony Loke turut memberi respon terhadap kenyataan beliau itu dan dalam masa yang sama, MCA langsung tidak bersuara membantah, ia seolah-olah menggambarkan parti Cina itu setuju dengan kenyataan Mike Chong tersebut.

Dalam hal ini, apakah pendirian MCA sebenarnya terhadap kenyataan Mike Chong itu?

Sepatutnya, dalam keadaan Perdana Menteri mahu melakukan rombakan kabinet dan nama Presiden MCA, Wee Ka Siong disebut-sebut bakal dibawa kembali menyertai kabinet, nada seperti kenyataan Mike Chong itu tidak harus sama sekali dikeluarkan.

Bagaimana Perdana Menteri mahu membawa MCA berada dalam kabinet kembali jika belum apa-apa, ada pemimpinnya sudah tunjuk pandai mahu pemimpin tertentu digugurkan sebagai menteri?

Lebih celupar lagi, Anwar sendiri turut diminta melepaskan jawatannya sebagai Menteri Kewangan?

Dalam keadaan keceluparan paling tak wajar itu, bagaimanakah Anwar mahu memberi jawatan menteri kepada Presiden MCA?

Sebagai peringatan paling mudah, bersama keceluparan pemimpin MCA itu bersuara mahu menteri-menteri tertentu digugurkan, sudahkah beliau menatap cermin untuk melihat dan menyedari keadaan partinya sendiri di mata pengundi Cina?

Kalau setakat ada dua kerusi Parlimen saja mampu dimenangi, bersyukurlah jika diberi jawatan menteri dan selebihnya, akurlah dengan kebijaksanaan Perdana Menteri menguruskan perlantikan barisan kabinetnya.

Begitu pun, melainkan MCA segera menyanggah kenyataan Mike Chong itu, Anwar selaku Perdana Menteri tidak harus tidak terasa apa-apa dengan keceluparan ini.

Jika tiada penafian daripada MCA sendiri dalam waktu terdekat ini, lebih baik Anwar lupakan saja hasrat mahu membawa kembali Wee Ka Siong menganggotai kabinet.

Biarlah MCA duduk di pnggiran saja dalam kerajaan perpaduan ini. – ShahbudinHusin 05/10/2023.

Mayat pemetik buah tersangkut di pokok dokong

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang pemetik buah yang keluar ke kebun ditemukan maut dengan lehernya tersangkut di dahan pokok dokong pada ketinggian 6m, dalam kejadian di Kampung Dusun Beliku, Hulu Besut.

Mayat Saari Ghani, 53, ditemukan pada 5.15 petang tadi oleh pasukan penyelamat yang melakukan pencarian berikutan mangsa disedari tidak pulang ke rumah selepas keluar ke kebun sejak pagi semalam.

Ketua Polis Besut, Abdul Rozak Muhammad, berkata mangsa dikatakan keluar ke kebun kira-kira 9 pagi.

Beliau berkata, kira-kira 10 pagi tadi isterinya meminta menantu dan adik ipar mencari mangsa di kawasan kebun sebelum mereka menemukan dua bekas berisi buah di pertengahan jalan menghala ke rumah.

“Turut ditemukan sebatang pengait buah yang disandar pada pokok di kebun itu, tetapi mangsa tidak kelihatan.

“Ketika anggota penyelamat tiba di lokasi kira-kira 4 petang, mangsa belum ditemui dan pencarian dilakukan kemudian menemukannya tersangkut pada celah dahan pokok dokong,” katanya menurut Berita Harian.

Mayat mangsa kemudian dibawa turun dan dihantar ke Hospital Besut untuk bedah siasat dengan kes diklasifikasikan mati mengejut (SDR).

‘Kita ada maklumat dalaman’, Zahid kata ada Adun PN akan bersama BN

Faisal Asyraf

PUTRAJAYA: Presiden Umno Zahid Hamidi mendakwa beberapa Adun Perikatan Nasional (PN) Pahang akan keluar gabungan itu untuk menyokong Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dalam ucapannya di Felda Chemomoi pada Selasa, mendakwa beberapa Adun BN akan menyokong PN jika gabungan itu menang PRK Pelangai 7 Okt ini.

“Walaupun itu propaganda mereka, kita juga mempunyai maklumat dalaman dan sebenarnya mereka juga (Adun PN) akan bersama dengan kami.

“Jadi, kita berharap empat (Adun) itu datang daripada mereka (PN),” katanya kepada media.

Terdahulu, Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail menafikan dakwaan Muhyiddin, sambil berkata Adun BN menyatakan kesetiaan kepada gabungan dan tidak akan meninggalkan parti untuk menyertai PN.

Beliau berkata, dakwaan Muhyiddin dibuat untuk mengeliru dan menakut-nakutkan rakyat menjelang PRK Pelangai.

Pahang belum melaksanakan undang-undang anti lompat parti sejak ia dikuatkuasakan di peringkat persekutuan pada Oktober tahun lalu.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang mempunyai 42 kerusi. BN dan Pakatan Harapan masing-masing memiliki 16 dan lapan kerusi, manakala PN 17.

