"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pas tangguh bentang hudud di Parlimen

KUALA LUMPUR: Pas membatalkan hasrat untuk membawa Rang Undang-Undang Persendirian (hudud) di Dewan Rakyat pada persidangan Parlimen bulan Jun 2014.

Pengumuman itu dibuat oleh Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu, pada sidang media di Ibu Pejabat Pas sebentar tadi.

Menurut Mohammad Sabu, pembatalan tersebut dibuat selepas Pas Pusat bersetuju dengan cadangan penubuhan satu Jawatankuasa Teknikal antara kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Kelantan untuk meneliti dan mengemukakan cadangan tindakan ke arah pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 Kelantan.

"Oleh kerana itu cadangan membawa Rang Undang-Undang Persendirian (hudud) di Parlimen pada bulan enam ini tidak akan diteruskan.

"Ini jawatankuasa antara kerajaan dengan kerajaan, bukan lagi antara parti dengan parti, jadi seriuslah," katanya yang membacakan kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Walaupun keputusan untuk menangguhkan pembentangan usul di Parlimen dibuat, namun Mohamad atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu berkata, Pas bertekad untuk memastikan undang-undang hudud terlaksana.

"Terserah kepada Jawatankuasa Teknikal yang akan berbincang dengan Kelantan dan Pusat.

"Ini jawatankuasa antara kerajaan dengan kerajaan, bukan lagi antara parti dengan parti, jadi seriuslah," katanya.

Ditanya sama ada keputusan itu sudah dimaklumkan kepada rakan sekutu dalam PR, Mat Sabu berkata, pihaknya tidak berbuat demikian.

"Mereka belum tahu. Mereka akan mengetahuinya melalui laporan adil media hari ini," katanya.

Untuk rekod, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob pada April lalu telah mengumumkan kerajaan negeri sudah bersedia dengan draf satu RUU persendirian (private bill) berhubung hukum hudud.

Rang undang-undang itu akan dibawa Ahli Parlimen Pas dari Kelantan ke persidangan Dewan Rakyat bagi mendapatkan kebenaran melaksanakan undang-undang tersebut seperti yang diperuntukkan oleh Perkara 76 (A) Perlembagaan Persekutuan.

Cadangan Kelantan tersebut disambut baik oleh Umno, termasuk pemimpin tertingginya iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu melihat usaha itu diteruskan.

Sementara itu, cadangan Pas tersebut menerima tentangan hebat daripada rakan sekutunya terutama DAP.

Manakala MCA pula memutuskan untuk mengkaji kedudukannya sebagai parti komponen Barisan Nasional (BN) jika Umno terus menyokong Pas melaksanakan hudud di Kelantan.

Tiada ulasan: