PMX: Kerajaan teruskan siasat kenamaan kaya, curi duit rakyat

Ilah Hafiz Aziz
illahhafiz.abdulaziz@bh.com.my

ANWAR Ibrahim. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Klang: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi isyarat kerajaannya akan terus mencari kebenaran dalam siasatan kecurian dana negara untuk rakyat, biarpun mereka kini berdepan dengan kritikan hebat.

Beliau berkata, siasatan terhadap golongan kaya dan kenamaan, khususnya mereka bergelar Tun tidak semudah yang disangka dan ia perlu disokong oleh semua pihak.

"Kita tingkatkan usaha kita, ia tidak mudah kerana hutang (negara) banyak (tetapi) ada yang curi, curi, curi duit rakyat.

"Kita mahu ambil tindakan dan ada yang marah-marah. (Mereka) curi sana curi sini dan tidak diambil tindakan.

"Bagi saya ia (kritik kerajaan) aneh. Sepatutnya you sokong kerana bukan senang tau mahu siasat Tun, Tun.

"Siasat ketua kampung senang, siasat cikgu sekolah Tamil lagi senang. Saya mahu siasat orang kaya besar-besar yang curi duit ingat senang ke? Tak senang…" katanya katanya dalam ucapan pada Sambutan Pesta Ponggal Kebangsaan 2021, di Padang Chetey, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.

Anwar turut menegaskan, beliau bertekad untuk tidak mahu ada lagi pihak yang berterusan mencuri hak dan harta rakyat Malaysia.

"Kita mahu menjaga negara ini, jangan bagi orang mencuri harta rakyat.

"Kita mahu menolong rakyat dan we will go after the crooks, i dont care," katanya.

AMANAH Kedah: Langkah Dubai naratif kotor pembangkang

AKMAL MANAF

Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh menyifatkan naratif yang dimainkan pembangkang tentang menjatuhkan kerajaan seperti Langkah Dubai adalah sesuatu sangat kotor.

Beliau berkata, tindakan yang dilakukan pembangkang itu tidak membawa sebarang kebaikan kepada negara, malah membuatkan pemikiran rakyat menjadi celaru.

Katanya, pada hari ini, beliau ingin memberi pandangan terhadap dua naratif yang dimainkan oleh Pas dan Perikatan Nasional (PN) yang menyebabkan pemikiran rakyat berada dalam keadaan bercelaru dan keliru.

”Bukan sahaja dalam kalangan rakyat, tetapi juga dalam kalangan pegawai-pegawai kerajaan. Lebih penting lagi adalah di kalangan pelabur-pelabur yang melihat negara kita dalam keadaan politik yang tidak stabil.

”Naratif pertama yang dimainkan sejak sekian lama adalah berkaitan kerajaan yang ada ini tidak stabil dan akan tumbang. Ini yang dimainkan hari demi hari bukan sahaja oleh pengikut-pengikut mereka, tetapi pimpinan utama, ahli-ahli parlimen dan juga menteri besar.

”Naratif kedua yang dimainkan pula adalah menukar kerajaan yang ada sekarang ini, adalah sesuatu yang mengikut perlembagaan.

“Mungkin mereka mengambil contoh bagaimana kerajaan Mahiaddin yang mengambil alih kerajaan tempoh hari, telah melakukan sesuatu yang menyebabkan berlakunya hilang majoriti di Parlimen,” katanya dalam satu video dimuat naik di laman Facebooknya, hari ini.

Susulan naratif yang dimainkan pihak pembangkang itu, Ismail berpendapat kerajaan sepatutnya mengambil tindakan undang-undang kepada mereka yang cuba memporak-peranda ketenteraman dan pemikiran rakyat dalam negara ini.

”Pada pendapat saya, kedua-kedua naratif itu sangat kotor. Ia juga akan memberi kesan tidak baik terhadap pandangan orang luar yang ingin melakukan pelaburan dalam negara kita,” tegas beliau lagi.

Pada 30 Disember lalu, Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) J-Kom, Datuk Ismail Yusop dilaporkan mendakwa ‘Langkah Dubai’ itu timbul ketika percutian beberapa pemimpin pembangkang dan tokoh-tokoh daripada pihak kerajaan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Mohd Nor kemudian mengesahkan wujud rancangan pembangkang menjatuhkan kerajaan mengikut proses dibenarkan Perlembagaan.

Bagaimanapun, Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan menerima laporan risikan berkaitan rancangan tersebut.

Terbaru beliau mencadangkan rang undang-undang Penggal Tetap Parlimen.

Sementara itu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pula mengambil pendirian untuk tidak peduli berkenaan Langkah Dubai.

Sayang haiwan biar bertempat

Nor Afzan Mohamad Yusof

SETIAP kali melalui kaki lima stesen LRT di Taman M dan TJ, setiap kali itu jugalah saya melihat makanan kucing bersepah.

Sama ada di laluan pejalan kaki dan sudut-sudut tepi tangga menghala ke kaunter masuk tren.

Stesen yang antara tersibuk di ibu kota ini memiliki pemandangan indah dek kehijuan taman dan hutan simpanannya, namun makanan kucing, bekas makanan dan minumannya yang bersepah mencacatkan kesempurnaan itu.

Saya kira dulu tidaklah sebegini gayanya. Sejak dua menjak ini sahaja. Bila ada penceramah di media sosial yang memberitahu manfaat memberi makanan pada haiwan terbiar.

Kawasan yang dulunya bersih bertukar kotor dan tidak lagi indah rupanya.

Pelbagai menu makanan yang ada itu, memang mencacatkan pemandangan. Ada orang yang jenisnya meletakkan sahaja makanan kucing atas lantai.

Tidak kurang juga yang membiarkan nasi bercampur tulang dalam bekas polisterin. Sampai keras dan kering nasinya tidak dijamah haiwan pun ada.

Saya bukan menentang pencinta haiwan tetapi sebelum memberi, fikirlah supaya ehsan anda itu tidak mendatangkan kecacatan pada persekitaran sedia ada.

Realiti yang perlu kita ketahui, bukan semua tempat boleh kita beri makanan haiwan. Janganlah buat sesuka hati dalam niat mencari pahala.

Ada kaedahnya supaya ia tidak menyusahkan pihak yang lain, khususnya operator pembersihan seperti tukang sapu.

Mungkin mereka juga berkira-kira untuk membersihkan sesuatu kawasan. Nak buang takut dimarahi golongan pencinta haiwan. Mahu dibiarkan, makanan berkenaan pasti mencetuskan rasa kurang selesa orang awam seperti saya.

Kalau mahu menzahirkan rasa ehsan pada haiwan terbiar, antara kaedah boleh kita lakukan ialah memberikan makanan pada kuantiti tertentu.

Tunggu hingga haiwan berkenaan habis makan. Dah habis, barulah kita beredar dan bersihkan kawasan kita letak makanan itu tadi.

Bukan mengotorkan tempat yang sejak dinihari lagi sudah dibersihkan dan dimopkan oleh tukang sapu.

Saya kira premis tertentu seperti di stesen LRT atau stesen bas, boleh mengeluarkan garis panduan tertentu yang antara lain mengeluarkan notis pemberian makanan hanya boleh dilakukan di lokasi tertentu.

Boleh juga sediakan bekas makanan di tempat khusus. Kan lebih senang dan teratur. Ada bekas makanan haiwan yang lebih moden saya lihat di internet, ia hanya akan beroperasi bila haiwan berkenaan datang
dan makan.

Maksudnya kuranglah tempat makan itu bersepah. Begitupun ada juga premis yang melarang terus pemberian makanan untuk haiwan, atas faktor kebersihan.

Sebab mereka tahu implikasi tempat itu kelak bila semua orang bebas memberikan makanan. Budak-budak pun kelak akan ‘pakai’ campak sahaja apa jenis makanan dengan niat nak bagi haiwan makan.

Janganlah kita nak berbuat baik tetapi pada sama mengetepikan hak orang pengguna lain juga. Memang tak patut.

-Nor Afzan Mohamad Yusof, Pengarang Rencana, Utusan Malaysia

Tular ragut rantai emas dicekup, dua lelaki dicekup

AZMI NORDIN
Tangkap layar video tular kejadian ragut di Jalan Intan, Batu 3 Shah Alam, Sabtu lalu.
SUBANG JAYA – Dua lelaki ditahan selepas dipercayai meragut rantai emas milik seorang wanita di hadapan sebuah rumah di Jalan Intan, Batu 3 Shah Alam, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, ibu pengadu mendakwa telah didatangi oleh empat orang suspek yang menaiki dua buah motosikal pada pukul 6.30 pagi.

Katanya, suspek bertindak meragut rantai leher emas ibu pengadu bernilai RM3,000.

“Pengadu bersama orang awam bertindak mengejar suspek dengan menaiki motosikal.

“Seorang suspek warga tempatan berusia 33 tahun berjaya ditahan di Lebuh Raya Persekutuan susur masuk ke Jalan Utara, Petaling Jaya bersama rampasan seutas rantai leher milik ibu pengadu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, semakan mendapati suspek mempunyai 25 rekod jenayah, lima rekod dadah dan empat rekod dikehendaki.

Tambah Wan Azlan, saringan ujian air kencing mendapati positif methamphetamine dan suspek direman selama tujuh hari sehingga Sabtu ini.

“Hasil siasatan lanjut membawa kepada tangkapan seorang lagi suspek berusia 30 tahun, semalam.

“Semakan mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah, enam rekod dadah dan dua rekod dikehendaki,” ujarnya.

