Pas – Abang Long PN, Bersatu dalam gerhana

HarapanDaily.com

K PRAGALATH 

Kemenangan Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar yang dijaja sebagai calon Perdana Menteri Perikatan Nasional dalam pilihan raya kecil Kemaman malam ini meletakkan Pas sebagai ‘abang long’ dalam Perikatan Nasional.

Ahmad Samsuri mendapat 64,968 undi untuk mengalahkan calon BN Brig Jen (B) Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang hanya memperoleh 27,839 undi.

Pengumuman Ahmad Samsuri yang lebih dikenali sebagai Dr Sam sebagai calon Perdana Menteri oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan kemenangan beliau ialah petanda Bersatu memasuki fasa gerhana.

Kelibat presiden Bersatu Tan Sri Mahiaddin Yassin juga tidak kelihatan ketika Mahathir membuat pengumuman tersebut.

Ini juga bermakna Bersatu, atau lebih tepat lagi, Mahiaddin tidak boleh mengimpikan alamatnya di Seri Perdana.

Pilihan raya kecil ini telah menjadikan Bersatu menjadi tidak relevan di dalam pakatan pembangkang – Perikatan Nasional.

Bersatu kini sudah hilang taringnya.

Apa gunanya Mahiaddin mengetuai PN sedangkan Pas adalah peneraju utama gabungan pembangkang tersebut?

Apa gunanya Datuk Seri Hamzah Zainuddin (PN-Larut) menjadi Ketua Pembangkang sedangkan dokongan dan tulang belakang PN ialah Pas?

Sesungguhnya Bersatu perlu bermuhasabah dan mencari kerelevanannya kerana pesanan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Ronald Kiandee agar Bersatu berhati-hati dalam hubungannya dengan Pas sedang menjadi realiti.

Pelajar ditahan cabul 14 rakan OKU di asrama

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian 14 pelajar lelaki dicabul seorang pelajar lain dalam kejadian di asrama sekolah me Tenengah di Kepala Batas, Pulau Pinang semalam.

Ketua Polis Seberang Perai Utara, Mohd Asri Shafie, berkata laporan terbabit dibuat oleh pengetua sekolah berkenaan supaya siasatan dapat dilakukan.

Katanya, semua yang menjadi mangsa kejadian itu adalah pelajar orang kurang upaya (OKU) berusia lingungan 13 dan 14 tahun yang mengalami masalah pembelajaran, penglihatan, pendengaran dan autisme.

“Pengetua sekolah terbabit melaporkan 14 mangsa dicabul seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun di asrama sekolah itu.

“Suspek telah ditahan semalam untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Asri berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyembunyikan sebarang maklumat mengenai jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

“Masyarakat juga diminta lebih supaya lebih peka dan prihatin dengan kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak kerana kejadian ini boleh memudaratkan kesihatan emosi dan mental yang berpanjangan sekiranya tidak dibendung lebih awal,” katanya

TAK RASMI: PN menang besar di Kemaman

Berdasarkan pengiraan Malaysiakini menggunakan angka tak rasmi, Ahmad Samsuri Mokhtar dari PN telah memenangi pilihan raya kecil Kemaman.

Dengan anggaran peratusan keluar mengundi sebanyak 70 peratus, pengiraan tidak rasmi menunjukkan bahawa Ahmad Samsuri sudah jauh mendahului pencabarnya.

Ini berkemungkinan merupakan kemenangan terbesar PN di Kemaman dengan bahagian undi lebih 70 peratus, meningkatkan prestasinya pada 2022 dan 2018.

Lagi kes lelaki ugut PM, mahu bom rumah

HarapanDaily.com
Lagi kes lelaki ugut PM, mahu bom rumah
SITI NUR ZAWANI 

Selepas polis berjaya menahan seorang guru agama yang membuat hantaran ugutan bunuh kepada Perdana Menteri, seorang lagi lelaki didakwa memuat naik ugutan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengguna Facebook menggunakan akaun Muhammad Irfan didakwa memuat naik hantaran mahu mengebom rumah Perdana Menteri.

Hantaran itu tular di media sosial dengan orang ramai menyebut (mention) Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk diambil tindakan.

“Tunggu masa nak kena bom je rumah Anwar ni. Majoriti rakyat pun dah benci dengan dia. Pejuang LGBT patut mampos,” tulis akaun tersebut.

Bagaimanapun individu tersebut kemudian memuat naik hantaran baru, mendakwa akaun miliknya digodam orang yang tidak berpuas hati terhadapnya.

Semalam, seorang ustaz Maktab Mahmud Kulim ditahan polis selepas menerima lima laporan berhubung kenyataan fitnah dan ugutan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan untuk kesalahan menakutkan secara jenayah dengan menyembunyikan nama yang membawa hukuman penjara 2 tahun atau denda atau kedua-duanya.

'Tolonglah ambil mayat mereka, kebumikan di Israel'

Mahaizura Abd Malik
mahaizura@mediaprima.com.my
BIBAS (gambar kiri) merayu kepada kerajaan zionis supaya isteri dan dua anak yang terkorban di Gaza akibat serangan tentera Israel supaya dikebumikan di Israel. FOTO Briged Al-Qassam
BIBAS (gambar kiri) merayu kepada kerajaan zionis supaya isteri dan dua anak yang terkorban di Gaza akibat serangan tentera Israel supaya dikebumikan di Israel. FOTO Briged Al-Qassam
Kuala Lumpur: Sampai terpaksa mengemis simpati dengan kerajaan Israel bagi mengebumikan jasad anak dan isteri di tanah air sendiri.

Begitu terdesaknya rakyat Israel yang menjadi tahanan Hamas apabila Perdana Menteri Benjamin Netanyahu sombong enggan menerima tawaran kumpulan pejuang Palestin itu ketika gencatan senjata tujuh hari yang berakhir semalam.

Dalam rakaman video disiarkan Telegram sayap tentera Hamas, Briged Al-Qassam, lelaki itu, Yarden Bibas dilihat membuat rayuan kepada kerajaan negaranya dengan suara yang sebak.

Dia meminta Netanyahu supaya menerima jasad isterinya, Sherry serta dua anak mereka, Kfir dan Ariel yang terkorban dalam serangan udara Israel untuk dikebumikan di Israel.

"Bibi (Netanyahu) mengebom, membunuh isteri dan dua anak yang sangat penting dalam hidup saya.

"Tolonglah ambil mayat mereka supaya saya boleh kebumikan mereka di Israel," katanya.

Sementara itu, kumpulan Hamas dalam satu kenyataan berkata, Israel menolak tawaran untuk membebaskan lebih banyak tawanan termasuk jasad keluarga yang terbunuh akibat serangan rejim itu di Gaza.

"Kami menawarkan untuk menyerahkan dua tahanan termasuk tiga jasad keluarga Bibas serta membebaskannya supaya dia boleh memberi penghormatan terakhir mengebumikan anak dan isterinya.

"Namun, Israel menolak semua tawaran ini kerana mereka sudah membuat keputusan awal untuk meneruskan pencerobohan jenayahnya terhadap Gaza," kata Hamas.

Sejak gencatan senjata berkuat kuasa 24 November lalu, 110 tahanan termasuk 80 warga Israel dibebaskan Hamas.

Sebagai pertukaran, Israel membebaskan 240 tahanan Palestin dengan 30 lagi warga Thailand turut dibebaskan di bawah perjanjian berasingan.

Masih sekolah tapi dah berani cabul budak

Meor Riduwan Meor Ahmad
am@hmetro.com.my

Melaka: Tendang basikal hingga terjatuh sebelum bertindak mencabul mangsa berusia 11 tahun berhampiran Taman Krubong Jaya, di sini.

Itu tindakan ganas seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang menyerang murid perempuan Tahun 5 ketika mangsa bersama sepupunya berusia tujuh tahun dalam perjalanan pulang ke rumah sekitar jam 7.40 malam, Rabu lalu.

Difahamkan suspek meletakkan motosikalnya di kawasan lain sebelum berjalan ke arah mangsa.

Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Zainol Samah berkata, laporan kejadian itu dibuat ibu mangsa di Balai Polis Tanjung Minyak di sini, pada Rabu lalu.

"Berdasarkan laporan, suri rumah berusia 35 tahun itu memaklumkan anaknya berusia 11 tahun dan sepupunya berusia tujuh tahun ditolak jatuh daripada basikal oleh seorang lelaki tidak dikenali di lorong bersebelahan kedai runcit di taman itu.

"Suspek yang memakai topi keledar berwarna kuning kemudiannya menarik kaki mangsa dan cuba mencium serta meraba kemaluan mangsa.

"Dalam keadaan cemas, mangsa sempat menendang lelaki itu dan menyelamatkan diri," katanya tadi.

Menurut Zainol, lelaki terbabit yang juga pelajar Tingkatan 5 bagaimanapun berjaya ditahan orang awam jam 11.30 malam hari kejadian di Taman Awam Krubong Jaya sebelum diserahkan kepada polis.

"Suspek kini ditahan reman mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (AKSTK 2017)," katanya.

Polis buka kertas siasatan terhadap Muhyiddin Isu 3R

Bernama

Polis membuka kertas siasatan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa mengeluarkan kenyataan membabitkan 3R (agama, bangsa dan raja) ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata siasatan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu dilakukan mengikut Seksyen 4(A) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana mencetuskan keadaan tidak harmoni.

Bercakap pada sidang media selepas melakukan tinjauan di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok di Chukai, Terengganu, hari ini, beliau berkata siasatan itu dijalankan susulan satu laporan polis yang dibuat terhadap Muhyiddin di sebuah balai polis di negeri itu, Jumaat lepas.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu pada satu ceramah perdana di Chukai, antara lain didakwa mengeluarkan "fatwa" harus untuk ahli Umno meninggalkan parti itu dan mereka yang berbuat demikian boleh mendapat ganjaran pahala hijrah seperti zaman Rasulullah SAW.

Dalam pada itu, Ayob Khan turut mengingatkan semua penyokong parti agar tidak mengadakan sebarang perhimpunan ataupun perarakan pascapilihan raya supaya tidak menimbulkan gangguan kepada ketenteraman awam.

