Artis Kelantan ditahan Sungai Golok, didakwa miliki dadah

Harapandaily

Seorang artis wanita Kelantan yang terkenal dengan klip video lagu nyanyian duetnya sudah menarik lebih 23 juta tontonan di YouTube ditahan di Sungai Golok, Thailand kerana didakwa memiliki dadah.

Nama penuh wanita berasal dari Kota Bharu berusia 29 tahun itu tertera bersama lima individu lain dalam satu laporan siasatan yang tular di media sosial.

Menurut maklumat yang tersebar, kesemua mereka ditangkap pihak polis Thailand pada jam kira-kira 5 pagi waktu tempatan di Hotel Genting, Sungai Golok semalam.

Mereka dikatakan ditahan ketika berehat di hotel tersebut sejurus selesai berhibur di pusat hiburan di bahagian bawah pusat penginapan itu.

Serbuan tersebut dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Narkotik Balai Polis Sungai Golok, Thailand.

Walau bagaimanapun, dua individu lagi yang tidak dikenali dipercayai berjaya melepaskan diri.

Hasil pemeriksaan polis di dalam bilik menjumpai sebanyak lebih kurang 6,000 biji pil dadah dipercayai pil kuda.

Kesemua mereka akan dibawa ke mahkamah Narathiwat, Thailand untuk tindakan perundangan selanjutnya.