Polis: Tiada 10 kematian akibat ‘magic mushroom’ di Kuala Selangor

ISKANDAR SHAH MOHAMED

KUALA SELANGOR – Polis menafikan dakwaan berlaku lebih 10 kematian akibat perbuatan menghisap rokok elektronik atau vape menggunakan cecair dikenali ‘magic mushroom’ di daerah ini.

Perkara itu tular di media sosial menerusi video mendakwa risiko penggunaan bahan berkenaan yang popular dalam kalangan remaja.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, pihaknya mendapati maklumat itu hanya bersifat andaian semata-mata.

“Pihak yang membuat dakwaan itu perlu mengemukakan bukti bagi membolehkan polis mengambil tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, malam ini. -KOSMO!ONLINE

Cakap dengan makanan agar diberkati

AKMAL MANAF

”Orang tua di Temerloh, Pahang.. umur hampir 100 tahun.. dia sihat.. makan tak ada pantang.

Itu mukadimah oleh Ustaz Badli Shah Alauddin tentang petua yang diamalkan oleh warga emas yang pernah beliau temui suatu ketika dahulu.

”Dia kata pertama sekali mesti berdoa minta berkat (doa makan) seperti Nabi SAW ajar.. Ya Allah turunkan berkat kepada makanan ini..

”Aku tahu kalori dia 200 Ya Allah, tapi tolong berkatkan makanan ini, seolah-olahnya begitu.

”Kedua katanya, sebelum suap, kena bercakap dengan makanan. Selepas baca doa, sebelum makan. Katakan kita makan kambing.

”Eh kambing, aku makan engkau. Engkau jangan makan aku. Ini petua, petua tak ada dalam kitab. Insya Allah sihat,” katanya dalam satu video di TikTok.

Badli Shah menasihatkan, walaupun masyarakat mengetahui bahawa sesuatu makanan itu mempunyai risiko, tetapi jangan mengata terhadap makanan.

Ini kerana katanya, makanan itu adalah rezeki kurniaan Allah.

Dua beradik ubah suai kereta jadi 'helikopter'

 BHarianonline 
Kereta yang diubah suai menyerupai helikopter oleh adik-beradik dari Uttar Pradesh, India. - Foto AGENSI
Kereta yang diubah suai menyerupai helikopter oleh adik-beradik dari Uttar Pradesh, India. - Foto AGENSI
NEW DELHI: Polis India merampas sebuah projek kereta buatan sendiri atau DIY daripada dua beradik yang mengubah suai kereta kecil jenis Suzuki mereka menyamai helikopter, dalam usaha menjana wang dengan menyewakannya untuk majlis perkahwinan.

Ishwardin dan Parmeshwardin Prajapati membelanjakan hampir AS$3,000 (RM14,212) untuk memasang bilah pemutar kecil pada bumbung kereta dan membuat membentuk kepingan logam menyerupai bahagian belakang helikopter.

Media tempatan melaporkan, pengubahsuaian besar itu mengambil masa beberapa minggu di sebuah bengkel di Uttar Pradesh, negeri di utara India.

Dua beradik itu merancang untuk mengenakan bayaran Rp5,000 (RM284) sehari kepada pasangan yang akan berkahwin dan inginkan cara pengangkutan unik lagi tersendiri pada hari perkahwinan mereka.

"Saya menukar kereta itu untuk digunakan bagi tempahan ketika musim perkahwinan supaya keluarga kami dapat memperoleh wang tambahan," kata Ishwardin yang dipetik Economic Times.

Bagaimanapun, rancangan mereka tergendala apabila polis merampas kenderaan itu pada Rabu, ketika ia sedang dibawa untuk dicat.

India Today melaporkan, kenderaan itu disita kerana tidak mematuhi peraturan jalan raya dan menjalani pengubahsuaian yang tidak dibenarkan.

Adik beradik itu membayar denda sebanyak Rp2,000 (RM114) dan kereta itu dikembalikan kepada mereka dengan syarat mereka menanggalkan ubah suai yang dipasang padanya. - AFP

Anggota polis maut dipercayai dipukul sekumpulan lelaki

Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my

Shah Alam: Seorang anggota polis maut dipercayai dipukul dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Taman Impian Indah di sini, awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira 3 pagi, anggota berpangkat koperal berusia 34 tahun itu ditemui tidak sedarkan diri di lokasi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mangsa adalah anggota polis yang masih berkhidmat di Kontinjen Kuala Lumpur.

"Kita (polis) sedang menjejak sekumpulan lelaki yang disyaki terbabit (pukul) dan berada di lokasi semasa kejadian.

"Kes masih dalam siasatan dan kita belum mengenal pasti suspek," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, proses bedah siasat sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian.

Difahamkan, mayat mangsa akan diterbangkan ke kampung halaman di Kuching, Sarawak, selepas selesai bedah siasat.

Hayun parang, besi, rupanya gaduh siapa jalan dulu...

Juwan Riduan
am@hmetro.com.my
Tangkap layar video tular dua lelaki bergaduh guna parang dan besi di Kota Belud.
Tangkap layar video tular dua lelaki bergaduh guna parang dan besi di Kota Belud. FOTO Ihsan Pembaca
Kota Belud: Dua lelaki yang bergaduh di kawasan laluan belakang parkir berhampiran Jalan Tamu Minggu, di sini, dipercayai berpunca daripada provokasi kedua-dua mereka yang masing-masing tidak memberi laluan semasa melalui jalan sempit.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, pihaknya terkesan video tular berkaitan pergaduhan dua lelaki berdurasi 42 saat yang dikongsikan di laman sosial Facebook.

Katanya, video yang dikongsikan memaparkan pergaduhan membabitkan dua lelaki menggunakan senjata.

"Hasil daripada siasatan polis mendapati pergaduhan berlaku jam 11.30 pagi, pada 22 Mac 2024 di kawasan laluan belakang tempat letak kenderaan berhampiran Jalan Tamu Minggu, di sini.

"Kejadian berlaku berpunca daripada provokasi kedua-dua pihak yang masing-masing tidak memberi laluan semasa melalui jalan sempit," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana bergaduh di tempat awam.

"Mana-mana saksi awam yang melihat kejadian itu diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud untuk membantu siasatan atau boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Izhafizan Haron di talian 014-6318003.

Terdahulu, dua lelaki gempar di media sosial semalam selepas menunjukkan masing-masing 'berperang' menggunakan parang dan besi.

-----

Gaduh sambil hayun parang, besi

Juwan Riduan
am@hmetro.com.my

Kota Belud: Pergaduhan dua lelaki gempar di media sosial semalam selepas menunjukkan masing-masing 'berperang' menggunakan parang dan besi.

Rakaman dua video mengenai insiden itu dikesan malam tadi, menunjukkan dua lelaki masing-masing menghayun parang dan besi hingga ada yang mengena paha seorang daripada mereka.

Pergaduhan kemudian dilihat berjaya dileraikan orang awam dan mangsa cedera dikatakan dihantar ke Hospital Kota Belud.

Difahamkan, kejadian itu berlaku pada 11.30 pagi berhampiran sebuah sekolah di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain ketika dihubungi memaklumkan menyedari video tular itu dan menyiasatnya.

"Setakat ini belum ada laporan rasmi dibuat mana-mana pihak. Dikatakan kedua-dua pihak sudah berdamai dan pergaduhan ada kaitan kekeluargaan," katanya.

‘Serba salah kerana beza politik

AKMAL MANAF

Profesor Madya Pengajian Islam (Hadith & Politik Islam) Universiti Islam Antarabangsa Dr Abu Hafiz Salleh Hudin tampil menjelaskan tentang satu hantaran di Facebook berhubung kehadiran Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin ke majlis marhaban dan berendoi di Puchong, Selangor, baru-baru ini.

Katanya, beliau tidak pasti apa yang cuba disampaikan oleh individu di platform media sosial itu, namun perkara yang mempunyai kesan ekstremisme agama perlu dijawab.

”Ada yang berkongsi kepada saya satu hantaran video oleh pemilik akaun Facebook yang meletakkan satu video majlis marhaban dan berendoi perdana yang dihadiri sahabat saya, ADUN Seri Serdang (Abbas Salimi Che Azmi) dan Ahli Parlimen Puchong (Yeo Bee Yin) dengan meletakkan satu kenyataan di manakah maruah mu wahai bangsa Melayu?

”Apabila dilihat pada komen-komen tersebut, komen-komen itu bercampur antara ekstremisme, kejahilan dan pelbagai lagi. Saya tidak pasti apa yang beliau ingin sampaikan.

”Pertamanya, pelbagai asatizah atau guru-guru agama yang benar-benar jujur memberikan ingatan bahawa majlis berendoi atau cukur jambul itu adalah satu adat dan ia bukan daripada amalan yang ditunjukkan secara khusus daripada agama.

”Apabila Ahli Parlimen dan ADUN di kawasan itu hadir untuk meraikan, dan mereka yang hadir juga membenarkan dan meraikan tetamu tersebut.

”Dalam video itu, saya lihat (Bee Yin) memotong sedikit rambut bayi tersebut dan bayi itu saya lihat sudah mencapai berbulan-bulan dan menghampiri mungkin setahun dan mungkin lebih daripada setahun umurnya,” katanya dalam video yang dimuat naik di TikTok beliau.

Dalam video sama, beliau menyambung penjelasannya sekiranya perbuatan tersebut mempunyai kaitan dengan agama.

”Kalau ini dikaitkan dengan agama, agama meletakkan pada hari ketujuh, disembelih kambing.. kalau anak lelaki dua ekor, anak perempuan seekor untuk diakikahkan dan kemudian dinamakan dan dibotakkan keseluruhannya.

”Yang jelas ianya adalah adat. Apabila mereka hadir, ia dijadikan isu politik kepartian.

”Maka akhirnya, kalau buat pun salah, kalau tak buat pun salah hanya kerana perbezaan parti politik,” bidas beliau.

Menurut Abu Hafiz, beliau ada melihat profil individu berkenaan dan mendapati individu itu menyokong satu parti politik yang berasaskan agama.