“Polis akan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam semasa pascapilihan raya nanti,” katanya.

Beliau berkata sebanyak 280 anggota dan pegawai polis akan memantau situasi ketenteraman awam selepas pilihan raya sehinggalah situasi berada dalam keadaan aman dan harmoni.

PRK Kemaman menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional Jen (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dengan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili PAS

Ia diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas yang membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

- Bernama

NGO haram jadah ni ada terfikir ke kebajikan warga tempatan

Aktivis persoal tambang ke atas warga asing guna bas GoKL
Beberapa NGO berkata pekerja migran sedia ada menerima upah rendah dan tidak adil mengenakan tambang itu.

Faisal Asyraf

PETALING JAYA: Beberapa aktivis migran berang dengan keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenakan tambang kepada bukan warganegara bagi perkhidmatan bas GoKL, yang sebelum ini percuma bagi semua.

Mahi Ramakrishnan, pengasas Beyond Borders, mempersoal kenapa kerajaan mengambil “langkah pemecahan” dengan mengorbankan warga asing, kebanyakan bergantung kepada pengangkutan awam.

“Saya ingin menanyakan kepada kerajaan apa yang ingin dicapai menerusi peraturan baharu ini. Apa yang kita hilang apabila membenarkan bukan warganegara menggunakan perkhidmatan bas percuma GoKL?

“Ramai dalam kalangan mereka meraih pendapatan tidak seberapa. Yang lain tidaklah terkesan, namun perbelanjaan ini memakan sejumlah kecil gaji pekerja migran,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, peraturan baharu juga akan menjejaskan individu tidak bernegara dan menggesa kerajaan menarik semula keputusan berkenaan.

Pengarah Eksekutif Project Liber8, New Su Shern, berkata penting bagi kerajaan mengambil kira pelbagai cabaran dihadapi pekerja migran saban hari.

“Mereka memainkan peranan signifikan dalam kemajuan ekonomi dan negara kita, menyumbang besar walaupun menerima bayaran rendah dengan tempoh bekerja lebih panjang.

“Mengenakan bayaran bagi perkhidmatan seperti pengangkutan awam hanya membebankan lagi mereka. Ia tidak membela mereka,” kata aktivis hak asasi manusia itu.

Pengerusi bersama jawatankuasa migran, pelarian dan hal ehwal imigresen Majlis Peguam M Ramachelvam, berkata peraturan itu adalah regresif dan diskriminasi.

Ramachelvam juga berkata, pembuat dasar sepatutnya mengiktiraf pekerja migran memainkan peranan penting dalam guna tenaga buruh negara, dengan sumbangan tidak ternilai ke atas ekonomi.

Beliau berkata, kebanyakan negara menyediakan khidmat pengangkutan percuma tanpa mendiskriminasikan.

Sebelum ini, DBKL akan mengenakan tambang terhadap bukan warganegara bagi perkhidmatan bas GoKL secara berperingkat menggunakan pembayaran tanpa tunai.

Bagaimanapun, tidak dinyatakan perincian seperti kadar tambang dan tarikh pelaksanaan.

Pada Oktober tahun lalu, timbalan menteri wilayah persekutuan ketika itu, Jalaluddin Alias, berkata hampir separuh penumpang perkhidmatan bas percuma digunakan warga asing, dan kerajaan akan mempertimbang mengenakan bayaran terhadap mereka.

Beliau berkata, kerajaan dijangka mengutip RM9.2 juta sebulan jika tambang RM1 dikenakan ke atas warga asing yang menggunakan perkhidmatan bas.

Tak sesuai ajar murid nyanyi ‘Cintaku Sampai Ke Ethiopia’

KOSMO!

PETALING JAYA – Lagu ‘Cintaku Sampai Ke Ethiopia’ nyanyian Ria Resty Fauzi sekali lagi mencuri tumpuan selepas ia dinyanyikan sekumpulan murid sebuah sekolah kebangsaan (SK) yang dimuat naik di media sosial, semalam.

Bagaimanapun, persembahan tersebut menerima respons sebaliknya apabila rata-rata berpandangan ia tidak sesuai untuk murid sekolah susulan konteks yang terdapat dalam lagu itu.

Menerusi perkongsian Syahr Musafir di Facebook, dia berkata, anak-anak perlu dididik jauh daripada topik cinta meskipun ia bertujuan untuk hiburan.

“Lirik lagi Cintaku Sampai ke Ethiopia ini mengenai ‘boyfriend girlfriend’ (pasangan). Tak ada faedah apa-apa pun untuk murid sekolah.

“Saya dengar video ni, murid diajar nyanyi lirik asal langsung tak diubah. Walaupun melodi lagu (menarik), tetapi bukan tiket untuk halalkan lagu ini dinyanyikan apatah lagi oleh murid sekolah rendah,” katanya.

Menurutnya, terdapat banyak pilihan lagu lain lebih layak didendangkan yang mempunyai nilai lebih bermakna dan bersesuaian.

“Sekolah kena jadi institusi yang didik anak-anak. Kalau nak berhibur, kena berhibur cara yang betul. Tak boleh sekadar baik, tetapi kena betul,” ujarnya.

Terdahulu, tular satu klip video memaparkan sekumpulan murid sekolah SK membuat persembahan membawakan lagu ‘Cintaku Sampai Ke Ethiopia’ yang kini mencatat lebih 170,000 tontonan.

Persembahan itu yang turut diiringi dengan gerak tari dipercayai mirip persembahan koir pelatih jururawat Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Sultan Azlan Shah (KSKB) yang pernah tular sebelum ini.

Menjengah di ruangan komen video berkenaan, rata-rata berpendapat bahawa guru di sekolah perlu lebih cakna dengan memilih lagu yang mempunyai nilai-nilai murni.

“Cari lah lagu yang ada semangat patriotik sedikit. Ada banyak lagu komersil yang baik dan beri semangat atau boleh ubah lirik lagu,” kata Mirzan .

“Tak ada faedah untuk murid, seakan bimbing murid ke arah percintaan usia muda begini,” jelas Syawal. – KOSMO! ONLINE

Pelajar sekolah menengah bersalin ketika duduki peperiksaan

Agensi

JAWA TIMUR: Seorang pelajar di sebuah sekolah menengah di daerah Sampang bersalin ketika sedang menduduki peperiksaan pada Khamis.

Malah, guru yang mengawasi peperiksaan, Muhammad Nurchalid, mengakui tiada sebarang tanda yang mencurigakan sebelum peperiksaan itu dijalankan.

Kompas melaporkan, guru itu memaklumkan pelajar terbabit langsung tidak kelihatan panik ketika masuk ke bilik peperiksaan.

"Saya menjaga peperiksaan pada jam kedua, suasana dalam bilik peperiksaan ketika itu juga normal, tiada sebarang tanda (pelajar ingin bersalin)," kata Nurchalid ketika ditemui Jumaat.

Katanya, suasana itu juga biasa ketika dia mengagihkan token ujian kepada pelajar.

Bagaimanapun, selepas beberapa minit pelajar mula menduduki peperiksaan, tiba-tiba kelas yang pada mulanya sunyi menjadi bising.

Nurchalid cuba menenangkan keadaan dan meminta pelajar memberi tumpuan kepada peperiksaan.

Bagaimanapun, dia terdengar suara bayi dan membuat pemeriksaan sebelum mendapati seorang daripada pelajarnya melahirkan anak.

Ketika itu, pelajar lain mula keluar dari kelas.

"Pelajar terbabit pula dilihat duduk sambil memegang bayinya," katanya.

Dia kemudian cuba menghubungi seorang guru perempuan supaya dapat membantu pelajar berkenaan.

Katanya, dia turut melihat darah di atas lantai.

"Kebetulan seorang guru mengenai pegawai di Pusat Kesihatan Komuning dan pelajar berkenaan dibawa ke pusat kesihatan itu dengan ambulans.

"Setibanya di pusat kesihatan, bayi berkenaan disahkan berada dalam keadaan sihat dan dibawa pulang oleh keluarga pelajar terbabit," katanya.

Bagaimanapun, pelajar berkenaan dirujuk ke Hospital Wilayah Dr Mohammad Zyn kerana keadaannya membimbangkan.

"Kami mengiringi pelajar perempuan terbabit. Alhamdulillah dia bertambah baik," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Perhubungan Awam sekolah berkenaan, Hamid mengesahkan kejadian itu.

Namun, katanya, dia tidak mengetahui secara terperinci kejadian itu tetapi berdasarkan maklumat guru yang menjaga peperiksaan di di kelas itu dia mendengar bunyi tangisan bayi.
-bhonline

184 terbunuh selepas gencatan senjata tamat

Reuters
ASAP menjulang ke udara selepas serangan udara Israel selepas gencatan senjata berakhir. FOTO AFP
ASAP menjulang ke udara selepas serangan udara Israel selepas gencatan senjata berakhir. FOTO AFP
Reuters
Gaza: Serangan kedua yang memasuki hari kedua selepas gencatan senjata berakhir semalam sudah membunuh 184 mangsa dan mencederakan sekurang-kurangnya 589 yang lain dan memusnahkan 20 rumah.

Kawasan timur Khan Younis di selatan Gaza mengalami pengeboman hebat oleh pihak Zionis sebaik tempoh gencatan senjata tamat sejurus selepas subuh pada Jumaat (waktu tempatan).

Wartawan Reuters yang berada di bandar itu berkata, beliau dengan jelas melihat asap menjulang ke langit ketika pengeboman berlaku.

Menjelang petang Jumaat, pegawai kesihatan Gaza berkata serangan udara Israel telah membunuh 184 mangsa, mencederakan sekurang-kurangnya 589 yang lain dan memusnahkan lebih 20 rumah.

Penduduk berbondong-bondong keluar ke jalan raya dengan barangan yang ditimbun di dalam gerabak untuk mencari tempat berlindung lebih jauh ke barat.

