Himpunan bantah Azam Baki bertukar kecoh, letupan bunga api cetus panik

Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

KUALA LUMPUR: Himpunan bantah Azam Baki yang berlangsung di ibu negara hari ini, bertukar kecoh apabila berlaku letupan bunga api ketika peserta berarak menuju ke Dataran Merdeka.

Kejadian itu mencetuskan suasana panik dalam kalangan peserta apabila dentuman kuat kedengaran secara tiba-tiba hingga menyebabkan sebahagian orang ramai bertempiaran lari untuk menyelamatkan diri.

Percikan bunga api itu turut mengenai wartawan Buletin TV3 yang membuat liputan di lokasi.

Insiden berlaku ketika kumpulan peserta sedang bergerak dari kawasan sekitar pusat beli-belah di ibu negara, menuju ke lokasi perhimpunan utama.

Pihak polis yang berkawal di lokasi turut kelihatan mengambil tindakan pantas memperketat kawalan keselamatan.

Azizulhasni gegar Nilai, juara dunia tumbang

Bernama

NILAI: Jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang, mencipta sensasi selepas menjuarai acara keirin lelaki pada Kejohanan Piala Dunia Berbasikal Trek 2026 di Velodrom Nasional, Negeri Sembilan malam tadi.

Azizulhasni yang diberi julukan ‘The Pocket Rocketman’ mempamerkan kayuhan bertenaga, sekali gus muncul pelumba pertama melintasi garisan penamat dan menggegarkan velodrom dengan sorakan gemuruh.

Persembahan cemerlang pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu menyaksikan beliau menewaskan juara dunia, Harrie Lavreysen dari Belanda, yang berada di tempat kedua. Wakil Trinidad & Tobago, Nicholas Paul, terpaksa berpuas hati di tempat ketiga.

Kejayaan itu merupakan kemenangan kedua Azizulhasni dalam siri Piala Dunia musim ini, selepas menjuarai acara sama di Perth, Australia pada Mac.

Dalam perkembangan sama, Emma Finucane dari Great Britain muncul juara pecut individu wanita selepas menewaskan Hetty van de Wouw dari Belanda dalam perlumbaan penentuan pingat emas.

Wakil China, Yuan Liying, membawa pulang gangsa apabila mengatasi Lauriane Genest dari Kanada dalam perlumbaan penentuan pingat gangsa.

Rafizi umum hala tuju politik Jun

Ainun Jariah, Mohamad Fadli dan Faiz Zainudin

KUALA LUMPUR: Bekas timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli, akan mengumumkan hala tuju politiknya pada Jun.
Rafizi berkata beliau perlu berbincang dengan rakan-rakannya terlebih dahulu.

“Saya sudah berjanji dengan kawan-kawan supaya saya ambil masa sehingga Jun untuk saya tanya dan bincang dengan kawan-kawan,” katanya kepada pemberita, sesuai himpunan berkaitan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Azam Baki, petang tadi.

Rafizi ditanya pemberita sama ada beliau akan menubuhkan parti baharu. “Keputusan untuk buat parti perlu diteliti,” katanya.

Sebelum ini, Rafizi menerima surat tunjuk daripada PKR sebab berhubung dakwaan bahawa beliau mengisytiharkan hasrat untuk meninggalkan parti.

Ia susulan temu bual dengan Sin Chew Daily, di mana beliau dipetik berkata bahawa beliau mungkin tidak akan bertanding sebagai calon PKR, namun tetap akan bertanding di Parlimen Pandan, tanpa menjelaskan secara terperinci kaedah penyertaannya.

Menjawab perkara itu, Rafizi berkata beliau bebas merancang langkah politiknya sendiri selepas Parlimen dibubarkan.

Pada masa itu, kepimpinan PKR hanya mengingatkan beliau supaya mematuhi perlembagaan dan kod etika parti.

Kedah: Suami bawa lari barang kemas, duit selepas belasah isteri sampai gugur

KOSMO!

SUNGAI PETANI – Seorang wanita mengalami keguguran selain cedera teruk akibat dipukul suaminya di rumah mereka di Ambangan Heights di sini, Khamis lalu.

Mangsa berusia 39 tahun yang juga merupakan seorang kakitangan sebuah hospital di sini kini dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

Abang mangsa berusia 45 tahun kemudiannya membuat laporan polis berkaitan kejadian itu pagi Jumaat selepas wanita terbabit menerima ugutan dari suaminya.

“Saya dan ibu mengetahui kejadian itu melalui panggilan telefon oleh rakan adik sebelum bergegas ke hospital dan terkejut apabila melihat keadaannya. Semasa melawatnya kami difahamkan dia dipukul dengan penyangkut baju, getah paip, batang besi langsir dan batang penyapu hingga patah selepas mereka bertengkar berkaitan hal rumah tangga,” katanya.

Menurut lelaki itu, adiknya berkahwin dengan suaminya berusia 43 tahun pada Disember tahun lalu tetapi belum mendaftar perkahwinan mereka di sini.

“Selama mereka berkahwin adik memaklumkan dia sering dipukul suaminya tetapi masih merahsiakannya daripada pengetahuan kami sekeluarga. Kejadian terbaharu mengakibatkan kandungan adik yang berusia 12 minggu gugur menyebabkan kami terpaksa masuk campur hal rumah tangga mereka dan tidak lagi berdiam diri,” ujarnya.

Kata Firdaus lagi, dia turut difahamkan suami adiknya itu turut melarikan barang kemas dan wang simpanan berjumlah RM50,000 selepas kejadian itu.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanya Ramlan yang dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian siasatan dilakukan di bawah Seksyen 323/18A Akta Keganasan Rumah Tangga 2017. – KOSMO! ONLINE

Lelaki maut, lima anggota keluarga cedera, SUV jatuh gaung di Jalan Tapah - Cameron Highlands

Abd Razak Mohd Ali
Seorang lelaki maut, lima anggota keluarga cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah SUV yang terjatuh ke dalam gaung di Batu 21, Jalan Tapah - Cameron Highlands, malam tadi. Foto JBPM Perak
Seorang lelaki maut manakala lima anggota keluarga cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah SUV yang terjatuh ke dalam gaung di Batu 21, Jalan Tapah - Cameron Highlands, malam tadi. - Foto JBPM Perak
IPOH: Seorang lelaki maut manakala lima anggota keluarganya cedera selepas sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Perodua Aruz terbabas lalu terjatuh ke dalam gaung sedalam tiga meter di Batu 21, Jalan Tapah - Cameron Highlands, malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad memaklumkan, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada jam 8.43 malam.

Menurutnya, setibanya jentera di tempat kejadian, didapati kenderaan tersebut telah terjatuh ke dalam sungai yang cetek dan berada dalam keadaan terbalik.

Katanya, terdapat enam orang mangsa yang menaiki kenderaan tersebut, lima orang mengalami kecederaan manakala pemandu yang berumur 44 tahun disahkan meninggal dunia.

Menurutnya, mangsa yang cedera ialah seorang wanita berumur 48 tahun, dua remaja perempuan berusia 19 dan 17 tahun serta masing-masing seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia 9 dan 6 tahun.

Beliau berkata, ketua operasi dimaklumkan bahawa kesemua mangsa sedang dalam perjalanan ke Cameron Highlands dari Kuala Lumpur bagi menziarahi ahli keluarga yang meninggal dunia.

Ketua operasi juga dimaklumkan bahawa kelima-lima mangsa yang cedera telah dikeluarkan oleh orang awam dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menerima rawatan manakala pemandu dilaporkan tersepit.

Menurut Sabarodzi, ketua operasi melaksanakan size-up seterusnya mengaplikasikan konsep SAVER dengan mengarahkan anggota untuk menganjakkan tempat duduk mangsa dan menggunakan stretcher untuk mengeluarkan mangsa.

Menurutnya, mangsa dikatakan tidak sedarkan diri, dibawa naik ke atas dan diperiksa oleh pegawai perubatan KKM yang hadir.

Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan KKM.

Mangsa yang cedera dihantar ke hospital dengan menggunakan ambulans KKM manakala mayat mangsa diserahkan pada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Operasi yang melibatkan 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah dan Ringlet tamat jam 11.02 malam.

Video kemalangan yang berlaku itu turut tular di media sosial.

Kubur dilanda tanah runtuh, 2 jenazah ‘tergantung’ di tebing

KOSMO
Pasukan kecemasan berusaha menyelamatkan dua jenazah yang ‘tergantung’ di tebing kawasan tanah perkuburan. - Istimewa
JAKARTA – Satu klip video tular di Cianjur, wilayah Jawa Barat memaparkan penduduk tempatan berusaha menyelamatkan dua jenazah yang ‘tergantung’ di tebing selepas kawasan perkampungan itu dilanda tanah runtuh, lapor portal berita Cianjur Times. 

Tanah runtuh berlaku sekitar pukul 11.30 malam (waktu tempatan) di Desa Batulawang, baru-baru ini. 

Hujan lebat sejak petang mencetuskan pergerakan tanah yang ketara sekali gus menjejaskan kawasan tanah perkuburan. 

Dua jenazah itu dikenal pasti sebagai pasangan suami isteri. 

Setiausaha Badan Pengurusan Bencana Wilayah (BPBD) Cianjur, Asep Sudrajat berkata, Desa Batulawang adalah salah satu kawasan paling teruk terjejas. 