PRK Pelangai diadakan susulan kematian penyandangnya daripada Umno yang juga exco Pahang, Johari Harun, yang meninggal dunia dalam nahas pesawat di Bandar Elmina, Shah Alam, 17 Ogos lalu.

Penganggur jerut leher isteri, berang diberi RM100

Sinar Harian

MUAR: Seorang penganggur tergamak menjerut leher dengan tali dan menutup mulut isterinya hanya kerana diberikan RM100 selepas meminta wang dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Kim Kee di sini pada Rabu.

Lelaki berusia 33 tahun itu dikatakan berang kerana isterinya tidak memberikan wang seperti yang diminta.

Akibat tidak berpuas hati, suspek cuba membunuh isterinya dengan bertindak sedemikian sehingga wanita berkenaan tidak sedarkan diri.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kejadian pada jam 12.30 tengah malam itu berlaku dipercayai akibat selisih faham.

"Suspek kemudian telah melarikan diri apabila mangsa tersedar selepas ditampar oleh suspek. Mangsa kemudiannya telah ke balai polis untuk membuat laporan.

"Mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini dan dirawat sebagai pesakit luar," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, bertindak atas laporan polis dibuat, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar berjaya memberkas suspek.

Katanya, ujian air kencing suspek adalah negatif dadah dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Kes disiasat bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Tambah beliau, suspek kini direman selama lima hari bermula Rabu untuk membantu siasatan.

Difahamkan, suspek dan isterinya yang berusia 29 tahun dalam proses perceraian. - Sinar Harian

Terengganu: Bapa didakwa rogol, amang seksual anak kandung

Sinar Harian

Bapa didakwa rogol, amang seksual anak kandung

Tertuduh (kiri) ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu pada Khamis atas dakwaan melakukan amang seksual dan merogol anak kandung. - Gambar/ Sinar Harian

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini pada Khamis atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual dan merogol anak kandungnya yang berusia 10 tahun.

Tertuduh yang berusia 42 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Nazlyza Mohamad Nazri.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh di dakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa di sebuah rumah di daerah Marang pada Jun 2020.

Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dibaca bersama Seksyen 16(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman sehingga 20 tahun dan boleh dihukum dengan sebatan bagi di bawah Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Selain itu, tertuduh berdepan hukuman tambahan penjara tidak lebih lima tahun dan hukuman sebatan tidak kurang dua kali sebatan bagi kesalahan di bawah Seksyen 16(1) akta yang sama.

Pertuduhan kedua dan ketiga pula dibuat mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan di mana tertuduh didakwa merogol anaknya kira-kira jam 4 petang pada Disember 2020 dan pada pertengahan tahun 2021 di lokasi yang sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh berdepan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun serta dikenakan tidak kurang 10 sebatan bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan ke atas tertuduh dan menetapkan 7 November depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Riffin manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - Sinar Harian

Kelantan: Penjawat awam mengaku salah curi lembu, ingkar arahan polis

Nor Fazlina Abdul Rahim
nfazlina@nstp.com.my
MOHD Balian mengaku bersalah atas dua pertuduhan termasuk mencuri lembu di Machang pada 25 September lalu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MOHD Balian mengaku bersalah atas dua pertuduhan termasuk mencuri lembu di Machang pada 25 September lalu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Kota Bharu: Penjawat awam mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas dua pertuduhan termasuk mencuri lembu di Machang pada 25 September lalu.

Tertuduh, Mohd Balian Sidek, 43, membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amal Razin Alias.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa mencuri lembu daripada milikan Abdul Manaf Arifin, 52, di Kampung Joh Labok, Machang pada jam 5.30 pagi, 25 September lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan kali kedua atau yang kemudian boleh dihukum penjara dan denda atau sebat.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengingkari suatu perintah yang diisytiharkan oleh seorang anggota polis yang meminta dia menyerah diri, sebaliknya tertuduh melarikan diri dengan kereta hingga menyebabkan berlakunya pelanggaran.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 118 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga sebulan atau denda sehingga RM400 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nursyafiqah Mohamad dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Nursyafiqah mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM8,000.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan terhadap tertuduh sebanyak RM4,000 dan menetapkan Ahad ini sebagai tarikh hukuman dan fakta kes.

'Ampun maaf andai menyusahkan anda semua'

Mohamad Fahd Rahmat
am@hmetro.com.my

Kluang: "Ampun maaf dari kami andai yang terjadi ada menyusahkan anda semua. Apa-apa pun Alhamdulillah".

Permohonan maaf itu diluahkan pemilik akaun Facebook menggunakan nama Ah Pek yang juga waris sebuah keluarga yang dikhuatiri hilang selepas gagal dihubungi sewaktu bercuti di Pulau Perhentian di Terengganu, hujung minggu lalu.

Menurutnya, apa pun dia bersyukur kerana berkat doa keluarga, rakan-rakan dan semua pihak yang membantu sehingga selamat tiba semula di daerah ini.

"Macam mana pun saya benar-benar terharu, dalam kehidupan yang kita jalani setiap hari.

"Andai kita sentiasa menghormati orang, semua orang akan senangi kita.