Pihak yang bertelagah menyalahkan satu sama lain atas kegagalan meneruskan gencatan senjata, termasuk menolak syarat untuk melanjutkan pembebasan harian tebusan yang ditahan oleh pejuang Hamas sebagai pertukaran untuk rakyat Palestin yang ditahan di penjara Israel.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata pertempuran itu akan memburukkan lagi darurat kemanusiaan yang sudah menjadi krisis kemanusiaan paling kritikal di Asia Barat sekarang.

"Neraka di bumi telah kembali ke Gaza," kata Jens Laerke, jurucakap pejabat kemanusiaan PBB di Geneva.

"Hari ini, dalam beberapa jam, ramai dilaporkan terbunuh dan cedera. Setiap keluarga diberitahu untuk berpindah, sekali lagi. Harapan sudah musnah," kata ketua bantuan PBB Martin Griffiths.

Griffiths berkata, kanak-kanak, wanita dan lelaki Gaza sudah tiada tempat yang selamat untuk pergi dan harapan untuk terus hidup sangat sedikit.

Jeda yang bermula pada 24 November lalu dilanjutkan dua kali dan Israel berkata ia boleh diteruskan selagi Hamas membebaskan 10 tebusan setiap hari.

Tetapi selepas tujuh hari, yang mana wanita dan kanak-kanak serta tebusan warga asing dibebaskan, pengantara dilihat gagal mencari formula untuk membebaskan lebih ramai lagi, termasuk askar dan lelaki awam Israel.

Serangan Israel sejak 7 Oktober memusnahkan sebahagian besar Gaza yang mana Hamas sudah memerintah sejak 2007.

Pihak berkuasa kesihatan Palestin merekodkan lebih 15,000 penduduk Gaza sudah disahkan terbunuh dan beribu-ribu lagi hilang.
-hmetro

Lelaki yang digilis LRT telah melompat dan baring di landasan bukan terjatuh

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Kuala Lumpur: Lelaki yang maut digilis tren transit aliran ringan (LRT) di stesen Dato Keramat, di sini, semalam dipercayai turun ke landasan sendiri.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu jam 10.56 malam daripada anggota polis bantuan.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan polis mendapati mangsa yang juga lelaki tempatan bersama penumpang lain sedang menunggu LRT di platform 1.

"Ketika tren hendak berhenti, tiba-tiba mangsa melompat dan baring di landasan lalu dilanggar oleh LRT berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu Harian Metro melaporkan seorang lelaki maut dengan kedua-dua kakinya digilis tren selepas terjatuh di landasan di stesen LRT Dato Keramat, di sini, malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 9.05 malam tadi.

Sementara itu, Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) selaku pengendali kepada perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya memaklumkan kejadian menyebabkan berlaku gangguan di landasan berkenaan.

Katanya, kejadian yang berlaku kira-kira jam 8.50 malam itu mengakibatkan sistem kecemasan diaktifkan serta-merta menyebabkan tren berhenti lama di landasan.

Mengulas lanjut Ashari berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian jam 11.13 malam.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, justeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan boleh menghubungi talian 039289922 bagi membantu siasatan," katanya.

Bersatu dakwa 10 MP kerajaan pula akan sokong PN

HarapanDaily.com

SITI NUR ZAWANI 

Selepas lima ahli Parlimen pembangkang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pula mendakwa 10 ahli Parlimen kerajaan bakal menyatakan sokongan kepada blok mereka.

Biarpun ura-ura mengatakan lebih ramai ahli Parlimen Perikatan Nasional bakal berpaling tadah, namun Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof menganggap spekulasi 10 ahli Parlimen kerajaan beralih sokongan kepada pembangkang adalah lebih kuat dan realistik.

Memetik Sinar Premium, Mohd Redzuan mendakwa ahli Parlimen PKR akan mendahului menyatakan sokongan terhadap blok pembangkang seterusnya diikuti oleh kelompok ahli-ahli Parlimen kerajaan lain.

“Kalau hendak andaikan akan ada lagi ahli Parlimen Bersatu akan berpaling tadah, saya fikir spekulasi ahli-ahli Parlimen blok kerajaan termasuk BN (Barisan Nasional) dan PKR bakal menyokong PN menubuhkan kerajaan baharu lebih kuat… realistik.

“Saya dapat maklumat ada ura-ura lebih 10 ahli Parlimen yang hendak berpindah blok. Mereka ini mengkaji asas permasalahan kerajaan sekarang dan menyedari Kerajaan Perpaduan ini ditunggang DAP.

“Pohon tidak akan bergoyang jika tiada angin. Masakan Setiausaha Agung UMNO (Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki) mendedahkan ada perjanjian bon kesetiaan RM100 juta dimeterai antara parti dan ahli-ahli Parlimen BN untuk kekal setia sekiranya spekulasi wakil rakyat mereka bakal berpaling tadah adalah tidak benar,” katanya memetik portal tersebut.

Setakat ini, lima ahli Parlimen Bersatu telah menyatakan sokongan kepada PMX dengan yang terbaru ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.

Empat Ahli Parlimen lain ialah ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid pada 12 Oktober; diikuti Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman pada 30 Oktober; Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim (7 November) dan Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik (8 November).

Setakat ini juga tiada seorang pun ahli Parlimen blok kerajaan menyatakan sokongan kepada pembangkang biarpun selepas setahun pentadbiran Anwar.

Video tular maki polis, 2 remaja ditahan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Dua remaja remaja lelaki di Perak ditahan selepas mengeluarkan kata-kata kesat dan menuduh polis menerima rasuah dalam satu video yang tular di media sosial.

Ketua Polis Kerian Juna Yusoff, berkata remaja lelaki berusia 14 dan 17 tahun itu ditahan pada Khamis lalu selepas pihaknya menerima laporan mengenai video itu yang tular di TikTok, lapor Berita Harian.

Katanya, video berkenaan dimuat naik remaja lelaki berusia 17 tahun dan kedua-dua mereka kini ditahan untuk membantu siasatan.

“Siasatan mendapati suspek pernah ditahan sebelum ini bagi siasatan ke atas beberapa kesalahan jenayah. Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak melulu dan mengikut perasaan atas kesalahan yang dilakukan.

“Sekiranya tidak berpuas hati dengan tindakan dikenakan, mereka boleh menggunakan saluran undang-undang bagi memastikan tiada kesalahan lain dilakukan serta menggugat institusi penguatkuasaan dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab,” katanya.

Terdahulu tular satu video di TikTok yang menunjukkan seorang seorang remaja lelaki mengeluarkan kata-kata kesat dan menuduh pihak polis menerima duit selepas tidak berpuas hati kerana disaman pihak berkuasa.

Aneh dan pelik dalam kes gangguan seksual Wahab

WAHAB MULA BERTUGAS DI J-KOM 1 NOVEMBER, TAPI GANGGUAN SEKSUAL TERHADAPNYA DIDAKWA BERLAKU 21 OKTOBER…JENG, JENG, JENG??

Shahbudin Husin

Berikutan laporan polis yang dibuat oleh Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani tentang gangguan seksual yang didakwa dilakukan bekas Ketua Pengarah J-Kom, Prof Dr Mohd Agus Yusof terhadapnya, cerita siapa “Mr H” dengan sendirinya sudah jadi tidak menarik lagi.

Bahkan, apa peranan “Mr H” dalam “video Wahab” yang tular sebelum ini turut tidak penting lagi untuk diketahui.

Yang lebih menarik lagi untuk diketahui selepas ini tidak lain adalah tentang warna-warni Dr Agus itu sendiri.

Berdasarkan laporan polis yang dibuat Wahab, beliau mendakwa telah diganggu secara seksual oleh Dr Agus pada 21 Oktober lalu di sebuah hotel di Bintulu, Sarawak.

Tetapi, jika kita masih ingat dalam sidang media bersama Dr Agus di Bangi kira-kira dua minggu sebelum ini, Wahab memberitahu beliau mula bertugas dengan J-Kom pada 1 November 2023.

Bermakna, ketika kejadian gangguan seksual didakwa berlaku di Bintulu itu, Wahab belum lagi bertugas dengan J-Kom.

Bagaimana Wahab boleh berada di Bintulu bersama Dr Agus?

Apa urusan beliau di Bintulu dan apa pula hubungannya dengan Dr Agus yang ketika itu masih berjawatan Ketua Pengarah J-Kom?

Adakah beliau dibawa oleh Dr Agus ke Bintulu atau Wahab pergi sendiri ke sana dengan menggunakan duit poketnya sendiri untuk membeli tiket kapalterbang?

Adakah Dr Agus dan Wahab sudah saling kenal-mengenal sebelum kejadian gangguan seksual yang didakwa berlaku itu?

Selain itu, sebagaimana laporan polis dibuat Wahab, gangguan seksual itu didakwa berlaku di sebuah hotel di Bintulu.

Sekali lagi persoalan timbul, di mana sebenarnya tempat yang lebih spesifik kejadian gangguan seksual itu berlaku?

Adakah ia berlaku di ruang lobi, di dalam coffee house, ketika minum-minum di lounge atau di dalam bilik?

Jika di dalam bilik – adakah gangguan itu berlaku di bilik Dr Agus atau di bilik Wahab?

Atau mereka berkongsi bilik yang sama?

Kemudian daripada itu, oleh kerana Wahab sendiri mengatakan beliau mula bekerja dengan J-Kom pada 1 November 2023, bagaimana sebenarnya proses pengambilannya bekerja dengan J-Kom?

Ikut proses biasa atau ada laluan istimewa?

Apakah pengambilannya bekerja di J-Kom ada kaitan pula dengan kejadian gangguan seksual yang didakwa berlaku pada 21 Oktober itu?

Oleh kerana pihak polis, sebagaimana dinyatakan oleh Ketua Polis Negara, Razarudin Husain telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dan Seksyen 377D atas kesalahan melanggar kesopanan, nampaknya banyak soalan tambahan perlu ditanyakan kepada Dr Agus dan juga Wahab,

Terutama kepada Dr Agus yang memegang jawatan penting dalam kerajaan Madani pimpinan Anwar Ibrahim ketika kejadian gangguan seksual itu didakwa berlaku, keterangan beliau dan kesediaannya berkata benar ketika disiasat polis adalah amat mustahak lagi.

