Bersatu Tenggara 'bubar' - ketua, 15 AJK umum keluar parti

Malaysiakini 

Bersatu Bahagian Tenggara didakwa terbubar serta-merta hari ini susulan keputusan ketua dan 30 ahlinya termasuk 15 ahli jawatankuasa bahagian itu yang mengumumkan keluar daripada parti berkenaan.

Ketua Bersatu Bahagian Tenggara Hassan Rasid berkata keputusan itu dibuat sebulat suara selepas mempertimbangkan beberapa faktor termasuk hilang keyakinan terhadap kepimpinan tertinggi yang dilihat gagal menguruskan parti selain tidak telus dalam melaksanakan tanggungjawab.

Beliau mendakwa tindakan pimpinan tertinggi menghantar notis rasmi pembatalan pemilihan bagi cawangan Kota Jaya Selatan, Bandar Tenggara Selatan dan Sungai Telor sehari sebelum ia berlangsung adalah sesuatu yang tidak cermat.

“Selain itu, Sayap Srikandi di Cawangan Bandar Tenggara Selatan, Pengeli Timur, Pelepah Valley yang layak bersidang juga tidak tersenarai dalam perwakilan pemilihan Jawatankuasa Srikandi Bahagian Tenggara malah jawatankuasa itu juga telah digantung daripada bersidang,” katanya kepada pemberita di Kota Tinggi hari ini.

Hassan berkata beliau dan wakil beberapa cawangan yang terlibat turut membuat lima laporan polis susulan isu pengurusan parti itu.

Beliau mendakwa kira-kira 500 ahli cawangan terbabit dijangka turut mengikuti keputusan keluar dari Bersatu.

Bersatu Bahagian Tenggara mempunyai 19 cawangan dengan jumlah ahli keseluruhan ialah 1,263 orang.

- Bernama

Buaya terbesar di dunia mati diusia lebih 110 tahun

KOSMO!
GAMBAR fail buaya terbesar dunia yang berada dalam kurungan. - Foto AFP
SYDNEY – Buaya air masin terbesar di dunia yang hidup di dalam sebuah kurungan di Australia dilaporkan telah mati, demikian menurut saluran berita ABC hari ini.

Buaya jantan itu bernama Cassius. Reptilia sepanjang 5.48 meter yang tinggal di Pulau Hijau, perairan Terumbu Karang Besar itu dipercayai berusia hampir  80 tahun ketika ditangkap dalam tahun 1980-an.

Haiwan itu memegang rekod dunia sebagai buaya terbesar yang hidup dalam kurungan pada 2011.

Buaya itu kini  dipercayai berusia lebih 110 tahun.

Pihak Marineland Melanesia Crocodile Habitat mengumumkan kematian buaya seberat lebih satu tan itu.

“Cassius sudah sangat tua dan dipercayai hidup melebihi tempoh hayat buaya liar,” kata pasukan yang menjaganya.

“Cassius akan sangat dirindui, tetapi kasih sayang dan kenangan kami tentangnya akan kekal dalam hati kami buat selama-lama,” tambah pasukan tersebut. – AGENSI

Api misteri muncul di Asahan

KOSMO!
API muncul secara tiba-tiba di sebuah rumah di Asahan. - Foto Tribun Medan
JAKARTA  – Api misteri dilaporkan muncul secara tiba-tiba di dalam rumah milik sebuah keluarga di daerah Asahan dalam wilayah Sumatera Utara, demikian menurut laman berita Tribun Madura semalam.

Api itu muncul di 16 tempat di dalam rumah milik keluarga Parno.

Perabot, baju dan tilam turut dijilat api misteri itu.

“Perkara misteri memang sudah sering berlaku,” kata  Parno.

Menurutnya, kejadian paling teruk berlaku pada Rabu lalu apabila  16 api misteri itu muncul di rumahnya.

Keluarga Parno telah berpindah ke sebuah masjid yang terletak di depan rumahnya selepas kejadian pelik itu berlaku

Sementara itu, Ketua Badan Tindak Balas Bencana Asahan, Zulfahri Harahap berkata, setakat ini pihaknya masih belum mengetahui punca yang menyebabkan api misteri itu muncul. – AGENSI

Pengawal keselamatan rebah tunggang motosikal akibat terlalu penat bekerja

KOSMO!
SEORANG lelaki pengsan ketika menunggang motosikal di Pattaya. - Foto Pattaya Mail
BANGKOK –  Seorang pengawal keselamatan pengsan secara tiba-tiba ketika menunggang motosikal miliknya di Pattaya, Thailand, lapor portal berita Pattaya Mail.

Kejadian berlaku pada 27 Oktober lalu apabila pasukan penyelamat menerima laporan tentang seorang individu terbaring dalam keadaan  tidak sedarkan diri di tepi  jalan.

Seorang penduduk tempatan, Sarun Intrasri, 29, yang menyaksikan kejadian itu berkata, dia menyedari pengawal keselamatan dikenali sebagai Worapol itu rebah ketika menunggang motosikalnya. 

Menyedari keadaan itu, dia meminta bantuan daripada penduduk berhampiran dan segera memaklumkan kejadian kepada pasukan penyelamat.

Rakan sekerja Worapol kemudian berkata, pengawal keselamatan itu bekerja keras di lokasi tempatnya bertugas. 

Berikutan etika kerjanya yang rajin, dia tidak mempunyai masa rehat mencukupi yang mungkin menyumbang kepada episod pengsannya. – AGENSI

Lelaki ugut polis, minta wang tebusan lebih RM1 juta

KOSMO

NEW DELHI – Seorang lelaki ditahan di Mumbai selepas membuat ugutan bunuh terhadap bintang Bollywood, Salman Khan bagi menuntut sejumlah wang tebusan, lapor stesen penyiaran NDTV semalam. 

Polis Mumbai berkata, pihaknya menerima mesej ugutan tanpa disertakan nama pengirim yang mengancam untuk membunuh pelakon tersebut. 

Pegawai polis Mumbai, Azam Mohammad berkata, suspek turut meminta wang tebusan sebanyak 20 juta rupee (RM1.04 juta) daripada pihak polis. 

“Suspek ditahan kelmarin. Ia merupakan penahanan kedua dalam kes ini,” tambah Azam. 

Awal minggu ini, seorang pelukis tatu berumur  20 tahun ditahan selepas membuat ugutan serupa kepada Salman Khan dan ahli politik negeri Maharashtra, Zeeshan Siddique. – AGENSI

Remaja maut terkena renjatan elektrik ketika menggunakan soket dalam bas

FMT Reporters

Kejadian berlaku semalam di terminal bas Penang Sentral, ketika mangsa, Mohamad Nur Asymawi Jasmadi, 18, menaiki bas untuk ke KL Sentral.

PETALING JAYA: Seorang remaja lelaki maut akibat terkena renjatan elektrik ketika mengecas telefon bimbitnya menggunakan soket bas ekspres dinaikinya semalam.

Kejadian dilaporkan berlaku pada kira-kira 6 petang di terminal bas Penang Sentral, ketika mangsa, Mohamad Nur Asymawi Jasmadi, 18, menaiki bas itu untuk ke KL Sentral.

Ketua Polis Seberang Perai Utara Anuar Abd Rahman berkata, pemandu bas berusia 36 tahun yang melaporkan kejadian itu pada 7.40 malam mendakwa, 10 minit selepas mangsa menaiki bas, seorang penumpang memaklumkan bahawa mangsa menjerit sebelum ditemui dalam keadaan mulut berbuih.

“Hasil pemeriksaan polis terhadap tubuh mangsa di lokasi kejadian mendapati terdapat kesan melecur di jari kirinya disyaki akibat renjatan elektrik ketika mengecas telefon bimbit,” katanya, lapor Berita Harian..

Polis turut mendapati hujung kabel yang digunakan mangsa cair serta peranti terbabit turut berada dalam keadaan panas.

Pemandu kemudian menghubungi ambulans untuk mendapatkan rawatan awal, namun pegawai perubatan yang hadir mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

Anuar berkata, hasil bedah siasat di Hospital Seberang Jaya (HSJ) mengesahkan remaja itu maut akibat renjatan elektrik.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Kelantan: Mayat lelaki ditemukan berulat dalam bilik tidur

FMT Reporters

PETALING JAYA: Misteri bau busuk dihidu jiran terungkai dengan penemuan mayat seorang lelaki berusia 53 tahun di sebuah rumah di Tanah Merah malam tadi.

Lelaki itu dipercayai telah meninggal dunia sejak lima hari lepas, berdasarkan keadaan mayat yang berbau dan berulat, lapor Bernama.

Ketua Polis Tanah Merah Mohd Haki Hasbullah berkata, pihaknya pergi ke rumah di Taman Selasih itu setelah menerima maklumat dan mendapati lelaki terbabit meninggal dunia di dalam bilik tidur di tingkat atas rumah.

Katanya, disebabkan lelaki tersebut hanya tinggal bersama bapanya berusia lingkungan 90an yang telah nyanyuk, polis terpaksa memecahkan pintu rumah untuk membuat pemeriksaan.

“Siasatan awal mendapati kematian itu tidak mempunyai sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut,” katanya dalam kenyataan.