“Pasukan kecemasan telah memindahkan kedua-dua mayat itu. Dua kubur dipercayai terhakis akibat tanah runtuh dan penduduk telah dipindahkan ke tempat selamat untuk sementara waktu,” kata Asep. – AGENSI

Hakim mahkamah tinggi dilantik ketuai SPRM

Malaysiakini 
Yang di-Pertuan Agong hari ini memperkenankan pelantikan hakim mahkamah tinggi, Abdul Halim Aman, sebagai ketua pesuruhjaya baru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar berkata, pelantikan itu berkuat kuasa pada 13 Mei ini.

Menurut Shamsul Azri cadangan pelantikan pegawai tertinggi agensi antirasuah negara itu dipersembahkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, semalam.

“Selaras dengan subseksyen 5(1) Akta SPRM, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan Dato’ Sri Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM berkuat kuasa 13 Mei.

“Kerajaan berkeyakinan bahawa dengan pengalaman luas serta intrgriti yang tinggi, beliau akan mampu memperkukuh usaha pemerkasaan tadbir urus, meningkatkan keyakinan rakyat serta memperhebat agenda pembanterasan rasuah demi kepentingan negara,” katanya.

Untuk rekod, penyandang jawatan tertinggi SPRM kini ialah Azam Baki yang dilantik ke situ pada 2020. Kontraknya di agensi berkenaan akan tamat pada 12 Mei ini.

Sebelum ini kontraknya sudah disambung sebanyak tiga kali dengan setiap satu selama tempoh setahun.

Lebih 250 warga India yang mendakwa berketurunan Yahudi tiba di Israel

AFP
Tel Aviv: Lebih 250 warga India yang mendakwa berasal daripada keturunan satu suku Yahudi berdasarkan kitab Injil tiba di Lapangan Terbang Tel Aviv di sini, kelmarin, di bawah operasi kerajaan untuk memindahkan mereka ke Israel.

Pendatang baharu itu melalui gerbang belon berwarna biru dan putih, iaitu warna bendera Israel, sambil disambut puluhan orang yang mengalu-alukan ketibaan mereka dengan nyanyian tradisional Yahudi.

Mereka adalah kumpulan pertama 'Bnei Menashe' (Anak-anak Manasseh) yang tiba di Israel sejak kerajaan memutuskan pada November lalu untuk membiayai penghijrahan kira-kira 4,600 anggota masyarakat Yahudi itu dari negeri Manipur di timur laut India.

Masyarakat itu mendakwa mereka berasal daripada keturunan Manasseh, nenek moyang kepada salah satu 'suku yang hilang' Israel dalam kitab Injil, yang dibuang negeri pada tahun 720 Sebelum Masihi oleh penakluk Assyria.

Dagan Zolat, yang menetap di Israel sejak 20 tahun lalu, berada di lapangan terbang untuk bertemu seorang lelaki yang disifatkannya sebagai saudaranya.

"Kami berjiran dan antara satu-satunya orang Yahudi di kampung kami," katanya kepada AFP, sambil menambah sudah sembilan tahun beliau tidak bertemu rakannya itu.

"Ketika anak saya masih kecil (di India), rakan saya sering mendukungnya," katanya.

Pertubuhan Shavei Israel, yang berusaha menjejaki keturunan suku yang hilang itu berkata, kira-kira 4,000 Bnei Menashe sudah berhijrah ke Israel sejak tahun 1990-an, manakala kira-kira 7,000 lagi masih tinggal di India.

Sejarah lisan mereka menceritakan penghijrahan berabad-abad lamanya melalui Parsi, Afghanistan, Tibet dan China, sambil terus mengamalkan beberapa amalan agama Yahudi seperti berkhatan.

Di India, mereka memeluk agama Kristian hasil dakwah mubaligh pada abad ke-19.

Seramai 250 Bnei Menashe yang tiba pada Khamis lalu akan ditempatkan di utara Israel, menurut kementerian integrasi.

Mereka perlu memeluk agama Yahudi untuk menjadi warganegara Israel.

Menteri Imigresen, Ofir Sofer, yang menyambut ketibaan mereka di lapangan terbang, berkata kepada AFP bahawa ketibaan itu menandakan satu 'detik bersejarah'.

"Ini adalah permulaan operasi yang akan membolehkan seluruh masyarakat itu berhijrah, iaitu 1,200 orang setahun," katanya.

Manipur menyaksikan pertempuran berkala selama hampir tiga tahun antara majoriti Meitei yang kebanyakannya beragama Hindu dan komuniti Kuki yang majoritinya beragama Kristian, yang mengorbankan lebih 250 nyawa.

Sejak April 2025, lebih 18,000 orang Yahudi berhijrah ke Israel, menurun 18 peratus berbanding tahun sebelumnya.
-hmetro

Kelantan: Mayat lelaki Thailand dengan kesan tetakan ditemukan di kebun getah

Paya Linda Yahya
LOKASI penemuan mayat mangsa. FOTO Ihsan Polis
LOKASI penemuan mayat mangsa. FOTO Ihsan Polis
Gua Musang: Mayat seorang lelaki warganegara Thailand ditemukan dengan kesan tetakan dan luka di beberapa bahagian badan, di anak sungai berhampiran kebun getah di Kampung Pulai di sini, kelmarin.

Mayat lelaki 40-an itu ditemukan dalam keadaan tenggelam dalam air dan tersangkut di batu serta kayu oleh seorang rakannya.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu kira-kira 2 petang.

Katanya, pemeriksaan pada tubuh mangsa menemukan pelbagai kesan tetakan dan luka dipercayai akibat senjata tajam pada bahagian kepala, muka, leher, tangan dan kaki.

"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

"Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Balai Polis Gua Musang di talian 09-9121222.

Menjelang PRU16: Konflik pemimpin pembangkang ancam idea payung besar Melayu Dr M

Anne Muhammad

PETALING JAYA: Hubungan tegang membabitkan pemimpin pembangkang terutama Muhyiddin Yassin dan Hamzah Zainudin boleh ‘membunuh’ cita-cita supaya semua parti Melayu di blok itu bertanding di bawah payung besar Melayu, kata penganalisis.

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata hasrat bekas Dr Mahathir Mohamad itu difahami bagi mengelakkan pertembungan sesama sendiri dan meningkatkan peluang menewaskan gabungan besar seperti Pakatan Harapan (PH) serta Barisan Nasional (BN).

Namun Syaza memberitahu FMT, pertelingkahan di antara Muhyiddin dan Hamzah susulan krisis dalaman Bersatu telah menimbulkan persoalan kejayaan usaha terbabit.

“Hamzah dilihat terbuka mengekalkan kerjasama dalam PN, namun kesediaan Muhyiddin menjadi faktor penting menentukan sejauh mana penyatuan lebih besar itu boleh direalisasikan,” katanya.

Isu penyatuan kembali diperkatakan selepas bekas ketua menteri Melaka Rahim Tamby Chik mendedahkan Mahathir dalam mesyuarat payung besar Melayu, 17 April lalu menekankan parti pembangkang Melayu jangan bertanding atas tiket sendiri atau secara individu pada pilihan raya.

Menurutnya, bekas perdana menteri itu bimbang keadaan terbabit akan menyebabkan kekalahan dan semua parti sebaiknya bersatu di bawah payung besar Melayu.

Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut dipecat Bersatu, Februari lalu susulan krisis kepimpinan parti diketuai Muhyiddin terbabit.

Beliau turut mengumumkan Muhyiddin sebagai musuh nombor satu manakala bekas perdana menteri itu pula akan menolak penyertaan bekas timbalannnya ke Perikatan Nasional (PN).

Dalam pada itu, Syaza berkata walaupun ramai pengundi mendakwa mereka membuat pilihan berdasarkan dasar dan idea, faktor etnik masih kekal signifikan dalam corak pengundian menyebabkan wujud gesaan seperti disuarakan Mahathir.

“Mungkin bagi pengundi muda, pertimbangannya lebih seimbang, tetapi kita tidak boleh menafikan bahawa faktor etnik itu masih sangat signifikan,” katanya.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara turut senada yang isu bangsa dan agama masih menjadi kerangka utama dalam mempengaruhi sokongan pengundi.

Menurutnya, gabungan atau parti berjaya menguasai naratif itu, sama ada melalui konsep ‘payung besar’ berpotensi meraih sokongan lebih besar, khususnya di Semenanjung.

“Siapa yang berjaya menggunakan isu ini dengan berkesan akan dapat menarik kumpulan pengundi tertentu,” katanya.

Bapa terkejut, anak bawa ular dalam beg sekolah

KOSMO
Tangkap layar video menunjukkan kanak-kanak itu mengeluarkan reptilia dari beg sekolahnya. - TikTok
JAKARTA – Seorang bapa di Garut, wilayah Jawa Barat terkejut apabila menemui seekor ular di dalam beg sekolah anak perempuannya selepas pulang ke rumah, lapor portal berita Lambe Turah. Pendidikan

Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @tonifirdaus_compaskota menunjukkan murid  sekolah rendah itu membuka beg lalu mengeluarkan reptilia itu dengan tangannya. 

Menurut si bapa, dia menyangka beg sekolah anaknya berisi buku mata pelajaran atau program Makanan Bernutrisi Percuma (MBG). 

“Selepas diperiksa, saya ternampak seekor ular melingkar di antara peralatan sekola anak saya,” katanya. 

Rakaman itu menjadi tular dah menimbulkan pelbagai reaksi. 

“Menakutkan,” kata seorang netizen. – AGENSI

Wanita selamba masak mi segera dalam kereta api

KOSMO
Tangkap layar video menunjukkan wanita itu memasak mi segera menggunakan periuk
JAKARTA – Seorang penumpang wanita di Indonesia menerima kecaman orang ramai selepas merakam dirinya memasak mi segera menggunakan periuk elektrik di dalam kereta api, lapor portal berita Tribunnews. 

