"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Isu Dijajah : Sambutan Merdeka Hanya Sia-sia, Kata Mat Sabu

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Sambutan Hari Kemerdekaan selama 54 tahun ternyata sia- sia jika benar Tanah Melayu tidak pernah dijajah, seperti yang didakwa bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.
Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata demikian bagi mengulas kenyataan Dr Mahathir bahawa hakikat kehadiran British di Malaya adalah kerana mereka bertindak seperti penjajah sekali gus bersetuju dengan kenyataan Ketua Kluster Sejarah Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara (MPN) Datuk Zainal Kling bahawa Malaya tidak pernah dijajah oleh British, tetapi menegaskan hakikatnya, sultan-sultan akhirnya bertindak mengikut arahan British.

Menurut Mohamad Sabu, kenyataan Mahathir itu juga disifatkan hanya mahu mempertahankan MPN sekali gus sebagai cubaan meyakinkan rakyat yang semakin keliru dengan sejarah tanah melayu. 

"Andaian itu adalah cubaan mereka (Umno) untuk lari daripada kenyataan bahawa Malaysia ini tidak pernah dijajah. Sekirannya itu andaian mereka, sambutan hari kemerdekaan adalah sambutan yang main-main selama ini," katanya ketika ditemui diluar perkarangan Mahkamah Sesyen Jenayah, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas menghadiri perbicaraannya dan 44 yang lain berhubung kes Himpunan Aman Rakyat Membantah Kenaikan Harga Barangan Dan Perkhidmatan (PROTES), hari ini. 

Semalam, Mahathir dilaporkan berkata, secara teknikalnya memang Tanah Melayu tidak pernah dijajah kerana Sultan telah memutuskan untuk menjemput British manasihat baginda berkenaan pentadbiran negara ini.

"Kita secara teknikal tidak pernah terjajah. Apa yang kita lakukan adalah sultan-sultan memutuskan untuk menjemput British datang ke mari dan menasihatkan mereka mengenai cara mentadbir negeri. Dalam kata itu, kita tidak dijajah.

"Seperti di Pulau Pinang, kita dibayar supaya memberikan mereka stesen untuk berdagang... Tetapi hakikatnya, apabila British berada di sini, mereka beroperasi seolah-olah kita dijajah.

Jumaat lalu, Zainal berkata, berdasarkan fakta sejarah, Tanah Melayu "tidak pernah terjajah", sebaliknya, hanya dinaungi atau dilindungi oleh British.

Menurut Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, pemerintahan British sebelum ini hanya bertindak sebagai Perdana Menteri yang menasihat Sultan.

"Ia hanyalah andaian Tun Dr mahathir, seperti negara kita hari ini, Yang Dipertuan Agung adalah pemerintah dan penasihatnya adalah Perdana Menteri, tetapi yang menjalankan tugas eksekutif adalah Perdana Menteri, Yang Dipertuan Agung adalah penaung, begitu jugalah situasinya pada zaman dahulu, apabila British bertindak sebagai penasihat jadi mereka adalah pemerintah kepada negara kita dahulu." kata beliau.

Katanya lagi, kenyataan Mahthir itu bukan sahaja mengelirukan malah ia memberi kesan kepada pelajar-pelajar yang bakal menduduki peperiksaan ekoran keliru dengan fakta dan kesahihan teks pelajaran mereka. 

"Situasi ini amat mengelirukan, saya cadangkan agar peperiksaan SPM dan lain-lain ditangguh supaya sejarah dikaji semula kerana pelajar menjadi keliru apabila profesor-profesor yang pakar dalam sejarah kononnya memberi pandangan bertentangan dengan apa yang ada dalam teks pelajaran mereka," jelasnya.
-tvsnews-

Tiada ulasan: