Pelajar sekolah menengah mangsa sunting gambar lucah guna AI

Bernama

SEREMBAN: Polis menerima lima laporan berhubung penyebaran gambar wajah pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah yang disunting menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) sehingga menyerupai gambar lucah.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Alzafny Ahmad, berkata pihaknya menerima laporan membabitkan mangsa yang berusia 14 hingga 17 tahun itu daripada ibu bapa dan penjaga pada 20 hingga 23 Ogos lepas.

“Dalam kes ini, suspek seorang pelajar Tingkatan 5 dikenakan tindakan disiplin oleh pihak sekolah, iaitu digantung sekolah bermula pada 24 hingga 28 Ogos lepas.

“Sehingga kini, lima saksi telah dipanggil untuk memberikan keterangan,” menurut kenyataan.

Siasatan dilakukan di bawah Seksyen 5 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

Polis akan menjalankan siasatan secara telus supaya tindakan undang-undang dapat diambil terhadap individu yang terlibat demi keadilan terhadap semua mangsa.

Kanak-kanak lelaki maut terjatuh dari tingkat 11

KOSMO!

SEPANG – Seorang kanak-kanak lelaki berusia kira-kira tiga tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 11, Horizon Suites, Bandar Baru Salak Tinggi, di sini, hari ini.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 5.54 pagi tadi.

Beliau berkata, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Ketika kejadian, ibu bapa mangsa ada di rumah. Proses bedah siasat terhadap mangsa di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, telah selesai dijalankan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, pihaknya turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian itu.

Norhizam berkata, individu yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi pegawai penyiasat, Insp. Mohamad Farizi Ramlee, menerusi talian 014-314 5347. – KOSMO! ONLINE

Terengganu: Tragedi ambil bola, kanak-kanak lelaki lapan tahun maut dilanggar lori

Zaid Salim
am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun maut dirempuh lori ketika mengambil bola yang terpelanting ke jalan raya, di Jalan Surau Cik Man, Kampung Surau Haji Daud, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 3.40 petang itu, mangsa yang juga murid Tahun Dua Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Ikan, di sini, dikatakan dari arah rumahnya, tiba-tiba berlari ke jalan raya untuk mengambil bola sebelum dilanggar sebuah lori.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati lori jenis Nissan itu sedang bergerak dari Kampung Surau Haji Daud menghala ke Kampung Tok Dir, di sini.

Menurutnya, mangsa dipercayai memasuki laluan lori berkenaan untuk mengambil bola di atas jalan.

"Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Pemandu lori berusia 44 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, untuk tindakan lanjut dan bedah siasat dijalankan pada jam 8.30 malam ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tragedi air terjun, wanita ditemukan maut selepas tergelincir

Agensi
(kiri) Detik sebelum Windy terjatuh dan tergelincir ketika mandi di Air Terjun Robo Harau. Proses membawa keluar mangsa yang terjatuh dari puncak air terjun. Foto Ihsan Agensi Mencari dan Menyelamat Indonesia (Basarnas) Cawangan Padang. (Kanan)
(kiri) Detik sebelum Windy terjatuh dan tergelincir ketika mandi di Air Terjun Robo Harau. Proses membawa keluar mangsa yang terjatuh dari puncak air terjun. Foto Ihsan Agensi Mencari dan Menyelamat Indonesia (Basarnas) Cawangan Padang. (Kanan)
Padang: Seorang wanita maut selepas tergelincir dan terjatuh ketika mandi di Air Terjun Robo Harau, Wilayah Limapuluh Kota, Sumatera Barat, Indonesia, Khamis lalu, lapor Detik.

Wanita itu, Windy Rahma Putri, 25, ditemukan meninggal dunia oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) gabungan pada jam 10.45 pagi, Jumaat, semalam.

Ketua Pejabat Pencarian dan Pertolongan Kelas A Padang, Abdul Malik berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 5.27 petang, Khamis lalu.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 3.45 petang ketika mangsa mandi di air terjun berkenaan.

"Mangsa tergelincir ketika mandi di Air Terjun Robo, Nagari Harau, Wilayah Limapuluh Kota dan dipercayai lemas sebelum dihanyutkan arus," katanya.

Video kejadian mangsa tergelincir dan terjatuh dari tempat tinggi turut tersebar meluas di media sosial.

Dalam pada itu, Abdul Malik berkata, susulan laporan diterima, pasukan SAR menjalankan operasi pencarian dalam lingkungan radius kira-kira 570 meter (m) dari lokasi kejadian.

"Mangsa ditemukan dalam keadaan meninggal dunia pada jam 10.45 pagi dan pasukan segera menjalankan operasi membawa keluar mayat mangsa," katanya.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada keluarganya untuk urusan pengebumian.

Pintu jet tercabut di ruang udara

KOSMO
JET itu mendarat cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Nnamdi Azikiwe selepas pintunya tiba-tiba tercabut semasa di udara. - The Sun UK
ABUJA – Sebuah jet peribadi mendarat cemas selepas pintunya  tiba-tiba tercabut semasa berada di ruang udara di Nigeria, lapor akhbar The Sun UK. 

Pesawat jenis Bombardier Challenger 600 itu menghantar isyarat kecemasan tiga minit selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Nnamdi Azikiwe di Abuja sekitar pukul 4.17 petang (waktu tempatan), baru-baru ini. 

Juruterbang menghantar isyarat kecemasan ketika pesawat berada pada ketinggian 914.4 meter.

Pesawat itu bagaimanapun selamat mendarat kira-kira 17 minit selepas berlepas.

Rakaman video dimuat naik di media sosial menunjukkan pintu jet itu jatuh dari langit di sebuah kawasan lapang berhampiran  Lapangan Terbang Nnamdi. 

“Ini apa yang kami temukan semasa dalam perjalanan pulang dari ladang,” kata seorang petani dalam klip video tersebut. – AGENSI

NS: Pemimpin Umno jangan membisu, kena jelaskan adakah tindakan Ismail Lasim direstui?

Harapandaily

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa mempersoalkan pendirian Umno berhubung isu kemurkaan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir terhadap Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim.

Beliau mempersoalkan sama ada pimpinan Umno mengetahui dan merestui surat yang didakwa dihantar Ismail kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, yang menyatakan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) adalah sah dan Tuanku Muhriz bukan lagi Yang di-Pertuan Besar.

Mujahid berkata Umno perlu memberikan penjelasan dan tidak boleh sekadar berdiam diri apabila pemimpin daripada parti itu dikaitkan dengan tindakan yang menyentuh kedudukan institusi Raja Melayu.

“Apabila seorang Raja secara terbuka mempersoalkan surat yang didakwa dihantar oleh Menteri Besar kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang menyatakan baginda bukan lagi Yang di-Pertuan Besar, ini jelas menunjukkan keruntuhan kepercayaan yang amat serius antara Istana dengan pentadbiran negeri.

“Kandungan penuh surat tersebut mesti didedahkan supaya rakyat mengetahui perkara sebenar, Umno tidak boleh sekadar menunggu dan berdiam diri. 

“Apakah Umno merestui tindakan Menteri Besarnya?,” soal beliau dalam kenyataan hari ini.

Mujahid turut membangkitkan pendirian Umno yang selama ini lantang mendakwa dirinya sebagai pembela Melayu, Islam dan Raja-Raja Melayu, namun membisu apabila membabitkan isu daripada pemimpinnya sendiri.

Mujahid juga mempersoalkan sama ada kesetiaan kepada Raja hanya dijadikan slogan untuk menyerang lawan politik atau turut terpakai apabila tindakan yang dipertikaikan dilakukan oleh pemimpin parti itu sendiri.

Sehubungan itu, beliau menggesa Umno menjelaskan sama ada parti berkenaan menyokong pendirian Exco yang pernah mengiktiraf proklamasi penurunan Tuanku Muhriz serta mengapa Ismail berubah daripada menzahirkan sokongan terhadap Tuanku Muhriz kepada mengesahkan keputusan Exco yang mempertikaikan kedudukan baginda.

“Ismail Lasim mesti segera mendedahkan dan menarik balik surat tersebut sekiranya benar kandungannya seperti yang dititahkan oleh Tuanku Muhriz. 

“Beliau l wajib memohon ampun kepada baginda serta memohon maaf kepada rakyat Negeri Sembilan dan seluruh rakyat Malaysia kerana sikap biadabnya terhadap institusi Raja Melayu.

“Umno pula mesti mengambil tindakan disiplin yang tegas. Jika Ismail Lasim tidak mampu memberikan penjelasan dan memulihkan hubungan dengan Istana, beliau tidak lagi mempunyai kewibawaan moral untuk meneruskan tugas sebagai Menteri Besar dan wajar meletakkan jawatan,” kata beliau lagi.

Mujahid menegaskan isu berkenaan bukan soal mempolitikkan institusi beraja, sebaliknya berkaitan keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan martabat institusi Raja.

Mujahid menegaskan Umno kini perlu menentukan sama ada mahu mempertahankan institusi Raja atau mempertahankan pemimpinnya sendiri.

Kelantan: Tekong darat, 10 PATI Myanmar ditahan ketika transit di hotel

Hazira Ahmad Zaidi
Seorang lelaki warga Myanmar yang dipercayai bertindak sebagai tekong ditahan bersama 10 rakan senegaranya dalam serbuan Jabatan Imigresen di sebuah hotel di Wakaf Che Yeh. – Foto NSTP
KOTA BHARU: Seorang tekong darat warga Myanmar ditahan bersama 10 rakan senegara berstatus pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam serbuan di sebuah hotel di Wakaf Che Yeh, di sini, pagi tadi.

Semua 10 PATI termasuk empat wanita itu dipercayai bekerja di Johor Bahru dan Kuala Lumpur, baru tiba di negeri ini kira-kira jam 6.30 pagi tadi.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata , ketika ditahan dalam operasi jam 8.30 pagi itu mereka dipercayai menginap di hotel berkenaan sebagai lokasi transit.

Menurutnya, siasatan awal mendapati setiap warga Myanmar terbabit membayar RM3,500 seorang kepada tekong darat bagi membolehkan mereka dibawa keluar dari negara ini.

Tekong darat yang berusia lingkungan 30-an itu mengaku sudah empat tahun tinggal di Shah Alam, Selangor.

“Semua 11 warga Myanmar itu kini ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Kita turut menemukan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CR-V dipercayai digunakan untuk membawa 10 PATI, selain beberapa beg pakaian milik mereka.,” katanya selepas operasi penguatkuasaan di sebuah tapak pembinaan di Kubang Kerian, di sini, hari ini.

Mengulas operasi berasingan di tapak pembinaan di Kubang Kerian, Lokman Effendi berkata 57 warga asing diperiksa sebelum 55 ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan.

Bagi tempoh 1 Januari hingga 15 Oktober lalu, sejumlah 11,000 operasi penguatkuasaan dilaksanakan seluruh negara.

Daripada jumlah itu, lebih 146,000 warga asing diperiksa, manakala lebih 65,000 ditahan atas pelbagai kesalahan dan lebih 45,000 warga asing sudah dihantar pulang ke negara asal masing-masing.

Excerpt: Seorang tekong darat warga Myanmar ditahan bersama 10 PATI senegara ketika transit di sebuah hotel di Wakaf Che Yeh, Kota Bharu. Mereka dipercayai membayar RM3,500 seorang untuk dibawa keluar dari Malaysia.

Keyword: tekong darat, PATI Myanmar, pendatang asing tanpa izin, Jabatan Imigresen Malaysia, Wakaf Che Yeh, Kota Bharu, RM3,500, operasi penguatkuasaan, warga asing, Akta Imigresen 1959/63, Kubang Kerian, PATI ditahan

Iphone, minyak wangi bertaburan di Selat Hormuz

KOSMO!
KOMBINASI gambar menunjukkan kotak-kotak telefon pintar iPhone dan minyak wangi yang tumpah daripada kontena bertaburan di permukaan laut di Selat Hormuz. – AGENSI
NEW DELHI – Sejumlah klip video memaparka telefon pintar  iPhone dan botol minyak wangi mewah terapung di Selat Hormuz tular di media sosial, lapor akhbar Hindustan Times hari ini.

Menurut laporan, barangan tersebut tumpah daripada  kapal kontena  mengibarkan bendera Singapura, GFS Pride, yang karam pada Rabu lepas.

“Kami sedang berkumpul dan menuju ke Selat Hormuz. Kami mendengar sebuah kapal kontena karam, jadi kami akan mengumpul iPhone dan minyak wangi,” kata seorang lelaki dalam satu klip video tersebut.

Kapal itu  karam selepas terbakar terkena projektil  tidak dikenali. 

“Semua 21 anak kapal dipindahkan dengan selamat. Tiada kecederaan dilaporkan,” kata Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) dalam satu kenyataan seperti laporan akhbar  Telegraph.

Menurut sumber keselamatan maritim, GFS Pride merupakan kapal kontena kecil dengan kapasiti 2,824 unit ekuivalen 20 kaki (TEU).

Pengawal Revolusi Iran berkata, kapal itu melanggar periuk api laut dan karam semasa melalui apa yang mereka dakwa sebagai laluan ‘tidak dibenarkan’ di Selat Hormuz. – AGENSI  

Nik Nazmi sahkan ditangkap khalwat, mohon maaf pada keluarga, parti

Malaysiakini

Pemimpin Bersama, Nik Nazmi Nik Ahmad mengesahkan bahawa dia salah seorang daripada dua individu yang ditahan oleh pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Petaling Jaya kelmarin.

"Saya ingin mengesahkan saya adalah salah seorang daripada individu dalam insiden tersebut,” kata bekas menteri berkenaan dalam satu kenyataan media hari ini.

Nik Nazmi yang juga bekas naib presiden PKR berkata, sebelum kejadian, dia bersama rakan-rakan berbincang di sebuah studio di Brickfields, Kuala Lumpur.

Katanya, mereka kemudian meneruskan perbicangan di Petaling Jaya kerana ingin melihat beberapa bahan berkaitan dengan projek yang dibincangkan.

"Pada masa pegawai Jais tiba, sememangnya hanya saya dan wanita tersebut yang ada. Saya mengakui itu adalah suatu kesalahan. Seperti yang saya maklumkan juga kepada Pegawai Jais, kami sememangnya tidak melakukan apa-apa tindakan sumbang yang menimbulkan syak wasangka.

"Saya ingin memohon maaf kepada isteri, keluarga dan keluarga kami dan semua yang terkesan di atas kesilapan pertimbangan pada waktu kejadian yang tidak sewajarnya berlaku. Saya akan memberikan kerjasama untuk sebarang proses perundangan," katanya.

Mohon maaf kepada parti

Dalam pada itu Nik Nazmi turut memohon maaf kepada Bersama berikutan insiden itu dan akan menerima apa sahaja keputusan yang dibuat parti berkenaan.

"Saya juga memohon maaf kepada parti Bersama kerana mengecewakan ahli-ahli dan penyokong Bersama, memandangkan isu ini menjejaskan parti dan akan menerima apa jua keputusan parti.

"Saya berharap semua pihak akan menghormati proses perundangan dan tidak memanjangkan perbicaraan menerusi media," tambahnya.

Semalam, dilaporkan seorang pemimpin kanan sebuah parti politik ditahan kerana disyaki berkhalwat dengan seorang wanita dalam serbuan Jais di sebuah kediaman di Petaling Jaya.

Malaysiakini pada masa itu tidak mendedahkan identiti ahli politik berkenaan sementara menunggu pengesahan dan maklum balas daripadanya.

Jais kemudian mengesahkan penahanan dua individu itu atas dakwaan berkhalwat.

Pemuzik jalanan bakar isteri sarat hamil! Tuduh anak dikandung benih lelaki lain

mStar

SEORANG wanita hamil berdepan detik hitam apabila mengalami kecederaan parah dengan 80 peratus bahagian tubuhnya melecur selepas dibakar oleh suami sendiri yang diserang cemburu buta.

Kejadian berlaku di Jalan Melati Timur, Kecamatan Metro Pusat, Lampung, Indonesia, awal pagi 11 Oktober lalu.

Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Metro, AKP Rizky Dwi Cahyo berkata, hasil siasatan mendapati suspek yang dikenali sebagai Junaidi, 24, mengaku bertindak sedemikian kerana didorong rasa cemburu dan menuduh isterinya, Fitri Lema Kurniasari, 25, mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.

Malah, lelaki terbabit turut tergamak mengesyaki bayi yang sedang dikandung oleh isterinya itu bukan hasil hubungan mereka sebagai suami isteri.

Bagaimanapun, pihak polis mendapati lelaki berkenaan gagal mengemukakan sebarang bukti bagi menyokong dakwaan curang yang dilemparkan terhadap mangsa.

"Ini hanya ketakutannya sendiri dan perasaan cemburu yang berlebihan. Apabila ditanya, dia juga tidak mempunyai bukti seperti yang dituduh terhadap mangsa," katanya pada Rabu.

Susulan kejadian itu, Junaidi yang bekerja sebagai pemuzik jalanan berdepan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 44(2) Undang-Undang Nombor 23 Tahun 2004 berkaitan Penghapusan Keganasan Rumah Tangga atau Seksyen 466(2) Undang-Undang Nombor 1 Tahun 2023 mengenai Kanun Keseksaan Indonesia.

Polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes berkenaan. -Agensi

Ismail patut letak jawatan selepas ditegur Yang Dipertuan Besar, kata peguam

FMT Reporters

PETALING JAYA: Menteri Besar Negeri Sembilan Ismail Lasim patut meletak jawatan selepas ditegur secara terbuka oleh pemerintah negeri hari ini, menurut seorang peguam.

Rosli Dahlan berkata, teguran oleh Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mendedahkan Ismail sebagai seorang ‘pengkhianat’, dan pengkhianatan ialah dosa besar dalam Islam, salah satu sifat munafik yang tidak melayakkan seseorang memegang jawatan awam.

“Letak jawatan dan bertaubat – paling tidak, ini yang Ismail boleh lakukan untuk menebus maruahnya,” katanya kepada FMT.

Rosli mendakwa, Ismail ‘tanpa segan silu’ mengangkat sumpah jawatan menteri besar di hadapan Tuanku Muhriz pada 2 Ogos, kemudian menandatangani proklamasi yang dibuat beberapa bulan sebelumnya untuk melucutkan Tuanku Muhriz daripada takhta.

Beliau berkata, Ismail juga membuat laporan polis mendakwa dokumen itu ditandatanganinya secara paksaan dan mengesahkan proklamasi tersebut sebagai tidak sah. Beliau bagaimanapun mendorong ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) mengeluarkan kenyataan mengatakan proklamasi ‘tidak sah’ itu berkuat kuasa sejak 19 April.

