Pelajar tunjuk jari tengah kepada guru

KOSMO
Pelajar-pelajar itu menunjukkan jari tengah kepada seorang guru. - Instagram
JAKARTA – Sekumpulan pelajar sekolah menengah di Indonesia menerima kecaman orang ramai apabila menunjukkan isyarat ‘jari tengah’ kepada seorang guru, lapor laman berita Detik hari ini. 

Kejadian berlaku di SMAN 1 Purwakarta, wilayah Jawa Barat. 

Rakaman video dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @infojawabarat memaparkan beberapa pelajar lelaki dan perempuan berulang kali menunjukkan jari tengah di belakang gurunya. 

Gabenor Jawa Barat, Dedi Mulyadi berkata, ibu bapa pelajar terbabit telah dipanggil ke sekolah. 

“Ibu bapa mereka telah dipanggil ke sekolah. Ibu bapa menangis dan kesal dengan tingkah laku anak masing-masing. 

“Pihak sekolah telah mengambil tindakan dengan mengenakan penggantungan selama 19 hari ke atas semua pelajar yang terlibat,” kata Dedi. – AGENSI

Bomba: Tiada risiko nyawa susulan banjir lumpur di TTDI

Dineskumar Ragu

Video tular papar lumpur dari tapak pembinaan pejabat Jabatan Landskap Negara mengalir ke Jalan Abang Haji Openg ketika hujan lebat hari ini.
 
Construction site on Jalan Abang Haji Openg, TTDI
Tangkap layar video tular tunjuk dinding zink di tapak pembinaan di Taman Tun Dr Ismail tumbang akibat angin kuat manakala lumpur mengalir hingga ke jalan raya.
PETALING JAYA: Penduduk Taman Tun Dr Ismail diberi jaminan bahawa tiada risiko terhadap nyawa atau harta benda susulan kejadian banjir lumpur susulan hujan lebat di sebuah tapak pembinaan di kawasan itu.

Rakaman video yang tular awal hari ini menunjukkan lumpur melimpahi Jalan Abang Haji Openg, berpunca daripada pembinaan pejabat baharu Jabatan Landskap Negara, selain kerosakan pada dinding zink di tapak itu akibat angin kencang.

Jabatan Bomba Kuala Lumpur berkata anggota bomba yang dihantar ke lokasi sedang memantau keadaan serta membersihkan longkang yang tersumbat.

“Kami menyerahkan tindakan lanjut kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” katanya kepada FMT.

FMT cuba mendapatkan komen daripada DBKL.

Presiden persatuan penduduk, Abdul Jabar Junid berkata beliau dimaklumkan oleh kontraktor projek dan pejabat Parlimen Segambut bahawa kerja pembaikan akan dimulakan secepat mungkin.

Projek itu sebelum ini mendapat bantahan penduduk kerana melibatkan pembersihan sebahagian kawasan hutan di Bukit Kiara.

Satu sesi dialog pada 18 Julai antara penduduk dan Jabatan Landskap Negara menjadi tegang apabila penduduk mendakwa kebimbangan mereka terhadap kesan alam sekitar projek tersebut tidak diendahkan.

Sebahagian penduduk turut menyuarakan kebimbangan bahawa penebangan hutan boleh menyebabkan tanah runtuh, dan mendakwa tiga kejadian tanah runtuh telah berlaku di kawasan itu.

Rafizi kekal di Pandan, nafi khabar angin tanding di Bandar Tun Razak

Malaysiakini 

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menafikan spekulasi bahawa dia akan mengosongkan kerusi itu bagi membolehkannya bertanding di Bandar Tun Razak pada pilihan raya umum akan datang.

Dalam episod terbaru podcast Yang Berhenti Menteri, Rafizi mengulas saranan bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming agar dia mencabar Perdana Menteri, Anwar Ibrahim di kerusi tersebut, yang kini disandang Presiden PKR, Wan Azizah Wan Ismail.

“Saya nak beritahu ini hanyalah sembang kencang Ong Kian Ming saja. Saya dah umumkan berkali-kali menyatakan bahawa saya akan bertanding di Pandan.

“Pendirian politik saya dan kawan-kawan yang lain yang lain sebenarnya tidak berkaitan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim pun, ikut suka dialah dia nak buat apa,” kata bekas menteri ekonomi itu.

Ong, yang tidak mempertahankan kerusinya dalam PRU15, sebelum ini berspekulasi bahawa Rafizi mungkin menyasarkan pertandingan yang “lebih besar” berbanding berdepan dengan jangkaan calon PKR di Pandan, bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri, Tengku Zafrul Abdul Aziz.

“Saya merasakan ada dua individu yang mungkin ada di minda Rafizi yang lebih besar, yang lebih sesuai iaitu Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Presiden PKR (Anwar).

“Ada juga kemungkinan yang rasa yang agak besar PMX akan turun ke Kuala Lumpur untuk bertanding di Bandar Tun Razak bagi menggantikan Wan Azizah.

“Rafizi kemudian akan bertanding di Bandar Tun Razak untuk cuba mengalahkan Anwar,” katanya lagi, sambil menambah parti bukan Pakatan Harapan mungkin memberi laluan untuk pertandingan satu lawan satu.

Mengulas lanjut, Rafizi yang juga bekas timbalan presiden PKR menegaskan bahawa dia menyokong “politik progresif” berbanding pendekatan berasaskan individu.

“Itu juga antara punca pertembungan dalaman dalam PKR, kerana sekarang ini ada yang melihat masa depan mereka dan politik mereka bergayut dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kami melihat masa depan politik itu maknanya mempertahankan dan menyegarkan politik yang progresif di masa akan datang bersama atau tidak bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Jadi sudah tentu perkiraan politik kami tidak terikat kepada sesiapa pun. Kami bukan jenis berkira-kira, mungkin Ong memanglah jenis berkira-kira dulukan. Kami taklahkan.

“Saya juga tidak pasti sama ada beliau bercadang untuk bertanding semula atau kembali aktif dalam politik. Kita tunggu dan lihat,” tambah Rafizi.

Rafizi turut memaklumkan bahawa dia tidak berhubung dengan Ong sejak 2021 akibat perselisihan pendapat antara mereka.

“Salah satu sebabnya ialah saya kurang selesa, terutama pada 2021 apabila timbul khabar angin bahawa beliau (Ong) lebih cenderung kepada Muhyiddin Yassin.

“Pada masa itu, saya ingat ada kumpulan kecil dalam DAP yang melihat pilihan antara BN dan PN sebagai ‘dua keburukan yang lebih kecil’, dan mereka lebih cenderung kepada Muhyiddin.

“Mengenai kenyataan terbarunya, saya kurang memahaminya. Untuk membuat komen politik seperti itu, beliau sepatutnya mempunyai maklumat dalaman.

“Namun dalam PKR sendiri, kami tidak begitu selesa dengan beliau. Beliau tidak pernah benar-benar rapat dengan kami, tetapi cara beliau bercakap seolah-olah kami sahabat baik,” tambahnya.

Lelaki terperangkap, kenderaan dihempap pokok tumbang

KOSMO!
Keadaan kenderaan yang terjejas akibat dihempap pokok tumbang di Putrajaya hari ini.
PUTRAJAYA – Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila terperangkap selepas kenderaan yang dinaiki dihempap pokok tumbang dalam kejadian di Lebuh Wadi Ehsan dari Presint 18 menghala ke Pinggiran Putra, Presint 19, hari ini.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 4.13 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Presint 14 bergegas ke lokasi kejadian.

Penolong Pengarah Operasi JBPM, PgB M. Haziq Hazmi memaklumkan, tindakan pantas anggota telah berjaya memastikan keselamatan mangsa serta mengawal keadaan di lokasi.

“Seorang lelaki yang berada di dalam kenderaan tersebut terperangkap selepas kenderaannya dihempap pokok, namun mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pihak bomba.

“Mangsa telah diberikan rawat awal sebelum dihantar ke Hospital Putrajaya untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bagaimanapun mangsa tidak mengalami kecederaan parah.

Dalam pada itu, katanya, anggota bomba turut menjalankan kerja-kerja pemotongan dan pembersihan pokok menggunakan peralatan khas sehingga laluan kembali selamat dan boleh digunakan kepada pengguna jalan raya. – KOSMO! ONLINE

Umno setuju terima kembali Hishammuddin, Khairy, Syed Hamid

Puteri Nordahlilah Azmi

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang berlangsung malam ini memutuskan bahawa parti itu bersetuju menerima semula bekas pemimpinnya termasuk Hishammuddin Hussein, Khairy Jamaluddin dan Syed Hamid Syed Jaafar Albar.

Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, berkata, MKT menyokong penuh gagasan Rumah Bangsa yang dicetuskan Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi untuk menerima kembali tanpa syarat mana-mana ahli yang digantung, dipecat atau keluar parti.

"Antara nama-nama pemohon yang telah diputuskan oleh MKT termasuk Hishammuddin Tun Hussein, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Syed Hamid Syed Jaafar Albar dan 6,252 bekas pimpinan serta ahli di peringkat Umno Bahagian dan Cawangan seluruh Malaysia," katanya dalam kenyataan.

MKT Umno pada 2023 memecat Khairy yang juga bekas ketua Pemuda Umno dan Ahli Majlis Tertingginya, Noh Omar.

Beberapa pimpinan lain pula digantung, termasuk Hishamuddin yang digantung selama enam tahun.

Pada Mac lalu, Khairy menyatakan hasrat untuk kembali menyertai Umno susulan pengumuman Ahmad Zahid yang "membuka pintu seluas-luasnya" kepada bekas ahli yang pernah digantung atau dipecat.

Hishammuddin turut menyatakan kesediaannya untuk kembali bersama parti itu sekiranya pucuk pimpinan parti itu ikhlas untuk menarik balik penggantungan terhadapnya.

Sementara itu, Asyraf berkata mesyuarat MKT Umno malam ini turut meluluskan pindaan peraturan keahlian Umno bagi membolehkan pendaftaran ahli baru dibuat secara dalam talian, selaras dengan usaha memudahkan kemasukan golongan muda ke dalam parti.

MKT katanya turut membincangkan isu kos sara hidup rakyat yang terkesan akibat kenaikan harga minyak dan inflasi global, selain kesan ketidaktentuan ekonomi antarabangsa.

Sehubungan itu, kepimpinan Umno di negeri-negeri ditadbir parti itu khususnya di Johor, Melaka, Perak dan Pahang disaran memfokuskan bantuan-bantuan tambahan kepada pelbagai kelompok masyarakat yang terkesan.

Umno turut mengumumkan penganjuran Sambutan 80 Tahun parti itu yang akan berlangsung dari 1 hingga 5 Mei di World Trade Centre Kuala Lumpur, dengan pelbagai program termasuk konvensyen, kongres pendidikan dan karnival keusahawanan.

Selain itu, katanya, MKT membenarkan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri Umno mengadakan persidangan cawangan secara hibrid bagi memudahkan penyertaan ahli, khususnya dalam tahun yang tiada pemilihan parti.

Nak tanya pemimpin negeri Kedah, "ha wat jadi lagi ni?"

Gadis tular ‘diriba’ peroleh SPM 8A, merayu mahu belajar
 
DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Nur Adila diiringi anggota polis selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jasin, Melaka, hari ini. Foto oleh AMRAN ALI/KOSMO!
JASIN – Tertuduh wanita yang tular memandu bas sambil diriba kekasihnya merupakan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan mendapat keputusan 8A 2B kira-kira tiga tahun lalu.Berita Malaysia

Pernyataan tersebut dibuat Nur Adila Najwa Ilham Ameerullah, 21, selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan yang dihadapinya di Mahkamah Majistret Jasin, hari ini.

Nur Adila dan kekasihnya, Arif Fahmi Abd. Salam, 36, didakwa secara bersama-sama di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Pindaan 2020) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan, mereka didapati sebagai pemandu bas bernombor pendaftaran APE 9588 telah membantu kenderaan tersebut dengan cara yang merbahaya kepada orang awam.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 7.30 petang di susur keluar Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Bemban, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, dalam daerah ini pada 12 April 2026.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda antara RM5,000 hingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun dari tarikh sabitan.

Dalam prosiding sama, Nur Adila turut didakwa di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 kerana mengeluarkan kata-kata kesat dan menghina seorang penumpang wanita berusia 44 tahun yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100.

Dalam prosiding di hadapan Majistret Mazana Sinin, Nur Adila dalam rayuannya memberitahu dia telah dijaga oleh neneknya sejak bayi di Kedah dan memperoleh keputusan 8A dan 2B dalam SPM.

“Saya dapat keputusan 8A 2B dalam SPM dan duduk dengan tok (nenek) sejak bayi, ibu berpantang.

“Saya ada dapat tawaran belajar tapi tak berkemampuan, selepas tok meninggal tak ada yang menanggung saya jadi saya telah berhijrah untuk mencari kerja.

“Saya berharap hukuman ringan diberikan kerana saya mahu sambung belajar,” katanya dalam nada sebak.

Selepas mendengar rayuan tersebut dan mengambil kira usia Nur Adila yang masih muda, mahkamah menjatuhkan hukuman enam bulan penjara dan denda RM5,000 atau dua bulan penjara jika gagal bayar bagi Seksyen 42(1) APJ 1987.

Dia turut dikenakan denda RM100 atau 14 hari denda jika gagal bayar bagi Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan lesen memandu digantung selama lima tahun dari tarikh sabitan.

Nahas helikopter di Kalimantan Barat, rakyat Malaysia antara 8 korban

KOSMO
Pasukan penyelamat menemui mangsa nahas di Sanggau, wilayah Kalimantan Barat semalam. - Istimewa
JAKARTA – Dua kru dan enam penumpang terbunuh apabila sebuah helikopter persendirian terhempas di hutan tebal di Pulau Borneo, kata kementerian pengangkutan Indonesia hari ini.Berita Malaysia

Helikopter jenis Airbus milik firma tempatan, Matthew Air Nusantara terputus hubungan dengan kawalan trafik udara kira-kira lima minit selepas berlepas di wilayah Kalimantan Barat pagi semalam.

Kesemua lapan orang di dalamnya adalah lelaki dengan seorang daripada mereka ialah rakyat Malaysia, kata Ketua Pengarah Penerbangan Awam, Lukman F. Laisa dalam satu kenyataan.

“Pasukan mencari dan menyelamat berjaya mengesan lokasi helikopter ini terhempas dan berdasarkan maklumat dari lapangan, semua penumpang serta kru disahkan meninggal dunia,” katanya.

Pasukan penyelamat menemui mangsa nahas petang semalam di kawasan hutan tebal dengan cerun curam, kata ketua agensi mencari dan menyelamat tempatan, I Made Junetra kepada AFP hari ini.

“Mayat semua mangsa dibawa ke ibu negeri wilayah Kalimantan Barat, Pontianak,” kata I Made.

Indonesia mempunyai rekod keselamatan penerbangan yang buruk, dengan beberapa kemalangan maut berlaku sejak beberapa tahun lalu.

Sebuah pesawat turboprop disewa kementerian perikanan terhempas di sebuah gunung di Pulau Sulawesi pada Januari lalu, membunuh kesemua 10 orang di dalamnya.

Pada September 2025 pula, sebuah helikopter terhempas di wilayah Kalimantan Selatan, menyebabkan enam penumpang dan dua kru terbunuh. – AFP

Warga emas maut dilibas senjata tajam ketika disamun

Bernama
Seorang lelaki warga emas maut akibat dilibas dengan senjata tajam dalam kejadian samun oleh sekumpulan lelaki di sebuah kediaman di Pekan Baru dekat Teluk Intan, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Chua Kok Lian berkata mangsa berusia 69 tahun itu, mengalami kecederaan parah akibat dilibas dengan senjata tajam dipercayai parang di tangan kanan dan tapak tangan kiri, sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku kira-kira 6.02 pagi semasa isteri mangsa berada di halaman rumah untuk persiapan sembahyang.

“Tiga suspek lelaki yang memakai topeng dipercayai telah memasuki kawasan rumah dengan memanjat tembok hadapan, sebelum menyerbu masuk ke dalam kediaman mangsa.

“Suspek kemudiannya bertindak mengugut mangsa dan menuntut barang kemas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Chua berkata kesemua suspek dipercayai telah melarikan diri sejurus selepas kejadian bersama barang kemas dan wang tunai milik mangsa, namun pihaknya masih menyiasat jumlah kerugian yang dialami mangsa.

“Polis kini giat mengesan tiga suspek lelaki berumur lingkungan 20 hingga 30 tahun,” katanya dan menambah kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Chua berkata orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian tersebut diminta tampil membantu siasatan, dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah Teluk Intan menerusi talian 05-6222222.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa meningkatkan tahap keselamatan kediaman masing-masing, termasuk memasang sistem keselamatan tambahan serta memastikan persekitaran rumah sentiasa dalam keadaan selamat.