"Bertalu mesej dan panggilan masuk bagi pertolongan tanpa batasan. Tuhan saja dapat membalas jasa kalian," katanya hari ini.

Katanya, apa yang terjadi selama tiga hari dan tidak dapat menghubungi anak-anaknya secara secara mengejut bukan perkara remeh.

"Setiap orang ujiannya berbeza, mungkin hari ini hari saya.

"Andai semuanya berjalan seperti biasa mungkin saya tidak terfikir hendak membuat laporan polis dan sebagainya.

"Tetapi macam mana, mereka sampai di pulau dalam beberapa jam terus hilang perhubungan sehingga hari ketiga tanpa berita.

"Ada yang senang dan ada yang memperlekehkan, apabila bila kes selesai," katanya.

Dalam hantaran sama, dia dipercayai sedang berusaha membeli alat pengesan bagi memudahkan anak-anaknya dikesan lokasi mereka pada masa depan.

Terdahulu, media melaporkan polis mengesahkan keluarga yang dilaporkan hilang selepas bercuti di Pulau Perhentian di sini pada hujung minggu lalu disahkan selamat pulang ke Kluang.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima maklumat daripada keluarga mereka memaklumkan semua pulang ke rumah dengan selamat.

Nak sindir rombakan Kabinet tapi akhirnya MP Pas pula kena kecam

HarapanDaily.com

AKMAL MANAF 

Seorang Ahli Parlimen yang juga Ketua Pemuda Pas, menjadi sasaran warga maya di laman sosial Facebook apabila hantaran yang dimuat naik, mengundang kecaman.

Ahmad Fadhli Shaari wakil rakyat di kawasan Pasir Mas, Kelantan menerusi akaun Facebook miliknya semalam dipercayai cuba menyindir tentang rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ubah macam mana pun kabinet dapur, kalau dah pinggan mangkuk kotor tak akan selesai masalah… jemput komen para haters,” tulisnya di laman sosial itu serta berkongsikan gambar keadaan dapur yang bersepah.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya mengecam dan menyindir Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) itu.

“Jeles la tu… masa dia jadi kerajaan bukan setakat pinggan mangkuk je kotor, dapur pun pakai arang batu… kolot dan lembap… hahaha,” tulis Siti Amirah Manaf.

Pengguna Facebook, Justin Jogi pula mengaitkan ‘pinggan mangkuk kotor’ itu dengan pentadbiran 33 bulan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Betul dah tu. Itu semua bekas anda juga dulu… banyak kena bersihkan,” katanya disusuli emoji ketawa.

Hal sama turut dibangkitkan netizen lain apabila mengingatkan Fadhli bahawa kerajaan Madani  terpaksa ‘mencuci’ kotoran ditinggalkan pentabiran kerajaan Pas-Bersatu sebelum ini.

“Pinggan mangkuk bekas geng YB juga yang kotorkan dulu, orang lain yang kena cuci,” tulis warga maya itu yang menggunakan nama Ten Ten Yamako.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan tiada rombakan Kabinet.

Desas-desus rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan timbul selepas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub meninggal dunia pada 23 Julai lalu.

Bahkan, ada menjangkakan Perdana Menteri akan melakukan rombakan terbabit selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, pada 7 Oktober ini.

'Ada apek seluar pendek berkhutbah di masjid Pulau Pinang?'

Hariz Mohd

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke menyelar tindakan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berhubung kenyataan “apek berseluar pendek akan mengajar agama di masjid”.

Menurutnya pemimpin PAS sepatutnya melihat Pulau Pinang di bawah pentadbiran DAP sejak 15 tahun lalu sebelum membuat dakwaan sedemikian.

“DAP dah berkuasa di Pulau Pinang tiga penggal, dah 15 tahun. Apakah (ada) apek Cina menyampaikan khutbah di masjid pada hari Jumaat?

“Jadi Pulau Pinang contoh terbaiklah, apakah tak ada lagi masjid di Pulau Pinang? (Tetapi) itu yang mereka mainkan,” katanya kepada media selepas ceramah di Telemong, Bentong, malam tadi.

Loke yang juga menteri pengangkutan berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Sanusi ketika ceramah di Pelangai, minggu lalu.

Dalam ceramahnya itu Sanusi mendakwa di Malaysia nanti akan melihat “apek berseluar pendek mengajar agama Islam di masjid” sekiranya PH dan BN terus menjadi kerajaan.

Loke menyifatkan dakwaan Sanusi itu menunjukkan betapa pemimpin PAS ketiadaan modal dan visi.

“Yang saya pelik dulu masa PAS kerjasama dengan kita, itu pun fitnah yang mereka lawan dulu. Masa tu Umno lah yang cakap macam (Sanusi) itu.

“Hari ini mereka guna fitnah sama dan logik yang sama. Jadi ini permainan politik, dulu masa PAS kerajasama DAP, dia juga lawan fitnah macam tu dia pun tahu bahawa itu tak betul.

“Hari ini mereka guna cara fitnah tak betul ini, menunjukkan bahawa mereka ketandusan modal. Saya percaya ia takkan beri kesan kepada rakyat,” jelasnya.