Wan Azlan berkata, suspek telah dibenarkan reman selama lima hari sehingga Selasa bagi membantu siasatan.

“Polis kini giat mengesan dua lagi suspek bebas dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya.-KOSMO! ONLINE.

Lesap RM120,000, pengarah syarikat pun boleh kena scam

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang pengarah syarikat kerugian hampir RM120,000 selepas diperdaya sindiket menyamar wakil jabatan kerajaan yang licik menggunakan dokumen pesanan kerajaan untuk pembekalan barangan.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Mancha Ata, berkata mangsa lelaki berusia awal 60an dari Bintulu menerima dokumen tersebut yang dihantar individu tidak dikenalinya menerusi WhatsApp, pada awal bulan ini.

“Mesej yang dihantar suspek itu mengandungi dokumen pesanan kerajaan Malaysia untuk mendapatkan ‘polycarbonate natural anodized aluminium sliding window’ bagi kerja-kerja menaik taraf sebuah pejabat jabatan kerajaan di Niah, Miri,” katanya menurut Bernama.

Beliau berkata, suspek juga telah meminta supaya barangan dipesan itu mestilah dari jenama Jeng Cheng yang hanya boleh dibeli dari seorang pembekal di bandar raya Miri dan mangsa telah diberikan satu nombor telefon untuk menghubungi pembekal berkenaan.

“Mangsa kemudian telah melakukan tiga transaksi pemindahan wang dalam talian yang keseluruhannya berjumlah lebih kurang RM120,000 ke satu akaun bank milik individu tidak dikenali pada pertengahan Januari ini untuk pembelian itu,” katanya.

Mancha berkata, mangsa hanya menyedari ditipu setelah barangan dibeli dan pesanan kerajaan seperti dijanjikan suspek tidak diterima, selain mendapat pengesahan jabatan kerajaan terbabit bahawa mangsa tidak terlibat dengan kerja menaik taraf pejabat seperti didakwa dalam mesej WhatsApp berkenaan.

Beliau berkata, mangsa membuat laporan polis semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan dengan cara tidak jujur mendorong supaya harta diserahkan.

Ekoran kes itu, Mancha menasihatkan pemilik syarikat agar membuat semakan terlebih dahulu dengan pihak berkenaan.

“Jangan mudah terpedaya dengan harga atau keuntungan tinggi yang ditawarkan oleh suspek bagi sesuatu pembelian atau kerja-kerja pengubahsuaian bangunan,” katanya.

Merajuk? Umno Selangor kembalikan 20 jawatan ahli majlis PBT kepada PH

Mohamad Fadli

KUALA LUMPUR: Umno Selangor akan menyerahkan semula kuota 20 jawatan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor kepada Pakatan Harapan (PH).

Ketua Umno Selangor Megat Zulkarnain Omardin berkata, tindakan itu bukan disebabkan pihaknya “merajuk” tetapi bagi menafikan dakwaan bahawa parti itu tamak dan mendesak PH.

Bagaimanapun, katanya, Umno Selangor mahu semua 373 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) diserahkan kepada pihaknya.

“Kita mahu PH jaga bandar dan Umno jaga kawasan kampung,” kata Megat Zulkarnain pada sidang media hari ini,

“Kita akan serahkan keputusan ini kepada Presiden Umno Zahid Hamidi esok dalam pertemuan tertutup di Sepang.”

Tokan letak tanda untuk jual dadah

MUHAMMAD AMINNURALIFF

Tanda harga dadah yang dikesan di salah sebuah lokasi serbuan pada Sabtu.
Tanda harga dadah yang dikesan di salah sebuah lokasi serbuan pada Sabtu.
KLANG - Mempamerkan tanda serta harga untuk jualan dadah seperti ubat iaitu heroin, batu (syabu) dan daun (ganja) antara taktik penjualan dadah yang dikesan menerusi serbuan di empat sarang penagihan dadah di sekitar daerah ini pada Sabtu.

Tindakan dipercayai dilakukan tokan atau pengedar ini dipercayai digunakan untuk penjualan kesemua jenis dadah berkenaan di salah satu lokasi tanah lot di Taman Sentosa di sini.

Antara sarang penagihan dadah yang dikesan ketika operasi dijalankan di empat lokasi sekitar Klang pada Sabtu.
Antara sarang penagihan dadah yang dikesan ketika operasi dijalankan di empat lokasi sekitar Klang pada Sabtu.
Serbuan sama turut dijalankan melibatkan lokasi lain antaranya Pelabuhan Klang, Taman Eng Ann dan Taman Bukit Kuda.

Penolong Pengarah (Pencegahan) Judi dan Maksiat D7 JSJ Bukit Aman, Asisten Komisioner Muhammad Riduan Manap berkata, operasi dijalankan sepasukan 152 pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor serta Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan dan Klang Utara.

"Serbuan dijalankan bermula jam 10.30 pagi itu menahan seramai 45 lelaki berumur antara 25 hingga 75 tahun termasuk seorang bekas penjawat awam.

Antara individu yang diberkas dalam operasi dan serbuan dijalankan pada Sabtu.
Antara individu yang diberkas dalam operasi dan serbuan dijalankan pada Sabtu.
"Hasil risikan dan maklumat dijalankan mendapati aktiviti penagihan dadah yang berlaku di kesemua lokasi ini dipercayai bergiat aktif sejak beberapa tahun lalu," katanya kepada media di lokasi serbuan pada Sabtu.

'Penyokong Harimau Malaya terbaik di dunia'

Zulfaizan Mansor
zulfaizan@mediaprima.com.my

DOHA: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyifatkan penyokong skuad Harimau Malaya sebagai antara yang terbaik di dunia.

Hannah menjelaskan, ia berdasarkan pengorbanan dan sokongan padu yang diberikan penyokong terhadap Harimau Malaya pada Piala Asia 2023 yang sedang berlangsung di Qatar.

Beliau menjangkakan sokongan daripada penyokong Harimau Malaya akan lebih hebat dalam aksi kedua Kumpulan E menentang Bahrain di Stadium Jassim bin Hamad, esok dengan ramai penyokong yang baru tiba di Doha, hari ini.

"Saya tiba hari ini untuk melihat persiapan Harimau Malaya bagi melawan Bahrain, esok dan kita jangkakan sokongan penyokong Harimau Malaya akan jadi lebih (hebat).

"Saya berasa pasukan Harimau Malaya ini mempunyai penyokong terbaik di dunia. Ramai yang datang dengan kos sendiri dan ambil cuti untuk datang menyokong pasukan," katanya.

Hannah berkata demikian kepada pemberita ketika hadir ke padang latihan Harimau Malaya, di sini, hari ini.

Penyokong Harimau Malaya teruja apabila melihat skuad negara beraksi di pentas pusingan akhir Piala Asia 2023 selepas layak secara merit buat kali pertama dalam tempoh 42 tahun.

Selain itu, Hannah menyifatkan penyertaan Harimau Malaya di Piala Asia 2023 sebagai pengalaman yang terbaik buat barisan pemain negara.

"Ini satu tugasan yang sangat penting untuk pengalaman pasukan Harimau Malaya kerana kali pertama dalam 42 tahun mereka dapat layak secara merit.

"Dalam pesanan saya kepada pasukan, mereka kena buat yang terbaik bukan untuk negara sahaja, tetapi diri mereka sendiri dan keluarga," katanya.

Kes kehilangan Bella: 3 direman berkait kes penemuan rangka

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my
LOKASI penemuan rangka di belakang rumah Fazdillah di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, semalam. FOTO Alias Abd Rani
LOKASI penemuan rangka di belakang rumah Fazdillah di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, semalam. FOTO Alias Abd Rani
Batu Pahat: Tiga individu direman susulan penemuan rangka dalam rumah sewa terbiar di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, perintah reman dikeluarkan terhadap ketiga-tiga lelaki itu sehingga 27 Januari ini.

Menurutnya, perintah reman terhadap kesemua suspek berusia 24 hingga 39 tahun itu bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, ketiga suspek lelaki yang direman itu termasuk teman lelakinya dan bapa saudaranya kerana dipercayai ada kaitan dengan penemuan rangka yang tidak sempurna terbabit.

Sementara itu, Ismail berkata, bedah siasat ke atas rangka ditemui itu sudah dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru pagi hari ini.

Menurutnya, sampel patologi dari Jabatan Forensik HSI juga sudah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk perbandingan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengenal pasti identiti si mati.

Kes kehilangan Bella: Cebisan kain hampir sama dengan pakaian Bella pada hari kehilangan - Kakak

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my
Ibu Bella, Noraini Salleh, 55, (kanan) dan Norhisham (kiri) yang tiba di lokasi penemuan rangka di Kampung Batu 7, Tongkang Pecah, petang semalam. FOTO Alias Abd Rani
Ibu Bella, Noraini Salleh, 55, (kanan) dan Norhisham (kiri) yang tiba di lokasi penemuan rangka di Kampung Batu 7, Tongkang Pecah, petang semalam. FOTO Alias Abd Rani
Batu Pahat: Cebisan kain yang ditemui pada rangka tidak sempurna di Kampung Batu 7, Tongkang Pecah, di sini, kemungkinan besar pakaian dipakai Mira Sharmila Samsusah, 32, atau Bella yang hilang pada 14 Disember lalu.

Kakaknya, Norhisham, 36, berkata, adiknya itu keluar rumah pada jam 11.40 malam hanya memakai baju kelawar biru gelap sambil ditemani teman lelakinya.

"Kalau lihat pada cebisan kain pada rangka, ia hampir sama dengan pakaian dipakai Bella pada malam kehilangannya.