- Bernama

Tiga ditahan cuba curi kabel dalam terowong

Zainon Talip
am@hmetro.com.my
ANTARA peralatan yang dirampas, dipercayai digunakan dalam aktiviti curi kabel milik Telekom Malaysia di kawasan terowong berhampiran Tamu Muhibbah, Miri. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA peralatan yang dirampas, dipercayai digunakan dalam aktiviti curi kabel milik Telekom Malaysia di kawasan terowong berhampiran Tamu Muhibbah, Miri. FOTO Ihsan PDRM
Miri: Tindakan pantas polis berjaya menggagalkan cubaan mencuri kabel milik Telekom Malaysia di kawasan terowong berhampiran Tamu Muhibbah, di sini, awal pagi semalam.

Dalam operasi jam 12.18 tengah malam itu, tiga lelaki tempatan berusia 26 hingga 47 tahun ditahan ketika dipercayai sedang atau baru selesai melakukan aktiviti mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee berkata, serbuan dilakukan sepasukan polis bantuan bersama Unit Risikan Operasi, Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri susulan maklumat gangguan talian komunikasi di kawasan berkenaan.

"Maklumat awal diterima daripada pusat Telekom Malaysia yang mengesan gangguan perkhidmatan sebelum anggota polis bantuan digerakkan untuk rondaan dan pemantauan.

"Hasil tindakan segera, tiga suspek berjaya ditahan di lokasi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut turut menemui beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan berkenaan.

"Antara yang dirampas ialah chain lock, lampu suluh, gergaji besi, gulungan wayar tembaga, dua potongan kabel fiber serta dua potongan kulit kabel," katanya.

Beliau berkata, semua barangan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan cubaan mencuri kabel telekomunikasi yang boleh menjejaskan perkhidmatan awam.

Katanya, ketiga-tiga suspek kini direman di lokap Balai Polis Pusat Miri bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan mencuri.

"Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali," katanya.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan kemungkinan pembabitan individu lain.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat SJN Paeng anak Lasa di talian 014-5750622 atau 085-435081, atau tampil ke balai polis berhampiran.

"Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan mencuri atau merosakkan harta awam," katanya.

Dua penuntut IPT disyaki edar dadah ditahan

Mohd Roji Kawi
am@hmetro.com.my

Kuching: Dua penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di Kota Samarahan dekat sini, ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah menggunakan perkhidmatan pos.

Kegiatan itu terbongkar selepas dua serbuan berasingan dilaksanakan oleh polis yang membawa kepada penahanan dua pelajar lelaki, termasuk seorang warga asing, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Deputi Superintendan Barry William berkata, dalam operasi kira-kira jam 2.30 petang itu seorang pelajar tempatan berusia 27 tahun ditahan di sebuah pusat mel IPT itu selepas disyaki memiliki dadah.

"Hasil pemeriksaan menemui beberapa bungkusan berisi ketulan mampat tumbuhan kering dipercayai ganja dengan anggaran berat keseluruhan 1,095.01 gram bernilai kira-kira RM3,285," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, susulan tangkapan itu, seorang lagi pelajar warga Pakistan berusia 23 tahun ditahan di koridor pusat khidmat pelajar di kampus sama kira-kira sejam kemudian bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek warga tempatan itu mengaku memiliki dadah berkenaan dan mendedahkan sudah terbabit dalam penagihan sejak 2015.

"Suspek mengaku mendapatkan bekalan melalui pembelian dalam talian menggunakan aplikasi komunikasi sulit sebelum bayaran dibuat secara deposit tunai ke akaun tertentu.

"Dia juga dipercayai bertindak sebagai orang tengah dengan mencari pembeli secara pukal serta menguruskan transaksi bekalan dadah yang dihantar melalui perkhidmatan pos," katanya.

Barry berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek tempatan positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine manakala pelajar warga asing pula didapati positif benzodiazepine.

Beliau berkata, polis turut merampas pelbagai barangan termasuk bungkusan plastik, kotak pembungkusan, peranti vape serta sebuah telefon bimbit dipercayai digunakan dalam urusan transaksi dadah.

"Kedua-dua suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Kota Samarahan dan permohonan reman akan dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup serta sebatan, jika sabit kesalahan," katanya.

2 beranak antara 3 dituduh merompak, cederakan lelaki

FMT Reporters

PETALING JAYA: Dua beranak antara tiga yang didakwa di Mahkamah Sesyen Georgetown hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan serta menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki.

Tertuduh, G Thananjayan, 41, Nur Fadzlin Mohamed Salim, 27, dan ibunya, Azura Abdul Latiff, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Juraidah Abbas, menurut Harian Metro.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa melakukan rompakan serta dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada seorang lelaki berusia 32 tahun.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah kondominium di Batu Ferringhi di sini, pada 5.30 pagi, 13 April lalu.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun serta dikenakan denda atau sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya Anuarul Hakim Abdul Muen mengendalikan pendakwaan manakala semua tertuduh diwakili peguam A Mahesh.

Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM8,000 setiap seorang namun Mahesh memohon jumlah itu dikurangkan kerana anak guamnya bekerja di premis kitar semula.

Menurutnya, tertuduh yang berusia 27 tahun bekerja sebagai pembantu klinik manakala ibunya tidak mempunyai pekerjaan.

Mahesh berkata, semua tertuduh menetap di negeri itu dan tidak mempunyai risiko melarikan diri selain memberi kerjasama baik sepanjang siasatan.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM4,000 kepada setiap tertuduh dengan seorang penjamin warga tempatan selain menetapkan syarat tambahan supaya mereka tidak mendekati mangsa atau saksi sehingga kes selesai.

Tarikh sebutan semula ditetapkan pada 3 Jun untuk mendapatkan laporan perubatan.

Pasangan ‘riba’ dalam bas ke penjara, denda RM10,000

AMRAN ALI
Bekas pemandu bas dan kekasihnya yang tular memandu kenderaan itu sambil melakukan aksi meriba masing-masing dijatuhi hukuman 12 bulan dan enam bulan penjara serta denda RM5,000 setiap seorang selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini
JASIN – Bekas pemandu bas dan kekasihnya yang tular memandu kenderaan itu sambil melakukan aksi meriba masing-masing dijatuhi hukuman 12 bulan dan enam bulan penjara serta denda RM5,000 setiap seorang selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Mazana Sinin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Arif Fahmi Abd. Salam,36 dan Nur Adila Najwa Ilham Ameerullah, 21, yang mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh secara bersama-sama sebagai pemandu bas bernombor pendaftaran APE 9588 telah membantu kenderaan tersebut dengan cara yang merbahaya kepada orang awam.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 7.30 petang di susur keluar Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Bemban, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, dalam daerah ini pada 12 April 2026.

Bagi kesalahan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Pindaan 2020) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda antara RM5,000 hingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun dari tarikh sabitan.

Dalam prosiding sama, Nur Adila turut didakwa dengan satu pertuduhan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 kerana mengeluarkan kata-kata kesat dan menghina seorang penumpang wanita berusia 44 tahun.

Perbuatan itu dilakukan di dalam bas Sri Maju Ekspres bernombor pendaftaran sama sehingga mengganggu ketenteraman mangsa pada kira-kira pukul 6 petang hari dan tempat yang sama. Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100.

Terdahulu, Arif Fahmi merayu agar hukumannya diringankan dengan alasan dia kini hilang sumber pendapatan susulan telah dibuang kerja oleh pihak syarikat dan masih perlu memberikan kerjasama dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi kes sama.

Tambahnya lagi, kejadian itu adalah kesalahan pertama mereka dan sedar ia memberi impak yang merugikan diri sendiri.

Sementara itu, Nur Adila pula merayu dia ingin melanjutkan pengajian dan telah berhijrah dari Kedah ke Kuala Lumpur kerana ingin mencari wang bagi tujuan tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Mohd. Asri Abd. Rahman Sidik dan Syazwani Mohamad Yusri bagaimanapun memohon agar hukuman berat diberikan dengan faktor pemberat peruntukkan hukuman di bawah Seksyen 42(1) APJ 1987 iaitu penjara sehingga lima tahun dan denda maksimum RM15,000 telah mencerminkan keseriusan kes.

Hujahnya lagi, tertuduh juga mencetuskan kegusaran orang awam berkaitan keselamatan menggunakan pengangkutan bas, selain tindakan mempertaruhkan 27 nyawa penumpang dengan aksi berbahaya berkenaan sama sekali tidak boleh diterima.

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman 12 bulan penjara dan denda RM5,000 atau dua bulan penjara jika gagal bayar terhadap Arif, manakala Nur Adila dipenjara enam bulan dan juga denda RM5,000 atau dua bulan penjara jika gagal bayar. Kesemua hukuman itu berjalan dari tarikh sabitan.