Sementara itu Loke yang juga anggota Parlimen Seremban berkata pihaknya yakin undi penyokong DAP di beberapa kampung di Pelangai akan berpihak kepada calon BN, Amizar Abu Adam, pada hari pengundian, Sabtu ini.

“Di Pelangai ini kita tak dapat majoriti dulu, tapi dapat sokongan kuat juga terutama di Telemong, Manchis dan beberapa kawasan lain.

“Walaupun kalah (dalam PRU ke-15 lalu) kita ada sokongan, mungkin dalam 30 peratus pengundi di Pelangai. Dengan sokogan itu, yang kita akan alih pada BN, saya yakin dengan formula itu calon BN boleh menang selesa,” katanya.

Al kisah Mahathir dan PAS

Mohsin Abdullah

PAS semalam memberitahu “setakat ini” ia tidak mengadakan perbincangan mengenai menamakan Dr Mahathir Mohamad sebagai calonnya untuk PRK Kemaman yang bakal berlangsung. Imbau kembali secara ringkas PRK itu terpaksa diadakan berikutan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu 26 Sept lalu yang membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid yang diperolehnya pada PRU15 November lalu. Mahkamah berpuas hati wujud unsur rasuah ketika kempen dijalankan.

Berbalik soal Mahathir calon di Kemaman. PAS tampil dengan “penjelasannya” menerusi Naib Presiden Ahmad Samsuri Mokhtar. Selain berkata tidak ada perbincangan “setakat ini” (kata kuncinya setakat ini) beliau juga mendakwa hanya mendengar spekulasi media.

“Kami pun sebenarnya belum ‘sit down’ dalam kalangan pimpinan tertinggi PAS tentang persiapan menghadapi pilihan raya terutama penentuan calon. Tarikh nak bincang pun belum ada lagi,” beliau dilapor berkata.

Ertinya PAS “belum” membuat keputusan “setakat ini”. Pada hemat saya itu bukan penafian. PAS tidak menafikan secara terus bahawa Mahathir bukan calon di Kemaman. Benar pada masa sama tidak pula mengesahkan. Mungkin Mahathir, mungkin bukan. Tetapi Samsuri mengesahkan PAS tidak bercadang meletak calon Bersatu di Kemaman kerana ia kerusi tradisi PAS, dan beliau turut berkata segala kemungkinan boleh berlaku termasuk membawa calon luar walaupun tidak menolak kemungkinan mempertaruhkan Che Alias sekali lagi.

Sebelum itu, FMT memetik sumber yang rapat dengan Mahathir memberitahu PAS berkemungkinan meletak bekas perdana menteri itu di Kemaman. Apabila “sumber rapat” dengan Mahathir “mendedahkan” demikian adakah tindakan itu boleh dilihat sebagai isyarat orang beliau atau Mahathir sendiri kepada PAS untuk memilih beliau? Atau ia satu ‘preemptive move?’

Bagi saya sama ada Mahathir jadi calon PAS atau tidak bukan sesuatu yang memeranjatkan. Terutama jika beliau benar-benar dipilih. Ini bukan kerana PAS dengan terbuka menyatakan sudah memaafkan “kesalahan” (ada orang PAS gunakan istilah “mengampun dosa”) Mahathir masa lampau ke atas mereka. Bukan juga kerana Mahathir dan PAS kini berbaik dan bermesra. Dan bukan juga kerana kata Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man pelantikan Mahathir sebagai penasihat di empat negeri diperintah PAS adalah kerana “faktor yang tersurat dan tersirat”.

Saya katakan tidak memeranjatkan berdasar sejarah hubungan Mahathir dan PAS. Pada PRU ketiga pada 1964 Mahathir menewaskan calon PAS untuk dipilih Ahli Parlimen Kota Setar. Sebagai wakil Umno dan Perikatan waktu itu Mahathir tentulah “berkelahi” dengan PAS. Dan PAS juga “menyerang” beliau.

Pada PRU tahun 1969 Mahathir dikalahkan oleh pemimpin PAS Allahyarham Yusof Rawa. Berikutan peristiwa berdarah 13 Mei tahun itu Mahathir mengutus surat terbuka yang mengkritik keras perdana menteri yang juga Presiden Umno Tunku Abdul Rahman. Salian surat itu diedar merata negara. Umno bertindak balas dengan memecat Mahathir.

Mahathir meneruskan serangannya terhadap Umno terutama Tunku Abdul Rahman menggunakan pentas PAS. Parti itu dengan senang hati memberi Mahathir platformnya kerana serangan ke atas umno dan Tunku yang dilancar bekas orang Umno amat meyakinkan, sesuatu yang menguntungkan PAS.

Mahathir puji PAS manakala PAS puji Mahathir. Pada masa sama kedua-duanya serang Tunku. Apabila Tunku terpaksa mengundurkan diri, Mahathir kembali ke pangkuan Umno dibawa masuk oleh Abdul Razak Hussein yang memimpin kerajaan dan parti waktu itu. Dan Mahathir pun “menyambung” persengketaan dengan PAS. Reaksi PAS tentulah kelahi dengan Mahathir. Pujian masa lalu dilupakan.

