Apa motif sebenar?: 61 tikaman bukan bunuh biasa, tetapi overkill penuh emosi – PHM

KOSMO!

PETALING JAYA – Insiden pembunuhan kejam seorang pelajar kolej wanita berusia 19 tahun di Keterah, Kelantan semalam bukan satu kejadian bunuh biasa.

Ini kerana kata Public Health Malaysia (PHM), dari sudut psikologi forensik, tikaman yang terlalu banyak sering dibincangkan sebagai overkill. BioteknologiReproduktif Malaysia

Jelas PHM, tindakan itu merupakan satu keganasan yang melampaui apa yang diperlukan untuk menyebabkan kematian.

“Dalam bahasa mudah, ia bukan hanya tentang “membunuh”, tetapi boleh menggambarkan emosi yang sangat meledak.

“Ia seperti kemarahan melampau, dendam, rasa mahu menguasai, panik, atau kehilangan kawalan ketika serangan berlaku,”kata PHM dalam satu perkongsian di laman Facebooknya.

Bagaimanapun PHM berkata, motif sebenar kejadian tersebut ditentukan melalui siasatan rapi pihak berkuasa.

“Bukan andaian media sosial semata-mata,”katanya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan penemuan mayat seorang pelajar kolej wanita dipercayai dibunuh dengan kesan tikaman di badan sebelum ditinggalkan di tepi jalan di Kampung Simah, Ketereh.

Pemeriksaan awal pasukan forensik mendapati terdapat sebanyak 61 kesan tikaman pada tubuh mangsa.

Mangsa memakai rantai leher dengan ukiran nama ‘Syaa’, seutas rantai tangan pada pergelangan tangan kiri dan sebentuk cincin di jari tengah.

Ekoran kejadian itu, polis telah empat individu termasuk dua warga emas ditahan bagi membantu siasatan melibatkan tiga lelaki berusia dalam lingkungan 19 hingga 66 tahun dan seorang wanita berusia 60 tahun.

Keempat-empat suspek itu ditahan di dua serbuan berasingan di Taman Murni, Jalan Abdul Kadir Adabi Kota Bharu dan Kampung Belukar Luas, Ketereh kira-kira pukul 2.40 petang semalam hingga 2 pagi tadi.-KOSMO! ONLINE

Polis kejar kereta dipandu wanita sejauh 135km

Bernama

Polis berjaya menahan tiga individu termasuk seorang wanita selepas mengejar kereta dinaiki mereka sejauh kira-kira 135 kilometer bermula di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Serdang, Selangor hingga ke persimpangan lampu isyarat Sungai Petai di sini, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Ahmad Abu Bakar berkata kejadian kira-kira 8 malam itu berlaku apabila sepasukan anggota kereta peronda (MPV) Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang mengarahkan sebuah kereta jenis Honda City berwarna hitam yang dipandu dalam keadaan mencurigakan supaya berhenti.

“Bagaimanapun, pemandu kenderaan itu enggan memberikan kerjasama dan bertindak memecut laju untuk melarikan diri sebelum dikejar anggota polis hingga ke Melaka.

“Setibanya di persimpangan lampu isyarat Sungai Petai, kenderaan suspek hilang kawalan dan melanggar sebuah pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max yang dipandu seorang lelaki tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati kereta itu dinaiki dua lelaki tempatan masing-masing berumur 23 dan 43 tahun serta seorang wanita berumur 41 tahun yang juga pemandu.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut menemukan satu peket plastik lutsinar mengandungi bahan disyaki heroin seberat 2.16 gram dan satu lagi peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki syabu seberat 0.65 gram.

“Semakan rekod lampau mendapati seorang daripada suspek lelaki mempunyai 24 rekod jenayah dan dadah, manakala seorang lagi mempunyai lapan rekod jenayah, sementara wanita itu memiliki dua rekod kesalahan berkaitan dadah.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati dua suspek positif methamphetamine manakala seorang lagi positif morfin,” katanya.

Beliau berkata kesemua suspek direman selama empat hari hingga 3 Mei bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

- Bernama

Mayat lelaki warga Myanmar ditemui di dasar tasik

MOHD. FAHMI ISMAIL
Mangsa berjaya dibawa naik oleh anggota PPDA sebelum disahkan meninggal dunia. Foto JBPM
KAJANG – Seorang lelaki warga Myanmar ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari tebing tasik di Tasek Taman Cheras Prima, Jalan Cheras Lima 1, di sini hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.31 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Kembangan digerakkan ke lokasi. BioteknologiReproduktif Malaysia

“Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) yang sedang berada di lokasi kejadian kanak-kanak terjatuh longkang di Bandar Mahkota Cheras turut digerakkan dan tiba di lokasi pada pukul 7.15 malam.

“Mangsa dipercayai terjatuh dari tebing tasik dengan kedalaman kira-kira tiga meter,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, operasi pencarian dilakukan menggunakan teknik ‘arch pattern’ sebelum mangsa ditemui kira-kira tiga meter dari tebing pada kedalaman 1.5 meter.

“Mangsa berjaya dibawa naik oleh anggota PPDA dan disahkan meninggal dunia sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Wanita terjun dari kereta e-hailing

ISKANDAR SHAH MOHAMED
Tangkap layar rakaman video tular kejadian itu di jalan berdekatan Taman Eng Ann, Klang.
KLANG – Cemas dilihat pemandu e-hailing melalui cermin pandang belakang dipercayai punca seorang penumpang wanita bertindak terjun dari kenderaan itu dalam kejadian berdekatan Taman Eng Ann di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian yang tular di media sosial itu daripada pemandu lelaki berusia 47 tahun kira-kira pukul 9 pagi tadi.

Katanya, ketika kejadian, pemandu e-hailing itu dalam perjalanan menghantar dua penumpang sebelum salah seorang daripada mereka bertindak membuka pintu belakang lalu terjun dari kenderaan yang sedang bergerak.

“Pemandu itu segera memberhentikan kereta dan mendapati penumpang wanita berusia 25 tahun cedera ringan. Siasatan awal mendapati wanita itu cemas dan bimbang akan keselamatannya selepas pemandu tersebut memerhatinya melalui cermin pandang belakang,” katanya.

Menurut Vijaya, pemandu e-hailing itu kemudian membatalkan pesanan dan penumpang tersebut dihantar ke klinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan.

“Pemandu tersebut membuat laporan polis sebagai perlindungan diri (covering report). Kes disiasat mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan. Usaha mengesan penumpang terbabit sedang dilakukan bagi melengkapkan siasatan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Rafizi: Krisis N Sembilan strategi Umno paksa Anwar buat PRU awal

B Nantha Kumar

Bekas timbalan presiden PKR Rafizi Ramli, memberi amaran bahawa krisis politik di Negeri Sembilan bukan sekadar pergolakan biasa, tetapi kemungkinan strategi awal Umno untuk memaksa Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan seawal Oktober ini.

"Saya percaya, kemelut Negeri Sembilan adalah strategi besar Umno untuk membina gelombang kemenangan sepertimana di PRN Johor dan Melaka empat, lima tahun lalu. Tujuannya adalah untuk memaksa Perdana Menteri Anwar Ibrahim membubarkan Parlimen dan mengadakan PRU.

"Sekarang menggunakan strategi yang sama. Nak membina gelombang besar. Itu akan paksa Anwar sama ada nak atau tak nak kena adakan PRU awal, dan Umno nak sapu satu Malaysia.

"Jadi, ada kemungkinan PRU diadakan bulan Oktober sekali dengan PRN Negeri Sembilan, Melaka dan Johor sekali," kata Rafizi dalam podcast Yang Berhenti Menteri (YBM) semalam.

Namun, bekas menteri ekonomi itu berpendapat bahawa strategi Umno di Negeri Sembilan tidak membuahkan hasil yang diingini mereka.

"Nampaknya, gelombang Umno bermula di Negeri Sembilan ini tak nampak cantik.

"Tapi, ia membawa kesan yang tidak diingini kepada Umno. Krisis ini ingatkan rakyat semula kepada watak dan wajah dan juga masalah dalaman Umno," katanya.

Untuk rekod, krisis politik di negeri itu memuncak apabila kesemua 14 Adun Umno Negeri Sembilan di bawah pimpinan pengerusi Umno negeri Jalaluddin Alias mengumumkan penarikan sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar, Aminuddin Harun.

Tindakan ini menyebabkan kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini memiliki majoriti selesa 31 daripada 36 kerusi DUN (17 PH + 14 BN) merosot kepada hanya 17 kerusi, iaitu di bawah majoriti mudah 19 kerusi.

Keadaan ini sekaligus membuka ruang kepada Perikatan Nasional (PN) yang memiliki lima kerusi untuk menyatakan kesediaan bekerjasama dengan BN membentuk kerajaan baru.

Aminuddin bagaimanapun mengumumkan akan meneruskan tugasnya atas nasihat Yang Di-Pertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, dengan sokongan minoriti.

Terbaru, pucuk pimpinan Umno membuat ketetapan untuk meneruskan sokongan kepada kerajaan perpaduan pimpinan PH.

Namun, 14 Adun Umno Negeri Sembilan termasuk timbalan presiden parti Mohamad Hasan (Adun-Rantau) masih kekal dengan keputusan menarik balik sokongan dan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin.

Mengulas lanjut, Rafizi melabel krisis negeri itu sebagai 'Langkah Jalal' (nama panggilan Jalaluddin) dan menyifatkannya sebagai pramatang.

"Jalaluddin yang dikenali tidak sekutu dengan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi mempunyai cita-cita lama untuk menjadi menteri besar.

"Tindakan dia ini tembakan pramatang dalam usaha menyusun sesuatu yang lebih besar, tetapi gagal mengambil kira kesan buruk jangka panjang.

"Isu besar ialah kesan kepada Umno secara keseluruhannya. Label 'tebuk atap' ini negatif kepada pengundi progresif. PRN lalu, pengundi progresif ini sokong PH. Kemenangan Umno di Negeri Sembilan baru-baru ini banyak bergantung kepada undi bukan Melayu dan Melayu progresif," kata Rafizi.

Untuk rekod, selepas PRU15, Jalaluddin yang juga ahli parlimen Jelebu adalah antara yang menandatangani akuan sokongan kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin untuk membentuk kerajaan.

"Timbalan Presiden Umno mungkin tahu isu di peringkat negeri, tapi tak bincang di pusat. Zahid kata beliau tak tahu. Ini semua akan kembalikan trauma rakyat kepada wajah-wajah Umno dulu – tebuk atap, rebut jawatan, tindakan sana sini.

"Lebih bahaya lagi apabila mereka guna 'pertahan institusi raja' untuk kepentingan peribadi. Kamu kata pertahankan institusi di raja. Tapi, lawan Yang di-Pertuan Besar. Itu kenyataan yang lebih bahaya kepada Umno," katanya.