Rakaman video dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @pikiranrakyat menunjukkan wanita bernama Murhani Purba itu memasak mi segera dengan santai di tempat duduknya. 

Dia turut meletakkan sos cili yang dibawa dari rumah ke dalam makanannya. 

Rakaman itu mencatatkan lebih 52,500 tontonan dan menimbulkan kemarahan ramai pengguna media sosial. 

“Merakam dan menyiarkan kebodohan sendiri dengan bangga,” kata seorang netizen. 


“Dalam kereta api ada jual mi segera,” kata pengguna media sosial lain. 

Selepas klip video itu tular, Murhani tampil memohon maaf dan mengakui tidak tahu bahawa memasak di dalam kereta api adalah dilarang. – AGENSI

Dua lelaki ditahan, dipercayai tunggang motosikal secara berbahaya

Suharmin Yusuf
Tangkap layar rakaman video tular memaparkan penunggang motosikal berkuasa tinggi di Jambatan Putra, Putrajaya pada Ahad lalu.
KUALA LUMPUR: Kegiatan sekumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi yang dipercayai menjadikan Jambatan Putra, Putrajaya sebagai lokasi rakaman kandungan media sosial akhirnya memakan diri apabila dua daripadanya ditahan polis selepas video aksi berbahaya mereka tular.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pihaknya mengesan hantaran tular di media sosial yang menunjukkan dua motosikal berkuasa tinggi dipercayai ditunggang secara berbahaya di lokasi itu, semalam.

“Hasil siasatan awal, pihak JSPT Kuala Lumpur telah berjaya mengesan salah seorang penunggang motosikal yang terlibat sebelum individu tersebut tampil ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya bagi membantu siasatan.

“Suspek lelaki tempatan berumur 31 tahun itu, mengaku sebagai pemilik salah sebuah motosikal terlibat dan mengesahkan kejadian berkenaan berlaku pada Ahad lalu, sekitar jam 12.30 tengah malam.

“Siasatan awal turut mendapati kumpulan tersebut berada di lokasi berkenaan bagi tujuan berkumpul dan menghasilkan kandungan media sosial dan bukan semata-mata untuk tujuan perlumbaan,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Bagaimanapun, Zamzuri berkata, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti tujuan sebenar kejadian tersebut.

Katanya, siasatan awal turut mendapati kumpulan berkenaan dipercayai pertama kali berkumpul di lokasi itu yang terletak berhampiran Masjid Putra.

“Bertindak atas maklumat dan risikan, pihak JSPT Kuala Lumpur telah berjaya mengesan kedua-dua penunggang yang terlibat.

“Kedua-dua suspek iaitu lelaki tempatan Melayu berumur yang masing-masing berumur 31 tahun dan 33 tahun ditahan bagi membantu siasatan dan motosikal yang digunakan turut disita,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 81 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Katanya, kedua-dua suspek sudah diambil keterangan dan telah dibebaskan dengan jaminan polis.

“Pihak JSPT Kuala Lumpur kini sedang mengesan beberapa individu lain yang dipercayai turut terlibat dalam rakaman video tersebut,” katanya.

Budak 2 tahun ‘terperangkap’ dalam kereta

NOR AINNA HAMZAH
Tindakan pantas pihak APM berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki yang terperangkap dalam sebuah kenderaan.
KUALA PILAH – Tindakan pantas pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia kira-kira dua tahun yang terperangkap dalam sebuah kenderaan di Kampung Sawah Lebar, di sini, pagi tadi.

Pegawai APM daerah, Lt. (PA) Mohd Rafee Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi dan bergegas ke lokasi.

Menurutnya, seramai tiga anggota diketuai oleh Koperal (PA) Mohammad Ismail Mohd Yunus telah mengambil masa hampir 10 minit untuk mengeluarkan mangsa yang terperangkap.

“Seorang kanak-kanak lelaki berjaya dikeluarkan dengan selamat tanpa sebarang kecederaan menggunakan peralatan khas membuka pintu kenderaan,” katanya kepada Kosmo! di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE

Kanak-kanak maut, motosikal ditunggangi ibu langgar tembok

Nur Izzati Mohamad

BUKIT MERTAJAM: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut selepas motosikal yang ditunggangi ibunya terbabas sendiri dan melanggar tembok batu di bahu jalan dekat Jalan Song Ban Kheng, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Senior Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, maklumat diterima jam 7.45 pagi sebelum anggota ke lokasi bagi menjalankan siasatan.

Menurutnya, kemalangan membabitkan motosikal yang dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas sendiri.

“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal iaitu seorang wanita tempatan berusia 30 tahun mengalami kecederaan di bahagian kepala.

“Turut terlibat tiga kanak-kanak berusia antara 2 hingga 7 tahun yang membonceng motosikal terbabit yang mana seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun mengalami kecederaan kepala dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Bukit Mertajam (HBM).

“Manakala seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun mengalami kecederaan ringan dan seorang lagi berusia lima tahun tidak cedera,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Jelasnya, mangsa yang cedera kini dirawat di hospital sama.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, tular di media sosial gambar insiden menyayat hati itu apabila dua kanak-kanak perempuan yang memakai pakaian baju pra sekolah dilihat sugul menatap wajah ibu dan adik mereka yang cedera parah dalam kemalangan berkenaan.

Difahamkan, wanita itu membonceng tiga anaknya untuk menghantar mereka ke sekolah sebelum motosikal ditunggangi hilang kawalan dan terbabas.

Wanita diarah bayar RM900,000 kepada bekas ibu mentua

V Anbalagan

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan seorang wanita membayar RM900,000 kepada bekas ibu mentuanya selepas memutuskan jumlah itu adalah sebahagian daripada pinjaman perumahan RM1.2 juta, bukannya hadiah.

Hakim Jamhirah Ali membenarkan saman yang difailkan oleh Tamil Selvi Muruggapan dan memutuskan satu ‘kes yang jelas dan konsisten’ telah dikemukakan di mana RM1.2 juta tersebut merupakan pinjaman jangka pendek bersyarat.

Tamil Selvi, 66, menyaman bekas menantunya Mogana Sivaraman, 44, pada 2021 bagi menuntut pemulangan RM1.2 juta.

Bagaimanapun, mahkamah hanya memerintahkan Mogana membayar RM900,000 selepas Tamil Selvi bersetuju untuk menuntut baki daripada anak lelakinya, MR Alagu Ganeshan, yang juga bekas suami Mogana.

Hakim turut menolak tuntutan balas Mogana terhadap Tamil Selvi dan Alagu.

Mogana juga diarahkan membayar kos RM40,000 kepada Tamil Selvi dan RM7,000 kepada Alagu.

Menurut fakta kes, Mogana dan Alagu berkahwin pada 2012 dan tinggal bersama Tamil Selvi yang merupakan seorang ahli perniagaan.

Pada Julai 2016, Mogana membayar deposit tempahan RM5,000 untuk sebuah unit kondominium bernilai RM913,207 di D’Sands Residence.

Oleh kerana pendapatan dan simpanannya tidak mencukupi untuk melayakkan pinjaman perumahan, pihak bank menasihatkannya supaya menunjukkan dana yang besar dalam bentuk deposit bagi menyokong permohonannya.

Dua bulan kemudian, Mogana meminta ibu mentuanya meletakkan RM1 juta dalam akaun deposit tetap bersama bagi menyokong permohonan pinjaman tersebut, dengan janji akan memulangkan wang itu selepas pinjaman diluluskan.

Mogana kemudian menandatangani permohonan pinjaman perumahan berjumlah RM852,938 dengan RHB Bank.

Bulan berikutnya, Mogana memaklumkan bahawa bank memerlukan deposit tetap RM1 juta itu diletakkan sepenuhnya atas namanya, yang kemudian dilaksanakan.

Mogana juga meminta Tamil Selvi menambah lagi RM200,000 ke dalam deposit tetap tersebut.

Selepas permohonan pinjamannya ditolak oleh bank, Mogana tidak memulangkan wang itu kepada Tamil Selvi, sebaliknya memindahkannya ke akaun lain.

Tamil Selvi kemudian membuat laporan polis dan menghantar surat tuntutan bagi mendapatkan semula RM1.2 juta, namun tidak berjaya.

Di mahkamah hari ini, Jamhirah memutuskan bahawa bukti yang dikemukakan oleh Tamil Selvi adalah kukuh dan keseluruhan struktur transaksi tersebut ‘tidak selari dengan hadiah’.

“Setiap langkah didorong oleh keperluan untuk memenuhi syarat bank bagi pinjaman perumahan,” katanya.

“Hadiah tidak disusun berdasarkan keperluan perbankan. Susunan ini jelas menunjukkan ia adalah pembiayaan sementara bersyarat.”

Tamil Selvi diwakili oleh peguam Srividhya Ganapathy dan Eisyarmily Akhtar, Kamaleswari Shanmugam mewakili Mogana, manakala Sarinah Mustafa dan Ambiga Pandian mewakili Alagu.

Pegawai Undang cabar MB dedah minit mesyuarat 17 April

Hariz Mohd & Qistina Nadia Dzulqarnain

Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun dicabar untuk mendedahkan minit mesyuarat 17 April, yang menurutnya menyaksikan keputusan sebulat suara dibuat untuk memecat Undang Luak Sungai Ujong, Mubarak Thahak.