“Sikap bolak-balik itu sepatutnya mengundang tindakan menurut undang-undang jenayah. Beliau patut dituduh kerana menyatakan maklumat palsu dan membuat laporan polis palsu.

“Beliau telah menipu secara terbuka namun tiada tindakan diambil terhadapnya,” katanya, memaklumkan pada zaman dahulu, Ismail akan dihukum mati atas pengkhianatannya.

Rakaman memaparkan Tuanku Muhriz menempelak Ismail dimuat naik di media sosial petang tadi, memaparkan Yang Dipertuan Besar mempersoalkan tujuan Ismail berhasrat menemui baginda.

“Jadi (hari ini) dia nak datang jumpa saya buat apa? Selagi dia tidak tarik balik apa yang dikatakannya sebelum ini, jangan datang jumpa saya. Go away,” titah Tuanku Muhriz yang jelas kelihatan murka, sebelum berpaling ke arah Ismail.

Sebagai respons, Ismail hanya mampu mengangkat sembah.

Teguran Tuanku Muhriz terhadap Ismail berlatarkan krisis perlembagaan di Negeri Sembilan, tercetus apabila empat individu yang mendakwa diri mereka sebagai Undang mengumumkan Tuanku Muhriz dilucutkan takhta selaku pemerintah negeri.

Kumpulan Undang yang dipertikaikan itu turut didakwa mengisytiharkan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang Dipertuan Besar yang baharu.

Bulan lalu, Ismail menyokong kenyataan dikeluarkan oleh barisan exconya yang konon mengesahkan penyingkiran Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar.

Tuanku Muhriz kemudian membatalkan pelantikan keseluruhan barisan exco tersebut.

Lelaki ditahan bawa beg penuh ular berbisa

ISZ YUSLIZA

COLOGNE: Seorang lelaki ditahan di Lapangan Terbang Cologne Bonn, Jerman selepas cuba menyeludup lebih 90 ekor reptilia termasuk ular berbisa dan biawak di dalam bagasinya.

Pegawai kastam memaklumkan lelaki berusia 45 tahun yang bekerja sebagai anggota bomba dari Mexico itu kelihatan sangat mencurigakan dan gelisah ketika cuba melalui laluan keluar hijau di lapangan terbang berkenaan.

Pihak berkuasa pada mulanya menjalankan ujian saringan dadah terhadap lelaki tersebut yang menunjukkan keputusan positif kokain sebelum bertindak memeriksa kandungan beg pakaiannya.

Meskipun tiada sebarang bahan terlarang ditemui, pemeriksaan lanjut membongkar penemuan ular kapak, ular kapak berbisa serta pelbagai spesies ular dan biawak lain termasuk iguana yang disembunyikan di dalam botol syampu, bekas krim, bekas plastik dan gumpalan stoking.

“Rakan sejawat saya di lapangan terbang sudah biasa dengan pelbagai barang cenderamata pelik di dalam bagasi, tetapi kami tidak pernah berdepan kejadian membawa 37 ekor ular berbisa hidup dan 55 ekor biawak dari Mexico seperti ini,” kata jurucakap Pejabat Kastam Cologne, Jens Ahland.

Ahland menambah sesetengah haiwan berkenaan disimpan dalam keadaan yang sangat teruk manakala sebahagian lagi mati sepanjang penerbangan dari Bandar Raya Mexico yang transit melalui Istanbul.

Suspek yang tidak didedahkan identitinya mendakwa beliau membawa haiwan-haiwan berkenaan atas pertolongan rakan kenalannya dari Brazil.

Lelaki itu kemudiannya dihalang daripada memasuki Jerman dan dihantar pulang ke Istanbul.

Haiwan yang diselamatkan dari bagasinya kini ditempatkan di sebuah pusat penternakan ular di Jerman.

Menurut pihak kastam, sebanyak 1,300 kes rampasan melibatkan lebih 56,600 haiwan dan tumbuhan dilindungi atau produk berasaskannya telah direkodkan di seluruh Jerman pada tahun lalu. -AGENSI

Lelaki parah, bom ikan meletup di dapur rumah

Juwan Riduan
Lokasi kejadian letupan di Kampung Keliangau, Manggatal, Kota Kinabalu. Foto ihsan polis
KOTA KINABALU: Seorang lelaki parah selepas bom ikan yang dipercayai sedang dihasilkannya meletup di dapur sebuah rumah di Kampung Keliangau, Menggatal, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 2.15 petang itu, mangsa berusia 37 tahun mengalami kecederaan parah pada kedua-dua tangan dan perut.

Mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan (KK) Menggatal sebelum dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) dan kini dilaporkan kritikal serta tidak sedarkan diri.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai menghasilkan bahan letupan buatan sendiri untuk menangkap ikan.

Katanya, kejadian berlaku di bahagian dapur rumah berkenaan yang terletak di Jalan Reflesia, Kampung Keliangau.

“Susulan kejadian, sepasukan anggota polis bersama Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan IPD Kota Kinabalu menjalankan pemeriksaan di lokasi.

“Pemeriksaan menemukan beberapa bahan yang disyaki digunakan untuk menghasilkan bom ikan buatan sendiri.

“Semuanya dirampas bagi tujuan pemeriksaan teknikal serta siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi.

Shahrudin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar letupan, sumber bahan yang digunakan serta kemungkinan pembabitan individu lain.

“Orang ramai diingatkan supaya tidak menghasilkan, memiliki atau mengendalikan bahan letupan tanpa kebenaran sah kerana perbuatan itu bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh mengancam keselamatan diri dan orang sekeliling.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Kota Kinabalu atau balai polis berhampiran,” katanya.

Terengganu: Mayat bayi ditemukan dalam keadaan tidak sempurna dalam longkang

Nazdy Harun
am@hmetro.com.my

Hulu Terengganu: Mayat bayi ditemukan dalam keadaan tidak sempurna di dalam longkang di kawasan Perumahan Padang Setengge, di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintendan Sharudin Abdul Wahab berkata, penemuan dimaklumkan seorang lelaki jam 6.52 petang, yang menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis (IPD) Hulu Terengganu.

Menurutnya, mayat bayi berkenaan ditemukan seorang wanita ketika sedang membasuh pakaian di belakang rumahnya, sebelum memberitahu wakil penduduk.

"Siasatan awal mendapati mayat bayi itu ditemukan dalam keadaan tidak sempurna dengan sebelah tangan sahaja, namun kedua-dua belah kaki masih ada.

Mayat belum dapat dikenal pasti jantina dan kewarganegaraannya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sharudin berkata, pasukan forensik dan unit anjing pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut diminta untuk membantu siasatan di lokasi kejadian.

Katanya, mayat sudah dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk proses bedah siasat, dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

Pencari kerang jumpa mayat

Juwan Riduan
am@hmetro.com.my
Mayat mangsa ditemui oleh orang awam ketika mencari kerang di laut pantai Tanjung Aru 2, dekat Prince Philip Park, Kota Kinabalu. FOTO IHSAN PDRM
Mayat mangsa ditemui oleh orang awam ketika mencari kerang di laut pantai Tanjung Aru 2, dekat Prince Philip Park, Kota Kinabalu. FOTO IHSAN PDRM
Kota Kinabalu: Niat mencari kerang bertukar menjadi detik mengejutkan apabila seorang individu menemukan mayat lelaki terapung di laut berhampiran Pantai 2 Tanjung Aru, dekat Prince Philip Park, di sini, pagi tadi.

Penemuan jam 10.57 pagi itu dimaklumkan kepada polis sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, mayat dibawa ke tepi pantai dengan bantuan orang awam.

Katanya, pasukan perubatan dari Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) tiba pada jam 12 tengah hari sebelum mengesahkan kematian lelaki berkenaan.

"Identiti lelaki terbabit belum dikenal pasti dan siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti punca kematiannya.

"Mayat kemudian dihantar ke Jabatan Forensik HQE I untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Shahrudin berkata, polis memohon bantuan orang ramai bagi mengenal pasti identiti lelaki yang dianggarkan berusia lingkungan 40-an itu.

Katanya, usaha turut dijalankan bagi mengesan waris lelaki berkenaan.

"Orang ramai yang mengenali lelaki terbabit atau mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Ketua Polis Balai Tanjung Aru, Sub Inspektor Zairey Lee di talian 014-8555593.

"Sebarang maklumat amat diperlukan bagi membantu polis mengenal pasti identiti lelaki itu serta mengesan ahli keluarganya," katanya.

Mayat warga emas ditemukan berlumuran darah, lelaki kurang siuman ditahan

Izz Laily Hussein
LELAKI dipercayai kurang siuman ditahan bagi membantu siasatan kematian seorang warga emas. FOTO tular
JOHOR BAHRU: Mayat seorang lelaki warga emas ditemukan dalam keadaan berlumuran darah dengan beberapa kecederaan pada lengan, kepala dan muka di tepi jalan di Permas Jaya, di sini, semalam.

Difahamkan, mangsa, warga tempatan berusia 67 tahun, dipercayai maut selepas dipukul berulang kali menggunakan objek tumpul pada kepala.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintendan Ng Swie Chait berkata, polis menerima laporan daripada orang awam berhubung kejadian itu pada jam 4.54 petang.

“Susulan itu, kita memberkas seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun, dipercayai kurang siuman yang terbabit dalam kejadian berkenaan.

“Suspek ditahan di hadapan sebuah kedai makan di Bandar Baru Permas Jaya, jam 6 petang semalam.

“Polis turut merampas sebatang tongkat besi dan sebuah potret gambar bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ng berkata, semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dadah. Bagaimanapun, ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah.

Menurutnya, suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Beliau berkata, motif dan punca kejadian masih dalam siasatan.

“Bedah siasat yang dijalankan Pakar Patologi Hospital Sultan Ismail di sini, hari ini mendapati punca kematian disebabkan pelbagai kecederaan akibat trauma tumpul pada kepala,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu supaya menghubungi talian 07-2182323 bagi membantu siasatan.

Terdahulu, tular di media sosial video yang memaparkan seorang lelaki melakukan perbuatan mencurigakan di tepi jalan.

Tak pernah lihat Tuanku Muhriz semurka ini, kata cicit Siamang Gagap

FMT Reporters

Kamel Yassin akui rasa berdebar saksi pemerintah Negeri Sembilan tempelak MB Ismail Lasim secara terbuka.
tuanku muhriz marah ismail lasim
Tangkap layar klip video di media sosial papar konfrontasi antara Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dengan Menteri Besar Ismail Lasim selepas solat Jumaat hari ini.
PETALING JAYA: Cicit kepada seorang pahlawan Negeri Sembilan berkata, hari ini merupakan kali pertama beliau melihat Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebegitu murka, apabila baginda menempelak Menteri Besar Ismail Lasim secara terbuka.

Kamel Yassin berkata, beliau tidak pernah menyangka akan menyaksikan perkara itu.

“Rasa berdebar tengok Tuanku (Muhriz) marah, ini kali pertama saya tengok (baginda) marah macam ini,” katanya, lapor Sinar Harian.

Insiden itu berlaku di sebuah masjid selepas solat Jumaat, ketika beliau berdiri di sebelah Tuanku Muhriz.

Kamel ialah cicit kepada Abdul Kahar Mukmin, atau lebih dikenali sebagai ‘Siamang Gagap, tokoh yang masyhur dengan penglibatannya menentang penjajah British dalam Perang Bukit Putus antara angkatan Yamtuan Antah dan tentera British yang bersekutu dengan Sungai Ujong.

Menerusi beberapa video yang tular di media sosial petang tadi, Tuanku Muhriz dilihat memberitahu sekumpulan jemaah bahawa Ismail telah mengutuskan surat kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, memaklumkan bahawa baginda kononnya bukan lagi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Tuanku Muhriz kemudian mempersoalkan tujuan Ismail mahu menghadap baginda. Sebagai respons, Ismail sekadar mengangkat sembah sebagai tanda hormat.

Negeri Sembilan kini berdepan krisis perlembagaan negeri yang tercetus pada April, selepas empat individu mendakwa sebagai undang mengumumkan kononnya Tuanku Muhriz dilucutkan takhta sebagai Yang Dipertuan Besar, dan mengisytiharkan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai pemerintah negeri yang ‘baharu’.

Bulan lepas, Ismail memperakui kenyataan exconya yang didakwa mengesahkan pelucutan takhta Tuanku Muhriz, sebelum baginda membatalkan pelantikan seluruh barisan exco itu.

Polis dedah punca sebenar tragedi ragut nyawa anggota JPJ

NOR AINNA HAMZAH
Lokasi kemalangan di kilometer 256.1 Lebuh Raya Utara-Selatan, berhampiran susur keluar Tol Senawang, malam semalam. Foto oleh NOR AINNA HAMZAH/KOSMO!
SEREMBAN – Lori membawa muatan barangan makanan kering yang dipercayai hilang kawalan dan gagal mengelak lalu merempuh kenderaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan ‘motoloader’ menjadi punca kemalangan di kilometer 256.1 Lebuhraya Utara-Selatan, berhampiran susur keluar Tol Senawang semalam.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, dalam kejadian berkenaan seorang anggota JPJ berusia 42 tahun maut di lokasi akibat kecederaan di kepala.

Menurutnya, seorang lagi anggota JPJ berusia 32 tahun yang berada di dalam kenderaan pacuan empat roda agensi itu mengalami kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian badan.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua anggota JPJ berkenaan sedang menjalankan pemeriksaan terhadap sebuah jentera pemuat yang membawa muatan kabin di lorong kecemasan.

“Sejurus pemeriksaan selesai, sebuah lori yang membawa muatan barangan makanan kering dari arah belakang dipercayai hilang kawalan ketika melalui lorong kiri.

“Lori berkenaan kemudian gagal mengelak sebelum merempuh bahagian belakang kenderaan JPJ, dua anggota terbabit serta jentera pemuat yang berada di hadapan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.- KOSMO! ONLINE

Kau dah berpakat dan bersetuju menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, tiba2 nak mengadap apa punya dol

‘I don't want to see you!’: Tuanku Muhriz tegur keras MB Negeri Sembilan

Malaysiakini

Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, yang kedudukannya sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dipertikaikan hari ini menegur keras Menteri Besar Ismail Lasim secara berhadapan.

Dalam insiden yang dirakam dan dimuat naik ke media sosial, Tuanku Muhriz bertitah bahawa Ismail yang juga Ketua Umno Bahagian Kuala Pilah, telah menulis surat kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja berhubung penurunan takhta baginda.

Baginda yang berbaju Melayu warna merah jambu muda, berdiri bersama jemaah lain selepas solat Jumaat dan menyampaikan teguran keras kepada Adun Juasseh itu, sambil menegaskan bahawa baginda tidak mahu bertemu Ismail.

“Ismail Lasim telah menulis surat kepada Penyimpan Mohor Besar (Raja-Raja) baru-baru ini mengatakan keputusan yang dibuat bersama exco itu ialah sah, dan saya ini bukan lagi Yamtuan Besar Negeri Sembilan,” titah Tuanku Muhriz kepada orang ramai di Masjid Kampung Beting, Juaseh, Kuala Pilah.

“Tu pasal, datang hari ni jumpa saya buat apa?

“Selagi dia tak tarik balik balik apa dia kata tu, jangan jumpa saya. Go away, don't see me, i don't want to see you, okay? You understand?"titah baginda.

Dalam rakaman klip video yang tular di media sosial, Ismail turut dilihat mengangkat sembah kepada Tuanku Muhriz.

Dalam satu lagi rakaman video, Menteri Besar itu dilihat tersipu-sipu selepas ditegur sedemikian.

Kira-kira sebulan selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan di hadapan Tuanku Muhriz, Ismail mengesahkan bahawa dia telah menandatangani proklamasi yang mengesahkan keputusan Undang Yang Empat untuk menyingkirkan baginda daripada takhta.

Pendahulu Ismail, Aminuddin Harun, sebelum ini mengumumkan bahawa proklamasi berkenaan tidak sah, manakala Ismail sendiri mendakwa dia berada dalam keadaan terpaksa ketika menandatangani dokumen itu.

Ismail berkata dia membuat laporan polis pada 8 Sept lalu, iaitu hari dokumen berkenaan didedahkan kepada umum oleh Undang Yang Empat.

Bagaimanapun, dia masih belum menjelaskan mengapa laporan itu hanya dibuat lebih sebulan selepas dokumen berkenaan ditandatangani.

Dia juga tidak menjelaskan sebab bertemu dengan empat Undang yang kedudukan mereka turut dipertikaikan itu.

Keempat-empat Undang berkenaan berusaha menurunkan Tuanku Muhriz daripada takhta sejak April lalu dan mengiktiraf Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja'afar, yang juga sepupu baginda sebagai Yamtuan Besar Negeri Sembilan yang baru.

Ismail mendakwa dia menandatangani dokumen itu dalam keadaan terpaksa, namun pada 17 Sept lalu dia mengumumkan bahawa kerajaan negeri akan mewartakan proklamasi yang mengiktiraf Tuanku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar.

Kemelut itu kemudian semakin meruncing apabila Tuanku Muhriz memecat semua anggota exco negeri kecuali Ismail. Keputusan baginda itu diwartakan pada 24 Sept.

Sepuluh bekas anggota exco Negeri Sembilan kemudian memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Seremban bagi mencabar kesahan warta kerajaan negeri yang membatalkan pelantikan mereka.

Kamera intip bilik mandi wanita atas kapal tentera cetus siasatan

Agensi

Canberra: Penemuan kamera tersembunyi di dalam kabin kapal Tentera Laut Diraja Australia, HMAS Leeuwin, mencetuskan siasatan selepas dakwaan peranti seumpama itu dipasang di bilik mandi wanita di atas kapal berkenaan.

Memetik The Independent, Pasukan Pertahanan Australia (ADF) memaklumkan, peranti rakaman itu ditemukan pada Ahad lalu ketika kapal berkenaan berada di Cairns, Queensland.

Senator bebas, Jacqui Lambie, yang memperjuangkan kebajikan anggota angkatan tentera Australia, sebelum itu memberitahu Senat bahawa seorang bekas anggota tentera laut memaklumkan kepadanya mengenai kamera tersembunyi di kemudahan bilik mandi wanita kapal berkenaan.

Beliau turut mendakwa, menerima maklumat bahawa rakaman daripada kamera itu mungkin sudah dimuat naik ke internet sebelum peranti berkenaan ditemukan.

"Berapa ramai anggota tentera laut wanita kita yang dirakam tanpa pengetahuan mereka ketika berada dalam situasi paling peribadi? Berapa banyak rakaman sudah diedarkan di internet setakat ini, disimpan atau dimuat naik tanpa pengetahuan atau persetujuan mereka?" katanya.