Mazana turut memerintahkan lesen memandu kedua-dua tertuduh digantung selama lima tahun.

Nur Adila turut dikenakan denda RM100 atau 14 hari penjara jika gagal bayar bagi Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.- KOSMO! ONLINE

Tak ada lesen, cukai jalan, lelaki amuk mahu bakar kenderaan sendiri

Meor Riduwan Meor Ahmad
am@hmetro.com.my
Pemandu dan penumpang pacuan empat roda berjaya ditenangkan oleh anggota JPJ selepas bertindak agresif termasuk mengugut untuk membakar kenderaan mereka yang disita. Foto Ihsan JPJ Melaka.
Pemandu dan penumpang pacuan empat roda berjaya ditenangkan oleh anggota JPJ selepas bertindak agresif termasuk mengugut untuk membakar kenderaan mereka yang disita. Foto Ihsan JPJ Melaka.
Melaka: Lelaki bertindak di luar kawalan apabila mengugut mahu membakar kenderaan pacuan empat roda miliknya selepas cuba disita anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka.

Dalam kejadian di Lebuh Rembia, Alor Gajah, kelmarin, pemandu berusia 29 tahun itu mulanya memberi kerjasama baik kepada anggota penguat kuasa JPJ.

Dia bagaimanapun menjadi agresif sebaik dimaklumkan kenderaannya akan disita.

Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop berkata, pemeriksaan mendapati lelaki terbabit melakukan beberapa kesalahan serius termasuk tidak memiliki lesen memandu yang sah.

Menurutnya, kenderaan dipandunya lelaki itu juga didapati tidak mempunyai perlindungan insurans selain Lesen Kenderaan Motor (LKM) sudah tamat tempoh.

"Makluman awal mendapati cukai jalan pacuan empat roda berkenaan sudah luput dan tidak diperbaharui selama lapan tahun.

"Pemeriksaan lanjut turut mengesahkan pemandu terbabit tidak memiliki lesen memandu menyebabkan kita mengeluarkan saman dan menyita kenderaan itu," katanya semalam.

Beliau berkata, ketika proses penguatkuasaan dijalankan, lelaki itu menghubungi rakannya untuk mendapatkan petrol dengan tujuan membakar kenderaan.

"Keadaan menjadi semakin tegang apabila seorang penumpang yang juga rakannya turut campur tangan mengugut dan mendakwa dirinya bekas tahanan.

"Namun keadaan berjaya dikawal anggota JPJ yang menggunakan pendekatan profesional dan berhemah.

"Anggota JPJ berjaya meredakan kemarahan kedua-dua individu terbabit sebelum mereka akhirnya akur dengan tindakan diambil," katanya.

Siti Zarina berkata, tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku sepanjang insiden berkenaan dan kenderaan terbabit kemudian dibawa ke depoh sita JPJ Melaka untuk tindakan lanjut.

"JPJ akan terus komited melaksanakan penguatkuasaan undang-undang secara tegas, berintegriti dan berhemah tanpa terpengaruh dengan sebarang bentuk ugutan atau provokasi demi memastikan keselamatan jalan raya sentiasa terpelihara," katanya.

Polis pangkat DSP, 5 lelaki didakwa acu pistol, rompak berkumpulan

Bernama 

KUALA LUMPUR: Enam lelaki termasuk seorang pegawai polis berpangkat DSP dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan mengacukan pistol dan melakukan rompakan berkumpulan di kawasan perumahan di sekitar Kepong awal bulan ini.

Pegawai polis terbabit, Ahmad Ruzaini Ahmad Dahalan, 41, bersama lima lagi tertuduh, iaitu Abd Samat Shaari, 44; Faridzuan Yahya, 31; Lim Cheal Kei, 51; Yeoh Choon Siang, 47; dan L Jijayendran, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Suhaila Haron, Noridah Adam, Mazuliana Abdul Rashid dan Siti Shakirah Mohtarudin di empat Mahkamah Sesyen berasingan.

Mengikut dua tuduhan, Ahmad Ruzaini yang pernah bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman didakwa bersama-sama lima yang lain, dalam mencapai niat bersama melakukan rompakan dengan menunjukkan senjata api, iaitu sepucuk pistol, terhadap dua individu hingga mendatangkan ketakutan dan kematian.

Bagi kesalahan itu, lelaki yang telah digantung tugas sejak Januari lepas itu didakwa mengikut Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara 30 hingga 40 tahun dan dikenakan minimum enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Dia turut didakwa atas satu lagi tuduhan, iaitu bersama-sama melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang penghuni sebuah rumah, mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan perumahan Desa Parkcity, Sentul, antara 4 dan 8.10 pagi, 5 April lepas.

Sementara itu, lima individu tersebut turut didakwa atas tiga tuduhan sama di tempat dan masa sama.

Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur Mohd Nordin Ismail tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu merupakan kesalahan berat yang tidak boleh dijamin manakala peguam John Ramesh Das yang mewakili Ahmad Ruzaini, Marthavan Manikam bagi Abd Samat, Faridzuan dan Lim, manakala R Kirthiraj yang bertindak bagi Yeoh dan Jijayendran tidak membantah cadangan pihak pendakwaan.

Kesemua mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap keenam-enam tertuduh dan menetapkan sebutan kes pada 25 Mei ini.

Pada 10 April lepas, Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus mengesahkan seorang pegawai polis ditahan kerana dipercayai menjadi dalang beberapa siri jenayah samun bersenjata melibatkan nilai RM4.4 juta di sekitar Kepong.

Sindiket terbabit melarikan tiga kenderaan mewah jenis Rolls-Royce, Bentley dan Toyota Alphard, selain sebuah peti besi, wang tunai RM24,200, mata wang asing bernilai USD1,200, pelbagai barang kemas serta dua jongkong emas.

Letupan di kilang besi, 4 pekerja cedera

ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
TANGKAP layar seorang pekerja yang cedera susulan letupan di sebuah kilang besi di Gebeng, Kuantan
KUANTAN – Empat pekerja lelaki sebuah kilang besi cedera selepas berlaku letupan di kilang berkenaan dekat Gebeng di sini hari ini.

Berdasarkan rakaman video berdurasi enam saat yang tular menyaksikan seorang lelaki cedera parah dengan bahagian tangan kanannya hancur dan berlumuran darah, manakala seorang lagi pekerja melecur di bahagian belakang badan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, berdasarkan laporan polis kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu melibatkan empat lelaki terdiri daripada seorang warga tempatan dan tiga warga asing.

“Kesemua mangsa mengalami kecederaan dan telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan menggunakan ambulans syarikat untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Siasatan awal di lokasi mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada satu letupan melibatkan peralatan industri di dalam premis berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, sepasukan anggota polis dari Balai Polis Gebeng telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan lanjut.

Katanya, pihak polis sedang bekerjasama dengan pihak berkaitan termasuk pengurusan kilang dan agensi keselamatan serta kesihatan pekerjaan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

“Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Lagi tular pemandu bas pandu secara berbahaya

DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
TANGKAP layar video tular memaparkan pemandu bas ekspres memandu dalam keadaan berbahaya
ALOR GAJAH – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengesan seorang pemandu bas ekspres yang disyaki memandu dalam keadaan tidak selamat, susulan tular satu rakaman video di media sosial dan aplikasi WhatsApp hari ini.Berita Malaysia

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, siasatan dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah selepas video berdurasi kira-kira 1 minit 20 saat itu tular sekitar pukul 1.05 tengah hari tadi.

Menurutnya, rakaman berkenaan memaparkan pemandu bas ekspres terbabit memandu dalam keadaan duduk menyandar ke belakang, selain hanya memegang stereng menggunakan sebelah tangan ketika kenderaan sedang bergerak pada waktu malam.

“Perbuatan tersebut boleh menjejaskan kawalan kenderaan, mengganggu tumpuan pemandu serta membahayakan keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya lain.

“Hasil siasatan awal mendapati bas berkenaan dengan nombor pendaftaran BSB 4999 dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) Kuala Lumpur menghala ke Johor Bahru,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Tambahnya, lokasi kejadian dipercayai berlaku di Kilometer 196.1 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah selatan), namun siasatan lanjut sedang dilakukan pihak polis.

“Sehubungan itu, pihak polis meminta pemandu bas yang terlibat agar tampil segera ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Alor Gajah bagi membantu siasatan.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian turut diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Insp. Nurul Salina Rosli di talian 011-25435507 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran,” ujarnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan. – KOSMO! ONLINE

Siti Nurhaliza terlibat kemalangan di Lebuhraya MEX

Bernama

KUALA LUMPUR: Biduanita negara Siti Nurhaliza Tarudin terlibat dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya Maju Expressway (MEX) hari ini.