Setiausaha sulit kepada Undang Luak Sungai Ujong, Hanafi Ruzlan berkata pihak pejabat Undang telah memohon kerajaan negeri mendedahkan rekod mesyuarat Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan.

"Sebab kita minta minit mesyuarat tak dapat. Mana minit mesyuarat 17 April 2026 menyatakan semua ahli Dewan (Keadilan dan Undang) setuju?

"Mana? Datangkan bukti," katanya pada temubual bersama Malaysiakini semalam.

“Dan kalau minit mesyuarat itu lain apa yang keluar...itu bahaya, sangat bahaya” katanya memberi amaran.

Malaysiakini telah menghubungi Aminuddin dan sedang menunggu maklum balas.

Dalam surat bertarikh 20 April, Undang Yang Empat bersama seorang lagi pembesar negeri, Tunku Besar Tampin menuduh Aminuddin berbohong dalam kenyataan 17 April apabila mendakwa majlis itu sudah mengesahkan pemecatan Mubarak sebagai Undang.

Pemimpin berkenaan mendakwa ahli majlis yang hadir pada sidang tersebut tidak mencapai sebarang keputusan sepakat dan sebulat suara.

Bekas menteri besar, Rais Yatim pula mendakwa Undang Johol, Jelebu dan Rembau serta Tunku Besar Tampin tidak bersetuju dengan penyingkiran Mubarak.

Sehubungan itu, Rais berpendapat pemecatan Mubarak tidak sah. Menurut Hanafi, Mubarak juga tidak pernah diberi peluang untuk menjawab tuduhan terhadapnya, termasuk dakwaan pelanggaran hukum Islam dan adat.

Sementara itu, Hanafi turut mempersoalkan keputusan majlis menerima cadangan pemecatan berdasarkan keterangan hanya seorang Ibu Soko, yang statusnya turut dipertikaikan.

Menurutnya, hanya Majlis Datuk Lembaga mempunyai kuasa menentukan pemecatan seorang Undang Luak manakala Ibu Soko tidak mempunyai kuasa tersebut.

Pegawai Undang berkenaan mendakwa hanya seorang Ibu Soko terlibat dalam usaha memecat Mubarak manakala yang lain serta semua datuk lembaga di Sungai Ujong menyokong undang tersebut.

Katanya, pihak istana undang telah menyerahkan akuan berkanun pemimpin berkenaan kepada majlis serta pejabat Aminuddin.

Datuk Lembaga merupakan pihak berkuasa adat di setiap luak, yang mempunyai kuasa melantik undang berdasarkan susur galur, syarat serta hak setiap perut.

Hanafi berkata pejabat menteri besar juga masih belum memberi maklum balas terhadap surat daripada Undang Yang Empat berhubung keputusan mereka memecat Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan menggantikannya dengan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar.

“Tak ada respon langsung. Maknanya surat yang kita hantar pada hari Selasa, petang.

"Selasa petang surat yang kita hantar deklarasi fasal 10, fasal 11 yang mengatakan fasal 10, pelucutan Tuanku Muhriz. Pasal 11 adalah pelantikan Yang di-Pertuan Besar yang baru. Jadi, kita dah hantar pada hari Selasa hari itu.

"Sampai sekarang, kita tak ada makluman langsung tak sama ada tolak ke, terima ke ke, dah tandatangan ke (daripada pihak Aminuddin),” dakwanya.

Perkara 10(1) Perlembagaan Negeri Sembilan memperuntukkan bahawa Undang Yang Empat boleh menyingkirkan Yang di-Pertuan Besar jika antara sebabnya “baginda melakukan sebarang perbuatan nyata yang menjejaskan kesucian, kehormatan dan martabat seorang Yang di-Pertuan Besar.”

Aminuddin sebelum ini menyifatkan pengisytiharan pembesar negeri yang menyingkirkan Tuanku Muhriz sebagai tidak sah kerana Mubarak telah terlebih dahulu dipecat.

Namun, Undang-undang Tubuh Negeri Sembilan menetapkan keputusan boleh dibuat sekurang-kurangnya oleh tiga Undang, atau mengikut jumlah yang masih hidup ketika keputusan dibuat.

Beberapa pihak turut mempersoalkan jika proses sewajarnya dipatuhi dalam pengisytiharan tersebut, termasuk hak Tuanku Muhriz untuk didengar selaras dengan prinsip keadilan asasi.

Bekas hakim Mahkamah Rayuan, Hishamudin Yunus dan peguam perlembagaan Malik Imtiaz Sarwar berpendapat pengisytiharan pembesar negeri itu mungkin tidak sah kerana Aminuddin tidak menjadi pihak dalam keputusan tersebut.

Namun, Hanafi mendakwa menteri besar tidak hadir pada majlis pembacaan dua pengisytiharan berkaitan jawatan Yang di-Pertuan Besar pada 19 April, walaupun jemputan telah dihantar oleh Undang Luak Johol, Muhammad Abdullah.

“Maknanya nak turut serta sebagai saksi mewakili kerajaan negeri. Maknanya, undang yang empat buat pengisytiharan jadi disaksikan oleh siapa wakil kerajaan negeri,” katanya.

Dalam pembacaan pengisytiharan yang disiarkan secara langsung itu, Undang Yang Empat mendakwa keputusan menyingkirkan Tuanku Muhriz dibuat selepas siasatan sendiri dilancarkan pada 5 Mac berhubung dakwaan pelanggaran tugas diraja.

Mereka berpendapat pelanggaran yang tidak diperincikan itu dilakukan secara sengaja sehingga menjejaskan institusi diraja.

Mengulas kedudukan Tuanku Muhriz yang masih kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar, Hanafi menegaskan Aminuddin perlu meletak jawatan kerana didakwa gagal melaksanakan keputusan Undang.

“Undang pun dah sabda, dia (Aminuddin) perlu letak jawatan,” katanya.

Dia enggan mengulas titah perasmian Tuanku Muhriz pada pembukaan persidangan pertama DUN tahun ini kerana tidak mengikuti ucapan tersebut.

Speaker DUN, MK Ibrahim Abd Rahman kemudian mengesahkan persidangan ditangguhkan sehingga satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian susulan kemelut takhta di negeri itu.

Sehari sebelum acara itu, para pembesar negeri Datuk Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin telah menggesa Aminuddin menangguhkan istiadat tersebut — yang mereka boikot — sehingga seorang Yang di-Pertuan Besar baru dilantik secara sah.

Niat nak tular, akhirnya malu kaki sangkut di tiang

Agensi
FOTO tular di media sosial menunjukkan antara individu yang melakukan cabaran berkenaan.
FOTO tular di media sosial menunjukkan antara individu yang melakukan cabaran berkenaan.
Beijing: Seorang wanita warga China yang cuba meniru cabaran memanjat tiang lampu yang tular baru-baru ini, berdepan detik cemas apabila kakinya tersangkut dan terpaksa menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan, lapor South China Morning Post.

Wanita yang dikenali sebagai Song dari wilayah Jiangsu, timur China itu sedang bersiar-siar di sini selepas makan malam apabila dia memutuskan untuk mencuba cabaran berkenaan.

Cabaran dikenali sebagai 'menyelamatkan diri' itu memerlukan peserta menyilangkan kaki pada tiang lampu dalam posisi duduk sebelum cuba melepaskan diri tanpa bantuan.

Walaupun kelihatan mudah, ramai peserta terkejut apabila mendapati mereka tidak dapat membuka semula silangan kaki berkenaan sebaik sahaja melakukannya.

Cabaran itu bertukar memalukan apabila beberapa peserta terpaksa meminta bantuan ahli keluarga, orang awam, penghantar makanan, dan juga polis.

Dalam kes Song, dia menjadi semakin tersangkut kuat pada tiang lampu itu apabila semakin kuat dia bergelut untuk melepaskan diri dari kedudukan itu.

Pihak polis yang tiba di lokasi kejadian terlebih dahulu menenangkan wanita itu sebelum melaraskan kedudukannya bagi membantu melepaskan silangan kakinya.

Song bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan hanya mengalami rasa kebas pada anggota badan selepas berjaya diselamatkan.

Beberapa video yang tular di media sosial tanah besar China menunjukkan terdapat individu yang berjaya melakukan cabaran itu dengan teknik yang sangat spesifik.

Peserta yang berjaya biasanya memusingkan badan secara perlahan-lahan di sekeliling tiang lampu untuk mencari posisi yang sesuai bagi membebaskan kaki yang tersilang.

Bagaimanapun, pegawai polis yang membantu menyelamatkan Song menegaskan bahawa cabaran tular seumpama itu membawa risiko keselamatan yang sangat tinggi dan tersembunyi.

Katanya, sendi lutut perlu sangat fleksibel untuk menampung berat seluruh badan ketika melakukan aksi berkenaan, manakala tekanan berterusan pada saluran darah boleh menyebabkan kerosakan tisu pada anggota bawah.

Anwar pertimbang PRU menjelang Oktober ketika isu subsidi bahan api memuncak

Bloomberg

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Anwar Ibrahim dilaporkan sedang mempertimbang untuk mengadakan PRU sekitar suku ketiga tahun ini, ketika kerajaan berdepan tekanan mengurangkan subsidi bahan api susulan kenaikan kos tenaga global.

Walaupun penggal pentadbirannya hanya berakhir awal 2028, Anwar dikatakan melihat kemungkinan mengadakan PRU seawal Oktober, dengan syarat kerajaan tidak perlu membuat pemotongan subsidi tambahan sebelum itu.

Bagaimanapun, perbincangan masih di peringkat awal dan belum ada keputusan muktamad.

Kerajaan juga sedang bersiap untuk melaksanakan sistem subsidi yang lebih bersasar bermula separuh kedua tahun ini, memandangkan harga tenaga global dijangka kekal tinggi susulan konflik melibatkan Iran.

Langkah ini berkemungkinan menyebabkan golongan berpendapatan tinggi membayar harga bahan api yang lebih mahal.

Penganalisis politik Adib Zalkapli berkata masa paling sesuai untuk membubarkan Parlimen adalah sebelum kerajaan terpaksa menaikkan harga bahan api bersubsidi.

Katanya, keputusan sukar seperti itu lebih mudah dibuat selepas kerajaan memperoleh mandat baharu.

Bil subsidi bahan api negara kini melonjak hampir 10 kali ganda kepada sekitar RM7 bilion sebulan sejak konflik Amerika Syarikat-Israel dengan Iran bermula pada 28 Februari, sekali gus memberi tekanan kepada sasaran defisit kerajaan.

Di Malaysia, harga bahan api merupakan isu sensitif kerana rakyat sudah lama menikmati petrol murah hasil subsidi. Sebarang pengurangan boleh mencetuskan reaksi negatif pengundi.

Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan berkata walaupun beberapa pembaharuan telah mengurangkan beban kerajaan, kos subsidi masih tinggi.

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof pula menegaskan tiada perubahan mendadak akan dibuat terhadap dasar subsidi.

Sebelum konflik tercetus, Anwar sudah mempertimbangkan PRU tahun ini, disokong oleh ekonomi yang kukuh, pengukuhan ringgit dan peningkatan profil antarabangsa selepas Malaysia menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN tahun lalu.

Selain itu, perpecahan dalam kalangan pembangkang turut memberi kelebihan kepada beliau untuk mengadakan pilihan raya lebih awal.

Namun, kenaikan harga minyak akibat konflik global menambah tekanan kepada kerajaan. Pada awal April, Anwar menolak kemungkinan PRU mengejut dalam tempoh terdekat dan menyeru semua pihak bekerjasama menangani kesan krisis tenaga.

Mengikut Perlembagaan, pembubaran Parlimen memerlukan perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim , yang mempunyai budi bicara untuk menerima atau menolak cadangan tersebut.

Langkah mengadakan PRU awal juga dilihat berkait dengan usaha menyelaraskan pilihan raya persekutuan dengan beberapa pilihan raya negeri dalam tempoh 12 bulan akan datang bagi menjimatkan kos.

Johor, Melaka dan Sarawak antara negeri yang dijangka mengadakan pilihan raya, manakala pergolakan politik di Perlis turut membuka kemungkinan pilihan raya mengejut di negeri itu.

Setakat ini, hanya Melaka dilaporkan mempertimbangkan pilihan raya sekitar suku ketiga tahun ini.

Sejak tahun lalu, Malaysia mula mengubah sistem subsidi bahan api kepada pendekatan lebih bersasar, termasuk membenarkan harga petrol diapungkan bagi warga asing dan mengurangkan subsidi diesel secara menyeluruh.

Ketika ini, harga petrol RON95 kekal pada RM1.99 seliter untuk rakyat tempatan, antara yang terendah di dunia. Namun, harga diesel tanpa subsidi di Semenanjung Malaysia telah mencecah paras tertinggi RM6.72 seliter pada April.

Kerajaan juga mengurangkan had kuota bahan api bersubsidi sejak Mac sebagai langkah sementara menghadapi krisis, dan tempohnya kini dilanjutkan.

Sebagai pengimport bersih minyak mentah, Malaysia bergantung kepada bekalan luar. Petronas memberi jaminan bekalan bahan api mencukupi sekurang-kurangnya hingga akhir Jun.

Sepanjang tahun lalu, Anwar turut berdepan tekanan politik termasuk protes pembangkang serta prestasi kurang memberangsangkan dalam pilihan raya negeri Sabah.

Ini berlaku selepas kadar sokongan terhadap beliau meningkat kepada 55% dalam tinjauan Merdeka Center pada Jun tahun sebelumnya.

Surau Taman Seraya lapor polis pihak bantah azan, solat Jumaat

Malaysiakini 

Pihak pengurusan Surau Taman Seraya, Ampang membuat laporan polis terhadap individu yang didakwa membantah laungan azan serta solat Jumaat diadakan di surau berkenaan.

Difahamkan itu itu timbul selepas seorang penduduk bukan Islam yang mendakwa dirinya sebagai wakil masyarakat setempat, mengemukakan bantahan terhadap pihak surau.

Pengerusi surau, Abdullah Sulaiman berkata, isu tersebut telah bermula sejak tahun 2021, namun ketika itu ia tidak begitu agresif sehinggalah bantahan memuncak pada tahun ini.

"Sekarang ini ada gangguan melampau apabila ada tiga perkara yang 'diwhatsappkan' secara peribadi oleh individu tersebut. Yang pertama isunya azan.

"Tiba-tiba timbul isu satu lagi dia tak puas hati kerana kita adakan solat Jumaat. Sedangkan solat Jumaat pihak Jais yang mentauliahkan kita, kita dapat untuk adakan solat Jumaat pada 2019.

"Dia juga meminta agar solat Jumaat yang telah dilaksanakan sejak 15 November 2019 dihentikan kerana mengganggu laluan trafik.

"Kita membuat laporan polis susulan wujud gangguan yang disifatkan bermotifkan isu agama, raja dan kaum," katanya dalam sidang media di surau berkenaan hari ini.

Menurut Abdullah, sebanyak 10 laporan polis dibuat di Balai Polis Pandan Indah hari ini.

Tambahnya, pihak surau sebelum ini telah mengadakan pertemuan dengan individu berkenaan, termasuk dengan kehadiran pihak berkuasa agama, dan menyangka isu tersebut telah selesai.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdullah berkata Adun Teratai telah mengambil inisiatif untuk mengadakan sesi dialog berhubung isu itu di pejabatnya.

Katanya, sesi dialog tersebut akan melibatkan jawatankuasa surau, wakil agensi berkaitan termasuk pihak polis dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Wanita Australia jatuh gaung di Gunung Santubong berjaya diselamatkan

Kadir Edison

KUCHING: Seorang wanita warga Australia yang dilaporkan hilang ketika mendaki Gunung Santubong, dekat sini, petang semalam, ditemui selamat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR), tengah hari tadi.

Mangsa dikenali sebagai Belinda Lapier, 46, ditemui pasukan penyelamat di kawasan gaung berhampiran Level 7, lokasi terakhir yang dikongsikannya kepada pihak berkuasa, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, mangsa berjaya dibawa keluar ke pusat kawalan tempat kejadian pada jam 2.35 petang selepas operasi disambung semula kira-kira jam 8 pagi.

Menurutnya, mangsa ditemui dalam keadaan selamat dan hanya mengalami kecederaan ringan berupa calar pada badan.

“Pada jam 12 tengah hari tadi, pasukan penyelamat berjaya menemui mangsa di kawasan gaung berdekatan Level 7 Gunung Santubong.

“Mangsa didapati dalam keadaan sihat dan hanya mengalami sedikit calar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Siasatan awal mendapati mangsa mendaki secara bersendirian, namun sebelum itu sudah dinasihatkan supaya menyertai kumpulan pendaki lain yang berada di lokasi berkenaan.

Beliau berkata, ketika turun dari Level 10, mangsa dipercayai tersasar laluan sejauh kira-kira 700 meter dari trek utama sebelum memasuki kawasan gaung.

Operasi SAR kemudian ditamatkan sejurus mangsa berjaya diselamatkan.

Lelaki Korea kena culik rupanya buruan Interpol babit judi haram

MOHD. FAHMI ISMAIL

KUALA LUMPUR – Kes culik seorang lelaki Korea Selatan yang diselamatkan polis pada 21 April lalu mendedahkan mangsa sebenarnya buruan pihak berkuasa negaranya.

Mangsa diculik pada 17 April lalu ketika dalam perjalanan dari ibu negara ke Genting Highlands sebelum dipukul, diikat dan dikurung.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, mangsa berusia 40 tahun itu diekori sebelum kenderaannya dipintas.

“Dia ditarik keluar, dipukul dan dibawa ke lokasi tidak diketahui. Polis kemudian menerima dua laporan daripada rakan mangsa dan seorang wanita yang mendakwa isterinya dengan kes kemudian diambil alih Bukit Aman dengan kerjasama JSJ Pahang dan Melaka.

“Serbuan di sebuah rumah di Melaka berjaya menyelamatkan mangsa serta menahan tiga lelaki Korea berusia 28 hingga 40 tahun. Sepanjang ditahan, mangsa diugut dengan objek menyerupai pistol,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman, di sini hari ini.

Beliau berkata, suspek menuntut tebusan AS$ 10 juta (RM39.6 juta) dan sebanyak AS$ 3 juta (RM14.1 juta) telah dibayar sebelum dipindahkan ke beberapa akaun.

“Polis berjaya kesan dan beku AS$ 2.46 juta (RM11.6 juta) melibatkan tiga akaun selama sembilan bulan,” ujarnya.

Menurut beliau, suspek direman tujuh hari bermula 22 hingga 28 April 2026 dan semakan mendapati dua suspek masuk secara sah, manakala seorang tiada rekod.

“Siasatan bersama Kedutaan Korea mengesahkan mangsa adalah buruan dengan notis merah Interpol kerana disyaki terlibat perjudian haram dan jenayah terancang. Mangsa dipercayai berada di Malaysia sejak 2016 dan sering berpindah,” katanya.