Mayat lelaki tersebut dihantar ke Hospital Tanah Merah untuk bedah siasat dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan.

PMX: ‘Saya dah lama marah pada kartel ini’

Harapandaily

Perdana Menteri mengakui sudah lama marah dengan kartel dan sama sekali tidak masuk campur berhubung siasatan terhadap Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).

Beliau menegaskan tidak akan berkompromi jika terbukti wujud salah laku dalam Khazanah walaupun menjadi Pengerusi syarikat terbabit.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana salah laku yang dibuktikan ke muka pengadilan.

Tegasnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga perlu bertindak jika ada mengesan mana-mana kesalahan tanpa mengambil kira kedudukan mahupun status individu itu.

“Sama ada kes itu dulu atau sekarang pun, jika ada salah laku dilaporkan kepada Perdana Menteri, pengerusi dan sebagainya, kalau salah, siasat.

“Kalau salah, dakwa. Kalau salah, hukum. Saya tidak peduli. Dengan cara ini barulah kita boleh perintah dengan adil,” kata beliau.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen PICCA di Butterworth, hari ini.

Dalam masa sama, beliau memberi jaminan tidak mengganggu siasatan yang dijalankan terhadap NAFAS berikutan penggantungan perlembagaan pertubuhan berkenaan.

“Itu terpulang kepada siasatan. Apa yang kita nak ialah yang ambil, yang dapat baja, benih ini semua, kita nak supaya harga patut.

“Mana yang import, buat cara betul. Itu sahaja.

“Saya dah lama marah pada kartel ini. Kartel ini ada kelompok kecil ‘jaga’ dia bukan jaga rakyat, jadi kena faham mengapa siasatan dilakukan.

“Siapa saja tanpa kecuali. Ada kes, SPRM masuk. Kalau kes jenayah, PDRM masuk. Tak kira dia jawatan apa, pangkat apa, syarikat kerajaan ke syarikat swasta,” tegas Perdana Menteri lagi.

PANAS: Artis wanita Malaysia ditahan polis Thailand, turut ditemukan 6,000 biji pil kuda

Syaherah Mustafa
am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Enam rakyat Malaysia, termasuk seorang artis wanita, ditahan selepas dipercayai memiliki dadah jenis pil kuda di sebuah hotel di Sungai Golok, Thailand, awal pagi semalam.

Kesemua mereka yang berusia 25 hingga 32 tahun ditahan jam 6 pagi (waktu Malaysia) di sebuah bilik selepas selesai berhibur.

Menerusi tangkapan itu, polis Thailand turut merampas 6,000 biji pil kuda.

Difahamkan, dua daripada mereka masuk ke Thailand menggunakan pangkalan haram manakala empat lagi masuk menerusi Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang.

Sumber berkata, kesemuanya dikatakan ke hotel berkenaan untuk berhibur sempena cuti umum Deepavali.

"Dua lagi lelaki yang identiti mereka tidak dikenali bagaimanapun dapat melarikan diri sejurus bilik berkenaan diserbu.

"Wanita yang ditahan itu adalah artis tempatan Kelantan," katanya.

Menurut sumber, kesemua individu terbabit akan dibawa ke Mahkamah Narathiwat untuk direman.

Selain itu, turut difahamkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kelantan turut sudah dimaklumkan berkaitan penahanan enam rakyat Malaysia dari Kelantan itu.

Usaha untuk mendapatkan kenyataan Ketua Polis Kelantan masih dijalankan.

Pemilik premis perlukan diambil tindakan keras: Medan selera baru operasi sehari diserbu, 27 GRO warga asing ditahan

Medan selera baru operasi sehari diserbu, 27 GRO ditahan

FMT Reporters

Polis berkata siasatan awal mendapati pemilik premis cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan menutup pintu depan dan hanya membuka pintu belakang.
Polis menahan 16 warga China dan 11 warga Vietnam disyaki GRO bersama seorang warga Indonesia serta seorang lelaki tempatan dipercayai penjaga premis.
PETALING JAYA: Polis menahan 27 gadis pelayan (GRO) ketika menyerbu sebuah medan selera baru beroperasi semalam di Jalan Pasar Baru, Kuala Lumpur yang disyaki menjalankan aktiviti tidak bermoral.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Rusdi Mohd Isa, berkata Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur bersama D7 IPD Dang Wangi menyerbu premis tanpa lesen yang menggaji warga asing sebagai GRO dan tidak memiliki dokumen atau permit kerja pada 5.40 petang.

“Siasatan awal mendapati premis itu baru beroperasi semalam dan cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan menutup pintu depan dan hanya membuka pintu belakang,” katanya menurut Harian Metro.

Menurutnya, GRO dibayar dengan tips daripada pelanggan menggunakan kipas lipat pelbagai warna yang berbeza nilai, bermula RM100 hingga RM150.

Beliau berkata, pelanggan juga boleh memberi tips kepada GRO pada kadar RM10 hingga RM50 menggunakan selempang berlainan warna.

Katanya, 16 warga China dan 11 warga Vietnam disyaki GRO ditahan bersama seorang warga Indonesia serta seorang lelaki tempatan dipercayai penjaga premis. Semuanya dalam lingkungan 24 hingga 67 tahun.

Rusdi berkata, 53 warga tempatan terdiri daripada 47 lelaki dan enam wanita berusia 34 hingga 44 tahun turut diperiksa.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1992 dan Seksyen 55B, 39(b) serta 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.”

Penunggang: ‘Lebai’ Pas jadi MP peluang hidup tenang walaupun tidak berkualiti

Harapandaily

Sikap pemimpin Pas tertentu termasuk yang beristeri dua dengan 11 anak menjadikan jawatan wakil rakyat sebagai peluang untuk hidup terjamin mendapat kecaman di media sosial.

TikTokers, Dato’ Syed Azuan (DSA) berkata, tanggungan ramai “lebai-lebai Pas” itu menjadikan pendapatan mereka hasil sebagai ustaz tentunya tidak mencukupi.

“Apa yang saya nampak ustaz-ustaz yang selak kain ini mencari peluang untuk mendapat pendapatan yang tetap.

“Senanglah mereka nak hidup dengan tenang. Boleh kahwin dua, tiga, empat.

“Jadi ahli Parlimen ini dapat gaji, elaun dan lepas tu dapat pencen. Ini yang mereka mahu.

“Bagi saya mereka ini tiada kualiti,” katanya menerusi video dikongsi di TikTok.

Budak 11 tahun buat laporan polis, bapa tiri didakwa mencabul

NUZULSHAM SHAMSUDDIN

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu e-hailing didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan tirinya berusia 11 tahun bulan lalu.

Bagaimanapun tertuduh yang berusia 37 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus.

Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan terkutuk tersebut ke atas mangsa di sebuah rumah di Cheras di sini pukul 12 tengah hari pada 19 Oktober lalu.

Justeru pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Atiqa Nazihah Azmi tidak menawarkan jaminan dengan alasan tertuduh dan mangsa mempunyai hubungan kekeluargaan dan tinggal bersama.

“Namun, sekiranya mahkamah mahu menggunakan budi bicara, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah, melaporkan diri di balai polis selain dilarang mendekati mangsa, keluarga dan saksi.

“Tertuduh juga tidak boleh tinggal serumah dengan mangsa sehingga kes ini selesai,” katanya.

Peguam K. Narandra daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan memohon supaya jaminan dibenarkan selain bersetuju dengan syarat tambahan yang ditetapkan pihak pendakwaan.

“Anak guam saya akan tinggal di rumah abangnya dan mangsa pula akan dihantar ke sekolah asrama. Tertuduh akan diikat jamin oleh isterinya yang juga ibu mangsa dalam kes ini,” kata peguam itu.

Hakim Azrul kemudian bertanya laporan polis kes ini dibuat oleh siapa dan Atiqa memaklumkan laporan dibuat oleh mangsa sendiri.

Hakim Azrul membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang dipohon pendakwaan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 2 Disember ini. – KOSMO! ONLINE

Gabung parti Melayu ‘agak mustahil’, dihalang kehendak jadi ‘ketua’

Yasmin Abdul Latif

PETALING JAYA: Impian untuk melihat Umno, Bersatu, dan PAS bergabung barangkali akan meleset, lantaran persaingan antara mereka untuk menjadi ‘suara’ dan ‘ketua’ orang Melayu, menurut penganalisis.

Malah, pakar berpandangan ia barangkali tidak relevan hari ini memandangkan parti Melayu berpotensi menjadi kerajaan ialah sesiapa yang dapat bekerjasama dengan bukan Melayu.

Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, jika gabungan tiga parti itu terbentuk, ‘sesiapa yang menjadi pemimpin tertinggi, suara mereka akan dapat mengatasi suara bukan Melayu’.

“Persoalan sekarang adalah ketiga-tiga parti Melayu ini masih dapat bekerjasama atau tidak? Jawabnya ‘tidak’ sebabnya ketiga-tiga itu hendak menjadi ketua,” katanya kepada FMT.

Beliau menarik perhatian kepada gandingan PAS-Umno dalam Muafakat Nasional (MN) dan PAS-Bersatu dalam Perikatan Nasional, yang berhasil lantaran PAS ‘sudi menjadi nombor dua’.