Polis cari pemandu Myvi tular pukul penunggang motosikal dengan kayu

FMT Reporters

Kejadian itu dikesan menerusi satu video berdurasi kira-kira 30 saat itu dimuat naik di media sosial.
Tangkap layar rakaman video menunjukkan kejadian tular membabitkan pemandu yang didakwa memukul penunggang motosikal dengan sebatang kayu.
PETALING JAYA: Polis sedang mengesan seorang lelaki dipercayai memukul penunggang motosikal menggunakan sebatang kayu dalam satu kejadian tular di Johor Bahru.

Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Raub Selamat, berkata polis mengesan satu video berdurasi kira-kira 30 saat itu dimuat naik di media sosial.

Katanya, video terbabit menunjukkan pemandu kereta dipercayai Perodua Myvi melakukan tindakan agresif dengan membuat provokasi sebelum memukul penunggang terbabit di tengah jalan.

“Kejadian dipercayai berlaku di kawasan sebuah stesen minyak di Jalan Bukit Chagar, Bukit Senyum.

“Setakat ini, tiada sebarang laporan polis diterima daripada mana-mana pihak yang terbabit dalam kejadian berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, menurut Berita Harian.

Tambahnya, polis bagaimanapun sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti identiti kedua-dua individu terbabit termasuk motif sebenar kejadian.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi hotline IPD Johor Bahru Selatan di talian 07-2182323,” katanya.

Murid 12 tahun dakwa dipukul, ditendang, kepala direndam senior

AMRAN ALI

MELAKA – Seorang murid lelaki berusia 12 tahun dilaporkan menjadi mangsa buli senior apabila mendakwa telah dipukul, ditendang dan kepala direndam di dalam baldi di sebuah rumah anak yatim di Tanjung Kling di sini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian terbongkar selepas ibu mangsa membuat laporan polis pada pukul 7.11 malam pada Rabu lalu berhubung perbuatan beberapa pelajar senior yang dikenali terhadap anaknya.

Katanya, susulan itu sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah telah menahan empat suspek yang juga pelajar sekolah menengah berusia antara 15 hingga 16 tahun pada pukul 3.45 petang, kelmarin.
“Mangsa merupakan murid yang tinggal sebuah rumah anak yatim di Tanjung Kling dan mendakwa dia telah dibuli dengan cara kekerasan oleh pelajar senior dikenali.

“Suspek dikatakan telah memukul, menendang, merendam kepala mangsa di dalam baldi air serta menyeret mangsa di atas lantai tandas,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing adalah negatif.

“Kesemua suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan diambil dan kes disiasat di bawah Seksyen 507B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Pihak polis juga ingin menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan kes berkenaan di media sosial,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Kelantan: Gadis maut ditikam 61 kali sempat keluar makan bersama dua suspek lelaki

KOSMO!
Anggota polis membawa dua suspek lelaki selepas permohonan reman diluluskan oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini. Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN / KOSMO!
KOTA BHARU – Seorang gadis yang dibunuh dengan 61 tikaman dari muka hingga ke kaki sebelum ditinggalkan di tepi jalan di Kampung Simah, Ketereh di sini semalam dipercayai sempat keluar makan bersama dua suspek lelaki.

Menurut sumber, mangsa yang menetap di sebuah kondominium di sini dikatakan keluar pada waktu siang bersama salah seorang suspek berusia 19 tahun dengan menaiki kereta jenis Honda City sebelum dia dihantar semula ke kediamannya.

“Pada waktu malam, mangsa dipercayai keluar sekali lagi bersama suspek kedua yang disyaki suspek utama iaitu penuntut kolej vokasional dengan menaiki kereta jenis Perodua Bezza.

“Mereka dikatakan makan di sebuah premis di Wakaf Bharu, Tumpat dan mangsa sempat memuat naik status makanan di WhatsApp kira-kira pukul 11 malam sebelum mayatnya ditemukan kira-kira pukul 12.30 tengah malam,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sumber memberitahu, motif kejadian masih dalam siasatan dan difahamkan suspek kedua baru mengenali mangsa.

Katanya, kedua-dua kenderaan yang digunakan iaitu Honda City dan Perodua Bezza turut dirampas bagi membantu siasatan.

Tambahnya, dua warga emas iaitu pasangan suami isteri yang ditahan dipercayai ibu bapa kepada salah seorang suspek yang menetap di Ketereh di sini.

Kosmo! Online hari ini melaporkan, empat individu termasuk pasangan suami isteri warga emas direman bagi membantu siasatan berhubung kes seorang gadis berusia 19 tahun yang dibunuh sebelum ditinggalkan di tepi jalan di Kampung Simah, Ketereh di sini semalam.

Majistret Amirul Asyraf Abdul Rasid membenarkan dua lelaki berusia 19 tahun masing-masing menjalani tahanan reman selama tujuh hari bermula semalam hingga Jumaat depan.

Seorang lelaki warga emas berusia 66 tahun dan isterinya berusia 60 tahun pula diperintah menjalani tahanan reman selama tiga hari bermula semalam hingga Isnin. – KOSMO! ONLINE

Kelantan: Cemburu dipercayai punca gadis ditikam 61 kali, kata polis

FMT Reporters

Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat berkata pihaknya percaya kes itu selesai dengan penahanan suspek utama.
Terdahulu, dua remaja bersama pasangan warga emas direman di Mahkamah Majistret Kota Bharu bagi membantu siasatan kes bunuh penuntut kolej perempuan berusia 19 tahun yang mayatnya ditemui dengan 61 kesan tikaman. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Cemburu dipercayai punca pembunuhan seorang penuntut kolej perempuan berusia 19 tahun yang mayatnya ditemui dengan 61 kesan tikaman di Ketereh, Kota Bharu tengah malam semalam.

Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat, berkata polis mengesyaki mangsa ditikam sehingga maut oleh teman lelakinya yang juga berusia 19 tahun berikutan berlaku salah faham.

Katanya, siasatan awal juga menunjukkan berlaku pertengkaran antara mangsa dan suspek yang membawa kepada kematiannya.

“Dia dipercayai ditikam ketika berada di dalam kereta suspek.

“Dengan penangkapan suspek utama ini, polis percaya kes pembunuhan ini sudah selesai,” katanya, menurut New Straits Times.

Beliau berkata seorang lagi remaja yang ditahan adalah rakan mangsa.

Terdahulu, empat suspek termasuk pasangan warga direman tiga dan tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes terbabi

Mayat mangsa dilaporkan ditemukan dengan 61 kesan tikaman berhampiran kawasan sawah di Kampung Simah kira-kira 12.35 tengah malam.

Dia disahkan meninggal dunia di lokasi penemuan sebelum dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk tindakan lanjut.

Hasil bedah siasat mendapati 61 tikaman di keseluruhan badan dan muka serta punca kematian adalah akibat kecederaan tikaman berganda di bahagian dada.

Kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Umno N Sembilan ‘tunggu dan lihat’ isu kedudukan MB - Jalaluddin

Hariz Mohd & Alyaa Alhadjri

Umno Negeri Sembilan mengambil pendekatan "tunggu dan lihat" terhadap sebarang keputusan yang akan dibuat oleh pemimpin tertinggi parti, bersama-sama dengan Pakatan Harapan (PH) sebagai rakan kongsi dalam kerajaan, mengenai kedudukan menteri besar negeri.

Bercakap kepada pemberita pada sambutan ulang tahun ke-80 Umno, Pengerusi Umno Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias, menegaskan bahawa kesemua 14 wakil rakyat negeri yang dipilih parti itu telah menarik balik sokongan kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.

"Saya sudah menyatakan pendirian 14 Adun Negeri Sembilan bahawa kita sudah hilang keyakinan pada kepimpinan menteri besar (Aminuddin).

"Ini bermakna kita tidak lagi mengambil pendekatan mengubah pendirian ini. Ini bukan pendirian yang berkaitan kepentingan politik, berkaitan dengan kuasa, ataupun 'tebuk atap'. Ini berkaitan urus tadbir kerajaan yang menguruskan institusi adat dan raja di Negeri Sembilan," tegasnya.

Jalaluddin juga menegaskan bahawa Umno Negeri Sembilan tetap bersedia untuk menjadi sebahagian daripada pembangkang negeri sehingga pilihan raya negeri atau pilihan raya umum akan datang.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini berkata bahawa persoalan sama ada terdapat keperluan untuk melantik menteri besar Negeri Sembilan yang baru atau sebaliknya akan dibawa ke meja rundingan oleh kepimpinan BN dan PH.

Merujuk kepada perkara itu hari ini, Jalaluddin berkata, "Itu kita tunggu keputusan.

"Siapapun calon menteri besar yang diputuskan oleh pucuk pimpinan, itu keputusan pimpinan tertinggi BN dan PH. Itu bukan keputusan Umno Negeri Sembilan. Maka kita akan tunggu dan lihat bila keputusan itu dibuat," katanya.

Ditanya lebih lanjut sama ada Umno Negeri Sembilan bersedia untuk menyokong menteri besar baru daripada PKR atau PH, Jalaluddin menegaskan sekali lagi mereka akan "tunggu dan lihat" dan persoalannya melangkaui politik, kuasa atau mana-mana individu.

"Yang menjadi persoalan adalah berkenaan tugas hakiki sebagai menteri besar itu tidak boleh membiarkan krisis ini sehingga berlaku seperti krisis di Negeri Sembilan.

"Apabila ia (krisis) berlaku, pelbagai persepsi yang buruk akan menjadi perbincangan di media sosial. Ia akan menjadi kefahaman yang berbeza di kalangan anak-anak muda hingga menjejaskan insitusi adat," katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya di Konvensyen Ulang Tahun Umno ke-80, Jalaluddin mempertahankan keputusan 14 Adun Umno yang menarik balik sokongan mereka kepada Aminuddin.

Menurutnya, menteri besar itu telah melepasi "garisan merah" apabila berpihak dalam pertikaian diraja antara Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Undang Yang Empat.

Tambah Jalaludin, kegagalan menteri besar untuk menguruskan krisis ini juga telah mencemarkan imej institusi diraja Negeri Sembilan.

"Inilah antara titik tolak berlakunya krisis politik di Negeri Sembilan, apabila sebelah pihak melanggar garis merah yang ditetapkan, dan mengambil mudah perkara itu seolah-olah tiada apa yang berlaku.

"Isu penting yang sepatutnya dibawa berbincang dan mengambil tanggungjawab bersama diantara BN dan PH, dibuat secara sendiri sehingga mencalarkan imej Umno," katanya.

Dalam ucapannya, Adun Pertang itu turut menyangkal tuduhan bahawa Umno Negeri Sembilan mahu merampas kuasa daripada PH, atau 'tebuk atap'.

Jalaluddin berkata 14 Adun Umno, termasuk empat ahli exco negeri, sentiasa menyokong kepimpinan Aminuddin dan dasar kerajaan negeri sejak mereka membentuk kerajaan perpaduan di Negeri Sembilan.

"Jika Umno mahu tebuk atap, Umno telah lakukan lama dahulu. Rakan-rakan Adun di Negeri Sembilan boleh sahkan, tidak ada sebarang perbincangan awal untuk tebuk atap.

