Mufti Perlis 'tertanya-tanya' profesionalisme IGP

Malaysiakini 

Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin mendakwa dia berasa tertanya-tanya akan sikap Ketua Polis Negara (IGP) Mohd Khalid Ismail selepas pihak bekuasa mengesahkan mahu menangkap serta mendakwa Zamri Vinoth dan Tamim Dahri Abdul Razak.

Dalam hantaran di media sosial pagi ini, Mohd Asri berkata “majoriti umat Islam” sedang bimbang terhadap hala tuju negara terutama melibatkan isu yang terkait dengan kedua-dua individu terbabit.

Tindakan Mohd Khalid, dakwa Mohd Asri, menambah lagi persoalan berkenaan.

“Saya sendiri tertanya-tanya tentang sikap adil dan profesionalisme KPN (Ketua Polis Negara) dalam isu ini. Apatah lagi kita berada di negara Malaysia bukan di negara India.

“Apakah undang-undang kita hanya cengih (keras) untuk yang beragama Islam sahaja?” katanya lagi.

Malam tadi Mohd Khalid mengesahkan polis mahu menahan dan mendakwa kedua-dua individu yang terkait dengan ketegangan isu agama sejak akhir-akhir ini, khusunya melibatkan pembinaan kuil haram.

Kata pegawai tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu, Zamri Vinoth – sebelum ini dilaporkan berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif One Center Malaysia Perlis – dan Tamrin Dahri sudah meninggalkan negara ini dan berada di Thailand.

Bagaimanapun Mohd Khalid memberitahu PDRM sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa negara jiran bagi menahan dan membawa kedua-dua mereka kembali ke negara ini untuk didakwa di mahkamah.

Mohd Asri berkata dia berharap Mohd Khalid kira aspek keadilan terhadap umat Islam, profesionalisme, latar isu serta identiti negara.

“Negara ini memerlukan mereka yang jujur dan amanah khususnya dalam mengendalikan hal-hal keselamatan dan keadilan.

“Dalam bulan Ramadan ini marilah kita berdoa agar negara kita berada di bawah kepimpinan dan pengurusan yang adil serta menjaga identiti negara ini khususnya berkaitan agama dan umat ini,” katanya.

Mohd Asri turut menegaskan pihaknya akan terus memantau perkembangan yang berlaku dan menyatakan pendirian dari semasa ke semasa.

Kedah: Koperal ditahan kes tembak Komander AKPS: PGA tunggu hasil siasatan polis

Sharifah Mahsinah Abdullah
am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Pasukan Gerakan Am (PGA) akan mengambil tindakan mengikut prosedur biasa termasuk siasatan tatatertib terhadap seorang koperal yang ditahan bagi membantu siasatan kes tembak yang menyasarkan Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Bukit Kayu Hitam di Kedah.

Komander Briged Utara PGA Senior Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar berkata, kes kini disiasat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

"PGA akan tunggu keputusan siasatan polis Kedah sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.... kita akan ikut prosedur biasa.

"Buat masa sekarang proses sedang dijalankan bagi menentukan sama ada terdapat pelanggaran tatatertib oleh anggota terbabit," katanya.

Seorang koperal PGA berusia lingkungan 30-an yang bertugas di unit risik sempadan sebelum ini dilapor ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian tembak yang berlaku bulan lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah, berkata siasatan awal mendapati koperal berkenaan mempunyai hubungan rapat dengan ahli sindiket yang dipercayai terbabit kes itu.

Suspek juga dilaporkan berada di lokasi bersama ahli sindiket kira-kira empat hingga lima jam sebelum kejadian tembakan berlaku.

Guru besar ditahan bantu siasatan kes pukul murid

Bernama

JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang guru besar bagi membantu siasatan berkaitan kes memukul seorang murid lelaki Tahun 1 sehingga menyebabkan kecederaan, Selasa lalu.

Ketua Polis Johor Bahru Utara, Radin Ramlan Radin Taha, berkata pihaknya menerima laporan daripada lelaki berusia 40 tahun yang merupakan bapa kepada kanak-kanak itu, kira-kira 9.46 pagi.

Beliau berkata, siasatan mendapati mangsa dipercayai dipukul lelaki berumur 48 tahun itu semasa berada di kantin sekolah kira-kira 7.39 pagi, hari sama.

Bertindak atas maklumat, sepasukan polis daripada bahagian siasatan jenayah menahan lelaki tersebut di pekarangan IPD Johor Bahru Utara pada 4.55 petang bagi membantu siasatan.

“Semakan rekod mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan ujian saringan awal air kencing yang dijalankan juga didapati negatif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Radin berkata, suspek dibawa ke mahkamah di sini pada Rabu dan direman tiga hari hingga semalam, sebelum dibenarkan bebas dengan jaminan polis.

Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Terdahulu, tular hantaran di Facebook yang dimuat naik pemilik akaun ‘Isu Semasa Online’ memaparkan perkongsian mengenai kejadian berserta foto seorang kanak-kanak lelaki cedera.

Gempa bumi lemah berlaku di Perairan Batu Pahat

Bernama

Gempa bumi lemah bermagnitud 3.2 dikesan berlaku di Perairan Batu Pahat pada 6.07 petang tadi.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan gempa bumi itu berpusat pada koordinat 1.7 darjah Utara dan 102.7 darjah Timur, dengan kedalaman 10 kilometer.

“Gegaran mungkin dirasai di kawasan perairan Johor dan MetMalaysia akan terus memantau keadaan ini,” menurut jabatan itu menerusi hantaran di Facebook.

Mereka yang merasai gegaran itu juga diminta mengisi borang soal selidik melalui pautan ini https://forms.gle/UkEQsYd1bcQAN7A97.

- Bernama

Takiyuddin setiausaha agung baharu PN, Sanusi bendahari

Nora Mahpar

KUALA LUMPUR: Takiyuddin Hassan dilantik sebagai setiausaha agung baharu Perikatan Nasional (PN) dalam barisan kepimpinan baharu gabungan itu yang diumumkan hari ini.

Pelantikan itu turut menyaksikan Sanusi Nor memegang jawatan bendahari agung yang kosong susulan peletakan jawatan Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar, tahun lalu.

Samsuri yang kini pengerusi PN mengumumkan keputusan itu selepas mesyuarat tertinggi gabungan terbabit di Ibu Pejabat Gerakan.

Beliau turut mengumumkan barisan timbalan pengerusi diwakili setiap komponen iaitu Muhyiddin Yassin (Bersatu); Dominic Lau (Gerakan); P Punithan (MIPP) dan Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS).

Bagi jawatan timbalan setiausaha agung pula, tiga pemimpin dilantik iaitu Azmin Ali, Wong Chia Zhen dan Sivakumar Krishnan.

Sementara itu, Annuar Musa dilantik sebagai ketua penerangan PN.

Jawatan ketua pengarah pilihan raya pula disandang Naib Presiden Bersatu Radzi Jidin.

Bagi sayap parti, Noorlee Ashilin Mohammed Radzi dari Bersatu dilantik sebagai ketua wanita PN menggantikan Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin.

Afnan Hamimi Taib Azamudden pula kekal ketua pemuda.

Lelaki ditemukan maut ditikam di rumah kedai

Bernama

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki tempatan ditemukan maut dengan kesan tikaman di dada di sebuah unit rumah kedai di Petaling Jaya, petang semalam.

Ketua Polis Petaling Jaya Shamsudin Mamat berkata mangsa yang berusia 50 tahun itu ditemukan dalam keadaan berlumuran darah dan tidak sedarkan diri oleh seorang lelaki, sebelum kejadian itu dilaporkan kepada polis pada 2.20 petang.

“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai meninggal dunia akibat kecederaan tikaman di bahagian dada dan prosedur bedah siasat mayat mangsa dijadualkan berlangsung hari ini bagi mengenal pasti punca sebenar kematian,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selain menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662222 bagi membantu siasatan.

MP PAS akan jadi ketua pembangkang baru

Malaysiakini 

PAS kini dilihat menguasai PN apabila menduduki pelbagai jawatan utama, termasuk kedudukan ketua pembangkang.

Pengerusi PN Ahmad Samsuri Mokhtar dalam sidang media hari ini memberitahu perkara itu selepas mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi PN di Cheras pagi tadi.

“Mesyuarat memutuskan jawatan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia akan dipegang oleh seorang ahli parlimen dari PAS, namun namanya akan diumumkan sebelum akhir Mac ini,” katanya.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah Presiden Gerakan, Dominic Lau; Presiden Parti Rakyat India Malaysia, P Punithan; dan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan.

Sementara itu menjawab soalan media, Ahmad Samsuri berkata, PN akan mengadakan sesi libat urus bagi mendapatkan persetujuan bersama mengenai nama yang akan dilantik ke jawatan itu.

Buat masa ini, kata Ahmad Samsuri, jawatan tersebut masih dipegang bekas Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin.

Dalam sidang media itu juga Ahmad Samsuri mengumumkan pelantikan Takiyuddin sebagai setiausaha agung baru PN, manakala anggota Jawatankuasa PAS Pusat, Annuar Musa menjadi ketua penerangan.

Jawatan setiausaha agung gabungan itu kosong selepas penyandangnya, Azmin Ali, meletak jawatan ekoran pengunduran Muhyiddin pada hujung tahun lalu.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor pula dilantik menjadi bendahari agung. Jawatan itu kosong sejak 11 Dis 2024 apabila penyandangnya, Ahmad Samsuri meletak jawatan.

Sebelum ini Sanusi merupakan Ketua Pengarah Pilihan Raya PN. Tempatnya itu digantikan oleh Naib Presiden Bersatu, Radzi Jidin.

Satu lagi perkembangan yang menarik ialah tiada nama Presiden PAS Abdul Hadi Awang dalam barisan kepimpinan utama PN.

Sebelum ini Abdul Hadi menjadi salah seorang Timbalan Pengerusi PN.