"Namun, saya tidak boleh menghurai lebih lanjut kerana kes ini masih dalam siasatan dan menunggu keputusan ujian DNA.

"Apa-apapun, kami berharap rangka itu bukan kepunyaan Bella. Saya tidak boleh terima kerana tidak dapat membayangkan keseksaan yang ditanggung sepanjang tempoh kehilangannya," katanya ketika ditemui.

Semalam, polis menemui rangka bersama cebisan pakaian yang lusuh dalam rumah sewa terbiar pada jam 2 petang.

Penemuan itu susulan suspek utama dipercayai teman lelaki Bella ditahan sebelum ditunjukkan lokasi itu.

Rangka itu belum disahkan milik siapa namun ada kemungkinan besar ia milik Bella berdasarkan maklumat suspek yang ke lokasi.

Ibu tunggal kepada dua anak berusia dua dan empat tahun itu dilaporkan menaiki sebuah kereta selepas keluarganya meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari rumah jirannya di Taman Soga, di sini.

Pengawal keselamatan ditahan curi komputer riba sekolah

FMT Reporters
Komputer riba berharga RM4,000 yang dicuri pengawal keselamatan sebuah sekolah di Bahau. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA: Seorang pengawal keselamatan ditahan kerana mencuri sebuah komputer riba berharga RM4,000 milik Kementerian Pendidikan (KPM) dari makmal komputer sebuah sekolah di Bahau, Negeri Sembilan.

Ketua Polis Jempol, Hoo Chang Hook berkata, lelaki 35 tahun itu ditahan pada 8 malam Khamis lalu ketika bertugas di pos kawalan sekolah terbabit.

Katanya, tangkapan itu menyusul laporan seorang guru pada 2.12 petang hari sama yang mendapati komputer riba disimpan di makmal sekolah hilang.

Beliau berkata, sekolah itu menerima empat unit komputer riba daripada KPM pada 24 Nov lalu, termasuk yang hilang, dan menyimpannya dalam makmal komputer di blok belakang sekolah.

“Guru yang membuat aduan itu ditugaskan menjaga aset-aset dibekalkan kerajaan kepada pihak sekolah,” katanya menurut Harian Metro.

Menurutnya, komputer riba itu didapati hilang pada 8 Jan lalu, ketika guru terbabit ke makmal komputer.

Beliau berkata, siasatan polis mendapati tiada kesan umpil pada pintu dan tingkap makmal, manakala kamera litar tertutup (CCTV) sudah lama tidak berfungsi.

“Suspek mengaku mencuri komputer riba berkenaan dan disimpan dalam stor rumahnya,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Padah simpan minyak masak melebihi had

MOHD ISKANDAR OTHMAN
Jegan (dua dari kanan) bersama pegawai penguat kuasa KPDN menunjukkan minyak masak yang dirampas dalam serbuan di sebuah pasar raya di Sungai Jawi pada Jumaat.
Jegan (dua dari kanan) bersama pegawai penguat kuasa KPDN menunjukkan minyak masak yang dirampas dalam serbuan di sebuah pasar raya di Sungai Jawi pada Jumaat.
NIBONG TEBAL - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang merampas 3,480 kilogram (kg) minyak masak paket bersubsidi dari sebuah pasar raya di Sungai Jawi dekat sini pada Jumaat.

Pengarahnya, RS Jegan berkata, serbuan dilakukan pada jam 4 petang itu hasil maklumat Unit Risik berhubung penyimpanan minyak masak yang mencurigakan.

Menurutnya, ketika pemeriksaan lanjut dibuat menemukan 4,480 kg minyak masak peket yang disimpan di stor premis berkenaan.

"Kita dapati premis berkenaan mempunyai lesen runcit minyak masak yang masih sah di mana had simpanan yang dibenarkan hanya 1,000 kg sahaja dan terdapat lebihan had simpanan 3,480 kg.

"Pemilik premis berusia sekitar 30 tahun itu memberi alasan kadang-kadang tidak sempat mengisi semula stok minyak masak menyebabkan dia mendapatkan bekalan lebih dari pembekal tempatan untuk dijual di pasar raya," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi serbuan pada Jumaat.

Jegan berkata, disebabkan premis berkenaan terletak bersebelahan dengan asrama pekerja warga asing, beliau percaya bekalan minyak masak bersubsidi itu dijual kepada mereka dengan harga tertentu.

Jelasnya, tindakan peniaga berkenaan menjual minyak peket bersubsidi kepada warga asing juga menyebabkan berlaku ketirisan dan subsidi kerajaan tidak sampai kepada pihak yang sepatutnya.

"Jumlah nilai sitaan keseluruhan dianggarkan sebanyak RM8,700. Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Jual derita Gaza

Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my
KELIBAT penuntut yang berada hampir sepanjang masa di stesen minyak untuk menjual pelekat Gaza.
KELIBAT penuntut yang berada hampir sepanjang masa di stesen minyak untuk menjual pelekat Gaza.
Kuala Lumpur: "Saya jual pelekat sokongan Gaza untuk dapat markah tambahan semester ini."

Itu reaksi dan jawapan spontan seorang gadis berusia awal 20-an ketika menghampiri wartawan di sebuah stesen minyak pinggir ibu kota, semalam sambil menjual pelekat kereta sokong Gaza.

Itu bukan kali pertama wartawan dihampiri oleh 'pelajar kolej' malah untuk rekod, sudah tiga kali penulis berdepan dengan penjual pelekat kereta berkenaan dengan alasan hampir sama.

Mereka mendakwa sebagai pelajar sebuah kolej milik sebuah agensi di bawah kerajaan namun gagal mengemukakan sebarang butiran diri atau surat kebenaran aktiviti luar oleh pihak kolej.

Gadis itu juga menyatakan bahawa dia seorang pelajar di kolej sebuah agensi kerajaan dan untuk kepastian, wartawan bertanyakan berhubung kad metrik atau kad perakuan pelajar yang seharusnya dimiliki.

Bagaimanapun gadis terbabit kelihatan panik dan memberi 'alasan' tidak membawa kad berkenaan.

Dia mendakwa tertinggal di kolej kediaman kerana bergegas mahu keluar untuk melaksanakan tugas penjualan pelekat Gaza.

Wartawan bertanyakan apa alasan munasabah untuk seorang penuntut pusat pengajian tinggi menjual pelekat kereta bagi menambah markah mata pelajaran semester ini.

Namun gadis itu gagal memberi jawapan meyakinkan sebaliknya berdalih kononnya wang berkenaan digunakan untuk aktiviti pelajar.

Alasan pertama yang diberikan adalah bagi menambah markah untuk pengajian semester. Bagaimanapun ketika diasak, jawapan bertukar kepada tabung aktiviti pelajar.

Wartawan cuba meninjau di sekitar lokasi stesen minyak itu jika terdapat 'penyelia' kepada pelajar ini namun tidak kelihatan.

Tinjauan wartawan mendapati gadis itu datang bersama dua rakannya termasuk seorang 'pelajar' lelaki yang membawa beg.

Mereka turut menjual pelekat sokong Gaza berkenaan pada harga RM12.

Kali pertama wartawan dihampiri oleh 'pelajar kolej' ini adalah di sekitar stesen minyak di Seremban, Negeri Sembilan dan mereka turut mengaku pelajar kolej dengan menjual pelekat pada harga RM8 untuk dua pelekat.

Situasi kedua wartawan dihampiri oleh pelajar berkenaan adalah di sekitar Cheras dan skrip yang digunakan hampir sama iaitu 'menambah markah pengajian'.

Wartawan cuba bertanyakan kepada pekerja stesen minyak berkenaan dan mereka mengakui sejak kebelakangan ini ada beberapa orang menjual pelekat kereta.

Apa yang mencetuskan rasa curiga wartawan adalah keberadaan mereka hampir sepanjang masa di stesen minyak berkenaan.

Salah seorang pelanggan stesen minyak itu, Mohd Yassin Mohd Noor, 48, berkata, dakwaan kumpulan belia itu diragui berikutan ketika ini penuntut pusat pengajian tinggi sedang sibuk menghadiri kuliah dan bakal menghadapi peperiksaan akhir semester.

"Adakah mereka tidak pergi ke kelas kuliah? setahu saya exam (peperiksaan) akhir semester hampir tiba dan ada antara penuntut sedang study week (minggu untuk belajar sebelum menghadapi peperiksaan).

"Saya bimbang mereka dipergunakan pihak tertentu seperti mana kumpulan kanak-kanak dan remaja tahfiz di Kedah yang sebelum ini diarah menjual minyak angin, kismis dan pelbagai barangan lain di stesen minyak," katanya.

Menurutnya, taktik menjual pelekat Gaza itu pastinya mampu meraih simpati orang ramai apatah lagi serangan terhadap penduduk Palestin masih belum berakhir.

Kediaman ahli perniagaan bergelar Tan Sri diserbu SPRM

Harapandaily

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu kediaman seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri pagi tadi bagi siasatan berhubung dakwaan rasuah perolehan membekal dan mengurus flit kenderaan kerajaan Malaysia.

Turut diserbu beberapa syarikat berkaitan bagi melengkapkan siasatan SPRM. Serbuan ini adalah hasil siasatan sejak Julai 2023, lapor Scoop.

Pada 2020, Ketua Setiausaha Perbendaharaan ketika itu, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir memaklumkan, sejak 30 Oktober 1993, konsesi flit kenderaan kerajaan Malaysia telah diuruskan sebuah syarikat sendirian berhad milik Tan Sri tersebut melalui Perjanjian Konsesi antara Kerajaan Malaysia dan syarikat berkenaan.