"Kalau Umno mahu berkuasa, peluang itu sudah terhidang selepas PRN, tapi Umno memilih bekerjasama dalam kerajaan perpaduan.

"Krisis hari ini hanya timbul setelah Umno hilang keyakinan terhadap menteri besar apabila krisis adat dan perlembagaan ini gagal diurus dengan tertib," katanya.

Rafizi dipanggil SPRM isu perjanjian RM1.1 bilion

Malaysiakini 

Bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli dipanggil oleh SPRM untuk membantu siasatan yang melibatkan perjanjian kerajaan bernilai RM1.1 bilion dengan gergasi semikonduktor British, Arm Holdings.

Dalam satu catatan media sosial hari ini, Rafizi berkata dia telah menerima notis daripada SPRM yang memintanya memberikan kenyataan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya Isnin depan.

"Saya jangka, selepas keterangan-keterangan saya diambil minggu depan, saya mungkin akan didakwa atas tuduhan pecah amanah atas alasan memberi maklumat yang salah, atau menyebabkan Jemaah Menteri menandatangani secara tergesa-gesa.

"Insya Allah, saya telah bersedia dengan pasukan peguam saya.

"Ia akan menjadi perbicaraan yang panjang dan menarik, kerana ramai pimpinan besar negara akan dipanggil menjadi saksi: dari Perdana Menteri, kepada Timbalan-timbalan Perdana Menteri, kepada menteri-menteri," kata ahli parlimen Pandan itu.

Awal minggu ini, bekas pembantu Rafizi, James Chai, telah selesai memberi keterangannya kepada SPRM sebagai sebahagian daripada siasatan yang sama.

Semalam, pada hari ketiga prosedur di SPRM, Chai hanya meninggalkan perkarangan ibu pejabat agensi antirasuah itu selepas 11 jam berada di sana.

Sebelum ini dilaporkan bahawa siasatan itu susulan aduan daripada beberapa NGO yang mendakwa bahawa perjanjian itu diatur secara tergesa-gesa dan berat sebelah, dan boleh memberi implikasi kewangan kepada kerajaan.

Walau bagaimanapun, Rafizi menyifatkan siasatan itu sebagai satu bentuk intimidasi yang berkaitan dengan tuntutannya untuk penggantungan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki.

Gesaan Rafizi itu, yang disuarakan oleh pelbagai pihak lain, hadir selepas Azam terlibat dalam skandal pegangan saham, serta dakwaan bahawa pegawai SPRM telah berpakat dengan individu persendirian untuk menyingkirkan pesaing perniagaan dan merancang pengambilalihan korporat.

Tragedi ambil bola, budak perempuan dikhuatiri hanyut dalam longkang

Noor Hidayah Tanzizi
am@hmetro.com.my
KANAK-kanak perempuan dikhuatiri dihanyutkan arus selepas dipercayai terjatuh ke dalam longkang ketika mahu mengambil bola di Bandar Mahkota Cheras, di sini, hari ini. FOTO Bomba.
KANAK-kanak perempuan dikhuatiri dihanyutkan arus selepas dipercayai terjatuh ke dalam longkang ketika mahu mengambil bola di Bandar Mahkota Cheras, di sini, hari ini. FOTO Bomba.
Kajang: Seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dikhuatiri dihanyutkan arus selepas dipercayai terjatuh ke dalam longkang di sebuah kondominium di Bandar Mahkota Cheras, di sini, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa cuba mengambil bola di dalam longkang berkenaan sebelum dibawa arus deras.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 7.08 malam, dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang digerakkan ke lokasi untuk tindakan lanjut.

"Kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dipercayai terjatuh ke dalam longkang untuk mengambil bola.

"Ketika kejadian berlaku, arus longkang deras dan disyaki mangsa dibawa arus," katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Beliau berkata, ketika ini operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa sedang dilakukan.

"Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Selangor juga digerakkan ke lokasi," katanya.

Jemaah haji Malaysia pertama meninggal dunia, rebah di Masjidil Haram

JUANI MUNIR ABU BAKAR

MEKAH – Seorang lelaki dari Pahang menjadi jemaah haji pertama Malaysia meninggal dunia di Tanah Suci hari ini selepas rebah ketika ingin menunaikan solat Jumaat di Masjidil Haram. BioteknologiReproduktif Malaysia

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd. Hisham Harun berkata, Allahyarham yang berusia 65 tahun ketika itu berada di dataran Masjidil Haram untuk menunaikan solat Jumaat sebelum tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri.

“Pasukan perubatan segera memberikan rawatan awal termasuk bantuan pernafasan di lokasi kejadian sebelum mangsa dikejarkan ke Hospital Jiwar Jabal Omar, Makkah.

“Bagaimanapun, jemaah tersebut disahkan meninggal dunia kira-kira jam 12.15 tengah hari akibat komplikasi jantung (cardiac arrest),” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mohd. Hisham memaklumkan, jemaah itu yang berasal dari Pahang tiba ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah haji bersama isterinya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihak Lembaga Tabung Haji (TH) telah membantu menguruskan segala urusan pengebumian Allahyarham.

“Jenazah disolatkan di Masjidil Haram selepas solat Maghrib dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Al-Sharaea, Mekah,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Hisham memaklumkan, TH turut memaklumkan bahawa kebajikan isteri Allahyarham sedang diberi perhatian, selain bantuan sokongan oleh petugas kebajikan, kaunselor dan pembimbing ibadah haji.

Selain itu, pihak TH juga akan mengadakan majlis bacaan tahlil bersama jemaah haji lain dalam masa terdekat.