Tidak mustahil juga, dalam proses siasatan polis nanti, lebih banyak lagi terbongkar cerita-cerita pelik dan menarik, bukan saja untuk tatapan pemikiran tetapi juga sebagai pengajaran kepada kita semua. – ShahbudinHusin 02/12/2023.

Hamzah ‘tercabar’ pemimpin Bersatu canang Samsuri calon PM

Nora Mahpar
 
PETALING JAYA: Ketua pembangkang Hamzah Zainudin berdepan satu lagi cabaran menerajui Putrajaya apabila ada pemimpin Bersatu mencanangkan Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calon perdana menteri masa depan dari Perikatan Nasional (PN), kata penganalisis politik.

Mazlan Ali daripada Universiti Teknologi Malaysia berkata sebelum ini Hamzah diuar-uarkan bakal menggantikan Muhyiddin Yassin jika beliau melepaskan jawatan presiden, disokong kenyataan ‘beliau dilatih’ untuk menjadi pemimpin masa depan.

Dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 24 Nov lalu, Muhyiddin mengumumkan hasrat enggan mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti tahun depan, namun membuat pusingan U keesokan harinya selepas mengambil kira pandangan ahli serta keluarganya.

“Hamzah yang sebelum ini dilihat bakal mewarisi kepimpinan akan ada sedikit cabaran, kali ini perlu bersaing dengan Samsuri yang dilihat sangat menonjol dan dicanang bakal calon PM daripada PN.

“Malah diulas sendiri oleh Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris yang menyatakan Dr Sam adalah bakal calon PM masa depan sekiranya menang (PRK Kemaman),” kata Mazlan kepada FMT.

Dalam siri kempen PRK Kemaman termasuk di media sosial, Razali berkata pengundi kawasan itu “bertuah” kerana Samsuri yang juga menteri besar Terengganu bakal menjadi perdana menteri masa depan PN jika menang pilihan raya esok.

“Sudah tentu rakyat Kemaman untung, pembangunan Kemaman untung dan ekonomi Kemaman untung andainya Dr Sam diangkat menjadi perdana menteri,” kata Razali yang juga exco Terengganu di Facebook.

Muhyiddin yang juga pengerusi PN pula menyifatkan pencalonan Samsuri untuk menunjukkan mereka mempunyai ramai tokoh, sambil tidak menolak naib presiden PAS berkenaan sebagai calon perdana menteri gabungan itu.

Mazlan berkata walaupun berdepan situasi itu Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut tidak akan mengambil tindakan luar biasa bertanding jawatan presiden Bersatu, mungkin mengambil sikap tunggu dan lihat bergantung selama mana Muhyiddin mahu menjadi ketua.

“Saya tidak nampak (Hamzah cabar Muhyiddin) sekurang-kurangnya sehingga PRU16.

“(Jika) tiada ruang (selepas itu) ada kemungkinan beliau akan mencabar dan ini bergantung kepada perkembangan masa depan,” katanya yang bagaimanapun menjangkakan Hamzah akan mewarisi kepimpinan Bersatu melalui tradisi mudah.

Sementara itu, Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berpandangan pencalonan Samsuri di PRK Kemaman bukan strategi menjadikannya calon perdana menteri sebaliknya bimbang gagal menang besar selepas Barisan Nasional (BN) meletakkan bekas panglima tentera Jen (B) Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

“Tak pasti bagaimana boleh timbul Samsuri sebagai calon PM tetapi (ada pemimpin) Bersatu telah menjawab yang mereka setuju. Ini menunjukkan mereka sebenarnya telah terperangkap dalam percaturan politik PAS.

“PAS ingin menggambarkan persepsi bahawa dalam PN, PAS lebih berkuasa walaupun ketua pembangkangnya Hamzah,” katanya.

Lelaki terjatuh ke landasan, maut digilis LRT

Bernama

Seorang lelaki berumur 27 tahun maut akibat digilis tren Transit Aliran Ringan (LRT) selepas terjatuh ke atas landasan di stesen LRT Dato’ Keramat malam tadi.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Mohd Fabell Md Yasin berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 9.05 malam, dan terpaksa mendapatkan bantuan juruteknik LRT untuk menggerakkan tren kebahagian belakang bagi mengeluarkan mayat lelaki itu.

“Lelaki itu digilis di bahagian kedua-dua belah kaki dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak petugas kesihatan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Sementara Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) dalam kenyataan malam tadi berkata susulan kejadian itu jadual perjalanan LRT Laluan Kelana Jaya terjejas, menyebabkan waktu menunggu yang lebih lama.

Menurutnya perkhidmatan rel alternatif, termasuk perkhidmatan bas sokongan, telah diaktifkan bagi menyokong operasi.

“Pihak Rapid Rail akan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menyiasat kejadian. Kami memohon maaf kepada semua penumpang yang terjejas akibat kejadian itu, dan atas kelewatan tren malam ini,” menurut kenyataan itu.

-Bernama

Suami lari tinggalkan isteri, rakan ditahan bersama 74kg ganja

Bernama
Polis menemui lima kotak mengandungi ganja seberat 74kg yang dianggarkan bernilai RM229,400 dalam Proton Wira dinaiki tiga suspek. (Gambar PDRM)
KOTA BHARU: Polis menahan dua suspek bersama dadah jenis ganja seberat 74kg dianggarkan bernilai RM229,400 di Kuala Krai semalam.

Timbalan Ketua Polis Kuala Krai, Kamarulzaman Harun berkata lelaki dan wanita dalam lingkungan 25 hingga 39 tahun itu ditahan dalam sebuah kereta dari arah Kota Bharu menuju Gua Musang.

Terdahulu, katanya, anggota Cawangan Kereta Peronda (MPV) IPD Kuala Krai mengesan Proton Wira dinaiki tiga individu dalam keadaan mencurigakan di Telekong kira-kira 11.35 pagi.

“Ketika pemeriksaan hendak dijalankan, suspek memecut untuk melarikan diri sebelum berjaya ditahan di tepi jalan di Bukit Sireh. Seorang suspek lelaki dan wanita berjaya ditahan, namun suspek ketiga seorang lelaki meloloskan diri ke arah semak berdekatan.

“Hasil pemeriksaan menemui lima kotak mengandungi bahan disyaki dadah jenis ganja seberat 74kg yang dianggarkan bernilai RM229,400,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek melarikan diri itu merupakan suami kepada wanita ditahan itu.

“Hasil soal siasat awal terhadap kedua-dua suspek, mereka mengaku bekerjasama menghantar bekalan dadah terbabit.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek lelaki positif methamphetamine dan suspek perempuan negatif dadah.”

Beliau berkata, kedua-dua suspek direman tujuh hari hingga Khamis depan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 39B dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis IPD Kuala Krai memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini tampil menyalurkan maklumat di IPD Kuala Krai melalui talian 09-9666222.”

Guru dakwa diugut bunuh angkara lapor 'cikgu ponteng'

Gloria Jaymess

Seorang saksi dalam kes saman pelajar terhadap guru yang didakwa ponteng sekolah selama tujuh bulan pada 2015 mengaku menerima ugutan bunuh selepas membuat aduan mengenai ketidakhadiran guru tersebut.

Ibrahim Jadoon memberitahu Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu hari ini bahawa dia menerima ugutan bunuh daripada Jainal Jamran dalam satu mesyuarat yang diadakan di Pejabat Pendidikan Daerah Kota Belud.

"Saya dengar beberapa perkataan yang sukar saya fahami, jadi saya bertanya kepada seorang murid apakah dia boleh membantu saya memahamkannya.

"Apa yang dikatakannya adalah, 'Tuan, itu bukan Bahasa Malaysia, tapi Bajau - Jogo kam, pepatai ku kam'.

"Saya diberitahu dalam bahasa Bajau, 'Hati-hati, saya akan bunuh kalian berdua'," katanya, menjawab pertanyaan dari peguam mewakili plaintif, Shireen Sikayun.

Menurut Ibrahim, Jainal berkata demikian selepas dia mempersoalkan tentang ketidakhadiran Jainal ke kelas di hadapan Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Kota Belud, Abdul Bakhrin Yusof.

Jainal dikatakan enggan menjawab pertanyaan tersebut dan malah mengeluarkan ugutan terhadapnya.

Ibrahim tidak menjelaskan kepada siapa lagi ugutan itu ditujukan Jainal, tetapi kemungkinan merujuk kepada seorang lagi guru, Norhaizah Ejab.

Menurut Ibrahim, Norhaizah yang turut melaporkan mengenai ketidakhadiran Jainal kepada guru besar sekolah duduk bersebelahan Jainal ketika ugutan itu dibuat.

Bimbang akan keselamatan dirinya, Ibrahim berkata dia kemudian membuat satu laporan polis mengenai ugutan bunuh tersebut.

Ketua PPD turut menjelaskan Kementerian Pendidikanmemberi tempoh dua minggu untuk selesaikan isu ketidakhadiran guru berkenaan dan menyatakan semua pihak tidak perlu membicangkan perkara itu lagi.

Jelas Ibrahim, tiada tindakan diambil oleh PPD ke atas Jainal menyebabkan dia melaporkan perkara itu kepada pegawai Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Muarifin Sufianto Mohchoeri.

Katanya, Muarifin menjelaskan dia telah melaksanakan tanggungjawabnya dan akan berusaha menyelesaikan perkara itu.

Pada 30 Okt 2018, seorang bekas pelajar, Siti Nafirah Siman memfailkan saman terhadap Jainal kerana didakwa ponteng kelas selama tujuh bulan pada 2015

Pada masa itu Siti Nafirah merupakan pelajar kelas 4 Perdagangan (4PD) di SMK Taun Gusi.

Selain Jainal, dia juga menamakan pengetua sekolah ketika kes itu berlaku, SMK Taun Gusi, pegawai pendidikan daerah Kota Belud, pengarah pendidikan Sabah, ketua pengarah pelajaran, menteri pendidikan dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Siti Nafirah diwakili oleh peguamnya Shireen manakala Jainal diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Jesseca Daimis.

Perbicaraan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu Ismail Brahim bersambung Isnin depan.

