Identiti 11 individu dalam pesawat hilang di Sulawesi dikenal pasti

Buletin TV3 
Sebuah pesawat Air Indonesia Transport dilaporkan hilang di ruang udara Maros, Sulawesi Selatan, petang tadi ketika sedang dalam penerbangan dari Yogyakarta ke Makassar. – Foto ihsan @flightradar24/x
MAKASSAR: Pihak berkuasa Indonesia mendedahkan identiti 11 individu yang berada di dalam pesawat Indonesia Air Transport (IAT) yang dilaporkan hilang di ruang udara Maros, Sulawesi Selatan, petang tadi.

Daftar manifest yang dikeluarkan oleh pihak pengurusan lapangan terbang mengesahkan pesawat berkenaan membawa lapan kru dan tiga penumpang.

Dilaporkan, kru penerbangan ialah Bambang Sudarsono (juruterbang); Ridwan Ahmad (pembantu juruterbang); Siti Maryam (pramugari); Anisa Fitriani (pramugari); Agus Setiawan (jurutera penerbangan); Dedi Kurniawan (kakitangan teknikal); Rahmat Hidayat (kakitangan teknikal) dan Eko Prasetyo (kakitangan teknikal).

Manakala penumpang ialah Andi Wijaya, Suryani dan Budi Santoso.

Ketua BASARNAS Makassar, Andi Sultan mengesahkan bahawa data manifest ini akan digunakan sebagai rujukan utama dalam proses pengecaman dan penyelarasan bersama pihak keluarga mangsa di pusat krisis.

“Kami kini memfokuskan pencarian di titik koordinat terakhir pesawat dikesan. Pasukan di lapangan sedang bertarung dengan masa dan cuaca yang tidak menentu untuk mengesan sebarang petunjuk,” katanya dalam laporan media tempatan.

Setakat malam ini, operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan secara intensif dengan melibatkan pelbagai agensi keselamatan termasuk bantuan daripada penduduk setempat di daerah Maros.
– AGENSI

Mayat wanita cedera paha ditemui terdampar di pantai Pengerang

MASTURAH SURADI
MAYAT seorang wanita dengan kesan cedera di paha ditemui terdampar berhampiran Lubuk Sepang, Bayu Damai, Pengerang, Kota Tinggi, hari ini.
KOTA TINGGI – Mayat seorang wanita dengan kesan cedera di paha ditemui terdampar berhampiran Lubuk Sepang, Bayu Damai, Pengerang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, anggota Balai Polis Bayu Damai telah menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan mayat terbabit pada pukul 10.40 pagi.

Katanya, susulan maklumat tersebut, sepasukan pegawai serta anggota polis dari IPD Kota Tinggi bersama bahagian forensik D10 IPK Johor telah hadir ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan dan siasatan awal mendapati mayat wanita warganegara yang tidak pasti itu dipercayai mati lemas.

“Identiti mayat masih dalam proses pengesahan dan punca kematian sedang dalam siasatan. Bagaimanapun, kes ini disiasat di bawah mati mengejut dan mayat dibawa ke Hospital Kota Tinggi bagi tujuan bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, sehubungan itu, pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini atau kehilangan ahli keluarga agar tampil membantu siasatan dengan hubungi Inspektor Hafizi Said di talian 017-925 2768. – KOSMO! ONLINE

Dua beranak ditahan disyaki ‘transporter’ penyeludupan PATI

Zuliaty Zulkiffli

JITRA: Seorang lelaki dan anak perempuannya berusia 16 tahun serta seorang lelaki tempatan ditahan kerana disyaki sebagai ‘transporter’ membawa 16 pendatang asing tanpa izin (PATI) masuk ke negara ini.

Lelaki berusia 47 tahun itu sanggup membawa anak perempuannya itu bersama rakannya berusia 40-an untuk membawa PATI berkenaan ke destinasi ditetapkan dengan upah yang lumayan.

Mereka ditahan pada Rabu lalu jam 4 pagi di Plaza Tol Jitra arah selatan oleh Cawangan Risik Ibu Pejabat Briged Utara, Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu dalam operasi Op Taring Delta.

Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Balveer Singh berkata, ketika ditahan suspek dipercayai terbabit dalam kegiatan pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kenderaan utiliti sukan (SUV).

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan itu mendapati, terdapat 16 orang PATI iaitu sembilan lelaki dan tujuh wanita berusia antara 16 hingga 35 tahun dipercayai warga Myanmar.

"Modus operandi yang digunakan transporter itu ialah menggunakan kenderaan yang disewa.

"Hasil siasatan mendapati, suspek dipercayai menjalankan kegiatan itu sejak Ogos lalu dan siasatan masih dilakukan sama ada remaja perempuan itu masih bersekolah atau tidak, " katanya pada sidang media di IPD Kubang Pasu, semalam.

"Susulan itu, kita berjaya menahan seorang lelaki warga Myanmar berusia 30-an yang disyaki berperanan ketua sindiket di Nibong Tebal, Seberang Perai Utara Selatan, Pulau Pinang pada hari berikutnya.

"Hasil siasatan mendapati, dua suspek rakyat tempatan itu mempunyai dua rekod jenayah lampau dan ujian saringan awal air kencing terhadap ketiga-tiga mereka adalah negatif," katanya.

Semua suspek ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) selama 28 hari sehingga 11 Februari depan manakala bagi tangkapan warga asing pula direman 14 hari di bawah Akta Imigresen 1959/63.

MB Pahang: PN jual persepsi, fitnah untuk tawan Pahang

Nora Mahpar, Faiz Zainudin dan Nur Alif Hazmi

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) hanya menjual persepsi, sentimen dan fitnah dalam misinya menawan Pahang pada PRU16, kata Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail.

Bercakap kepada FMT, naib presiden Umno itu berkata naratif berkenaan termasuk mendakwa pentadbiran semasa diterajui Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) tidak Islamik walaupun realitinya berbeza.

“Bagitahu saya apa yang tak Islamik, negeri ini beri bantuan RM750 kepada jemaah haji, wang saku kepada individu kali pertama berkahwin dan beri bantuan RM10,000 setahun kepada masjid.

“Dari sudut ekonomi pula belanjawan kita surplus, tapi pembangkang keluar kenyataan kata itu hitam (negatif) walaupun ia putih (positif),” katanya merujuk tindakan Ketua Pembangkang DUN Pahang Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Beliau pertikai laporan Ketua Audit Negara yang mengatakan belanjawan Pahang surplus dan berbelanja ikut peruntukan.

“Tetapi beliau tak faham dan masih pertikai juga, saya kata buang masa dewan (DUN) dan elok buat kursus. Tetapi mereka bantah kata bukan tak faham tapi ketua audit negara yang tak faham,” katanya yang ditemui di tepian Perhimpunan Agung Umno 2025 (PAU2025).

Menurut Wan Rosdy yang juga Adun Jelai, rakyat boleh menilai sendiri kemampuan PN berdasarkan situasi terbabit.

“Biasalah jadi pembangkang keluarkan kenyataan yakinkan orang ramai dengan buat persepsi, sentimen dan fitnah.

“Tetapi dalam masa sama orang menilai kalau mereka jadi kerajaan apa nak dibuat,” katanya.

Tahun lalu, gabungan pembangkang melancarkan PN Tawan Pahang (PTP) untuk menawan Pahang.

Pada PRU15, BN dan PN masing-masing menang 17 kerusi manakala PH memperoleh lapan DUN menyaksikan tiada parti memperoleh majoriti membentuk kerajaan Pahang.

BN kemudiannya bekerjasama dengan PH untuk menguasai DUN sekali gus menubuhkan kerajaan.

Baru-baru ini, Malaysiakini melaporkan Ketua Penerangan PN Pahang Mohd Tarmizi Yahaya berkata gabungan itu menyasarkan tambahan sekurang-kurangnya lima lagi kerusi DUN bagi mencapai hasrat membentuk kerajaan.

Difahamkan DUN berkenaan ialah Tioman, Padang Tengku, Sabai, Ketari dan Chini.

Pemimpin, individu berprofil tinggi negara ramai sembunyi ‘wang kotor’, aset di Asia Barat

Ilah Hafiz Aziz

KUALA LUMPUR: Ramai rakyat Malaysia termasuk pemimpin terkenal dikesan mula mengumpul dan menyembunyikan kekayaan yang diperoleh melalui ‘wang kotor’ di sebuah negara di Asia Barat, yang kini bergelar destinasi selamat yang baharu bagi individu korup dan jenayah penggubahan wang haram dunia.

Memetik laporan BH, difahamkan, destinasi ‘safe haven’ bagi jenayah kewangan itu kini juga dikesan mula menggantikan beberapa buah negara maju yang terpalit dengan aktiviti kewangan meragukan itu.

Negara itu dikesan bukan sahaja mengalu-alukan kehadiran orang kaya dan kenamaan dari seluruh dunia malah penggubah wang haram dari serata dunia untuk mengelakkan perbuatan itu sukar diambil tindakan oleh pihak berkuasa.

BH difahamkan, dasar ‘ketebukaan’ yang diamalkan oleh negara itu juga kini menarik minat kenamaan berprofil tinggi dan penjenayah kewangan Malaysia yang mula menyembunyikan dana dan memiliki aset sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Siasatan terbaharu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga mendedahkan, beberapa individu berprofil tinggi termasuk seorang bekas pemimpin terkemuka menjadi antara yang dikesan mempunyai aset mewah.