Mohd. Hisham berkata, pihaknya turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham dan mendoakan agar roh beliau dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman. – KOSMO! ONLINE

Wanita warga asing maut jatuh dari balkoni Aras 3 KLIA Terminal 2

Mohd Iskandar Ibrahim

Putrajaya: Wanita warga asing maut terjatuh dari balkoni Aras 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 di Sepang.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner M Ravi berkata, kejadian berlaku pada 2.20 petang Jumaat.

Katanya, wanita berusia 27 tahun itu pada awalnya dilihat duduk di kawasan luar balkoni dalam keadaan menangis dan menjerit secara agresif.

"Petugas dan pengawal keselamatan cuba menenangkan wanita berkenaan, namun usaha tersebut tidak berjaya. Seorang anggota keselamatan KLIA kemudian cuba mendekatinya untuk memberikan bantuan.

"Bagaimanapun, wanita itu bertindak di luar kawalan sebelum jatuh ke kawasan Loading Bay KLIA2," katanya dalam kenyataan malam ini.

Ravi berkata, pasukan perubatan yang tiba di tempat kejadian memberi rawatan kecemasan, sebelum mangsa dibawa ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut.

Katanya, kira-kira jam 5 petang, pihak Hospital Putrajaya mengesahkan wanita berkenaan meninggal dunia.

"Semakan mendapati wanita itu warganegara China yang dijadualkan menaiki penerbangan pulang ke negara asal pada 2 Mei 2026 (hari ini).

"Siasatan dijalankan mengikut Prosedur Kematian Mengejut (SDR)," katanya.

Terdahulu, tular video berdurasi 40 saat memaparkan seorang wanita yang berada di tempat tinggi di kawasan KLIA Terminal 2 jatuh.

Dalam kes berasingan, rakaman video seorang lelaki ditemui tertiarap di kawasan rumput dipercayai jatuh di lapangan terbang sama, malam tadi turut tular.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan status mangsa.

Ravi yang mengesahkan kejadian itu berkata, kes berkenaan masih dalam tindakan pihaknya.

6 cedera ditikam di sekolah menengah

KOSMO
Orang ramai dikeluarkan dari bangunan selepas beberapa pelajar ditikam di Tacoma, Washington kelmarin. - Fox 13 Seattle
TACOMA, WASHINGTON – Sekurang-kurangnya enam orang cedera ditikam oleh seorang pelajar dalam serangan di sebuah sekolah menengah di negeri Washington, lapor akhbar New York Post. 

Pasukan kecemasan bergegas ke Sekolah Menengah Foss di bandar Tacoma sekitar pukul 1.40 tengah hari (waktu tempatan) selepas menerima laporan mengenai amukan pisau. 

Jabatan Bomba Tacoma berkata, enam orang termasuk lima pelajar dan seorang pengawal keselamatan cedera dalam serangan itu. 

Lima mangsa dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut, dengan empat daripada mereka kritikal. 

“Keempat-empat mangsa yang  parah berada dalam keadaan stabil semalam,” kata Jabatan Bomba Tacoma semalam.

Suspek yang dikenal pasti sebagai pelajar sekolah berkenaan turut cedera dan diberkas.

Dua pelajar sekolah berkenaan memberitahu stesen penyiaran Fox bahawa kejadian  berpunca daripada pertelingkahan mengenai pen vape yang dicuri. 

“Situasi sangat gila. Ia sangat teruk. Ada darah di mana-mana,” kata mereka. 

Siasatan dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian. – AGENSI

Bayi maut dipukul ibu dengan alat kawalan jauh TV

Agensi

Seoul: Wanita berusia 30-an ditahan atas tuduhan membunuh anak lelakinya berusia lapan bulan, menurut kenyataan pihak berkuasa Korea Selatan, semalam, lapor The Korea Herald.

Polis Wilayah Gyeonggi Nambu memaklumkan bahawa suspek kini disiasat di bawah pertuduhan penderaan kanak-kanak yang mengakibatkan kematian.

Suspek mengaku memukul kepala mangsa dengan alat kawalan jauh televisyen pada 10 April lalu.

Mangsa dibawa ke hospital berhampiran di Bucheon, Wilayah Gyeonggi, sejurus selepas kejadian.

Doktor mendapati mangsa mengalami kecederaan kepala yang parah termasuk keretakan tengkorak dan mencadangkan supaya bayi itu dimasukkan ke wad, namun ibu mangsa enggan membenarkan rawatan dan membawa anaknya pulang.

Pada 13 April, suspek sekali lagi membawa mangsa ke hospital yang sama selepas mendapati bayi itu tidak sedarkan diri di rumah. Mangsa disahkan meninggal dunia pada keesokan paginya.

Pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah mendapati ibu bapa mangsa sering meninggalkan bayi berkenaan sendirian selama beberapa jam.

Pada mulanya, suspek mendakwa mangsa cedera akibat terjatuh ketika mandi, namun kemudian mengaku melakukan penderaan ketika disoal siasat.

Polis menahan suspek dan bedah siasat awal oleh Perkhidmatan Forensik Kebangsaan mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat kecederaan kepala.

Semasa soal siasat, suspek mengaku mendera mangsa kerana bayi itu tidak berhenti menangis dan enggan tidur.

Polis kini menyiasat bapa mangsa sebagai saksi bagi menentukan sama ada lelaki itu terbabit atau mengetahui serta membiarkan penderaan itu berlaku.