Pada Rabu, ADF menegaskan, pihaknya memandang serius kejadian itu dan tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang tingkah laku yang tidak boleh diterima.

Menurut ADF, kes berkenaan sudah dirujuk kepada Unit Polis Tentera Bersama yang sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa awam.

"Kapal itu kekal berlabuh bagi membolehkan siasatan dijalankan dan memastikan sokongan segera diberikan kepada anggota kru kapal," kata ADF.

ADF turut memaklumkan, kebajikan individu yang terjejas kekal menjadi keutamaannya, namun enggan memberikan ulasan lanjut kerana siasatan masih berjalan dan bagi melindungi privasi mereka.

Sementara itu, Menteri Komunikasi, Anika Wells menyifatkan, kejadian yang didakwa berlaku itu sebagai mengerikan dan berkata insiden berkenaan menunjukkan kepentingan undang-undang baharu berkaitan tanggungjawab penjagaan dalam ruang digital.

Beliau berkata, anggota yang berada di atas kapal itu serta mereka yang mungkin menjadi mangsa perbuatan berkenaan wajar mendapat perhatian, selain menegaskan setiap individu berhak berasa selamat di tempat kerja.

Ketua Parti Hijau merangkap jurucakap pertahanan, David Shoebridge pula menyifatkan, perkembangan itu sebagai amat membimbangkan.

"Kita tahu ramai wanita tidak berasa selamat di dalam persekitaran Pertahanan dan sekali lagi kita menyeru Parti Buruh supaya memulihkan keyakinan anggota Pertahanan, selain memastikan wanita dan individu lain berasa selamat dalam persekitaran Pertahanan," katanya.
-hmetro

‘Suami arwah hubungi adik, dia sudah bunuh isteri’

NUR SHARIEZA ISMAIL
Amran masih bersedih dengan kematian tragis adik bongsunya ketika ditemui di Nilai malam tadi. Foto oleh NUR SHARIEZA ISMAIL/KOSMO!
NILAI – Ahli keluarga tidak menyangka adik bongsu yang dikenali sebagai seorang periang dan ceria pergi buat selama-lamanya dalam keadaan tragis, apatah lagi apabila mangsa tidak pernah menunjukkan masalah dihadapi.

Itulah kesedihan ditanggung, Amran Ibrahim, 59, apabila adik bongsunya itu, Allahyarham Norhazwani, 35, ditemui maut dipercayai dibunuh suami sendiri di sebuah unit kuarters Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam tadi.

Menurut Amran, Allahyarham yang mesra dipanggil Paney atau Moksu tidak pernah berkongsi secara terperinci masalah rumah tangga dihadapinya, walaupun keluarga difahamkan dia sedang melalui proses perceraian.

Katanya, berita kematian adik bongsu daripada sembilan beradik itu diterima kira-kira pukul 7.30 malam selepas seorang lagi adiknya memaklumkan perkara berkenaan.

“Suami arwah menghubungi adik saya dan memberitahu bahawa dia sudah membunuh isterinya sebelum menyerah diri di balai polis.

“Saya kemudian menghubungi Balai Polis Sepang untuk bertanyakan perkara itu sebelum diminta merujuk kepada Balai Polis Nilai. Pihak polis mengesahkan adik saya dipercayai ditikam suspek,” katanya ketika ditemui.

Amran berkata, dia terlalu sedih apabila menerima berita berkenaan sehingga sukar menggambarkan perasaannya kehilangan adik kandung sendiri dalam kejadian menyayat hati itu.

“Sedih, memang sedih sangat. Saya tidak boleh nak cakap apa-apa, terlalu sedih,” katanya.

Terdahulu Kosmo! melaporkan seorang pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) berusia 35 tahun ditemui maut dipercayai dibunuh suaminya dalam kejadian di sebuah unit kuarters KLIA, kira-kira pukul 7.30 malam tadi.- KOSMO! ONLINE

Bekas menteri disyaki berkhalwat ditahan JAIS

Ruwaida Md Zain
am@hmetro.com.my

Shah Alam: Seorang bekas menteri yang juga pemimpin politik ditangkap khalwat bersama wanita dipercayai pengasas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di daerah Petaling Jaya, semalam.

Turut tular di media sosial, individu berusia 44 tahun itu ditahan bersama seorang wanita menaiki sebuah van kira-kira jam 6 petang semalam.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad mengesahkan satu tangkapan berkaitan kesalahan khalwat membabitkan figura awam dilakukan di sekitar daerah Petaling Jaya jam 6 petang semalam.

"Dua individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kesalahan yang disyaki dilakukan mengikut Seksyen 29 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

"Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

"Sehubungan itu, JAIS menasihatkan umat Islam supaya tidak mengaibkan mana-mana individu dengan menjadikannya bahan spekulasi, perdebatan dan fitnah dalam apa juga cara," katanya dalam satu kenyataan ringkas hari ini.

Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan sepasukan lima anggota penguat kuasa JAIS tiba dan masuk ke kediaman di lokasi terbabit.

Ketika serbuan, pemimpin kanan politik dan wanita itu berada di rumah berkenaan.

Kedua-dua individu berkenaan dibawa ke Pejabat JAIS di Shah Alam untuk proses dokumentasi.

PKR tanding 9 kerusi di PRN Melaka

FMT Reporters

PETALING JAYA: PKR sah akan bertanding sembilan kerusi pada PRN Melaka bulan depan, kata Setiausaha Agungnya, Fuziah Salleh.

“Calon kita lebih kurang sudah dimuktamadkan, insya-Allah. Setakat ini, kita akan bertanding di sembilan kerusi dan Pakatan Harapan (PH) tentunya akan bertanding lebih banyak kerusi.

“Perkara paling penting bagi kita di Melaka adalah memastikan persiapan sudah dilakukan dan kita akan memberikan saingan yang sangat baik, insya-Allah,” katanya menurut Berita Harian selepas Majlis Perasmian Jelajah Pameran Francais Antarabangsa Zon Selatan di Johor Bahru.

Beliau berkata, senarai calon PKR akan diumumkan Presidennya, Anwar Ibrahim, yang juga pengerusi PH dalam Majlis Pengumuman Calon dan Pelancaran Jentera PH PRN Melaka di tapak parkir Stadium Hang Jebat, Melaka, pada 8 malam 24 Okt ini.

Fuziah berkata, tiada persefahaman rasmi dimeterai dengan mana-mana parti setakat ini, tetapi PKR mengalu-alukan sebarang bentuk bantuan daripada pihak lain yang mahu membantunya pada PRN Melaka.

“Kalau ada pihak yang mahu membantu, kita amat mengalu-alukan.”

Hari penamaan calon PRN Melaka ditetapkan pada 31 Okt ini dan hari mengundi pada 14 Nov nanti.

Dewan Undangan Negeri Melaka mempunyai 28 kerusi, dengan Barisan Nasional memenangi 21 kerusi, PH (5) dan Perikatan Nasional (2) pada PRN lalu.

Tokoh politik ditangkap khalwat

Malaysiakini

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengesahkan penahanan dua individu berhubung dakwaan kesalahan khalwat yang melibatkan seorang tokoh politik di daerah Petaling semalam.

"Jais mengesahkan bahawa satu tangkapan berkaitan kesalahan khalwat melibatkan figura awam telah dilakukan di sekitar daerah Petaling pada pukul 6.00 petang, semalam.

“Dua individu telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kesalahan yang disyaki dilakukan di bawah Seksyen 29 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995,” kata Pengarah Jais Mohd Shahzihan Ahmad dalam satu kenyataan hari ini

Menurutnya, jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Jais tidak mendedahkan identiti kedua-dua individu berkenaan dalam kenyataannya.

Malaysiakini turut tidak menyiarkan nama ahli politik yang didakwa ditahan itu sementara menunggu maklum balas daripada individu terbabit.

Astro Awani yang memetik sumber, sebelum ini melaporkan bahawa seorang pemimpin kanan sebuah parti politik berusia 44 tahun ditahan kerana didakwa berkhalwat dengan seorang wanita di sebuah kediaman di Petaling Jaya pada jam 6 petang semalam.

Menurut laporan itu, pasukan lima anggota penguat kuasa Jais memasuki kediaman berkenaan dan mendapati pemimpin politik itu serta wanita berkenaan berada di dalamnya.

Kedua-dua mereka kemudian dibawa ke pejabat Jais di Shah Alam untuk proses dokumentasi, kata laporan itu.

Dalam kenyataannya, Jais turut menasihati umat Islam supaya tidak mengaibkan mana-mana individu dengan menjadikan mereka bahan spekulasi, perdebatan atau fitnah.

Guru tuisyen ditahan lakukan amang seksual terhadap lima pelajar lelaki

Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Guru tuisyen ditahan bagi membantu siasatan selepas disyaki melakukan amang seksual dan persetubuhan luar tabii terhadap lima pelajar lelaki dalam kejadian di ibu negara, baru-baru ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, perbuatan terkutuk itu didakwa dilakukan di rumah suspek yang turut dijadikan sebagai pusat tuisyen.

Menurutnya, polis menerima lima laporan berasingan berhubung kejadian itu yang dibuat di Balai Polis Bukit Jalil, membabitkan mangsa remaja dan kanak-kanak lelaki.

"Laporan polis yang pertama dibuat pada 6 Oktober lalu, diikuti laporan kedua pada 10 Oktober, manakala tiga lagi laporan diterima pada 11 Oktober," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bertindak atas laporan berkenaan, Fadil berkata, polis melakukan siasatan terperinci dan merekodkan keterangan daripada pelbagai pihak bagi melengkapkan kertas siasatan.

"Siasatan lanjut sudah dijalankan dan polis sudah mendapatkan keterangan daripada ahli keluarga dan mangsa.

"Semua pihak iaitu ahli keluarga mangsa, pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) memberikan kerjasama yang sepenuhnya dalam siasatan kes ini," katanya.

Mengulas lanjut, beliau mengesahkan suspek utama kes sudah ditahan dan permohonan reman diluluskan bagi membolehkan siasatan menyeluruh dijalankan.

"Suspek ditangkap dan kini berada dalam tahanan reman.

"Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan serta Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792)," katanya.

Katanya, siasatan berhubung kes berkenaan masih giat dijalankan daripada pelbagai sudut.

Penjawat awam maut dipercayai dibunuh suami

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang penjawat awam maut dipercayai dibunuh suaminya dalam kejadian di kuarters Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam ini.

Kejadian itu disahkan oleh Ketua Polis Nilai Johari Yahya yang berkata, perkembangan lanjut akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

Difahamkan, kejadian berlaku pada kira-kira 7.30 malam, melibatkan mangsa berusia 30an.

Tinjauan pemberita di kawasan kuarters itu mendapati jasad mangsa masih belum dibawa keluar, lapor Bernama.

Beberapa anggota polis dan unit forensik turut berada di lokasi manakala orang ramai dilihat berkumpul di sekitar kuarters itu.

Dua maut, hujan paling lebat dalam tempoh 80 tahun

Utusan online
SEBUAH kereta terjejas akibat banjir di Istanbul. - AFP
ANKARA: Istanbul pada Khamis berusaha memulihkan keadaan selepas dilanda banjir akibat hujan paling lebat sejak rekod bermula lebih 80 tahun lalu, menurut pihak berkuasa, ketika hujan lebat masih berterusan.

Hujan mula turun dengan lebat di bandar terbesar Turkiye itu pada pagi Rabu sebelum semakin deras sepanjang hari, menyebabkan keadaan kelam-kabut dan banjir kilat, dengan rakaman video menunjukkan kereta dihanyutkan arus deras.

“Kita bercakap mengenai paras taburan hujan tertinggi di Istanbul sejak rekod bermula pada 1942,” kata Gabenor Istanbul, Davut Gul.

Dua orang maut dalam kejadian banjir itu, termasuk seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang terkena renjatan elektrik ketika terpijak lopak air di kawasan Balat. 

Remaja itu dikejarkan ke hospital tetapi  petugas perubatan gagal menyelamatkannya, menurut pihak berkuasa.

Tiga lagi individu sedang menerima rawatan di hospital, kata Gul.

Pada petang Rabu, gabenor itu mengumumkan semua sekolah di seluruh Istanbul akan ditutup sehingga Isnin. 

Beliau turut menggesa orang ramai supaya berada di rumah kecuali jika benar-benar perlu keluar dan menasihatkan penduduk tinggal di kediaman bawah tanah supaya bermalam di tingkat lebih tinggi yang lebih selamat.

Beliau turut menasihatkan penduduk supaya menjauhi laluan sungai, laluan bawah tanah dan kawasan lain yang berisiko dilanda banjir.

Rakaman dramatik yang disiarkan dalam talian dan dikumpulkan agensi berita DHA menunjukkan deretan kereta diparkir di daerah Sariyer, di utara Istanbul, ditolak arus air berlumpur sebelum dihanyutkan.

Rakaman lain menunjukkan beberapa individu diselamatkan daripada arus deras ke tempat selamat melalui tingkap di tingkat satu, manakala di lokasi lain, dua individu yang membawa payung dilihat menaiki penyodok sebuah jengkaut besar sebelum dibawa ke tempat selamat.

Sebanyak 43 penerbangan menuju ke Lapangan Terbang Istanbul di pesisir Laut Hitam terpaksa dilencongkan, begitu juga tiga penerbangan ke Lapangan Terbang Sabiha Gokcen di bahagian Asia bandar itu. 

Lapangan terbang berkenaan turut menggantung sementara operasi berlepas berikutan angin kencang, menurut kenyataan Kementerian Pengangkutan yang disiarkan agensi berita rasmi Anadolu.

Agensi Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turkiye (AFAD) menubuhkan pusat krisis bagi mengendalikan insiden akibat hujan lebat itu. 

Menjelang malam Rabu, sebanyak 1,277 kejadian banjir, 15 tanah runtuh, 47 individu terkandas dan dua kejadian bumbung diterbangkan angin dilaporkan.

Hujan lebat dijangka berterusan sepanjang hujung minggu ini. – AFP

PAS didakwa kurang senang rancangan Bersatu meterai CSA dengan Selangor

Hariz Mohd

Rancangan Bersatu untuk memeterai Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) dengan kerajaan negeri Selangor dilihat menimbulkan keresahan sekutunya dalam PN iaitu PAS.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata langkah itu bercanggah dengan pendirian PN yang menolak kerjasama dengan PH.

Katanya, PN akan membuat keputusan mengenai tindakan yang perlu diambil sekiranya Bersatu meneruskan rancangan itu, walaupun setakat ini ia masih sekadar khabar angin.

"Kita meneliti isu ini, setakat ini ia masih khabar angin. Walaubagaimanapun PN akan membuat keputusan sekiranya ia (Bersatu) jelas mengadakan CSA.

"Tindakan ini bercanggah dengan keputusan PN, namun ia adalah hak Bersatu untuk membuat keputusan mereka,” katanya kepada Malaysiakini.

CSA ialah perjanjian antara kerajaan dengan parti bukan kerajaan yang menyaksikan mereka menyokong atau berkecuali berhubung usul undi percaya, serta membantu meluluskan belanjawan atau bil bekalan.

Sebagai balasan, kerajaan akan menyalurkan sama ada peruntukan kewangan atau konsesi dasar kepada parti yang menyokong tersebut.

Semalam, Malaysiakini melaporkan bahawa Bersatu dan kerajaan Selangor pimpinan PH semakin hampir mencapai kesepakatan bagi mengukuhkan sokongan terhadap Menteri Besar Amirudin Shari di DUN.

Sebagai balasan, wakil rakyat Bersatu akan menerima peruntukan kawasan pilihan raya yang sama seperti wakil rakyat lain, selain beberapa manfaat lain.

Menurut Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Afif Bahardin, parti itu turut mahu wakil rakyatnya terlibat dalam proses membuat keputusan kerajaan negeri, termasuk melalui akses kepada mesyuarat kerajaan.

Cadangan kerjasama itu timbul ketika hubungan PH dan BN, yang bekerjasama dalam kerajaan persekutuan dan kerajaan Selangor, semakin tegang.

Bersatu juga berselisih dengan PAS, yang kini menerajui gabungan pembangkang.

Kerajaan pimpinan Amirudin ketika ini mendapat sokongan 35 daripada 56 ahli DUN, iaitu 32 daripada PH, dua daripada BN dan seorang wakil rakyat bebas.

Bersatu memiliki 11 kerusi pembangkang di DUN berkenaan, manakala PAS mempunyai 10 kerusi.

Sampan tiba-tiba patah, 37 pelajar terjatuh tengah laut

KOSMO
SAMPAN yang membawa 37 pelajar itu terbalik di Kepulauan Mentawai kelmarin. - Sinar Indonesia
JAKARTA – Seramai 37 pelajar berjaya diselamatkan selepas sampan dinaiki mereka terbalik dan dimasuki air di Kepulauan Mentawai, wilayah Sumatera Barat, lapor laman berita Lambe Turah. 

Kejadian berlaku di perairan Selat Sikakap ketika pelajar dari SMA Negeri 1 PUS itu sedang menuju ke Sikakap kelmarin. 

Bahagian kanan sampan dilaporkan patah semasa belayar, menyebabkan air masuk ke dalam bot, hilang keseimbangan dan akhirnya terbalik. 

Beberapa nelayan yang berada di sekitar lokasi kejadian bergegas memberikan bantuan. Semua penumpang dipindahkan dalam keadaan selamat. 

Ketua Pejabat Mencari dan Menyelamat Kelas B Mentawai, Benteng Hilton Telaumbanua berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 5.50 petang (waktu tempatan).

Tiada kemalangan jiwa atau penumpang yang cedera, demikian menurut pasukan penyelamat. 

Orang ramai terutama nelayan dinasihatkan untuk sentiasa mengutamakan keselamatan semasa belayar seperti memakai jaket keselamatan, memeriksa keadaan kapal sebelum berlepas dan memantau cuaca bagi mencegah kemalangan di laut. – AGENSI

Cinta tak berbalas, doktor pakar cederakan jururawat

Agensi

Jakarta: Berang cintanya ditolak, doktor pakar di Indonesia didakwa bertindak ganas terhadap jururawatnya sehingga mangsa mengalami kecederaan.

Tribunnews melaporkan, kejadian berlaku ketika mangsa yang berasal dari Majalengka sedang bertugas di sebuah hospital swasta di Cirebon, Jawa Barat, 8 Oktober lalu.

Suspek dipercayai bekerja sebagai doktor pakar di hospital sama dan dikatakan mempunyai perasaan cinta terhadap mangsa, namun tidak berbalas.

Mangsa berusia 30 tahun mendakwa, dia ditumbuk pada bahagian hidung sehingga berdarah selain ditendang di kepala ketika cuba melarikan diri daripada suspek.

Katanya, ketika kejadian dia sedang menjalankan tugas manakala suspek datang menemuinya sebelum mengajaknya ke sebuah ruang di belakang tangga berhampiran lif dalam kawasan hospital.

"Sebaik tiba di ruang itu, saya terus dimarahi dan ditampar, kemudian hidung saya ditumbuk sehingga berdarah.

"Dalam kepayahan, saya berusaha untuk melarikan diri, tetapi dia sempat lagi menendang kepala saya sehingga menyebabkan saya hampir pengsan," katanya.

Bimbang keselamatannya, wanita itu berkata, sehari selepas kejadian, dia membuat laporan polis.

Kes berkenaan kini dalam siasatan Unit Siasatan Jenayah Polis Cirebon bagi mengenal pasti keadaan sebenar kejadian dan dakwaan terhadap doktor terbabit.
-hmetro

Pelajar gugur kandungan dipenjara sebulan, denda RM5,000

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang pelajar berusia 19 tahun dihukum penjara sebulan dan didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Kota Kinabalu kerana menggugurkan kandungannya sendiri.

Majistret Marilyn Kelvin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh mengaku bersalah atas tuduhan mengikut Seksyen 312 Kanun Keseksaan, lapor The Borneo Post.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara lapan bulan lagi jika gagal membayar denda.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah sewa di Kota Kinabalu pada 15 Mei lepas.

Berdasarkan fakta kes, wanita yang hamil 15 minggu itu mendapatkan rawatan di unit kecemasan sebuah hospital selepas mengalami pendarahan .

Dia sebelum itu mengambil 11 biji pil Misoprostol (Cytotec) 200mcg secara oral dan memasukkan tiga lagi pil ke dalam kemaluannya . 
Siasatan mendapati wanita itu mengambil ubat berkenaan bagi menggugurkan kandungannya kerana belum bersedia menjadi ibu. Dia dan teman lelakinya bersetuju untuk melakukan pengguguran tersebut.

Peguam Jagnesh Jaya mewakili tertuduh, manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ronnie Anthony.

Perkara bodoh saya pernah lihat orang ramai derma pada Najib, kata pelajar depan KJ, Onn Hafiz

Malaysiakini

Satu klip video yang memaparkan kenyataan lantang seorang pelajar Universiti Malaya (UM) mengenai skandal Tabung Haji dan kutipan derma bagi membantu Najib Razak membayar denda RM50 juta menarik perhatian orang ramai.

Ummi Umairah Bakhit meluahkan kebimbangan terhadap gejala rasuah dan mempersoalkan bagaimana pemimpin masa depan seharusnya mengambil pendirian dalam isu berkenaan.

“Berlaku skandal Tabung Haji yang melibatkan beberapa tokoh politik. Perkara paling bodoh yang pernah saya lihat sepanjang hidup saya ialah orang ramai menderma kepada bekas perdana menteri Najib, sedangkan beliau jelas berdepan kes rasuah yang serius, iaitu 1MDB, dan mempunyai kaitan yang jelas dengan rasuah.

“Bagaimana anda akan menasihati pemimpin masa depan supaya berani bersuara menentang rasuah dan feudalisme, berfikir secara kritis serta mengemukakan fakta dan data statistik?” katanya.

Soalan itu dikemukakan dalam satu sesi dialog anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi yang menampilkan Khairy Jamaluddin, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi.

Khairy memuji soalan itu sebelum memberikan jawapan secara terus terang.

“Apa yang salah tetap salah.

“Kita tidak sepatutnya takut bercakap mengenai rasuah walaupun ia melibatkan pemimpin kita. Apa yang salah tetap salah. Perkara yang tidak boleh dipertahankan, jangan dipertahankan. Salah urus tetap salah urus.

“Jika terdapat kes yang perlu dijawab, kita mesti bertanggungjawab terhadapnya dan tidak sekali-kali berkompromi dalam soal integriti. Saya berkata demikian sebagai seseorang yang pernah berkhidmat dalam kerajaan itu,” katanya.

Ketika skandal 1MDB tercetus, Khairy antara individu yang menyuarakan kebimbangan mengenai keupayaan firma pelaburan itu untuk melunaskan hutangnya.

Bagaimanapun, dia juga antara pihak yang menafikan wujudnya unsur rasuah apabila timbul dakwaan bahawa AS$681 juta (RM2.6 bilion) daripada dana 1MDB telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib.

Seperti ramai anggota Kabinet yang lain, Khairy turut mengulangi naratif bahawa wang berkenaan merupakan sumbangan politik daripada kerabat diraja Arab Saudi.

Pendirian Khairy berubah selepas BN tewas dalam pilihan raya umum 2018. Sejak itu, dia juga lantang mengkritik Najib dan skandal 1MDB.

Sementara itu, Amirudin dalam respons ringkasnya kepada Umairah berkata dia gembira kerana golongan muda masih mengambil berat tentang rasuah, yang menurutnya sudah lama menjadi masalah.

Onn pula memulakan jawapannya dengan menyifatkan rasuah sebagai barah yang menghalang kemajuan.

Bagaimanapun, dia berkata dasar kerajaan dan usaha memerangi rasuah mesti dilaksanakan secara adil dan konsisten, manakala agensi penguatkuasaan tidak seharusnya dijadikan senjata untuk meraih kepentingan politik.

“Undang-undang mesti dikuatkuasakan tanpa mengira parti politik. Pada pandangan saya, apa yang berlaku sejak beberapa bulan kebelakangan ini ialah penganiayaan politik dan pendakwaan terpilih,” katanya.

Dia kemudian mengingatkan bahawa pemimpin Islam yang mengkhianati amanah, sama ada melalui rasuah atau penyalahgunaan kuasa, tetap akan dipertanggungjawabkan di hadapan Tuhan pada masa depan walaupun mereka terlepas daripada hukuman di dunia.

Dalam sesi itu, Khairy turut menjawab soalan pemimpin kesatuan pelajar UM, Aiman Izzat Shamsuddin, mengenai sama ada pemimpin perlu mengutamakan keputusan yang dibuat dengan pantas atau keputusan yang tepat.

Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan, berkata ramai ahli politik takut membuat keputusan sukar kerana bimbang kehilangan sokongan dalam pilihan raya.

“Ini kerana kita memikirkan pilihan raya seterusnya, bukannya generasi seterusnya. Itulah sumpahan yang dihadapi ahli politik dan kita memerlukan pemimpin yang memikirkan generasi seterusnya, bukan hanya pilihan raya akan datang,” katanya.

Bagaimanapun, dia mengakui bahawa bercakap memang mudah, tetapi keadaan menjadi lebih sukar apabila seseorang sudah memegang kuasa.

Menurutnya, setiap perdana menteri mahu melakukan perkara yang betul, tetapi hanya Dr Mahathir Mohamad yang berjaya melaksanakannya ketika penggal pertamanya sebagai perdana menteri, berikutan keupayaannya memenangi pilihan raya.

“Sekarang, majoriti mudah pun tidak dapat diperoleh. Tiada parti yang mampu memenangi majoriti mutlak dengan sendirinya, jadi mereka takut.

“Jadi, apa yang saya katakan ialah pilihlah pemimpin yang tidak takut kalah.

“Saya pernah kalah dan saya tidak takut untuk kalah. Jadi, pilihlah pemimpin yang tidak takut kalah,” katanya.

Jem teruk sekitar Sunway, ada yang ‘tersangkut’ hampir empat jam

KOSMO!
Keadaan trafik di sekitar Bandar Sunway pagi ini.
PETALING JAYA – Pengguna jalan raya sekitar Bandar Sunway hari ini berdepan kesesakan luar biasa selepas beberapa laluan utama termasuk Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) mengalami trafik perlahan susulan insiden kenderaan rosak dan kemalangan yang berlaku lebih awal.

Menurut kemas kini trafik pada pukul 9.47 pagi, kesesakan di LDP berlaku lebih sejam dari Plaza Tol Puchong Selatan sehingga Jambatan Kabel susulan sebuah kereta rosak di Kilometer 18.3.

Kenderaan berkenaan telah dialihkan, namun kesannya menyebabkan kelewatan kira-kira sejam bermula dari Alam Sutera di Lebuh Raya Bukit Jalil.

Dalam arah bertentangan pula, trafik turut sesak dari Kelana Jaya menuju Plaza Tol PJS akibat kemalangan lebih awal berhampiran susur keluar Taylor’s University.

Kemalangan itu juga telah dialihkan, namun aliran trafik kekal perlahan sehingga memberi kesan kepada pengguna dari SS17 di Lebuh Raya Baru Pantai (NPE).

Tinjauan di media sosial mendapati ramai pengguna meluahkan rasa kecewa selepas terperangkap dalam kesesakan berjam-jam di sekitar Sunway.

Seorang pengguna Threads, @nycm823, mendakwa hanya perjalanan sejauh 3.5 kilometer mengambil masa lebih dua jam.

“Perhatian. Elakkan memasuki Sunway, Subang jika boleh. Keseluruhan trafik di kawasan itu tidak bergerak. Sudah lebih dua jam terbuang hanya untuk perjalanan sejauh 3.5 kilometer,” katanya.

Seorang lagi pengguna, @cahayabungaa22, mendakwa perjalanannya menuju Sunway mengambil masa hampir empat jam.

“Saya tersekat dalam jem dari rumah ke Sunway dekat empat jam. Saya sikit lagi nak bertukar jadi Super Saiya dah ni. Saya baran,” tulisnya.

Pengguna @momofdoubleae_azr pula memaklumkan suaminya terperangkap lebih dua jam walaupun hanya dalam perjalanan dari SS17 ke Sunway Mentari.

“Apa berlaku dekat kawasan Sunway korang? Suami dah sangkut jammed dua jam lebih dari SS17 nak ke Sunway Mentari je. Anak dah penat dah dalam kereta,” katanya.

Seorang pengguna, @yusof300389, pula mendakwa dua lorong menuju Taylor’s University ditutup susulan sebuah Perodua Myvi putih mengalami masalah tayar.

“Pertama kali dalam 20 tahun ulang-alik, motor stuck jem. Aku bawa motor pun sakit hati, apatah lagi orang bawa kereta. Rupanya dua lorong jalan masuk ke Taylor’s University ditutup. Ada Myvi putih tercabut tayar” katanya.- KOSMO! ONLINE

Mainan cetus derita: Antara laporan di luar negara mengenai bahaya permainan 'squishy'

Harian Metso
PERMAINAN ‘squishy’.
PERMAINAN ‘squishy’.
Kanada

Laporan CBC News bertarikh 28 Ogos 2026. https://www.cbc.ca/news/health/squishy-toy-hazards-9.7324705

Antara tempoh 23 April hingga 24 Ogos 2026, Health Canada berkata pihaknya menerima 36 laporan berkaitan permainan squishy berbentuk ladu (squishy dumpling).

"Daripada jumlah itu, 30 laporan berkaitan bau, empat laporan mengenai penjualan produk berkenaan tetapi tidak menyebut mengenai bau atau kecederaan, manakala dua laporan melibatkan produk yang meletup. Sebanyak enam daripada laporan itu menyebut mengenai kecederaan, antaranya sakit kepala, ruam kulit dan kesukaran bernafas," kata Health Canada dalam kenyataan kepada CBC News.

Menurut Health Canada, laporan berkenaan membabitkan kanak-kanak dan orang dewasa.

Bagaimanapun, Health Canada berkata pihaknya belum mengenal pasti sebarang ketidakpatuhan terhadap peraturan kesihatan atau keselamatan, selain belum mengesahkan bahawa permainan berkenaan mendatangkan risiko kesihatan atau keselamatan tertentu.

Dalam perkembangan berasingan, Amazon Canada berkata pihaknya mengambil tindakan proaktif mengeluarkan sebahagian permainan squishy dumpling daripada platform berikutan laporan berkaitan kebimbangan keselamatan.

Laporan asal CBC bertajuk "Warnings over squishy toy hazards expand globally" turut menyebut bahawa isu ini bukan hanya berlaku di Kanada, sebaliknya beberapa negara sudah mengambil tindakan terhadap permainan squishy atas kebimbangan berbeza.

Thailand

Laporan The Nation bertarikh 3 Ogos 2026. https://www.nationthailand.com/news/general/40069335.

Institut Piawaian Industri Thailand (TISI) merampas hampir 20,000 unit mainan squishy (mainan picit lembut) tidak mematuhi piawaian bernilai lebih satu juta baht (kira-kira RM130,000) di sini, lapor The Nation.

Selain itu, TISI turut memberi amaran bahawa produk berkenaan berpotensi mendedahkan kanak-kanak kepada bahan kimia berbahaya yang dikaitkan dengan kanser dan risiko kesihatan lain.

Setiausaha Agung TISI, Ekniti Romyanon berkata, squishy dikategorikan sebagai produk mainan dan adalah barangan terkawal di bawah peraturan TISI, sekali gus wajib mematuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan di Thailand.

Katanya, mainan berkenaan menjadi semakin popular di media sosial dan dijual secara meluas di seluruh negara.

Bagaimanapun, hasil pemeriksaan mendapati banyak produk di pasaran tidak memaparkan tanda Piawaian Industri Thailand (TIS), sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan pengguna terutama kanak-kanak dan golongan muda.

United Kingdom

Laporan di laman sesawang Pejabat bagi Keselamatan dan Piawaian Produk (OPSS) United Kingdom (UK) bertarikh 4 September 2026.

https://www.gov.uk/product-safety-alerts-reports-recalls/product-safety-....

Kod keselamatan itu mengenai Squishy Dumpling D-9373. Pihak berkuasa menyatakan produk itu mempunyai risiko tercekik yang serius kerana bahan luar ladu boleh pecah dengan mudah dan melepaskan manik air di dalamnya.

Jika manik berkenaan ditelan selepas mengembang, ia boleh menyekat saluran pernafasan kanak-kanak kecil.

Produk itu berasal dari China dan kemasukannya ke UK ditolak di sempadan. Produk juga didapati tidak memenuhi keperluan Toys (Safety) Regulations 2011.

- Laporan di laman sesawang OPSS UK bertarikh 10 Ogos 2026:

https://www.gov.uk/product-safety-alerts-reports-recalls/product-safety-....

Ujian terhadap Squishy Dumpling Bun Squeeze Toy (mainan picit ladu bun kenyal) mendapati cecair di dalam permainan mengandungi mikroorganisma aerobik, yis dan kulat melebihi paras yang dibenarkan.

29 lelaki ditahan, guna TikTok sebarkan dakyah pertubuhan haram?

Harapandaily

Seramai 29 lelaki ditahan dalam operasi khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membanteras penggunaan TikTok untuk mempromosikan dan menyebarkan dakyah berkaitan pertubuhan yang diwartakan haram oleh kerajaan.

Operasi Mega TikTok 2026 itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dari 10 hingga 12 Oktober lalu.

Pengarah JSJ, Datuk M. Kumar a/l S. Muthuvelu berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 28 lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warga asing berusia antara 18 hingga 49 tahun.

Operasi itu membabitkan 11 kontinjen, iaitu Selangor, Johor, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Kedah, Melaka, Sabah dan Sarawak.

Menurut kenyataan media PDRM bertarikh 14 Oktober, kes berkenaan disiasat mengikut beberapa peruntukan undang-undang, termasuk Seksyen 47 dan Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 bagi kesalahan berkaitan kemasukan atau keberadaan di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah.

PDRM memaklumkan semua tangkapan ditahan mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membantu siasatan lanjut, termasuk mengenal pasti peranan setiap suspek dalam kumpulan berkenaan serta kemungkinan penglibatan mereka dalam aktiviti jenayah lain.

Dalam kenyataan sama, Kumar menegaskan PDRM akan meneruskan operasi pencegahan dan penguatkuasaan secara bersepadu bagi membanteras kegiatan jenayah terancang.

Beliau turut memberi amaran bahawa tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap individu yang sengaja berkongsi rakaman video yang berpotensi menimbulkan kegusaran awam.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya menyalurkan maklumat mengenai kegiatan jenayah terancang kepada polis melalui saluran rasmi atau balai polis berhampiran.

PDRM menggesa masyarakat bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi membantu membanteras kegiatan jenayah dan memastikan keselamatan negara terus terpelihara.

Pemandu kereta eletrik didakwa pandu berbahaya, sebabkan kematian kanak-kanak

Muhamad Lokman Khairi
Pemandu kereta eletrik didakwa memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian budak berusia 5 tahun di Jalan Kuching tiba di mahkamah. – Foto NSTP
KUALA LUMPUR: Pemandu kereta elektrik yang terbabit dalam kemalangan sehingga menyebabkan kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, Sabtu lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tiga pertuduhan termasuk memandu secara berbahaya.

Tertuduh, Raeven Goh Wey Haur, 24, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Aliaa Anwar.

“Tidak mengaku salah,” katanya ketika berdiri di kandang tertuduh.

Mengikut pertuduhan pertama, Raeven didakwa memandu kereta berkenaan secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Asiah Ahmad Syahir, 5, di Jalan Kuching, dari arah pusat bandar menghala ke Segambut, di sini, pada jam 3.44 petang, 10 Oktober lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda RM20,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, pegawai bank itu didakwa memandu secara berbahaya di lokasi dan waktu yang sama, mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun serta denda antara RM5,000 hingga RM15,000, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, Raeven didakwa gagal berhenti selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di lokasi dan waktu yang sama, mengikut Seksyen 52(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 119(2) akta sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda tidak kurang daripada RM2,000 atau dipenjara maksimum enam bulan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd Zamry, mencadangkan jaminan RM50,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan.

Beliau turut memohon supaya lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai, selaras dengan Seksyen 41(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987, selain mengarahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Sementara itu, peguam bela tertuduh, Kailash Sharma, memohon supaya anak guamnya diberikan jaminan minimum dengan mengambil kira kerjasama keluarga tertuduh dengan pihak polis sejak hari kejadian.

Beliau berkata, bapa tertuduh, yang berusia 55 tahun dan sudah menjalankan perniagaan selama 26 tahun, dicadangkan sebagai penjamin.

Majistret Aliaa kemudian membenarkan Raeven diikat jamin RM36,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut memerintahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan lesen memandunya digantung mulai hari ini sehingga kes selesai.

Kes ditetapkan untuk penyerahan dokumen pada 19 November ini.

Pada prosiding hari ini, ahli keluarga mangsa turut hadir ke mahkamah bersama peguam pemerhati, Nur A’minahtul Mardiah Md Nor.