Kes bunuh warga asing, doktor antara 3 diarah bela diri

Bernama
Dr Dharma Danny Ferns, P Vengadesvaran dan R S Sathya Deepan diperintah membela diri selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka. (Gambar Bernama)
SEREMBAN: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan tiga lelaki termasuk seorang doktor untuk membela diri atas tuduhan membunuh seorang lelaki warga asing pada 2019.

Hakim Azizul Azmi Adnan membuat keputusan itu terhadap Dr Dharma Danny Ferns, 36; bekas penjual ikan P Vengadesvaran, 35; dan bekas pengurus pemasaran R S Sathya Deepan, 34, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kesemua tertuduh bagi kesalahan membunuh.

“Oleh itu, ketiga-tiga tertuduh dipanggil untuk membela diri. Liabiliti kesemua tertuduh dibentukkan kerana niat bersama mereka menurut Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang dibuktikan secara inferens daripada keterangan mengikut keadaan,” katanya yang menetapkan 8 hingga 12 Jan 2024 untuk mereka membela diri.

Terdahulu, mahkamah melepaskan dan membebaskan seorang lagi tertuduh, bekas peniaga kantin Mohd Hafiz Abdul Kadar, 37; atas tuduhan sama selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Mereka didakwa bersama-sama membunuh A Angu, berusia 30-an, di kawasan kandang lembu berhampiran Jalan Dawn 1, Taman Dawn antara 9 malam hingga 10.30 malam, pada 16 Mac 2019.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Seramai 29 saksi dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan bermula akhir 2019.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Hadi Hakimi Harun dan Ala’uddin Baharom, manakala kesemua tertuduh diwakili Jaya Prakash Rao, Paul Krishna Raja, Amy Chong dan Selvan Shanmurgam selaku peguam.

Wahab dakwa diganggu secara seksual oleh Agus

Malaysiakini 

Pembantu Pegawai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani, 33, yang menjadi tumpuan kontroversi berhubung rakaman video tular dilapor mendakwa bahawa dia diganggu secara seksual.

Laporan polis Abdul Wahab di Balai Polis Kajang semalam dikatakan menyatakan dakwaan dia berdepan gangguan seksual oleh bekas ketua pengarah J-KOM, Mohammad Agus Yusoff.

Media melaporkan bahawa polis sedang menyiasat dakwaan itu.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain dipetik media bahawa pihak mereka sedang menyiasat dakwaan berkenaan.

"Abdul Wahab mendakwa kejadian berlaku pada 21 Oktober lalu di sebuah hotel di Bintulu.

"Polis telah membuka siasatan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dan Seksyen 377D atas kesalahan melanggar kesopanan," kata Razarudin seperti dilapor.

Dakwaan terbaru itu tidak dikongsi oleh Abdul Wahab pada 17 Nov lalu ketika sidang media bersama Mohamad Agus.

Pada sidang media itu, Abdul Wahab mendakwa dia merupakan kambing hitam bagi memerangkap bekas orang atasannya itu untuk tujuan tertentu.

Kata Abdul Wahab, dia menerima arahan daripada seorang individu yang turut berkhidmat di dalam J-KOM dikenali sebagai ‘Mr H’ untuk berbuat demikian.

Abdul Wahab juga mendakwa audio pada klip video berkenaan disunting.

Bagaimanapun semalam Abdul Wahab yang hadir bersama peguamnya Faizal Abd Rahman, hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, membuat laporan polis selain mendakwa tindakannya itu bagi membersihkan namanya dalam isu rakaman video perbualan lucah.

Abdul Wahab turut mengakui dia tertekan dengan kontroversi yang membabitkan dirinya dengan Mohammad Agus.

Sementara itu, Razarudin berkata, Abdul Wahab tampil membuat laporan polis bagi melindungi diri selain menafikan terbabit dalam komplot menjatuhkan dan mereka-reka cerita terhadap Mohammad Agus.

Katanya, polis masih menjalankan siasatan mengenai kes ini dan akan memanggil beberapa individu untuk direkod keterangan.

Aktivis didakwa seleweng lebih RM100,000 sumbangan awam

Faiz Zainudin
Hafiz Norkhan (depan, kiri) dan Bada Hussein (depan, kanan) bercakap kepada media selepas membuat memberi keterangan di IPD Wangsa Maju hari ini.
KUALA LUMPUR: Seorang aktivis didakwa menyeleweng dana sumbangan dianggarkan lebih RM100,000, termasuk derma orang ramai kepada keluarga kanak-kanak 10 tahun, Dea Maisarah yang meninggal dunia ketika dirawat di hospital pada Julai lalu.

Peguam Hafiz Norkhan, berkata orang ramai menyumbang kepada keluarga Dea Maisarah lebih RM53,000 melalui akaun sebuah NGO yang dikendalikan aktivis itu.

“Apa yang menjadi persoalan dan pertikaian adalah bayaran dibuat pihak berkenaan (aktivis itu), termasuk kos peguam hanya RM20,000, manakala keluarga Dea melalui bapanya, Bada Hussein pula menerima RM5,000.

“Baki selebihnya daripada RM53,000 dana itu pula tidak pernah dijawab dan penjelasan secara rasmi juga tidak dibuat individu berkenaan,” katanya selepas memberi keterangan di IPD Wangsa Maju yang turut dihadiri Bada, susulan laporan polis dibuat mereka bulan lalu.

Dea Maisarah dihantar ke Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) bersama bapanya pada 9 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan.

Kes itu tular di media sosial susulan dakwaan kanak-kanak itu lewat dirawat kerana terpaksa menunggu lebih 40 minit sebelum sesak nafas, selain terpaksa diikat kerana meronta.

Hafiz berkata, keluarga Dea mendapatkan bantuan aktivis itu kerana yakin dengan lelaki terbabit yang lantang memperjuangkan kematian anaknya.

Selain kes Dea Maisarah, katanya, aktivis itu turut disyaki terbabit dalam beberapa kes penyelewengan lain seperti kes pembelaan guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Selangor yang enggan menerima vaksin.

Beliau berkata, firma guamannya turut membuat laporan polis terhadap aktivis itu yang mendiamkan diri dan menghilangkan diri sehingga kini.

“Kami sudah menyerahkan kepada pihak polis, termasuk bukti transaksi dibuat orang awam yang menunjukkan adanya penyelewengan dalam kes ini. Apa yang penting, kami bukan mahu mendesak pihak polis melakukan tangkapan, sebaliknya kami menuntut keadilan.

“Sebelum ini, rakan aktivis terbabit, iaitu pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ), Wan Chai turut menuntut penjelasan RM28,000 yang dikutip NGO ditubuhkan aktivis berkenaan, namun dia mendiamkan diri tanpa memberikan penjelasan.”

Katanya polis menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil sedang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan penipuan.

“Kita menasihatkan orang ramai berhati-hati ketika berdepan sebarang situasi kutipan sumbangan seperti ini.”

Shafee nafi spekulasi Najib tiada dalam penjara

Malaysiakini 

Peguam Shafee Abdullah menafikan spekulasi yang mendakwa bekas perdana menteri, Najib Razak tidak menjalani hukuman penjara.

Sebaliknya kata peguam bekas perdana menteri itu, Najib ditempatkan di sel berasingan atas faktor keselamatan.

"Dia dalam penjara. Penjara yang biasa. Tetapi atas isu keselamatan, dia diasingkan.

“Sebab kalau dia bersama-sama dengan orang lain, anything can happen (apa saja boleh berlaku)," katanya.

Shafee berkata demikian ketika ditanya hos program bual bicara Podcast Keluar Sekejap, Shahril Sufian Hamdan.

Rancangan yang turut dihoskan oleh Khairy Jamaluddin itu dirakam pada Rabu lalu dan disiarkan di Youtube pagi tadi.

Kata Shafee, Najib kini berada dalam keadaan baik dan dia kerap bertemu bekas presiden Umno itu.

"Hampir setiap minggu (saya melawat Najib) dan kadangkala dua minggu sekali. Esok (semalam) saya akan jumpa dia lagi.

"Dalam mahkamah memang kita ada bertemu setiap masa. Kadangkala saya juga cuba duduk bersama untuk makan tengah hari dengan dia supaya saya boleh bercakap dengannya,” jelasnya.

Katanya, Najib kini dalam proses memohon melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD).

"Dia sekarang sedang membuat permohonan untuk buat PhD. Saya fikir dia sudah pun mula melakukan beberapa penulisan. Saya gembira dia melakukan sesuatu, otaknya tidak tepu," katanya.

Ditanya mengenai bagaimana bahan-bahan bacaan dapat diakses oleh Najib, Shafee berkata ia disediakan oleh pembantunya.

"Ada tapisan, dia tak boleh terima apa sahaja, buku pun ada tapisan,"' katanya.

Pada 31 Mac lalu, Najib, 70, gagal dalam usaha terakhirnya untuk menyemak sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta atas kesalahan menyeleweng dana SRC International.

Dia kini menjalani hukuman itu di Penjara Kajang.

Polis siasat dakwaan Wahab diganggu secara seksual

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis siasat dakwaan penolong pegawai Jabatan Komunikasi Komuniti J-KOM, Abdul Wahab Abd Kader diganggu secara seksual.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata ia susulan laporan dibuat Abdul Wahab di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, Selangor semalam.

Menurutnya, pihaknya menerima laporan berkaitan gangguan seksual dipercayai berlaku pada 21 Oktober lalu di sebuah hotel Bintulu, Sarawak.

"Abdul Wahab mendakwa tampil membuat laporan bagi melindungi diri selain menafikan terbabit di dalam komplot menjatuhkan dan mereka-reka cerita terhadap Ketua J-KOM Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff.

"Siasatan masih diteruskan dan kita akan panggil beberapa individu lagi bagi diambil keterangan," katanya hari ini.

Menurutnya, polis membuka siasatan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dan Seksyen 377D atas kesalahan melanggar kesopanan.

Semalam Harian Metro melaporkan Abdul Wahab membuat laporan terhadap Mr H berhubung penularan video perbualan lucah membabitkan dirinya pada 17 November lalu.

Peguam mewakili Abdul Wahab, Faizal Abd Rahman berkata, mereka hadir di Balai Polis Kajang bagi membuat laporan berkenaan 11 pagi semalam.

Alat mainan seks bernilai RM122,000 dirampas dari gudang

FMT Reporters

PETALING JAYA: Pihak berkuasa merampas 4,335 unit alat mainan seks bernilai RM122,000 dalam serbuan ke atas sebuah gudang di Sungai Buloh.

Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan Kementerian Dalam Negeri, Nik Yusaimi Yussof, berkata gudang itu dijadikan tempat penyimpanan dan pengedaran pelbagai barang, termasuk alat mainan seks yang diimport dari luar negara sejak tahun lalu.

“Alat permainan seks berkenaan diimport bagi memenuhi permintaan pelanggan dalam negara,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata alat mainan seks dilarang di negara ini kerana bertentangan moral dan budaya masyarakat Malaysia.

Katanya tindakan tegas akan diambil terhadap pihak didapati terbabit dengan elemen merosakkan moral dan menjejaskan keselamatan awam.

Beliau berkata, rampasan itu dilakukan mengikut Seksyen 7 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan.

“Orang ramai diminta memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan hasil penerbitan tidak diingini dengan menghubungi talian 03-80008000 /88893145.”

Kenapa kurangkan denda merokok di kawasan larangan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) menjelaskan mengapa denda bagi kesalahan merokok di zon bebas asap rokok dikurangkan secara drastik mengikut Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023.

Presiden MMA Dr Azizan Abdul Aziz berkata, hukuman yang kini ditetapkan bagi sesiapa yang didapati merokok di zon bebas asap rokok ialah denda RM10,000 atau penjara dua tahun.

Menurut RUU yang diluluskan oleh Dewan Rakyat semalam, denda bagi kesalahan tersebut dikurangkan sebanyak 50% kepada RM5,000, tanpa peruntukan hukuman penjara.

“Adakah KKM mengambil pendekatan lebih ‘lembut’ berhubung kesan buruk asap rokok terhadap kesihatan awam?” tanya Azizan dalam kenyataan.

Azizan turut meluahkan “kekecewaan mendalam” atas keputusan KKM untuk menggugurkan peruntukan generasi penamat (GEG) daripada RUU tersebut, yang masih memerlukan kelulusan Dewan Negara.

Beliau berkata, KKM secara berkesan tidak mengendahkan syor Jawatankuasa Khas Parlimen Kesihatan, sambil menambah Ahli Parlimen sepatutnya dari mula dibenarkan berbahas tentang perlembagaan GEG.

“Walaupun RUU tersebut melarang penjualan produk tembakau dan vape kepada individu bawah umur, ia gagal menunjukkan mahupun mencadangkan strategi untuk mencapai (status) bebas asap (rokok dan vape), suatu usaha yang harus diperjuangkan oleh kementerian,” katanya.

Azizan turut meluahkan kebimbangan apabila istilah “peranti merokok” dihapuskan daripada RUU yang disemak itu atas sebab-sebab yang tidak diketahui.

Mengakui wujudnya usul oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) agar peranti ini dikawal, beliau menegaskan bahawa ia paling baik dikawal selia oleh KKM agar tidak berlaku pertindihan penguatkuasaan.

“Selain itu, terdapat peranti merokok pakai buang dijual di pasaran yang didatangkan siap mengandungi cecair. Ini mungkin menjadi isu jika penguatkuasaan dijalankan oleh dua kementerian berasingan.

“Pada masa akan datang, MMA berharap kementerian akan memastikan penguatkuasaan yang kerap dan ketat agar dasar ini berkesan,” katanya.

“Kami juga berharap dapat melihat komitmen yang lebih besar daripada kementerian terhadap pendidikan kesihatan awam, melalui kempen anti-rokok dan vape yang lebih meluas.”

Bagaimana tiba-tiba akaun Hafidzah ada RM400 juta…

Malaysiakini
story-image
Seorang wanita terkejut besar apabila mendapati akaun banknya mempunyai baki lebih RM400 juta.

Bagaimanapun, kesilapan teknikal itu bukan membuatkan hidupnya bertambah senang, tetapi sebaliknya.

Pengguna Maybank Hafidzah Abdullah berkata kesilapan itu menyebabkan akaunnya disekat dan usaha mendapatkan kembali akaunnya begitu sukar.

“Tiga hari semasa kesilapan teknikal itu, yang berlaku ketika tempoh pembayaran gaji, seperti comedy of errors (komedi kelam kabut) yang tidak ada orang rasa kelakar,” kata pengarah Malaysia HR Forum.

Menulis pengalaman itu di Linkedin, dia yang juga berkata susulan sekatan itu akaun syarikat juga tidak berfungsi.

Dia juga, kata Hafidzah, terpaksa menghubungi Maybank dan berkunjung ke cawangan terdekat setiap hari.

Bagaimanapun, tulisannya itu mendapat perhatian Naib Presiden Eksekutif Maybank Shaikh Munir Ahmad, yang juga ketua pengurusan pengalaman pelanggan.

Shaikh Munir menulis komen yang memintanya memintanya nombor telefon untuk dihubungi pasukan mereka.

Akhbar Singapura The Straits Times hari ini melaporkan bahawa Maybank memberitahu mereka bahawa isu itu telah selesai dan tiada sebarang data pelanggan dikompromi.

Pembantu pengurusan murid tak mengaku cabul 6 murid OKU

Mohd Roji Kawi
am@hmetro.com.my
Dua tertuduh dalam kes amang seksual melibatkan OKU di salah sebuah Sekolah di Serian, di tuduh di Mahkamah Sesyen Samarahan. FOTO NADIM BOKHARI BOKHARI
Dua tertuduh dalam kes amang seksual melibatkan OKU di salah sebuah Sekolah di Serian, di tuduh di Mahkamah Sesyen Samarahan. FOTO NADIM BOKHARI BOKHARI
Kota Samarahan: Seorang pembantu pengurusan murid di sebuah sekolah di Serian didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Samarahan hari ini atas enam pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua murid lelaki dan empat murid perempuan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) sekolah berkenaan.

Tertuduh, Johnatan Douglas Mang, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Shafiza Abdul Razak Tready.

Shafiza kemudiannya menetapkan 8 Januari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.

Beliau juga membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin tempatan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap dua murid lelaki berusia 12 dan 13 tahun dengan menyentuh kemaluan mereka di kelas PPKI sekolah terbabit.

Tiga lagi pertuduhan membabitkan murid perempuan berusia 11, 13 dan 14 tahun di lokasi sama.

Manakala satu lagi pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual ke atas seorang murid perempuan berusia 14 tahun.

Dia dituduh mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14 dan dibaca bersama dengan Seksyen 16 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Aiman Mutallib Mohamad Shariff manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Video tular: Kertas siasatan diserah kepada Jabatan Peguam Negara hari ini

HarapanDaily.com

Kertas siasatan berhubung video tular perbualan individu mirip bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff dengan seorang kakitangan jabatan itu akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata seramai lapan individu telah dipanggil bagi membantu siasatan kes tersebut.

“Kertas siasatan itu akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara esok selari dengan perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Razarudin berkata, individu yang dinamakan sebagai ‘Mr H’, yang didakwa ada kaitan dengan video terbabit juga telah dipanggil hari ini bagi sambungan rakaman percakapan untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, setakat ini tiada keperluan untuk mendedahkan identiti ‘Mr H’ kepada umum susulan siasatan masih dijalankan dan ia dikhuatiri akan mengganggu proses itu.

Dalam perkembangan berkaitan pegawai J-Kom yang turut terpalit dalam video tular ini, Abdul Wahab Abdul Kadir Jailani telah membuat laporan polis di ibu pejabat polis daerah Kajang semalam.

Agus dan Wahab dilaporkan muncul dalam klip video jelik berdurasi tiga minit. Mereka telah pun mengadakan sidang akhbar dan mendakwa bahawa klip itu telah diedit.

Pelik macam mana warga Pakistan mudah buka kedai

TINDAKAN menyita premis diusahakan warga asing menggunakan nama rakyat tempatan perlu dibuat sebelum keadaan menjadi sukar dikawal.
Oleh Meja Rencana

SAUDARA PENGARANG,

PENGERUSI Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada 23 November lalu menegaskan bahawa warga asing hanya dibenar berada dalam sektor peruncitan sebagai pekerja.

Mereka termasuk rakyat Pakistan tidak pernah diberikan lesen perniagaan untuk berniaga. Namun, situasi semasa terutama di Kota Bharu adalah sebaliknya.

Premis perniagaan diusahakan warga asing kini tidak terhad kepada warga Pakistan semata-mata.

Warga Bangladesh dan Myanmar turut membuka kedai runcit, kedai serbaneka serta syarikat kontraktor pembinaan dan pengubahsuaian rumah.

Kedai-kedai di Kota Bharu yang kebanyakan peniaga asal ialah kaum Cina semakin hari semakin berganti kepada warga asing.

Perniagaan ini mungkin didaftarkan atas nama pasangan warga asing terbabit sama seperti berlaku di Kuala Terengganu. Warga Pakistan sejak dahulu lagi agak tidak jelas status dokumen mereka.

Mereka bebas bergerak menjual kain dan sekarang mempunyai premis perniagaan tetap seperti kedai runcit dan kedai perabot di Pasir Puteh dan Gua Musang.

Warga asing tidak dibenarkan berniaga di negara ini apatah lagi jika masih memegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

Taktik yang digunakan adalah berkahwin dengan wanita tempatan supaya mereka dapat berniaga menggunakan nama isteri.

Sebelum ini, pernah tular dalam internet mengenai taktik yang digunakan lelaki Pakistan untuk memikat wanita Melayu.

Oleh itu, kerajaan negeri Kelantan melalui pihak berkuasa agama negeri diharap dapat mengadakan sesi libat urus bersama Jabatan Imigresen (JIM).

Ini bagi memastikan warga asing tidak begitu mudah dibenarkan berkahwin dengan rakyat tempatan semata-mata untuk berniaga dan memohon status taraf penduduk tetap (PR).

Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kelantan pula perlu lebih kerap menjalankan operasi bersepadu bersama JIM dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi memastikan warga asing yang bekerja di negeri ini tidak sewenang-wenangnya menjalankan perniagaan.

Selain mengelakkan masalah sosial dan kebersihan, langkah ini juga bagi memastikan warga asing tidak membentuk koloni penempatan dan perniagaan hingga menghilangkan identiti asal Kota Bharu. – UTUSAN

Jakim panggil 'Imam Mahdi'

TUAN BUQHAIRAH TUAN MUHAMAD ADNAN

PUTRAJAYA - Lelaki yang mengaku dirinya sebagai Imam Mahdi akan dipanggil oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam masa terdekat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah mengenal pasti alamat lelaki tersebut.

"Jakim akan panggil dan menasihati dia," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata, lelaki tersebut telah berada di bawah radar Cawangan Kajian Akidah JAIS sejak 23 November lalu.

"Tindakan lanjut akan dilakukan oleh JAIS," katanya.

Terdahulu tular mengenai tangkap layar pengguna Facebook yang dikenali sebagai Khairul Adha yang mendakwa dia sebagai Imam Mahdi yang dilantik oleh ALLAH SWT.

Status yang dimuat naik pada 22 November itu mendapat kecaman pengguna media sosial.

Imam al-Mahdi adalah seorang pemimpin soleh yang diutuskan ALLAH SWT untuk menegakkan keadilan di bumi.

Kemunculan Imam al-Mahdi juga merupakan salah satu tanda kiamat besar yang akan berlaku kelak.

Ura-ura rombakan kabinet timbul kembali, Zaliha digugurkan?

HarapanDaily.com

Isu rombakan kabinet timbul kembali dan kali ini ia melibatkan nama para pimpinan PKR.

FMT memetik dua sumber termasuk dari PKR yang berkata menteri kesihatan akan ditukarkan.

Portfolio tersebut kini dipegang oleh Dr Zaliha Mustafa.

“Beliau dan perdana menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) berbeza pandangan mengenai pengurusan kementerian,” sumber tersebut dipetik berkata.

Sekiranya Zaliha digugurkan, calon pilihan yang akan menggantikannya ialah Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek manakala Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad akan mengambil alih portfolio pendidikan.

Portfolio pendidikan kepunyaan PKR dan buat masa sekarang Nik Nazmi paling layak untuk kedudukan tersebut.

Kekosongan jawatan menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup ekoran kematian Datuk Seri Salahuddin Ayub akan diselesaikan dengan melantik Ahli Parlimen Shah Alam Azli Yusof dari Amanah.

“Pelantikan menteri kewangan kedua tidak mungkin berlaku memandangkan Anwar mempunyai dua timbalan,” sumber dipetik berkata.

Rombakan kabinet yang dijangka berlaku selepas PRK Kemaman akan turut menyaksikan timbalan menteri bertukar kementerian.

Sumber kedua pula tidak menolak kemungkinan pelantikan menteri kewangan kedua dengan syarat calon tersebut seorang teknorat, bukan ahli parlimen.

Liverpool benam Lask 4-0

AFP

London: Dua gol Cody Gakpo membawa Liverpool ke pusingan 16 terakhir Liga Europa apabila menewaskan Lask 4-0, manakala Brighton mara ke pusingan kalah mati dengan kemenangan 1-0 ke atas AEK Athens awal pagi tadi.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu mengesahkan kemaraan selepas mengungguli Kumpulan E hasil jaringan Gakpo dan gol daripada Luis Diaz dan Mohamed Salah di Anfield.

Selepas Toulouse yang berada di tempat kedua menentang Union Saint-Gilloise mencatatkan keputusan seri 0-0 dalam perlawanan kumpulan lain bermakna Klopp boleh merehatkan pemain untuk perlawanan terakhir peringkat kumpulan pasukannya.

Juarai peringkat kumpulan Liga Europa mara ke pusingan 16 terakhir secara automatik, manakala naib juara perlu beraksi pusingan play-off pada Februari ini menentang pasukan yang menduduki tempat ketiga dalam kumpulan Liga Juara-Juara.

Dapatkan Baucar Tunai dengan menjawab 5 soalan kajian selidik

"Perkara yang paling penting ialah kami menjadi juara kumpulan dan itu tidak akan berubah jadi ia sesuatu yang bagus," kata Klopp.

"Ada beberapa aksi bola sepak yang bagus dalam perlawanan ini namun kami sepatutnya lebih baik pada separuh masa pertama. Kami tidak melakukannya, apapun ia hebat bila menang 4-0."

Klopp melakukan sembilan pertukaran ketika pasukannya seri dengan juara Liga Perdana, Manchester City Sabtu lalu dengan Salah dan Kostas Tsimikas satu-satunya pemain yang mengekalkan tempat mereka.

Menyambut hantaran lintang Joe Gomez, Diaz menjaringkan gol pertamanya di Anfield sejak Ogos apabila tandukannya melepasi penjaga gol Lask, Tobias Lawal pada minit ke-12.

Selepas membuka jaringan, Diaz membantu gol kedua Liverpool tiga minit kemudian mengambil hantaran daripada Salah untuk menghantar kepada Gakpo bagi menjaringkan gol dari jarak dekat.

Salah turus menambah derita pasukan dari Austria itu pada minit ke-51 apabila menyempurnakan penalti untuk gol ke-13 musim ini selepas Gakpo dikasari oleh Lawal.

Penyerang Belanda, Gakpo menyempurnakan gol keempat menerusi rembatan lintang menerjah ke penjuru pada masa kecederaan bagi memastikan kemenangan selesa Liverpool di Anfield.

Kemaman: Kempen suram, cuaca boleh jejas peluang PAS menang besar

Mohd Farhan Darwis

PETALING JAYA: PRK Kemaman yang dikatakan ‘sejuk’ mungkin menjejaskan sasaran PAS menang majoriti 30,000 undi pada pilihan raya esok.

Penganalisis politik Hisomuddin Bakar berkata faktor cuaca mungkin memainkan peranan dari segi peratus keluar mengundi memandangkan sebahagian pantai timur Semenanjung Malaysia kini berdepan Monsun Timur Laut.

Pengarah eksekutif Ilham Centre itu berkata dalam keadaan itu faktor calon ‘heavyweight’ seperti tindakan PAS meletakkan Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar tidak lagi memainkan peranan menarik pengundi menunaikan tanggungjawab.

“Dapat 65% (pengundi) pun cukup baik, jadi majoriti mungkin lebih kecil…(sasaran) 30,000 undi mungkin susah,” katanya kepada FMT mengulas pertembungan Samsuri dengan calon Barisan Nasional (BN) Jen (B) Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Hisomuddin turut berkata mood pengundi tempatan juga dilihat kurang teruja dengan kempen agak sejuk, mungkin berpunca keyakinan PAS menang atau perasaan dingin terhadap kempen BN terutama di kalangan anak muda.

“Sama ada faktor cuaca atau hujan, pengundi banyak duduk di rumah tidak sertai ceramah membentuk majoriti pengundi senyap yang lebih besar untuk diukir jentera parti.

“Tiada isu besar dan tempatan, malah ceramah perdana menteri (Anwar Ibrahim) (kelmarin) masih bawa isu nasional, maklum balas diterima mengatakan ia tak dapat menangkap imaginasi pengundi di Kemaman,” katanya.

Sedar keadaan itu, Yang Dipertua PAS Kemaman Che Alias Hamid berkata pihaknya mula menggerakkan kumpulan kerahan khas menggesa pengundi khususnya anak muda di luar Terengganu untuk pulang mengundi esok.

“Cabaran utama musim tengkujuh, tetapi pengundi luar kita harap mereka balik…dalam keadaan begini perlu buat kerahan.

“Kalau pengundi luar boleh balik insya-Allah boleh tambah majoriti hingga 30,000 undi,” kata penyandang kerusi itu yang menang dengan majoriti 27,179 undi dalam pertandingan empat penjuru pada PRU15.

Kemenangan Che Alias dibatalkan Mahkamah Pilihan Raya selepas pempetisyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen pilihan raya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Terengganu Tengku Haphiz Tengku Putra pula berkata mereka menumpukan kepada pengundi muda yang dilihat cenderung memilih menggunakan emosi dan termakan politik adu domba PAS.

“Ada beberapa sentimen dimainkan tetapi kita dah perbetulkan, Pemuda Umno bawa naratif supaya kena fikir secara objektif,” katanya.

Mengecewakan, hasrat melindungi semua orang daripada bahaya asap rokok setelah fasal berkaitan GEG digugurkan

TUAN BUQHAIRAH TUAN MUHAMAD ADNAN 
Asap rokok telah membunuh 27,000 orang setiap tahun iaitu jumlah kematian tertinggi berbanding kemalangan
jalan raya.
Asap rokok telah membunuh 27,000 orang setiap tahun iaitu jumlah kematian tertinggi berbanding kemalangan jalan raya.
PUTRAJAYA - Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC) melahirkan rasa kecewa fasal yang berkaitan generasi penamat (GEG) digugurkan daripada Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023.

Ini kerana usaha untuk memastikan generasi masa depan yang bebas rokok telah lama digerakkan oleh pelbagai pihak, menurut Setiausaha Agung MCTC Muhammad Sha’ani Abdullah.

"Kami amat kecewa dengan pengguguran fasal GEG," katanya pada Rabu.

Jelasnya, bancian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencegah tabiat merokok di dalam kalangan rakyat berada pada kadar 21.5 dan 21.3 iaitu menunjukkan pencapaian yang tiada kemajuan.

"Bancian juga menunjukkan tabiat merokok di dalam kalangan remaja telah melonjak kepada 15 peratus," katanya.

Beliau berkata, perkara itu akan terus membelenggu negara berikutan tiada kesedaran mengenai larangan penjualan produk tembakau dan rokok serta larangan merokok.

"Larangan tersebut bertujuan melindungi semua orang daripada bahaya asap rokok yang mempunyai 6,000 racun," katanya.

Ujar Muhammad Sha’ani, asap rokok telah membunuh 27,000 orang setiap tahun iaitu jumlah kematian tertinggi berbanding kemalangan jalan raya.