Pemimpin itu dipercayai membeli aset itu secara tunai di negara itu, berkemungkinan menggunakan dana yang tidak diisytiharkan di Malaysia.

Selain itu, kekangan perundangan di negara itu juga menjadi punca individu-individu yang dikehendaki atas kes rasuah atau jenayah kewangan sukar dikenakan tindakan undang-undang dan masih bebas sehingga kini.

Mengesahkan perkara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengakui negara itu kini menjadi pilihan berbanding sebuah lagi negara di Asia.

Beliau berkata, beberapa faktor menjadi punca negara itu menjadi destinasi penggubahan wang haram antaranya adalah keterbukaannya untuk menerima dana-dana yang meragukan daripada entiti dan individu tertentu.

“Kebelakangan ini kita mengesan negara itu menjadi tumpuan mereka yang terbabit dalam aktiviti kewangan yang meragukan seperti penggubahan wang haram.

“Di sana mereka boleh membawa tunai malah boleh menyimpan dana-dana itu dalam bank dan disebabkan itu ia menjadi pilihan (mereka yang terbabit jenayah kewangan), termasuklah daripada Malaysia,” katanya kepada BH, di sini.

Dalam perkembangan itu, Azam berkata, kebanyakan negara seperti Malaysia menolak untuk menerima dana yang meragukan dan tertakluk kepada ‘compliance money laundering’.

“Tetapi di sana mereka tidak mengamalkan dasar itu dan dalam kes yang kita siasat, ada kenamaan berprofil tinggi yang terkenal mempunyai aset mewah di sana juga. Siasatan mendapati dia membeli aset itu secara tunai,” katanya.

Sementara itu siasatan BH mendapati, antara punca negara itu menjadi tumpuan penjenayah kewangan dan individu kerana pasaran hartanah mewah yang tidak telus dan kemampuan untuk pemilikan asing sehingga 100 peratus.

Malah meskipun terdapat kawal selia yang mewajibkan pelaporan transaksi di negara ini, penjenayah kewangan terus mengeksploitasi sektor ini dengan mengambil kesempatan daripada penguatkuasaan yang longgar, ketelusan yang terhad dan jurang peraturan, sekali gus membolehkan dana haram ditukar kepada aset fizikal bernilai tinggi.

Agensi menentang rasuah dunia, Transparency International juga pernah mengeluarkan amaran mengenai negara ini kerana dikesan mempunyai ‘red flags’ untuk menjadi pasaran terbuka bagi penggubahan wang haram serta tempat perlindungan selamat bagi insan yang korup.

Menurut laporan itu, sektor kewangan negara berkenaan bersifat tertutup dan dikawal selia secara lemah, pasaran hartanah mewah yang tidak telus dan pemantauan serta penguatkuasaan yang kurang, menjadikan ia sebagai destinasi ideal untuk menawarkan pelbagai perkhidmatan kepada penjenayah di seluruh dunia.

Malah laporan juga menunjukkan individu yang berada di bawah sekatan antarabangsa menjadikan negara itu sebagai tempat perlindungan selamat, malah laporan menunjukkan terdapat tokoh jenayah terancang dan ahli politik dari pelbagai ceruk dunia membeli hartanah di situ.

Kebodohan siapa yang memagar Padang Merbok 3 tahun dulu

Hannah: Padang Merbok kembali milik rakyat, DBKL tanggal pagar
Malaysiakini 

Pihak berkuasa telah menanggalkan pagar besi yang mengelilingi Padang Merbok di Kuala Lumpur.

Menteri Wilayah Persekutuan yang baru dilantik, Hannah Yeoh menyifatkan langkah itu sebagai “mengembalikan Padang Merbuk kepada pemilik sebenar iaitu rakyat."

Langkah tersebut diambil lebih tiga tahun selepas pagar itu dipasang oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ketika kerajaan berada di bawah kepimpinan Perikatan Nasional.

Yeoh berkata tindakan itu membuktikan komitmen kerajaan Madani untuk “membetulkan perkara tidak wajar” dan ia bermula dengan membebaskan Padang Merbok.

"Bila kita ada padang awam seperti ini dan ada pagar ia menyusahkan rakyat untuk keluar masuk. Dan Padang Merbuk ini merupakan sebahagian daripada kehidupan Kuala Lumpur. Kita ada Dataran Merdeka dengan Padang Merbok.

"Apa yang kita nak juga untuk sidang parlimen yang akan datang, padang bila dah tak ada pagar, sesuai kalau ada sesiapa yang nak berkumpul untuk memberikan memo kepada wakil wakil rakyat. Sekarang ini semua atas jalan raya, dekat corner, dekat tepi jalan sana.

"Saya lihat sangat bahaya kerana trafik berjalan dengan cepat dan menyusahkan pegawai-pegawai parlimen, pegawai-pegawai polis yang kena menjaga di atas jalan raya,” katanya kepada pemberita ketika melawat padang itu pagi ini.

Yeoh hadir ke Padang Merbok bersama Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, yang juga ahli parlimen Lembah Pantai, serta Datuk Bandar Kuala Lumpur Fadlun Mak Ujud bagi meninjau kerja-kerja penanggalan pagar yang bermula dua hari lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) itu berkata padang berkenaan juga akan dinaik taraf untuk tujuan rekreasi yang boleh dinikmati orang ramai.

Antara perancangannya termasuk pemasangan skrin besar supaya keluarga boleh meluangkan masa di Padang Merbok pada waktu malam untuk menonton filem, yang akan dilaksanakan dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Pada Ogos 2023, Yeoh dan Fahmi (gambar bawah) pernah mengadakan sidang media di lokasi sama bagi membantah keputusan kerajaan pimpinan PN ketika itu untuk mendirikan pagar besi di sekitar padang tersebut, yang sering digunakan sebagai lokasi perhimpunan oleh para penunjuk perasaan.

Mereka mempersoalkan jika langkah itu merupakan reaksi terburu-buru kerajaan terhadap bantahan menuntut kebebasan kehakiman Walk for Judicial Independence anjuran Majlis Peguam Malaysia dua bulan sebelum itu, dengan para peguam memulakan perarakan dari Padang Merbok ke Parlimen.

Bagaimanapun, Datuk Bandar Kuala Lumpur ketika itu, Mahadi Che Ngah, mendakwa pemasangan pagar tersebut hanyalah sebahagian daripada kaedah penyelenggaraan bagi memastikan padang itu sentiasa berada dalam keadaan terbaik.

Dia berkata orang awam masih dibenarkan menggunakan Padang Merbok dengan kebenaran berjadual, dan pendekatan sama turut dilaksanakan di beberapa kawasan lain bagi tujuan tersebut.

15 minit kejar mengejar, APMM patahkan cubaan lari 32 PATI ikut jalan laut

Amirul Aiman Hamsuddin
am@hmetro.com.my
APMM Selangor menahan 32 PATI warga Indonesia yang cuba keluar dari Malaysia secara haram di kedudukan kira-kira 3.6 batu nautika barat daya Kuala Selangor, awal pagi hari ini. FOTO IHSAN APMM SELANGOR
APMM Selangor menahan 32 PATI warga Indonesia yang cuba keluar dari Malaysia secara haram di kedudukan kira-kira 3.6 batu nautika barat daya Kuala Selangor, awal pagi hari ini. FOTO IHSAN APMM SELANGOR
Shah Alam: Cubaan membawa keluar 32 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Malaysia melalui laluan laut gagal apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor menahan mereka, awal pagi hari ini.

Timbalan Pengarah Operasinya, Komander Maritim Mohd Fairusnizam Abdul Razak berkata, pihaknya mengesan bot kayu yang mencurigakan pada kedudukan kira-kira 3.6 batu nautika barat daya Kuala Selangor, jam 4.15 pagi.

Beliau berkata, vesel berwarna merah dan biru tanpa nombor pendaftaran itu diarah berhenti untuk pemeriksaan namun juragannya enggan mematuhi arahan dan cuba melarikan diri.

"Selepas kira-kira 15 minit aksi kejar-mengejar, bot berkenaan berjaya dipintas dan ditahan oleh pasukan kami.

"Hasil pemeriksaan mendapati seramai 32 PATI berada di atas vesel itu terdiri daripada 23 lelaki dan sembilan wanita berusia antara 24 hingga 60 tahun dipercayai cuba keluar dari negara ini secara haram," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Fairusnizam berkata, kesemua PATI adalah warga Indonesia dan gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

"Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Antipemerdagangan Orang danAntipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

"Kesemua suspek bersama vesel dirampas dan diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah untuk siasatan dan tindakan lanjut." katanya.

Polis tahan bekas wartawan FMT bawah akta hasutan

Malaysiakini 

Polis menahan wartawan Rex Tan selepas dia mengemukakan satu soalan yang didakwa mengandungi unsur perkauman semasa satu syarahan awam di Kuala Lumpur yang menampilkan ahli politik United Kingdom, George Galloway, bertajuk “Gaza Exposes the Complicity of International Actors”.

Tan yang meletakkan jawatan daripada portal berita FMT semalam, ditahan selepas tengah malam ini setelah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Peguamnya, Rajsurian Pillai mengesahkan bahawa Tan ditahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Malaysiakini difahamkan siasatan kes Tan dikendalikan pasukan polis Bukit Aman.

Selepas menerima kecaman meluas, Tan memohon maaf kerana mengemukakan soalan tersebut, yang disifatkannya sebagai “dirangka dengan kurang tepat” dan gagal “menilai relevansinya dengan acara ini, serta kerana menanyakan soalan itu tanpa mengambil kira sensitiviti topik."