Dalam pengumuman dibuat Ahmad Samsuri hari ini, tempat Abdul Hadi digantikan dengan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Satu lagi jawatan utama dalam PN yang turut dipegang oleh PAS ialah ketua pemuda. Ia kekal di tangan Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden.

Jawatan Ketua Wanita PN pula kini digalas bekas exco Perak dari Bersatu, Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

Tamim Dahri dan Zamri Vinoth lari ke Thailand, kata K

FMT Reporters

Polis terima arahan pertuduhan terhadap mereka.
Zamri Vinoth and Tamim Dahri Abdul Razak
Penceramah, Zamri Vinoth, dan aktivis, Tamim Dahri Abdul Razak, akan didakwa selepas dibawa pulang, kata polis.
PETALING JAYA: Polis terima arahan pertuduhan terhadap penceramah, Zamri Vinoth, dan aktivis, Tamim Dahri Abdul Razak, namun risikan mendapati mereka telah melarikan diri ke Thailand, kata ketua polis negara.

Khalid Ismail berkata usaha mengesan sedang giat dijalankan dengan bantuan pihak berkuasa Thailand.

“Pertuduhan akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat selepas kedua-dua suspek berjaya dikesan dan dibawa pulang,” menurut kenyataan.

Berkenaan Zamri, penceramah itu disiasat berhubung kenyataan berkait penganjuran perhimpunan di Kuala Lumpur pada 7 Feb.

Arahan pertuduhan diterima polis ialah Seksyen 505(B) Kanun Keseksaan (KK) iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.

Ia memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai dua tahun, atau dengan denda, atau kedua-duanya, jika disabitkan.

Berkenaan Tamim pula, aktivis itu disiasat berhubung tindakan merosakkan ‘soolam’ yang menjadi simbol suci bagi agama Hindu di tapak lama sebuah kuil di Langkawi, Kedah.

Arahan pertuduhan diterima polis ialah Seksyen 295 KK iaitu merosakkan atau mencemarkan apa-apa benda yang dipegang suci oleh mana-mana golongan orang dengan niat hendak mengaibkan agama mana-mana golongan orang.

Ia memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun, atau dengan denda, atau kedua-duanya, jika disabitkan.

Dalam pada itu, Khalid memaklumkan polis telah merujuk kertas siasatan terhadap Zamri ke Pejabat Pengarah Pendakwaan Pulau Pinang, berhubung kenyataan yang berbaur penghinaan terhadap kaum India.

Kertas siasatan dirujuk untuk arahan pertuduhan bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan.

“Polis memberi jaminan akan sentiasa komited dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau kumpulan yang terlibat dalam kegiatan yang boleh menggugat ketenteraman awam dan keselamatan awam,” katanya.

Kerajaan dinasihat berhati-hati jangan sampai dilihat sekat kebebasan suara

SITI NUR ZAWANI

Perkembangan terkini yang menyaksikan seorang ahli akademik dan seorang aktivis dipanggil polis berhubung dakwaan terlibat dalam usaha menggulingkan kerajaan, menimbulkan kebimbangan akan tercetusnya persepsi bahawa Kerajaan MADANI cuba menakut-nakutkan mereka yang bersuara.

Menurut Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing, selagi apa yang dibicarakan tidak menghasut sentimen perkauman dan agama, maka kebebasan bersuara itu harus dipertahankan.

Apatah lagi katanya, parti komponen dalam Kerajaan Madani, terutamanya Pakatan Harapan (PH), diberi mandat rakyat atas janji untuk mendukung kebebasan bersuara. 

“Dalam kes Prof Madya Syaza Shukri dan Pushpan Murugiah, tiada unsur 3R dikesan. 

“Kerajaan sepatutnya menghormati hak dan kebebasan mereka bersuara dan berpersatuan, atas kapasiti sebagai ahli akademik dan aktivis. 

“Harus kita ingat, tanpa ahli akademik yang bercakap benar, dan NGO yang bergiat untuk menolak rasuah dan penyalahgunaan kuasa, mustahil kita berada di mana kita berada sekarang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau merujuk laporan berita bahawa Ketua Jabatan Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa, Profesor Madya Syaza Shukri dipanggil polis untuk membantu siasatan terhadap dakwaan cubaan menggulingkan kerajaan, susulan pandangan yang dinyatakan dalam South China Morning Post pada 26 Disember 2024.

Sebelum ini juga, CEO Center to Combat Corruption and Cronyism (C4), Pushpan Murugiah juga dipanggil untuk disoal siasat selepas namanya muncul dalam satu e-mel terkait “individu amat berpengaruh” yang terlibat dalam usaha menggugat kerajaan melalui sebuah organisasi media antarabangsa.

Menurut Kar Hing, kerajaan perlu berhati-hati dalam berhujah mengenai hal “menggulingkan kerajaan” supaya tidak dilihat sebagai “double standard” oleh pengundi. 

Beliau mengingatkan, ketika PH menjadi pembangkang satu ketika dahulu, gabungan itu juga tidak pernah menyorok cita-cita untuk mengambil alih kerajaan, selagi ianya mengikut saluran yang dibenarkan undang-undang.

Justeru, beliau menegaskan bahawa tindakan yang berlebihan ke atas ahli akademik dan aktivis yang bukan terlibat dalam isu perkauman dan agama, hanya akan mengundang persepsi mengelirukan seolah-olah kerajaan ini sedang “mengasah kuku besinya”.

“Sedangkan, jika pun kerajaan perlu mengetatkan kawalan, ia harus tertumpu kepada ucapan yang menghasut kebencian di media sosial, juga aktivis yang melaga-lagakan kelompok kaum dan agama berlainan, dengan sindiran dan label yang melampau.

“Kita menjamin kebebasan bersuara dan berpersatuan, pada masa yang sama, bertegas untuk menggariskan batas agar kebebasan tidak disalahguna untuk memprovokasi dan memporak-perandakan masyarakat, kerana kita mahu membina sebuah negara majmuk yang harmoni. 

“Kita wajar berpegang dengan janji-janji ini, agar kita tidak menjadi kerajaan yang pernah kita tentang dahulu,” ujarnya lagi.

Rafizi dakwa Azam ada RM14 juta pegangan saham, gesa dedah siasatan

Malaysiakini 

Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli hari ini menggesa Putrajaya mendedahkan penemuan penuh siasatan terhadap isu pegangan saham yang melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki.

Dalam satu kenyataan, dia mendakwa siasatan yang dijalankan oleh jawatankuasa khas yang diketuai oleh Peguam Negara, Dusuki Mokhtar, didakwa telah mendedahkan lebih banyak saham di bawah nama Azam.

Mendakwa bahawa dia menerima maklumat daripada sumber di Putrajaya, Rafizi berkata Azam didakwa memiliki saham merentasi sembilan syarikat dengan jumlah gabungan RM14 juta.

"Berita terbaru dari Putrajaya yang kini sedang berlegar, mengikut sumber-sumber kerajaan, ialah dakwaan mengenai penemuan siasatan ke atas pemilikan saham Azam Baki seperti berikut.

"Jumlah saham yang dimiliki berjumlah RM14 juta di dalam sembilan buah syarikat; dan pembelian saham-saham ini tidak mendapat kelulusan atau diisytiharkan seperti yang sepatutnya.

"Selagi kerajaan tidak mengumumkan hasil siasatan secara telus, termasuklah jumlah saham yang terlibat, jumlah syarikat dan bagaimana pelanggaran berlaku, spekulasi mengenai perkara-perkara ini akan terus bertiup kencang," kata bekas menteri ekonomi itu.

Malaysiakini tidak dapat mengesahkan secara bebas dakwaan yang dibuat oleh Rafizi.

Malaysiakini telah menghubungi Azam, unit komunikasi strategik SPRM, dan jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil untuk mendapatkan komen.

Rafizi berkata isu ini telah menimbulkan persoalan tentang sumber kekayaan Azam kerana jumlah tersebut tidak sepadan dengan pendapatan seorang penjawat awam kanan.

Dia menegaskan bahawa SPRM biasanya akan mengambil beberapa tindakan terhadap individu yang mempunyai jumlah kekayaan yang tidak dapat dijelaskan, termasuk membekukan akaun bank mereka dan mengarahkan mereka mengisytiharkan aset.

"Sekiranya dakwaan bahawa jumlah saham yang terlibat adalah RM14 juta di dalam sembilan syarikat itu benar, kegagalan kerajaan menyiasat punca kekayaan Azam akan dilihat sebagai bukti kerajaan bersubahat untuk melindunginya.

"Oleh sebab itulah, saya menggesa kerajaan dengan segera mengumumkan secara terperinci hasil siasatan setakat ini untuk mengelakkan spekulasi, termasuklah jumlah saham yang dimiliki dan jumlah syarikat-syarikat yang terbabit," katanya.

Semalam, Fahmi, yang merupakan Menteri Komunikasi, memberitahu sidang media bahawa kabinet telah menerima dan membincangkan laporan oleh jawatankuasa kerajaan yang menyiasat pegangan saham Azam.

Fahmi, bagaimanapun, tidak mendedahkan butiran siasatan tersebut.

Penganggur ditahan curi pakaian dalam wanita

Abnor Hamizam Abd Manap

JEMPOL: Seorang penganggur ditahan kerana mencuri pakaian dalam wanita di sebuah taman di Bahau, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Norhisham Mustapar berkata suspek berusia 39 tahun di tahan di rumahnya di Taman Mahsan kira-kira jam 4.30 petang tadi.

Katanya suspek turut mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

“Polis turut merampas sebuah motosikal dan sehelai pakaian dalam yang dicuri. Permohonan reman ke atas suspek akan dibuat esok di Mahkamah Majistret Kuala Pilah,” katanya.

Norhisham berkata kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan.