”Maka saya faham lah.. namun perkara berada dalam media itu, tidak boleh untuk tidak dijawab apatah lagi ia mempunyai kesan-kesan ekstremisme agama sebegini,” ujar beliau lagi.

Polis buru wanita Pontian hina Nabi Muhammad di Facebook

MOHD SHARKAWI LONDING

ISKANDAR PUTERI – Seorang wanita diburu selepas disyaki membuat kenyataan berbaur hinaan terhadap Nabi Muhammad SAW dan agama Islam di laman sosial Facebook.

Tangkap layar hantaran komen berkenaan dipercayai dilakukan seorang pengguna akaun Facebook berasal dari Pontian, tular sejak kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superitendan Ibrahim Mat Som, berkata polis setakat ini menerima satu laporan berkaitan kes berkenaan, dua hari lalu.

Katanya, polis sudah selesai merakam keterangan pengadu dan membuka kertas siasatan kes berkenaan.

“Satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.

“Kes juga turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,”katanya ketika dihubungi di sini.

Ibrahim menasihatkan agar semua pihak bertenang dan memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan dan mengambil tindakan lanjut.

“Orang awam juga dinasihatkan tidak memuat naik sebarang hantaran di mana-mana platform media sosial berbentuk provokasi yang boleh mengganggu gugat keselamatan dan mendatangkan kegusaran orang awam terutama membabitkan isu agama, bangsa dan raja (3R),” katanya. – KOSMO! ONLINE

Jatuh dari bangunan sekolah, pelajar perempuan Tingkatan 4 maut

Bernama

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar perempuan Tingkatan 4 maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan di sebuah sekolah di Sungai Buloh, semalam.

Ketua Polis Sungai Buloh, Mohd Hafiz Muhammad, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada 11.26 pagi.

“Mayat pelajar itu dihantar ke Hospital Sungai Buloh dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan kecederaan di bahagian kepala akibat terjatuh dari tempat tinggi,” katanya dalam kenyataan.

Hafiz berkata, punca kejadian masih dalam siasatan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Orang ramai terutama pengguna media sosial dinasihatkan tidak menyebarkan kandungan yang boleh mencetuskan kegusaran atau menggugat ketenteraman awam,” katanya.

KK Mart yang dimarahi, Speedmart yang diserang

AKMAL MANAF

Tular satu video yang menarik perhatian ramai apabila terdapat sekumpulan dikatakan tersilap memboikot kedai serbaneka.

Dalam video tular itu, kedengaran pemilik video menyatakan mereka tersalah kedai kerana berhimpun di hadapan Speedmart yang tidak dapat dipastikan di cawangan mana.

“Salah kedai lah bro… salah kedai… boikot KK Mart bukan Speedmart,” kata pemuda berkenaan dalam video berdurasi 13 saat yang turut mendapat liputan portal Oh Bulan di platform TikTok.

Bagaimanapun, kumpulan itu membawa plakad berwarna putih dengan tulisan ‘Boikot KK’.

Susulan video tular itu, terdapat pelbagai komen yang ditinggalkan oleh pengguna media sosial berhubung kejadian tersebut.

“Bukan bang, itu Speedmart. Salah tu mat.

“Boleh tersilap eh… kesian orang Speedmart tu tak tahu apa-apa.

“Yang penting confident!

“Speedmart tutup pukul 10 bang. KK Mart 24 jam,” demikian antara komentar warga maya.

Pada 13 Mac lalu, tular dalam media sosial isu stoking tertera kalimah Allah dijual di KK Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

Pada 16 Mac, pengurusan KK Super Mart dilaporkan memohon maaf berhubung penjualan stoking berkenaan di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.

Syarikat itu berkata jualan stoking berkenaan telah dihentikan serta-merta sementara menunggu penjelasan daripada pembekal.

Semalam, pihak polis sudah melengkapkan dua kertas siasatan membabitkan KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dan syarikat kilang pengedar yang mengimport stoking yang tertera kalimah Allah mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan.

40 terbunuh, Daesh mengaku serang konsert di Moscow

FMT Reporters
Kenderaan perkhidmatan kecemasan kelihatan di luar Dewan Bandaraya Crocus yang terbakar susulan insiden tembakan di Krasnogorsk, pinggir Moscow. (Gambar AFP)
MOSCOW: Sekurang-kurangnya 40 terbunuh dan lebih 100 cedera apabila lelaki bersenjata berpakaian celoreng melepaskan tembakan ke arah orang ramai yang menghadiri konsert di Dewan Bandaraya Crocus dekat Moscow pada Jumaat, kata perkhidmatan keselamatan FSB Rusia.

Menurut Reuters, sekurang-kurangnya lima lelaki bersenjata dilihat dalam satu video tidak disahkan, melepaskan tembakan beberapa kali ke arah orang ramai yang menjerit ketakutan ketika kumpulan rock era Soviet, Picnic bersedia membuat persembahan.

Rakaman video lain menunjukkan lelaki terbabit menembak orang ramai di bawah papan tanda masuk ke “Dewan Bandaraya Crocus”. Orang ramai yang terbaring berlumuran darah turut kelihatan.

Semua tiket di dewan konsert 6,200 tempat duduk itu habis dijual. Agensi berita negara TASS memetik Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan (FSB) Rusia sebagai berkata 40 orang terbunuh dan lebih 100 cedera.

“Tiba-tiba terdengar bunyi dentuman di belakang kami – tembakan. Serangan tembakan – saya tidak tahu apa,” kata seorang saksi yang tidak mahu namanya didedahkan kepada Reuters.

“Rempuhan bermula, semua orang berlari ke eskalator,” kata saksi itu. “Semua orang menjerit, semua orang berlari.

Media Rusia melaporkan letupan kedua di tempat itu dan terdapat laporan bahawa beberapa lelaki bersenjata menghalang laluan di satu kawasan dalam bangunan.

Susulan kejadian itu, Russia turut mengetatkan kawalan di lapangan terbang dan stesen serta seluruh ibu negara, kawasan bandar diduduki 21 juta orang.

Dua minggu lalu, kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Rusia memberi amaran bahawa “pelampau” mempunyai rancangan melakukan serangan di Moscow.

Ia mengeluarkan amarannya beberapa jam selepas FSB berkata ia menggagalkan serangan ke atas rumah ibadat Yahudi di Moscow oleh sel militan Daesh.

Sementara itu, AFP melaporkan Daesh mengaku bertanggungjawab melakukan serangan berkenaan.

Pejuang Daesh “menyerang perhimpunan besar…di pinggir ibu negara Rusia Moscow”, kata kumpulan itu dalam kenyataan di Telegram.

Ratusan berarak tuntut keadilan remaja terbunuh dilanggar polis

AFP
Orang ramai berhimpun secara aman di pinggir bandar Paris semalam untuk menuntut keadilan bagi seorang remaja yang terbunuh dalam satu perlanggaran dengan kereta polis. - Foto REUTERS
Orang ramai berhimpun secara aman di pinggir bandar Paris semalam untuk menuntut keadilan bagi seorang remaja yang terbunuh dalam satu perlanggaran dengan kereta polis. - Foto REUTERS
BOBIGNY, PERANCIS: Ratusan orang berarak secara aman di pinggir bandar Paris semalam untuk menuntut keadilan bagi seorang remaja yang terbunuh dalam satu perlanggaran dengan kereta polis, minggu lalu.

Kematian Wanys R mencetuskan ketegangan di bandar La Courneuve, berhampiran lokasi utama untuk Sukan Olimpik Paris pada musim panas ini.

Pada 13 Mac lalu, polis mengejar sebuah skuter yang dipandu remaja berusia 18 tahun itu di bandar berhampiran Aubervilliers yang dikatakan enggan patuh selepas diarah berhenti.

Satu video yang dikongsi secara meluas dalam talian menunjukkan sebuah kereta polis melanggar skuter itu, membunuh penunggang dan mencederakan penumpangnya.

Polis setakat ini mendapati ia adalah satu kemalangan namun keluarga mangsa menuduh polis sengaja melanggar skuter itu.

Abang mangsa yang enggan dikenali bercakap kepada pemberita di tangga dewan bandar La Courneuve. "Adik lelaki saya dibunuh polis. Mereka memutuskan untuk mengambil nyawanya secara tidak adil.

"Kami hanya mencari keadilan. Tiada keganasan, tiada yang keterlaluan," katanya yang memakai pelitup muka hitam dan cermin mata hitam sebelum perarakan bermula.

"Polis menjadikan ia perkara biasa untuk membunuh orang seperti dia, orang muda," kata rakan sekolah mangsa, Taif, 17, yang enggan memberikan nama penuhnya.

Pada petang Ahad, orang ramai melepaskan bunga api secara bertalu-talu di balai polis La Courneuve, menurut rakaman yang disiarkan di media sosial.

Polis berkata, penyerang turut membaling batu dan molotov cocktail.

Polis bertindak balas dengan bom tangan, gas pemedih mata dan peluru kilat. Balai polis itu tidak mengalami kerosakan.

La Courneuve terletak di pinggir bandar utara Paris, di jabatan Seine-Saint-Denis yang menjadi tuan rumah venue temasya Olimpik, termasuk stadium utama Stade de France.

Pada Jun, video seorang pegawai polis menembak mati Nahel M berusia 17 tahun mencetuskan rusuhan pada waktu malam di pinggir bandar Paris dan kawasan lain yang serba kekurangan.

Anggota polis yang melepaskan tembakan maut itu didakwa atas kesalahan pembunuhan yang disengajakan.

Remaja buat ‘wheelie’ dapat ‘undangan’ polis

KOSMO
Aksi ‘wheelie’ yang dilakukan oleh remaja berkenaan membahayakan pengguna jalan raya. – TRIBUN TIMUR
JAKARTA – Aksi ‘wheelie’ seorang remaja lelaki ketika menunggang motosikal  meresahkan penduduk sebuah kampung di Kabupaten Gowa, wilayah Sulawesi Selatan, lapor portal berita Tribun Timur semalam.

Aksi berbahaya  itu dilakukan di Jl Masjid Raya dan Tumanurung, Gowa.