“Yang paling penting, saya amat menyesal kerana menyebut kaum Cina dan Melayu, yang sepatutnya langsung tidak disebut sama sekali,” tambahnya.

??? Babi

Mohsin Abdullah

Ia sebenarnya isu alam sekitar, kesihatan dan keselesaan rakyat namun sudah dijadikan isu perkauman.

Kepada saya berkata seorang pemerhati politik, kenalan lama yang tinggal di Selangor: “Isu babi bakal runtuhkan Pakatan Harapan di Selangor pada pilihan raya negeri.”

Isu dimaksudkan kita semua tahu iaitu penternakan babi yang sememangnya menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan orang Melayu. Sebenarnya, rasa ‘tidak puas hati’ ialah istilah lembut untuk menggambarkan perasaan orang Melayu.

“Ketidakpuasan hati ini memudahkan Perikatan Nasional untuk menarik sokongan pengundi Melayu atas dasar mempertahankan maruah dan kesucian agama,” kata si pemerhati politik tadi. Saya setuju. Golongan tertentu khususnya mereka yang terpaling itu dan terpaling ini akan atau sudah mengeksploitasi isu ini. Jika guna istilah badminton ini bagai bola tanggung yang mengundang pukulan ‘smash’. Lalu golongnan terpaling pun ‘smashlah’.

Kata pemerhati politik itu lagi: “PH (akan dituduh) lebih mengutamakan ekonomi atau pihak tertentu berbanding kualiti hidup penduduk setempat.”

Tidak perlu saya huraikan siapa ‘pihak tertentu’ dimaksudkan. Isu ini memang ada elemen perkauman. Ini tidak dapat dinafikan.

Orang Melayu memang pantang ‘datuk nenek aku’ dengan babi, penternak babi orang Cina. Yang makan daging babi orang Cina. Begitu juga orang bukan Islam lain.

Exco kerajaan Selangor Izham Hashim menggesa jangan jadikan ternakan babi isu perkauman.

Namun, bak kata pemerhati politik tadi: “Isu babi sering menjadi peluru politik yang efektif dalam kempen pilihan raya di kawasan luar bandar dan separa bandar.” Memang betul.

Menurut data 2025 populasi Selangor dianggarkan sekitar 6.99 juta merangkumi demografi Bumiputera (majoriti Melayu) 60.6%, Cina 27.3% dan India 11.3%.

Yang main isu politik mencemuh Izham kerana beliau ahli Amanah, parti Islamis yang berkonsep ‘Rahmatan lil alamin’. Reaksi golongan yang mempertahankan beliau pula menegaskan semasa PAS berada dalam kerajaan Selangor bersama Pakatan Rakyat (PR) portfolio infrastruktur dan pertanian yang Izham sandang sekarang dijawat orang PAS.

Sesungguhnya, masalah ladang ternak babi di Selangor sudah lama berlarutan. Sejak kerajaan pimpinan Umno/BN, pentadbiran PR dan PH. Terlalu lama. Tidak boleh dinafikan ladang babi menimbulkan isu pencemaran sungai, masalah lalat, bau busuk, jejas kesihatan dan rata-rata menyusukan penduduk setempat.

Kerajaan Selangor yang ada sekarang mahu ‘settle the problem once and for all’. Lantas mahu buka ladang ternakan babi berpusat. Di Bukit Tagar, Hulu Selangor bagi menempatkan 112 ladang yang kini beroperasi di Tanjung Sepat, Kuala Langat dan tiga di Sungai Belankan, Sepang. Ertinya, kata Menteri Besar Amirudin Shari ‘daripada beratus dijadikan satu’. Dan kata beliau lagi ‘realitinya kita hendak tutup lebih seratus ladang ternakan babi’.

Isu ini sebenarnya isu alam sekitar, kesihatan dan keselesaan rakyat. Namun, seperti dikata tadi ia boleh atau sudah dijadikan isu perkauman. Lantas kerajaan pimpinan Amirudin mesti mengimbangi sensitiviti orang Melayu dengan kepentingan penternak Cina dan keperluan orang bukan Melayu.

Menurut Malaysiakini ada perhimpunan aman oleh lebih 200 penternak babi dan pihak berkepentingan yang menggesa kerajaan melonggarkan beberapa syarat yang mereka dakwa terlalu ketat.

Tidak perlu saya nyatakan parti mana yang disokong rata-rata masyarakat bukan Melayu di Selangor. Terutama orang Cina. Tolak tepi aspek politik hakikatnya mesti ada kesaksamaan dan keadilan untuk semua. Itu kata kuncinya. Buat Melayu dan bukan Melayu.

Bagi saya yang tidak mahu dilihat berlaku ialah memindahkan masalah Tanjung Sepat dan Sungai Belankan ke Bukit Tagar. Perlu diingat Bukit Tagar telah dijadikan tapak pelupusan sampah seluas 800 hektar sejak 2005.

Yang tidak mahu dilihat ialah masalah baru di Bukit Tagar dengan adanya satu ladang ternakan babi besar di kawasan itu. Kata Izham ‘Bukit Tagar ini kawasan pengumpulan sampah. Jangan kata orang Melayu, makhluk lain pun tak sanggup tinggal di kawasan tersebut’.

Mungkin lawak mungkin sinis. Jelas beliau merujuk golongan yang tuduh orang Melayu akan susah jika ladang babi pusat didirikan di Bukit Tagar.

Menurut Izham, pusat ternakan babi yang akan dibina ialah moden, berteknologi tinggi dan mesra alam. Bagus. Oleh itu pastikan ini yang akan didirikan. Pada masa lalu kita tahu banyak rombongan pemimpin dan pegawai kerajaan telah melakukan ‘lawatan sambil belajar’ ke negara maju khususnya Eropah untuk meninjau bagaimana ladang babi teknologi tinggi dan mesra alam beroperasi. Tetapi selesai lawatan masalah yang dihadapi masih tidak selesai. Ladang babi masih beroperasi cara lama.

Yang mahu dilihat wujud ialah situasi yang tidak memudaratkan. Dalam memastikan semuanya okey, di ladang ternakan babi tengoklah juga kawasan pembuangan sampah. Jadikan Bukit Tagar kawasan tidak mudarat meskipun ada ladang babi dan kawasan buang sampah. Tapi bukanlah sehingga makhluk lain selain manusia boleh datang tinggal di situ.

Diberitakan kos pembinaan ladang ternakan babi pusat tidak akan gunakan dana kerajaan negeri. Izham mengesahkan projek Bukit Tagar inisiatif swasta dengan kerajaan negeri memudahkan kelulusan yang diperlukan.

Saya yakin penternak dan rakan mereka mampu menampung perbelanjaan. Cuma pastinya mereka mahu mendapat pulangan. Ertinya ‘to recoup big investment for modern hygienic farming’. Ini mungkin menimbulkan masalah jika penternak boleh jual hasil mereka di negeri Selangor sahaja dan tidak boleh eksport.

Masalah ladang ternakan babi telah mendapat perhatian Sultan Selangor sendiri. Keadaan kotor dan bau busuk di ladang di Tanjung Sepat mendorong baginda mengusulkan wakil rakyat tinggal di sebelah ladang babi untuk rasa apa yang rakyat rasa.

Dalam satu kenyataan Istana Selangor tempoh hari, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah baginda pandang serius keputusan kerajaan membenarkan operasi ternak babi di Tanjung Sepat sebelum dipindahkan ke kawasan Bukit Tagar pada 2030.

Memang baginda mahu operasi di Tanjung Sepat dihentikan. Tetapi, ini jangan disalah tafsir. Baginda mahu operasi sedia ada dihentikan secara beransur-ansur dan seterusnya dipindahkan sepenuhnya ke kawasan Bukit Tagar.

Inilah yang kerajaan negeri mesti lakukan. Laksanakan titah sultan. Lantas ia tidak perlu bimbang isu dieksploitasi musuh politik dan golongan terpaling Melayu mahupun terpaling Cina.

2 lelaki maut dihempap lori ketika baiki brek

Mohd Roji Kawi
mdroji@bh.com.my
Dua pekerja maut selepas tersepit di bawah lori yang mereka baiki berdekatan kuari di Bukit Mambong, Padawan, hari ini. FOTO IHSAN JBPM
Dua pekerja maut selepas tersepit di bawah lori yang mereka baiki berdekatan kuari di Bukit Mambong, Padawan, hari ini. FOTO IHSAN JBPM
Kuching : Dua lelaki maut selepas tersepit di bawah lori membawa muatan batu dalam kejadian di kawasan jalan kuari Bukit Mambong, Siburan, di Padawan, hari ini.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, kedua-dua mangsa dipercayai sedang melakukan kerja membaiki sistem brek lori berkenaan sebelum kenderaan berat itu menghempap mereka.

Kedua-dua mangsa dikenal pasti sebagai Laga Tegong, 46 dan Sady Joe Liam, 26, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh anggota paramedik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akibat kecederaan parah.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.02 petang.

Menurutnya, sejurus menerima panggilan, sepasukan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan segera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira sembilan kilometer dari balai.

"Jentera bomba tiba di lokasi pada jam 2.28 petang dan mendapati kedua-dua mangsa tersepit di bawah lori 10 tan ketika kerja membaiki brek sedang dijalankan.

"Komander operasi memaklumkan kerja menyelamat membabitkan penggunaan dua buah jentera jengkaut milik syarikat kuari bagi mengangkat bahagian sisi lori berkenaan," katanya.

Menurutnya, mayat mangsa pertama berjaya dikeluarkan dari bawah lori pada jam 4.55 petang manakala mangsa kedua pula dikeluarkan sembilan minit kemudian, iaitu pada jam 5.04 petang.

"Mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut," katanya.

Panik bangun tidur ular sawa melingkar atas dada

KOSMO!
SEEKOR ular sawa permaidani yang memasuki rumah Rachel Bloor. - Foto Rachel Bloor
SYDNEY –  Seorang wanita di Brisbane, Rachel Bloor, panik apabila dia terjaga daripada tidur dan mendapati seekor ular sawa berlingkar di atas tubuhnya, lapor portal berita ABC News semalam.

Ular panjang 2 setengah meter itu menyusur ke katilnya lewat malam Isnin lalu sebelum dia merasakan sesuatu yang berat berada di bahagian perut dan dada.

Rachel menyangka anjing peliharaan berada di atas tubuhnya dan apabila meletakkan tangan di atas selimut, dia terasa sesuatu bergerak di dalam genggamannya.

Wanita itu segera mengejutkan suaminya dan menyuruh lelaki berkenaan menyalakan lampu.

Suaminya kemudian berkata: “Sayang, jangan bergerak. Ada ular sawa permaidani panjang lebih 2 meter berada di atas kamu.”

Ketika itulah rasa panik mula melanda Rachel.

“Saya risaukan anjing,” kata Rachel sebelum suaminya membawa kedua-dua haiwan peliharaan itu keluar dari bilik tidur.

Dari bilik sebelah, suaminya memberitahu bahawa dia perlu merangkak keluar dari bawah selimut.

“Jadi, saya perlahan-lahan mengesot ke tepi,” katanya.

Selepas turun daripada  katil, dia membantu ‘membimbing’ ular itu keluar melalui tingkap.

Dia mengesyaki ular tersebut menyusur naik ke tingkat dua rumahnya dan kemudian melingkar di atas dirinya. – AGENSI

Guru mengaku tak salah amang seksual 4 pelajar

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang guru sekolah rendah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban atas empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap empat kanak-kanak sejak 2024.

Sinar Harian melaporkan Mohamad Kamal Nik Ismail, 41, membuat pengakuan itu di depan Hakim Surita Budin.

Dia didakwa melakukan perkara tidak senonoh terhadap empat pelajar lelaki 12 tahun di Bilik Operasi Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT), bilik guru dan sebelah dewan sebuah sekolah di Senawang antara Jun 2024 hingga September tahun lalu.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 41(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni memohon ikat jamin RM30,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dan ditempatkan sementara di sebuah pusat kegiatan guru sejak bulan lalu, memohon jaminan minimum, selain memaklumkan dia sudah berkahwin tetapi tiada anak.

Mahkamah membenarkan jaminan RM9,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan, melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan hingga kes selesai.

Hakim menetapkan sebutan semula kes untuk lantikan peguam dan serahan dokumen pada 23 Feb ini.

Enam anggota polis termasuk pesara direman disyaki minta, terima rasuah RM150,000

Siti Aminah Mohd Yusof
Enam terdiri empat pegawai, seorang anggota dan seorang pesara polis dibawa ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini untuk mendapatkan kebenaran reman bagi membantu siasatan kes rasuah. - Foto NSTP
Enam terdiri empat pegawai, seorang anggota dan seorang pesara polis dibawa ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini untuk mendapatkan kebenaran reman bagi membantu siasatan kes rasuah. – Foto NSTP
GEORGE TOWN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang menahan enam lagi individu terdiri daripada empat pegawai, seorang anggota dan pesara polis susulan siasatan berkaitan dakwaan rasuah untuk melindungi aktiviti perniagaan melanggar undang-undang berjumlah kira-kira RM150,000.

Majistret Shyahirah Abdul Salim membenarkan perintah reman lima hari bermula hari ini sehingga 18 Januari selepas permohonan dikemukakan SPRM di Mahkamah Majistret di sini.

Menurut sumber, semua individu berusia 40 hingga 60-an ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Pulau Pinang antara jam 11 pagi hingga 5 petang semalam.

"Semua mereka ditahan bagi membantu siasatan meminta dan menerima rasuah kira-kira RM150,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap pemilik pusat hiburan, pusat urut dan judi haram yang melakukan kesalahan undang-undang.

"Berdasarkan siasatan awal, semua mereka dipercayai melakukan perbuatan itu antara 2016 hingga 2021 dengan menerima rasuah RM500 hingga RM2,000 setiap bulan," katanya.

Difahamkan, suspek menerima wang rasuah melalui transaksi pemindahan wang secara dalam talian ke akaun pihak ketiga daripada pemilik syarikat pinjaman wang berlesen dan perkhidmatan kesihatan manusia untuk menyembunyikan dari sumber mana aliran wang itu diterima.

Terdahulu, suspek terdiri empat pegawai berpangkat Asisten Superintendan (ASP), seorang anggota berpangkat Sarjan dan seorang lagi pesara polis dengan pangkat terakhir sebagai Sarjan tiba di pekarangan mahkamah dengan tangan bergari dan memakai baju lokap SPRM, kira-kira jam 9 pagi.

Peguam K Mahendaran mewakili suspek berpangkat ASP berusia 46 tahun, manakala A Mahesh mewakili seorang lagi pegawai ASP berusia 45 tahun, manakala empat yang lain diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk Karunanithy Y Subbiah ketika dihubungi mengesahkan penahanan semua individu itu dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Penahanan terbaharu itu menjadikan jumlah suspek yang ditahan setakat ini tujuh orang selepas semalam seorang pegawai polis berpangkat ASP ditahan selepas disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM27,000.

Pengerusi PN: Tuan Ibrahim pertahan Dr Sam, tolak dakwaan menantu Hadi

FMT Reporters

PETALING JAYA: Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menolak dakwaan kononnya parti itu akan kehilangan 37 kerusi Parlimen sekiranya Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar menerajui Perikatan Nasional (PN).

Tuan Ibrahim berkata kenyataan dibuat Ketua PAS Sungai Buloh Zaharudin Muhammad itu tidak mencerminkan pendirian parti, sebaliknya hanyalah pandangan peribadi, lapor Berita Harian.

Menurutnya, pandangan itu tidak selari dengan apa yang sebenarnya berlaku kerana di bawah kepimpinan Samsuri, PAS menunjukkan rekod cemerlang dalam pilihan raya di negeri berkenaan.

“Saya fikir itu pandangan peribadi beliau dan ia terpisah daripada realiti.

“Jika kita melihat kepada pencapaian kerajaan Terengganu di bawah kepimpinan beliau, PAS mencatatkan prestasi yang sangat memberangsangkan,” katanya.

Media melaporkan Zaharudin yang juga menantu presiden PAS Hadi Awang berkata dakwaan itu berdasarkan dapatan diperoleh daripada data dalaman parti berkenaan yang enggan didedahkannya.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata kenyataan itu juga harus dilihat sebagai analisis individu dan bukan pendirian rasmi parti.

“Itu adalah analisis peribadi beliau. Ia tidak mewakili PAS. Setiap orang bebas menyuarakan pandangan,” katanya.

Kerusi pengerusi PN kini kosong susulan keputusan Presiden Bersatu Muhyiddin meletak jawatan berkuat kuasa 1 Jan lalu, dipercayai akibat krisis politik di Perlis menyaksikan partinya mengambil alih tampuk pemerintahan daripada PAS.

PAS menyatakan hasrat untuk mengetuai PN dengan beberapa nama dikaitkan antaranya Awang, Tuan Ibrahim dan Samsuri.

Pelantikan itu akan dibuat pada mesyuarat tertinggi PN yang tarikhnya belum ditetapkan sekali gus menyebabkan jawatan tersebut belum diisi lebih 10 hari selepas dikosongkan.

Akmal, politik jerit dan masa depan yang menggelisahkan

DR SHAHNOR BASRI

Peletakan jawatan Dr Akmal Saleh sebagai Exco Pemuda UMNO Melaka bukan sekadar satu episod dalaman parti. Ia disertai dengan satu siri kenyataan dan sindiran terbuka yang, walaupun tidak menamakan sesiapa secara langsung, jelas menyasarkan kepimpinan UMNO sendiri. Dalam bahasa politik, mesejnya terang: satu cabaran, satu serangan, dan satu isyarat bahawa politik jerit dan emosi terus dijadikan senjata.

Benar, Timbalan Presiden UMNO memilih pendekatan berlapik dan tidak melabelkan Akmal sebagai melampau atau biadab. Namun politik bukan hanya soal label rasmi, tetapi soal hakikat adab dan akhlak. Dan pada hakikatnya, gaya, nada serta naratif yang dibawa Akmal adalah jauh tersasar daripada tradisi politik matang yang sepatutnya dibina oleh sebuah parti nasional yang berusia lebih tujuh dekad. Akmal tidak pernah hidup pada 13 Mei 1969, betapa ganasnya dan peritnya kehidupan yang disemarakan akibat nyalaan api perkauman!

Kenyataan terbaharu Akmal bahawa kononnya ada pihak “menggelumpur” akibat perletakan jawatannya hanya menzahirkan satu masalah lebih besar: krisis keinsafan diri dalam kepimpinan muda.

Dalam dunia serba bermaklumat hari ini, di mana rakyat boleh menilai, membanding dan menyemak fakta dalam sekelip mata, retorik sebegini bukan sahaja kedengaran angkuh, malah memaparkan kemiskinan kematangan politik.