Menerusi perkongsian di Instagram Stories, Siti Nurhaliza memaklumkan, beliau berada dalam keadaan selamat tanpa memperincikan kejadian yang berlaku.

Pengurusnya, Rozi Abdul Razak memaklumkan, penyanyi itu cedera ringan pada bahagian kaki dan telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Alhamdulillah, segalanya selamat dan terima kasih atas doa semua,” menurut Rozi.

Insiden itu tular di media sosial selepas beberapa pengguna berkongsi mengenai kejadian berkenaan termasuk gambar dipercayai kenderaan terlibat di lokasi kejadian.

Difahamkan, kemalangan tersebut melibatkan beberapa kenderaan dan berlaku ketika penyanyi itu dalam perjalanan pulang selepas selesai mengadakan persembahan di sebuah majlis di Sepang.

Strategi 'island hopping' baru Washington di Asia Tenggara

Ismail Hashim Yahaya

Pada 13 April lalu Washington dan Jakarta mengumumkan secara rasmi penubuhan Perkongsian Kerjasama Pertahanan Utama (MDCP) untuk mewujudkan kerjasama pertahanan baru kedua-dua negara bagi memperkukuh hubungan pertahanan dua hala.

Perjanjian itu adalah selaras dengan komitmen bersama dalam mengekalkan keamanan dan kestabilan di rantau Indo-Pasifik.

Perjanjian dimeterai di Washington DC selepas delegasi Kementerian Pertahanan Indonesia yang diketuai menteri pertahanannya, Sjafrie Sjamsoeddin, mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth, di Pentagon.

Namun apa yang kita saksikan melalui MDCP itu bukanlah sekadar perjanjian pertahanan biasa. Ia adalah pembinaan koridor logistik ketenteraan yang boleh diibaratkan sebagai lompatan pulau (island hopping) versi baru.

Dalam Perang Dunia Kedua, AS menggunakan strategi itu untuk 'melompat' dari satu pulau ke pulau yang lain di Pasifik bagi mengelak kubu kuat Jepun sebelum akhirnya sampai di negara musuh mereka.

Kini strategi itu diadaptasi semula, cuma bukan dengan mendaratkan tentera, sebaliknya dengan menguasai ruang udara di atas pulau-pulau strategik.

Lompatannya bukan dari pulau ke pulau sebaliknya dari pangkalan udara ke pangkalan udara lain: Diego Garcia di Lautan Hindi kemudian Sumatera, Jawa, Bali, Lombok, lalu terus ke Australia utara dan akhirnya ke Laut China Selatan.

Dalam versi baru ini, Indonesia adalah batu loncatan yang paling kritikal. Tanpa akses penuh ke ruang udara Nusantara, rantai lompatan itu terputus.

Realiti lebih keras

Pesawat pengebom dan pengintip AS dari Diego Garcia tidak dapat sampai ke Australia dengan pantas dan pesawat dari Australia pula tidak dapat memasuki Laut China Selatan tanpa membuang masa berjam-jam memutari Timor atau Papua.

MDCP yang ditandatangani baru-baru ini - jika disertai dengan blanket overflight yang dibocorkan - akan mengubah Indonesia daripada sekadar rakan kerjasama kepada landasan pacu bergerak bagi projek membina kekuatan AS di Asia Tenggara.

Secara semiotik, bendera AS yang berkibar di pangkalan Indonesia bukan lagi simbol latihan bersama sebaliknya menjadi penegasan bahawa ruang udara negara berdaulat telah bertukar menjadi koridor transit untuk kepentingan kuasa besar.

Dari perspektif geonaratif, AS sedang menulis semula peta strategik rantau ini dengan satu naratif baru: Asia Tenggara ialah pintu belakang kepada kuasa China, dan Indonesia adalah kunci kepada pintu itu."

Naratif itu disebarkan melalui dokumen bocor, kenyataan pegawai kanan dan perjanjian seperti MDCP.

Ia bertujuan untuk meyakinkan dunia - terutamanya Asean - bahawa kehadiran AS di ruang udara Indonesia adalah demi "kestabilan" dan "keamanan".

Namun di sebalik naratif itu, tersembunyi realiti yang lebih keras: siapa yang menguasai ruang udara, dialah yang menguasai pergerakan tentera, logistik dan akhirnya hasil peperangan.

Di sinilah Malaysia memegang peranan yang tidak kurang pentingnya.

Jika Indonesia adalah batu loncatan timur maka Malaysia adalah pemegang kunci titik sendat (choke point) paling strategik di dunia iaitu Selat Melaka.

Selat Melaka merupakan urat nadi perdagangan global. Lebih banyak minyak mentah dan dagangan kontena melalui laluan tersebut berbanding Selat Hormuz.

Namun dalam strategi pelompatan pulau versi baru AS, Selat Melaka belum lagi dijejaki.

Sekeping teka-teki politik

Kapal perang dan pesawat AS sudah pun kerap hadir di perairan Singapura dan Selat Lombok tetapi kawalan penuh ke atas laluan barat Asia Tenggara masih memerlukan sama ada akses ruang udara di Indonesia atau di Singapura.

Jika Jakarta akhirnya memberikan akses penuh kepada AS maka tekanan diplomatik terhadap Malaysia akan meningkat secara mendadak.

Secara semiotik, Malaysia akan dilihat sebagai "gelanggang terakhir" yang belum ditakluki dan dalam geonaratif kuasa besar. Tiada ruang untuk berkecuali apabila dua gergasi sedang bersemuka.

Ia adalah tekanan kepada kedaulatan negara dan dasar luar Malaysia yang tidak berpihak serta cabaran kepada dasar Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (Zopfan).

Kesimpulannya tanpa akses ke ruang udara Indonesia, koridor logistik ketenteraan AS dari Diego Garcia ke Australia dan seterusnya ke Laut China Selatan tidak akan lengkap.

Indonesia adalah batu loncatan dan penghubung lebuh raya udara yang menyambungkan dua lautan ini.

Tetapi jangan lupa: batu loncatan yang paling barat mengawal pintu masuk dari Lautan Hindi ke Pasifik melalui Selat Melaka ialah Malaysia.

Dalam permainan lompatan pulau versi baru ini, setiap pulau, setiap ruang udara, setiap selat adalah sekeping teka-teki. Apabila Indonesia sudah berada di dalam peta AS, maka pandangan dunia akan beralih ke utara sedikit ke langit Semenanjung Malaysia.

Persoalannya: sudahkah kita sedar bahawa kedaulatan bukan hanya soal darat dan laut tetapi juga soal siapa yang dibenarkan terbang di atas kepala kita tanpa izin?

Hal itu kerana dalam geonaratif kuasa besar, langit yang tidak dijaga adalah langit yang dianugerahkan.

ISMAIL HASHIM YAHAYA ialah seorang pemerhati geopolitik dan hubungan antarabangsa.

Pesakit dialisis mengaku amang seksual remaja di hospital

FMT Reporters

PETALING JAYA: Pesakit dialisis berusia 60 tahun mengaku salah di Mahkamah Sesyen Seremban kerana melakukan amang seksual ke atas seorang pesakit remaja di sebuah hospital di Kuala Pilah, Januari lalu.

Tertuduh, Zulkefli Abdul Rani, membuat pengakuan demikian di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam.

Mengikut pertuduhan, warga emas itu melakukan amang seksual fizikal bagi maksud seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 16 tahun semasa kejadian dengan cara menyentuh payudara, lapor Sinar Harian.

Kesalahan berkenaan dilakukan pada 30 Jan lalu, sekitar 4 petang, di sebuah hospital di Kuala Pilah.

Berikutan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017. Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan dengan sebatan.

Timbalan Pendakwa, Raya Nurul Balkis Zunaidi memohon mahkamah memberikan tarikh bagi fakta dan hukuman, selain menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin bercagar.

Tertuduh tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan kerana sudah tidak bekerja, berkerusi roda, selain perlu menjalani dialisis.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM5,500 dengan syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di balai polis setiap bulan dan dilarang mengganggu saksi secara sendiri atau melalui pihak ketiga.

Penuntut universiti swasta didakwa merogol dan cuba bunuh juruterbang

KOSMO!
Tertuduh diiringi anggota polis ketika dibawa keluar dari lokap Mahkamah Sesyen Sepang hari ini.
SEPANG- Seorang penuntut sebuah universiti swasta di Cyberjaya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan masing-masing kerana cubaan membunuh, merogol dan melakukan perbuatan luar tabie terhadap seorang juruterbang dalam kejadian pada 9 April lalu.