Oleh kerana  tunggangan seperti itu dianggap berbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain, remaja sekolah menengah berusia 16 tahun itu disaman dan motosikalnya disita. 

Polis tempatan dilaporkan melakukan siasatan dan mengesan keberadaan suspek.

Dia dibawa ke balai polis bersama motosikalnya selepas mereka tiba di rumahnya di Gowa. 

“Suspek dijemput bersama kenderaannya di rumah dan dibawa ke balai polis Gowa,” kata pegawai polis tempatan semalam.

Dihadapan polis, remaja itu mengaku tidak akan mengulangi perbuatannya.

Motosikalnya ditahan di ibu pejabat polis Gowa. Dia berdepan saman maksimum berjumlah 3 juta rupiah (RM900) kerana melanggar peraturan lalu lintas. – AGENSI

Video tular askar pukul isteri: Kertas siasatan masih di Bukit Aman - Polis

Meor Riduwan Meor Ahmad
bhnews@bh.com.my
Tangkap layar video tular anggota tentera memukul isterinya di sebuah flat di Sungai Udang. Video tular.
Tangkap layar video tular anggota tentera memukul isterinya di sebuah flat di Sungai Udang. Video tular.
MELAKA: Polis Melaka mengesahkan menerima laporan dan sudah menahan seorang anggota tentera berpangkat Lans Koperal yang disyaki mengasari isterinya seperti dipaparkan dalam satu klip video tular, hari ini.

Kertas siasatan kes berkenaan kini berada di Bahagian Pendakwaan/Undang–Undang (D5) Bukit Aman.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah, berkata terdahulu pihaknya mengesan klip video berkenaan dimuat naik semula oleh pengguna media sosial pada hari ini di Instagram.

Katanya, siasatan polis mendapati kes itu berlaku 31 Disember tahun lalu kira-kira jam 9 malam di sebuah flat di Sungai Udang.

Katanya, kejadian berlaku selepas anggota tentera berusia 30 tahun itu dihubungi isterinya di Kem Terendak, Sungai Udang meminta dia membelikan makanan untuk anak lelaki mereka berusia tiga tahun.

"Sebaik suaminya tiba di rumah, timbul perselisihan faham apabila lelaki itu menuduh isterinya (pengadu) tidak sabar untuk bercerai dan diakui wanita itu termasuk akan mengambil tindakan berjumpa pihak atasan.

"Keadaan itu menyebabkan suaminya yang mahu berpisah berang dan menolak kepala, menarik baju dan menyepak paha isterinya," katanya menerusi kenyataan, malam ini.

Zainol berkata, susulan kejadian itu, suri rumah berusia 25 tahun itu membuat laporan polis kerana berasa tertekan selain haknya ditindas sepanjang mengalami masalah rumah tangga.

Katanya, polis menahan suspek pada 2 Januari lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan.

"Dalam kes ini, pengadu turut membuat laporan tarik balik kes dan difahamkan video berkenaan ditularkan oleh rakan wanita ini," katanya.

Azmin mahu jadi calon PRK Parlimen Tanjong Karang' - Zulkafperi

MOHD IZZATUL IZUAN TAHIR
Zulkafperi (kiri), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
Zulkafperi (kiri), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
KUALA SELANGOR - Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanafi mendakwa Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali disebut-sebut sebagai calon kerusi Parlimen Tanjong Karang sekiranya berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK).

Zulkafperi berkata, beliau mendapat banyak maklumat daripada pelbagai pihak kemungkinan Mohamed Azmin yang juga bekas Ahli Parlimen Gombak bertanding di Parlimen berkenaan.

"Berita ini diperkuatkan lagi dengan kehadiran beliau (Mohamed Azmin) dalam Program Jelajah Badan Pimpinan Negeri (BPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Parlimen Tanjong Karang," katanya ketika ditemui pada sidang akhbar di pejabatnya dekat sini pada Jumaat.

Menurut Zulkafperi, sokongannya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan menyebabkan berlakunya PRK.

“Insya-ALLAH perkara itu tidak akan berlaku walaupun beliau hadir di Tanjong Karang yang kononnya akan gantikan saya di Tanjung Karang sebenarnya tidak ada keperluan.

“Setakat ini, penduduk di sini juga sudah mula menerima dan ada mengatakan saya membuat keputusan yang baik untuk membela nasib rakyat," tambah beliau.

Dalam pada itu, Zulkafperi berkata, Bersatu Bahagian Tanjong Karang tidak terbubar dan beliau masih lagi kekal sebagai ketuanya sehingga surat rasmi pemecatannya diserahkan.

“Bersatu Bahagian Tanjong Karang sepanjang saya tahu masih wujud dan tidak dibubarkan, malah saya juga masih kekal sebagai ketua walaupun dimaklumkan jawatankuasa berubah dengan alasan saya tidak hadir,” ujarnya.

Sebelum ini, lima Ahli Parlimen Bersatu terlebih dahulu mengisytiharkan sokongan terhadap Anwar adalah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz; Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik; Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dan Ahli Parlimen Labuan, Dat

Lelaki diburu polis kerana cuba bunuh anggota polis ditangkap

Aizat Sharif
am@hmetro.com.my

Padang Besar: Lelaki yang dikehendaki polis kerana terbabit dengan cubaan membunuh seorang anggota polis di Chuping, di sini, Oktober tahun lalu diberkas polis semalam.

Suspek yang berusia 43 tahun diburu polis selepas tindakannya yang mengundur kenderaan pikapnya sebelum merempuh motosikal dinaiki anggota polis yang mengejarnya selepas disyaki terbabit dengan kegiatan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (Pati) di sekitar Kampung Kubang Tiga, Chuping pada 16 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, suspek ditahan jam 10.30 pagi di sebuah rumah tidak bernombor di padang Besar oleh sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar.

"Suspek berjaya dikesan hasil Op Cantas Khas berdasarkan maklumat dan risikan.

"Ketika serbuan, suspek cuba melarikan diri dengan melompat dari tingkap rumah berkenaan.

"Namun, suspek berjaya ditahan selepas mengalami retak tulang di tumit kaki kanannya dan terpaksa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar untuk diberi rawatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, suspek bagaimanapun berada dalam keadaan stabil.

"Semakan terhadap rekod jenayah lampaunya mendapati suspek mempunyai lapan rekod lampau pelbagai kesalahan jenayah dan dadah malah hasil ujian air kencing juga mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.

"Perintah reman selama tujuh hari bermula hari ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun," katanya.

Sebelum ini, suspek sangat dikehendaki kerana disyaki terbabit dengan cubaan membunuh anggota polis yang cuba memberkasnya kerana dipercayai terbabit dengan kegiatan penyeludupan Pati di sekitar Chuping tahun lalu.

Muhd Nazmie Aizat maut dibelasah dalam bilik asrama, polis tahan 13 pelajar

Juwan Riduan
am@hmetro.com.my
DR Rohan Shah menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian di asrama sebuah kolej di Lahad Datu. FOTO ihsan polis
DR Rohan Shah menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian di asrama sebuah kolej di Lahad Datu. FOTO ihsan polis
Lahad Datu: Pelajar lelaki ditemui mati di bilik asrama dipercayai dibelasah rakan dalam kejadian di sebuah kolej vokasional, di sini, awal pagi tadi.

Mangsa, Muhd Nazmie Aizat Muhd Narul Azwan, 17, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh warden asrama yang bertugas pada 6.50 pagi.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dr Rohan Shah Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan yang dibuat oleh pengarah kolej berkenaan.

Katanya, mangsa adalah penghuni asrama kolej berkenaan ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Hospital Lahad Datu yang hadir untuk memberikan rawatan kecemasan.

"Bertindak di atas laporan yang dibuat itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu bergegas ke lokasi kejadian.

"Siasatan mendapati kejadian berlaku di bangunan asrama lelaki kolej berkenaan dan mendapati kejadian benar berlaku berikutan penemuan mayat remaja lelaki dalam keadaan terbaring di lantai di dalam sebuah bilik asrama kolej itu," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan selanjutnya mendapati terdapat kesan kecederaan dan lebam di beberapa bahagian tubuh mangsa.

"Pihak polis mengenalpasti punca kejadian ialah perselisihan faham antara mangsa dengan penghuni-penghuni asrama yang lain.

"Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Lahad Datu bagi proses bedah siasat untuk mengenalpasti punca kematian mangsa," katanya.

Beliau berkata, sehingga kini, polis menahan seramai 13 pelajar lelaki berusia 16 dan 19 tahun manakala satu rampasan alat pengecas telefon pintar yang dipercayai berkait dengan siasatan kes ini.

"Setakat ini, polis juga mengesan tujuh saksi bebas untuk membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikuti Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Sementara itu, Dr Rohan meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi dalam kes ini dan polis sedang menjalankan siasatan secara terperinci dari pelbagai sudut secara telus.

Rancangan jahat rampas Gaza, Wayang baharu AS?

TERJEMAHAN SINAR HARIAN
Laporan muka depan Sinar Harian pada Jumaat.
JEDDAH - Amerika Syarikat (AS) secara tiba-tiba mengedarkan draf resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang menggesa pelaksanaan gencatan senjata segera dikaitkan dengan pembebasan baki tawanan di Gaza.

Pengumuman itu dibuat Setiausaha Negara AS, Antony Blinken yang mengadakan lawatan ke Asia Barat pada Rabu setelah Israel yang disebut sebagai ‘boneka’ Washington tidak lagi mengikut telunjuk mereka.

Sebelum ini, AS selaku sekutu kuat rejim Tel Aviv telah beberapa kali memveto resolusi UNSC hingga menyebabkan perang ganas itu berterusan dan kini memasuki bulan keenam.

Kepulan asap berkepul-kepul selepas pengeboman Israel ke atas Rafah di selatan Semenanjung Gaza pada 20 Mac lalu di tengah-tengah pertempuran berterusan antara Israel dan kumpulan militan Palestin Hamas. Foto AFP
Kepulan asap berkepul-kepul selepas pengeboman Israel ke atas Rafah di selatan Semenanjung Gaza pada 20 Mac lalu di tengah-tengah pertempuran berterusan antara Israel dan kumpulan militan Palestin Hamas. Foto AFP
Sejak kebelakangan ini, Washington dikatakan tidak lagi sehaluan dengan Israel, sekali gus memberi tekanan kepada AS untuk mencari alternatif lain bagi meredakan perang genosid di Gaza.

Kunjungan keenam Blinken ke rantau itu pada Rabu bertujuan untuk membincangkan pelan pasca perang yang akan menentukan siapa bakal mentadbir Gaza setelah Israel dikhabarkan mahu menduduki semula wilayah tersebut. - AFP

Kanak-kanak lelaki warga Yaman berusia lima tahun maut jatuh ke dalam kolam dari tingkat 21

Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my

Serdang: Kanak-kanak lelaki warga Yaman berusia lima tahun maut selepas terjatuh ke dalam kolam dari tingkat 21 sebuah kondominium di Bandar Putra Permai, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan berkata, polis menerima panggilan kejadian pada 2.42 petang.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati kaki kiri kanak-kanak itu patah dan terdapat pendarahan melalui telinga serta hidung.

"Berdasarkan siasatan, dua pengawal keselamatan yang menjalankan rondaan di sekitar kawasan kolam melihat seorang kanak-kanak terapung di dalam kolam dan tidak sedarkan diri.

"Mereka memaklumkan penemuan itu kepada pihak pengurusan sebelum pihak pengurusan menghubungi 999.

"Bapa mangsa yang datang di lokasi mengangkat mayat anaknya dan diletak atas kerusi batu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian ibu bapa mangsa berada di dalam bilik manakala mangsa berada di ruang tamu.

"Mangsa disyaki terjatuh melalui tingkap di ruang tamu rumah mereka," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Lelaki menyamar paderi dipenjara 3 tahun kerana kahwini 10 wanita

BHarianonline 
Penjara Harris County di pusat bandar Houston, di mana pihak berkuasa berkata bahawa Orlando Coleman, 51, yang dijatuhi hukuman tiga . - Foto AGENSI
Penjara Harris County di pusat bandar Houston, di mana pihak berkuasa berkata bahawa Orlando Coleman, 51, yang dijatuhi hukuman tiga . - Foto AGENSI
TEXAS: Seorang lelaki yang mendakwa dirinya seorang paderi dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun atas tuduhan bigami kerana berkahwin dengan 10 wanita sejak dua dekad lalu.

Orlando Coleman, 51, dari Houston sebelum ini mengembara ke seluruh negara dengan melawat gereja kecil dan mengakui dirinya sebagai paderi.

Bagaimanapun, pendakwaraya tidak menemui sebarang bukti bahawa lelaki berkenaan adalah seorang paderi sebaliknya, dia hanya menggunakan jawatan itu untuk menambat hati wanita yang diinginkannya.

Penipuan Coleman akhirnya terbongkar pada minggu lalu apabila dia melanggar syarat percubaan tuduhan bigami dengan mengahwini seorang wanita dari Kentucy.

Menurut Penolong Peguam daerah Harris County, Texas, Vanessa Goussen, pihaknya percaya bahawa perkahwinan pertama lelaki itu adalah pada tahun 2001 bermotifkan wang.

Sejak bertahun-tahun, dia berkata, Coleman mengembara ke Delaware, Texas, Kentucky, Nebraska, Pennsylvania, Iowa, Carolina Utara, Virginia dan negeri lain untuk bertemu wanita.

Selepas memperkenalkan dirinya sebagai paderi dia mengajak wanita yang ditemui untuk berkahwin bagi menguatkan tuntutannya sebagai ahli paderi, kata Goussen.

Jika seorang wanita menerima, dia memaklumkan akan tinggal bersamanya serta membayar bil termasuk rumah dan makanan.

"Itu sahaja perkara yang dia tawarkan dan untuk mengesahkan kata-katanya – cadangan untuk berkahwin – itu adalah sesuatu yang besar," kata Goussen dalam satu temu bual pada 20 Mac.

Selepas Coleman meninggalkan isteri-isterinya, pendakwa raya berkata, sebahagian daripada mereka memfailkan perceraian.

Pendakwa raya berkata penipuan Coleman mula terungkai selepas dia berkahwin dengan wanita Houston pada 2021. Lima bulan selepas perkahwinan mereka, isteri baharu Coleman mendapati dia menerima wang daripada seorang wanita di Virginia, kata pendakwa raya.

Menurut dokumen mahkamah, isteri di Houston menghubungi wanita di Virginia menerusi Facebook dan mereka mula membincangkan mengenai lelaki itu.

Wanita di Virginia memberitahu bahawa dia berkahwin dengan lelaki berkenaan sejak 2019 dan memberikan salinan sijil perkahwinan mereka, kata dokumen mahkamah.

Wanita Virginia itu juga memaklumkan dirinya tidak pernah bercerai tetapi sudah berpisah pada 2021, apabila lelaki itu berpindah ke Texas, kata dokumen mahkamah.

Dua minggu selepas perpindahan itu, Coleman mengahwini wanita lain di Houston, kata dokumen mahkamah.

Berikutan pendedahan berkenaan, wanita Houston itu menghubungi pihak berkuasa serta memfailkan tuduhan bigami.

Coleman mengaku bersalah melakukan bigami dan pada Julai 2023 menjalani percubaan selama tiga tahun serta berpeluang untuk menghapuskan rekod lampaunya.

Tetapi hanya dua bulan selepas dia diletakkan dalam percubaan, pendakwa raya berkata, dia berkahwin lagi dengan seorang wanita di Kentucky ketika masih berkahwin dengan wanita itu di Virginia.

Selepas mengetahui mengenai perkahwinan baharu itu, pendakwa raya memfailkan usul untuk membatalkan tempoh percubaannya. Pada perbicaraan 11 Mac, seorang hakim bersetuju dengan usul itu dan menjatuhkan hukuman tiga tahun. - AGENSI

Masalah rumah tangga punca lelaki pegang parang di tepi jalan

Ruwaida Md Zain
am@hmetro.com.my
TANGKAP layar lelaki mundar mandir memegang sebilah parang panjang di tepi jalan di Kampung Morib.  FOTO Ihsan Pembaca
TANGKAP layar lelaki mundar mandir memegang sebilah parang panjang di tepi jalan di Kampung Morib. FOTO Ihsan Pembaca
Kuala Langat: Akibat masalah rumah tangga, seorang lelaki dalam keadaan mabuk mundar mandir dengan memegang sebilah parang panjang di tepi jalan Kampung Morib, Banting di sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, kejadian itu dikesan oleh pihaknya menerusi satu video berdurasi 13 saat yang tular di media sosial.

"Bertindak di atas maklumat dan laporan polis yang dibuat, kira-kira jam 11.30 pagi tadi sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat berjaya menangkap suspek di kawasan Morib.

"Siasatan mendapati, lelaki warga tempatan berusia 31 tahun itu bekerja sebagai buruh ladang dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

"Siasatan awal mendapati, punca kejadian disebabkan masalah rumah tangga dan suspek dalam keadaan mabuk," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek akan direman di Mahkamah Telon Datuk, Banting jam 8 pagi esok.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

"Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun.

"Polis juga menasihati orang awam agar tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis.

"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuala Langat di talian 03-31872222," katanya.

Belut 30 sm hidup dalam perut lelaki

Agensi
BELUT hidup sepanjang 30 sm ditemukan dalam perut pesakit berkenaan. FOTO Agensi
BELUT hidup sepanjang 30 sm ditemukan dalam perut pesakit berkenaan. FOTO Agensi
Hanoi: Doktor di Vietnam menyelamatkan nyawa seorang lelaki dengan mengeluarkan belut hidup sepanjang 30 sentimeter (sm) dari perutnya, yang menembusi usus, pada 20 Mac lalu, lapor portal Oddity Central.

Pesakit, lelaki berusia 34 tahun itu, dimasukkan ke Pusat Perubatan Daerah Hai Ha di Wilayah Quang Ninh, Vietnam, dengan kekejangan perut yang teruk.

Memandangkan pesakit terlalu sakit untuk ditanya mengenai simptom dialami, kakitangan hospital menjalankan X-ray dan ultrabunyi yang menunjukkan ada objek asing di dalam perut, berlaku kebocoran usus dan peritonitis.

Doktor memutuskan bahawa tindakan terbaik adalah menjalankan pembedahan bagi membuang objek yang mencurigakan, dan cuba mengurangkan kerosakan pada usus lelaki itu.

Selepas membuka perut pesakit, doktor terkejut apabila mendapati objek asing itu adalah belut hidup sepanjang 30 m.

Selepas mengeluarkan belut itu, doktor terus mengeluarkan segmen usus, prosedur yang berpotensi tinggi untuk jangkitan kerana berdekatan dengan kawasan rektum.

Lelaki itu bernasib baik kerana pembedahan itu berjaya sebelum dia dilaporkan stabil.

Ditanya bagaimana belut besar itu boleh berada di perutnya, lelaki berkenaan tidak dapat memberikan jawapan yang jelas.

Tetapi, doktor percaya haiwan licin itu merangkak dari dubur ke kolon pesakit, menggigit melalui usus dan masuk ke bahagian perut.

Namun, apa yang benar-benar mengejutkan kakitangan hospital adalah belut itu ditemukan masih hidup di dalam badan lelaki itu.

Perancis larang berpuasa, Diawara tinggalkan pasukan

Agensi
DIAWARA kembali ke kelabnya Lyon selepas tidak bersetuju dengan larangan berpuasa oleh FFF.
DIAWARA kembali ke kelabnya Lyon selepas tidak bersetuju dengan larangan berpuasa oleh FFF.
London: Pemain tengah Mahamadou Diawara meninggalkan skuad Bawah 19 (B-19) Perancis selepas tidak bersetuju dengan peraturan baharu Persekutuan Bolasepak Perancis (FFF) yang melarang pemain Muslim berpuasa sepanjang Ramadan ketika menjalani latihan bersama skuad kebangsaan.

Diawara dilaporkan tidak selesa dengan peraturan baharu yang membabitkan skuad B-16 sehingga ke peringkat senior dan membuat keputusan meninggalkan pasukan dan kembali ke kelabnya Lyon.