Selepas lebih 60 tahun kemerdekaan, Malaysia masih dibelenggu politik sentimen perkauman yang murah dan berulang. DAP terus dijadikan punching bag politik — seolah-olah semua masalah negara boleh disederhanakan dengan satu musuh simbolik.

Ya, tidak dinafikan terdapat pemimpin DAP yang bersikap biadab dan berhaluan radikal. Tetapi persoalannya mudah: apa bezanya Akmal jika beliau sendiri menormalisasikan bahasa kasar, emosi meluap dan politik konfrontasi kaum?

Masalah negara ini bukan sekadar siapa yang radikal di sebelah sana, tetapi siapa yang gagal menunjukkan contoh lebih baik di sebelah sini. Politik tidak akan matang jika kebiadaban dijawab dengan kebiadaban, dan ekstremisme dilawan dengan ekstremisme versi lain.

Lebih membimbangkan ialah laungan simbolik “300,000 Akmal baharu” yang dicanangkan. Bagi sesetengah pihak, ia mungkin slogan keberanian. Namun bagi mereka yang memikirkan masa depan negara, ia adalah amaran keras.

Bayangkan sebuah Malaysia yang dipenuhi pemimpin politik berasaskan kemarahan kaum, retorik membakar emosi dan penolakan terhadap dialog rasional. Negara seperti ini bukan menuju kekuatan, tetapi menuju perpecahan yang lebih dalam dan lebih sukar dibendung.

Jika inilah wajah kepimpinan masa hadapan Malaysia, maka kita sedang melangkah ke arah politik segmentasi kaum yang lebih ganas, lebih bising dan lebih berbahaya. Api perkauman mudah dinyalakan, tetapi hampir mustahil dipadamkan apabila ia merebak.

Namun perlu ditegaskan juga, walau apa pun pendirian Dr Akmal — termasuk kecenderungannya untuk “bercium mulus” dengan PAS — janganlah pergeseran kaum ini diheret ke jurang yang lebih dalam dan berbahaya. Politik percintaan taktikal antara individu atau parti tidak seharusnya dibayar dengan kehancuran hubungan kaum dalam negara.

Pada masa yang sama, pimpinan muda DAP yang agresif dan berhaluan keras juga wajar menahan diri; jangan pula menyambut Akmal dengan logik peperangan politik dan retorik balas dendam. Jika api disambut api, negara ini hanya akan tinggal abu.

Yang paling diuntungkan dalam suasana kacau-bilau ini bukanlah rakyat, tetapi PAS — parti yang bijak bermain dondang sayang politik, menangguk di air keruh, dan selama puluhan tahun secara sistematik mensekularkan UMNO daripada roh politik kebangsaan yang sederhana dan inklusif. Ironinya, mereka kini tampil sebagai kononnya pembela agama dan bangsa, sedangkan kerosakan yang ditinggalkan terhadap politik Melayu dan nasional jauh lebih mendalam.

Rakyat harus berhati-hati. Sejarah telah mengajar bahawa kebangkitan politik berteras emosi dan kebencian jarang berakhir dengan kesejahteraan. Ia mungkin memberi sorakan jangka pendek, tetapi meninggalkan luka panjang kepada negara.

Akhirnya, ayuhlah rakyat Malaysia — tua dan muda — hidup dan berpolitik dengan akal yang waras serta budi akhlak yang tinggi. Negara ini tidak kekurangan pemimpin yang berani. Apa yang semakin kurang ialah pemimpin yang matang, beradab dan sedar bahawa kuasa sebenar bukan pada jeritan, tetapi pada kebijaksanaan.

Dalam soal ini, Dr Akmal masih belum melepasi ujian tersebut — dan Malaysia tidak mampu terus dijadikan medan eksperimen politik berasaskan kemarahan kaum yang tidak berkesudahan.
-harapandaily

Rex Tan dan orang-orang yang sewaktu dengannya sila berambus dari Malaysia

Wartawan FMT mohon maaf soalan kontroversi ceramah Gaza

Bernama

Wartawan Free Malaysia Today (FMT) Rex Tan hari ini memohon maaf secara terbuka berhubung soalan yang diajukan semasa ceramah awam bertajuk “Gaza Exposes the Complicity of International Actors’ pada 12 Jan lepas.

Dalam kenyataan, Tan menyatakan rasa kesal mendalam terhadap soalan yang dirangka dengan tidak baik itu, mengakui bahawa soalan berkenaan kurang relevan dengan acara dan tidak mengambil kira sensitiviti topik tersebut.

Beliau khususnya memohon maaf kerana menyebut kaum Cina dan Melayu dalam soalan itu, dengan menegaskan bahawa rujukan tersebut tidak perlu dan sepatutnya dielakkan.

“Saya amat kesal atas soalan saya yang dirangka dengan kurang tepat, kegagalan saya menilai relevansinya dengan acara ini, serta kerana menanyakan soalan itu tanpa mengambil kira sensitiviti topik.

“Yang paling penting, saya amat menyesal kerana menyebut kaum Cina dan Melayu, yang sepatutnya langsung tidak disebut sama sekali,” kata Tan dalam kenyataan FMT.

Tan juga mengakui bahawa rujukannya kepada Malaya dalam soalan tersebut adalah keterlaluan, tidak relevan, mengelirukan, dan tidak perlu. Beliau memohon maaf kerana tidak menepati profesionalisme sebagai seorang wartawan dan menegaskan bahawa beliau sendiri bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kontroversi itu.

“Saya tidak akan menyalahkan mana-mana pihak, kerana ketidaktahuan saya sendiri telah mencetus kontroversi ini. Saya berharap orang ramai tidak mengkritik FMT Media secara keterlaluan atau, lebih teruk, menyerang keluarga dan insan tersayang saya.

Saya juga berharap orang ramai memahami bahawa soalan saya tidak menggunakan istilah ‘apartheid’ atau membandingkan keadaan masyarakat Cina Malaysia kini dengan situasi Palestin. Saya telah menjelaskan perkara ini semasa peluang bercakap kedua, apabila saya menyatakan: ‘Saya tidak membandingkan keadaan masyarakat Cina Malaysia sekarang dengan Palestin. Ia tidak tergambar,’” jelasnya.

Tan menegaskan sokongan beliau terhadap perjuangan rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri dan membebaskan diri daripada pendudukan Israel di Wilayah Palestin yang Diduduki.

Beliau turut menggesa orang ramai bersikap berhemah dan mengelak daripada menyebarkan atau mengulas perkongsian yang boleh menimbulkan salah faham, sekali gus menimbulkan ketegangan dalam perbincangan awam.

“Sekali lagi, saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap kontroversi dan ketegangan yang timbul. Saya memohon maaf dengan sepenuh hati atas kesilapan serius ini dan berharap tiada kerosakan lanjut akan menimpa FMT Media atau insan tersayang saya,” katanya.

Kontroversi ini tercetus daripada ceramah awam tersebut yang menampilkan ahli politik British, George Galloway, di mana soalan yang diajukan Tan menarik kritikan meluas di media sosial.

- Bernama

Zahid Hamidi: Saya ingin tahu Akmal nak serang siapa

Firdaus Azil

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan bertemu dengan Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang telah melepaskan jawatan sebagai Exco Negeri Melaka, namun mengekalkan jawatan parti untuk memberi tumpuan menentang DAP.

Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau ingin mengetahui siapa sebenarnya daripada DAP yang menyebabkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu membuat tindakan sedemikian.

“(Keputusan) itu hak peribadi beliau. Beliau tahu apa yang beliau lakukan. Saya (cuma) ingin tahu daripada beliau, nanti saya akan jumpa dengan beliau … nak serang siapa dalam perkara ini?” soalnya kembali.

Ahmad Zahid berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan logo baharu Kelab UMNO Luar Negara di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, pada Khamis.

Awal hari ini, Dr Akmal mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka.

Beliau bagaimanapun tidak akan melepaskan jawatan sebagai Ketua Pemuda seperti yang diramal sebelum ini.

Tegas Dr Akmal, keputusan tersebut diambil bagi membolehkan beliau memberi fokus kepada perjuangan menentang DAP, yang disifatkannya sebagai musuh yang nyata.

Selain itu, Dr Akmal berkata, beliau mahu membuktikan dirinya tidak sama sekali akan lari daripada perjuangan membela agama, bangsa dan tanah air.

Pemuda Sosial DAP (DAPSY) sebelum ini mendesak Dr Akmal untuk meletak jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO selagi terus mengkritik DAP dalam Kerajaan Perpaduan.

Ketegangan di antara Akmal dan pimpinan DAP timbul selepas beliau mendakwa pemimpin parti itu berulang kali membangkitkan isu yang menyentuh sensitiviti agama, bangsa, dan Raja-raja Melayu.

“Bagi saya jawatan dalam kerajaan negeri tidak penting, tetapi apa yang lebih penting adalah maruah, prinsip dan suara akar umbi,” tegasnya lagi.

Orang bujang dapat ‘duit poket’ RM50, RM100 bermula hari ini, 16 Januari

KOSMO!

PETALING JAYA – Golongan bujang yang layak di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (Sara) bakal menerima bantuan bulanan sehingga RM100 mengikut kelayakan masing-masing bermula esok, 16 Januari.

Perkara itu dimaklumkan Kementerian Kewangan menerusi perkongsian berkaitan tarikh penyaluran bantuan Kerajaan Madani di Facebook hari ini.