Persengketaan mereka berterusan pada tahun berikutnya. Dan bertambah panas apabila Perdana Menteri Hussein Onn yang juga presiden Umno melantik Mahathir sebagai timbalannya. Suasana panas sedia ada bertambah panas selepas Mahathir diangkat sebagai perdana menteri keempat apabila Hussein melepaskan jawatan.

Mahathir serang PAS dan PAS serang Mahathir menjadi-jadi. Pada 1981 Abdul Hadi Awang pemimpin PAS yang sedang mengukir nama menghasilkan apa yang disifatkan ramai sebagai Amanat Haji Hadi. Tercetus isu kafir-mengkafir. Umno pimpinan Mahathir mendakwa PAS sewenangnya mengkafirkan mereka. Perang Umno-PAS memuncak.

Pada 6 Ogos 1982 Utusan Malaysia melaporkan Mahathir menyarankan PAS dibubarkan supaya orang Islam di negara ini tidak berpecah-belah. Sehingga kini Hadi tidak menarik balik “amanatnya”.

Selewat 2018 selaku presiden Bersatu Mahathir menyerang PAS. Dalam laporan akhbar Harian Metro bertarikh 19 Sept tahun itu Mahathir menghuraikan mengapa beliau menentang PAS “sehingga hari ini”. Jelas “jasa” PAS kepadanya masa lampau dilupakan.

Mahathir mendakwa perpecahan umat Islam di negara ini tercetus angkara politik PAS yang taasub dengan ajaran pemimpin dan parti. “Inilah perbuatan PAS yang tidak boleh dimaafkan kerana sebelum tertubuhnya parti ini orang Melayu tidak berpecah kerana agama,” beliau dipetik berkata.

Mahathir juga membangkitkan tragedi Memali pada 1985 yang menyaksikan guru agama Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya dan 13 pengikutnya terbunuh dalam pertembungan dengan polis. Ini dikaitkan Amanat Hadi.

PAS menyalahkan Mahathir yang dituduh kejam. Mahathir mendakwa beliau berada di luar negara semasa kejadian. Lantas Musa Hitam selaku timbalan perdana menteri dan menteri dalam negeri mendapati dirinya dituduh memberi lampu hijau kepada polis melancarkan operasi di Memali. Hanya pada 2016 Musa secara terbuka berkata beliau penat menanggung beban sejarah menjadi “kambing hitam” peristiwa Memali. Beliau mendakwa Mahathir berada dalam negara semasa peristiwa tercetus.

Tiga puluh tiga tahun selepas tragedi Memali, Mahathir masih berkata susulan peristiwa itu “mana-mana pejuang yang tersungkur tatkala menggenggam tekad melawan kerajaan Umno dan BN ketika itu diisytihar mati syahid sekali gus jenazah mereka tidak perlu dimandikan”.

Sekarang Mahathir dan PAS seperti dinyatakan pada awal artikel ini sudah diketahui umum akrab semula. Mengambil kira sejarah mereka kesimpulannya hubungan Mahathir dan PAS diibaratkan “love hate relationship”. Sekejap sayang sekejap benci. Hari ini keji esok puji demi matlamat masing-masing.

Dewasa ini masa untuk puji-memuji antara Mahathir dan PAS. Buat masa kini berpegang pendirian “kamu garu belakang aku, aku garu belakang kamu”. Janji “win-win situation”. Oleh itu jika PAS pilih Mahathir untuk mewakili mereka bertanding di Kemaman saya kata sekali lagi itu bukan memeranjatkan. Jika tidak pilih pun tidak memeranjatkan.

Ramai kontraktor dapat bernafas semula selepas ‘bapa kartel’ kena tahan SPRM

HarapanDaily.com

Ketegasan Kerajaan Madani menghapuskan kartel yang memonopoli tender kementerian dan agensi kerajaan terbukti membuatkan ramai kontraktor berkelayakan menarik nafas lega.

Seorang kontraktor memberitahu, tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan individu yang dianggap ‘bapa kartel’ telah banyak membantu sama ada kontraktor besar mahu pun kecil.

Menurut Mahanom Mohammad, kontraktor kecil iaitu pemegang lesen G1, G2 dan G3 turut meraih limpahan projek berkaitan.

“Sejak bapa kartel kena tahan dengan SPRM, dengarnya ramai kontraktor pemegang lesen G7 (kontraktor besar) dapat bernafas semula dan mula memenangi kontrak dengan tender terbuka.

“Limpahan projek kepada kontraktor kecil juga semakin tinggi kerana ada syarat kontrak yang diletakkan sebahagian dari kontrak diagihkan kepada kontraktor kecil,” katanya menerusi hantaran Facebook miliknya.

Beliau mengingatkan bahawa terdapat lima prinsip perolehan kerajaan bermula awal tahun ini iaitu akauntabiliti awam, ketelusan, nilai faedah yang terbaik, adil dan saksama serta persaingan terbuka.

“Apa yang saya selalu kongsikan dengan kontraktor yang hendak memasuki pasaran kerajaan melalui penyertaan sebut harga dan tender?

“Sentiasa mencipta nilai faedah yang terbaik melalui pembentangan dokumen yang sewajarnya,” kata Mahanom lagi.