FFF mengesahkan tindakan Diawara itu dan memanggil pemain Nantes Dehmaine Tabibou Assoumani sebagai pengganti.

"Beberapa pemain tidak gembira dengan peraturan baharu itu," kata ejen yang mewakili beberapa pemain dalam skuad belia dan senior Perancis.

"Mereka berpendapat agama mereka tidak dihormati tetapi ada yang enggan berkonfrontasi dengan persatuan. Namun Diawara tetap tidak gembira, jadi dia meninggalkan pasukan."
-hmetro 

Aplikasi KK Mart digodam, tertera 'Amaran Terakhir'

Malaysiakini 

Aplikasi mudah alih rangkaian kedai serbaneka KK Mart telah digodam hari ini, dengan perkataan "Amaran Terakhir" dipaparkan muncul pada aplikasinya.

Bagaimanapun, aplikasi itu kembali seperti biasa kira-kira jam 10 pagi hari ini.

Semakan Malaysiakini pada 9.33 pagi mendapati aplikasi KK Mart tidak dapat dimuatkan dan sebaliknya, halaman aplikasi itu tertera perkataan "Amaran Terakhir" ditulis dalam huruf merah berlatar belakang hitam.

Beberapa minit kemudian, aplikasi itu masih tidak boleh diakses tetapi perkataan 'Amaran Terakhir' tidak lagi dipaparkan.

Semakan lain pada 10.15 pagi menunjukkan bahawa aplikasi telah kembali normal.

Pada 13 Mac, rangkaian kedai serbaneka itu mengesahkan bahawa cawangannya di Bandar Sunway di Petaling Jaya menjual stoking yang tertera kalimah Allah.

KK Mart telah beberapa kali memohon maaf berhubung perkara itu dan berkata produk itu telah diletakkan di atas rak konsainan oleh vendor secara tidak sengaja.

Penjual, pengeluar kasut Xin Jian Chang Sdn Bhd di Batu Pahat, Johor turut memohon maaf pada hari yang sama, berkata pembekalnya dari China telah tersalah memasukkan lima pasang stoking yang dicetak dengan kalimah Allah, dalam kira-kira 18,000 pasang stokin jenis lain yang ditempah oleh Xin Jin Chiang.

Pemeriksaan polis ke atas kilang Xin Jin Chiang juga menemui hanya lima stoking kontroversi, yang dipulangkan oleh KK Mart kepada kilang itu.

Isu itu telah membawa kepada ketegangan kaum dan agama, dengan Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh segera menggesa agar KK Mart diboikot.

Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh
Sejak itu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata dia telah menasihatkan Akmal untuk menangani isu itu dengan lebih berhemah.

Dua lelaki juga telah dijatuhkan hukuman penjara kerana membuat kenyataan menghina Islam berhubung perkara itu.

Butiran peribadi kedua-dua lelaki itu - seorang di Kuala Lumpur dan seorang lagi di Kota Kinabalu - disebarkan di media sosial dan secara fizikal berhadapan dengan kumpulan yang tidak berpuas hati dengan siaran mereka. Kedua-duanya mengeluarkan permohonan maaf melalui video dalam talian.

Sementara itu, majlis daerah dan bandaraya Johor melakukan pencarian besar-besaran di cawangan KK Mart di negeri ini pada Rabu, untuk memeriksa sama ada stoking kontroversi itu dijual.

Tiada satu pun cawangan yang mempunyai stoking itu di rak, tetapi satu cawangan didenda kerana melanggar peraturan pengiklanan manakala cawangan lain didenda kerana menjual alkohol tanpa lesen yang sah.

Majlis Perbandaran Batu Pahat juga telah menggantung lesen kilang Xin Jin Chiang selama 30 hari, kerana melanggar syarat lesennya.

Polis cadang pendakwaan jenayah pada KK Mart, pembekal

Hariz Mohd

Polis telah melengkapkan siasatan berhubung penjualan stoking dengan tulisan "Allah" di sebuah cawangan KK Mart di Bandar Sunway, Selangor baru-baru ini.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain, pegawai telah menyerahkan kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) dan sedang menunggu arahan seterusnya.

Bercakap pada sidang media pagi ini, Mohd Shuhaily berkata polis mencadangkan kedua-dua KK Mart dan syarikat pembekal, Xin Jiang Chang Sdn Bhd dihadapkan dengan pertuduhan jenayah berhubung insiden itu.

Isu stoking kalimah 'Allah': Dr Muhamad Akmal bidas Siti Kasim

'Saya hanya jalankan tanggungjawab sebagai Muslim yang terkesan apabila agamanya dihina'
Dr Muhammad Akmal (kanan) dan Siti Kassim
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid
khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh membidas peguam Siti Kasim dan menyatakan beliau tidak mahu menjadi hero berhubung penjualan stoking yang tertera kalimah Allah oleh KK Super Mart.

Sebaliknya, Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka itu berkata, beliau hanya mahu menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang Muslim yang terkesan apabila agamanya dihina.

"Memang saya tidak mahu menjadi hero. Saya hanya mahu menjalankan tanggungjawab saya sebagai seorang Muslim yang terkesan apabila agamanya dihina.

"Setiap orang yang mempunyai iman walaupun senipis kulit bawang pastinya akan terasa apabila agamanya dihina. Kalau tidak terasa, tepuk dada tanyalah iman," katanya menerusi catatan di Facebooknya.

Sebelum ini, Dr Muhamad Akmal mengajak umat Islam untuk bersama memboikot kedai serbaneka KK Super Mart yang terpalit isu kontroversi penjualan stoking tertera kalimah Allah.

Ia kemudiannya mendapat reaksi daripada pelbagai pihak antaranya Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.

Terbaru, Siti Kasim atau Siti Zabedah Kasim membidas beliau dengan menyatakan Dr Muhamad Akmal tidak mewakili masyarakat Melayu sambil mendakwa pendiriannya itu hanyalah berkepentingan politik yang bertujuan meraih sokongan orang Melayu Islam kepada Umno.

"Maaf Akmal, tetapi awak tentu tidak bercakap untuk saya atau ramai lagi, okay? Kita, orang Melayu tidak naif seperti sebelum ini. Sekarang ini, jangan eksploitasi perkara ini untuk memanipulasi sentimen agama dan perkauman untuk politik.

"Saya sudah lama mengatakan ahli politik, sama ada dari Pas atau Umno, semuanya sama," katanya.

Kelantan: Lari daripada polis, kereta terbabas rempuh rumah penduduk

Syaherah Mustafa
am@hmetro.com.my
Keadaan kereta Perodua Kancil yang terbabas. IHSAN POLIS
Keadaan kereta Perodua Kancil yang terbabas. IHSAN POLIS
Pasir Mas: Kereta dinaiki tiga lelaki terbabas dan melanggar sebuah rumah selepas mereka cuba melarikan diri daripada pihak polis di Kampung Kedondong, Meranti di sini, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed, ketika kejadian 7.35 malam itu, anggota polis menjalankan tugas Ronda Cegah Jenayah (RCJ) di kawasan pentadbiran Balai Polis Meranti di sini, sebelum mendapati sebuah Perodua Kancil yang dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, anggota menahan kenderaan terbabit, namun pemandunya bertindak memecut laju kenderaan.

"Anggota polis bertindak mengekori kenderaan berkenaan dan mendapati kereta itu terbabas di kawasan selekoh serta melanggar salah sebuah kediaman penduduk.

"Salah seorang daripada suspek ini cuba melarikan diri ke dalam semak berdekatan, namun ketiga-tiga mereka ditangkap oleh anggota bertugas.

"Kesemua suspek yang berusia antara 36 hingga 41 tahun itu ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.

"Selain itu, hasil semakan rekod mendapati kesemua suspek mempunyai kesalahan lampau berkaitan kes jenayah dan penyalahgunaan dadah," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Kama berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan suspek ditahan reman selama empat hari bermula 21 sehingga 24 Mac untuk tujuan siasatan.

Sudah ada pihak mahu menuntut RM500,000 dijumpai dalam bagasi

Syarikat mahu tuntut RM500,000 dijumpai dalam bagasi
FMT Reporters

PETALING JAYA: Sebuah syarikat mendakwa wang tunai RM500,000 dalam bagasi ditemui pengawal keselamatan semalam di pusat beli- belah dekat Damansara, milik mereka.

Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata pihaknya menerima satu laporan dibuat di Shah Alam oleh syarikat itu.

“Laporan polis sudah dibuat di mana dikatakan wang itu adalah milik syarikat.

“Jadi, siasatan sedang dijalankan polis untuk memastikan wang itu benar milik syarikat terbabit,” katanya kepada Berita Harian.

Terdahulu, Hussein berkata pihaknya menerima laporan daripada pengawal keselamatan berusia 30-an berkaitan penemuan bagasi berwarna merah jambu dan putih bersaiz sederhana pada 8 pagi.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati bagasi itu berisi wang kertas RM10, RM50 dan RM100 dengan jumlah keseluruhan melebihi RM500,000 dan dipercayai tulen.

Katanya, polis meneliti rakaman kamera litar tertutup di pusat beli-belah itu, namun tidak meliputi lokasi bagasi ditemukan.

Kelantan: 765 kes tangkapan dadah dalam sembilan hari

Hidayatidayu Razali

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Dua penjawat awam di antara 765 ditangkap polis Kelantan untuk siasatan berhubung kesalahan kes dadah dalam tempoh sembilan hari di antara 12 Mac hingga semalam.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, mereka ditahan menerusi Operasi Tapis Bersepadu seluruh daerah di negeri ini terdiri daripada 744 lelaki dan 21 wanita berusia di antara 16 hingga 67 tahun.

Katanya, dalam operasi itu pelbagai jenis dadah yang dirampas bernilai lebih RM270,000 termasuk pil yaba sebanyak 2,242.98 gram (g); heroin iaitu 66.4g; ganja (11,555.41g) dan daun ketum sebanyak 19.8 kilogram.

"Mereka ditahan disiasat termasuk mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39A (1) ADB 1952 dan Seksyen 12 (2) ADB 1952.