Seramai 3.1 juta individu bujang berusia antara 21 hingga 59 tahun layak menerima Sara bulanan berdasarkan dua kategori iaitu RM50 melibatkan pendapatan sebulan RM2,500 dan ke bawah, manakala pendapat sama dengan penambahan sebagai penerima bantuan e-Kasih bakal mendapat RM100 yang akan dikreditkan ke dalam MyKad.

Menurut maklumat tersebut, penyaluran Sara bulanan untuk isi rumah dan warga emas telah mula disalurkan lebih awal iaitu pada Jumaat lalu, manakala untuk semua rakyat Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas bakal menerima bayaran secara one-off RM100 pada 9 Februari 2026.

Sementara itu, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 pula akan dibayar bermula 20 Januari. – KOSMO! ONLINE

4 wanita pakai bikini berjemur dekat kuil

KOSMO!
BEBERAPA wanita memakai bikini dekat sebuah kuil. - Foto Facebook
BANGKOK – Sekumpulan wanita asing menerima kritikan di Chiang Mai, Thailand selepas berjemur matahari dengan memakai bikini berhampiran sebuah kuil Buddha, lapor portal berita MSNews hari ini.

Kejadian itu berlaku di sebuah kawasan berumput  terletak bertentangan dengan Kuil Ratchamonthian, sebuah tapak suci penganut Buddha di Chiang Mai, pada 5 Januari lalu.

Gambar empat wanita tersebut dimuat naik di sebuah halaman Facebook tempatan, dengan pengirim asal (OP) mengecam perbuatan itu sebagai tidak wajar.

Imej  tersebut menunjukkan wanita-wanita itu memakai bikini sambil duduk dan berbaring di atas rumput.

Dalam hantaran tersebut, OP menekankan bahawa tingkah laku demikian dianggap tidak menghormati budaya Thai dan mempersoalkan sama ada pelancong berkenaan berusaha untuk mempelajari adat tempatan.

Portal berita Thailand, Khaosod, melaporkan bahawa OP menyaksikan kejadian itu ketika memandu melalui bandar Chiang Mai.

Ramai netizen Thailand meluahkan rasa kecewa dengan seorang daripada mereka mencadangkan supaya pihak berkuasa meletakkan papan tanda di sekitar kawasan itu bagi mendidik pelancong tentang adat tempatan. – AGENSI

Mayat lelaki reput dan berulat ditemui di cerun

Juwan Riduan

KENINGAU: Mayat lelaki yang reput dan berulat ditemui di kawasan cerun di kilometer 67.7, Jalan Tulid – Tongod berhampiran kawasan estet Kampung Nontodon, Sook, semalam.

Mayat mangsa ditemui pada jam 8.16 pagi oleh orang awam sebelum dilaporkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Ketua Polis Daerah Keningau, Supritenden Yampil Anak Garai yang mengesahkan penemuan itu berkata, hasil pemeriksaan awal mengenal pasti mangsa adalah seorang warga asing berumur 45 itu telah reput dan berulat.

Katanya, mayat mangsa yang lengkap berpakaian itu ditemui di kawasan semak samun di dalam cerun sedalam kira-kira 10 kaki.

“Hasil siasatan awal mendapati tiada sebarang kesan pergelutan atau senjata termasuk kayu dan besi yang dikesan di tempat mayat ditemui.

“Kawasan penemuan juga sangat terpencil kira-kira tiga kilometer dari penempatan penduduk di paling hampir,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut turut menemui beg pinggang berisi wang tunai Filipina dan wang syiling Malaysia dipercayai milik mangsa.

“Anggaran tempoh kematian menerusi penelitian awal adalah sekitar seminggu,” katanya.

Sementara itu, Yampil berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan di Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu mendapati terdapat kesan luka di belakang kepala mangsa dipercayai kesan gigitan ulat semasa proses pereputan.

Katanya, pihak forensik turut mengesahkan punca kematian mangsa adalah atas faktor penyakit dalaman dan bukan disebabkan oleh kejadian serangan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya.

Trauma: Sembilan taring ular sawa tembus kaki, lilit badan hingga paras dada

Mohd Rafi Mamat
am@hmetro.com.my
mangsa ular sawa, Abdul Rafka Azka Abdullah menerima sembilan gigitan. FOTO MOHD RAFI MAMAT
mangsa ular sawa, Abdul Rafka Azka Abdullah menerima sembilan gigitan. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Pekan : "Saya takut setiap kali teringatkan detik ular sawa menggigit kaki kemudian membelit badan saya hingga paras dada menyebabkan saya sukar bernafas," kata Abdul Rafka Azka Abdullah, 10.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang Khamis lalu, Abdul Rafka hampir maut apabila digigit serta dibelit ular sawa batik yang menyerangnya di Kampung Temai Tengah, di sini.

Usaha menyelamat dilakukan abang dan bapa saudaranya yang mengambil masa kira-kira 30 minit.
 
Serangan ular sawa sepanjang kira-kira enam meter dan berat 40 kilogram itu menyebabkan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Agas, di sini menerima rawatan selama lima hari di Hospital Pekan.

Abdul Rafka Azka berkata, gigitan ular sawa itu menyebabkan bahagian pergelangan kaki kanannya kini masih bengkak walaupun tidak sakit, namun terpaksa menerima rawatan dalam tempoh panjang kerana doktor bimbang berlaku jangkitan kuman.

Menurutnya, setiap kali teringatkan kejadian itu, perasaan takut dan berdebar muncul terutama apabila berhadapan detik cemas reptilia itu menggigit dan membelit badannya hingga paras dada. Pada masa yang sama ekor ular itu hampir masuk ke dalam hidungnya.

"Saya bersyukur Allah masih memberi saya peluang untuk terus bernyawa. Sekiranya lambat bantuan daripada abang dan bapa saudara mungkin saya kini sudah tiada. Belitan ular sawa itu kuat hingga menyebabkan saya tidak dapat bernafas dengan lancar dalam masa kira-kira 30 minit.

"Saya bernasib baik apabila sembilan taring ular sawa yang menggigit pergelangan kaki saya tidak sampai ke bahagian tulang, hanya menembusi bahagian daging termasuk jari saja," katanya selepas menerima kunjungan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Pekan, Norbaizura Abdul Latiff di Kampung Sekukuh, di sini.

Bapa mangsa, Abdullah Mohd Sara, 48, berkata, semalam anaknya menjalani rawatan mencuci kesan gigitan ular sawa berkenaan di Hospital Pekan dan minggu depan doktor pakar tulang akan membuat pemeriksaan lanjutan bagi menilai tahap kecederaan seterusnya rawatan selanjutnya.

Katanya, Abdul Rafka sepatutnya memasuki sekolah minggu ini, namun tidak dapat berbuat demikian selepas doktor memberi cuti rehat selama sebulan bagi memastikan kecederaan yang dialami sembuh sepenuhnya.

"Saya bersyukur kecederaan yang dialami Abdul Rafka tidak terlalu serius cuma membabitkan luka taring digigit ular sawa berkenaan. Terdapat sembilan lubang kesan taring yang hampir terkena tulang kaki.

"Sekiranya bantuan lambat diberikan saya percaya nyawa anak saya akan melayang, selepas menggigit ular sawa itu bertindak membelit hingga paras dada anak saya hingga menyebabkan dia lemah apabila tidak dapat bernafas dengan lancar," katanya yang bekerja sebagai nelayan pantai di Kampung Sekukuh.

Sementara itu, Norbaizura berkata, pihaknya memberi bantuan segera berupa wang tunai selain makanan dan barangan kepada mangsa bagi meringankan beban keluarga mangsa.

"Kes kanak-kanak digigit dan dibelit ular sawa amat jarang berlaku, justeru saya nasihat pada ibu bapa supaya pantau aktiviti anak mereka dan pastikan mereka tidak bermain di kawasan paya yang terdedah dengan serangan ular sawa dan serangga berbisa," katanya.

Doktor ditahan disyaki bunuh isteri dan anak

Sinar Harian

JOHOR BAHRU: Seorang doktor disyaki membunuh isteri dan anak lelakinya dalam kejadian di sebuah kediaman di Bandar Dato’ Onn, di sini, pada 31 Disember lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk AB Rahaman Arsad berkata, mangsa seorang wanita tempatan berusia 36 tahun yang bekerja sebagai akauntan ditemui meninggal dunia dengan kesan kecederaan kelar di leher kira-kira jam 8.20 pagi.

Menurutnya, anak lelaki mangsa berusia empat tahun turut ditemukan tidak bernyawa dengan kesan kebiruan di bahagian muka dipercayai akibat tekupan.

“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, hasil bedah siasat mendapati punca kematian wanita tersebut adalah akibat asphyxia-related death, manakala punca kematian kanak-kanak berkenaan disebabkan smothering dan kematian kedua-duanya dipercayai berunsurkan jenayah.

Katanya, susulan siasatan yang dijalankan, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun yang bekerja sebagai doktor dan merupakan suami kepada mangsa pada 3 Januari lalu.

“Polis turut merampas beberapa barang kes bagi membantu siasatan, antaranya sebilah pisau serta sebiji bantal bersama sarung,” katanya.

Menurut beliau, suspek direman selama 13 hari bermula 4 hingga 16 Januari bagi membantu siasatan lanjut.

“Hasil semakan rekod jenayah mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau dan ujian saringan awal air kencing juga negatif dadah,” katanya.