Perjanjian tersebut telah tamat pada 31 Disember 2018.

Namun tegas Ahmad Badri, bagi menguruskan flit kenderaan kerajaan pada masa hadapan, kerajaan telah memutuskan supaya syarikat konsesi dipilih secara Request For Proposal (RFP) yang dilaksanakan secara terbuka.

Hadiahkan isteri Ferrari RM1.9 juta

KOSMO!
Fiddes dan Monique bergambar dengan kereta Ferrari tersebut. - Matt Fiddes / SWNS
LONDON – Seorang jutawan di Britain menghadiahkan sebuah kereta Ferrari berharga £320,000 (RM1.9 juta) kepada isterinya, lapor akhbar Daily Star semalam.

Matt Fiddes menghadiahkan kereta Ferrari Spider F8 berwarna kuning kepada isterinya, Monique. Ia sebagai tambahan kepada koleksi kereta bernilai £600,000 (RM3.59 juta) milik wanita itu.

Penduduk asal Devon itu berkata, isterinya layak menerima hadiah mahal tersebut kerana sentiasa bersabar dengannya. Fiddes juga memuji kemahiran Monique menjadi seorang ibu.

“Di sebalik kejayaan seorang lelaki, ada wanita yang bekerja keras. 

“Di sebalik tabir, isteri saya menyokong saya menguruskan  syarikat dan hartanah kami yang semakin berkembang,” katanya.

Fiddes sebelum ini menghadiahkan Moniques sebuah kereta Ferrari sempena ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-11. Ia merupakan Ferrari keempat yang dibeli keluarga itu. – AGENSI

Pelari berusia 52 tahun sertai maraton sambil hisap rokok

KOSMO!
CHEN menyalakan api untuk merokok ketika berlari di Xiamen awal bulan ini. - Foto Weibo
BEIJING  –  Seorang pelari China menghisap rokok sepanjang dia berlari dalam satu acara maraton di bandar Xiamen, wilayah Fujian,  lapor portal berita Daily Mirror semalam. 

Pelari dikenali sebagai Uncle Chen itu menduduki tempat ke-574 daripada 1,500 peserta. Dia menamatkan larian dengan catatan masa  tiga jam dan 35 minit pada 7 Januari lepas.

Pihak penganjur membatalkan penyertaan Uncle Chen, 52, kerana dia merokok semasa berlari dalam pertandingan tersebut.

Bagaimanapun, berlari sambil menghisap rokok bukan sesuatu yang ganjil bagi dirinya.

Pada 2002, Uncle Chen menduduki tempat ke-574 dalam pertandingan maraton Xinanjiang walaupun dia merokok sambil  berlari.

Gambar  dia menghisap rokok ketika berlari menjadi tular di media sosial sehinggakan pihak penganjur menyiarkannya bagi mengelak sebarang keraguan.

Namun, pada tahun ini, Jawatankuasa Maraton Xiamen mengumumkan bahawa Chen tidak layak  berada dalam senarai pemenang pertandingan tersebut.

Ini kerana terdapat peraturan yang melarang pelari menghisap merokok ketika berlari. – AGENSI

Lelaki disyaki kelar isteri sebelum cederakan diri

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki mengelar isterinya beberapa kali sebelum mencederakan dirinya sendiri dalam satu kejadian di Lebuhraya Kesas berhampiran Kota Bayu Emas di Klang.

Ketua Polis Klang Selatan Cha Hoong Fong berkata dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, pasangan berkenaan yang menaiki kereta jenis Mazda CX5 dalam perjalanan menuju ke kedai makan.

Katanya, ketika dalam perjalanan berlaku perselisihan faham menyebabkan suspek yang berusia 50 tahun menghentikan keretanya di tepi Lebuhraya Kesas.

“Suspek kemudiannya mengeluarkan pisau pemotong dan bertindak mengelar isterinya yang berusia 49 tahun beberapa kali. Mangsa yang ketakutan keluar dari kereta itu untuk meminta bantuan orang ramai.

“Apabila sebuah kereta berhenti untuk memberi bantuan, suspek terus melarikan diri menaiki keretanya,” katanya dalam satu kenyataan.

Cha berkata kenderaan itu kemudiannya dikesan berhenti di Jalan Batu Nilam dan anggota polis yang membuat pemeriksaan mendapati suspek dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam kereta.

“Anggota polis kemudiannya bertindak memecahkan tingkap untuk membuka pintu sebelum menyelamatkan suspek dengan bantuan pihak ambulans.

“Suspek yang mengalami luka kelar di kedua-dua belah pergelangan tangan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang,” katanya.

Menurutnya, isteri suspek yang mengalami kecederaan luka kelar di leher, bahu, tangan kaki dan belakang juga dirawat di hospital yang sama.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.

Cha berkata polis mengesan beberapa video berkaitan kejadian ini tular di media sosial dan menasihatkan orang ramai tidak menularkan atau berkongsi video berkenaan.

Isu keselamatan Israel tak akan selesai, jika...

Agensi
ASAP tebal di Gaza susulan serangan udara Israel. FOTO AFP
ASAP tebal di Gaza susulan serangan udara Israel. FOTO AFP
Ramallah: Penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara berdasarkan sempadan 1967 adalah penting bagi memastikan keselamatan dan kestabilan di rantau itu, lapor Bernama yang memetik Agensi Berita Palestin (Wafa).

Jurucakap kepada Presiden Mahmoud Abbas, Nabil Abu Rudeineh pada Khamis malam menegaskan perkara itu sebagai respons terhadap kenyataan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu bahawa "tidak akan ada negara Palestin."

Berdasarkan kepada situasi semasa, Abu Rudeineh menyuarakan kebimbangan dengan menyatakan bahawa "seluruh wilayah berada di ambang kehancuran kerana dasar agresif yang dilaksanakan rejim Israel terhadap rakyat Palestin dan menafikan hak-hak mereka."

Beliau menegaskan bahawa "kenyataan kecaman dan penolakan" tidak lagi memadai.

"Sekiranya terdapat kemahuan antarabangsa untuk memulihkan kestabilan di rantau ini dan dunia, negara Palestin yang merdeka perlu diiktiraf berdasarkan sempadan 4 Jun 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya," kata beliau.

Dalam pada itu, Reuters melaporkan jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat Matthew Miller berkata, tiada cara untuk menyelesaikan cabaran keselamatan jangka panjang Israel di Timur Tengah dan cabaran jangka pendek untuk membina semula Gaza, tanpa penubuhan negara Palestin.

Menurut Miller, Tel Aviv mempunyai peluang kerana negara-negara di rantau itu bersedia untuk memberikan jaminan keselamatan kepada Israel.

"Tetapi tidak ada cara untuk menyelesaikan cabaran jangka panjang mereka untuk menyediakan keselamatan yang berkekalan dan tidak ada cara untuk menyelesaikan cabaran jangka pendek untuk membina semula Gaza dan mewujudkan tadbir urus di Gaza dan menyediakan keselamatan untuk Gaza tanpa penubuhan negara Palestin," katanya.

Wanita warga emas ditemui rentung di lorong jalan

Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my
 LOKASI kejadian wanita ditemui rentung dalam kejadian kebakaran di lorong Jalan SS 22/10, Kelana Jaya, Petaling Jaya, hari ini. FOTO Ihsan Bomba
 LOKASI kejadian wanita ditemui rentung dalam kejadian kebakaran di lorong Jalan SS 22/10, Kelana Jaya, Petaling Jaya, hari ini. FOTO Ihsan Bomba
Petaling Jaya: Seorang wanita warga emas ditemui rentung dalam kejadian kebakaran di lorong Jalan SS 22/10, Kelana Jaya, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abd Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam berhubung kejadian itu jam 3.46 pagi tadi.

"Susulan itu, sebuah kereta peronda polis (MPV) bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Damansara dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Siasatan awal dilakukan mendapati mangsa adalah seorang wanita lingkungan 60-an yang terbakar kira-kira 80 peratus di badannya dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, siasatan dilakukan mendapati terdapat pemetik api serta botol berhampiran mangsa di lokasi kejadian.

"Pihak polis sedang menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi sama ada mangsa membakar dirinya atau ada unsur lain.

"Pada masa sama, kita juga akan memangiil saksi yang melihat insiden itu bagi membantu siasatan," katanya.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk proses bedah siasat.

"Setakat ini, kes itu diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut (SDR) dan satu kertas siasatan mati mengejut dibuka untuk mengenal pasti punca kejadian.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662222 bagi membantu siasatan," katanya.

Guru berusia 28 tahun lakukan amang seksual 4 pelajar SPM ditahan

Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my

Ampang Jaya: Tindakan seorang guru yang melakukan amang seksual ke atas empat pelajar yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengundang padah apabila dia ditahan polis, kelmarin.

Setakat kini, polis sudah menerima empat laporan polis membabitkan pelajar lelaki berusia 16 hingga 17 tahun selepas guru lelaki berusia 28 tahun didakwa melakukan perbuatan terbabit.

Menurut sumber, perbuatan itu dipercayai dilakukan di dalam kawasan sekolah dan di beberapa tempat di daerah ini.

Katanya, suspek mengajar remaja terbabit sejak tahun lalu.

"Suspek juga dikatakan ada menghantar pesanan WhatsApp berbaur lucah kepada mangsa.