Tambhanya, kes disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 dan siasatan lanjut termasuk kemungkinan mangsa dihantar pulang sedang dipertimbangkan. – KOSMO! ONLINE

Cemburu punca wanita maut ditikam bekas suami di Setapak

MOHD. FAHMI ISMAIL

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan motif cemburu dipercayai menjadi punca seorang wanita warga Myanmar maut ditikam dalam kejadian di Genting Court Condominium, Setapak di sini semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu kira-kira pukul 2.20 petang menerusi panggilan orang awam yang memaklumkan mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis digerakkan ke lokasi dan berjaya menahan seorang lelaki warga Myanmar pada hari sama.

“Siasatan awal mendapati suspek merupakan bekas suami mangsa. Polis turut merampas senjata yang dipercayai digunakan dalam kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, hasil bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur pada pukul 9 pagi tadi mengesahkan punca kematian mangsa adalah akibat kecederaan tikaman di bahagian dada.

Katanya, suspek telah dibawa ke hadapan majistret hari ini dan dibenarkan direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 30 April bagi membantu siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Tambah beliau, polis memandang serius kejadian tersebut dan memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara menyeluruh, profesional serta telus.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di talian 03-9289 9222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, atau mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE

Kelantan: Guna ‘fleet card’ rakan, seludup diesel jual di Thailand

KOSMO!
Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan suspek sedang mengisi diesel di sebuah stesen minyak di Tumpat semalam.
TUMPAT – Seorang lelaki dicekup di Kampung Simpangan di sini semalam selepas dipercayai menggunakan lori dan menyalahgunakan kad subsidi diesel atau ‘fleet card’ milik rakannya di tiga buah stesen minyak sebelum menyeludup bahan api itu ke Thailand.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, suspek berusia 49 tahun itu yang memandu sebuah lori jenis Daihatsu dikesan mengisi minyak di stesen minyak Pengkalan Kubor dan Wakaf Bharu di sini sebelum ke Tendong, Pasir Mas bermula pukul 9.30 pagi hingga 11.30 pagi.

“Sepasukan anggota PGA pada awalnya mengekori lori tersebut ke pangkalan haram Tualang di sini sebelum kenderaan itu keluar dan menghala ke dua buah stesen minyak di Wakaf Bharu. Kenderaan itu kemudian bergerak ke sebuah lagi stesen minyak di Tendong untuk membuat pengisian diesel kali yang ketiga,” katanya ketika dihubungi hari ini.Vehicles

Ahmad Radzi memberitahu, anggota PGA mengekori lori tersebut sebelum menahannya di jalan Kampung Simpangan di sini kira-kira pukul 1 tengah hari dan hasil pemeriksaan, pihaknya menemui dua keping ‘fleet card’ atas nama pemilik lori tersebut.

“Hasil soal siasat mendapati, lori tersebut juga milik rakannya yang disewa oleh suspek untuk kegiatan penyeludupan diesel. Suspek sudah mengisi sebanyak 90 liter diesel yang dianggarkan bernilai lebih RM460 ke dalam tangki lori tersebut,” ujarnya.

Beliau berkata, hasil soal siasat mendapati, setangki diesel yang sudah diisi sebanyak 90 liter di dalam lori itu dijual pada harga RM360.

Menurutnya, sebanyak dua hingga tiga trip perjalanan pengisian diesel dijalankan oleh suspek setiap hari mengikut kepada permintaan pembeli dari Thailand.

“Pembelian bahan api itu dipercayai diuruskan oleh rakannya yang dikenali sebagai Pak Li dengan upah sebanyak RM30 hingga RM40 untuk sekali perjalanan. Mereka juga berhubung menggunakan aplikasi Zalo untuk setiap urusan jual dan beli diesel,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Kes fitnah: Mahkamah tolak rayuan Siti Mastura bayar RM750,000

Faisal Asyraf

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan Ahli Parlimen PAS Siti Mastura Muhammad membayar ganti rugi RM750,000 kerana memfitnah tiga pemimpin kanan DAP.

Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Ahmad Kamal Shahid, bersama Evrol Mariette Peters, dan Latifah Tahar, sebulat suara menolak rayuan wakil rakyat Kepala Batas itu.

Ketika menyampaikan keputusan tersebut, Kamal menyatakan mahkamah mendapati tiada merit dalam rayuannya, sekali gus mengekalkan sepenuhnya penghakiman Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, pada 4 Dis 2024.

Panel itu juga menolak rayuan balas daripada ketiga-tiga pemimpin berkenaan berhubung kuantum ganti rugi, yang didakwa tidak mencukupi.

Mahkamah tidak mengeluarkan sebarang perintah mengenai kos bagi kedua-dua rayuan dan rayuan balas berkenaan.

Siti Mastura didapati memfitnah Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, dan Teresa Kok dengan mengaitkan mereka dengan bekas pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng, melalui dakwaan hubungan kekeluargaan dalam satu ceramah politik di Kemaman, Terengganu, pada 4 Nov 2023.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang memihak tiga pemimpin tersebut dengan memberikan ganti rugi RM300,000 kepada Kit Siang, RM250,000 kepada Guan Eng, dan RM200,000 kepada Kok.

Hakim Quay Chew Soon juga telah memerintahkan Siti Mastura membayar kos RM25,000 kepada setiap plaintif, berserta faedah pada kadar lima peratus setahun dari tarikh penghakiman.

Mengenai pembelaan komen berpatutan, Ahmad Kamal berkata, panel hakim bersetuju dengan Mahkamah Tinggi bahawa perkataan dipertikaikan itu bukanlah pendapat, tetapi kenyataan fakta, dan ia adalah ‘jelas palsu’.

Panel berkenaan mengambil maklum bahawa Mastura telah membuat siri dakwaan fakta khusus yang mengaitkan trio DAP itu dengan Chin Peng serta Perdana Menteri pertama Singapura, Lee Kuan Yew, dengan menegaskan wujudnya hubungan kekeluargaan secara langsung.

“Dalam konteks masyarakat Malaysia, melabelkan seseorang atau memberi gambaran mereka mempunyai pertalian dengan parti komunis diharamkan – musuh dan ancaman kepada keselamatan negara serta Perlembagaan Persekutuan – tidak dapat dinafikan adalah bersifat fitnah.

“Kenyataan sedemikian menyentuh dasar kesetiaan, integriti, dan reputasi seseorang,” katanya sambil menyatakan pembelaan komen berpatutan tidak boleh dibina di atas fakta palsu.

Berkait justifikasi, mahkamah mendapati Mastura gagal membuktikan kebenaran dakwaannya.

Mahkamah mengambil maklum pergantungannya kepada sebuah buku didakwa dikaitkan dengan jabatan komunikasi Barisan Nasional (BN) adalah pincang, memandangkan sumber tersebut tidak mempunyai pengarang, penerbit, atau tarikh yang boleh dikenal pasti, selain pembuatnya tidak dipanggil untuk memberi keterangan.

“Seorang defendan tidak boleh sekadar mengulangi maklumat yang tidak disahkan daripada sumber tanpa nama dan mendakwanya sebagai kebenaran.

“Perbuatan sedemikian adalah melulu dan tidak bertanggungjawab,” kata hakim itu.

Mengenai perlindungan bersyarat, mahkamah menolak hujah bahawa kenyataan-kenyataan tersebut dibuat atas dasar tanggungjawab politik semasa kempen pilihan raya.

Mahkamah memutuskan pembelaan terbabit memerlukan kepercayaan yang jujur terhadap kebenaran penerbitan itu, dengan disokong oleh langkah munasabah untuk mengesahkan maklumat berkenaan.

Dengan menggunakan prinsip yang telah ditetapkan, panel hakim mendapati Mastura gagal mengambil langkah sedemikian, terutamanya tidak mendapatkan maklum balas daripada pihak plaintif.

Mahkamah juga mengekalkan dapatan mengenai wujudnya niat jahat, merujuk tingkah laku defendan sebelum dan selepas penerbitan tersebut.

Mahkamah turut mengambil maklum beliau tidak menarik balik kenyataannya mahupun memohon maaf, sebaliknya tetap mempertahankan kenyataan itu.

Yusfarizal Yusoff mewakili Mastura, manakala SN Nair bertindak bagi pihak trio DAP berkenaan.

Remaja berbogel, teman lelaki hanya berseluar dalam dicekup khalwat

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my

Kluang: Seorang remaja perempuan dicekup dalam keadaan berbogel dengan teman lelakinya yang hanya memakai seluar dalam, selepas disyaki berkhalwat di sebuah hotel di bandar ini, semalam.

Remaja berusia 19 tahun dan teman lelaki berusia 23 tahun ditahan oleh pegawai dan anggota penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam operasi berkala pada jam 1.30 pagi.

JAINJ dalam kenyataan memberitahu, sebaik tiba di hotel, penguatkuasa mengetuk pintu bilik dan kira-kira dua minit kemudian, seorang lelaki membukanya.

"Lelaki itu bagaimanapun cuba menutup semula pintu sebaik menyedari kelibat penguatkuasa JAINJ namun berjaya dihalang. Sebaik memasuki bilik hotel penguatkuasa mendapati lelaki hanya berseluar dalam.

"Di atas katil pula, terdapat individu bersembunyi dalam selimut dan apabila ditanya oleh penguatkuasa lelaki tergagap menjawabnya. Pada masa sama, penguatkuasa melihat ada pakaian wanita di atas kerusi.

"Pemeriksaan lanjut oleh penguatkuasa wanita mendapati remaja perempuan tidak berpakaian sebelum diminta ke bilik air dengan menutupi selimut bagi menyalin pakaian," katanya.

Kata JAINJ lagi, pasangan itu kelihatan ketakutan malah turut merayu simpati kepada penguatkuasa agar tidak menahan mereka.

Menurutnya, mereka juga mengaku hubungannya mereka pasangan kekasih.

"Lelaki terbabit sudah bekerja dan mereka memberitahu, datang dari daerah lain yang jaraknya 50 kilometer dengan menaiki kereta. Pada mulanya, mereka sekadar bersiar-siar serta menikmati makanan sehinggalah berakhir di bilik hotel.

"Apabila ditanya kenapa bermalam di hotel, mereka memberitahu tidak sempat pulang kerana sudah lewat malam.

"Penguatkuasa kemudian merekodkan keterangan dan pada masa sama, turut memanggil ibu bapa pasangan ini untuk menjamin mereka.

"Pasangan ini akan didakwa mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan-Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 kerana berkhalwat," katanya.

Pemilik syarikat umrah dipenjara sembilan bulan

Akibat ingkar perintah tribunal tuntutan, pemilik syarikat umrah ini dipenjara sembilan bulan
Harapandaily

Seorang pemilik syarikat pengurusan pakej umrah dipenjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret Tawau, hari ini.

Hukuman itu dijatuhkan selepas dia didapati bersalah atas tiga tuduhan gagal mematuhi award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) membabitkan tuntutan puluhan ribu ringgit.

Norhayani M Ilham, 44, dijatuhi hukuman oleh Majistret Don Stiwin Malanjun selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir perbicaraan.

Lapor Buletin TV3, ibu kepada dua anak berkenaan dihukum penjara tiga bulan bagi setiap pertuduhan dan kesemua hukuman berjalan secara berasingan, bermula tarikh sabitan hari ini.

Tertuduh didakwa gagal mematuhi award TTPM bertarikh 27 Ogos 2024 yang mengarahkannya membayar tuntutan kepada tiga individu berjumlah keseluruhan RM26,400.

Kesalahan tersebut dilakukan di Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tawau pada 13 September 2024 dan kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan wanita itu untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi, dengan jaminan RM5,000 serta dua penjamin tempatan.

Sementara itu, di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin, tertuduh turut berdepan satu pertuduhan mengikut akta sama kerana gagal mematuhi award TTPM berjumlah RM19,840 membabitkan seorang penuntut lain bagi tempoh sama.

Mahkamah menetapkan 5 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Pada 16 Disember 2025, Norhayani turut dijatuhi hukuman penjara tiga bulan selepas didapati bersalah atas kesalahan sama.

'Tiada lagi binaan baru, pembesaran rumah ibadat bukan Islam di tanah k'jaan'

Malaysiakini 

Berkuat kuasa serta-merta, tiada pembinaan baru atau pembesaran tempat ibadat bukan Islam di wilayah persekutuan akan dibenarkan di atas tanah kerajaan tanpa kelulusan terlebih dahulu, dan sebarang pelanggaran akan tertakluk kepada tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa tempatan.

Arahan yang diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh itu menandakan peralihan ketara ke arah pengawasan yang lebih ketat terhadap struktur keagamaan di wilayah persekutuan.

Walaupun langkah ini bertujuan untuk mencegah pencerobohan selanjutnya, Yeoh berkata penguatkuasaan akan dijalankan dengan berhati-hati, dengan mengambil kira sensitiviti masyarakat tempatan dalam masyarakat Malaysia yang pelbagai.

Keputusan ini susulan mesyuarat peringkat tinggi Jawatankuasa Rumah Ibadat Bukan Islam (Ribi), dengan pihak berkuasa mengkaji semula kebimbangan yang telah lama wujud mengenai struktur tanpa kebenaran di atas tanah kerajaan.

“Bagi menyokong usaha ini, Jabatan Wilayah Persekutuan telah membangunkan pemetaan rumah ibadat bukan Islam yang tidak dibenarkan mengikut kawasan parlimen. Sehingga kini, 163 rumah ibadat bukan Islam telah dikenal pasti di atas tanah kerajaan,” kata Yeoh.

Mesyuarat itu juga bersetuju untuk menubuhkan 11 jawatankuasa kecil yang dipengerusikan oleh ahli parlimen di kawasan masing-masing, untuk memimpin perbincangan dengan pihak berkaitan, termasuk Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme Malaysia (MCCBCHST).

“Dalam masa yang sama, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang memperincikan garis panduan berkaitan pengurusan rumah ibadat bukan Islam bagi membantu memastikan pendekatan yang lebih terselaras dan teratur di seluruh negara,” kata Yeoh.

Langkah serupa di Selangor

Secara berasingan, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata bahawa negeri itu menubuhkan jawatankuasa keselamatan daerah (JKKD) untuk menangani isu pencerobohan tanah, termasuk rumah ibadat yang dibina secara haram di atas tanah persendirian, untuk menyelesaikan perkara tersebut tanpa konflik.

Jelas Amirudin, sekiranya terdapat aktiviti tidak sah di tanah persendirian, ia mesti diuruskan oleh pemiliknya, tetapi apabila terdapat aktiviti sensitif, ia mesti diuruskan dengan baik tanpa pertikaian.

“Apabila isu pencerobohan ini timbul, kita akan mengaktifkan JKKD, yang dipengerusikan oleh pegawai daerah, supaya pihak penceroboh boleh menyingkirkan (struktur) dan pemilik tanah boleh membersihkan tanah tersebut.

“Kami tidak mahu pemilik tanah terpaksa pergi ke mahkamah dan menanggung yuran guaman. Buat masa ini, selain mengaktifkan JKKD, kita juga sedang mendengar pandangan daripada peguam Muslim untuk mengembalikan tanah yang diceroboh (kepada pemilik sah mereka),” lapor Media Selangor.

Amirudin dilaporkan menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Burong Zamri Zainuldin, yang bertanya mengapa JKKD diaktifkan semasa sesi soal jawab di persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini.

Dia juga berkata, selain daripada pencerobohan tanah yang melibatkan rumah ibadat yang dibina secara tidak sah, Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao di Selangor (Limas) sedang mengenal pasti tempat ibadat yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

Laporan itu menyatakan bahawa pada bulan Februari, kerajaan Selangor telah melancarkan JKKD di semua daerah selepas mesyuarat majlis keselamatan negeri yang dipengerusikan oleh Amirudin, sebagai sebahagian daripada usaha untuk menangani pencerobohan tanah dengan lebih sistematik.

Di bawah langkah-langkah yang dipersetujui, pemilik tanah yang terjejas dikehendaki memfailkan laporan polis untuk membolehkan siasatan dan kemungkinan tindakan undang-undang.

Mereka juga mesti mengeluarkan notis rasmi kepada pihak yang menduduki tanah tersebut dan memaklumkan kepada pejabat daerah yang berkaitan, membolehkan JKKD mengambil tindakan selanjutnya.

Media Selangor juga melaporkan pengerusi bersama Limas, Papparaidu Veraman, mengatakan bahawa kerajaan Selangor akan memberi tumpuan kepada dialog dan perundingan sebagai langkah pertama dalam menangani isu-isu berkaitan tempat ibadat bukan Islam yang tidak berdaftar, sambil memperkukuhkan garis panduan dan mengambil tindakan penguatkuasaan jika perlu.

Dia dilaporkan mengakui bahawa perkara-perkara tertentu mungkin dapat ditangani lebih awal, tetapi menekankan bahawa negeri itu kini sedang mengambil pendekatan yang lebih wajar dan seimbang pada masa hadapan.

SPRM sita aset RM4 juta milik pendakwah bebas

MOHD RIDZAUDDIN ROSLAN
Pendakwah bebas terbabit dibawa SPRM ke Mahkamah Majistret Seremban untuk permohonan reman semalam.
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita pelbagai aset berjumlah kira-kira RM4 juta dipercayai milik seorang pendakwah bebas susulan siasatan melibatkan penyelewengan dana sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) miliknya.

Menurut sumber, sitaan dilakukan hari ini termasuklah pelbagai mata wang asing dan tempatan selain barang kemas bernilai RM2 juta.

Sitaaan mata wang melibatkan jumlah sebanyak RM152,155 selain Riyal 7,325 dan SGD 27,134.
“Hari ini SPRM Negeri Sembilan telah melakukan sitaan terbaharu. Selain ada pertambahan sitaan untuk duit mata wang asing dan tempatan, kami turut menyita pelbagai perhiasan emas bernilai kira-kira RM2 juta.

“Sehubungan itu, nilai sitaan terbaharu semalam dan hari ini berjumlah kira-kira RM4 juta,” katanya hari ini.

Menurut sumber, siasatan awal juga mendapati dua ahli jawatan kuasa yang disyaki bersubahat dengan pendakwah bebas tersebut merupakan isterinya yang juga bendahari NGO tersebut dan seorang setiausaha.

Tambah sumber, siasatan turut mendapati duit yang dipercayai dipindahkan ke akaun bank milik pendakwah bebas itu dan juga ke lapan akaun bank syarikat yang juga milik individu itu dilakukan tanpa pengetahuan ahli jawatankuasa lain.