Pihak berkuasa memaklumkan bahawa mereka akan memohon perintah tahanan pada hari ini untuk menahan suspek secara rasmi.
-hmetro 

Buang bayi: Ibu tunggal didenda RM1,500


Bernama

KLANG: Seorang ibu tunggal hari ini didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku meninggalkan anak lelaki yang baru dilahirkannya dengan niat membuang bayi itu, awal bulan ini.

Majistret Siti Zubaidah Mahat turut memerintahkan Nor Ain Shafina Norazman, 36, yang juga bekas guru tadika, dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Salman Alfarisi Nawawi memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Bagaimanapun, peguam K.Nathiya daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan merayu agar mahkamah mengenakan denda minimum atas alasan Nor Ain Shafina mempunyai tiga anak, termasuk bayi yang baharu dilahirkan itu.

“Anak guam saya berhasrat untuk mendaftarkan bayi tersebut di Jabatan Pendaftaran Negara... dia insaf dan menyesali perbuatannya,” kata peguam itu.

-- BERNAMA

Malaysia jatuh tujuh anak tangga: Komitmen kerajaan pada kebebasan akhbar dipersoal

Malaysiakini 

Penurunan kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia 2026 menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat sivil dan pengkritik kerajaan yang memetik keadaan media dan wartawan tempatan yang semakin buruk.

Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) Malaysia menyatakan kedudukan itu dikeluarkan ketika pembunuhan wartawan mencatatkan rekod tertinggi di Gaza, Palestin, Sudan, dan Filipina, dengan defisit kepercayaan yang ketara terhadap media arus perdana.

“Oleh itu, penurunan Malaysia bukan sekadar simbolik kerana ia mencerminkan keadaan sebenar dan semakin buruk untuk kebebasan akhbar di seluruh dunia dan di negara ini,” kata pengarah eksekutifnya, Wathshlah Naidu.

Tahun ini, Malaysia jatuh tujuh anak tangga ke tempat ke-95 dalam indeks yang diterbitkan oleh Wartawan Tanpa Sempadan (RSF), dengan skor keseluruhannya jatuh kepada 52.73 berbanding 56.09 pada tahun lalu.

Penurunan itu tercermin dalam hampir semua lima petunjuk yang dinilai, dengan penurunan paling ketara direkodkan dalam petunjuk sosiobudaya, yang menilai kekangan sosial dan penapisan kendiri.

“Ini amat mengecewakan kerana penguatkuasaan Akta Majlis Media Malaysia 2025 sepatutnya memberi peluang kepada kerajaan menunjukkan komitmen untuk mempromosikan media yang bebas dan bebas,” kata Wathshlah dalam satu kenyataan.

Walaupun majlis media telah dibentuk sebagai badan kawal selia kendiri, dia menegaskan bahawa kerajaan terus mengekalkan senarai perundangan “ketat” yang boleh digunakan sebagai “senjata” untuk mengekang kebebasan media.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, berkata kedudukan terkini Malaysia mencerminkan kegagalan kerajaan untuk melaksanakan pembaharuan media yang bermakna, dan komitmennya terhadap kebebasan akhbar semakin dipersoalkan.

Bukan ancaman buat kerajaan

Wan Saiful juga menekankan kedudukan Malaysia yang tidak konsisten dalam beberapa tahun kebelakangan ini — di tempa ke-73 pada 2023, jatuh ke ke-107 pada 2024, meningkat ke ke-88 pada 2025, dan kini jatuh lagi — sebagai bukti bahawa usaha pembaharuan kurang konsisten.

“Ini menunjukkan bahawa pembaharuan yang digembar-gemburkan tidak berakar umbi dan gagal diterjemahkan secara konsisten,” kata bekas pemimpin Bersatu itu dalam satu kenyataan.

Wan Saiful juga mengkritik kerajaan kerana gagal memenuhi janjinya untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948, dengan mengatakan penggunaan undang-undang yang berterusan terhadap pengkritik telah mewujudkan ketakutan dan menyekat kebebasan bersuara.

Dia juga memberi amaran bahawa melemahkan kebebasan media akan menjejaskan mekanisme semak dan imbang demokratik selain mengehadkan ruang untuk perdebatan awam.

Keadaan itu, katanya, akan menghakis kepercayaan terhadap institusi negara.

“Dari perspektif ekonomi, kebebasan media berkait rapat dengan ketelusan dan tadbir urus,” katanya, sambil menambah bahawa sekatan boleh menjejaskan keyakinan pelabur disebabkan oleh persepsi ketelusan yang lebih rendah dan ketidakpastian dasar.

“Kebebasan media bukanlah ancaman kepada kerajaan, tetapi asas akauntabiliti dan kepercayaan awam,” tegasnya.

Penganalisis jangka PAS tinggalkan Bersatu, pilih blok ‘Reset’ Hamzah dalam PRN Melaka

Elill Easwaran

PETALING JAYA: Hasrat PAS bertanding 16 kerusi pada PRN Melaka dilihat petanda parti itu mula menjauhkan diri daripada Bersatu dan cenderung blok dikaitkan bekas timbalan presiden Bersatu, Hamzah Zainudin, kata penganalisis.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata hubungan PAS dan Bersatu dilihat semakin tegang.

Katanya, ini dapat dilihat melalui kebuntuan berpanjangan berhubung jawatan pengerusi Perikatan Nasional (PN) serta pertikaian berterusan mengenai kedudukan ketua pembangkang.

Beliau berkata keputusan PAS menggandakan jumlah kerusi ditandingi berbanding PRN Melaka 2021, daripada lapan kepada 16 kerusi, menunjukkan parti Islam itu kini kurang memberi keutamaan kepada Bersatu dan sedang menempatkan dirinya lebih dekat dengan blok ‘Reset’ Hamzah.