Tambah beliau, kertas siasatan telah dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri Johor dan suspek diputuskan untuk dituduh dengan dua pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, satu pertuduhan di bawah Seksyen 201 serta satu pertuduhan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan dan prosiding mahkamah. -Sinar Harian

Guru tersebut bergaduh dengan sekumpulan pelajar di sekolah

KOSMO
Guru tersebut bergaduh dengan sekumpulan pelajar di sekolah. - Istimewa
JAKARTA – Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan aksi pergaduhan seorang guru bersama sekumpulan pelajar di sebuah sekolah di Tanjung Jabung Timur, wilayah Jambi, lapor laman berita Detik semalam.

Dalam video tersebut, guru itu pada awalnya dilihat menyampaikan pemberitahuan menggunakan pembesar suara.

Tidak jelas apakah pesanan yang diucap oleh guru tersebut, namun menurut laporan portal berita Lambe Turah, dia menegur pelajar yang sebelum itu mengeluarkan kata-kata tidak sopan kepadanya.

“Saya mengucapkannya sebagai kata-kata motivasi. Saya mengatakan ‘kalau kita tidak mampu, jagan bersikap biadab’,” kata guru tersebut yang dikenali sebagai Agus.

Pelajar tersebut kemudian tampil memarahi guru itu sebelum dia ditampar oleh Agus sekali gus mencetuskan pergaduhan beramai-ramai.

Sebilangan guru lain yang menyaksikan insiden itu segera meleraikan pergaduhan tersebut.

Sementara itu, Pejabat Pendidikan Wilayah Jambi berkata, ia sedang menyiasat insiden itu serta telah meminta maklumat lengkap untuk menentukan tindakan pada masa hadapan.

“Kami telah meminta penjelasan daripada pengetua. Satu mesyuarat rundingan telah diadakan hari ini (kelmarin) dengan Forum Komunikasi daerah kecil. Ia terdiri daripada ketua daerah kecil, ketua kampung, ketua polis, pelajar dan majlis guru,” kata Ketua Bahagian Sekolah Menengah Vokasional Pejabat Pendidikan Wilayah Jambi, Harmonis. – AGENSI 

Kelantan: Penganggur didakwa seludup tujuh warga Myanmar

Hidayatidayu Razali
Ahmad Fauzi didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menyeludup tujuh orang migran warganegara Myanmar di hadapan Masjid Tok Guru Haji Wan Ismail Pasir Hor. FOTO NSTP
KOTA BHARU: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan menyeludup tujuh orang migran warganegara Myanmar, 21 Disember lalu.

Namun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Ahmad Fauzi Arifen, 37, selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Nik Habri Mohamad berikutan kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menjalankan penyeludupan tujuh orang migran warganegara Myanmar berusia di antara 22 hingga 40 tahun.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan Masjid Tok Guru Haji Wan Ismail Pasir Hor, di sini, kira-kira jam 5.45 pagi, pada 21 Disember 2025.

Pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) dan boleh dihukum di bawah seksyensama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh juga didenda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Hasyime Rosli, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 22 Februari depan sebagai sebutan semula kesuntuk laporan status migran.

Penyamun pun pakai seragam

DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

TANGKAP layar CCTV yang memaparkan suspek memecah masuk kediaman di Taman Anjung Gapam, Melaka
JASIN – Polis memburu tiga lelaki memakai ‘hoodie’ dan bertopeng yang disyaki memecah masuk sebuah rumah sebelum melarikan wang tunai dalam kejadian di Taman Anjung Gapam, Bemban di sini, semalam.

Beberapa klip video rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dipercayai berkaitan kejadian turut tular memaparkan suspek berjalan secara santai di kawasan perumahan tersebut.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, kejadian itu disedari pemilik rumah berusia 37 tahun yang menerima notifikasi CCTV di telefon bimbitnya ketika dalam perjanan pulang dari bekerja kira-kira pukul 9.20 malam.

“Rakaman CCTV berkenaan menunjukkan dua individu disyaki lelaki telah memecah masuk ke dalam rumah mangsa, manakala seorang lagi dipercayai bertindak sebagai pemerhati di luar kediaman tersebut.

“Mangsa yang merupakan pengurus pusat kecantikan kemudian menghubungi Balai Polis Bemban untuk mendapatkan bantuan awal sebelum pasukan polis digerakkan ke lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, pasukan Unit Kereta Peronda (MPV) yang mengiringi mangsa pulang ke rumah kemudiannya menjalankan pemeriksaan dan mendapati laci almari di bilik utama telah terbuka serta wang tunai pelbagai mata wang asing dilaporkan hilang.

“Antara mata wang yang dilarikan termasuk wang China, Indonesia, Thailand, Amerika Syarikat, Eropah dan Korea dengan jumlah kerugian dianggarkan sekitar RM1,500.

“Suspek dipercayai masuk ke dalam rumah dengan cara mengumpil besi jeriji dan pintu kayu di bahagian hadapan rumah,” ujarnya.

Menurutnya, proses forensik di lokasi kejadian telah berjaya mengesan lapan cap jari yang dipercayai mempunyai kaitan dengan suspek dan pasukan Unit Anjing Pengesan (K9) turut digerakkan bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

‘PN hilang pemandu, SG4 menuju jalan mati’

Malaysiakini 

Perikatan Nasional (PN) kini di ambang perpecahan susulan perselisihan antara PAS dan Bersatu berhubung isu pelantikan Menteri Besar Perlis, yang membawa kepada perletakan jawatan Pengerusi PN, kata Setiausaha Agung Amanah, Faiz Fadzil.

Menurutnya, perkembangan itu menandakan “tiada lagi masa depan” bagi pakatan SG4 yang merangkumi Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu, dan menggambarkan PN sebagai kehilangan pemandu, dengan SG4 kini menuju “jalan mati”.

“Ketidakstabilan PN hari ini sudah sudah pasti memberi kesan sama ada usaha SG4 telah dihentikan.

“Sejak ia diumumkan pada tahun 2023 sehingga kini, tidak ada satu pun pelaburan yang dibawa masuk oleh SG4,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Faiz menegaskan bahawa PAS perlu membentangkan laporan prestasi SG4 secara terbuka agar rakyat dapat menilai keberkesanan gabungan itu dalam pentadbiran dan pengurusan ekonomi, dan bukannya bergantung kepada sentimen kaum dan agama semata-mata.

Sebaliknya, menurut Faiz, kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim terus memastikan pelaburan masuk ke negeri-negeri SG4 melalui agensi persekutuan tanpa diskriminasi.

Sebagai contohnya, katanya, di Kedah, majoriti pelaburan berlaku di Kulim Hi-Tech Park melalui agensi seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti).

Faiz turut menegaskan bahawa walaupun PAS-Bersatu sibuk dengan permainan politik, kerajaan Madani telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memperkukuh kuasa beli rakyat, termasuk suntikan tunai RM15 bilion, kenaikan gaji sektor awam RM8 bilion, dan peruntukan RM200 juta bagi sekolah agama rakyat dan maahad tahfiz.

Selain itu, langkah-langkah fiskal dan reformasi institusi seperti pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta penubuhan Ombudsman dijangka mengukuhkan lagi tadbir urus negara, katanya.

“Rakyat harus menilai kemampuan kerajaan Madani secara adil.

“Kerajaan ini bekerja, dan telah melaksanakan 773 inisiatif sepanjang tiga tahun pentadbiran, disokong kestabilan politik gabungan Perpaduan,” tambahnya.

Faiz menekankan bahawa kegagalan SG4 dan pergolakan PN menunjukkan bahawa gabungan tersebut lebih mengutamakan politik berbanding pembangunan sosioekonomi rakyat.

Akmal lepas jawatan exco Melaka

Malaysiakini

Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, hari ini mengumumkan keputusannya untuk meletakkan jawatan sebagai exco Melaka.

Memaklumkan perkara itu ketika berucap pada Perhimpunan Pemuda Umno, Akmal berkata peletakan jawatan itu melibatkan portfolionya sebagai Exco Kemajuan Desa dan Keterjaminan Makanan negeri.

Katanya peletakan jawatan tersebut akan berkuat kuasa pada minggu depan.

Pengumuman tersebut turut disaksikan Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh, turut hadir dalam persidangan berkenaan sebagai pemerhati.

Kata Akmal, keputusan yang diambil itu bersandarkan kepada maruah.

"Apabila orang suruh saya letak jawatan, saya nak bagi tahu yang saya ada maruah. Saya ini orang yang akan bawa suara rakyat di bawah. Saya bawa suara akar umbi yang keresahan.

"Saya dengan ini meletakkan jawatan sebagai exco kerajaan Melaka berkuatkuasa minggu depan," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Pemuda Umno di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Adun Merlimau itu lagi, sebelum membuat keputusan tersebut dia sudah bertemu dengan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, serta Ab Rauf.

Hentikan pertelagahan sesama sendiri

Pada peringkat awal, katanya, dia ingin meletakkan kesemua jawatan namun dinasihatikan oleh pemimpin Umno agar hanya melepaskan jawatan exco Melaka.

Desas-desus peletakan semua jawatan Akmal mula hangat selepas tersebar tangkap layar yang menunjukkan dia bercadang berbuat demikian pada 9 Jan lalu.

Menurut sumber yang rapat dengan Umno, Akmal memaklumkan perkara itu kepada sekumpulan pemimpin pemuda parti itu menerusi mesej WhatsApp. Ketika itu Akmal masih berada di Shanghai, China.

“Apabila orang Melayu telah bersuara, dan parti telah membuat keputusan.

“Sebagai orang yang terlalu sayangkan parti ini, aku akur dengan keputusan parti, tetapi apalah makna pemimpin jika kita tidak menghormati suara mereka?

“Maka dengan penuh rendah diri aku rasakan bahawa aku perlu ambil tanggungjawab keseluruhan untuk parti yang kita sayangi ini.

“Maka insya-Allah, selepas aku balik dari Shanghai ini aku akan meletakkan semua jawatan dalam parti dan juga jawatan saya sebagai wakil rakyat,” katanya dalam grup WhatsApp itu.

Dalam ucapan hari ini juga Akmal menyeru pucuk pimpinan parti itu supaya menghentikan pertelagahan dan membuka pintu seluas-luasnya kepada mereka yang dipecat ataupun digantung keahlian.

Untuk menjayakan usaha itu, katanya, semua pihak perlu mengetepikan ego masing-masing dan bersatu demi kekuatan dan kelangsungan parti.

"Sudah-sudahlah kita bertelagah sesama sendiri.

"Saya dengan penuh kerendahan hati memohon kepada Datuk Seri Presiden agar dibuka pintu Umno untuk mereka yang masih sayang kepada perjuangan, walaupun ada antara mereka digantung, ada dibuang, ada antara mereka masuk parti lain, tapi jiwa mereka jiwa Umno .

"Masih belum terlambat.. macam Datuk Seri (Presiden) ungkap semalam: Welcome back to Umno," katanya lagi.

Penjual karpet warga Pakistan diperintah bela diri edar kanabis

MOHD YUNUS YAKKUB
Ali ketika dibawa ke Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.
SHAH ALAM – Penjual permaidani diperintah bela diri oleh Mahkamah Tinggi hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 1.4 kilogram (kg), enam tahun lalu.

Hakim Datuk Seri Latifah Mohd. Tahar memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie yang dihadapi Ali Sajjad, 34, yang merupakan warga Pakistan, di akhir kes pendakwaan.

Latifah dalam penghakimannya memaklumkan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesemua elemen antaranya barang kes dirampas adalah dadah termasuk dalam Akta berbahaya yang disahkan ahli kimia.

“Tertuduh mempunyai jagaan, kawalan, dan milikan terhadap dadah tersebut dengan jelasnya apabila dadah dijumpai di dalam rumah sewa tertuduh yang membuktikan tertuduh mempunyai ‘exclusive power of deal’.

“Tertuduh juga mempunyai pengetahuan berkenaan dadah tersebut apabila dadah dijumpai di tempat tersembunyi di dalam almari dengan SP2 (anggota polis risikan operasi ) tidak akan diketahui tanpa dipandu arah oleh tertuduh sendiri,” tegasnya.

Mahkamah turut mendapati tertuduh mengedar dadah itu dengan menemukan sejumlah dadah dalam kuantiti yang besar dan tidak memungkinkan untuk kegunaan tertuduh sendiri.

“Malah kredibiliti enam saksi pendakwaan tidak tercemar, konsisten serta sailing menyokong antara satu sama lain dan wajar diterima mahkamah,” jelas Latifah.

Mengikut pertuduhan, Ali didakwa telah mengedar dadah jenis kanabis seberat 1,404.43 gram di sebuah premis di Seri Kembangan pada 4 Disember 2020.

Pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Heikal Ismail telah mengemukakan enam orang saksi sepanjang perbicaraan bermula 10 April tahun lalu manakala Ali diwakili Peguam Thamarah Sudhir.

Prosiding pembelaan akan dilakukan esok. – KOSMO! ONLINE

PAU: KJ sebak kembali ke Dewan Merdeka selepas dipecat tiga tahun lalu

Nora Mahpar

Ketua Pemuda Dr Akmal Saleh berkata kehadiran kehadiran Khairy bukan sekadar simbol kepulangan seorang tokoh lama, sebaliknya lambang Umno kekal sebagai 'rumah'.
Khairy Jamaluddin hadir ke persidangan Pemuda Umno yang pernah diketuainya dari 2009 hingga 2018. (Gambar Instagram)
KUALA LUMPUR: Detik penuh emosi menyelubungi Dewan Merdeka hari ini apabila Khairy Jamaluddin kembali menjejakkan kaki ke pentas Perhimpunan Agung Umno (PAU) buat kali pertama sejak dipecat pada Januari 2023.

Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh yang berucap mengalu-alukan kehadiran bekas ketua sayap itu berkata kehadiran Khairy bukan sekadar simbol kepulangan seorang tokoh lama, sebaliknya lambang Umno kekal sebagai ‘rumah’ buat bekas pemimpin.

“Ditendang kiri dan kanan, diasak atas dan bawah… hari ini saya nak beritahu, jiwa besar Presiden Umno (Zahid Hamidi). Alhamdulillah, kita jemput chief (KJ) kembali masuk ke Dewan Merdeka ini,” kata Akmal, disambut sorakan gemuruh perwakilan.

“Saya percaya ini rumah kita. Di sinilah segalanya bermula,” katanya menyampaikan ucapan dasar sempena PAU 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Khairy, yang lebih dikenali sebagai KJ, dilihat bangun dari tempat duduknya dengan wajah sebak, mengangkat tangan ke arah perwakilan sebagai tanda penghormatan.

Bekas menteri persekutuan itu dipecat dari Umno kerana melanggar disiplin parti semasa PRU15. Beliau menjadi ketua pemuda Umno dari 2009 hingga 2018.

Pada PRU 2022, Khairy secara terbuka mengkritik Presiden Umno Zahid Hamidi, khususnya selepas Barisan Nasional (BN) mencalonkannya bertanding di kawasan kubu kuat Pakatan Harapan (PH) di Sungai Buloh.

Khairy tewas kepada calon PKR, R Ramanan dengan majoriti 2,693 undi.

Akmal turut mengimbas kembali perbezaan pandangan yang pernah wujud dalam parti, termasuk perdebatan ketika cadangan membawa masuk bekas pemimpin Bersatu suatu ketika dahulu, yang mencerminkan dinamika dalaman Umno.

“Mungkin ada yang bersetuju, mungkin ada yang tak bersetuju. Tetapi inilah Umno. Kita boleh berbeza pendapat, namun kita tidak pernah mengkhianati perjuangan.

“Kita adalah sebuah keluarga Umno,” katanya.

AS dijangka serang Iran dalam 24 jam

KOSMO

WASHINGTON – Campur tangan tentera Amerika Syarikat (AS) di Iran dilihat berkemungkinan berlaku dalam tempoh 24 jam akan datang, demikian menurut amaran pegawai-pegawai di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat di negara itu, lapor portal berita MailOnline.

Sumber AS, Eropah dan Israel berkata, persediaan untuk kebarangkalian tindakan tersebut sedang dijalankan ketika Washington mula memindahkan kakitangan dari pangkalan udara utamanya di Qatar.

Iran telah memberi amaran kepada negara-negara jirannya bahawa lapangan terbang tentera akan disasarkan sekiranya Presiden AS, Donald Trump mengarahkan serangan.

Dengan kepimpinan Iran cuba meredakan pergolakan domestik terburuk yang pernah dihadapi Republik Islam itu, Tehran berusaha untuk menghalang ancaman berulang Trump untuk campur tangan bagi pihak penunjuk perasaan anti kerajaan.

Seorang pegawai Washington berkata, pemindahan Pangkalan Udara Al Udeid di Qatar adalah langkah berjaga-jaga susulan amaran daripada seorang pegawai kanan Iran.

Sementara itu, dua pegawai Eropah berkata, campur tangan tentera AS kini dilihat berkemungkinan berlaku, dengan seorang mencadangkan ia boleh berlaku dalam tempoh 24 jam akan datang.

Seorang pegawai Israel juga berkata, Trump telah memutuskan untuk campur tangan, walaupun masa dan skop tepat sebarang serangan masih belum dijelaskan.

Menurut Qatar, pengunduran kakitangan dari pangkalan udara di negaranya yang merupakan tapak terbesar AS di rantau itu, sedang dilakukan sebagai tindak balas kepada ketegangan serantau semasa.

Tiga diplomat berkata, beberapa kakitangan telah diarahkan untuk keluar dari pangkalan itu walaupun tiada tanda-tanda segera bahawa sejumlah besar tentera dipindahkan. 

Tahun lalu, tentera dibawa dengan bas ke stadium bola sepak dan pusat beli-belah, beberapa jam sebelum serangan peluru berpandu Iran.

Trump berulang kali mengancam untuk campur tangan bagi menyokong penunjuk perasaan di Iran, di mana beribu-ribu orang dilaporkan terbunuh dalam tindakan keras terhadap protes menentang pemerintahan semasa. – AGENSI 

3 rentung kebakaran kilang di Olak Lempit

FMT Reporters

Dua kilang musnah sepenuhnya dalam kebakaran lewat malam tadi.
Kebakaran Kilang Olak Lempit Banting
Anggota bomba dalam operasi memadam kebakaran kilang di Olak Lempit, malam tadi. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA: Tiga ditemukan rentung dalam kebakaran memusnahkan dua kilang di kawasan perindustrian Olak Lempit, Banting, lewat malam tadi.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, panggilan kecemasan diterima pada 10.03 malam membabitkan kebakaran di sebuah kilang memproses minyak.

“Usaha pemadaman terpaksa dilakukan secara defensif berikutan berlakunya beberapa letupan di dalam kilang.

“Kerja-kerja ‘firebreak’ berjaya dilakukan bagi menghalang kebakaran daripada merebak ke kilang bersebelahan,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, mangsa ditemui semasa operasi overhaul sekitar 2.30 pagi.