Namun, prestasi PAS hari ini menunjukkan yang ia juga berpotensi menjadi ketua dalam kalangan parti Melayu, malah untuk mengemukakan calon perdana menteri.

“Jadi persoalan sekarang adalah bagaimana kerjasama itu kena wujud,” katanya.

Impian melihat parti Melayu bawah satu gabungan ditimbulkan oleh Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Redzuan Yusof, dalam temubual dengan Utusan Malaysia semalam.

Temu bual itu muncul ketika Redzuan akan mempertahankan jawatan dalam MPT pada pemilihan Bersatu kali ini.

Impian itu bagaimanapun ditolak oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi, yang menyifatkan naratif tersebut ‘basi’ dan peluang berkenaan sudah berlalu.

Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan, menyifatkan impian menggabungkan parti Melayu ‘agak mustahil’.

“Sedangkan Umno, PAS dalam MN pun tak dapat bertahan lama dan tidak dapat dikembalikan permuafakatan itu, apa lagi bila dicampur dengan parti lain seperti Bersatu umpamanya,” katanya.

Azmi berkata, usaha itu memerlukan seorang tokoh neutral yang dapat mengembalikan kesepakatan orang Melayu.

“Saranan ini walaupun begitu ideal tetapi ianya mempunyai sesuatu kekuatan, kerana dalam keadaan politik sekarang yang mana tiada satu parti pun menjadi dominan nampak agak kucar-kacir dalam kestabilan, keharmonian politik kita.”

Patutnya mercun ni diharamkan je: Rumah musnah 70 peratus, 5 kereta hangus angkara khianat mercun

Omar Ahmad
am@hmetro.com.my
Keadaan rumah yang terbakar akibat khianat dengan api menggunakan mercun di Taman Putri, Kulai malam kelmarin. FOTO Ihsan Polis
Keadaan rumah yang terbakar akibat khianat dengan api menggunakan mercun di Taman Putri, Kulai malam kelmarin. FOTO Ihsan Polis
Kulai: Angkara khianat menggunakan mercun, sebuah rumah terbakar 70 peratus manakala lima kenderaan hangus dalam kebakaran di di Jalan Sri Putri 12/10, Taman Putri di sini terbakar malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tan Seng Lee berkata, mangsa wanita berusia 41 tahun membuat laporan kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai pukul 9.56 malam hari kejadian.

Katanya, wanita itu menanggung kerugian RM510,000 akibat kebakaran itu dan hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku disebabkan perbuatan khianat dengan menggunakan mercun.

"Bertindak atas maklumat, tangkapan dibuat terhadap lelaki tempatan dan warga asing, masing-masing berusia, 30 tahun dan 23 tahun.

"Pelbagai jenis mercun dirampas dan suspek warga asing positif dadah jenis ganja," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Tan, kedua-dua suspek direman selama enam hari bermula hari ini sehingga 6 November ini bagi membantu siasatan.

Kes disiasat bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan, dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Mohd Roizani Rosdi berkata, kebakaran tersebut memusnahkan 70 peratus rumah mangsa.

Katanya turut musnah dalam kebakaran itu lima kereta iaitu Proton Wira dan Toyota Corolla masing-masing mengalami kerosakan sebanyak 50 peratus manakala tiga lagi kenderaan musnah hampir keseluruhannya.

Akhirnya 4 anggota polis yang mencuri barang kemas daripada jasad seorang wanita ditahan

'Ia tindakan tidak berperikemanusiaan, tindakan tegas akan diambil' - Razarudin

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tindakan mencuri barang kemas daripada jasad seorang wanita yang sudah tidak bernyawa adalah tindakan tidak berperikemanusiaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil ke atas anggota yang melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

"Perbuatan ini sama sekali tidak bertanggungjawab dan tidak berperikemanusiaan dan tindakan tegas perlu diambil terhadap sesiapa sahaja terbabit dalam jenayah seumpama ini.

"Peringatan ini bukan sahaja untuk semua pegawai dan anggota tetapi ia juga kepada diri saya," katanya hari ini.

Pegawai polis nombor satu negara itu berkata, beliau sudah mengarahkan satu siasatan yang telus dan teliti dijalankan berhubung kes itu.

Terdahulu Harian Metro melaporkan empat anggota polis berusia lingkungan 28 ke 35 tahun ditahan di sekitar Setapak, di sini selepas disyaki terbabit dengan kecurian itu.

Kesemua suspek berpangkat konstabel, lans koperal dan koperal itu direman tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Tangkapan itu susulan laporan akhbar ini berhubung usaha bapa mangsa yang mahukan keadilan buat anak perempuannya berusia 26 tahun yang ditemukan meninggal dunia di dalam kereta di kawasan parkir sebuah kondominium sekitar Setapak, 1 Oktober lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa dilapor berkata siasatan kes itu dibuka semula di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan selepas pada mulanya diklasifikasikan sebagai Kertas Enkuiri Polis (KEP).

Polis turut merampas sekeping resit dan seketul logam berwarna kekuningan berat anggaran 11.52 gram.

Imej UFO menyerupai bandar terapung didedah

KOSMO
Gambar ini didakwa dirakam di Romania pada 2022 dan didedahkan baru-baru ini. - Facebook
PHILADELPHIA, PENNSYLVANIA – Seorang bekas pegawai Pentagon di Amerika Syarikat (AS) mendedahkan imej didakwa objek terbang tidak dikenali (UFO) bersaiz besar yang dirakam di Romania, lapor portal berita MailOnline semalam.

Pakar perisikan balas Tentera AS,  Luis Elizondo mendedahkan imej yang dirakam pada 2022 itu dalam satu majlis di Philadelphia, Pennsylvania minggu lepas.

“Cuba teka apa yang kami berjaya rakam di Romania pada 2022? Itu,” katanya sambil merujuk kepada imej yang dikongsikan.

Elizondo menggambarkan imej tersebut seperti bandar mini besar yang terapung di langit.

Imej resolusi tinggi bagi apa yang digelar ‘mothership UFO’ itu pada pandangan pertama dilihat seperti awan bercahaya.

Beberapa pegawai berkata, ia berkemungkinan berasal daripada imej lampu candelier dalaman yang dipantulkan dalam kaca tingkap.

“Ada banyak lagi yang boleh diberitahu. Saya hanya mahu anda tahu bahawa terdapat banyak perkara berlaku yang tidak didedahkan.

“Ada ramai juruterbang tentera dan awam di Eropah Timur serta Asia Barat melaporkan mereka melihat apa yang tidak dapat dibayangkan,” kata Elizondo.

Sementara itu, seorang pegawai memberitahu akhbar Daily Mail bahawa Elizondo lalai dalam meneliti imej sedemikian, dalam usahanya untuk menambah bahan baharu yang sensasi untuk ‘acara berbayarnya’.

Seorang veteran Tentera Udara AS, Jeremy McGowan berkata, ‘mothership’ itu meragukan susulan corak dakwaan masa lalu Elizondo.

“Saya menyaksikan dia membesar-besarkan atau mereka cerita secara terang-terangan mengenai maklumat yang tidak benar,” katanya. – AGENSI 

Enam ditahan bergaduh hingga sebabkan kematian

Bernama

Polis berkata kejadian dipercayai berpunca selepas mangsa membuat bising di hadapan rumah suspek sebelum disusuli pertengkaran dan pergaduhan.

SEGAMAT: Lima lelaki dan seorang wanita berusia belasan tahun hingga 40 tahun ditahan kerana terlibat dalam pergaduhan sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki di Taman Sejati, Batu Anam semalam.

Ketua Polis Segamat Ahmad Zamry Marinsah berkata pihaknya menerima laporan berkenaan kejadian itu kira-kira 9 malam.

Katanya, pergaduhan berpunca akibat perselisihan faham antara suspek dengan mangsa iaitu seorang lelaki berusia 30 tahun.

Beliau berkata mangsa dikatakan membuat bising di hadapan rumah suspek sebelum disusuli pertengkaran dan pergaduhan sehingga menyebabkan kematian.

“Siasatan polis mendapati mangsa maut disebabkan libasan dan tetakan parang selain itu beberapa rakan mangsa turut mengalami kecederaan ketika cuba meleraikan pergaduhan.

“Kenderaan milik keluarga suspek turut dirosakkan oleh rakan-rakan mangsa yang tidak berpuas hati,” katanya dalam kenyataan.

Tangkapan terhadap semua yang disyaki terlibat dalam kejadian itu dilakukan pada 12.30 tengah malam.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 148/302 Kanun Keseksaan dan juga Seksyen 147/427 Kanun Keseksaan. Semakan juga mendapati suspek utama mempunyai tujuh rekod jenayah lampau,” katanya.

Gaduh dengan keluarga punca terjun Jambatan P. Pinang

NOOR HASLIZA NUSI
Anggota bomba ketika menyelamatkan warga emas yang terjun dari Jambatan Pinang Pinang, petang tadi.
GEORGE TOWN – Seorang wanita warga emas berjaya diselamatkan pasukan bomba selepas nekad terjun Jambatan Pulau Pinang menghala ke pulau di sini petang tadi.

Mangsa berusia 66 tahun itu ditemui dalam keadaan terkapai-kapai berdekatan tiang bawah jambatan sebelum ditarik anggota penyelamat naik ke atas pelantar.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai, Rohaizal Abdul Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 3.30 petang.