"Tumpuan operasi adalah di kawasan sasaran yang dikenal pasti iaitu di lokasi aktif atau sarang penagih dadah yang menjalankan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah," katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, jumlah dadah yang dirampas dianggarkan boleh digunakan untuk 37,111 orang penagih.

Menurutnya, pelbagai harta turut disita terdiri daripada kenderaan dianggarkan bernilai RM242,000 dan kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

Katanya, jumlah keseluruhan nilai rampasan dadah dan sitaan harta bernilai lebih RM500,000.

Pada perkembangan sama, Muhamad Zaki berkata, polis turut menahan sepasang suami isteri dan merampas 12,000 biji pil yaba berjumlah RM70,400 dalam operasi 9.45 malam pada 13 Mac lalu.

Katanya, pasangan berusia 29 dan 31 tahun ditahan di atas sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 di Kampung Kedai Lalat, Sering di sini.

"Motosikal Yamaha Y15 dianggarkan bernilai RM7,000 dan sebuah kereta Perodua Myvi bernilai RM19,000 disita di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

"Ujian saringan air kencing terhadap pasangan itu didapati negatif dadah dan suspek lelaki mempunyai lima rekod berkaitan kes dadah, manakala wanita mempunyai satu rekod kes jenayah," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952 dan kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula 14 Mac hingga semalam.

Syahredzan dapat injunksi sementara terhadap Adun PAS

FMT Reporters
Saman fitnah difailkan Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan (kiri) terhadap Adun Sungai Ramal Shafie Ngah akan didengar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada November.
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan mendapat injunksi interim terhadap Adun PAS Shafie Ngah bagi menghalang pengulangan kenyataan yang menjadi asas saman fitnah oleh wakil rakyat DAP itu.

Syahredzan yang juga ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP berkata, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonannya untuk injunksi terhadap Adun Sungai Ramal sehingga kes saman sivil itu selesai.

Injunksi itu melarang Shafie dan mana-mana akaun media sosial bawah kawalannya daripada mengulangi kenyataan terbabit.

“Kes ini ditetapkan untuk bicara pada 14 dan 15 Nov 2024 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur,” katanya dalam hantaran di X.

Pada Julai tahun lalu, Syahredzan menuntut permohonan maaf daripada Shafie kerana dikatakan memfitnahnya dalam dua majlis Perikatan Nasional.

Shafie yang juga Yang Dipertua PAS Bangi menafikan memfitnah Syahredzan dan menyatakan kesediaan menyelesaikan kes di mahkamah.

Syahredzan memfailkan saman itu pada Ogos tahun lalu, sebelum Shafie memenangi kerusi Sungai Ramal pada PRN Selangor.

Pekerja ‘offshore’ terkejut empat daripada enam anak bukan zuriatnya

KOSMO!

PETALING JAYA – Seorang suami yang juga bapa diduga ujian besar apabila mengetahui empat daripada enam orang anaknya didakwa terhasil daripada hubungan isterinya bersama lelaki lain.

Pendedahan itu dibuat oleh rakannya di aplikasi X @akuskizo menyatakan perkara itu diketahui lelaki terbabit selepas membuat ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Lebih menyedihkan, katanya, lelaki tersebut masih mengekalkan hubungan bersama isteri serta namanya di kad pengenalan anak demi menutup aib daripada orang ramai.

“Kawan aku (baru tahu) empat daripada enam anak dia adalah anak orang. Pengajaran kepada semua kawan kerja ‘offshore’, semak ujian DNA anak-anak anda.

“Kebenaran memang menyakitkan tetapi masa depan anak-anak lebih penting. Bagaimanapun, kawan aku ambil keputusan untuk kekal dalam hubungan demi anak-anak,” katanya di aplikasi X, kelmarin.

Difahamkan, kejadian itu berlaku dua tahun lalu dan kini lelaki berkenaan dikatakan aktif menyertai tabligh bermula awal Februari lalu.

“Sesungguhnya dia amat kuat. Dia dah okey katanya. Itu kali terakhir dia ‘update’ sebelum keluar sertai tabligh,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Mengapa pertikai perjuangan umat Islam pertahan kesucian agama?

DIANA AZIS

WALAUPUN sudah beberapa hari isu stoking tertera kalimah ALLAH berlegar di media sosial dan menjadi perbualan ramai, perkara ini seharusnya menjadi iktibar penting kepada masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Malah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim murka dengan kejadian tersebut, apatah lagi Baginda sewaktu berangkat ke Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 bukan lalu telah mengingatkan semua lapisan masyarakat untuk menjaga keharmonian negara, selain tidak memainkan isu sensitif melibatkan agama, kaum dan raja.

Baginda turut bertitah, kalimah ALLAH dipandang sangat tinggi pada sanubari umat Islam dan sepatutnya tidak timbul perkara yang membangkitkan kemarahan.

Perkara tersebut diburukkan lagi dengan campur tangan ahli-ahli politik bukan Islam yang seakan mempertahankan 'tindakan tidak sengaja' pasaraya terlibat.

Secara tidak langsung, tindakan itu membangkitkan kemarahan segelintir ahli politik dan badan bukan kerajaan (NGO) Islam yang melihat isu berkenaan sebagai menghina kesucian agama.

Persoalannya, mengapa perlu mempertikaikan perjuangan orang Islam yang mempertahankan kesucian agama dianuti, sedangkan ia tidak langsung melibatkan agama lain.

Isu kalimah ALLAH pada stoking bukan isu politik, tetapi lebih kepada akidah dan tidak remeh pada pandangan serta sanubari masyarakat Islam.

Bak kata pepatah, jangan dijolok sarang tebuan, jangan disimbah minyak pada api.

Tidak terbelah perpaduan hanya kerana umat Islam mempertahankan kesucian agama, seharusnya jadikan pengajaran untuk sentiasa meletakkan sempadan dalam menghormati agama rasmi Persekutuan itu.

Sebagaimana ayat keenam dalam surah Al-Kafirun yang membawa maksud: 'Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku'.

Dakwaan Wan Saiful, fitnah terhadap saya

Harapandaily

Mohd Azizi Abu Naim (PN-Gua Musang) menafikan dakwaan yang dibuat oleh Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) atas alasan ia adalah fitnah yang dibuat untuk mencemarkan nama baiknya.

“Saya mengetahui perkara ini hanya selepas beliau membuat kenyataan tersebut kerana ketika itu saya di luar Parlimen, menghadiri sesi taklimat. Dakwaannya mengejutkan saya dan ingin saya tegaskan di sini bahawa saya tidak pernah menjemput atau memanggilnya berjumpa Perdana Menteri.

“Saya masih ingat saya jumpa beliau dan seorang lelaki yang tidak dikenali di sebuah kafe di Kuala Lumpur tahun ini.

“Dia beritahu saya bahawa dia ditemui oleh seseorang untuk memperoleh sokongan buat Perdana Menteri dan saya menunjukkan butiran dan perjanjian yang akan saya peroleh dengan menyokong Perdana Menteri.

“Saya memberitahunya saya mendapat peruntukan sama seperti MP lain di dalam kerajaan perpaduan.

“Untuk saya, kenyataannya tidak berasas dan bertujuan memfitnah saya. Jika benar, dia boleh kemukakan bukti seperti rakaman suara atau saksi yang menyokong dakwaannya,” katanya, lapor NST.

Azizi berkata beliau akan berbincang berkenaan dengan Speaker Dewan Rakyat sebelum mengambil langkah seterusnya ke atas Wan Saiful.
Hari ini Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) mendakwa bahawa dua orang ahli parlimen cuba mempengaruhinya, termasuk ucapannya agar menyokong kerajaan perpaduan.

Beliau turut menamakan ahli-ahli parlimen berkenaan – Mohd Azizi Abu Naim (PN-Gua Musang) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (PN-Tanjong Karang).

Tawaran-tawaran ini dibuat oleh Gua Musang dan dua individu yang dikenali sebagai Hasnan dan Datuk Azman pada 17 Jan.

“Satu lagi dibuat oleh individu yang memperkenalkan diri sebagai Datuk Rahim pada 26 Feb setelah diperkenalkan oleh Tanjing Karang.

“Antara tawaran yang dibuat ialah peruntukan kawasan parlimen, peruntukan projek RM2 juta, bayaran kos perubatan isteri saya, bayaran guaman kes mahkamah dan jumlah saguhati dan juga kes mahkamah saya akan digugurkan,” dakwa Wan Saiful.

Jongkong emas, barang kemas, beg tangan dicuri daripada pempengaruh ditemui

Faisal Asyraf
Ketua Polis Kuala Lumpur Allaudeen Abdul Majid menunjukkan peti besi mengandungi empat jongkong emas yang ditemui semula.
KUALA LUMPUR: Polis menemui semula beberapa jongkong emas, barang kemas dan beg berjenama dicuri dari rumah pempengaruh media sosial wanita di Sentul awal bulan ini.

Empat suspek terdiri tiga wanita dan seorang lelaki berusia lingkungan 22 hingga 36 tahun ditahan pada 5 Mac, sehari selepas kejadian itu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Allaudeen Abdul Majid, berkata semua barangan ditemui semula itu bernilai RM2.1 juta.

Katanya, suspek juga disyaki terbabit jenayah pecah rumah lain di Selangor dan Kuala Lumpur yang menyasarkan kediaman ahli perniagaan serta pempengaruh media sosial.

Lelaki berusia 36 tahun itu dipercayai perancang utama kumpulan berkenaan, yang dipercayai terbabit 20 kes pecah rumah dan dadah.

“Pada 16 Mac, polis Wangsa Maju mengambil alih penahanan suspek daripada polis Selangor, manakala perintah reman terhadap mereka dilanjutkan hingga 25 Mac.

“Pada 19 Mac polis berjaya menemui semula peti besi dicuri dari rumah pempengaruh itu yang dicampak di Sungai Sembrong di Batu Pahat, Johor di mana kami menemui empat jongkong emas,” katanya pada sidang media.

Allaudeen berkata, suspek tidak menyedari peti besi itu ada bahagian yang tersembunyi di mana empat jongkong emas bernilai RM1 juta tersebut disimpan.

Suspek juga membawa polis ke sebuah rumah di Batu Pahat, di mana barang kemas dan beg berjenama milik pempengaruh itu disimpan.

Awal bulan ini dilaporkan kediaman pempengaruh dan keluarganya itu dipecah masuk ketika mereka tiada di rumah.

Iklan kasut atas gambar

Zin Mahmud

Dari ingatan saya, pada tahun 1989, ada beberapa ustaz PAS membuat bantahan kepada sidang editorial Harakah kerana meletakkan iklan kasut di atas penjuru kiri muka depan bersebelahan dengan nama akhbar

Nama akhbar di muka depan atau “masthead”, pernah dipanggil “kepala akhbar” bukan saja merupakan lambang bagi pemasaran tetapi maruah penerbitan itu. Malah untuk menukarnya dulu, perlu dimaklumkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Meletakkan gambar kasut di atas sekali pada muka surat akhbar seolah-olah menghina ulama”, kata mereka merujuk adanya gambar-gambar pemimpin parti di situ. Selalunya presiden, timbalan presiden, naib presiden, ketua ulama dan ketua muslimat.

Pada masa itu saya adalah editor Harakah. Harakah pada masa itu diterbitkan pada hari Jumaat. Pada hari Isnin, Ketua Penerangan PAS merangkap Ketua Pengarang ketika itu memanggil saya. Pejabat beliau di tingkat satu, dan saya di tingkat dua di bangunan sama di Jalan Pahang Barat, Kuala Lumpur.

Beliau meminta saya mengubah iklan itu ke bahagian baawah muka surat. Saya memberitahu beliau bahawa saya tidak menyangka bahawa meletakkan gambar kasut di atas itu menyentuh sensitiviti pembaca.

Katanya, kalau iklan kopiah atau topi tidak mengapa. Dalam budaya Arab yang merupakan asas kepada budaya Islam, bahagian atas manusia dianggap suatu yang mulia berbanding dengan bahagian bawah. Maknanya kepala dianggap lebih mulia daripada kaki. Begitu juga dengan kopiah atau tudung, ia lebih mulia daripada stokin atau kasut.

Bagi saya, ia hanya perspektif fikiran manusia kerana semua bahagian tubuh adalah penting, baik kepala mahupun kaki. Tetapi di kepalalah letaknya otak. Kalau otak tidak waras, seseorang tidak diwajibkan solat. Kalau lumpuh, seseorang masih perlu bersolat. Adalah dianggao tidak sopan kalau seseorang duduk di atas kopiah. Tetapi tidak mengapa kalau duduk di atas kasut atau selipar. Manusia menganggap kedudukan tinggi itu lebih mulia dan daripada apa yang berada di bawah. Sebab itu Al-Quran mesti diletakkan di tempat paling atas daripada buku-buku lain.

Saya pun memindahkan iklan kasut itu dari atas muka surat itu ke bahagian bawah. Maka Harakah terpaksa memberi banyak diskaun kepada pengiklan berkenaan kerana perubahan tempat itu. Iklan itu kecil saja; dan ia memaparkan sebuah kasut lelaki hitam berkilat.

Pada masa itu, adalah sukar untuk mendapatkan iklan untuk akhbar Harakah. Ini kerana edaran akhbar itu secara rasminya hanya boueh dijual pada ahli-ahlinya saja. Dari masa ke nasa kerajaan merampas akhbar itu apabila didapati dijual kepada orang ramai. Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada masa itu keras dan tidak toleran. Kini, kebanyakan orang sudah lupa suasana pada zaman itu.

Para peniaga juga, dari pencetak, pengedar dan pengiklan tentu difahami enggan mengaitkan diri dengan parti pembangkang, lebih-lebih lagi parti yang dilabel ekstremis dan melawan.

Ditambah pula produk apa yang boleh dijual pada penyokong-penyokong PAS ketika itu? Pada awal tahun 1980-an, umumnya penyokong-penyokong PAS adalah mereka yang bukan saja terdiri daripada golongan kurang mampu, tetapi mereka yang mampu pun banyak menjalani kehidupan “zuhud”, iaitu todak bermewah. Banyak daripada mereka memakai selipar daripada kasut.

Pada masa itu tidak ada pencetak Melayu yang sanggup mencetak Harakah. Umumnya ahli perniagaan Melayu termasuk para pencetak cenderung pada UMNO kerana dari parti itu nereka boleh dapat projek dan bantuan kerajaan. Bersikap cenderung pada parti pembangkang hanya menyukarkan perniagaan. Maka hanya sebuah pencetak di Petaling Jaya yang dimiliki seorang Cina berani mencetak Harakah dengan syarat, dia dibayar tunai sebelum jentera percetakan dimulakan. Kami membawa wang tunai bersama filem akhbar untuk diserahkan pada pengurusnya, di setiap hari Khamis, selalunya lewat malam untuk selesai dicetak pada awal pagi Jumaat. Begitulah keadaannya senasa saya beradaa di sana dan Harakah tidak pernah berhutang dengan pencetak.

Maka dalam hal iklan begitu juga. Pada satu hari, seorang ejen pencari iklan untuk penerbitan dapat iklan kasut untuk Harakah. Ejen itu adalah seorang Cina dan penjual kasut itu tentunya juga Cina. Mereka tidak mempeduli akhbar pembangkang atau kerajaan. Apa yang penting ialah iklan produk mereka dapat disebarkan dengan meluas. Ini zaman media cetak. Untuk pemasaran, akhbar dan majalah masih media popular. Internet belum ada lagi.

Tetapi pengiklan itu mahukan supaya iklan dengan gambar kasutnya diletakkan di muka depan dan di atas sekali. Ini bermakna; ia membayar harga paling mahal. Pegawai pemasaran meminta persetujuan saya. Kontrak dibuat untuk beberapa bulan. Saya bersetuju dan tidak berasa salahnya. Akhbar perlukan iklan untuk hidup. Untuk mengharapkan jualan saja tidak mencukupi. Harakah perlu untung bukan saja untuk membiayai operasinya tetapi menyumbang juga kepada aktiviti-aktiviti parti termasuk pilihan raya. Ia juga pada masa itu turut menyumbang pada perjalanan pemimpin parti keluar negara bagi memenuhi undangan persidangan-persidangan antarabangsa.

Persetujuan saya kepada iklan itu tidak bertujuan merendah-rendahkan ulama. Saya berada dalam PAS ketika itu adalah di atas gelombang kempen perjuangan “Kepimpinan Ulama”. Pada masa itu, saya langsung tidak sedar tentang sensitiviti ustaz-ustaz bahawa kasut tidak boleh diletakkan di atas.

Sebenarnya hanya pengalaman yang mengajar perkara-perkara seumpama itu. Semua pemberita dan petugas ketika itu baru tahu mengenai perkara itu. Perkara-perkara budaya seumpana itu tidak diajar di universiti atau di kursus-kursus kewartawanan atau pemasaran.

Kebanyakan ustaz belajar di Mesir yang merupakan sebahagian daripada dunia Arab. Maka tidak hairanlah mereka berasa sensitif terhadap perkara kedudukan kasut ini. Orang Islam melepaskan kasut ketika masuk ke rumah dan masjid bukan saja kerana kebersihan. Tanah dianggap kotor dan sebab itu kasut dan selipar dipandang rendah serta perlu dilepaskan untuk menjaga kebersihan rumah dan masjid.

Dari segi apa jua budaya, bumi dianggap rendah dan langit dianggap suci dan mulia. Walaupun hakikatnya semua bahagian alam adalah sama saja dan mempunyai peranan masing-masing. Cumanya, tentulah pada tanah ada virus dan bakteria yang perlu dihalang daripada masuk ke rumah dan masjid. Sebelum kedatangan pedagang Parsi memperkenalkan capal, orang Melayu berkaki ayam. Orang Inggeris yang memperkenalkan stoking.

Kopiah lambang capal

Dalam budaya Arab, membaling kasut ke atas kepala seseorang merupakan penghinaan terbesar. Itulah yang berlaku pada satu masa apabila seorang warga Iraq membaling kasut kepada kepala Presiden George Bush di Baghdad. Itu sebagai pernyataan penghinaan terbesar orang Arab kepada seseorang. Tetapi orang Barat tentu tidak merasakan penghinaan yang besar. Ini kerana dalam budaya mereka, perkara itu tidak timbul.

Saya pernah tinggal beberapa bulan di Kaherah pada tahun 1986. Sungguhpun begitu, saya tidak mengetahui mengenai kedudukan kasut dalam budaya Arab. Setiap Jumaat saya bersolat di masjid-masjid sekitar kediaman saya di Zamalek. Antara kejutan budaya atau culture shock ialah melihat orang membawa kasut dan selipar ke dalam masjid.

Setelah membuka kasut di pintu masjid, mereka melibaskannya untuk membuang pasir dan debu, lalu membawa kasut itu ke dalam dan meletakkannya dengan bahagian bawahnya ditemukan di antara satu sama lain supaya ia tidak mengotorkan hamparan masjid.

Ia diletakkan di tepi-tepi dinding, tidak jauh daripada pemiliknya. Tetapi kalau di luar masjid, ada yang meletakkan kasut di sebelahnya tetapi ada juga yang meletakkan di depannya iaitu berhampiran kepalanya ketika sujud. Ini kerana mereka bimbang kasut itu hilang atau kena curi. Kecurian dan kehilangan kasut juga kadang kala berlaku di masjid dan surau Malaysia. Tetapi orang sini selalunya memasukkan kasut ke dalam beg atau hanya menggunakan selipar murah dan meninggalkan kasut di kereta.

Pada tahun 1990-an, saya terkejut apabila melihat ada kopiah yang meletakkan lambang capal pada kopiah. Capal itu dikatakan mempunyai reka bentuk capal yang digunakan oleh Rasulullah s a w. Tetapi perkara ini tidak dapat dibuktikan secara sejarah.

Pertama kali saya melihat rupa bentuk capal itu adalah dari majalah Arabia pada tahun 1980-an. Reka bentuk itu dipaparkan dalam gambar-gambar kumpulan tarekat di Afrika Utara dan Habsyah.