"Bagimanapun perbuatan itu terbongkar selepas mangsa tampil membuat laporan polis kelmarin dan semalam ke atas suspek," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

"Setakat ini kita sudah menerima empat laporan polis membabitkan empat mangsa berusia 16 hingga 17 tahun.

"Pelajar ini ada yang juga menduduki SPM di mana suspek adalah seorang guru di sekolah terbabit yang sudah ditahan," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Hussein berkata, suspek direman seminggu bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTKK) 2017.

Penemuan rangka di rumah terbiar milik Bella?

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my
Lokasi penemuan mayat di rumah sewa terbiar Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, hari ini. FOTO Alias Abd Rani
Batu Pahat: Misteri kehilangan ibu tunggal, Mila Sharmila Samsusah, 32, bakal terungkai susulan penemuan rangka manusia tidak sempurna di rumah sewa terbiar di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, hari ini.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, rangka itu ditemui pada jam 2 petang selepas dipandu seorang suspek.

Menurutnya, siasatan ke lokasi mendapati terdapat pakaian ditemui pada rangka terbabit.

"Keluarga Bella sudah dimaklumkan mengenai perkara ini, namun kita belum dapat mengesahkan sama ada ia rangka itu milik wanita terbabit," katanya pada sidang media di lokasi.

Kamarul Zaman berkata, hasil siasatan polis selama 36 hari daripada semua sudut membawa kepada penahanan suspek utama hari ini.

"Penahanan suspek utama kemudiannya dipandu ke lokasi sebelum rangka itu ditemui dalam rumah terbiar.


Lokasi penemuan mayat di rumah sewa terbiar Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, hari ini. FOTO Alias Abd Rani

"Polis sudah mengambil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) daripada kakak dan ibu Bella untuk mengesahkan sama ada rangka itu milik wanita terbabit atau sebaliknya.

"Pada masa sama, polis akan cuba mendapatkan khidmat pakar pergigian untuk memastikan bahawa rangka itu adalah mangsa terbabit (Bella).

"Pengecaman itu bergantung pada DNA paling lewat pun sebulan namun kita perlu segerakan," katanya sambil memaklumkan rangka itu dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru untuk dianalisa.

Bella yang dilaporkan hilang pada malam 14 Disember lalu selepas keluar ke kedai dobi bersama teman lelakinya.

------

'Saya harap rangka itu bukan Bella' - Kakak

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my
Noraini (kanan) dan Norhisham (kiri) yang tiba di lokasi penemuan rangka di Kampun Batu 7, Tongkang Pechah, petang tadi. FOTO Alias Abd Rani
Noraini (kanan) dan Norhisham (kiri) yang tiba di lokasi penemuan rangka di Kampun Batu 7, Tongkang Pechah, petang tadi. FOTO Alias Abd Rani
Batu Pahat: "Saya harap rangka itu bukan Bella," itu reaksi Norhisham Samsusah, 36, susulan penemuan rangka bersama pakaian di dalam rumah sewa terbiar di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, dekat sini, petang tadi.

Norhisham adalah kakak kepada Mila Sharmila, 32, yang hilang sejak 14 Disember lalu namun sehingga kini belum ditemui.

Dia ditemani ibunya, Noraini Salleh, 55, serta beberapa ahli keluarga lain tiba di lokasi pada jam 8 malam untuk mengetahui lebih lanjut mengenai penemuan rangka itu.

Katanya, hatinya agak berat untuk menidakkan penemuan rangka itu memandangkan suspek yang menunjukkan lokasi adalah individu paling dekat dengan Bella.

"Kalau boleh itu (rangka) bukan Bella, saya harap sangat Allah makbul doa kami," katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Noraini berkata, seandainya rangka itu milik anaknya, dia reda walaupun terlalu berat untuk menerima kenyataan.

Namun, katanya, mereka terbabit dalam kes ini perlu mendapat hukuman setimpal demi keadilan untuk keluarganya.

"Saya boleh maafkan pelaku tapi dia tidak boleh terlepas hukuman. Kami harap jika benar rangka itu milik Bella, kami perlu mendapat keadilan sewajarnya," katanya.

Petang tadi, polis menemui rangka dalam keadaan tidak sempurna di rumah sewa terbiar susulan penahanan seorang suspek utama.

Difahamkan, lelaki itu ditahan dipercayai individu paling rapat dengan Bella, sekali gus dipandu ke lokasi penemuan rangka.

Lelaki itu adalah suspek utama sepanjang kehilangan Bella yang memasuki hari ke-36, hari ini.

Lelaki dalam pelarian dan Najib

Mohsin Abdullah

Pelik permintaan Najib Razak melalui peguamnya, Shafee Abdullah, supaya kerajaan melarang Netflix daripada terus menayangkan dokumentari “Man on the Run” dibuat semasa tersiarnya berita mendakwa Lembaga Pengampunan akan bersidang pada minggu ketiga bulan ini. Begitu juga timing kenyataan Pemuda Umno dikeluarkan yang mendesak tindakan serupa diambil kerajaan. Terancang atau kebetulan?

Sebelum diteruskan perkara ini penting ditanya dahulu – betul ke mesyuarat Lembaga Pengampunan akan diadakan beberapa hari daripada sekarang? Ini mengambil kira dakwaan ia akan berlangsung “minggu ketiga bulan ini”. Jika betul adakah permohonan Najib untuk mendapat pengampunan akan dibawa ke mesyuarat itu?

Yang broke the story ialah CNA. Media Singapura itu mendakwa keputusan sama ada Najib akan diberi royal pardon atau tidak akan ditentukan pada mesyuarat pada minggu ketiga Januari 2024″. Jika tanya CNA pasti ia akan berpegang teguh akan laporannya.

Tanya kepada peguam Najib jawabannya Najib sendiri tidak tahu jika Lembaga Pengampunan akan bermesyuarat bulan ini untuk membincangkan permohonan pengampunannya. Itu kata Shafee menerusi satu kenyataan.

Kata beliau lagi, “kami sebagai peguam Najib tidak pernah dimaklumkan (seperti mana kes lain) berkenaan langkah yang diambil Lembaga Pengampunan (jika ada) berkaitan permohonan pengampunan anak guam kami.” Disambung “maka kami tergamam bagaimana CNA telah membuat spekulasi dengan berita tidak berasas ini.”

Difahamkan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan merangkumi Yang di-Pertuan Agong, menteri Wilayah Persekutuan, peguam negara, dan tiga anggota yang dilantik Agong. Menurut Shafee, tiga anggota itu adalah rahsia. Tarikh mesyuarat juga tidak didedahkan. “Maka jelas jika lembaga bertemu untuk mempertimbang permohonan Najib ia akan dijalankan secara rahsia kerana ia di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972,” kata beliau.

Pun begitu permintaan Najib supaya dokumentari “Man On The Run” dihenti siaran di rangkaian Netflix seperti dikata pada awal artikel ini dibuat di tengah-tengah heboh berita Lembaga Pengampunan akan bermesyuarat. Saya ulangi begitu juga timing desakan Pemuda Umno.

Why now? Ertinya mengapa sekarang memohon dan mendesak dokumentari itu diturun dan dihenti siaran padahal sebelum ini tiada bantahan sama ada rasmi atau secara terbuka apa lagi lantang apabila “Man On The Run” disiar di panggung wayang.

Ketua Pemuda Umno, Muhammad Akmal Saleh, mendakwa dokumentari itu “berat sebelah dan lebih bersifat propaganda berbanding mengupas isu dengan profesional dan beretika.” Puad Zarkashi, ahli majlis kerja tertinggi Umno, seperti dijangka bersetuju (iyalah tak kan berlainan pendapat pula dengan sayap Pemuda partinya). Beliau pula mendakwa “Man On The Run” itu “bersifat prejudis, fitnah, dan tidak adil terhadap Najib yang sedang dalam perbicaraan.”

Benar Najib dalam perbicaraan yakni tiga kes profil tinggi termasuk 25 pertuduhan membabitkan RM2.3 billion, enam kes jenayah pecah amanah membabitkan RM6.6 billion, dan pengubahan wang haram bersabit RM27 juta. Namun beliau sudah didapati bersalah oleh mahkamah tertinggi negara dalam kes SRC International dan sedang menjalani hukuman penjara.

Apa pun bagi Puad, aduan peguam Najib berasas. Lalu pada pendapat beliau “Man On The Run” mesti dihenti siaran. Saya rasa umum tahu antara yang ditemubual dalam dokumentari itu ialah pegawai penyiasat FBI, wartawan yang membongkar skandal 1MDB, dan Anwar Ibrahim yang waktu itu ketua pembangkang. Rasanya Akmal dan Puad juga tahu siapa yang ditemubual dalam “Man On The Run”.

Berbalik persoalan saya tadi – mengapa sekarang? Dokumentari Amerika Syarikat arahan Cassius Michael Kim itu berkisar skandal 1MDB, peranan Najib dan ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low. Ia ditayang 19 Okt tahun lalu di beberapa pawagam pilihan. Maksudnya tayangan terhad.

Semasa saya menontonnya, panggung hanya dipenuhi beberapa orang termasuk saya dan isteri. Mungkin menonton waktu tengah hari pada hari bekerja menyumbang faktor panggung kosong. Atau promosi tidak kuat maka tidak ramai tahu akan tayangannya. Mungkinkah orang Malaysia sudah faham mengenai 1MDB, Najib dan Jho Low lalu merasa tidak perlu tonton? Secara peribadi saya enjoyed the documentary yang memberi saya pelbagai pencerahan. Sayangnya tayangan di pawagam tidak lama. Mungkin dua minggu saya tidak pasti.

Seperti dikata tadi tiada siapa yang buat bising waktu itu. Tetapi sebaik disiar di Netflix, Umno dan peguam Najib membantah keras. Dokumentari itu mula disiar Netflix 5 Januari. Ia diselar peguam Najib tiga hari kemudian dan menuntut siaran dihentikan.

Menurut Malay Mail, “Man On The Run” menduduki ke tangga kedua dalam senarai Top 10 movies di Malaysia menerusi Netflix. Lonjakan dicapai setelah kenyataan keras peguam Najib.

Saya tertanya adakah kerana Netflix punya reach atau jangkauan panjang dan boleh ditonton jauh lebih ramai berbanding di panggung wayang mendorong peguam Najib dan Umno membuat desakan mereka?

Apa pun sebaik sahaja desakan dibuat, reaksi awal Perdana Menteri Anwar Ibrahim ialah kerajaan akan mempertimbangkan dan kemudian beliau menyerahkan kepada Kementerian Komunikasi meneliti dan pertimbangkan permintaan (baca: desakan) Najib dan Umno.

Pelbagai pihak terkejut dan tidak puas hati dengan respon Anwar. Mereka termasuk NGO Lawyers for Liberty atau LFL. Badan itu mahu kerajaan jangan layan Najib yang mahu dokumentari itu diturunkan.

Menurut pengarah LFL, Zaid Malek, tindakan Putrajaya mempertimbangkan atau membenarkan permohonan sedemikian melanggar undang-undang kerana Netflix tidak tertakluk bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 di samping bertentangan hak kebebasan bersuara.

Reaksi terbaharu Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil ialah kerajaan belum buat keputusan. “Ada beberapa pandangan awal yang telah disampaikan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) tetapi saya rasa ia perlu diberikan beberapa pertimbangan yang berlandaskan undang-undang kerana ia melibatkan kes mahkamah.”

Lantas beliau akan adakan pertemuan dengan SKMM dalam masa terdekat terutamanya bagi meneliti aspek perundangan sebelum boleh buat pengumuman. Hakikatnya ramai (oleh kerana saya do not have the numbers saya gunakan istilah ‘ramai’ instead of ‘majority‘) dalam kalangan rakyat mahu kerajaan tidak melayan permintaan henti siaran “Man On The Run” di Netflix. Sila lihat ruangan komen portal berita dalam talian dan media sosial.

Bangunan runtuh di Seremban, lima cedera bangunan runtuh

NOR AINNA HAMZAH
bangunan runtuh
SEREMBAN: Lima individu warga tempatan yang merupakan pekerja pemasangan solar panel cedera dalam kejadian runtuhan bumbung bangunan di Pusat Komersial Oakland, di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.05 tengah hari itu, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban 2 bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.

Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Harziz Hashim, kejadian tersebut melibatkan runtuhan bumbung bangunan berukuran 20×100 kaki persegi di premis yang dalam proses pemasangan sistem solar.

“Lima mangsa yang kesemuanya warganegara Malaysia dilapor cedera dan telah dihantar ke hospital sebelum ketibaan bomba,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Harziz berkata, pihaknya telah melakukan pemantauan bagi memastikan kawasan berkenaan selamat dan kes itu diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.-UTUSAN.

Mahathir: Anak saya diugut akan dipenjara lima tahun

Malaysiakini

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menempelak kerajaan yang dituduhnya melakukan "kezaliman terhadap musuh politik."

"Anak saya didakwa dengan ugutan jikalau dia buat apa-apa tindakan yang pendakwa anggap bertentangan dengan dakwaan dia akan dipenjara selama lima tahun.

"Tidak disebut akan dihadap ke mahkamah. Inilah reformasi.

“Di luar (sebelum menjadi) kerajaan cakap tentang kezaliman pihak berkuasa," katanya pada hantaran di media sosial hari ini.

Walaupun tidak menyebut nama, dipercayai Mahathir merujuk siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap anaknya Mirzan (gambar atas).

Suruhanjaya itu juga telah menyerahkan perintah notis kepada Mirzan untuk mengisytiharkan aset dalam tempoh 30 hari.

Jelas SPRM lagi, perintah itu adalah tindakan lanjutan daripada siasatan mereka berhubung maklumat dalam laporan Kertas Panama serta aktiviti perniagaan Mirzan yang membabitkan penjualan dan pembelian syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Siasatan dijalankan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

SPRM berkata pihak mereka memulakan siasatan sejak Ogos 2022 terhadap semua entiti yang berkait dan dinamakan dalam laporan Kertas Pandora juga Kertas Panama.

Dalam pada itu, Mahathir membangkitkan isu pendakwaan terpilih apabila ramai penyokong kerajaan yang disebut dalam kertas Pandora tetapi tidak disiasat.

"Kalau sokong jadi kawan. Perbicaraan mahkamah pun boleh dihenti.

"Ramai nama penyokong Kerajaan dalam Pandora papers seperti Timbalan Perdana Menteri, YB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Ahli Parlimen Selayang, YB William Leong Jee Keen dan YBM Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul bin Tengku Abdul Aziz, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, tidak disiasat, jauh sekali dari didakwa.

"Terdapat juga nama beberapa ahli perniagaan seperti Lim Kok Thay, Mahmud Bekir, Tiong Hiew King, Larry Low Hock Ping, Datuk Yamani Hafez bin Tan Sri Musa dan mendiang Tan Sri G Gnanalingam dalam Pandora papers.

"Inilah keadilan reformasi," sindir bekas perdana menteri.

Terengganu: Pelajar cedera dihempap dinding runtuh

FMT Reporters
Anggota bomba mengambil mengeluarkan mangsa terperangkap bawah runtuhan dinding konkrit di sebuah sekolah menengah di Setiu, Terengganu. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA: Seorang pelajar perempuan cedera selepas dihempap dan tersepit di celah dinding konkrit yang runtuh di sebuah sekolah menengah di Kampung Putera Jaya, Setiu, Terengganu, pagi tadi.

Ketua Balai Bomba Setiu, Mohd Razli Rapiae, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai pelajar perempuan berusia 16 tahun yang terperangkap bawah runtuhan dinding konkrit itu.

Katanya, sembilan anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan pelajar tersebut.

“Anggota bomba mengambil masa 15 minit untuk mengeluarkan mangsa daripada runtuhan itu.

“Pelajar perempuan itu didapati mengalami kecederaan pada bahagian paha,” katanya menurut Sinar Harian.

Razli berkata, mangsa yang cedera diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan untuk rawatan lanjut.

Wow!!! Ada seorang pendakwah selebriti mengenakan bayaran RM30,000 hingga RM40,000 untuk satu kemunculan

Pendakwah harga premium

Sudirman Mohd Tahir & Najiy Jefri
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Istilah 'tunggang agama' kerap dilontarkan terhadap segelintir pendakwah kononnya menggunakan populariti untuk mengenakan harga mahal bagi berceramah dan sebagainya.

Pada masa sama, wujud juga situasi yang mana segelintir pendakwah menerima bayaran tidak masuk akal rendahnya atau ada yang tidak dibayar langsung kerana dianggap sekadar berdakwah.

Namun, tidak kurang juga yang menjadikan populariti diri sebagai alasan untuk meletakkan harga tinggi sehingga mencecah puluhan ribu ringgit.

Malah ada pendakwah yang mengenakan kadar mengikut jam.

Berkongsi kisah pendakwah mengenakan harga mahal, seorang penganjur acara membabitkan program keagamaan yang enggan dikenali mendakwa, seorang pendakwah selebriti mengenakan bayaran RM30,000 hingga RM40,000 untuk satu kemunculan.

"Di Malaysia ada ramai penceramah, ustaz dan ustazah termasuk yang digelar pendakwah selebriti. Ada antara mereka yang tidak menetapkan harga, begitu juga yang meletakkan harga berdasarkan 'rate card' mereka.

"Jika tawaran ditolak, mereka tidak menyatakan sebab sama ada ia harga murah atau sebaliknya. Mungkin sebab tak nak nampak yang mereka tolak disebabkan bayaran.

"Namun, sejak kemunculan media sosial dan penggunaannya secara meluas termasuk dalam bidang dakwah ini, ada pendakwah yang meletakkan harga tinggi mencecah puluhan ribu ringgit," katanya.

Menurut beliau, alasan diberikan adalah komitmen pendakwah terhadap syarikat dan pasukan yang turut serta dalam menjayakan program itu.

"Itu belum lagi pendakwah yang menetapkan kadar bayaran mengikut jam. Saya pernah bekerjasama dengan seorang pendakwah ini untuk penggambaran sebuah program televisyen.

"Kadar dikenakan antara RM1,500 hingga RM1,800 sejam. Bayangkan kalau rakaman itu mengambil masa selama 10 jam, berapa dia boleh dapat? Memang sekali itu saja saya jemput dia," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, tidak adil untuk menuduh kesemua pendakwah memanipulasi soal bayaran kerana majoritinya tidak sebegitu.

"Perkara membabitkan agama ini memang sensitif. Kalau salah bual, boleh jatuh fitnah. Apa yang boleh dikatakan, tidak semua pendakwah begitu.

"Pernah juga saya berdepan pendakwa yang tidak meletakkan harga sebaliknya, pengurus atau pembantu peribadi yang mengenakan bayaran tinggi. Apabila ustaz berkenaan tahu mengenainya, individu terbabit terus dipecat," katanya.

Menurutnya, ada juga pendakwah yang mengambil pendekatan untuk tidak membuka 'sampul' disumbang penganjur seperti masjid atau surau.

"Sebaliknya, dia akan kumpul saja. Jadi, pendakwah berkenaan tidak tahu jumlah yang diberikan masjid atau surau itu," katanya.

Menurutnya, pendakwah ini juga adalah manusia biasa yang tidak boleh lari daripada khilaf.

"Saya pernah berdepan dengan situasi yang mana pendakwah meminta bayaran tambahan disebabkan kehadiran tetamu atau penonton yang ramai untuk program yang dihadiri," katanya
PU Riz
PU Riz
Kalau dipanggil baca doa, takkan nak kenakan bayaran RM900

"Agama bukan untuk dijual beli," kata pendakwah bebas, Ustaz Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz, 29.

Menurutnya, golongan penceramah sentiasa berada dalam 'dilema' yang mana mereka tidak tahu untuk meletakkan kadar bayaran bagi jemputan program atau ceramah agama.

Menurutnya, jika ada golongan agamawan yang didakwa meletakkan harga mencecah puluhan ribu ringgit, ia boleh dianggap melampau.

"Golongan ustaz ini tidak tahu nak letak harga berapa. Sebagai contoh, kalau dipanggil untuk baca doa takkan nak kenakan bayaran RM900. Kiranya, bayaran ini bergantung pada keadaan. Tapi, kalau ada yang letak sampai puluhan ribu ringgit, itu melampau.

"Bagi saya, tidak perlu tetapkan berapa harga untuk datang berceramah. Pada masa sama, penganjur perlu munasabah. Saya pernah pergi berceramah di surau di Cameron Highlands, mereka bagi duit minyak saja. Jadi, dalam perkara ini perlu bersederhana dalam erti kata memahami," katanya.

Menurutnya, dia juga pernah berdepan pengalaman menggantikan seorang pendakwah bebas pada saat akhir selepas penganjur tidak mampu membayar individu itu.

"Kejadian ini berlaku pada awal kemunculan saya dalam bidang ini. Saya dijemput untuk memberikan ceramah pada sebuah program. Ketika itu tak tahu pun saya kena menggantikan orang lain. Saya terima saja sebagai satu jemputan.

"Sampai di sana, penganjur mengucapkan terima kasih kepada saya sebab sudi terima pelawaan mereka kerana penceramah sebelumnya mengenakan bayaran puluhan ribu ringgit. Jadi, penganjur cakap mereka tak mampu dan pendakwah itu pun menolak.

"Dalam perkara ini, sejujurnya saya tidak pernah letak harga, tapi kena masuk akal dalam soal bayaran. Penganjur perlu juga ambil kira faktor lain. Macam saya katakan, bersederhana dalam erti kata memahami," katanya.
Ustazah Asni Mansor
Ustazah Asni Mansor
'Ceruk pedalaman pun saya masuk'

Pendakwah bebas, Ustazah Asni Mansor menafikan meletakkan harga tertentu untuk kehadirannya.

Menurutnya, walaupun sering menerima undangan untuk program televisyen atau melakukan usrah bersama golongan artis, dia tidak pernah memilih undangan ceramah mahupun meletakkan bayaran tertentu.

"Saya tidak pernah memilih tempat undangan. Semua tempat saya jejak untuk sampaikan dakwah, baik di ceruk pedalaman mahupun di dalam penjara. Mana-mana undangan saya terima.

"Pada pandangan saya, soal bayaran perlu ada give and take dalam perbincangan. Pendakwah tidak wajar meletakkan harga yang terlalu tinggi sehingga puluhan ribu ringgit. Jangan ambil kesempatan di atas ruang dan penghormatan yang diberikan masyarakat.

"Jika ada yang berasakan harga itu wajar kerana mereka popular atau ilmu mereka tinggi, ketahuilah bahawa ilmu dalam dakwah biar Allah SWT sahaja yang menilai. Ini kerja yang boleh dikatakan minta salah, tak minta pun serba salah," katanya.

Menurutnya, sudah tiba masanya untuk masyarakat memiliki pemikiran bagi memberikan bayaran kepada pendakwah pada kadar sepatutnya kerana mereka juga mempunyai keperluan hidup.

Asni turut mendedahkan pernah ditipu soal bayaran yang mana bayaran diterimanya kurang RM800 daripada apa yang dipersetujui.

"Saya pernah berhadapan dengan situasi yang mana tiada bayaran langsung. Saya juga pernah berada dalam situasi jumlah yang saya dapat kurang hingga beratus ringgit berbanding dengan apa yang dipersetujui.

"Maka saya pulang sahajalah, reda dan berharap Allah SWT ganti dengan sesuatu yang lebih baik," katanya.

Sementara itu, pelakon, Adam Corrie mendedahkan, bayaran sebagai pendakwah bebas lebih berbaloi berbanding bekerja dalam bidang lakonan.

Adam yang memeluk Islam pada 2007 ketika berusia 39 tahun berkata, bayaran yang diterima lebih 'masuk akal'.

"Saya pernah dibayar RM4,000 untuk bercakap selama 20 minit. Saya hanya berkongsi cerita penghijrahan saya tanpa membabitkan soal harga. Saya ikhlas kerana Allah SWT, tetapi saya dibayar lebih daripada bayaran untuk berlakon.

"Berbanding bayaran yang saya dapat sebagai pelakon, saya pernah diminta untuk habiskan beberapa babak dalam masa sehari dan cuma dibayar RM500," katanya.

Belajar daripada pengalaman, Adam kini tidak lagi berharap kepada manusia kerana mereka juga adalah makhluk Tuhan.

"Sejujurnya, sekarang saya tidak lagi berharap pada sesiapa. Bukan mereka (manusia) yang beri saya rezeki. Cuma rezeki itu diberikan melalui manusia. Yang memberinya adalah Allah SWT.

"Saya sudah berhenti berharap daripada sesiapa pun. Apa yang saya lakukan sekarang ialah bangun jam 4.30 pagi untuk menghadap 'Dia' (Allah SWT), solat sunat dan minta daripada-Nya.

"Kalau tidak dapat di dunia, mungkin di sana. Sekarang, bila jumpa mana-mana penerbit atau pengarah, saya tidak akan tanya langsung tentang 'job'. Sebab, saya pernah ditendang seperti bola, kerana dianggap menagih tawaran daripada mereka," katanya.

Israel terkejut dengan kehebatan terowong di Gaza

Agensi
ANTARA terowong Hamas di Gaza. FOTO AFP
ANTARA terowong Hamas di Gaza. FOTO AFP
Baitulmaqdis: Tentera Israel menjumpai terowong di Semenanjung Gaza yang cukup luas untuk seorang pegawai tertinggi Hamas memandu kereta di dalamnya.

Satu lagi terowong meliputi jarak sama panjangnya dengan tiga padang bola sepak dan berada di bawah hospital, lapor portal New York Times.

Tentera Israel menjumpai tangga berlingkar menuju ke terowong pada kedalaman kira-kira tujuh tingkat di bawah rumah seorang komander kanan Hamas.

Butiran dan maklumat baharu mengenai terowong itu didedahkan oleh tentera Israel, sebelum diterbitkan melalui video dan gambar.

Ia mendedahkan alasan terowong itu dianggap sebagai ancaman besar kepada tentera Israel di Gaza, walaupun sebelum perang bermula.

Pegawai dan tentera Israel yang sudah berada di dalam terowong itu serta pegawai semasa dan bekas pegawai Amerika Syarikat (AS) yang berpengalaman di rantau itu berkata, skop kedalaman dan kualiti terowong yang dibina oleh Hamas sangat mengejutkan mereka.

Beberapa jentera yang digunakan Hamas untuk membina terowong itu, yang diperhatikan dalam video yang dirakam, turut mengejutkan tentera Israel.

Tentera Israel kini percaya terdapat lebih banyak terowong di bawah Gaza.

Pada Disember lalu, rangkaian terowong di Gaza dianggarkan meliputi jarak 402 kilometer (km). Pegawai kanan pertahanan Israel yang bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan untuk membincangkan perkara perisikan, kini menganggarkan rangkaian terowong itu meliputi jarak antara 563 km dan 724 km. Ia adalah angka luar biasa untuk wilayah itu yang panjangnya hanya 40 km.

Dua pegawai itu juga menilai terdapat hampir 5,700 syaf berasingan yang menuju ke terowong.

Angka-angka itu tidak dapat disahkan secara bebas, dan terdapat pelbagai anggaran oleh pegawai Israel untuk peningkatan skop rangkaian terowong, berdasarkan risikan berbeza.

Bagi tentera Israel, terowong adalah mimpi ngeri bawah tanah dan teras keupayaan Hamas. Setiap matlamat strategik Israel di Gaza, kini dikaitkan dengan usaha untuk menghapuskan terowong.

Satu dokumen pada 2022 menunjukkan Hamas membelanjakan AS$1 juta (kira-kira RM4.7 juta) untuk pintu terowong, bengkel bawah tanah dan perbelanjaan lain di Khan Younis.

Pegawai perisikan Israel, baru-baru ini, menilai bahawa terdapat terowong meliputi jarak 160 km di bawah Khan Younis, bandar terbesar di selatan Gaza.

Di samping itu, laporan 2015 menunjukkan bahawa Hamas membelanjakan lebih daripada AS$3 juta (kira-kira RM14 juta) untuk terowong di seluruh Gaza, termasuk banyak yang dibina di bawah infrastruktur awam dan lokasi sensitif seperti sekolah dan hospital, kata tentera Israel.

12 kanak-kanak, dua guru maut bot terbalik

Sekurang-kurangnya 12 pelajar dan dua guru lemas selepas bot dinaiki mereka terbalik di Tasik Harni di Gujerat, barat India pada Khamis.
Sekurang-kurangnya 12 pelajar dan dua guru lemas selepas bot dinaiki mereka terbalik di Tasik Harni di Gujerat, barat India pada Khamis.
NEW DELHI - Sekurang-kurangnya 12 pelajar dan dua guru lemas selepas bot dinaiki mereka terbalik di Tasik Harni di Gujerat, barat India pada Khamis.

Seramai 18 pelajar dan dua guru lagi berjaya diselamatkan, lapor Agensi Berita PTI.

Menurut laporan media tempatan, bilangan penumpang adalah dua kali ganda melebihi kapasiti yang ditetapkan dan mereka tidak mempunyai jaket keselamatan yang mencukupi.

Perdana Menteri, Narendra Modi mengumumkan pembayaran ex gratia (pampasan) sebanyak 200,000 rupee (kira-kira RM 11,340) kepada setiap waris mangsa yang terkorban dan 50,000 rupee kepada individu yang cedera dari Dana Bantuan Kebangsaan Perdana Menteri.

"Saya turut berduka bersama mereka yang kehilangan orang tersayang. Semoga mereka yang cedera segera pulih. Pentadbiran tempatan menyediakan semua bantuan yang diperlukan kepada mereka yang terjejas," kata Modi.

Ketua Menteri Gujarat, Bhupendra Patel mengumumkan pampasan sebanyak 400,000 rupee setiap waris mangsa yang maut.

Kerajaan negeri telah mengarahkan siasatan berhubung insiden itu. - Bernama

Guru lelaki didakwa cabul murid

NOR FARHANA YAACOB
Ramakrishnan (kiri) dan Karthigesan ketika meninggalkan pekarangan Mahkamah Alor Gajah selepas selesai membayar wang jaminan.
Ramakrishnan (kiri) dan Karthigesan ketika meninggalkan pekarangan Mahkamah Alor Gajah selepas selesai membayar wang jaminan.
ALOR GAJAH - Seorang guru lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak muridnya di dalam sebuah bilik darjah, dua tahun lalu.

K Ramakrishnan, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seseorang kanak-kanak perempuan yang ketika itu berusia 11 tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kelas Tahun Lima sebuah sekolah di daerah ini lebih kurang jam 10.30 pagi pada 26 Mei 2022.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama dengan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.
Ramakrishnan (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen di sini, pada Jumaat.
Ramakrishnan (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen di sini, pada Jumaat.
Manakala hukuman bagi Seksyen 16 akta berkenaan tertuduh boleh dipenjara lima tahun dan boleh dikenakan sebatan tidak kurang dua kali.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Anis Najwa Nazari mencadangkan jaminan berjumlah RM20,000 beserta syarat tambahan tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa sepanjang kes berlangsung.

Peguam S Karthigesan yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon jaminan rendah kerana tertuduh hanya mampu menyediakan wang sebanyak RM3,500 selain memberikan kerjasama baik sepanjang dipanggil untuk siasatan polis.

Mahkamah kemudian menetapkan jumlah jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan bersetuju dengan syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan termasuk tidak menganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah turut menetapkan 28 Februari depan bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen.

3 termasuk remaja mengaku tak salah perdaya wanita serah wang

Bernama

ALOR GAJAH: Tiga lelaki termasuk dua remaja mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan memperdaya seorang wanita bagi melepaskan orang tahanan tidak wujud tahun lepas.

Azri Zulhusni Nodin, 29, dan dua remaja bawah umur, masing-masing 17 dan 15 tahun, dituduh memperdaya Noor Aishah Mohamad, 58, untuk menyerahkan wang tunai sejumlah RM25,000 melalui remaja berusia 17 tahun itu, bagi urusan melepaskan orang dalam tahanan yang tidak wujud.

Stay up-to-date by following FMT's Telegram channel
Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di pekan Masjid Tanah kira-kira 11 pagi pada 29 Nov 2023.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 109 akta sama yang membawa hukuman penjara satu hingga 10 tahun dan dengan sebatan serta denda.

Timbalan Pendakwa Raya Sharina Farhana Nor Sa’ari menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi Azri Zulhusni, manakala RM8,000 setiap seorang bagi dua remaja terbabit.

Bagaimanapun, kesemua tertuduh, yang tidak diwakili peguam, memohon agar jaminan dikurangkan.

Majistret Nurul Bahiyah Kamaluddin membenarkan jaminan sebanyak RM6,000 bagi Azri Zulhusni dan RM1,500 setiap seorang bagi kedua-dua remaja itu.

Mahkamah menetapkan 19 Feb untuk sebutan semula kes serta lantikan peguam.

Kelantan: Sah Sultan Kelantan tarik balik gelaran Agus

N Faizal Ghazali

Sultan Kelantan Sultan Muhammad V sah menarik balik gelaran darjah kebesaran Setia Mahkota Kelantan yang dikurniakan kepada bekas ketua pengarah Jabatan Komunikasi Korporat (J-Kom) Mohammad Agus Yusoff.

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha kerajaan negeri Kelantan Nazran Muhammad kepada Malaysiakini sebentar tadi setelah beberapa hari maklumat itu tular.

"Seperti diwartakan," katanya ringkas ketika menjawab soalan portal ini melalui pesanan teks.

Agus bagaimanapun boleh terus menggunakan gelaran “Datuk” kerana turut mempunyai gelaran daripada negeri lain, iaitu Darjah Indera Mahkota Pahang.

Menurut warta kerajaan bertarikh 28 Disember itu, penarikan balik gelaran dari Kelantan itu berkuat kuasa pada 2 Disember lepas, kira-kira sebulan lalu.

Tiada sebab dinyatakan.

Agus, bekas ahli akademik yang menyertai kerajaan, sebelum ini terpalit dalam kontroversi dakwaan berbual lucah dengan pekerja baru J-Kom Abdul Wahab Abd Kader Jailani.

Kertas siasatan polis terhadap anak Kelantan itu sudah berada di tangan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk diputuskan sama ada akan dituduh atas kesalahan gangguan seksual di mahkamah.

Agus dan Wahab sebelum ini pernah tampil dalam sidang media bersama, mendakwa video itu disunting.

Malaysiakini telah menghubungi Agus bagi mendapatkan komennya melalui panggilan telefon tetapi tidak diangkat.

Dia juga tidak menjawab mesej Whatsapp Malaysiakini.

Saintis China berjaya klon monyet rhesus pertama

Utusanonline
MONYET rhesus Retro dihasilkan melalui penggantian trofoblas. - AFP
BEIJING: Sekumpulan saintis di China mengumumkan kejayaan mengklonkan monyet jenis rhesus yang pertama dengan menggunakan teknik baharu.

Monyet berusia dua tahun yang diberi nama Retro, dilaporkan berada dalam keadaan sihat.   

Menurut pasukan penyelidik, Retro diklonkan dengan mengubah proses yang mencipta biri-biri bernama Dolly sebelum ini.

Dilaporkan, haiwan primat terbukti sangat sukar untuk diklon.

Oleh itu, para saintis mengatasi kegagalan bertahun-tahun itu dengan menggantikan sel klon yang akan menjadi plasenta dengan sel dari embrio biasa. 

Pasukan penyelidik berharap teknik baharu itu akan membawa kepada penghasilan monyet rhesus sama yang boleh dieksperimen untuk penyelidikan perubatan.

Sejak pengklonan biri-biri Dolly menggunakan teknik pemindahan nuklear sel somatik (SCNT) pada tahun 1996, lebih 20 haiwan yang berbeza termasuk anjing, kucing dan lembu dicipta menggunakan proses itu. 

Bagaimanapun, dua dekad kemudian, saintis berjaya mengklonkan haiwan primat pertama menggunakan teknik SCNT.

Sepasang kera yang sama bernama Hua Hua dan Zhong Zhong dicipta menggunakan teknik SCNT oleh pasukan penyelidik diketuai oleh Qing Sun dari Institut Neurosains Akademi Sains China di Shanghai pada tahun 2018.    

Namun, kejayaan itu hanya mengakibatkan kelahiran hidup kurang daripada dua peratus percubaan.

Malah, Qing Sun berkata, pihaknya juga pernah mengkaji secara meluas  mengapa usaha sebelum ini untuk mengklon monyet rhesus menemukan kegagalan.

Dalam percubaan awal, seekor monyet, daripada 35 janin yang diimplan, dilahirkan dalam keadaan hidup tetapi mati dalam tempoh kurang sehari. 

Jelas Qing Sun, antara `masalah utama’ dikenal pasti adalah plasenta embrio klon menunjukkan keabnormalan berbanding plasenta dari persenyawaan in vitro.

Oleh itu, para penyelidik menggantikan sel yang kemudian menjadi plasenta iaitu dikenali sebagai trofoblas, dengan sel daripada embrio yang sihat dan tidak diklon.

Sel trofoblas menyediakan nutrien kepada embrio yang sedang membesar, serta bertukar menjadi plasenta yang membekalkan oksigen dan bantuan sokongan hidup lain kepada janin.   

Tambah Qing Sun, teknik itu meningkatkan kadar kejayaan pengklonan menggunakan SCNT dan membawa kepada kelahiran Retro.  

Pada tahun 1999, monyet rhesus bernama Tetra diklonkan menggunakan teknik berbeza yang dikenali sebagai pembelahan embrio.

Namun, teknik yang lebih ringkas ini hanya boleh menghasilkan empat klon pada satu masa. – AFP