Menurutnya, tindakan wanita itu disedari pengguna orang awam sebaik dia meninggalkan kereta jenis Honda Jazz di tepi jambatan sebelum terjun.

“Seorang anggota bomba diturunkan bagi menyelamatkan mangsa. Pergerakan mangsa itu terbatas kerana kakinya tersangkut dalam lumpur.

“Mangsa ditemui dalam keadaan sedar dan memaklumkan punca dia bertindak demikian kerana bergaduh dengan keluarga,” katanya kepada Kosmo! hari ini.

Rohaizal memberitahu, wanita itu kemudian dibawa ke Jeti Polis Marin, Batu Uban dan diserahkan kepada pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut.

Menyertai parti politik hanya demi kepentingan peribadi akhirnya inilah yang terjadi

Bendahari Bersatu Pahang keluar parti
Malaysiakini 

Pemimpin Bersatu Pahang, Roslan Hassan hari ini meletakkan jawatan dan keluar dari parti itu, menyatakan hilang keyakinan terhadap kepimpinan tertinggi parti.

Bekas bendahari Bersatu dan PN negeri itu mendakwa terdapat tindakan menyisihkan anggota yang tidak sehaluan dengan pimpinan tertinggi parti.

Roslan yang juga bekas ketua Bersatu Bentong mendakwa terdapat percubaan untuk mengangkat anggota yang sehaluan dengan kepimpinan tertinggi walaupun didakwa gagal memenuhi tanggungjawab keahlian parti.

"Saya yakin, orang ramai di luar sana melihat gelagat kebanyakan pemimpin yang semakin hari semakin teserlah sifat buruk dan tidak bersih di dalam menguruskan parti.

"Sudah tentu mereka gusar untuk meletakkan pemimpin-pemimpin sedemikian untuk menerajui dan menguruskan negara.

"Bagaimana mampu pemimpin sedemikian menguruskan negara sedangkan menguruskan parti pun huru-hara, curang, tidak amanah, tiada integriti serta gagal melaksanakan tanggungjawab.

"Justeru, pada hari ini 1 November 2024 saya ingin mengumumkan perletakan jawatan saya sebagai bendahari Perikatan Nasional Negeri Pahang, bendahari Badan Pimpinan Negeri Bersatu Pahang dan seterusnya keluar daripada parti Bersatu berkuatkuasa serta-merta," kata Roslan dalam satu kenyataan hari ini.

Peletakan jawatan Roslan ini susulan Bersatu didakwa menggantung jawatankuasa bahagian Bentong tanpa sebarang penjelasan.

Wanita menang perintah mahkamah larang jiran hisap rokok

KOSMO!
SEORANG wanita dapat perintah mahkamah halang jiran merokok. - Foto SMDN
SINGAPURA  – Seorang wanita di sebuah unit flat di Singapura berjaya mendapat perintah mahkamah untuk menghalang jirannya merokok pada setiap hari, lapor portal berita MSNews kelmarin.

Wanita berumur 56 tahun dikenali sebagai Zhong  itu terpaksa menghidu bau asap rokok selama bertahun-tahun di tingkat sembilan, unit flat Lembaga Pembangunan &  Perumahan (HDB).

Pada 2021, Zhong mendedahkan bahawa jirannya di tingkat bawah telah merokok selama lebih 20 tahun.

Akhirnya, jiran itu berpindah, tetapi penghuni baharu pula ternyata lebih teruk.

Bermula dari 17 Jun 2021, dia menyimpan rekod jadual merokok jirannya. 

Dalam tempoh dua minggu, Zhong merekodkan jirannya merokok lebih 150 kali, dengan purata 12 kali sehari.

Wanita itu berkata, dia hilang berat badan antara 4 hingga 5 kilogram dalam tempoh dua bulan akibat menghidu bau asap rokok.

Pada Selasa lalu, akhbar Shin Min Daily News (SMDN) melaporkan bahawa Zhong telah mendapat perintah mahkamah untuk menghalang jirannya merokok pada Jun 2023. – AGENSI

Terjun jambatan lepas bergaduh dengan bini

CHERINE JON
Lokasi kejadian di mana seorang lelaki hilang selepas terjun dari atas Jambatan Sungai Maong, berhampiran Kampung Gita Lama 
KUCHING – Seorang lelaki hilang selepas dipercayai terjun dari Jambatan Sungai Maong berhampiran Kampung Gita Lama di sini pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 8.53 pagi dan menggerakkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya ke lokasi yang terletak 9 kilometer dari balai.

“Komander operasi mengesahkan terdapat seorang lelaki terjun dari Jambatan Sungai Maong dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah digerakkan,” katanya.

Berdasarkan maklumat awal, lelaki berusia 34 tahun itu dipercayai bergaduh dengan isterinya sebelum keluar dari kenderaan lalu terjun dari jambatan berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Dua pempengaruh tak mahu pakai jaket keselamatan ditemukan lemas

Agensi
MAYAT Amorim ditemukan seminggu selepas kejadian. FOTO Instagram
MAYAT Amorim ditemukan seminggu selepas kejadian. FOTO Instagram
Brasilia: Gara-gara enggan memakai jaket keselamatan kerana dikatakan tidak nampak cantik ketika bergambar, dua pempengaruh maut selepas bot laju dinaiki mereka karam di pantai Brazil, baru-baru ini.

New York Post yang memetik laporan media Brazil menyatakan mangsa, Aline Tamara Moreira de Amorim, 37, dan Beatriz Tavares da Silva Faria, 27, tidak mengendahkan permintaan untuk memakai jaket keselamatan.

Mereka berbuat demikian ketika menaiki bot untuk pulang ke pantai, dari sebuah parti kapal layar di perairan dikenali Devil's Throat di Sungai Iguazu, menurut laporan tempatan.

"Ada yang tidak mahu memakainya (jaket keselamatan) kerana mahu berswafoto," kata Pesuruhjaya Polis Sao Vincente Marcos Alexandra Alfino.

Menurut media tempatan, kedua-dua mangsa menaiki bot laju ke pantai bersama empat lagi pempengaruh selepas berpesta di atas kapal layar mewah bersama rakan di luar pantai Sao Paulo, pada 29 September lalu.

Kapten bot laju memberitahu polis bahawa dia diarah mengangkut enam pempengaruh, walaupun ia hanya mempunyai kapasiti maksimum lima penumpang.

Menurut jurucakap polis tempatan, bot itu dibadai ombak lalu penumpangnya terhumban ke laut.

Mayat Faria ditemukan oleh bomba maritim Brazil, kata polis. Seminggu kemudian, mayat Amorim ditemukan di Pantai Itaquitanduva.

Wanita tikam teman lelaki yang tegur perempuan lain

Agensi
NATACHA Palavecino.
NATACHA Palavecino.
Buenos Aires: Cemburu mengakibatkan seorang lelaki Argentina berusia 23 tahun maut di tangan kekasih yang menyerangnya dengan pisau hanya kerana menyapa wanita lain di jalanan.

Oddity Central melaporkan, mangsa, Mariano Grinspun, 23, dari Gonzalez Catan iaitu sebuah bandar di wilayah Buenos Aires, Argentina, meninggal dunia selepas ditikam teman wanita kerana bersalaman dengan bekas rakan sekolah di jalanan.

Insiden mengejutkan itu berlaku pada awal pagi 21 Oktober, berhampiran jalan Balboa dan La Bastilla, di Gonzalez Catan.

Sebelum kejadian, Grinspun dan teman wanitanya, Natacha Palavecino, berjalan beriringan kemudian mereka terserempak dengan seorang wanita yang menyapa Mariano dan bertanya khabar.

Wanita yang menyapa Mariano pada pagi yang malang itu adalah rakan sekolah lamanya, tetapi itu tidak penting bagi teman wanitanya.

Ucapan ringkas wanita itu sudah cukup membuatkan Palavecino cemburu hingga dia mengeluarkan pisau tersembunyi dan menyerangnya .

Wanita itu diselamatkan Mariano. Lelaki itu berjaya menghentikan cubaan tikaman itu dengan tangannya.

Selepas gagal membunuh wanita yang mencetuskan kemarahannya, Palavecino menghunus pisau pada teman lelakinya dan menikam dada mangsa.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati pertengkaran dan pergelutan itu selama beberapa minit dengan mangsa rebah ke tanah beberapa kali.

Saksi kejadian menghubungi perkhidmatan kecemasan, tetapi mereka tidak dapat berbuat apa-apa untuk menyelamatkan Mariano.

Siasatan lanjut mendapati Palavecino mempunyai rekod jenayah lampau.

Pada 2021, dia disabitkan dengan penjara satu tahun kerana menikam bekas teman lelaki di dada, malah Mariano sendiri membuat laporan polis berhubung dakwaan diugut dan mengalami kecederaan fizikal disebabkan teman wanitanya itu.

Pada Julai tahun lalu, perintah sekatan dikeluarkan, Bagaimanapun, Mariano memutuskan untuk memberi peluang lagi kepada teman wanitanya.