Tertuduh, Mohammad Adam Che Aziz, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas ketiga-ketiga pertuduhan yang dibacakan dihadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didapati telah melakukan cubaan membunuh terhadap mangsa di sebuah apartment di alamat A-15-11, Tower A, Horizon Suites, Jalan HVO, Bandar Sunsuria, Sepang kira-kira pukul 11 pagi pada 9 April lalu.

Mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dipenjara selama tempoh boleh sampai 10 tahun dan denda, manakala jika menyebabkan kecederaan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didapati merogol mangsa di lokasi dan tarikh sama dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Bagi pertuduhan terakhir, tertuduh didapati telah melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa sama di tarikh dan lokasi yang sama.

Tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun serta sebatan.

Sejurus selesai pertuduhan dibacakan, Ahmad Fuad kemudian menetapkan 19 Mei depan bagi sebutan semula kes selain penyerahan penuh laporan perubatan dan kimia.

Perdakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamed Wafi Husain, manakala tertuduh pula tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Mohamed Wafi meminta mahkamah supaya tertuduh tidak diberikan jaminan.

Media sebelum ini melaporkan, seorang wanita dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) selepas cedera parah akibat diserang seorang lelaki tidak dikenali.

Dalam kejadian itu, mangsa berusia 34 tahun diserang dengan senjata tajam di sebuah unit penginapan jangka pendek di sebuah apartment di sini. – KOSMO! ONLINE

MP PKR gesa S'gor jawab Isu tanah rizab dilelong RM13.80 sekaki

Haspaizi Zain

Kerajaan negeri Selangor digesa mengesahkan dakwaan bahawa tanah rizab Hutan Ayer Hitam seluas 169 ekar yang diperoleh kumpulan Jakel dijual pada harga murah.

Ahli Parlimen Subang, Wong Chen berkata, semakan melalui Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic) yang berada di bawah Kementerian Kewangan menunjukkan tanah tersebut dijual pada harga RM13.80 bagi satu kaki persegi.

"Saya ingin kerajaan negeri Selangor mengesahkan perkara ini, adakah benar tanah tersebut dijual pada harga RM13.80 bagi setiap kaki persegi?

“Sekiranya benar, kami telah mencadangkan dalam sidang media bertarikh 20 Januari 2026 agar kerajaan negeri Selangor membeli semula tanah tersebut daripada pemaju berserta faedah, hanya kerana harga RM13.80 bagi setiap kaki persegi adalah sangat murah.

"Sekiranya kerajaan negeri Selangor tidak mempunyai kemampuan untuk membeli semula keseluruhan tanah tersebut yang dianggarkan menelan kos sekitar RM193 juta berdasarkan anggaran kami, maka kerajaan negeri perlu mempertimbangkan untuk membeli semula sebahagian daripada tanah tersebut, khususnya kawasan yang mempunyai cerun sangat curam,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di Puchong hari ini.

Wong berkata tindakan kerajaan negeri mendiamkan diri berhubung isu itu hanya akan menambahkan lagi kemarahan rakyat teruama pegundi di kawasannya.

Sidang media itu turut disertai Adun Rawang, Chua Wei Kiat; Pengerusi bantahan bekas hutan simpan kekal, Awies Ung; serta wakil penduduk Bandar Puteri, Kathryn Wong.

Menurut Wong, Chua membangkitkan perkara itu pada persidangan DUN pada 20 April lalu atas permintaannya.

Pada 6 Jan lalu, Wong menghantar surat kepada Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, bagi mendapatkan kronologi serta butiran berkaitan pemindahan pemilikan tanah seluas 68.4 hektar berhampiran Hutan Simpan Ayer Hitam di Kinrara, Puchong yang didakwa dirancang untuk pembangunan.

Susulan surat pertama bertarikh 15 Dis tahun lalu, dia menggesa Amirudin memberi maklum balas dalam tempoh 14 hari.

Pada 17 Dis lalu, Exco Kesihatan Awam, Alam Sekitar, Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Selangor, Jamaliah Jamaluddin, berkata semakan dengan Jabatan Perhutanan Negeri mendapati kawasan itu tidak lagi berstatus hutan simpan kekal sejak 99 tahun lalu.

Katanya, kawasan tersebut asalnya sebahagian daripada Hutan Simpan Ayer Hitam yang diwartakan pada 1906 sebelum dinyahwartakan pada 1926.

Sebahagian besar tanah itu terletak dalam Parlimen Subang.

Justeru Wong menuntut agar harga urus niaga didedahkan, susulan kebimbangan terhadap “kemungkinan kos pengambilan balik yang akhirnya akan ditanggung oleh pembayar cukai".

Sementara itu, Wong berkata pihaknya menerima 7,541 aduan daripada pengundi yang membantah pembangunan di kawasan berkenaan.

"Kami kecewa kerana kerajaan negeri Selangor masih belum memberikan sebarang maklum balas secara rasmi terhadap surat-surat kami yang telah dihantar.

"Terdapat seramai 7,541 pengundi saya yang marah dan menuntut jawatan serta penyelesaian," katanya lagi.

Persembahan teater di UM menjadi tular ada adegan ranjang

KPT dapatkan maklumat dari UM mengenai adegan ranjang
Bernama

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan mendapatkan maklumat lanjut daripada Universiti Malaya (UM) berhubung isu adegan kurang sopan dalam sebuah persembahan teater yang tular di media sosial, kata Menterinya Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

“Tadi saya tengok ada dalam media sosial (laporan mengenai isu itu). Saya akan dapatkan maklumat terlebih dahulu daripada pihak UM,” katanya ringkas kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Naik Taraf Perpustakaan Digital University of Cyberjaya (UoC) di Cyberjaya hari ini.

Satu persembahan teater didakwa berlaku di UM menjadi tular apabila ia memaparkan adegan kurang sopan dan mengundang pelbagai reaksi daripada masyarakat.

Terdahulu, UM dalam satu kenyataan memohon maaf atas kekhilafan yang berlaku dan menyatakan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pelanggaran garis panduan program atau peraturan ditetapkan.

Menurut UM, hasil penelitian mendapati adegan dipertontonkan tidak selaras dengan skrip asal yang telah melalui proses tapisan dan jelas merupakan pelanggaran terhadap syarat pertandingan ditetapkan.

Berdasarkan syarat umum dan peraturan pertandingan Karnival Teater (KARVITER) UM, setiap persembahan perlu bebas daripada unsur negatif, provokasi atau sebarang kandungan yang boleh menjejaskan nilai keagamaan, moral, etika, budaya dan nama baik universiti.

- Bernama

Stesen minyak disiasat enggan jual diesel – KPDN

NOOR HASLIZA NUSI
Penguat kuasa KPDN Pulau Pinang ketika melakukan pemeriksaan di sebuah stesen minyak di RnR Juru arah Utara, malam tadi. Foto dari Facebook KPDN Pulau Pinang
GEORGE TOWN – Sebuah stesen minyak di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Juru arah Utara di sini disiasat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang selepas dipercayai enggan menjual diesel.

Pengarah KPDN Pulau Pinang, S. Jegan berkata, tindakan itu diambil selepas lima pegawai penguat kuasa digerakkan ke lokasi pada pukul 8 malam tadi susulan video tular memaparkan seorang pemandu lori naik darah kerana tidak dapat mengisi bahan api tersebut.

Menurutnya, pemeriksaan dan semakan terhadap dokumen serta rekod berkaitan mendapati stok diesel di stesen tersebut masih ada.

“Walau bagaimanapun, semakan lanjut mendapati pembekalan stok diesel B10 daripada depoh ke stesen ini berkurangan 50 peratus sejak Isnin (13 April).

“Atas sebab itu, pihak pengurusan stesen lebih mengutamakan penjualan kepada pelanggan tetap sahaja, manakala selainl pelanggan tetap, dihadkan pembelian hanya 20 liter,” katanya di sini, malam tadi.

Beliau memberitahu, berikutan keengganan menjual bahan api tersebut, satu tindakan diambil terhadap pengurusan stesen minyak tersebut dengan siasatan di bawah Seksyen 16A(1)(b) Akta Kawalan Bekalan 1961, iaitu keengganan menjual barang kawalan.

“KPDN Pulau Pinang akan terus mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan undang-undang selain melindungi hak pengguna daripada sebarang penyelewengan di pasaran,” tambahnya.-KOSMO! ONLINE

Angka korban insiden tembakan di sekolah di selatan Turkiye meningkat kepada 9

Bernama
Forensic police officers search the site after a teenager opened fire at a school and wounded at least 16 people, including students and teachers, before killing himself in Siverek, Sanliurfa province, Turkey, April 14, 2026. REUTERS/Sukru Dolas
Angka korban dalam insiden tembakan di sebuah sekolah di bandar Kahramanmaras, selatan Turkiye pada Rabu meningkat kepada sembilan orang, termasuk lapan pelajar. - Foto REUTERS
ANKARA: Angka korban dalam insiden tembakan di sebuah sekolah di bandar Kahramanmaras, selatan Turkiye pada Rabu meningkat kepada sembilan orang, termasuk lapan pelajar, lapor Xinhua memetik beberapa laporan media yang memetik kenyataan Menteri Dalam Negeri Mustafa Ciftci.

Terdahulu pada hari yang sama, Gabenor Wilayah Kahramanmaras Mukerrem Unluer berkata sekurang-kurangnya empat orang maut dan 20 lagi cedera dalam kejadian itu, yang berlaku sekitar 1.30 tengah hari waktu tempatan (1030 GMT) di Sekolah Menengah Ayser Calik dalam daerah Onikisubat, di mana penyerang memasuki dua bilik darjah untuk melakukan serangan berkenaan.

Penyerang, seorang pelajar gred lapan, membunuh diri dengan menembak dirinya sendiri ketika keadaan huru-hara, menurut laporan terbaharu oleh saluran penyiaran tempatan NTV.

Unluer memberitahu pemberita di lokasi kejadian bahawa penyerang, yang menyasarkan pelajar gred lima, melakukan serangan itu dengan menggunakan lima pucuk pistol dan tujuh kelopak peluru.

Senjata yang digunakan olehnya dipercayai milik bapanya Ugur Mersinli, seorang bekas pegawai polis, yang telah ditahan, menurut beberapa laporan media.

Menteri Kehakiman Turkiye Akin Gurlek mengumumkan siasatan terhadap insiden itu.

Sementara itu, Ciftci dan Menteri Pendidikan Kebangsaan Yusuf Tekin dilaporkan telah berlepas ke Kahramanmaras.

Satu perintah larangan penerbitan telah dikeluarkan yang menuntut organisasi media untuk "menghormati kerahsiaan siasatan", kata Gurlek.

Insiden itu berlaku hanya sehari selepas satu kejadian tembakan di sebuah sekolah di daerah Siverek di wilayah Sanliurfa, tenggara Turkiye, apabila seorang penyerang yang bersenjatakan senapang patah, memasuki premis sekolah dan mencederakan sekurang-kurangnya 16 orang, kebanyakannya pelajar, sebelum membunuh diri. Penyerang tersebut merupakan bekas pelajar di sekolah berkenaan.

-- BERNAMA-XINHUA

10 pasangan kekasih ditahan di hotel bajet

KOSMO
Sejumlah tetamu ditahan di sebuah hotel bajet di Bogor baru-baru ini. - Polis Dramaga
JAKARTA – Seramai 10 pasangan bukan mahram ditangkap beramai-ramai di sebuah hotel bajet di Bogor, wilayah Jawa Barat dalam satu operasi yang dilakukan oleh pihak berkuasa, lapor portal berita Lambe Turah. 

Tangkapan itu dibuat sekitar pukul 12 tengah malam (waktu tempatan) di daerah Dramaga baru-baru ini. 

Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @tribunbogor menunjukkan sekumpulan pegawai polis menyerbu beberapa bilik di hotel bajet tersebut. 

Semua suspek yang berusia lingkungan 20 tahun itu serta-merta ditahan untuk siasatan lanjut. Mereka kemudian diserahkan kepada keluarga masing-masing. 

Polis berkata, mereka turut menemukan minuman beralkohol yang dibawa oleh salah satu pasangan kekasih. 

Serbuan itu dilakukan sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengawal gejala sosial dan menjaga ketenteraman di Bogor. – AGENSI 

Dua lelaki ditahan, polis rampas dadah RM271,400

BERNAMA

Georgetown: Polis menahan dua lelaki tempatan dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM271,400 dalam serbuan di sebuah rumah di sini pada Isnin lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut Superintendan Lee Swee Sake berkata serbuan pada 7.30 malam itu dijalankan sepasukan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut hasil maklumat dan risikan.

"Hasil pemeriksaan di kediaman itu menemukan sebuah kotak berwarna coklat yang di dalamnya terdapat 99 peket plastik mengandungi serbuk disyaki methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat kira-kira 1.77 kilogram.

"Turut ditemukan satu peket plastik disyaki ketamin, empat peket daun kering disyaki ganja serta satu batang rokok berisi tembakau dan campuran daun kering disyaki ganja dengan nilai keseluruhan RM271,400," katanya dalam kenyataan hari ini.

Lee berkata sebuah kereta Perodua Alza bernilai kira-kira RM35,000 turut disita, dengan nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta dianggarkan RM306,400.

Beliau berkata hasil risikan mendapati suspek aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah itu sejak Februari lepas bagi memenuhi pasaran tempatan dan keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan oleh 974 penagih.

"Kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine serta tetrahydrocannabinol, dan semakan mendapati suspek pertama mempunyai lapan rekod lampau berkaitan dadah manakala seorang lagi mempunyai dua rekod lampau kesalahan sama," katanya.

Lee berkata kedua-dua suspek berusia 39 dan 66 tahun itu direman selama tujuh hari sehingga 20 April ini untuk siasatan lanjut, dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Polis tumpas sindiket seludup imigran Indonesia, serbu premis lombong bitcoin haram

Bernama

Polis menumpaskan sindiket penyeludupan pendatang tanpa izin warga Indonesia melibatkan 40 individu dalam serbuan di sekitar Jalan Besar Segari ke Batu Hilal dekat Segari pada 4 April lepas.

IPOH: Polis menumpaskan sindiket penyeludupan pendatang tanpa izin warga Indonesia melibatkan 40 individu dalam serbuan di sekitar Jalan Besar Segari ke Batu Hilal dekat Segari pada 4 April lepas.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Hasbullah Abd Rahman berkata operasi itu dijalankan hasil risikan dan maklumat awam berhubung pergerakan mencurigakan di kawasan berkenaan.

“Dalam serbuan itu, sebanyak 40 warga Indonesia berjaya ditahan selain seorang wanita tempatan yang dipercayai berperanan sebagai ‘pengangkut’ untuk membawa masuk dan memindahkan pendatang ke lokasi tertentu.

“Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 26A dan Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hasbullah berkata pihak polis kemudiannya mempergiat operasi susulan bagi mengekang kemasukan imigran melalui laluan tidak sah, khususnya di kawasan pesisir pantai.

Beliau berkata dalam operasi susulan dengan kerjasama Polis Marin Kampung Acheh pada 2.30 pagi semalam, sebanyak 10 lagi warga Indonesia ditahan di kawasan pesisir pantai Kampung Sungai Lombong dekat Lekir kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

“Pada hari sama, tujuh lagi individu warga Indonesia turut ditahan di lokasi berasingan, sekali gus menjadikan keseluruhan tangkapan dalam operasi susulan ini sebanyak 17 orang,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Hasbullah berkata polis dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut menumpaskan kegiatan perlombongan bitcoin haram dalam satu serbuan semalam.

"Empat premis diserbu selepas disyaki membuat penyambungan elektrik secara tidak sah bagi menjalankan operasi mesin perlombongan bitcoin.

“Hasil serbuan, empat individu ditahan dan 46 unit mesin perlombongan bitcoin dirampas. Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan serta Seksyen 37(1) Akta Bekalan Elektrik 1990,” katanya.

Hasbullah berkata jika sabit kesalahan, pihak terlibat boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata sepanjang 2026, sebanyak 38 serbuan berkaitan kegiatan perlombongan bitcoin haram telah dijalankan dengan kerjasama TNB, melibatkan rampasan 487 unit mesin serta penahanan sembilan individu.

-- BERNAMA 

Mangsa diserang lelaki guna parang cedera parah, tangan hampir putus

SITI NOR MAS ERAH AMRAN
Tangkap layar kejadian suspek mencederakan dua lelaki di Telok Air Tawar, Butterworth, baru-baru ini.
SEBERANG PERAI – Seorang lelaki mengalami kecederaan parah pada badan termasuk pergelangan tangan kirinya hampir putus selepas diserang menggunakan parang dalam satu kejadian di Jalan Besar, Telok Ayer Tawar di Butterworth di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Azizee Ismail berkata, mangsa yang diserang dan dipukul seorang suspek lelaki tempatan berusia 40-an itu masih menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di sebuah bengkel kenderaan dan terdapat rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang merakam insiden tersebut.