Sebelum ini, SPRM mendedahkan terdapat sindiket dan kartel monopoli antara penjawat awam dan kontraktor swasta bagi menyeleweng wang daripada projek kerajaan.

Mereka terbabit bukan setakat kakitangan peringkat bawahan malah melibatkan pegawai kanan di sektor awam serta pegawai penguatkuasa dengan penerimaan suapan berbentuk wang tunai dan barangan bernilai.

Malah, semakin tinggi nilai projek, semakin besar habuan yang mereka (penjawat awam) akan terima.

Modus operandi penyelewengan kartel yang menyebabkan ketirisan dana kerajaan dilakukan secara segerombolan dalam kelulusan kontrak projek kerajaan.

Biar Muhyiddin, Tuan Ibrahim berangan-angan

Hishamuddin Aun

Muhyiddin Yassin kata Perikatan Nasional (PN) yang dipengerusikannya mampu bentuk kerajaan Pahang yang baru jika menang PRK Pelangai Sabtu ini. Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man pula tambah itu boleh berlaku kerana DUN Pahang belum luluskan undang-undang anti lompat parti.

Kedua-duanya bayangkan kemungkinan itu tidak boleh diketepikan – menang Pelangai dan kemudian dapat empat Adun Barisan Nasional (BN)-Pakatan Harapan (PH) yang dikatakan mahu menyeberang. Tapi sebenarnya kedua-duanya – baik Muhyiddin mahupun Tuan Ibrahim — juga naif dan cuai hingga cakap-cakap mereka tak boleh pakai.

Pada PRU15, BN menang 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang manakala PN mendapat 17 kerusi. BN kemudian menubuhkan kerajaan negeri dengan PH yang memiliki lapan kerusi DUN yang memberikan kedua-dua gabungan itu majoriti dengan 24 kerusi.

Jadi, bagaimana PN mampu mengambil alih pentadbiran Pahang jika menang PRK Pelangai yang memberikan tambahan cuma satu kerusi kepada 18?

Jawapan Muhyiddin ialah itu boleh dicapai jika benar khabar angin ada empat Adun di pihak kerajaan sekarang yang ingin menyertai PN. Makna kata jika itu berlaku, PN yang akan dapat majoriti dengan 22 kerusi manakala BN-PH akan tinggal 20 kerusi di DUN Pahang yang memiliki 42 kerusi.

“Ya, (kemenangan kerusi Pelangai) tak akan mengubah (komposisi) kerajaan kerana tambah satu (kerusi sahaja). (Ia juga bermakna) kurang empat (kerusi sahaja berbanding kerajaan negeri).

“Mungkin nanti ada YB Umno sedar kesilapan dan ingin masuk jemaah kita. (Jika ia berlaku) Insya-Allah Tuan Ibrahim bakal menteri besar Pahang,” katanya dalam sesi dialog bersama NGO Melayu di Simpang Durian, Pelangai petang kelmarin.

Tidakkah ini cuba kelirukan pengundi? Ini kerana Muhyiddin membuat kenyataan itu berdasarkan khabar angin dan andaian yang beliau sendiri tidak pasti betul atau silapnya. Asalkan ia sedap didengar pengundi dan ia dapat menarik sokongan mereka kepada PN, hentam sajalah.

Mengenali Muhyiddin, tentunya beliau boleh saja menjelaskan kemudian yang kenyataannya itu telah dilaporkan di luar konteks seperti yang biasa dibuatnya ketika kempen PRK Pulai dan Simpang Jeram bulan lalu.

Bercakap kepada wartawan selepas majlis dialog itu, Muhyiddin hairannya mengakui pula yang beliau tidak pasti siapa yang dikatakan empat (Adun) yang mahu menyeberang itu.

“Kami terbuka kepada sesiapa yang ingin sokong. Tapi saya tak pasti jika khabar angin ini ada kebenarannya. Apa-apa pun, Pelangai penting buat kami. Kami bekerja keras untuk jelaskan kepada pengundi agar mereka boleh beri undi kepada calon kami, Kasim Samat.

“Jika menang, ia pastinya kuatkan kedudukan PN. Kami tahu jumlah (kerusi) masih tak cukup, tapi jika ia boleh buka peluang untuk kami tubuh kerajaan, pastinya kami harap dapat berbuat demikian,” katanya seperti dilapor Malaysiakini. Kasihan penyokong PN mentah-mentah diperdayakan.

Di majlis dialog itu, Tuan Ibrahim berkata jika benar ada empat Adun yang ingin menyertai PN, beliau ingin bertemu mereka. Ketua pembangkang di DUN Pahang itu sekurang-kurangnya jujur yang beliau tak tahu sama ada perkara itu benar atau tidak.

“Jawapan saya mudah – jika memang ada empat Adun (yang ingin sertai), bawa jumpa saya. DUN Pahang belum luluskan undang-undang anti lompat parti. Kami masih bincangkan rang undang- undang ini,” kata Adun Cheka itu lagi.