Media sebelum ini melaporkan mengenai tindakan lelaki yang memanjat pagar sebelum mencuri pakaian dalam wanita di ampaian di bahagian luar rumah.

Satu laporan polis dibuat seorang individu wanita selepas melihat video berkenaan ketika melayari media sosial miliknya.

Pesawat perang Amerika berlanggar di ruang udara

KOSMO

BAGHDAD – Sebuah pesawat tentera Amerika Syarikat (AS) terhempas selepas disyaki bertembung di ruang udara Iraq, dengan misi menyelamat sedang dijalankan untuk mencari mangsa, lapor akhbar Metro.uk

Dua pesawat jenis KC-135 terlibat dalam nahas ‘di ruang udara selamat’ semasa Operasi Epic Fury, kata Pusat Perintah A (Centcom).

Kumpulan penentang di Iraq mengaku menembak jatuh pesawat mengisi minyak tentera AS itu ‘bagi mempertahankan kedaulatan dan ruang udara negara kami’.

Bagaimanapun, Centcom berkata, ‘kehilangan’ pesawat itu bukan disebabkan oleh tembakan musuh mahupun tembakan rakan sendiri.

KC-135 yang terhempas itu membawa sekurang-kurangnya lima kru, manakala pesawat kedua selamat mendarat.

‘Maklumat lanjut akan diumumkan nanti,” kata Markas Pusat.

Pesawat tangki bahan api itu yang keempat terhempas semasa operasi ketenteraan AS menentang Iran.

Minggu lalu, tiga jet pejuang Amerika terhempas disebabkan kesilapan tembakan sekutu sendiri, Kuwait. – AGENSI 

Mahkamah arah hentikan kerja roboh kuil di Rawang

Minderjeet Kaur

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret Selayang memutuskan Yayasan Kubra tidak boleh meneruskan kerja merobohkan sebuah kuil Hindu di Rawang sementara menunggu keputusan Mahkamah Tinggi.

Majistret Chai Guan Hock berkata mahkamah mendapati wujud pertikaian berhubung status tanah berkenaan.

Beliau berkata kuil itu telah berada di lokasi tersebut sejak 1995, manakala pemilik tanah semasa hanya memiliki tanah itu sejak 2021.

“Mahkamah turut mengambil kira isu di tapak itu boleh menimbulkan ketegangan awam jika keadaan tidak dikawal dengan baik,” katanya.

Chai berkata pihak pengurusan kuil dan Yayasan Kubra perlu mengemukakan kenyataan bertulis serta dokumen sokongan sebelum mahkamah menentukan pemilik sebenar tapak itu.

“Mahkamah akan meneliti dokumen daripada kedua-dua pihak sebelum membuat keputusan,” katanya.

Peguam Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh Sohanpal, yang mewakili pengurusan Kuil Sri Uchimalai Muniswaran, berkata keputusan majistret itu bermakna status quo di tapak berkenaan perlu dikekalkan buat masa ini.

Rajesh berkata jawatankuasa kuil tidak mempertikaikan tanah itu dimiliki Yayasan Kubra, namun membantah cara sebahagian kuil tersebut dirobohkan, yang menurutnya dilakukan secara tidak sah.

“Jika sebuah kuil hendak dipindahkan atau diusir, pihak terlibat perlu mendapatkan perintah mahkamah yang sah terlebih dahulu.

“Tidak boleh datang pada tengah malam dengan jentera dan merobohkan rumah ibadat. Itu tidak boleh diterima,” katanya.

Rajesh berkata polis turut ditempatkan di lokasi kejadian bulan lalu bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini, yang menurutnya menunjukkan risiko ketegangan boleh meningkat.

Chai menetapkan 5 Jun untuk inkuiri.

Pada 27 Feb, jawatankuasa kuil memfailkan saman bagi menghalang sebarang tindakan yang boleh mencetuskan gangguan ketenteraman sementara menunggu perintah pengusiran daripada Mahkamah Tinggi.

Saman itu difailkan di Mahkamah Majistret Shah Alam.

Rajesh sebelum ini berkata tindakan undang-undang itu diambil bagi melindungi kepentingan kuil daripada tindakan pemilik tanah dan pihak ketiga yang didakwa merobohkan kuil secara tidak sah.

Pada 11 Feb, polis menahan empat lelaki yang didakwa cuba merobohkan kuil itu.

Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar berkata siasatan mendapati mereka telah merobohkan sebahagian kuil Hindu itu tanpa berbincang dengan pengurusan kuil atau memaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan.

Keempat-empat mereka kemudian dibebaskan.

Tei dedah gambar dakwa pegawai SPRM acu pistol ketika serbuan

Malaysiakini 
Ahli perniagaan, Albert Tei, yang mendedahkan skandal perlombongan Sabah, mendedahkan kepada media dua imej yang didakwa menunjukkan pegawai SPRM bersenjata di kediamannya semasa penahanannya pada November lalu.

Imej yang serupa itu menunjukkan dua individu memakai pakaian taktikal dan sarung muka (balaclava) berdiri di tangga, dengan salah seorang daripada mereka kelihatan memegang sesuatu.

Tidak jelas objek apa yang dipegang, namun cari diri dan postur individu tersebut menyerupai posisi seseorang yang sedang memegang dan mengacu pistol.

Salah satu imej disertakan dengan kapsyen yang menyifatkannya sebagai 'Rumah Albert Tei' pada jam 10 pagi, 28 Nov 2025, serta tiga label bertulis "dua orang SPRM", "anjing", dan "SPRM acu pistol".

Malaysiakini telah menghubungi SPRM untuk mendapatkan komen badan antirasuah itu.

Tei percaya imej tersebut mengukuhkan dakwaannya bahawa pegawai SPRM bertopeng mengacukan pistol ke arahnya, isteri, ibu mertua, dan pembantu rumah mereka semasa penahanan pada 28 Nov.

Dia berkata imej itu jelas menyerupai susun atur rumah berkembar miliknya di Puchong.
Menurut Tei, imej tersebut dihantar kepadanya pada 9 Mac melalui WhatsApp oleh individu tidak dikenali menggunakan nombor telefon bimbit yang didaftarkan di Kemboja.

"Saya tanya beberapa kali siapa pengirimnya, bagaimana dia dapat dua imej itu, dan sama ada dia pegawai SPRM, tetapi saya tidak terima sebarang jawapan.

"Saya cam dan sahkan lokasi yang ditunjukkan dalam dua imej itu adalah halaman tepi rumah saya dan anjing German Shepherd saya," tambahnya.

Semalam, ahli perniagaan itu memberitahu Malaysiakini bahawa dia membuat laporan polis mengenai imej berkenaan, dan berkata dia syak gambar itu dirakam daripada rakaman video.

Tei percaya rakaman itu mungkin berasal daripada kamera badan yang dipakai oleh anggota pasukan serbuan.
Dia juga mengulangi tuntutannya supaya SPRM mendedahkan semua rakaman video daripada kamera badan pegawai SPRM yang menyerbu rumahnya.

Susulan penahanannya, Tei mendakwa pegawai SPRM bertopeng mengacukan pistol ke arahnya, isteri, ibu mertua, dan pembantu rumah mereka. Isterinya kemudian membuat laporan polis berhubung insiden tersebut.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki kemudian menafikan senjata api diacukan ke kepala Tei semasa penahanannya, dan suruhanjaya itu membuat laporan polis terhadap "fitnah" berkenaan.

Polis memulakan siasatan sejak itu, namun Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar memberitahu media pada Disember bahawa mereka belum menemui sebarang bukti SPRM mengacu pistol ke arah ahli perniagaan Tei dan isterinya.

Kantoi!! Abang e-hailing kantoi khalwat, sembunyi atas siling rumah isteri orang

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my
Penguatkuasa JAIJ menyerbu rumah teras dan menahan pasangan kerana disyaki berkhalwat. Gambar ihsan JAINJ
Penguatkuasa JAIJ menyerbu rumah teras dan menahan pasangan kerana disyaki berkhalwat. Gambar ihsan JAINJ
Kluang: Cubaan seorang pemandu e-hailing bersembunyi atas siling gagal apabila ditahan kerana disyaki berkhalwat dengan wanita yang masih berstatus isteri orang, semalam.

Kedua-dua pasangan itu ditahan pegawai dan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) hasil aduan dan maklumat awam di sebuah rumah teres dalam daerah ini pada jam 10.30 pagi.

Ketika serbuan dijalankan, pasangan lelaki berusia 30-an ditemukan bersembunyi atas siling selepas cubaan melarikan diri melalui pintu belakang gagal disebabkan penguat kuasa sudah mengepung kawasan terbabit.

Menurut JAINJ, penguat kuasa menjalankan operasi susulan aduan diterima berhubung kekerapan lelaki yang bekerja pemandu e-hailing bertandang ke rumah pasangan berusia 30-an ketika suami keluar bekerja manakala anak ke sekolah.

"Pada hari tangkapan dilakukan, lelaki terbabit meletakkan keretanya sejauh satu kilometer dari rumah wanita bagi mengelak kehadirannya dikesan jiran dan juga penguat kuasa.

"Sebaik tiba di perkarangan rumah didiami wanita itu, penguat kuasa hanya menemui kereta milik wanita selain pintu pagar depan tidak berkunci.

"Sebelum memasuki rumah, dua anggota penguat kuasa ditugaskan untuk menjaga pintu belakang kerana bimbang salah seorang daripada mereka melarikan diri.

"Pada masa sama, penguatkuasa mendapati enjin kereta wanita itu masih panas, rupa-rupanya dia baru sahaja menjemput skandalnya kerana kenderaan diletakkan jauh dari situ," katanya dalam kenyataan.

Kata JAINJ lagi, kira-kira 10 minit selepas pintu diketuk, seorang wanita berpakaian seksi keluar menyebabkan penguat kuasa wanita menegurnya dan meminta menukar pakaian sopan.