"Saya melihat keputusan pengguguran fasal GEG ini telah memihak kepada industri," katanya.

Dakwa beliau, pihak industri rokok berusaha memansuhkan fasal berkaitan GEG kerana inginkan rokok dan produk rokok terus mendapat tempat di pasaran pada masa ini dan akan datang.

"Budak-budak (remaja) sudah tidak minat dengan rokok. Mereka lebih cenderung dengan rokok elektronik yang mempunyai pelbagai pelbagai bentuk dan perisa.

"Sebab itulah rokok elektronik yang berada di pasaran dicipta untuk menarik minat golongan peringkat umur ini," katanya.

Selain itu, beliau mendakwa, peningkatan harga rokok hanya naratif yang dimainkan pihak industri.

"Sama ada orang membeli rokok sah atau seludup, ia datang daripada kilang yang sama.

"Mereka tidak rugi apa pun, malah lebih untung kerana ada pasaran rokok seludup yang dijual lebih murah," katanya.

Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 dibentangkan sekali lagi untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Selasa.

Remaja perempuan 15 tahun bunuh datuknya di flat sebelum terjun bunuh diri

Kisah malang tentang kehidupan yang telah hilang panduan dan tujuan 

Berita Harian Singapura
TEMPAT KEJADIAN: Pegawai penyiasat di tempat letak kereta Blok 363 Bukit Batok Street 31, tempat Encik Teo An Nee ditemui mati di rumahnya, pada Jun 2022. - Foto Fail

Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun, Ellis Teo, membunuh datuknya di flat Bukit Batok sebelum terjun daripada blok berhampiran pada Jun 2022 – dengan punca kejadian tidak diketahui.

Pada Rabu, Koroner Christopher Goh, berkata tiada orang lain didapati terlibat dalam kematian Encik Teo An Nee, 84 tahun.

Mendiang ditemui dengan sekurang-kurangnya tujuh kesan tikaman pada badannya di flatnya di Blok 363 Bukit Batok Street 31 pada 23 Jun 2022, kemudian disahkan meninggal dunia oleh paramedik.

Selepas membunuh datuk sebelah bapanya, Ellis kemudian ke tingkat 25 Blok 115 Bukit Batok West Avenue 6, lalu terjun sehingga menyebabkannya mati.

Pegawai penyiasat (IO), Sarjan Quek Jun Cai, memberitahu mahkamah pada Rabu bahawa susulan siasatan, polis tidak dapat menentukan apa yang berlaku antara mereka sejurus sebelum tragedi itu.

Remaja itu dan datuknya bersendirian di flat ketika kejadian berlaku.

Tiada saksi dan rakaman pengawasan tersedia dalam unit flat itu, lapor The Straits Times.

Catatan diari Ellis tidak menunjukkan kebencian atau niat jahat terhadap datuknya tetapi meluahkan kesunyian dan keinginan untuk menamatkan hidupnya, kata IO.

Eliis juga menyebut kesukaran mengajar Encik Teo menggunakan telefonnya kerana penguasaan bahasa Cina yang terhad.

Walaupun Ellis juga menulis tentang isu kesihatan mental, tiada laporan perubatan rasmi untuk mengesahkan perkara ini.

Seorang saudara mencadangkan bahawa bunyi telefon Encik Teo berdering mungkin telah ‘mencetuskan’ tindakan Ellis itu.

Tiada tanda-tanda pecah masuk di kediaman keluarga itu. Anggota keluarga tidak hadir di mahkamah semasa siasatan.

Lebih ramai lelaki bunuh diri di Johor

KHAIRUL MOHD. ALI

ISKANDAR PUTERI – Sebanyak 115 kes bunuh diri direkodkan di negeri ini sepanjang tahun lalu, pengurangan sebanyak 17.8 peratus kes berbanding sebanyak 140 kes direkodkan pada tahun 2021.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon berkata, 84.3 peratus kes bunuh diri sepanjang tahun lalu itu melibatkan seramai 97 lelaki.

“Selain itu, lebih kurang 67.8 peratus daripada kes bunuh diri tahun lalu melibatkan individu berusia antara 18 hingga 40 tahun.

“Rekod tahun lalu menunjukkan penurunan, bagaimanapun statistik lima tahun sebelumnya iaitu bermula dari 2018 hingga 2021 menunjukkan peningkatan,” katanya ketika berucap pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Amira Aisya Abd. Aziz (MUDA-Puteri Wangsa) berhubung tindakan diambil kerajaan negeri untuk mengatasi kes bunuh diri yang semakin meningkat dan usaha membantu mereka yang berisiko.

Tian Soon yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng turut memberitahu, topik kesihatan mental sering dibincangkan khususnya selepas pandemik Covid-19.

“Antara sebab utama yang dikenalpasti daripada laporan kes bunuh diri adalah melibatkan masalah berkaitan pasangan suami isteri, masalah penyakit kronik serta masalah mental atau kemurungan dan masalah kewangan.

“Sehubungan itu, Jabatan Kesihatan Negeri Johor telah merangka beberapa strategi bagi membantu masayarakat menangani isu kesihatan mental yang mudah-mudahan boleh mengurangkan tindakan bunuh diri.

“Ia meliputi aspek promosi, pengesanan awal serta intervensi bagi mereka yang hadir ke fasiliti kesihatan awam di negeri ini,” jelasnya.

Tambahnya, kerajaan negeri akan terus berkerjasama dengan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha membina kesedaran pencegahan bunuh diri, pengesanan awal kes bunuh diri dan Intervensi atau rawatan bersesuaian. – KOSMO! ONLINE

Pengusaha restoran bergelar datuk ditahan kerana laku khianat

Izz Laily Hussein
am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Seorang pengusaha sebuah restoran terkenal di daerah ini yang dipercayai bergelar Datuk ditahan polis, kelmarin selepas disyaki melakukan khianat.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia 46 tahun itu ditahan pada jam 2.50 petang kelmarin selepas laporan polis dibuat seorang peniaga yang didatangi suspek dalam keadaan marah, pada Sabtu lalu.

Difahamkan, suspek datang ke pejabat mangsa pada jam 9.40 malam dan mempersoalkan tindakannya membuka perniagaan di kawasan itu tanpa izin.

"Mangsa berusia 46 tahun itu dimarahi berulang kali dan suspek turut bertindak menarik tangannya untuk keluar daripada pejabat.

"Mangsa cuba melepaskan diri dan memberitahu bahawa dia tidak mahu bergaduh kerana tidak mahu mempunyai masalah dengan suspek.

"Berlaku perselisihan faham dan suspek bertindak menumbuk pintu pejabat mangsa sehingga pecah.

"Mangsa mengalami kerugian apabila perlu mengganti cermin pintu pejabatnya berharga kira-kira RM800," katanya.

Sumber berkata, suspek dikatakan mempunyai satu rekod jenayah lampau namun negatif dadah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat ketika dihubungi mengesahkan tentang penahanan suspek berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, selepas soal siasat dilakukan, suspek dibebaskan dengan jaminan polis.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat," katanya.

Warga asing guna bilik sewa buka kedai runcit, jual daging

DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
PENGUAT KUASA KPDN memeriksa barangan yang dijual di kedai runcit diusahakan warga asing Bangladesh di Plaza Melaka Sentral, Melaka. -foto oleh SYAFEEQ AHMAD
MELAKA – Pekerja asing warga Bangladesh bukan sahaja menyewa bilik untuk dijadikan tempat tinggal tetapi turut menggunakan ruang itu sebagai kedai runcit di bangunan di Plaza Melaka Sentral di sini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka, Norena Jaafar berkata, kegiatan itu terbongkar dalam satu serbuan dilakukan sepasukan penguat kuasa di tingkat satu dan dua bangunan tersebut, hari ini.

Katanya, pemeriksaan lanjut di lokasi menjumpai pelbagai barangan kawalan tanpa permit termasuk produk berasaskan minyak.

“Tindakan ini diambil selepas kita menerima aduan orang ramai yang tidak selesa dengan kemunculan mini Dhaka di kawasan ini.

“Serbuan dilakukan mendapati warga asing ini bukan sahaja menyewa bilik tetapi turut menjadikan ruang itu sebagai kedai runcit dan menjual pelbagai barangan dapur termasuk daging mentah,”katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Tambahnya, tingkat dua premis itu pula padat dengan pembahagian 10 bilik sewa yang didiami warga asing berkenaan.

Mengulas lanjut beliau memberitahu, kegiatan perniagaan haram itu dikaburi dengan langsir labuh yang dipasangkan di cermin di tingkat dua agar kelihatan seperti bilik tidur.

“Ini adalah kes pertama dikesan KPDN Melaka dan keadaannya begitu teruk dan berharap PBT, Jabatan Imigresen (JIM) dapat sama membantu memeriksa kawasan ini.

“Dalam operasi hari ini, kita turut merampas barangan di dua buah kedai atas kesalahan tiada tanda harga dan pelabelan barangan yang salah,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Lari dari isteri sampai sanggup rempuh orang

Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@mediaprima.com.my
TANGKAP layar video tular
Gombak: Ingin melarikan diri dari isterinya kerana pergaduhan menyebabkan pemandu kereta sanggup merempuh penunggang motosikal yang cuba menghalangnya di Taman Tun Teja, Rawang, di sini, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya mengesan video berdurasi 18 saat tular di media sosial memaparkan kereta Honda Civic merempuh sebuah motosikal Yamaha Ego sebelum melarikan diri hari ini.

Menurutnya,hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pada jam 3.30 petang semalam.

"Kejadian berlaku semasa pemandu kereta itu hendak melarikan diri daripada isterinya selepas berlaku pertengkaran antara mereka.

"Penunggang motosikal yang ada di situ cuba menghalang kereta terbabit namun dirempuh," katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, mangsa mengalami kecederaan di bahagian siku dan kaki.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan bunuh dan Seksyen 337 Kanun Keseksaan

"Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintendan Agilan Iswaran ditalian019-5230801 atau Bilik Gerakan Polis Daerah Gombak ditalian03-61262222. .