"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Benteng marah rakyat dengan berlaku adil, bukan polis

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 3 Julai: PAS mengingatkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bahawa mereka boleh mengarahkan polis untuk menghalang perhimpunan rakyat Bersih 2.0, akan tetapi tindakan mereka tidak akan menghalang rasa tidak puas hati rakyat daripada terus membara dan marak, sehingga ianya boleh mencetus pemberontakan dalaman.

Sehubungan itu, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menasihatkan KDN untuk menghayati teguran Khalifah Umar bin Abdul Aziz kepada seorang gabenornya dalam menangani kebangkitan dan kemarahan rakyat sebelum terlambat.

“Sewaktu seorang gabenor memohon peruntukan tambahan kepada Khalifah Umar bin Abdul Aziz bagi membuat benteng bagi menahan pemberontakan rakyat terhadap pemimpin, Umar membalas surat permohonan gabenornya dengan katanya: Bentenglah kemarahan rakyatmu dengan keadilanmu, mendengar rintihannya, melayani aduan mereka; itu lebih teguh benteng daripada kota yang kamu cuba bina.”

"Wahai KDN, ambillah iktibar daripada Umar bin Abdul Aziz sebelum terlambat,” tegur Tuan Ibrahim dalam satu kenyataannya hari ini.

PAS, katanya, juga mengecam tindakan terdesak KDN untuk mengharamkan pertubuhan Bersih 2.0 meskipun ia terhasil daripada 62 gabungan NGO yang sah dan berdaftar 6 hari menjelang perhimpunan Bersih Julai 9 ini.

“Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang telah menyalahgunakan kuasa yang ada dengan bertindak di luar batas undang-undang untuk mengharamkan Bersih 2.0 di bawah seksyen 5 Akta Pertubuhan 1966 kerana ia jelas bercanggah dengan dengan Artikel 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan berpersatuan untuk rakyat seperti yang dinyatakan peguam Hak Asasi Manusia, N Surendran,” tambah Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Menurut Ketua Pengarah ROS Datuk Abdul Rahman Othman, Hishamuddin telah mengarahkan pihaknya untuk mengharamkan Bersih 2.0 atas alasan “bergerak aktif dan mencetuskan suasana gelisah dan kebimbangan masyarakat pelbagai kaum negara ini dan menyebarkan propaganda menghasut rakyat bagi menjatuhkan kerajaan persekutuan sekarang” dengan menuntut supaya pilihanraya yang bebas dan adil diadakan.

KDN turut mendakwa bahawa aktiviti-aktiviti Bersih 2.0 “telah memberi kesan buruk kepada imej negara, bahkan boleh mengancam dan menggugat ketenteraman awam, keselamatan, kemakmuran ekonomi dan kedaulatan negara malahan menjejaskan keharmonian hidup masyarakat berbilang kaum.”

Tindakan KDN tersebut, pada pandangan PAS adalah semata-mata bertujuan supaya gabungan 62 NGO tersebut boleh dianggap pertubuhan haram bagi membolehkan KDN mengerahkan polis untuk bertindak ke atas pemimpinnya.

“Tindakan ini dilihat langkah awal bagi melakukan tangkapan besar-besaran ke atas para pimpinan NGO yang menyokong Bersih 2.0 termasuk Pakatan Rakyat kononnya mencetuskan suasana gawat dalam negara; walhal jelas di mata orang awam bahawa Umno dan Perkasa merupakan pihak yang mencetuskan kontroversi dalam mengadakan perhimpunan Julai 9 ini,” kata beliau.

PAS, katanya juga melihat tindakan KDN ini seolah-olah cuba mendapatkan keizinan perundangan ke atas tindakan yang bakal dilakukan.

“Menteri Dalam Negeri sewajibnya bertindak dengan lebih profesional melayani kehendak rakyat ke arah sistem pilihanraya yang lebih baik dan adil daripada menumpukan kepada kerja untuk memburukkan Bersih 2.0.

Keyakinan rakyat kepada sistem pilihanraya yang bersih dan adil adalah asas keyakinan dan kesejahteraan negara,” tegas Tuan Ibrahim.

Terdahulunya, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, N Surendran mendakwa arahan yang dibuat Hishammuddin adalah tidak sah dan bertentangan dengan Perlembagaan Seksyen 5 Akta Pertubuhan adalah bercanggah dengan Artikel 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan berpersatuan untuk rakyat.

N Surendran percaya Hishammuddin turut menyalahgunakan kuasanya di dalam mengeluarkan perintah tersebut memandangkan tindakan tersebut bermotifkan politik dan berhasrat mengekang kritikan terhadap Kerajaan Barisan Nasional.

Tiada ulasan: