"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mawi dan keluarga dirompak 4 lelaki bersenjata

Juara Akademi Fantasia, Mawi, kerugian RM10,000 apabila dirompak empat lelaki bersenjata parang dan pisau yang memecah masuk dan mengikat beliau dan keluarga di banglonya di Bangi Golf Resort di Kajang pagi ini.

Dalam kejadian pada 4 pagi tadi, Mawi, 31, yang tinggal di banglo lima bilik itu bersama-sama isterinya Norashikin Rahman atau Ekin, 33, bayi perempuannya yang baru berusia 28 hari bernama Cahaya Malaika, ibu mentua Fatimah Saad, 56, nenek mentua Salmah Sahar, 77, dan seorang pembantu rumah, diikat kaki dan tangan sebelum perompak menggeledah kediamannya.

Ketika ditemui pemberita di rumahnya, Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani, berkata empat lelaki yang berpakaian gelap, tiga daripadanya bertopeng, melarikan seutas rantai emas yang dipakai nenek mentuanya, empat telefon bimbit serta sejumlah wang tunai dalam rompakan itu yang mengambil masa 20 minit.

"Saya hanya sedar kehadiran empat lelaki itu setelah terjaga dari tidur apabila Ekin diserang tiga daripada empat suspek, yang dipercayai warga Indonesia, sebaik membuka pintu bilik kami yang diketuk dengan ganas.

"Pada mulanya, kami ingatkan nenek yang mengetuk pintu itu tetapi bila Ekin membuka pintu seorang daripada suspek terus mengacu pisau pada lehernya dan meminta barang kemas," katanya.

Mawi berkata suspek menolak Ekin serta Salmah dan pembantu rumahnya ke dalam biliknya di tingkat tiga sebelum mengikat mereka termasuk dirinya.

"Selepas kami diikat, perompak yang tidak bertopeng, terus menggeledah bilik saya untuk mencari barang kemas dan wang," katanya.

Beliau berkata perompak kemudian melarikan diri menerusi tingkap di bahagian dapur.

Mawi, yang masih trauma dengan kejadian itu, berkata beliau dapat menyelamatkan dirinya dan anggota keluarganya dengan membuka ikatan menggunakan giginya.

"Selepas itu saya terus menghubungi talian kecemasan 999 untuk membuat laporan," katanya.

Mawi berkata beliau beliau tidur lewat selepas pulang daripada promosi Jelajah Anugerah Bintang Popular Berita Harian di Johor Baharu kira-kira jam 2 pagi.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Abdul Rashid Abdul Wahab ketika berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan bagi rompakan berkumpulan dan rompakan bersenjata.
-Bernama-

Tiada ulasan: