Terengganu: Pemuda dikhuatiri lemas tergelincir di jeti ketika air pasang besar

Bernama

CHUKAI: Seorang pemuda dikhuatiri lemas selepas dipercayai tergelincir ketika air pasang besar di Jeti Geliga Che Akob dekat sini semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohamad Hanif Che Khalid berkata dalam kejadian kira-kira 10 malam itu, mangsa Muhammad Anuar Syukrimie Mahmood, 31, yang berasal dari Kampung Geliga Jambatan di sini, sedang duduk di jeti bersama rakan-rakannya.

"Ketika itu air pasang besar 3.7 meter berlaku dan mangsa dikatakan tergelincir di jeti tersebut. Rakan-rakan mangsa cuba mencarinya namun gagal," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun Mohamad Hanif berkata pihak bomba hanya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 2.26 petang tadi, sebelum 17 anggota bergegas ke lokasi.

Beliau berkata dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada hari ini, pihak bomba melakukan pencarian pada radius satu kilometer dari jarak mangsa dipercayai terjatuh dengan menggunakan dua bot.

"Selain itu, operasi SAR turut disertai lapan anggota polis bersama sebuah bot, selain dibantu seramai 33 orang awam," katanya sambil menambah operasi pencarian mangsa ketika ini masih diteruskan.
-- BERNAMA