“Mangsa mengalami kecederaan serius iaitu luka di bahagian belakang badan, lima jahitan di kepala, putus jari telunjuk tangan kanan, jari tengah kanan serta pergelangan tangan kiri hampir putus,” katanya di sini, sebentar tadi.

Beliau memberitahu lagi, suspek yang dipercayai mengenali mangsa terbabit berjaya diberkas di sekitar Butterworth semalam.

“Hasil saringan air kencing terhadap suspek mendapati dia positif dadah jenis Methamphetamine selain mempunyai rekod dua rekod jenayah dan 11 rekod berkaitan dadah,” ujarnya.

Tambahnya, suspek kini ditahan reman selama tujuh hari, mulai hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.-KOSMO! ONLINE.

80 warga asing menyamar polis China didakwa di Tawau

Bernama

TAWAU: Seramai 78 warga China serta masing-masing warga Laos dan Myanmar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan berkaitan kegiatan penipuan dalam talian.

Semua 80 tertuduh termasuk empat wanita yang berumur antara 17 hingga 46 tahun itu membuat pengakuan berkenaan di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka dalam bahasa Mandarin.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama melakukan pakatan jenayah dengan menyamar sebagai polis dari China untuk melakukan perbuatan menyalahi undang-undang, iaitu memperdaya mangsa dalam penipuan insuran melalui panggilan telefon serta video.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis pada 9.25 pagi, 7 April, mengikut Seksyen 120B Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan 57 tertuduh diikat jamin RM3,500 setiap seorang dengan dua penjamin tempatan, manakala 23 lagi tertuduh tidak ditawarkan jaminan memandangkan mereka berdepan dengan kesalahan imigresen.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 25 Mei ini untuk serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shearil Aizad Murnizam, manakala tujuh tertuduh diwakili peguam Vivian Thien serta dua lagi diwakili peguam Jhesseny P Kang dan selebihnya tidak diwakili peguam.

Disyaki terlibat amang seksual seorang penjawat awam ditahan

Azizi Majid

JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang penjawat awam lelaki berusia 28 tahun kerana disyaki terbabit dalam kes amang seksual terhadap seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun di sekitar bandar raya ini, awal tahun ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, suspek ditahan di pekarangan Balai Polis Pelangi Indah semalam selepas mangsa membuat laporan polis pada hari sama.

“Kejadian dipercayai berlaku pada 25 Januari lalu di dalam sebuah kenderaan yang diletakkan di hadapan kediaman mangsa di Johor Bahru.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Raub berkata, suspek ditahan reman sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan.

Katanya, siasatan masih dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.

Rafizi mahu tunjuk 'demo sebenar' pada 25 April Malaysiakini

Malaysiakini 

Anggota Parlimen Pandan Rafizi Ramli menyelar kumpulan yang berdemonstrasi secara "penakut" dan mengajak rakyat untuk menunjukkan keberanian sebenar mereka dalam protes "Tangkap Azam Baki" pada Sabtu, 25 April ini.

Katanya, protes di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur itu bertujuan menuntut perletakan jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berhubung skandal pegangan sahamnya yang didakwa melebihi had ditetapkan ke atas penjawat awam dan tuduhan bersekongkol dengan mafia korporat.

“Saya akan turun bersama-sama anak muda dan rakyat Malaysia yang mahu Malaysia bebas dari rasuah.

“Bila kita rasa orang dan badan yang diberi amanah membanteras rasuah telah menjadi senjata untuk mengejar sesiapa yang tidak sekepala dengan yang berkuasa, SPRM perlu dibaiki,” katanya dalam satu hantaran di media sosial, hari ini.

Bekas menteri ekonomi itu berkata perubahan sepatutnya bermula dengan menggantikan Azam.

'Takut tunjuk muka'

Rafizi turut membidas pihak tertentu yang menyertai demonstrasi sebelum ini tetapi bertindak menyembunyikan identiti mereka di sebalik penutup muka.

Dia menyifatkan tindakan itu sebagai tidak bermaruah dan membandingkannya dengan keberanian anak muda yang memegang idealisme.

"Takut nak tunjuk muka. Malu-malu. Bila ditanya kenapa pakai penutup muka, jawabnya 'sebab habuk'. Orangnya pula semua yang dah lanjut usia dengan rekod katak politik yang pernah masuk semua parti.

"Jom kita sama-sama tunjukkan cara demo yang sebenar di Dataran Merdeka, 25 April ini. Jumpa hari Sabtu minggu depan," kata bekas menteri ekonomi dan tbekas timbalan presiden PKR itu.

Azam, yang tempoh perkhidmatannya dilanjutkan sebanyak tiga kali oleh Anwar, berhadapan penelitian awam selepas Bloomberg dan Malaysiakini melaporkan bahawa dia memiliki saham penting dalam dua syarikat, melebihi had perkhidmatan awam.

Sebagai maklum balas, kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas yang diketuai Peguam Negara Dusuki Mokhtar untuk meneliti pematuhan dan keteraturan 17.7 juta saham yang dibeli Azam dengan harga sekitar RM1.5 juta. Kabinet kemudiannya menerima dan membincangkan penemuan jawatankuasa itu pada 11 Mac, tetapi tidak mendedahkannya.

Pihak berkuasa termasuk polis, Lembaga Hasil Dalam Negeri, SPRM, dan Suruhanjaya Sekuriti juga diarahkan untuk menyiasat dakwaan “mafia korporat” tersebut.

SPRM mengeluarkan penafian tegas, menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak berasas dan mendakwa ia adalah sebahagian daripada kempen memburuk-burukkan yang bertujuan menjejaskan reputasi agensi berkenaan.

Lelaki OKU maut dipukul, ditinggal tepi jalan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) lembam meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri dipercayai akibat dipukul sebelum ditinggalkan di tepi jalan di Bachok, Kelantan.

Mangsa Muhammad Zakir Fikry Mohd Zainal, 20, meninggal dunia ketika dirawat di Zon Merah Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) Kubang Kerian, tengah malam tadi.

Menurut Harian Metro, mangsa yang mengalami kecederaan parah ditemui tidak sedarkan diri di tepi jalan oleh penduduk kampung pada pagi semalam sebelum dibawa ke hospital.

Sementara itu, Ketua Polis Bachok Mohamad Ismail Jamaluddin mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu untuk proses bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Trump kecam PM Itali enggan sertai serangan ke atas Iran

Astro AWANI
61769209734_tbGiorgiaMeloniP.jpg
Trump (kanan) menyuarakan rasa terkejut terhadap pendirian Meloni (kiri), yang menurutnya sebelum ini dianggap sebagai seorang pemimpin sayap kanan yang tegas dalam isu keselamatan dan dasar luar. -Gambar fail
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengkritik sekutu rapatnya, Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni, dengan mendakwa pemimpin itu tidak mempunyai keberanian kerana enggan menyertai Amerika Syarikat dalam serangan terhadap Iran.

Dalam satu temu bual bersama akhbar Itali Corriere della Sera, Trump menyuarakan rasa terkejut terhadap pendirian Meloni, yang menurutnya sebelum ini dianggap sebagai seorang pemimpin sayap kanan yang tegas dalam isu keselamatan dan dasar luar.

Kenyataan Trump itu dibuat susulan keputusan kerajaan pimpinan Meloni menggantung pembaharuan automatik perjanjian kerjasama pertahanan dengan Israel, berikutan ketegangan yang memuncak di Asia Barat.

“Giorgia Meloni tidak mahu membantu kami dalam peperangan ini. Saya terkejut. Adakah rakyat menyukai hakikat bahawa presiden anda tidak melakukan apa-apa untuk mendapatkan minyak di Iran?” kata Trump seperti dipetik akhbar berkenaan.

Terdahulu, Meloni dalam satu kenyataan jarang berlaku turut mengkritik serangan lisan Trump terhadap Paus Leo, dengan menyifatkan kenyataan Presiden AS itu sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima.

Membalas kritikan tersebut, Trump menuduh Meloni sebagai pihak yang tidak mengambil serius ancaman senjata nuklear Iran, yang menurutnya mampu mengancam keselamatan Itali dalam masa singkat.

Pemerhati politik antarabangsa melihat pertelingkahan terbuka itu sebagai petanda keretakan hubungan diplomatik antara kedua-dua pemimpin, yang sebelum ini sering digambarkan mempunyai haluan ideologi selari, khususnya dalam isu keselamatan dan dasar luar.