Malah, ketika ditanya Malaysiakini, Tuan Ibrahim berkata belum ada wakil rakyat pihak kerajaan yang mendekatinya atau PN setakat ini, yang jika boleh disimpulkan dengan mudah, bermaksud kedua-dua beliau dan Muhyiddin sebenarnya tak tahu tapi mereka tetap bercakap mengenai benda yang tak diketahui asal-usulnya.

Aneh kerana ia membabitkan dua pemimpin tertinggi PN yang dah banyak menuduh pimpinan kerajaan perpaduan berbohong itu dan ini. Tapi jika difikirkan balik, ia tak aneh pun kerana itu biasa dengan mereka. Sekurang-kurangnya, mereka tak menyalahkan “kerengga” kerana mengganggu.

Seperkara lagi, elok juga Muhyiddin dan Tuan Ibrahim juga ambil maklum bahawa undang-undang anti lompat parti sudah pun terpakai di DUN Pahang di sebalik rang undang-undang itu dikatakan akan dibincangkan.

“Walaupun tak dibawa lagi di DUN, tapi disebabkan persekutuan dah lulus, negeri pun kena ikut. Sesiapa saja boleh cabar ini di mahkamah sebab kita sebuah persekutuan,” kata Speaker DUN Pahang Mohd Sharkar Shamsudin melalui pesanan WhatsApp kepada saya.

Ditanya bukankah rang undang-undang anti lompat parti perlu diluluskan di DUN Pahang dahulu sebelum ia terpakai, ini jawapan beliau: “Tak perlu. Kita dah check dengan AG (peguam negara) dan LA (penasihat undang-undang). Macam Undi18, kita setuju umur 21 tapi sebab Parlimen lulus 18, negeri ikut sebab dia masuk dalam Perlembagaan.”

Itu pencerahan daripada speaker DUN Pahang sendiri, bukan sesuatu yang dikutip daripada cerita tepi jalan atau khabar angin seperti dijadikan rujukan oleh Muhyiddin atau Tuan Ibrahim sebagai modal mereka untuk memikat hati pengundi PRK Pelangai.

Dari selepas PRU15 November tahun lalu lagi – dah hampir setahun pun – PN dan Muhyiddin masih terus dibuai angan-angan hingga Tuan Ibrahim pun nampaknya terjebak sama. Jika pentadbiran Pahang berubah, Tuan Ibrahim dibayangkan akan menjadi menteri besar.

“Mungkin nanti ada YB Umno sedar kesilapan dan ingin masuk jemaah kita. (Jika ia berlaku) Insya-Allah Tuan Ibrahim bakal menteri besar Pahang,” kata Muhyiddin kelmarin. Jawapannya lambat lagi.

Sharkar yang juga ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno menolak ura-ura ada Adun Umno akan berpaling tadah sebagai khabar angin semata-mata. “Tak betul tu, berita angin je. Tiada siapa nak jadi kerajaan pembangkang pada kerajaan pusat. Lompat parti dah lulus pun,” katanya lagi.

Muhyiddin dan Tuan Ibrahim harus tersentak daripada lamunan mereka.

Klopp tuntut aksi Liverpool-Spurs dimainkan semula atas kesilapan VAR

Astro Arena

PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp, menggesa agar perlawanan mereka menentang Tottenham dimainkan semula kerana ralat VAR yang jelas menyebabkan mereka terlepas gol pembukaan.

Satu lagi kegagalan ketara VAR dalam kekalahan The Reds Sabtu lalu - di mana pegawai perlawanan mengambil keputusan yang salah membatalkan jaringan Luis Diaz.

Premier Game Match Officials Ltd (PGMOL) mengeluarkan perbualan audio antara pegawai dan VAR atas permintaan Liverpool, tetapi Klopp berkata ia tidak banyak memberi perubahan kepada pemikiran mereka.

"Rakaman audio tidak mengubahnya sama sekali. Ia satu kesilapan yang jelas,” katanya. “Saya fikir perlu ada penyelesaian untuk itu. Saya fikir keputusan itu sepatutnya menjadi ulangan.

“Perdebatan terhadap perkara ini akan membuka sebarang peluang. Ia tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Saya sudah biasa dengan keputusan yang salah dan sukar, tetapi perkara seperti ini tidak pernah berlaku dan sebab itu saya fikir aksi ulangan adalah perkara yang betul untuk dilakukan."

Mengenai sama ada kelab itu telah meminta penganjur saingan untuk menjalankan perlawanan ulangan secara rasmi, Klopp menambah, "Pada peringkat ini kami masih meneliti maklumat yang kami ada." - Stadium Astro

Suami dedah punca kematian Sridevi, primadona Bollywood selalu pengsan kelaparan

 Awani

Suami dedah punca kematian Sridevi, primadona Bollywood selalu pengsan kelaparan

Sridevi memulakan karier seni pada usia empat tahun sebelum menjadi salah seorang aktres paling berpengaruh di India. Dia meninggal dunia pada usia 54 tahun pada 24 Feb 2018 di Dubai. - Foto GEMPAK

SELEPAS beberapa tahun mendiamkan diri dan langsung tidak membalas spekulasi kematian isterinya, Sridevi, Boney Kapoor akhirnya mendedahkan punca kematian primadona Bollywood tersebut.

Sridevi meninggal dunia pada usia 54 tahun, 24 Februari 2018 di Dubai.

Bintang filem Nagina itu pergi ke Dubai bersama suami dan anak perempuannya untuk meraikan majlis keluarga, dan ditemui sudah tidak bernyawa kerana lemas di dalam tab mandi.

Menurut Boney, kisah di sebalik kematian wanita yang menjadi pujaan peminat itu sangat tragis.

Boney mengatakan Sridevi meninggal dunia sewaktu melakukan 'crash diet'. Crash diet dikenali sebagai diet drastik dengan mengambil jumlah kalori yang sangat sedikit.

Tanpa berselindung, Boney juga mendedahkan Sridevi kerap pengsan dan kelaparan hanya kerana mahu kekal kelihatan langsing dan cantik, sejak awal perkahwinan mereka.

“Sridevi selalu kelaparan untuk kelihatan cantik. Dia mahu memastikan semuanya (tubuh) berada dalam keadaan sempurna, jadi apabila muncul di layar kaca, dirinya kelihatan cantik.

“Sejak awal kami berkahwin, dia kerap pengsan dan doktor mengesahkan dirinya mengalami masalah darah rendah,” kata Boney kepada New Indian.

Penerbit dan pengarah berusia 67 tahun itu juga mendedahkan kematian Sridevi bukan kematian semula jadi tetapi sebuah kemalangan.

“Saya memutuskan untuk tidak bercakap mengenainya kerana telah disoal siasat sehingga 48 jam. Saya juga melalui pelbagai ujian termasuk ujian penipuan,” katanya mengenai tindakan berdiam diri beberapa tahun sebelum ini.

Sridevi memulakan karier seninya pada usia empat tahun sebelum menjadi salah seorang aktres paling berpengaruh di India.

Pada 2013, kerajaan India menobatkannya dengan anugerah Padma Shri - anugerah keempat tertinggi yang diberi kepada orang awam di India.

Saya setuju saranan supaya Mohamad Sabu diganti

Rombakan Kabinet: Mat Sabu perlu diganti, PM diberitahu
Penganalisis Lee Kuok Tiung dan Jeniri Amir berkata menteri pertanian dan keselamatan makanan Mohamad Sabu kurang menyerlah.

Amirul Aiman

PETALING JAYA: Dua penganalisis menggesa supaya Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu digantikan, di tengah-tengah perbincangan mengenai rombakan Jemaah Menteri yang akan berlaku.

Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah berkata Mohamad membuktikan beliau tidak mampu memikul tugas itu apabila mendakwa bahawa harga beras di Malaysia adalah yang paling murah di rantau ini ketika isu-isu mendesak mengenai keselamatan makanan dan kenaikan kos bahan mentah diperkatakan.

Mohamad, yang lebih dikenali Mat Sabu, membuat kesimpulannya dengan membandingkan harga dalam ringgit, yang menurut Lee menunjukkan menteri itu tidak memahami sepenuhnya situasi berkenaan.

Lee berkata perbandingan dengan negara asing mesti mengambil kira kekuatan mata wang mereka.

Sebagai contoh, beliau berkata nilai ringgit bersamaan dengan harga beras sekilogram di Brunei pasti akan lebih tinggi berikutan kekuatan dolar Brunei, menjadikan perbandingan sedemikian mengelirukan.

Lee juga berkata Mohamed kelihatan keliru mengenai perbezaan harga beras tempatan dan import apabila menjelaskan negara pengeluar beras seperti India telah mengurangkan eksport mereka.

“Oleh itu adalah penting bagi sesiapa yang dilantik menggantikannya untuk memiliki kelayakan dan latar belakang yang diperlukan sebelum menyandang jawatan itu,” kata Lee.

Felo Majlis Profesor Jeniri Amir berkongsi pandangan yang sama, sambil menambah adalah penting bagi menteri yang memegang portfolio tertentu mempunyai kepakaran latar belakang yang relevan untuk menangani isu yang mungkin timbul dengan cekap.

“Kita memerlukan menteri yang lebih berkesan dan mempunyai idea yang lebih baik untuk menangani isu kritikal sedang kita hadapi. Untuk mencapainya, kita memerlukan menteri yang mempunyai latar belakang yang sesuai,” kata Jeniri.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, MCA turut menggesa agar Mohamad digantikan dengan alasan kegagalannya menangani masalah kekurangan telur dan beras yang melanda negara sejak kebelakangan ini.

“Dia bukan sahaja gagal menghalang masalah ini daripada berlaku, dia (juga) gagal menangani kenaikan harga yang mendadak barangan keperluan harian orang ramai,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, Jeniri mencadangkan agar Perdana Menteri Anwar Ibrahim melantik menteri kewangan kedua untuk membantunya kerana beliau mempunyai “terlalu banyak perkara yang perlu dilakukan”.

“Saya percaya bekas menteri kewangan kedua Johari Ghani mempunyai kelayakan yang diperlukan untuk peranan itu, berdasarkan pengalaman terdahulunya.”

Ahli Parlimen Titiwangsa itu adalah menteri kewangan kedua antara 2016 dan 2018 semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN).