Rambut wanita disambar api lilin kek hari jadi

KOSMO
Tangkap layar menunjukkan api menyambar  rambut wanita itu ketika dia meletakkan kek di atas meja. - TikTok
BANGKOK – Seorang wanita di Thailand berdepan detik cemas apabila rambutnya terbakar selepas terkena lilin yang dinyalakan di atas kek ketika menyambut ulang tahun kekasihnya, lapor saluran berita Must Share News semalam. 

Rakaman yang dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @janepongmatchot menunjukkan wanita itu membuat kejutan dengan membawa sebuah kotak berisi kek.

Dia kemudian menolak beberapa pinggan di atas meja untuk meletakkan kek tersebut. 

Suasana gembira bertukar ngeri apabila rambut panjangnya terkena pada salah satu lilin menyebabkan ia terbakar. 

Selepas menyedari perkara itu, dia bergegas memadamkan api tersebut daripada merebak. 

Rakaman itu mencatatkan lebih 1.1 juta tontonan dan rata-rata, netizen memuji wanita itu kerana menjaga kek dengan baik meskipun dalam keadaan tegang. 

“Bukan ‘suprise’ tetapi ‘suffer’,” komen seorang netizen. – AGENSI

Ribuan ikan mati hanyut ke Pantai Patong

KOSMO!
RIBUAN ikan mati hanyut di pantai Patong semalam. - Foto Phuket News
BANGKOK  – Beribu-ribu ikan mati dihanyutkan ombak ke pantai sehingga mengejutkan sejumlah pengunjung Pantai Patong di Thailand, lapor portal berita Thaiger hari ini.

Kejadian itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk tempatan, pelancong, dan pegawai kerana  beranggapan bencana buruk akan berlaku.

Pelbagai spesies ikan bertaburan di sepanjang pantai yang dibawa oleh angin kencang dan ombak. 

Pegawai-pegawai perikanan masih berusaha untuk mengenal pasti punca kejadian  itu.

Penduduk tempatan segera mengambil ikan itu dengan ramai antara mereka membawanya pulang untuk dimasak. 

Nelayan-nelayan tempatan juga berusaha untuk mengambil seberapa banyak ikan tersebut.

Bagaimanapun, pihak berkuasa yang menyiasat punca kematian ikan secara besar-besaran itu menggesa orang ramai supaya berhati-hati apabila memakannya, lapor portal berita Phuket News. – AGENSI