Semalam SPRM Negeri Sembilan telah menahan reman seorang pendakwah bebas selama lima hari kerana disyaki menyalah guna kuasa dan menyeleweng dana sebuah NGO ditempatnya bekerja berjumlah kira-kira RM12.3 juta untuk kepentingan peribadi.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

Katanya, lapan syarikat yang terlibat merupakan syarikat-syarikat yang terdiri daripada syarikat percetakan, penerbitan, jualan buku, pemasaran, penjualan produk, pengurusan sumber manusia dan pengurusan duta produk. – KOSMO! ONLINE

Samun guna pedang samurai, lelaki dijel 17 tahun, 7 sebatan

V Anbalagan

PUTRAJAYA: Seorang lelaki yang melakukan empat rompakan dalam tempoh empat hari dengan bersenjatakan pedang samurai akan menjalani hukuman penjara 17 tahun selepas Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan pihak pendakwaan.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Noorin Badaruddin mengembalikan keputusan Mahkamah Sesyen selepas berpuas hati dengan hujahan Timbalan Pendakwa Raya Allan Suman Pillai.

“Rayuan ini wajar campur tangan oleh Mahkamah Rayuan,” kata Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz yang membacakan penghakiman ringkas.

Lelaki berusia 37 tahun itu turut diperintahkan dikenakan tujuh sebatan.

Seorang lagi anggota panel ialah Hakim Meor Hashimi Abdul Hamid.

Terdahulu, pihak pendakwaan memfailkan rayuan selepas Mahkamah Tinggi mengurangkan tempoh penjara terhadap Tengku Izwan Shah Azman daripada 17 tahun kepada 11 tahun.

Tengku Izwan melakukan kesalahan tersebut di Tanjung Rambutan dan Beruas, Perak antara 23 hingga 26 Julai 2023.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh dihukum penjara empat tahun dan satu sebatan, manakala bagi pertuduhan kedua, lima tahun penjara dan satu sebatan.

Mahkamah Sesyen memerintahkan hukuman itu dijalankan secara serentak, menjadikan tempoh penjara bagi dua pertuduhan pertama adalah lima tahun.

Namun, mahkamah menjatuhkan hukuman enam tahun penjara dan dua sebatan masing-masing bagi pertuduhan ketiga dan keempat.

Hukuman ini diperintahkan berjalan secara berasingan selepas dua pertuduhan pertama, menjadikan jumlah keseluruhan hukuman 17 tahun.

Susulan rayuan Tengku Izwan, Mahkamah Tinggi Ipoh mengekalkan hukuman bagi pertuduhan pertama dan kedua, tetapi memerintahkan hukuman bagi pertuduhan ketiga dan keempat dijalankan secara serentak.

Allan berhujah bahawa keempat-empat kesalahan itu adalah perbuatan jenayah berasingan yang dilakukan pada masa, tempat dan terhadap mangsa yang berbeza.

“Struktur hukuman asal yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen adalah wajar dan seimbang,” katanya.

Beliau berkata dengan menggunakan senjata berbahaya, Tengku Izwan menimbulkan ketakutan terhadap mangsa sehingga menyerahkan wang tunai dan barangan berharga berjumlah hampir RM25,000.

Peguam Aliff Aiman Rusli yang mewakili Tengku Izwan memohon mahkamah mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dengan alasan anak guamnya mempunyai lima orang anak untuk ditanggung.

Tentera mabuk rempuh kereta e-hailing, penumpang maut

Malaysiakini 
story-image
Seorang pegawai tentera ditahan selepas memandu dalam keadaan mabuk sehingga merempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) e-hailing, mengakibatkan seorang maut di Lebuh Raya Maju (MEX) dari Salak Selatan menghala ke Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, awal pagi ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata lelaki 31 tahun  itu memandu Ford Fiesta memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan MPV e-hailing dipandu lelaki berusia 41 tahun.

Katanya, pelanggaran itu menyebabkan penumpang lelaki warga asing 22 tahun yang duduk di barisan tengah meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

MPV itu turut membawa dua orang penumpang wanita, juga warga asing negara sama berumur 20 tahun dan 36 tahun, yang baru mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Berita Harian juga melaporkan Mohd Zamzuri berkata penumpang terselamat mengalami kecederaan dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur.

Mohd Zamzuri berkata, ujian pernafasan alkohol terhadap pemandu Ford Fiesta yang cedera ringan itu mendapati bacaan melebihi had.

Pemandu itu ditahan dan disiasat bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) kerana memandu bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian.

Rafizi: Jika ada PM baru, Azam akan 'buru' Anwar pula

B Nantha Kumar

Bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli mengingatkan kegagalan merombak struktur Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berisiko mengekalkan budaya penyalahgunaan kuasa, termasuk kemungkinan agensi itu terus dilihat sebagai ‘senjata’ politik.

Rafizi memberi amaran kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, menegaskan jika Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dikekalkan tanpa perubahan sistem, situasi sama boleh berulang.

"Bagi menunjukkan kesetiaannya kepada sesiapa sahaja PM yang baru jika dia (Azam Baki) mahu kekal dalam jawatannya, itu bermakna dia perlu memburu musuh PM baru tersebut.

"Dalam kes Datuk Seri Anwar, apabila beliau kini begitu terikat dengan mempertahankan Tan Sri Azam Baki, jadi, mereka terpaksa mempertahankan satu sama lain.

"Jika begitu berlaku, suatu hari nanti, tukar perdana menteri lain, dan Azam Baki masih ada, maka dia perlu melalui seluruh proses lagi, untuk buktikan kepercayaan dia kepada guru baru (PM baru).

"Maka, perdana menteri baru itu akan kata (kepada Azam Baki) kalau dulu kamu kejar aku, sekarang kamu pergi kejar Anwar," katanya kepada pemberita pada jelajah ceramah Himpunan Tangkap Azam Baki di Kuala Lumpur, malam tadi.

Kata Rafizi lagi, keadaan itu boleh membentuk persepsi siasatan tertentu pada masa ini hanya tertumpu kepada musuh politik pihak berkuasa.

Untuk rekod, sekretariat Tangkap Azam Baki sebelum ini merancang perhimpunan bagi mendesak siasatan menyeluruh berhubung isu pemilikan saham Azam serta dakwaan salah laku melibatkan apa yang digelar “mafia korporat”.

Sekretariat yang disokong 32 NGO termasuk Bersih itu mendakwa isu berkenaan belum menerima penjelasan menyeluruh daripada kerajaan.

Sebelum ini, Rafizi yang juga ahli parlimen Pandan turut mengkritik pendekatan demonstrasi yang disifatkannya sebagai "penakut", sambil menggesa orang ramai menunjukkan keberanian dalam protes Tangkap Azam Baki pada 25 April ini.

Perhimpunan di Dataran Merdeka itu, katanya, bertujuan menuntut peletakan jawatan Azam susulan kontroversi pegangan saham yang didakwa melebihi had bagi penjawat awam serta tuduhan bersekongkol dengan pihak berkepentingan korporat.

Mengulas lanjut, Rafizi menegaskan tuntutan tersebut tidak terhad kepada individu semata-mata, sebaliknya menyentuh soal integriti institusi.

"Sebenarnya, ia bukan jasadnya. Ia bukan mengenai Azam Baki semata-mata sebagai seorang individu.

“Kebimbangan kami adalah integriti dan kebebasan SPRM.

"Tetapi, selagi wujud rangkaian antara SPRM, golongan elit perniagaan, dan golongan elit politik yang membolehkan tindakan memperalatkan SPRM diteruskan, maka kita masih perlu terus berjuang demi kebebasan SPRM.

"Ia sama seperti generasi terdahulu semasa Bersih bermula. Ia sebenarnya bukan tentang kepimpinan SPRM. Ia adalah tentang reformasi sistem pilihan raya supaya ia bebas, adil dan telus," katanya ketika ditanya tujuan himpunan tersebut sekiranya kontrak Azam tidak disambung.

Kontrak Azam sebagai ketua pesuruhjaya SPRM kini menjadi perhatian apabila tempoh semasanya dilanjutkan setahun bermula 13 Mei 2025 hingga 12 Mei 2026.

Azam sebelum ini sudah tiga kali dilantik semula untuk tempoh setahun berturut-turut, yang mengundang kritikan terhadap kerajaan Madani.

Susulan pendedahan terbaru berhubung pegangan saham serta kaitan dengan dakwaan korporat, beberapa pemimpin DAP dan ahli parlimen PKR menggesa penubuhan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat perkara tersebut.

Datuk Undang Yang Empat boikot DUN, gesa MB rujuk pengisytiharan pecat Tuanku Mukriz

Hariz Mohd

Para pembesar wilayah di Negeri Sembilan menggesa upacara pembukaan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadualkan pagi ini ditangguhkan sehingga seorang Yang Dipertuan Besar baru dilantik secara sah.

Dalam kenyataan bersama, empat Datuk Undang Yang Empat, bersama Tunku Besar Tampin, merujuk kepada keputusan mereka minggu lalu untuk “memecat” Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Mereka mendakwa Menteri Besar Aminuddin Harun tiada pilihan selain mematuhi kuasa mereka yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

"Kuasa yang diperuntukan kepada Kami ini adalah dilindungi di bawah Perkara 71(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 79 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

"Maka Kami bersabda untuk YAB Menteri Besar Negeri Sembilan akur dan patuh dan tidak bertindak melangkaui bidang kuasa yang termaktub," menurut kenyataan yang dikeluarkan sejurus sebelum tengah malam tadi.

Para undang turut memaklumkan mereka tidak akan menghadiri upacara pembukaan DUN hari ini — satu tindakan yang menyimpang daripada tradisi, apabila kelima-lima mereka bersama Yang Dipertuan Besar biasanya hadir pada sidang pertama legislatif setiap tahun.

Undang Sungai Ujong, Mubarak Thahak, bagaimanapun tidak dijemput ke majlis tersebut kerana dianggap turut telah dipecat.