Mahkamah Rusia mendenda Google didenda AS$20,000,000,000,000,000,000,000,000,000,000,000

 Malaysiakini 

Mahkamah Rusia mendenda Google sebanyak dua undecillion rubel dolar kerana menyekat saluran media rasmi negara itu di Youtube.

Dua undecillion rubel dolar ditulis dengan 36 kosong selepas angka 2, atau AS$20,000,000,000,000,000,000,000,000,000,000,000.

Jumlah itu jauh melebihi nilai syarikat itu, yang antara terkaya di dunia, sebanyak $2 trillion.

Malah, ia jauh lebih besar ketimbang keluaran dalam negara kasar (KDNK) seluruh dunia yang dianggarkan sebanyak AS$110 trillion.

Denda ini mencapai tahap yang sangat besar kerana ia meningkat dengan cepat sepanjang masa.

Jurucakap Kremlin Dmitry Peskov dilaporkan berkata dia sendiri tidak dapat menyebut angka itu tetapi mendesak pengurusan Google memberi perhatian.

Dmitry Peskov
Media Rusia melaporkan bahawa denda titu berkaitan dengan sekatan kandungan daripada 17 saluran media Rusia di YouTube.

Bermula pada tahun 2020, ia meningkat selepas pencerobohan berskala penuh Rusia ke atas Ukraine dua tahun kemudian.

- Agensi

Jangan tangkap, beli atau makan parrotfish

NUR HIDAYAH MOHD. BOZID
PETALING JAYA – Orang ramai diseru untuk menghentikan pembelian, penangkapan, dan pengambilan ikan ketarap (parrotfish).

Menurut Pertanian Satu Perniagaan dalam satu hantaran di Facebook, Parrotfish memiliki mulut yang khas, lengkap dengan gigi yang sesuai untuk memakan rumpai laut dan parasit yang tumbuh pada batu karang hidup.

“Rumpai laut adalah antara penyebab utama kematian batu karang kerana rumpai akan bersaing bersama zooxanthellae yang hidup di batu karang bagi mendapatkan cahaya matahari.

“Dan jika rumpai ini tidak dimakan oleh ikan (parrotfish), maka batu karang akan mati. Kematian batu karang akan merosakkan ekosistem karang dan lalu boleh mengakibatkan menjejaskan ekosistem laut itu sendiri,” katanya.

Selain itu, ikan tersebut membantu mengurangkan hakisan pasir di pantai melalui pembuangan sisa makanan mereka yang berbentuk pasir.

Seekor parrotfish mampu menghasilkan hingga 100 kilogram pasir setahun, memberikan sumbangan signifikan kepada ekosistem pesisir pantai.

Pertanian Satu Perniagaan turut menyeru pelbagai pihak khususnya nelayan, untuk tidak lagi menangkap parrotfish, sebaliknya memberi peluang kepada ikan ini untuk terus berperanan dalam ekosistem terumbu karang.

“Banyak lagi ikan di luar sana, tolong biarkan ikan comel ini hidup di terumbu karang. Terumbu karang memerlukan mereka untuk terus hidup dan terus berkembang demi ekosistem laut yang sihat,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE

Sembunyi pisau dalam telekung sebelum tikam suami

KOSMO
Suspek dibawa ke balai polis untuk disoal siasat. - Tribun Timur
JAKARTA – Seorang pensyarah institut pengajian tinggi swasta di Makassar, wilayah Sulawesi Selatan ditahan kerana menikam suaminya selepas mendapat tahu mangsa menjalin hubungan sulit, lapor laman berita Merdeka semalam.

Suspek yang dikenali sebagai AT, 41, menikam mangsa yang sedang tidur di atas katil pada pukul 11 malam (waktu tempatan) semalam.

“Sejurus menerima laporan, saya bersama Ketua Siasatan Jenayah terus bergegas ke lokasi kejadian untuk menangkap dan membawa pelaku yang masih berada di dalam rumah,” kata Ketua Polis Sektor Manggala, Komisioner Semuel To’Longan.

Tambah Semuel, pasangan itu pada awalnya bertengkar selepas suspek mendapat tahu bahawa mangsa mempunyai kekasih gelap.

“Suspek kemudian pergi ke dapur dan mengambil pisau sebelum ia disimpan di dalam telekung yang dipakai.

“Dia masuk semula ke dalam bilik dan bermain telefon bimbit. Sejurus mangsa tertidur, dia terus menikam mangsa sebanyak dua kali,” jelas Semuel.

Tambahnya, mangsa sempat memeluk suspek untuk menghentikan perbuatannya, namun dia ditikam kali ketiga pada perut.

Mangsa kemudian dibawa ke hospital terdekat sebelum disahkan meninggal dunia.

Sementara itu, suspek ditahan reman untuk menjalani siasatan lanjut. – AGENSI 

JPJ lancar operasi khas buru pelumba haram motosikal

FMT Reporters

PETALING JAYA: Lumba haram dan ubah suai secara berlebihan antara lapan kesalahan menjadi fokus Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam operasi khas motosikal bermula hari ini hingga 31 Dis depan.

Ketua Pengarahnya Aedy Fadly Ramli berkata kesalahan lain termasuk tiada lesen memandu, lesen tamat tempoh, tiada perlindungan insurans dan melanggar isyarat lalu lintas, tidak memakai topi keledar dan kesalahan teknikal lain.

Menurut Aedy, operasi khas itu dilancarkan susulan statistik polis menunjukkan peningkatan kes kematian secara bulanan membabitkan motosikal iaitu sebanyak 1,908 atau 70%.

“Bagi menyasarkan pengurangan jumlah kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya bagi tempoh suku ketiga dan keempat tahun ini, strategi penguatkuasaan secara berfokus dilancarkan.

“Ini untuk memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap penunggang dan pemilik motosikal yang gagal mematuhi peraturan sedang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan.

Empat sekeluarga bersama bayi selamat, kereta masuk gaung

Hazira Ahmad Zaidi
am@hmetro.com.my
Keadaan kereta Perodua Myvi yang dinaiki empat sekeluarga  terbabas ke dalam gaung di Kilometer 43 Lebuhraya Persekutuan, Kuala Krai-Gua Musang awal pagi tadi. FOTO Ihsan JBPM
Keadaan kereta Perodua Myvi yang dinaiki empat sekeluarga terbabas ke dalam gaung di Kilometer 43 Lebuhraya Persekutuan, Kuala Krai-Gua Musang awal pagi tadi. FOTO Ihsan JBPM
Kuala Krai: Empat sekeluarga termasuk bayi perempuan berusia sembilan bulan terselamat selepas kereta yang dinaiki terbabas ke dalam gaung di Kilometer 43 Lebuhraya Persekutuan, Kuala Krai-Gua Musang awal pagi tadi.

Difahamkan dalam kejadian itu, Perodua Myvi yang dinaiki empat beranak itu dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur ke Kok Lanas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden berkenaan pada jam 2.39 pagi.

Katanya, seramai 13 anggota termasuk pegawai dari BBP Kuala Krai dan bomba sukarela (PBS) Guchil bergegas ke lokasi.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, didapati sebuah kereta Perodua Myvi terbabas ke dalam gaung berkedalaman anggaran lebih enam meter dan semua mangsa sudah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan penyelamat.

"Mangsa yang mengalami kecederaan ringan diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan (KKM) dan dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai untuk mendapatkan rawatan selanjutnya," katanya.

Lafaz syahadah, memori terindah Nur Sarah Finolla

Noor Hidayah Tanzizi
hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
NUR Sarah Finolla mengucap dua kalimah syahadah di Masjid An-Nur Pangkalan TLDM. Gambar kanan, NUR Sarah Finolla (tengah) bersama rakannya. FOTO Ihsan Nur Sarah Finolla Ho Ah Phing
NUR Sarah Finolla mengucap dua kalimah syahadah di Masjid An-Nur Pangkalan TLDM. Gambar kanan, NUR Sarah Finolla (tengah) bersama rakannya. FOTO Ihsan Nur Sarah Finolla Ho Ah Phing
Lumut: Rutin rakan membaca al-Quran dan solat lima waktu menjentik hati Nur Sarah Finolla Ho Ah Phing mengenali agama Islam sebelum akhirnya melafazkan dua kalimah syahadah pada Selalu lalu.

Video Nur Sarah Finolla, 22, atau nama asalnya Finolla Ho Geok Yien mengucap dua kalimah syahadah di Masjid An-Nur Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), di sini, mendapat perhatian di TikTok, sejak semalam.

Nur Sarah Finolla berkata, dia berketurunan Cina-Iban dan berasal dari Sibu, Sarawak kini berkhidmat sebagai anggota TLDM di Lumut memilih memeluk Islam dengan kerelaan hati tanpa paksaan daripada sesiapa.

Menurutnya, hatinya sentiasa tenang dan damai setiap kali mendengar rakan sebilik beragama Islam membaca al-Quran serta mendirikan solat sejak menjalani latihan ketenteraan.

Bagaimanapun katanya, hasrat untuk mendalami agama itu terpendam di hati kerana bimbang akan dihalang keluarga terutama ibu bapa sebelum akhirnya nekad menyuarakannya dan tidak menyangka keluarga menerima hasratnya itu.

"Berpindah agama bukan suatu perkara mudah kerana saya perlu memikirkan banyak perkara terutama ibu bapa (Ho Ah Phing dan Susie John) tetapi mereka menerima hasrat saya dengan baik serta meminta menjadi Muslim terbaik.

"Mak pesan supaya tidak sesuka hati keluar agama ini dan ayah juga menasihatkan supaya saya menunaikan kewajipan sebagai Muslim dengan baik serta tidak melupakan asal usul," katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, hari ini.

Dia yang sudah tiga tahun berkhidmat bersama TLDM berkata, selepas melafazkan dua kalimah syahadah hatinya berasa sangat tenang dan mengakui dirinya terasa seperti baharu dilahirkan serta sebak hingga menitiskan air mata.

"Saya berasa lega dan terasa seperti menjadi orang baru. Saya telefon mak ayah beritahu urusan sudah selesai dan terharu apabila mereka bersyukur semua berjalan lancar. Saya turut bersyukur mempunyai ibu bapa yang memahami.

"Walaupun berbeza agama tetapi kami tetap 'sedarah' dan hubungan keluarga tidak akan terputus sampai bila-bila, malah sebelum ini ada ahli keluarga daripada sebelah ayah memeluk Islam dan hubungan kami sentiasa baik," kata wanita itu yang sebelum ini beragama Buddha.

Menurut Nur Sarah Finolla, nama Nur Sarah dipilih sahabat baiknya dan dia juga menyukai nama itu, malah menyifatkan ia nama yang cantik serta baik.

"Saya teruja dan gembira mahu mendalami agama Islam, malah tidak sabar mahu belajar mengaji al-Quran kerana sebelum ini hanya mendengar rakan saja membacanya.

"Saya juga akan mengikuti kelas agama (anjuran Angkatan Tentera Malaysia) bermula 11 November ini dan saya akan cuba menjadi muslimah terbaik seperti pesanan mak ayah," katanya yang masih bujang.

Katanya, perkongsiannya di TikTok hanya untuk dijadikan kenangan kerana ia disifatkan memori terindah untuknya seumur hidup ini.

Gambar Ihsan Nur Sarah Finolla Ho Ah Phing

Tumbuk isteri 6 kali hingga cedera, Mohd Farid dipenjara sebulan

Alias Abd Rani
bhnews@bh.com.my
Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman penjara sebulan kepada Mohd Farid (tengah) kerana mencederakan isterinya yang juga doktor, pada bulan lalu. NSTP/Alias Abd Rani
Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman penjara sebulan kepada Mohd Farid (tengah) kerana mencederakan isterinya yang juga doktor, pada bulan lalu. NSTP/Alias Abd Rani
BATU PAHAT: Seorang kontraktor yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini dijatuhkan hukuman penjara sebulan selepas mengaku bersalah menumbuk isterinya yang juga doktor hingga cedera pada 19 September lalu hanya disebabkan mangsa memintanya berhenti di kedai untuk membeli makanan.

Bagaimanapun, disebabkan kuat kuasa hukuman penjara sebulan itu bermula dari tarikh tertuduh, Mohd Farid Sahak, 34, ditangkap pada 20 September lalu, ini bermakna dia sudah dibebaskan hari ini.

Mohd Farid yang sebelum itu ditahan selama 40 hari sementara menunggu kes disebut semula hari ini, mengaku bersalah ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Suhaila Shafi'uddin selepas pertuduhan dikemukakan oleh jurubahasa terhadapnya.

Bapa kepada seorang anak itu kelihatan sebak ketika diberi peluang oleh mahkamah untuk membuat rayuan terhadap pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap isterinya berusia 32 tahun dengan menumbuk mangsa sebanyak enam kali.

"Saya masih sayangkan isteri dan anak, saya mahu berjumpa mereka selepas 40 hari ditahan , saya tak sanggup lagi tinggal di penjara," katanya.

Mohd Farid didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mencederakan isterinya dalam kereta di Jalan Tukas, Taman Soga, di sini, pada jam 2.20 petang, 19 September lalu.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, manakala bagi Seksyen 326A, penjara dua kali ganda tempoh maksimum yang dikenakan atas sabitan kesalahan mengikut Seksyen 323.

Berdasarkan fakta kes, polis menerima laporan daripada seorang doktor wanita mendakwa dipukul suaminya selepas mangsa dikatakan meminta suaminya berhenti di kedai untuk membeli makanan.

Tertuduh tidak melayani permintaan wanita itu menyebabkan berlaku pertengkaran antara mereka berdua sebelum mangsa menumbuk lengan kanan isterinya sebanyak enam kali menyebabkan wanita itu mengalami kecederaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, pihak pendakwaan mengemukakan kenyataan isterinya yang diperdengarkan di mahkamah meluahkan kekecewaan terhadap tindakan tertuduh yang panas baran dan sering memukulnya.

"Saya takut dengan suami, saya tak mahu lagi tinggal bersamanya. Saya tidak faham kerana sering dipukul tanpa sebab," katanya.

Warga asing cuba lolos pemeriksaan imigresen maut jatuh jejantas

Omar Ahmad
am@hmetro.com.my
FOTO tular polis melakukan siasatan di lokasi warga asing maut jatuh dari jejantas menghubungkan BSI, Johor Bahru.
FOTO tular polis melakukan siasatan di lokasi warga asing maut jatuh dari jejantas menghubungkan BSI, Johor Bahru.
Johor Bahru: Cubaan lelaki warga Sri Lanka untuk meloloskan diri daripada pemeriksaan pegawai Jabatan Imigresen (JIM) berakhir tragedi selepas dia maut terjatuh jejantas, hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, dalam kejadian 4.48 petang, mangsa berusia lingkungan 30-an tergelincir dari jejantas menghubungkan JB Sentral dan Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini.

Katanya, mangsa kemudian terjatuh ke atas kereta Perodua Myvi yang melalui kawasan berkenaan.

"Dia disahkan meninggal dunia oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan siasatan mendapati punca mangsa bertindak demikian kerana cuba meloloskan diri daripada pemeriksaan pihak JIM BSI.

"Mayat mangsa dibawa ke HSA untuk bedah siasat. Tiada sebarang unsur jenayah dikesan dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu gambar insiden tular di media sosial, menunjukkan mayat lelaki di bawah jejantas.

6 maut, hampir 100 etnik Rohingya mendarat di Aceh

Reuters
WANITA Rohingya yang mendarat di pantai timur Aceh, Indonesia. FOTO Antara/ Reuters.
WANITA Rohingya yang mendarat di pantai timur Aceh, Indonesia. FOTO Antara/ Reuters.
Jakarta: Enam orang maut ketika hampir 100 etnik Rohingya berjaya mendarat dengan bot di Aceh, Indonesia dalam gelombang ketibaan terbaharu etnik itu ke negara Asia Tenggara berkenaan sejak beberapa hari lalu.

Ketua komuniti nelayan, Miftach Tjut Adek memberitahu Reuters, seramai 96 orang mendarat, termasuk tujuh kanak-kanak dan mereka masih berada di pantai bahagian timur Aceh di Sumatera.

"Tiada kesudahan lagi, mereka masih berada di pantai," kata Miftach.

Kira-kira 300 etnik Rohingya mendarat minggu lalu di wilayah Aceh dan Sumatera Utara di Indonesia dan Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) meminta kerajaan Indonesia untuk memastikan keselamatan pelarian itu.

Seorang jurucakap berkata, UNHCR bersama pihak berkuasa tempatan turut menyediakan bantuan kepada etnik Rohingya itu.

Sewaktu keadaan laut lebih tenang di antara Oktober dan April, etnik Islam Rohingya dilapor meninggalkan Myanmar dengan bot usang menuju ke Thailand, Indonesia, Malaysia dan Bangladesh.

Etnik Rohingya meninggalkan Myanmar yang majoriti penduduknya beragama Buddha, di mana mereka dianggap sebagai pendatang asing dari Asia Selatan dan tidak diberikan kewarganegaraan serta mengalami penderaan.

Menurut data UNHCR, lebih 2,000 etnik Rohingya tiba di Indonesia tahun lalu, melebihi jumlah ketibaan dalam empat tahun sebelumnya.

Sebahagian mereka berdepan sikap penolakan penduduk tempatan yang kecewa dengan banyaknya pendaratan itu.

Konsert dalam gelap dinegeri PAS dihadiri ribuan peserta

Tak sangka negeri Pas ada konsert dalam gelap dihadiri ribuan peserta, mujur polis ambil tindakan

Harapandaily

Heboh berlangsungnya konsert hiburan dihadiri kira-kira 1,500 peserta di sebuah negeri Pas malam tadi yang tidak mempunyai kelulusan permit.

Konsert dalam keadaan gelap dikenali sebagai Malam Perayaan Patah Hati dianjurkan sebuah premis berhampiran di Kuala Kemaman, Terengganu.

Lebih mengejutkan apabila penganjur konsert itu tidak mengendahkan notis larangan berkumpul yang dikeluarkan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK).

Polis kemudiannya menyerbu premis tersebut dan mengarahkan konsert di situ dihentikan serta-merta, kira-kira 11 malam.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, tindakan diambil selepas pihaknya menerima laporan awam berhubung kesesakan lalu lintas serta gangguan bunyi muzik yang kuat di situ kira-kira 9.20 malam.

“Penganjur diarah menghentikan program itu dan mengarahkan kesemua hadirin bersurai,” lapor Harian Metro hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut dilakukan dan pihak polis akan memanggil penganjur untuk memberi keterangan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2002.

Terdahulu,tular rakaman video mengenai arahan pemberhentian penganjuran konsert malam sambutan Deepavali itu.

Turut tersebar sedutan klip video sebelum peserta dihalau yang menyaksikan lelaki dan wanita rata-ratanya golongan muda duduk bercampur dalam gelap sambil menyanyi bersama-sama.

Parti Bersatu: Kemenangan Hilman bayangan kem Azmin bakal kuasai MPT?

Nora Mahpar

Azmi Hassan berkata kunci ‘kuasa’ sebenar bergantung kemampuan menguasai 20 kerusi Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.

Bersatu akan mengadakan pemilihan bagi jawatan tertinggi penggal 2024-2027 pada 2 Nov ini.
PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik berpendapat kemenangan Adun Gombak Setia Hilman Idham sebagai ketua Pemuda Bersatu mungkin memberi gambaran awal pemilihan tertinggi parti itu berpotensi dikuasai kem Azmin Ali.

Hilman yang dikatakan penyokong tegar Azmin sejak dalam PKR, bakal menggantikan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal selepas menewaskan Pengerusi Tetap Pemuda Bersatu Akmal Zahin Zainal Zahir pada pemilihan sayap berlangsung, minggu lalu.

Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan berkata kemenangan Hilman mungkin memberi kelebihan kepada kem bekas menteri besar Selangor yang dikatakan bersaing dengan kumpulan diketuai Setiausaha Agung Hamzah Zainudin.

Menurutnya, walaupun tumpuan lebih kepada perebutan jawatan naib presiden, namun ‘kunci kuasa’ sebenar dalam parti itu adalah kemampuan menguasai 20 kerusi Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) pada pemilihan.

“Paling penting 20 MPT yang membuat keputusan dan dasar dalam parti. Kem mana memiliki wakil (lebih banyak) dalam MPT akan menentukan pengaruh mereka,” katanya kepada FMT menjelang pemilihan Bersatu 2 Nov ini.

Julai lalu, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata beliau diberi mandat oleh MPT untuk berunding dengan barisan kepimpinan bagi memastikan pemilihan parti tidak menimbulkan perpecahan.

Menerusi pelan kompromi, Muhyiddin kekal menerajui Bersatu, dibantu Hamzah, manakala Ronald Kiandee dan Radzi Jidin selain Ahmad Faizal Azumu yang turun dari jawatan timbalan presiden dicadangkan mengisi tiga kerusi naib presiden.

Selepas pencalonan dimuktamadkan awal bulan ini, Muhyiddin dan Hamzah menang tanpa bertanding, manakala enam calon merebut tiga kerusi naib presiden, iaitu Kiandee, Radzi, Faizal, Timbalan Ketua Bersatu Selangor Rafiq Abdullah, Ketua Penerangan Razali Idris dan Ketua Bersatu Batu Kawan Aziss Zainal Abiddin.

Azmin yang sebelum ini diuar-uarkan akan bertanding jawatan timbalan presiden pula dijangka menggantikan Hamzah sebagai setiausaha agung, menerusi pelan kompromi berkenaan.

Mohammad Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya (UM) turut senada dengan Azmi yang berpendapat tidak mustahil pemimpin pro Azmin akan menang besar dalam merebut tempat dalam kelompok MPT, selain menang satu jawatan untuk naib presiden.

“Kerana beliau (Azmin) cukup dikenali sebagai pemimpin licik, berstrategi sejak dari PKR lagi,” katanya.

Namun beliau tidak menolak rancangan melantik Azmin sebagai setiausaha agung mungkin ditentang segelintir pemimpin parti susulan beberapa perkembangan politik termasuk menghalangnya untuk menduduki jawatan tertinggi.

“Tidak mudah Azmin diberi peluang mendaki dalam hierarki politik Bersatu kerana beliau bukan pemimpin awal terbabit dalam penubuhannya.

“Berkemungkinan besar pemimpin pengasas Bersatu berusaha menghalang perkembangan masa depan Azmin dalam parti itu,” katanya.

'Bilik rahsia' tempat simpan dua juta batang rokok seludup

Nur Izzati Mohamad
bhnews@bh.com.my
Pengarah Kastam Pulau Pinang, Rohaizad Ali (tengah) menunjukkan antara 2 juta batang rokok putih dan rokok kretek bernilai lebih RM1.95 juta termasuk cukai yang disorok dalam ‘bilik rahsia’ terletak belakang almari ketika menyerbu sebuah rumah teres dua tingkat di Permatang Pauh. - Foto NSTP/Danial Saad
Pengarah Kastam Pulau Pinang, Rohaizad Ali (tengah) menunjukkan antara 2 juta batang rokok putih dan rokok kretek bernilai lebih RM1.95 juta termasuk cukai yang disorok dalam ‘bilik rahsia’ terletak belakang almari ketika menyerbu sebuah rumah teres dua tingkat di Permatang Pauh. - Foto NSTP/Danial Saad
BUTTERWORTH: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang merampas hampir dua juta batang rokok seludup bernilai lebih RM1.95 juta termasuk cukai, disorok dalam 'bilik rahsia' belakang almari sebuah rumah teres dua tingkat di Permatang Pauh, dekat sini, 8 Oktober lalu.

Dalam serbuan jam 1 tengah hari, rumah yang dikatakan disewa kepada warga asing didapati kosong tidak berpenghuni malah tidak menemui apa-apa barang semasa pemeriksaan hampir dua jam.

Pengarah Kastam negeri, Rohaizad Ali berkata anggota mengukur rumah dari luar dan menyelaraskannya dengan bahagian dalam. Ini membawa kepada penemuan sebuah bilik rahsia yang ditutup dengan sebuah almari ditempah khas.

"Kita telah membuat intipan terhadap sindiket penyeludupan rokok ini selama satu minggu sebelum serbuan dibuat pada hari terbabit dan ketika itu selama dua jam kita tidak menemui apa-apa rokok mahupun barangan lain.

"Semasa mengalihkan almari itu, kami menemui pintu yang dalamnya terdapat sebuah 'bilik rahsia' sebelum pemeriksaan lanjut dekat bilik berkenaan menemui lebih 1.54 juta batang rokok putih dan 450,120 batang rokok kretek pelbagai jenama yang diseludup dengan anggaran nilai RM581,254 dan cukai berjumlah hampir RM1.4 juta," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Stor Penguatkuasan Kastam di Bagan Jermal, hari ini.

Ketika pemeriksaan, Kastam mengambil keterangan pemilik rumah iaitu seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 70-an.

"Lelaki warga emas itu memberitahu dia menyewakan rumahnya kepada warga asing sejak dua tahun lalu dan tidak tahu (apa-apa mengenai sindiket penyeludupan rokok ini).

"Semasa serbuan tiada seorang pun penghuni, dan usaha mengesan mereka yang terlibat sedang dijalankan," katanya.

Kedah: Remaja maut, 4 rakan melecur kena renjatan elektrik

FMT Reporters

Muhammad Hariyz Akief Noraimi, 14, disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Sultanah Bahiyah.

Polis berkata rakan mangsa yang melecur dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Seorang remaja maut manakala empat lagi rakannya melecur di kaki, badan dan muka akibat terkena renjatan elektrik di kawasan bendang dalam kejadian di Kampung Tanjung Putus, Kuala Nerang.

Mangsa yang juga pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Syed Ahmad, Muhammad Hariyz Akief Noraimi, 14, disahkan meninggal dunia Hospital Kuala Nerang.

Rakannya yang berusia 15 hingga 19 tahun dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan lanjut.

Ketua Pengurusan Polis Padang Terap Yukhrul Mohd Yusoff berkata kejadian sekitar 6.30 petang semalam itu berlaku ketika sekumpulan remaja berkenaan mahu mengambil umpan pancing tiruan tersangkut di kabel elektrik.

Menurutnya, salah seorang rakan mangsa naik di atas tempat duduk motosikal dan menggunakan sebatang galah aluminium sebelum cuba mengait umpan tiruan itu.

“Mangsa bersama rakan-rakannya yang lain memegang motosikal supaya tidak terjatuh dan ketika cuba mengait umpan tiruan itu, secara tiba-tiba mereka berlima terkena renjatan elektrik sehingga pengsan.

“Keempat-empat rakan-rakannya sedar kembali manakala mangsa masih tidak sedarkan diri,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau berkata mereka kemudiannya dihantar ke Hospital Kuala Nerang oleh penduduk kampung namun mangsa disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat,” katanya.

RUU Mufti: Abu Hafiz saran tukar mufti, menteri agama

Malaysiakini 

Seorang ahli akademik di Universiti Islam Antarabangsa menyarankan agar Menteri Hal Ehwal Agama, Mohd Na'im Mokhtar, digantikan dengan tokoh lain bagi menangani isu kemelut Rang Undang-undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan 2024 dapat ditangani dengan lebih baik.

Malah menurut Abu Hafiz Salleh Hudin, kerajaan juga perlu memberi pertimbangan kepada cadangan agar seorang tokoh yang "lebih baik" dipilih menduduki jawatan Mufti Wilayah Persekutuan.

Mengulas mengenai kemelut berkenaan - yang sehingga kini belum menampakkan jalan keluar - Abu Hafiz berkata, semakin terserlah 'agenda' pihak yang memperjuangkan RUU tersebut.

Merujuk kepada petikal video pendek penjelasan Mufti Wilayah Persekutuan megenai RUU berkenaan, Abu Hafiz berpendapat matlamat ia digubal bukanlah terhad kepada pemilihan mufti di negeri tersebut semata-mata.

"Alhamdulillah, maka benarlah apa yang kita dakwakan sebelum ini bahawa RUU Mufti Wilayah Persekutuan ini tidak hanya bermaksud untuk pemilihan mufti dan timbalan mufti.

"Ia bakal dipaksakan ke atas tidak sahaja masyarakat Islam Wilayah Persekutuan tapi disebutkan seperti dalam transkrip ucapan itu, dalam negara ini.

"Ia juga mengesahkan, melalui RUU Mufti Wilayah Persekutuan - akan dengan secara langsung dan tidak - menganggap apa-apa aliran selain yang ingin ditakrifkan dalam RUU itu (al-Asha’irah dan al-Maturidiyah) sebagai sesat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bunuh semangat Madani

Terdahulu tular rakaman wawancara ringkas memaparkan Mufti Wilayah Persekutuan, Luqman Abdullah, menjelaskan mengapa RUU kontroversi itu menegaskan dua aliran saja untuk diiktiraf, iaitu Asha’irah dan al-Maturidiyah.

Antara lain Luqman berkata: “Jadi kalau kita katakan satu aliran, ia akan mengeluarkan aliran lain.

"Memang dari satu segi, ia mengeluarkan aliran lain yang sesat itu. Dan itu memang tujuan kita pun (iaitu) untuk memastikan tidak berlaku kemasukan aliran sesat ke dalam negara kita ini.”

Untuk rekod ada pihak beranggapan RUU tersebut sepatutnya tidak mengehadkan dua aliran saja untuk diterima dan ia perlu dilakukan untuk menunjukkan keterbukaan dasar negara dalam menguruskan agama.

Abu Hafiz berkata sikap ditunjukkan Luqman itu dizahirkan ketika kerajaan menekankan isu adab al-ikhtilaf (adab berbeza pandangan) namun pada masa sama ada pihak mahu mengkanunkan aliran lain yang muktamar sebagai sesat.

"Seruan dan harapan saya, ahli-ahli parlimen boleh membuat keputusan menolak RUU Mufti Wilayah Persekutuan ini sekiranya pindaan-pindaan yang wajib dibuat (sebaliknya) kekal mahu dipaksakan untuk mereka luluskan.

"Permohonan saya kepada kepimpinan kerajaan Madani, khususnya Perdana Menteri Anwar Ibrahim, perlulah menimbang penggantian Mufti Wilayah Persekutuan yang lebih baik dan tidak seperti yang kita ada ketika ini.

"Seorang menteri agama yang lebih menyatukan juga amat diperlukan, bukan memecahkan seperti yang kita dapati dalam menguruskan polemik RUU ini.

"Pengekalan mereka bakal sedikit demi sedikit membunuh ruh gagasan Madani dalam ilmu yang diperkenalkan Anwar menjelang tahun kedua pelantikannya sebagai perdana menteri ke-10," katanya.

Bakal pengantin jatuh sungai ditemui lemas

Zuliaty Zulkiffli
bhnews@bh.com.my
Mayat Muhammad Aiman Safwan Mahadzir ditemui terdampar di pantai kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi dia dilaporkan terjatuh pada Ahad lalu. - Foto Bomba
Mayat Muhammad Aiman Safwan Mahadzir ditemui terdampar di pantai kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi dia dilaporkan terjatuh pada Ahad lalu. - Foto Bomba
SUNGAI PETANI: Muhammad Aiman Safwan Mahadzir, 25, yang hilang selepas terjatuh ke sungai di Pasar Bisik, Kota Kuala Muda ditemui lemas hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Kedah, Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin berkata mayat mangsa ditemui terdampar di pantai pada jarak 1.5 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh jam 11.50 pagi.

"Operasi hari ini turut membabitkan enam anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) JBPM Kedah yang melakukan pencarian di permukaan air dengan jarak 1.5 hingga dua batu nautika sejak jam 10.03 minit pagi tadi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, ibu mangsa Rosnah Razali, 48, berkata anak sulung dari tiga beradik itu sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada Januari depan dan persiapan akhir sudah siap dilakukan.

"Aiman seorang anak yang baik dan tidak pernah melawan malah semua orang sayangkan kerana sifatnya yang suka tolong orang," katanya.

Tunang mangsa, Nur Farhana Abd Syukur, 23, berkata pada hari kejadian mereka sepatutnya pergi ke Klinik Kesihatan Taman Intan untuk menjalani saringan HIV.

"Kali terakhir dia balas kiriman WhatsApp saya pada jam 11.30 pagi dan Aiman beritahu bersiap untuk ke sana.

"Kira-kira jam 1 tengah hari, ibu Aiman menghubungi saya dan beritahu yang dia jatuh sungai menyebabkan saya terkejut dan bergegas ke sini," katanya.

Media semalam melaporkan, seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke sungai di Pasar Bisik, Kota Kuala Muda, pada Ahad.

Bagaimanapun keadaan ombak kuat Dan laut bergelora dan hujan lebat menyukarkan operasi pencarian menyebabkan operasi disambung semalam dan hari ini.

Guru mogok 2 hari kerana kelakuan pelajar

KOSMO!

LONDON – Seramai 35 orang guru melakukan mogok selama dua hari berikutan tingkah laku keji para pelajar sebuah sekolah di Wales, Britain, lapor portal berita MailOnline semalam.

Langkah itu diambil sebagai tindak balas kepada tingkah laku buruk seperti pelajar menanggalkan seluar di hadapan guru wanita dan menggelar guru dengan gelaran yang tidak baik.

Kejadian berlaku di Sekolah Ysgol Nantgwyn yang mempunyai seramai 1,000 murid.

Bagaimanapun, tindakan pentadbiran sekolah yang menyediakan aktiviti menyeronokkan untuk para pelajar semasa ketiadaan guru selama dua hari menjadi perhatian ramai.

Sebuah syarikat zoo haiwan peliharaan, A&S Animal Encounters dibayar untuk menghiburkan pelajar dan membawa masuk pelbagai jenis haiwan termasuk ular dan meerkat.

Sebuah lagi syarikat turut menyediakan istana lantun untuk pelajar bermain bagi mengisi masa terluang di sekolah.

Eksekutif Kebangsaan Kesatuan Perguruan Nasuwt, Sharron Daly menyelar tindakan itu dengan berkata: “Mesejnya adalah jika anda berkelakuan buruk, anda akan diberi ganjaran dengan istana lantun dan waktu tengah hari yang di luar jadual (aktiviti).”  – AGENSI

Bekas Menteri Perdagangan ditahan kes permit import gula

BHarianonline 
Bekas Menteri Perdagangan Indonesia, Thomas Trikasih Lembong. - Foto Antara via REUTERS
Bekas Menteri Perdagangan Indonesia, Thomas Trikasih Lembong. - Foto Antara via REUTERS
JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia yang menyiasat kes rasuah telah menahan bekas Menteri Perdagangan yang kini menjadi pengkritik kerajaan, kerana disyaki memberikan permit import gula secara tidak wajar pada 2015 sehingga menyebabkan kerugian AS$25 juta.

Suspek, Thomas Trikasih Lembong, diberkas lewat semalam oleh pendakwa raya dari Pejabat Peguam Negara dengan didakwa memberikan permit itu kepada sebuah syarikat swasta ketika Indonesia memiliki lebihan bekalan gula, menurut pejabat itu.

"Ketika itu, Indonesia tidak perlu mengimport gula tetapi (Lembong didakwa) memberikan permit untuk mengimport 105,000 tan metrik gula kristal mentah," kata pendakwa raya, Abdul Qohar, pada satu sidang media.

Beliau mendakwa tiada konsultasi dilakukan dengan badan lain atau cadangan daripada Kementerian Industri berhubung perkara itu, selain keputusan terbabit menyebabkan kerugian mencecah 400 bilion rupiah.

Pejabat Peguam Negara menafikan siasatan mereka itu mempunyai motif politik.

Sementara itu, media melaporkan Lembong yang tangannya bergari serta memakai vest tahanan berwarna merah jambu, berkata selepas sidang media berkenaan: "Saya berserah segala-galanya kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa."

Setakat ini, Reuters tidak dapat menghubungi Lembong atau peguamnya untuk mendapatkan komen.

Lembong adalah Menteri Perdagangan Indonesia antara 2015 hingga 2016 dan berpengalaman sebagai pembantu rapat kepada bekas Presiden, Joko Widodo (Jokowi).

Namun selepas tidak lagi memegang jawatan pada 2019, beliau menjadi antara pengkritik paling lantang terhadap kerajaan pimpinan Jokowi.

Pengeluaran gula Indonesia pada 2015 adalah 2.49 juta tan metrik, manakala penggunaan pula 2.12 juta. - REUTERS