Tambahnya lagi, ketika disoal, wanita mendakwa dia berseorangan kerana suaminya bertugas di luar kawasan sementara anak ke sekolah.

Bagaimanapun, penguat kuasa tidak berpuas hati dan tekaan mereka tepat apabila pemeriksaan menemukan siling dalam keadaan ternganga di sebuah bilik.

"Penguat kuasa naik ke siling dan menemukan lelaki tersebut sedang memeluk tiang di sebelah tangki air. Dia mahu melarikan diri melalui pintu belakang buat keputusan sembunyi atas siling selepas melihat kelibat anggota penguat kuasa.

"Lelaki itu sudah beristeri dan bekerja swasta serta menjadi pemandu e-hailing secara sambilan, menetap di daerah lain 100 kilometer dari sini.

"Apabila ditanya bagaimana hubungan dengan isterinya, lelaki menjawab mereka tiada masalah. Wanita pula memberitahu hubungannya dengan suami amat dingin dan berhasrat untuk bercerai," katanya.

Katanya, siasatan mendapati pasangan ini berkenalan sejak hampir setahun lalu tanpa pengetahuan isteri lelaki dan suami wanita itu.

"Kami bertanyakan tujuan lelaki itu datang ke rumah dan dia menjawab untuk hantar barang wanita ini. Alasannya ada juga logik tetapi masalahnya kenapa perlu masuk ke dalam rumah selain mengunci pintu serta menyorok atas siling?

"Justeru, kedua-dua mereka ditahan dan akan didakwa mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan-Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 kerana berkhalwat," katanya.

Pesawat pengisi minyak AS terhempas di barat Iraq

Buletin TV3 
Pesawat pengisi minyak udara milik Amerika Syarikat (AS) jenis KC-135 Stratotanker. – Foto AFP
WASHINGTON: Sebuah pesawat pengisi minyak udara milik Amerika Syarikat (AS) jenis KC-135 Stratotanker terhempas di barat Iraq.

Sebuah lagi pesawat yang terlibat dalam insiden sama berjaya mendarat dengan selamat.

Menurut pihak tentera AS, insiden berkenaan bukan berpunca daripada tembakan.

Bagaimanapun, tentera Iran mendakwa, sebuah kumpulan sekutu mereka di Iraq telah menembak jatuh pesawat itu menggunakan peluru berpandu dan menyebabkan semua kru terbunuh.

Pesawat KC-135 itu adalah pesawat tentera keempat AS yang hilang sepanjang konflik di Asia Barat, selepas tiga pesawat pejuang F-15E Strike Eagle ditembak jatuh akibat tembakan sekutu AS di Kuwait.

Pesawat KC-135 yang telah digunakan lebih 60 tahun lazimnya dikendalikan oleh tiga kru iaitu juruterbang, pembantu juruterbang dan seorang operator boom yang mengendalikan sistem pengisian bahan api untuk pesawat lain.

Namun, beberapa misi turut memerlukan seorang ‘navigator’ dan pesawat itu juga mampu membawa sehingga 37 penumpang.

Pada awal konflik yang bermula 28 Februari lalu, tentera Kuwait secara tidak sengaja menembak jatuh tiga pesawat F-15E AS, namun kesemua enam kru dapat menyelamatkan diri dari pesawat.

Insiden itu berlaku ketika operasi tempur yang melibatkan serangan pesawat, peluru berpandu balistik dan dron dari Iran. – AFP

Siapa pengganti Azmin di Selangor, PAS serah pada PN

Haspaizi Zain

PAS Selangor menyerahkan kepada pucuk pimpinan untuk menentukan siapa yang wajar dilantik sebagai Pengerusi PN negeri itu bagi menggantikan Mohamed Azmin Ali yang meletak jawatan hujung tahun lalu.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Ab Halim Tamuri, berkata pihaknya tidak mengemukakan sebarang nama bagi mengisi kekosongan jawatan tersebut.

"Kita serah pada pusat tentukan. Pemilihan (Pengerusi PN Selangor) di peringkat pusat (tentukan) bukan negeri.

"Tak ada nama (dicadangka. Lantikan (dibuat) atas mesyuarat PN Pusat dan kita ikut sahaja," katanya ketika sesi bersama media pada majlis berbuka puasa PAS Selangor di Shah Alam, malam tadi.

Ditanya mengenai Pemuda PAS Selangor yang mencalonkannya menggantikan Azmin, Adun Paya Jaras itu malah enggan membesarkan cadangan tersebut.

"Itu pandangan peribadi bukan pandangan PAS Selangor. Bukan pandangan rasmi, Cuma pandangan peribadi dia (pemuda)," katanya lagi.

Pada 30 Dis 2025, Azmin mengumumkan peletakan jawatannnya sebagai Setiausaha Agung PN serta Pengerusi PN Selangor selepas Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Jan lalu.

“Saya mengambil perhatian bahawa pelantikan saya sebagai setiausaha agung Perikatan Nasional adalah atas bidang kuasa Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin.

“Maka saya juga meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Agung PN bermula 1 Januari 2026,” katanya.

Sementara itu Halim turut ditanya mengenai sikap PAS yang dilihat lebih mesra kepada Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin berbanding Bersatu.

Katanya, PAS mengambil pendirian tidak memihak kepada mana-mana kem dalam Bersatu malah mereka mereka tidak mempunyai masalah dengan Adun Bersatu di Selangor.

"PAS ambil pendekatan sama. PAS tak memihak kepada mana-mana (kumpulan). Saya di Selangor tak ada masalah, dengan Bersatu sangat rapat tak ada masalah.

"Tempat lain saya tak boleh komen, di Selangor tak ada apa-apa masalah. Dalam PAS tak ambil (sokong) mana-mana kem," katanya lagi.

Menjelang PRU16: PAS tak lagi boleh elak duduk kerusi ketua pembangkang

Nora Mahpar

PETALING JAYA: PAS tidak lagi boleh ‘mengelak’ daripada menamakan Ahli Parlimennya sebagai ketua pembangkang bagi menggantikan Hamzah Zainudin, kata penganalisis yang melihat langkah itu penting untuk mengekalkan hubungan dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).

Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya berkata sebarang tindakan mengekalkan Hamzah boleh mengeruhkan lagi hubungan dalam PN memandangkan bekas timbalan presiden Bersatu yang dipecat 13 Feb lalu itu telah mengisytiharkan Presiden Muhyiddin Yassin sebagai musuh nombor satunya.

Menurutnya, keadaan itu berisiko meruntuhkan PN jika Bersatu keluar gabungan dan beralih membentuk kerjasama atas nama gabungan Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) bersama rakan parti pembangkang pada PRU16.

“Jangan pandang ringan dengan IPR walaupun beberapa parti komponennya dianggap parti ‘nyamuk’ namun mereka boleh memecah undi Melayu di sesetengah kawasan dengan bantuan pengaruh pemimpin politik mereka misalnya Muhyidin, (Presiden Pejuang) Mukhriz Mahathir, (Presiden Putra) Ibrahim Ali.

“Saya lihat apabila Hamzah dikekalkan, Muhyidin dan Bersatu tidak akan berdiam diri,” katanya kepada FMT sambil berpandangan PAS memerlukan Bersatu menjadi pengimbang kepada persepsi politik Melayu yang sederhana dalam PN.

Mesyuarat Majlis Tertinggi PN berlangsung esok dijangka membincangkan jawatan ketua pembangkang yang menjadi persoalan selepas Hamzah, Ahli Parlimen Larut dipecat Bersatu, 13 Feb lalu susulan krisis dalaman Bersatu.

Mesyuarat PN pada 19 Feb lalu turut memutuskan PAS mengambilalih jawatan itu namun Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul memaklumkan belum ada pemakluman mengenainya.

Semalam, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dilaporkan Berita Harian berkata parti itu sudah membincangkan isu pelantikan namun sehingga kini belum memutuskan calonnya.

Mengulas lanjut, Tawfik berkata Takiyuddin yang juga ketua whip PN mungkin calon berpotensi menggantikan Hamzah walaupun PN mempunyai pengerusi baharu iaitu Naib Presiden Ahmad Samsuri Mokhtar.

“Ini kerana Dr Sam sudah meyandang dua jawatan berat selaku menteri besar Terengganu dan pengerusi PN.

“Takiyuddin juga dilihat lebih agresif di Parlimen dan sentiasa terlibat dalam perdebatan panas serta tidak menggalas jawatan pentadbiran atau parti yang besar,” katanya.

Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri.
Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri pula berkata PAS perlu berani meletakkan calon sendiri sebagai ketua pembangkang untuk memberi mesej kuat yang parti itu sedia ke Putrajaya.

“Langkah ini bukan sahaja menonjolkan dominasi PAS dalam PN, tetapi juga membuktikan mereka matang dalam menghormati kawan, menyusun strategi, dan menonjolkan kesediaan menggalas tanggungjawab besar.

“Dengan Dr Sam kini sebagai pengerusi PN baharu, peluang PAS untuk tampil sebagai wajah kepimpinan tidak pernah lebih jelas,” kata perunding kanan Global Asia Consulting itu.

Hotel Mira Ayjad popular jemaah umrah Malaysia di Makkah terbakar

Ilah Hafiz Aziz
am@hmetro.com.my
TANGKAP layar video tular kejadian kebakaran membabitkan Hotel Mira Ayjad. FOTO ihsan Tular
TANGKAP layar video tular kejadian kebakaran membabitkan Hotel Mira Ayjad. FOTO ihsan Tular
Kuala Lumpur: Sebuah hotel yang sering menjadi pilihan umat Islam Asia Tenggara termasuk Malaysia di Makkah, dilaporkan terbakar.

Difahamkan, Hotel Mira Ayjad yang terletak di Ayjad itu terbakar dalam satu kejadian, petang semalam.

Menerusi video yang beredar di laman sosial, api dilihat menjulang tinggi membakar bangunan berkenaan.

Bagaimanapun, media setakat ini belum dimaklumkan kejadian itu turut mangsa dalam kalangan jemaah umrah termasuk Malaysia.

Media juga sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada Wisma Putra berhubung kejadian itu.

Sementara itu, di media sosial seperti Threads pelbagai reaksi dikongsi susulan kebakaran Hotel Mira Ayjad.

Antaranya seorang jemaah Indonesia dikenali sebagai Prayaudityoryan, berkata, beliau yang menginap di hotel berkenaan sempat dipindahkan sebelum api lebih marak berlaku.

Seorang lagi ustaz di Makkah pula berkongsi video suasana gempar di jalan utama berhadapan hotel yang sedang terbakar itu.

Ada dalam kalangan jemaah umrah lain turut berkongsi kepulan asap hitam menyelubungi di satu bahagian di kawasan Makkah.

Sementara itu, ramai penduduk Malaysia yang pernah menginap di hotel berkenaan turut memberi reaksi berduka berhubung kejadian kebakaran itu.

Namun, rata-rata kalangan mereka turut berdoa supaya kejadian itu tidak meragut sebarang jiwa atau mendatangkan kecelakaan yang menyayat hati.

Remaja warga asing direman, bantu siasatan kes bunuh wanita

Mary Victoria Dass

JOHOR: Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes bunuh wanita warga asing yang ditemui dengan 14 kesan tikaman di sebuah bilik hotel di Taman Maju Jaya di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, suspek yang ditahan adalah warga asing berusia 19 tahun.

Beliau berkata, suspek diberkas dalam tempoh 24 jam selepas kejadian berlaku.

“Susulan kejadian bunuh seorang wanita warga asing berusia 37 tahun, pada jam 8 malam tadi, pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan menahan suspek di sebuah kondominium di bandar raya ini.

“Turut dirampas beberapa barang kes yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian seperti sehelai baju t, sehelai seluar jeans, topi berwarna hitam, sepasang kasut getah, cakera keras pengawasan kamera litar tertutup (CCTV) dan dua telefon bimbit.

“Semakan mendapati suspek tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau.

“Ujian saringan awal air kencing terhadap suspek juga negatif dan bebas daripada sebarang jenis dadah,” katanya menerusi siaran media hari ini.

Beliau berkata, suspek dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Menurutnya, mahkamah membenarkan perintah reman selama tujuh hari hingga 18 Mac bagi siasatan lanjut.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi atau membuat sebarang komen yang boleh mengganggu proses siasatan.

“Polis mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk terus menyalurkan sebarang maklumat jenayah kepada balai polis berhampiran, talian hotline polis Johor di 019-2792095 atau talian bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di 07-2212999,” katanya.

Semalam media melaporkan pemeriksaan awal mendapati mangsa berkemungkinan meninggal dunia antara jam 1.30 pagi hingga jam 4.30 pagi.

Terdapat 14 kesan tikaman di mangsa termasuk 11 kesan tikaman di dada serta masing-masing satu kesan tikaman di leher, jari telunjuk dan lengan kanannya.

Cari orang hilang: Di manakah Nur Dinie Sani?

Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@mediaprima.com.my
NUR Dinie Sani Hasrul Sani, 25. FOTO  Ihsan PDRM
NUR Dinie Sani Hasrul Sani, 25. FOTO Ihsan PDRM
Kajang: Polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan seorang wanita yang dilaporkan hilang sejak 9 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan wanita terbabit pada 12.16 tengah hari.

Menurutnya, wanita berkenaan dikenali sebagai Nur Dinie Sani Hasrul Sani, 25.

"Wanita itu mempunyai ketinggian kira-kira 154 hingga 155 sentimeter dengan berat badan antara 48 dan 49 kilogram serta berbadan kurus.

"Ketika kali terakhir dilihat, dia dipercayai memakai tudung hitam, blazer hitam dan seluar panjang berwarna hitam," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Naazron berkata, lokasi terakhir wanita berkenaan adalah di A-15-05, Apartment Sri Cempaka, Jalan Sepakat Indah 2/1, Taman Sepakat, di sini.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai individu berkenaan diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di talian 03-89114222.

"Maklumat juga boleh disalurkan kepada Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Khairul Azwan Yundis di talian 013-4480997.

Lepas kelar bini, penganggur telan paku picit

ADNAN IBRAHIM
KLUANG – Seorang penganggur mengaku salah atas pertuduhan cubaan membunuh isterinya dengan cara mengelar leher serta pengelangan tangan ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Ei Jean Yee, 56, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa mandarin oleh jurubahasa mahkamah dihadapan Hakim Mujib Saroji.

Mengikut Pertuduhan, Ei Jean Yee didakwa dengan niat cuba membunuh isterinya yang berusia 48 tahun menggunakan pisau dengan cara mengelar leher dan pergelangan tangan mangsa di kediaman mereka di Taman Muhinbah kira-kira pukul 9.31 malam, 4 Mac lalu.

Berikutan kesalahan itu, tertuduh dituduh mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara selama tempoh sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Penolong Pendakwaraya Nur Ramizah Razli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Semasa prosiding, Nur Ramizah memohon mahkamah membenarkan tertuduh dirujuk ke Hospital Permai bagi pemeriksaan mental.

Hakim kemudian memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Permai dan kes akan disebut semula pada 10 April untuk laporan perubatan dan kimia.

Terdahulu, Polis Daerah Kluang telah menahan seorang lelaki di kediamannya di Taman Muhibbah di sini pada pukul 9.40 malam 4 Mac lalu selepas menerima aduan daripada anak mangsa.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, hasil siasatan yang dijalankan mendapati suspek cuba membunuh isterinya kerana syak isterinya sudah tidak mahu menjaganya serta tidak disayangi.

Katanya, suspek kemudiannya telah bertindak menelan sekotak paku payung kecil (paku picit) untuk cuba membunuh diri selepas mengelar mangsa menggunakan pisau.-KOSMO! ONLINE

Siasatan awal dapati peluru berpandu Amerika yang bunuh ratusan pelajar Iran

Harapandaily

Siasatan awal tentera Amerika Syarikat mendapati negara itu bertanggungjawab terhadap satu serangan peluru berpandu Tomahawk yang mengenai sebuah sekolah rendah di Iran, menurut laporan akhbar The New York Times.

Siasatan awal itu telah mencetuskan persoalan besar mengenai kegagalan menyemak semula maklumat sasaran sebelum serangan dilancarkan.

Menurut laporan itu, serangan pada 28 Februari lalu ke atas bangunan Sekolah Rendah Shajarah Tayyebeh di Minab dipercayai berpunca daripada kesilapan sasaran oleh tentera Amerika yang ketika itu melancarkan serangan terhadap sebuah pangkalan Iran berhampiran kawasan berkenaan.

Dapatan awal mendakwa pegawai tentera Amerika menggunakan koordinat lama yang dibekalkan oleh agensi perisikan pertahanan negara itu. 

Data berkenaan masih menganggap bangunan tersebut sebagai sebahagian daripada kemudahan ketenteraan Iran.

Sedangkan bangunan itu sebenarnya telah lama dipisahkan daripada pangkalan berkenaan dan digunakan sebagai sekolah rendah.

Pegawai yang terlibat dalam siasatan berkata maklumat lapuk itu tidak disemak semula sebelum serangan dilancarkan.

Serangan tersebut dilaporkan mengorbankan sekurang-kurangnya 175 orang, dengan kebanyakannya terdiri daripada kanak-kanak, menjadikannya antara kesilapan ketenteraan paling dahsyat dalam beberapa dekad kebelakangan ini.

Laporan itu turut menimbulkan persoalan mengapa maklumat sasaran yang digunakan tidak disemak atau disahkan semula sebelum operasi dilaksanakan, walaupun perubahan pada kawasan tersebut sebenarnya boleh dikenal pasti melalui imej satelit.

Pegawai yang terlibat dalam siasatan dipetik berkata, masih terdapat banyak persoalan belum terjawab, termasuk bagaimana data lama itu boleh digunakan dalam operasi ketenteraan serta mengapa tiada pihak yang mengesahkan ketepatan maklumat berkenaan.

Laporan itu turut menyatakan bahawa Amerika Syarikat merupakan satu-satunya negara yang menggunakan peluru berpandu Tomahawk dalam konflik tersebut, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai peranan Washington dalam serangan berkenaan.

Pada masa sama, pentadbiran Presiden Donald Trump dilaporkan cuba menolak tanggungjawab terhadap serangan berkenaan, dengan mendakwa Iran adalah pihak bertanggungjawab terhadap kejadian tersebut.

Annuar Musa gesa hidupkan semula pakatan Umno-PAS bawah panji MN

FMT Reporters

PETALING JAYA: Pemimpin kanan PAS Annuar Musa menggesa Umno dan PAS supaya menghidupkan semula kerjasama di bawah panji Muafakat Nasional (MN), menyifatkan perpaduan Melayu-Islam sebagai satu perkara mudah yang boleh dicapai tanpa sebarang susunan politik lain, termasuk inisiatif ‘Rumah Bangsa’ cetusan Umno.

Bekas veteran Umno yang menyertai PAS pada Jun 2023 itu berkata, kedua-dua parti harus bertemu terlebih dahulu untuk mengenal pasti titik persamaan.

“Isu perpaduan (ummah) adalah isu yang ‘straight forward’.Tak usah rumitkan dengan mereka-reka itu dan ini. Semua itu formula untuk gagal,” katanya.

Mendakwa majoriti orang Melayu kini sudahpun ‘bersatu bersama PAS dan Perikatan Nasional (PN)’, Annuar berkata, PAS masih menuntut perpaduan yang lebih meluas bersama Umno, namun tanpa penglibatan DAP dan PKR.

“PAS mahu paksi politik bertunjangkan muafakat Umno, PAS, bukan Umno, DAP, PKR … itu saja. Mudah. Tak perlu berpolemik, rumah itu, rumah ini.

“Yang perlu ialah muafakat Melayu Islaam didahulukan, dan yang lain (yang tidak ekstrem) tidak dipinggirkan,” katanya.

Beliau berkata demikian susulan perdebatan mengenai inisiatif ‘Rumah Bangsa’ Umno, yang bertujuan menghimpunkan parti-parti politik untuk membincangkan isu-isu berkaitan orang Melayu, Bumiputera dan agama Islam.

Terdahulu hari ini, Presiden PAS Hadi Awang menolak inisiatif tersebut, menyatakan bahawa ia berteraskan nasionalisme, bukannya Islam.

MN dibentuk oleh PAS dan Umno pada September 2019 untuk menyatukan undi Melayu-Islam, namun tidak bertahan lama.

Bagaimanapun, PAS memutuskan untuk bekerjasama dengan Bersatu bagi membentuk PN susulan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan dan pelantikan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri pada 2020, tindakan yang disifatkan oleh Umno sebagai pengkhianatan.

PAS juga bertegas mahu membawa masuk Bersatu ke dalam MN, cadangan yang ditentang oleh Umno. Pakatan itu akhirnya terkubur pada Disember 2022 apabila Umno seterusnya menyokong Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Mojtaba Khamenei didakwa parah, koma akibat serangan udara

Agensi

Tehran: Iran didakwa sedang melancarkan perang ke atas Amerika Syarikat dan Israel serta sekutu Teluk dengan diketuai oleh pemimpin yang sedang koma, menurut pendedahan hari ini.

Mojtaba Khamenei dilantik sebagai pemimpin agung yang baharu oleh Mullah negara itu walau dalam keadaan cedera parah akibat serangan udara.

Sumber memberitahu The Sun bahawa anak lelaki Ayatollah Ali Khamenei yang berusia 56 tahun itu kehilangan sekurang-kurangnya sebelah kaki dan turut mengalami kerosakan perut atau hati yang serius.

Tidak jelas sama ada beliau cedera pada hari yang sama bapanya yang berusia 86 tahun meninggal dunia pada 28 Februari lalu, namun beliau didakwa tidak mengarah strategi perang yang sedang mencetuskan pergolakan pasaran tenaga dunia.

Sumber The Sun di ibu negara Iran, Tehran hari ini menyeludup keluar maklumat sulit mengenai keadaan, rawatan, lokasi dan keselamatan pemimpin baharu itu.

Beliau kini dikatakan berada di bawah rawatan rapi di Hospital Universiti Sina di kawasan bersejarah bandar itu selepas sebahagian bangunan ditutup rapat dan dikelilingi oleh kawalan keselamatan yang ketat.

Sumber itu yang enggan didedahkan demi keselamatan, berjaya mengelak gangguan internet Iran yang hampir berkuat kuasa sepenuhnya untuk menghantar mesej kepada seorang pembangkang dalam buangan yang berpangkalan di London.

Sumber itu yang bukan ahli perubatan tetapi mengenali pasukan trauma hospital memberitahu bahawa Mojtaba berada dalam keadaan 'sangat serius (kritikal)' di bawah jagaan Mohammad Reza Zafargjani.

Zafargjani ialah Menteri Kesihatan, Rawatan dan Pendidikan Perubatan Iran tetapi juga salah seorang pakar bedah trauma terkemuka di negara itu.

Sumber The Sun berkata dalam mesejnya, "Satu atau dua kakinya telah dipotong. Hati atau perutnya juga telah pecah. Dia nampaknya juga koma."

The Sun memaklumkan amat mustahil untuk mengesahkan pendedahan terperinci sumbernya di bawah gangguan internet Iran, tetapi status Mojtaba dalam kalangan ribuan mangsa perang Iran telah disahkan.

TV kerajaan Iran kini secara terbuka merujuk kepada pengganti senyap ayatollah sebagai 'Jaanbaz Ramadan' - veteran perang yang cedera.

Sumber media sosial Iran menambah butiran lanjut apabila keadaan kritikal Mojtaba didedahkan buat kali pertama hari ini.

Pakar bedah veteran Zafargjani dikatakan telah dibantu oleh Dr Mohammad Marashi, seorang pakar bedah kanan di Universiti Sains Perubatan Shahid Beheshti.

Marashi ialah abang kepada isteri bekas Presiden Akbar Hashemi Rafsanjani dan seorang lagi tokoh dipercayai yang rapat dengan kerajaan itu.

Presiden Iran Masoud Pezeshkian juga dilaporkan telah melawat Hospital Sina dua hari lalu ditemani oleh Dr Zafarghandi, malah spekulasi menyusul bahawa Pezeshkian secara rahsia melawat Mojtaba dan diberi taklimat sepenuhnya mengenai keadaannya.

Keselamatan di hospital dikatakan sangat ketat, dengan akses ke unit rawatan rapi hanya terhad kepada segelintir individu yang dibenarkan.

Sumber lain melaporkan bahawa Mojtada sama sekali tidak menyedari perang yang sedang berlangsung, kematian ahli keluarga termasuk isteri dan anak lelakinya dan juga pemilihannya sendiri sebagai Pemimpin Agung.

Pemimpin Agung Ali Khamenei telah meletakkan jentera perang negaranya secara automatik sebelum beliau terkorban dalam tindakan pertama Operasi Epic Fury.

Anak lelakinya yang berbaju hitam, Mojtaba, 56, menggantikannya lima hari lalu tetapi tidak pernah memberi ucapan awam dan berdiam diri di tengah-tengah khabar angin bahawa beliau sudah meninggal dunia.

Orang dalam Iran memberitahu The Sun bahawa perang yang berlaku adalah rancangan besar bapanya, dan tentera yang melancarkan dron dan peluru berpandu telah bersedia untuk terus berjuang diketuai oleh 'hantu'.

Sehingga malam ini, nasib Mojtaba yang kehilangan isterinya, Zahra; anak lelaki yang berusia lapan tahun, Bagher; serta ibu dan kakaknya dalam letupan yang turut mengorbankan bapanya masih tidak jelas.

Pas kalah saman fitnah lagi, mahkamah arah Pemuda Pas Perak bayar RM250,000

Harapandaily
Seorang pemimpin Pemuda Pas Teluk Intan diperintah membayar ganti rugi sebanyak RM250,000 selepas kalah dalam kes saman fitnah yang difailkan oleh Pegawai Khas Menteri Besar Perak bagi DUN Changkat Jong dari DAP, Badrul Hisham Badarudin.

Badrul Hisham memaklumkan mahkamah memutuskan beliau menang dalam kes saman terhadap Nurhafizul Badrul Hisham, yang juga Pengarah Strategi Pemuda Pas Perak, selepas melalui proses perundangan yang panjang.

Menurutnya, mahkamah memerintahkan defendan membayar jumlah ganti rugi keseluruhan RM250,000, meliputi RM100,000 ganti rugi am, RM100,000 ganti rugi teladan serta RM50,000 ganti rugi teruk susulan fitnah yang didakwa dilemparkan terhadapnya sebelum ini.

“Keputusan ini bukan sekadar kemenangan peribadi, tetapi merupakan satu peringatan bahawa fitnah, tohmahan dan penyebaran maklumat tidak benar tidak boleh dijadikan budaya dalam politik,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menegaskan bahawa persaingan politik sepatutnya berlaku secara sihat walaupun terdapat perbezaan pandangan, tanpa mengorbankan maruah, kebenaran dan integriti demi kepentingan politik sempit, politik kebencian dan politik perkauman.

“Saya berharap keputusan ini menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya lebih bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan, terutamanya di ruang awam dan media sosial.

“Bagi pihak saya, perjuangan untuk membawa perubahan dan berkhidmat kepada masyarakat akan tetap diteruskan seperti biasa.

“Kebenaran mungkin lambat, tetapi akhirnya ia tetap akan tertegak. Terima kasih kepada semua yang mendoakan dan memberikan sokongan sepanjang proses ini,” kata Badrul Hisham lagi.

'Teluk Parsi akan dipenuhi darah' - Speaker Parlimen Iran beri amaran jika pulau diceroboh

Astro AWANI

TEHRAN: Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf memberi amaran bahawa sebarang cubaan menceroboh atau menyerang pulau‑pulau milik Iran akan menerima tindak balas tanpa batasan daripada Tehran.

Dalam satu hantaran di platform X hari ini, Mohammad Bagher menegaskan bahawa kedaulatan wilayah Iran adalah garis merah yang tidak boleh digugat.

Beliau berkata Iran akan mengetepikan semua bentuk kekangan ketenteraan sekiranya tanah airnya diancam kuasa luar.

“Tanah air atau mati! Sebarang pencerobohan terhadap tanah di pulau‑pulau Iran akan menghancurkan semua sekatan.

"Kami akan ketepikan semua kawalan diri dan menjadikan Teluk Parsi dipenuhi dengan darah penceroboh,” tegas Mohammad Bagher dalam kenyataan yang dilihat meningkatkan lagi suhu ketegangan di rantau Asia Barat.

Mohammad Bagher turut menegaskan bahawa keselamatan anggota tentera Amerika Syarikat (AS) terletak sepenuhnya di bawah tanggungjawab Presiden Donald Trump susulan tindakan agresif Washington melalui “Operation Epic Fury”.

“Darah tentera Amerika adalah tanggungjawab peribadi Trump,” tulisnya lagi bagi menggambarkan kesediaan Iran untuk melancarkan serangan balas besar-besaran terhadap aset AS di rantau berkenaan.

Kenyataan itu hadir ketika laporan menunjukkan peningkatan pergerakan aset ketenteraan AS dan Israel ke kawasan strategik di Teluk Parsi, sekali gus meningkatkan kebimbangan mengenai kemungkinan pertembungan secara langsung di laluan penting bekalan tenaga dunia.

Presiden Iran tetapkan 3 syarat tamatkan perang

Agensi

Tehran: Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, menetapkan tiga syarat untuk menamatkan perang yang meletus selepas Amerika Syarikat (AS)-Israel melancarkan serangan ke atas republik Islam ini pada 28 Februari lalu.

Portal berita, Al Jazeera, melaporkan tiga syarat digariskan oleh Pezeshkian itu ialah pengiktirafan terhadap hak-hak Iran yang sah, pembayaran pampasan, dan jaminan antarabangsa yang tegas bagi menentang pencerobohan pada masa depan.

Satu lagi portal berita, The Caspian Post, ketika melaporkan perkara sama turut kongsikan satu hantaran Pezeshkian yang menegaskan pendirian itu melalui platform X, hari ini.

Menurut laporan itu yang memetik hantaran berkenaan, Pezeshkian turut mengulangi komitmen terhadap keamanan serantau, dalam perbualan dengan pemimpin Russia dan Pakistan.

"Satu-satunya jalan untuk menamatkan perang ini - dicetuskan oleh rejim Zionis dan AS - ialah mengiktiraf hak-hak sah Iran, pembayaran pampasan, serta jaminan antarabangsa yang tegas untuk menentang pencerobohan pada masa depan," kata Pezeshkian dalam hantaran dikongsikan itu.

Dalam perkembangan berasingan pula, Bernama-MNA melaporkan Pezeshkian menegaskan komuniti antarabangsa perlu mengecam apa yang disifatkan beliau sebagai pencerobohan jenayah oleh AS dan rejim Israel terhadap Iran, pada forum antarabangsa.

Pezeshkian menerima panggilan telefon daripada rakan sejawatnya di Russia, Vladimir Putin, lewat kelmarin, bagi membincangkan kerjasama dua hala serta perkembangan terkini di rantau berkenaan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Russia atas pendirian yang menyokong Iran.

Pezeshkian merujuk kepada serangan terbaru oleh AS dan Israel yang menurutnya telah menyasarkan infrastruktur awam serta orang awam, sekali gus menegaskan komuniti antarabangsa perlu mengecam tindakan itu pada forum antarabangsa.

Kedua-dua presiden itu juga saling bertukar pandangan mengenai isu berkepentingan bersama dan menekankan kepentingan meneruskan rundingan serta penyelarasan antara Tehran dengan Moscow pada peringkat tertinggi.

Sementara itu, BERNAMA melaporkan Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, menegaskan ancaman keselamatan di Selat Hormuz berpunca daripada serangan AS-Israel terhadap negara ini.

Araghchi menyatakan perkara berkenaan dalam perbualan telefon dengan Menteri Hal Ehwal Luar India, Subrahmanyam Jaishankar, kelmarin, menurut Kementerian Luar Iran dalam satu kenyataan, semalam.

Kedua-dua menteri itu turut membincangkan perkembangan serantau serta 'kesan pencerobohan ketenteraan rejim AS dan Israel terhadap keselamatan perkapalan serta pergerakan kapal melalui Selat Hormuz'.

Pergerakan kapal tangki melalui laluan laut penting di sepanjang sempadan selatan Iran itu merosot ketara susulan permusuhan ketenteraan yang semakin memuncak, apabila Tehran mengancam untuk menyerang kapal yang mempunyai kaitan dengan AS dan Israel.

Harga minyak mentah global melonjak berikutan gangguan terhadap perdagangan tenaga serta kebimbangan berhubung kemungkinan berlaku krisis bekalan minyak dan gas.

Menurut kenyataan itu lagi, Araghchi menegaskan situasi tidak selamat dan masalah yang timbul terhadap perkapalan di Teluk Parsi adalah akibat tindakan AS yang agresif serta menggugat kestabilan, dan masyarakat antarabangsa mesti mempertanggungjawabkan Washington atas situasi berkenaan.

Araghchi turut mengetengahkan insiden pengeboman Sekolah 'Shajareh Tayyebeh' di bandar Minab di selatan Iran pada 28 Februari lalu ketika AS-Israel memulakan serangan ke atas Iran.

Sekurang-kurang 170 orang yang kebanyakan mereka adalah kanak-kanak, terkorban dalam pengeboman sekolah itu.

Araghchi memberitahu Jaishankar bahawa dunia mempunyai 'tanggungjawab untuk mengecam' serangan berkenaan.

"Menteri Luar (Araghchi) menyifatkan tindakan agresif oleh AS dan rejim Israel sebagai pelanggaran terhadap prinsip dan peraturan asas Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta undang-undang antarabangsa.

"Beliau menyatakan semua kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk mengecam pencerobohan ketenteraan dan pelanggaran undang-undang yang terang-terangan itu," menurut Kementerian Luar Iran lagi.

Jaishankar dalam hantaran melalui X pula berkata, beliau mengadakan 'perbualan terperinci' dengan Menteri Luar Iran mengenai perkembangan terkini berkaitan konflik yang sedang berlaku.

Bagaimanapun, Jaishankar tidak memberikan butiran mengenai perkara yang dibincangkan.
-Hmetro 

Kedah: Dendam lama dipercayai punca lelaki maut ditetak, adik parah

Buletin TV3 

SUNGAI PETANI: Dendam lama dipercayai menjadi punca lelaki maut ditetak, manakala adik perempuannya parah dalam kejadian di hadapan rumah mereka di Taman Kempas, di sini awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah, berkata setakat ini empat individu termasuk wanita ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Beliau berkata, tiga suspek iaitu dua lelaki dan seorang wanita ditahan sejurus selepas kejadian sebelum polis membuat satu lagi tangkapan semalam.

“Pada hari berikutnya (semalam) kira-kira jam 5.30 petang kita buat satu lagi tangkapan membabitkan lelaki India berusia 22 tahun yang mempunyai 10 rekod jenayah lampau dan ujian air kencing positif dadah.

“Suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan lanjut,” katanya pada sidang media, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, di sini hari ini.

Adzli berkata, siasatan polis mendapati kesemua empat suspek itu mengenali mangsa dan adiknya, malah mereka pernah tinggal berhampiran.

“Kita dapati motif dia adalah pelbagai, namun kita boleh cakap ini adalah dendam lama yang dipendam secara diam walaupun mereka bercampur hari-hari.

“Untuk makluman, keluarga mangsa pernah tinggal bersama keluarga seorang daripada suspek dan mangsa juga pernah bercinta dengan adik-beradik dengan suspek kira-kira empat atau lima tahun lalu,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan lelaki berusia lingkungan 20-an ditemui maut dengan kesan tetakan di hadapan rumahnya, manakala adik perempuannya cedera parah dengan tangan hampir putus dalam kejadian dipercayai berlaku antara jam 12 tengah malam hingga 2 pagi.

Cabul pelajar, Lelaki dijatuhi hukuman penjara 6 tahun, 2 sebatan

Alias Abd Rani
Mohd Nazri dipenjara enam dan sebatan kerana cabul pelajar perempuan di Segamat enam tahun lalu. – Foto NSTP
MUAR: Seorang banduan yang sedang menjalani hukuman, dipenjara enam tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas kesalahan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar perempuan enam tahun lalu.

Hakim Mohd Khairi Haron menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Mohd Nazri Mohd Jani, 41, selepas mempertimbangkan pengakuan bersalah dan rayuan dibuat selain faktor hujahan daripada pihak pendakwaan.

Selain hukuman itu, mahkamah turut memerintah tertuduh yang bekerja kebun menjalani sesi kaunseling, sepanjang dalam tahanan serta pengawasan polis selama dua tahun sebaik selesai hukuman.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada empat anak itu didakwa melakukan perbuatan berkenaan terhadap mangsa berusia 15 tahun ketika kejadian di sebuah rumah di Segamat pada jam 11 pagi, 19 Disember 2020.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan.

Menurut fakta kes, pada hari kejadian tertuduh ke rumah mangsa untuk menghantar makanan.

Secara kebetulan ketika itu, mangsa berseorangan di rumah dan tertuduh datang dari arah belakang lalu memeluknya.

Bukan itu sahaja, malah tertuduh juga mengheret mangsa masuk ke dalam, namun mangsa terjatuh di hadapan bilik.

Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Batu Aman, Segamat.

Bertindak atas laporan dibuat, sepasukan polis menahan tertuduh di sebuah pondok dalam ladang sawit di Palong Timur, Segamat 10 hari selepas kejadian bagi membantu siasatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Fauzi manakala tertuduh diwakili peguam, Nor Hafizah Abdullah daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Iran nekad teruskan perang sehingga musuh melutut

Malaysiakini 

Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) menegaskan bahawa kempen serangan ke atas aset Amerika Syarikat (AS) dan rejim Zionis tidak akan dihentikan selagi ancaman perang terhadap Iran masih wujud.

Memetik laporan Agensi Berita Mehr (MNA), Pertubuhan Perisikan IRGC mengumumkan pelancaran gelombang ke-38 di bawah Operasi "True Promise 4".

Misi yang menggunakan kod "Ya Haidar Karrar" itu dilancarkan sempena ulang tahun syahidnya Imam Ali, dengan menyasarkan baki pangkalan tentera AS di seluruh rantau Asia Barat.

Dalam kenyataan pada Selasa, IRGC mendakwa pangkalan helikopter AS, Al-Adairi di Kuwait, menjadi sasaran utama. Serangan tersebut dilaporkan mengakibatkan lebih 100 tentera AS cedera dan terpaksa dipindahkan ke hospital untuk rawatan kecemasan.

Selain itu, operasi berkenaan turut membedil beberapa lokasi strategik lain. Antaranya, pangkalan helikopter AS dikenali sebagai Al-Adairi di Kuwait menerima dua serangan, menyebabkan lebih 100 tentera AS cedera dan dipindahkan ke hospital.

Menurut IRGC lagi, pangkalan strategik AS di pelabuhan Mina Salman sebagai pangkalan tentera laut kelima AS termasuk radar strategik Leeds turut disasarkan.

Selain itu, Patriot Camp dan kemudahan perumahan tentera AS di dua pangkalan iaitu Mohammad Al-Ahmad dan Ali al-Salem juga diserang.

IRGC seterusnya mengisytiharkan bahawa perang menentang pengganas AS dan Zionis akan diteruskan secara paksa dan diteruskan dengan skala yang lebih besar.

"Kami hanya mahukan musuh menyerah diri sepenuhnya. Serangan hanya akan dihentikan apabila 'bayang-bayang perang' ke atas negara ini (Iran) tidak lagi wujud," tegas kenyataan itu.

Setakat ini, pihak Pentagon masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi bagi mengesahkan jumlah mangsa atau tahap kerosakan aset mereka di lokasi-lokasi yang dinyatakan.

Lelaki maut terjun bangunan elak serbuan polis

Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Seorang lelaki maut selepas terjun dari tingkat tiga kediaman ketika cuba melarikan diri semasa serbuan polis di sebuah unit kediaman di Jalan Gombak, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kejadian itu pada jam 9.07 malam.

Beliau berkata, ketika kejadian sepasukan polis sedang menjalankan serbuan di kediaman berkenaan berhubung kes kecurian motosikal.

"Semasa serbuan dijalankan, dua suspek cuba melarikan diri dengan bertindak terjun dari tingkat tiga bangunan berkenaan.

"Seorang daripadanya, lelaki tempatan berusia 52 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi terselamat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, dalam operasi sama polis turut menahan 12 individu yang terdiri daripada empat lelaki, lima wanita dan tiga kanak-kanak berusia antara tiga hingga 42 tahun.

Katanya, kesemua yang ditahan adalah warga tempatan kecuali dua daripadanya warga Indonesia.

"Polis turut merampas dua motosikal dipercayai motosikal curi selain beberapa jenis dadah di kediaman terbabit.

"Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) dan siasatan lanjut sedang dijalankan," katanya.

Suami orang kantoi khalwat di bulan Ramadan

Farhana Yaacob
am@hmetro.com.my
Pasangan tersebut ditahan awal pagi semalam. FOTO Tangkap layar video JAIM
Pasangan tersebut ditahan awal pagi semalam. FOTO Tangkap layar video JAIM
Melaka: Seorang lelaki yang masih berstatus suami orang tergamak mencemarkan kesucian bulan Ramadan apabila dicekup berkhalwat dalam sebuah bilik hotel di sini, awal pagi semalam.

Perbuatan pasangan berkenaan terbongkar selepas sepasukan pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menjalankan serbuan di premis tersebut.

Ketika disoal mengenai status hubungan, kedua-duanya mendakwa masih bujang malah lelaki terbabit turut memaklumkan bahawa dia sudah bercerai dengan isterinya.

Namun helah itu tidak berpanjangan, apabila semakan lanjut dibuat pihak berkuasa mendapati lelaki berkenaan sebenarnya masih berstatus suami orang.

"Hasil pemeriksaan juga mendapati pasangan itu tidak mempunyai sebarang hubungan sah dan bukan suami isteri.

"Kedua-duanya ditahan di bawah kesalahan Seksyen 53 Enakmen Syariah Negeri Melaka kerana berkurung yang mendatangkan syak," kata pegawai penguatkuasa JAIM menerusi video yang dimuat naik di aplikasi TikTok dan tular di media sosial.

Rakaman berkenaan memaparkan situasi penguat kuasa jabatan itu mengetuk pintu bilik hotel berkenaan sebelum berjaya masuk ke dalam bilik yang disewa kedua-dua mereka.

Video itu juga menunjukkan kedua-dua individu tersebut berada di atas katil dalam keadaan lengkap berpakaian ketika serbuan dilakukan.

Pasangan terbabit kemudiannya dibawa ke pejabat JAIM bagi menjalani proses siasatan dan tindakan lanjut.

Kelantan: Tiga ditahan melombong emas haram, 3 lagi menyamar pihak berkuasa

Syaherah Mustafa
am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Keterujaan tiga lelaki melombong emas secara haram di Kampung Limau Kasturi, Gua Musang membawa padah apabila dikesan anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8).

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, serbuan dilakukan di kawasan ladang getah kira-kira 6 petang kelmarin, yang mana kesemua suspek dilihat melombong emas menggunakan jengkaut dan palong.

Katanya, suspek berusia 23 tahun himgga 38 tahun itu gagal membuktikan lesen melombong emas yang membawa kepada penahanan dan sitaan semua alatan digunakan termasuk jentera bernilai keseluruhan RM 541,900.

"Siasatan awal mendapati aktiviti perlombongan di kawasan itu baru beroperasi kira-kira seminggu lalu dan anggaran hasil emas berjaya dikutip antara lima hingga tujuh gram (g) sehari.

"Semua suspek dibawa ke Balai Polis Bertam, Gua Musang dan disiasat mengikut Seksyen 137(1)(B) Enakmen Mineral 2001," katanya dalam kenyataan semalam.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Radzi berkata, pihaknya menahan tiga lelaki dipercayai menyamar sebagai pihak berkuasa, selain merampas sepucuk pistol jenis bersama tali pengikat di Kampung Pasir Pekan, Wakaf Bharu, Tumpat, Ahad lalu.

Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas kereta dinaiki suspek menemui beberapa barangan berkaitan penyamaran sebagai pihak berkuasa.

"Mereka disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan, Seksyen 89 Akta Polis 1967, Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960, Seksyen 7(1) Akta bahan hakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 serta Seksyen 12(2) dan 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Menurutnya, kedua-dua kes berjaya dibanteras menerusi pelaksanaan Op Taring Wawasan Kelantan dan Op Bersepadu Khazanah.

Maut dibunuh rakan kerana telefon bimbit

Farhana Yaacob
am@hmetro.com.my
POLIS melakukan siasatan di lokasi kejadian lelaki ditikam dengan parang. FOTO Farhana Yaacob.
POLIS melakukan siasatan di lokasi kejadian lelaki ditikam dengan parang. FOTO Farhana Yaacob.
Melaka: Pertelingkahan mengenai telefon bimbit membawa kepada kematian lelaki yang dipercayai ditikam rakan dengan senjata tajam di beranda sebuah rumah di Kampung Sungai Udang di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, dalam kejadian 8.30 malam itu, mangsa berusia 25 tahun maut selepas dipercayai ditikam beberapa kali oleh suspek berusia 44 tahun.

Menurutnya, mangsa ditemui dengan kecederaan sekurang-kurangnya tiga kesan tikaman di bahagian kiri dada.

"Siasatan awal mendapati suspek sebelum ini mendakwa ada memberikan telefon bimbit kepada mangsa minggu lalu, sebelum datang berjumpa mangsa (hari ini) untuk mengambil semula barang miliknya.

"Bagaimanapun, pertemuan tersebut bertukar menjadi pergaduhan sebelum mangsa diserang dipercayai menggunakan parang," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Christopher berkata, suspek yang panik selepas kejadian, cuba melarikan diri tetapi sempat abang mangsa sejauh kira-kira 300 meter hingga ke kawasan berhampiran rumah kedai pekan Sungai Udang.

Katanya, suspek dipercayai menceroboh masuk kereta milik orang awam untuk bersembunyi tetapi berjaya ditahan.

"Siasatan turut mendapati kedua-dua suspek dan mangsa mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Terdahulu, tular di media sosial gambar mangsa dalam keadaan terlentang selepas dipercayai ditikam suspek, selain video yang menunjukkan suspek ditahan orang awam setelah menceroboh kereta.

Gurauan membawa padah, guru maut dilanggar pelajar

Agensi
LOKASI kemalangan membabitkan Jason Hughes akibat gurauan melampau pelajarnya. FOTO Agensi.
LOKASI kemalangan membabitkan Jason Hughes akibat gurauan melampau pelajarnya. FOTO Agensi.
Washington: Gurauan tisu tandas dilakukan seorang remaja terhadap guru lelakinya berakhir tragedi menyayat hati apabila guru terbabit maut dilanggar kenderaan dinaiki pelajar berkenaan, minggu lalu.

Pelajar itu, Jayden Ryan Wallace bersama empat rakannya sedang melakukan gurauan terhadap guru mereka, Jason Hughes sebelum keadaan menjadi tidak terkawal.

Remaja lelaki berusia 18 tahun itu melanggar Hughes, 40, dengan kenderaan miliknya.

Menurut laporan 11alive, Wallace ditahan pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira 11.40 malam, polis menerima panggilan mengenai kejadian sekumpulan pelajar menabur kertas tandas di halaman rumah Hughes.

Apabila guru itu keluar untuk mengejar mereka, pelajar terbabit masuk ke dalam kenderaan dan memandu untuk meninggalkan lokasi.

Malangnya, Mr Hughes tersungkur di atas jalan ketika mengejar dan dilanggar oleh kenderaan dipandu Wallace.

Kesemua pelajar segera keluar dari kenderaan dan memberi bantuan kecemasan kepada guru terbabit sebelum pasukan kecemasan tiba di lokasi.

Bagaimanapun, Hughes disahkan meninggal dunia akibat kecederaannya di hospital tempatan.

Wallace kini didakwa dengan pembunuhan tanpa sengaja menggunakan kenderaan, memandu secara melulu, pencerobohan jenayah dan membuang sampah di kawasan persendirian.

Empat rakannya pula didakwa dengan kesalahan kecil.

Keluarga mangsa mengenali semua pelajar terbabit dan menasihati pihak berkuasa untuk menarik balik semua pertuduhan terhadap mereka.

Isteri Hughes iaitu Laura menjelaskan keadaan di sebalik kemalangan kepada media dan menasihati pihak berkuasa untuk mempertimbangkan semula pertuduhan terhadap pelajar itu.
-Hmetro