Ia kemudian diperkenalkan di Nusantara. Malah ada orang menjual capal dan selipar yang mempunyai reka bentuk itu. Ia dijual di kedai atau gerai yang menjual kitab dan buku-buku agama serta alat-alat solat seperti kopiah, tasbih dan sejadah. Namun kini saya jarang melihatnya. Sebaliknya simbol capal itu diletakkan pada kopiah, satu perbuatan yang tidak kena menurut adab Arab. Lebih-lebih lagi ia diletakkan dengan perkataan Muhammad.

Apa pun sensitiviti keagamaan atau kebudayaan hanya diketahui melalui pengalaman ketika berhubung niaga atau bermuamalat dalam masyarakat yang berbilang kaum dan agama. Kehidupan masyarakat majmuk menuntut bukan saja memelihara sensitiviti tetapi juga bersikap toleransi.

Sesuatu kaum hanya tahu sesuatu sensitiviti apabila ia menghadap masalah berkaitan. Pengetahuan tidak boleh datang dengan sendirinya. Toleransi bukan saja kepada kepercayaan dan amalan agama orang lain tetapi juga toleran terhadap kesilapan dan kejahilan orang lain terhadap kepercayaan kita. Prejudis dan kebencian hanya akan merobek tenunan masyarakat majmuk.

Lelaki curi telefon pekerja kedai runcit ditahan

Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my
TANGKAP layar video tular lelaki mencuri telefon bimbit pekerja kedai runcit ditahan orang ramai yang berada di lokasi kejadian di Pekan Sungai Besi.
TANGKAP layar video tular lelaki mencuri telefon bimbit pekerja kedai runcit ditahan orang ramai yang berada di lokasi kejadian di Pekan Sungai Besi.
Kuala Lumpur: Lelaki yang disyaki mencuri telefon bimbit milik pekerja sebuah kedai runcit di Pekan Sungai Besi di sini, seperti tular di media sosial ditahan polis kelmarin.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, suspek berusia 39 tahun terbabit ditahan di lokasi kejadian.

Beliau berkata, kejadian berlaku 10.45 malam ketika suspek ke kedai runcit berkenaan untuk membeli barang.

"Semasa pekerja pergi mendapatkan barang yang diminta, suspek melarikan telefon bimbit yang sedang dicaj di atas meja.

"Ketika melarikan diri, suspek terjatuh dan berjaya ditahan orang awam yang berada di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Zam Halim berkata, polis yang menerima maklumat ke lokasi kejadian dan menahan suspek.

Katanya, suspek direman tiga hari bermula semalam sehingga esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu untuk menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-92845050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau balai polis berdekatan.

Hantaran sama isu KK Mart cetus syak wasangka tentang kempen maklumat palsu

Iman Dimyati
Sejak beberapa hari lalu, satu hantaran mengenai kemelut KK Mart tersebar meluas melalui media sosial khususnya di Facebook.

“Bila isu KK Mart aku baru sedar di Malaysia ni hina Diraja/Sultan lebih sensitif di mata pemimpin berbanding hina Allah & Islam,” petik hantaran itu.

Menariknya, kata-kata yang tepat dalam hantaran itu telah diulangi oleh pengguna media sosial lain, serta dikongsi merentasi pelbagai kumpulan dan halaman Facebook yang tular.

Hantaran pertama itu dipercayai dibuat oleh ahli perniagaan e-dagang Fikri Nasir pada 17 Mac - tiga hari selepas KK Mart memohon maaf kerana menjual stokin tertera kalimah Allah.

Siaran itu dikongsi lebih 14,000 kali dan mendapat lebih daripada 3,000 komen. Fikri yang halamannya terbuka kepada orang ramai mempunyai 2,700 pengikut di Facebook.

Pada 18 Mac dan seterusnya, puluhan hantaran dengan perkataan yang sama telah dikongsi oleh pengguna Facebook sama ada pada akaun peribadi mahupun kumpulan mereka yang mempunyai jangkauan meluas seperti 'Kaki Viral' yang mempunyai lebih 542,000 pengikut.

Pengarah Eksekutif Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) Wathshlah Naidu berkata kewujudan berbilang hantaran dengan perkataan yang sama sebenarnya menimbulkan syak wasangka ia adalah palsu ini.

Bagaimanapun, katanya, semakan sepintas lalu ke atas hantaran berkenaan menunjukkan ia hanya mempunyai satu daripada empat penanda utama kempen, atau apa yang mereka dalam kajian maklumat palsu dalam talian sebut sebagai 'kelakuan tidak sahih terkoordinasi' atau coordinated inauthentic behaviour’ (CIB).

Dia mendapati terdapat beberapa elemen penyelarasan dalam perkongsian hantaran itu dengan kebanyakannya disebabkan kandungannya serupa, menunjukkan kemungkinan terdapat usaha bersepadu untuk menyebarkan naratif tertentu.

"Salah satu perkara yang kelihatan sangat jelas ialah hakikat bahawa terdapat persamaan kandungan," katanya.

Empat penanda itu adalah persamaan kandungan, masa hantaran, hubungan antara individu yang berkongsi hantaran siaran dan jika ia adalah kandungan berbayar, katanya.

Naidu berkata adalah penting untuk mengkaji masa dan kelajuan hantaran berkenaan, dengan menyatakan bahawa walaupun sesetengahnya hampir serentak, ada juga yang lain mempunyai jurang ketara di antara satu sama lain.

Bagaimanapun, dia menambah tiada petunjuk jelas bahawa akaun media sosial yang berkongsi hantaran yang sama itu telah dibayar untuk berbuat demikian.

Naidu memberi amaran bahawa hantaran berkenaan mungkin cubaan untuk mensensasikan atau memutarbelitkan sesuatu isu.

Selain CIJ, pensyarah media Benjamin Loh juga mengkaji kempen maklumat palsu di Malaysia.

Pensyarah Sekolah Media dan Komunikasi Universiti Taylor itu bersependapat dengan pandangan Naidu bahawa hantaran berkenaan menunjukkan berkemungkinan ia adalah kempen maklumat palsu.

Dia menyifatkan hantaran itu umpama "kempen ala akar umbi" yang bertujuan untuk menarik emosi orang ramai.

"Taktik yang digunakan dalam hantaran ini pada asasnya adalah pengulangan kenyataan tepat yang sama berulang kali, merentas berbilang akaun," katanya.

Dia mencadangkan bahawa pada ketika ini, ia boleh menjadi sama ada percubaan amatur atau kumpulan kecil yang bermain dengan sentimen sensitif, tetapi dia percaya ia telah diselaraskan.

Bagaimanapun, berdasarkan tinjauan sepintas lalu pada akaun itu, tidak jelas siapa yang mungkin berada di belakang penyelarasan itu, katanya.

Katanya, cybertroopers atau laskar maya di Malaysia mempunyai modus operandi biasa menggunakan istilah dan kata kunci khusus berkaitan parti yang mereka anggotai, dan akan menyesuaikan hantaran mereka untuk memenuhi kumpulan berbeza.

"Tetapi banyak taktik menghantar mesej akan sentiasa kekal sama. Kempen ini mempunyai helah yang serupa dengannya.

"Ideanya ialah anda menghantar mesej. Kamu tidak menghuraikan atau memberikan apa-apa jenis bukti untuk mana-mana perkara ini. Kamu biarkan orang yang membaca itu membuat kesimpulan berdasarkan apa yang mereka tahu."

Peti besi, barang kemas RM2.1 juta usahawan wanita ditemui di dasar sungai

AZMI NORDIN
Allaudeen menunjukkan barang kemas dan beg mewah milik mangsa pada sidang akhbar di IPD Wangsa Maju, Kuala Lumpur, hari ini.
KUALA LUMPUR – Sebahagian barang kemas dan peti besi dianggarkan bernilai RM 2.1 juta milik usahawan wanita terkenal berjaya ditemukan di dasar Sungai Sembrong, Batu Pahat, Johor.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, kes itu diselesaikan selepas empat suspek warga tempatan ditahan Bahagian D4, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada 5 Mac lalu.

Kesemua suspek yang berusia 22 hingga 36 tahun diserahkan kepada bahagian sama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju. Kesemua suspek direman sembilan hari sejak 16 Mac lalu.

“Hasil soal siasat mendapati suspek yang ditahan tidak mepunyai hubungan kekeluargaan dengan usahawan wanita terbabit.

“Pada 19 Mac lalu, suspek membawa polis dibantu anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ke lokasi barang kemas tersebut dibuang di Sungai Sembrong.

“Pemeriksaan di lokasi itu menemukan semula peti besi milik mangsa di dasar sungai. Di dalam peti besi itu terdapat empat jongkong emas bernilai RM1 juta,” katanya pada sidang akhbar di IPD Wangsa Maju hari ini.

Jelas Allaudeen, selain jongkong emas, pihaknya menemukan 15 utas rantai emas, gelang emas (14), cincin emas (2), beg berjenama (7), loket emas (1) dan subang emas (1) di sebuah kediaman di Batu Pahat.

Anggaran nilai keseluruhan barang kemas yang dirampas adalah RM 2.1 Juta.

“Suspek mempunyai 20 rekod jenayah dan dadah. Mereka terlibat dalam beberapa siri kes pecah rumah di Selangor dan Kelantan.

“Modus operandi kumpulan ini adalah dengan menyasarkan ahli perniagaan atau pempengaruh media sosial,”ujarnya.

Tegas Allaudeen, kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dalam masa terdekat uuntuk tindakan selanjutnya.

Pada 4 Mac lalu, polis menerima laporan daripada seorang wanita berhubung satu kejadian pecah rumah di Padang Balang, Sentul di sini

Hasil pemeriksaan mendapati sebuah peti besi mengandungi jongkong emas dan wang RM3 Juta dilarikan bersama beberapa buah beg tangan pelbagai jenama serta barangan kemas milik ahli keluarga.

Anggaran kerugian yang dilaporkan wanita itu berjumlah RM3.5 Juta.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.-KOSMO! ONLINE.