Gempa bumi Indonesia angka maut meningkat kepada 47 orang

Buletin TV3
Pasukan penyelamat mencari mangsa di runtuhan Pelabuhan Laurensius Say di Maumere, Sikka, Nusa Tenggara Timur, pada 15 Ogos 2026 selepas gempa bumi bermagnitud 7.7 melanda Pulau Flores.- Foto AFP
MAUMERE: Pasukan penyelamat meneruskan operasi mencari mangsa yang mungkin terselamat di celah runtuhan pada Sabtu selepas gempa bumi kuat melanda kawasan luar pesisir timur Pulau Flores, mengorbankan sekurang-kurangnya 47 orang.

Agensi Pengurusan Bencana Nasional Indonesia (BNPB) menaikkan angka kematian daripada 40 orang yang dilaporkan pada lewat Sabtu, manakala pegawai penyelamat, Fathur Rahman berkata, 50 orang cedera dalam gempa bumi bermagnitud 7.7 itu.

Ketua BNPB, Suharyanto berkata, sebelum ini terdapat mangsa yang dipercayai masih terperangkap di beberapa bangunan.

“Lokasi ini akan menjadi sasaran awal pasukan tindak balas bencana,” katanya.

BNPB melaporkan hampir 160 rumah, selain puluhan kemudahan pendidikan dan kesihatan serta bangunan awam lain, rosak akibat gempa bumi yang melanda pulau popular dalam kalangan pelancong di timur Indonesia itu.

Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) berkata, persiapan sedang dilakukan bagi menyalurkan bantuan kepada kira-kira 2,000 mangsa yang ditempatkan di pusat perlindungan sementara.

Kerajaan Indonesia turut menghantar 50,000 pek bantuan dengan berat keseluruhan 275 tan ke kawasan terjejas, manakala Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen menawarkan bantuan menerusi satelit pemerhatian bumi Copernicus milik Kesatuan Eropah (EU).

“Eropah bersedia mengerahkan Copernicus, mata kami di angkasa, bagi menyokong usaha mencari dan menyelamat. Indonesia, kami bersama anda,” katanya menerusi platform X.

Trump akan isytihar Selat Hormuz wilayah Amerika

KOSMO!

WASHINGTON – Presiden Donald Trump berkata semalam bahawa beliau akan ‘selesai mengalahkan Iran’  dan  ‘tidak lama lagi’ akan  mengisytiharkan Selat Hormuz sebagai  wilayah Amerika Syarikat(AS).

Trump telah berulang kali berkata, selat yang menjadi laluan tenaga utama dunia itu berada di bawah kawalan AS walaupun ditutup secara berkesan oleh Tehran pada awal perang Asia Barat.

“Selepas kami selesai mengalahkan Iran yang sedang mengalami kekalahan teruk,  tidak lama lagi saya akan mengisytiharkan Selat Hormuz sebagai wilayah Amerika Syarikat,” katanya sambil ketawa kecil semasa perhimpunan politik di sebuah akademi polis di negeri New York.

“Ia benar,” tambah Trump.

Seorang pegawai White House kemudian menjelaskan bahawa Trump hanya bergurau berhubung kenyataan tersebut, demikian menurut akhbar Wall Street Journal.

Timbalan Menteri Luar Iran,  Kazem Gharibabadi membalas komen Trump hari ini dalam satu hantaran di platform  X, menegaskan bahawa: “Selat Hormuz telah, sedang, dan akan kekal milik Iran.” – AFP