“Langkah di Melaka ini permulaan kepada PAS menguji hubungan politik baharunya dalam konteks pembangkang,” katanya kepada FMT.

Kelmarin, Pesuruhjaya PAS Melaka Zulkifli Ismail mengumumkan parti itu akan bertanding di 16 daripada 28 kerusi pada PRN negeri itu.

Hampir semua kerusi berkenaan ketika ini dipegang Barisan Nasional (BN).

Pada PRN Melaka 2021, PAS bertanding lapan kerusi atas tiket PN manakala Bersatu bertanding di 15 kerusi dan Gerakan di lima kerusi.

PN menang dua kerusi menerusi wakil Bersatu, Dr Yadzil Yaakub (Bemban) dan Dr Aleef Yusof (Sungai Udang).

Namun, Yadzil dipecat daripada parti itu pada Februari, manakala Aleef menyokong Hamzah sebelum kembali menyatakan sokongan kepada Muhyiddin.

Blok penyokong Hamzah di Melaka turut melibatkan beberapa tokoh berpengaruh, termasuk Ahli Parlimen Masjid Tanah selama tiga penggal, Mas Ermieyati Samsudin, dan bekas ketua menteri, Rahim Thamby Chik.

Mazlan berkata keputusan PAS untuk masuk ke kerusi yang sebelum ini ditandingi Bersatu memberi isyarat keyakinan terhadap kepimpinan Muhyiddin Yassin semakin merosot.

Beliau turut merujuk keengganan PAS melayan desakan supaya Hamzah segera diganti sebagai ketua pembangkang.

“Nampaknya PAS tidak melayan permintaan Muhyiddin supaya ketua pembangkang baharu dinamakan segera. Buat masa ini, Hamzah masih ketua pembangkang,” katanya.

Walaupun laporan menyebut Hamzah sudah meletakkan jawatan pada 12 April, beliau masih kekal sebagai ketua pembangkang. Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul sebelum ini berkata beliau belum menerima pemakluman rasmi mengenai peletakan jawatan Ahli Parlimen Larut itu.

Mazlan berkata PAS kini melihat Hamzah sebagai tokoh lebih berpengaruh, berdasarkan sokongan 13 daripada 19 Ahli Parlimen Bersatu sedia ada.

“Hanya enam menyokong Muhyiddin. Sebab itu PAS melihat Hamzah, bukannya Bersatu, sebagai harapan untuk membentuk gabungan masa depan,” katanya.

Beliau berkata PAS sebagai parti terbesar dalam PN, berpotensi membentuk semula gabungan pembangkang, sekali gus mungkin menyebabkan Bersatu terpinggir.

Hamzah dipecat daripada Bersatu pada Februari dan sejak itu menggerakkan gerakan ‘Reset’. Beliau juga memberi bayangan gerakan itu mungkin bertanding pada PRN Melaka.

PAS ambil risiko besar

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara juga berpandangan PAS sedang bergerak untuk bersama gerakan ‘Reset’ Hamzah bagi menggantikan kerjasama dengan Bersatu.

Namun, beliau memberi amaran langkah seperti itu membawa risiko besar kerana Umno masih kuat di Melaka.

Katanya, kegagalan di negeri itu boleh menjejaskan kedudukan politik PAS dan Hamzah.

“Saya fikir PAS membuat kesilapan strategi dengan memilih gerakan Hamzah, yang kekuatannya di Melaka belum terbukti,” katanya.

DUN Melaka akan terbubar secara automatik pada Disember, bermakna PRN ke-16 mesti diadakan selewat-lewatnya Februari 2027.

Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh sebelum ini berkata PRN itu berkemungkinan diadakan tahun ini.

Kelantan: Wanita dijumpai maut dengan kesan tikaman di tepi jalan

ROHANA MOHD. NAWI
Anggota forensik menjalankan siasatan terhadap mayat seorang wanita yang dijumpai dengan beberapa kesan tikaman pada badan di Kampung Kubang Getah, Ketereh dekat Kota Bharu tengah malam tadi. FOTO KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
KOTA BHARU – Mayat seorang wanita ditemukan dengan beberapa kesan tikaman pada badan di Kampung Kubang Getah, Ketereh di sini tengah malam tadi.

Wanita berusia lingkungan 20-an itu dijumpai oleh awam ketika melalui kawasan berkenaan untuk pulang ke rumah kira-kira pukul 12.30 tengah malam.

Saksi yang berusia lingkungan 30-an berkata, dia pada mulanya mengesyaki wanita itu terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Katanya, dia cuba mencari motosikal atau  kereta di kawasan berkenaan, namun tiada.

“Saya terkejut selepas melihat mangsa berlumuran darah pada anggota badan. Saya terus menghubungi pihak polis memaklumkan berhubung penemuan mayat seorang wanita di tepi jalan berkenaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Paksa gadis 'berendam' dengan buaya, akaun disekat

Agensi

Beijing: Sebuah akaun media sosial popular di China yang mempunyai lebih 11 juta pengikut diharamkan secara kekal selepas didapati terbabit dalam eksploitasi dan penderaan hos penstriman langsung remaja bawah umur, lapor South China Morning Post.

Akaun dengan nama @Yebali atau bermaksud Night Paris dalam Bahasa Inggeris itu dikesan memaksa gadis-gadis muda melakukan aksi berbahaya termasuk berada di dalam tangki bersama buaya serta menekan kepala mereka ke dalam air.

Tindakan tegas itu diambil selepas video penstriman langsung yang dirakam tahun lalu tular di media sosial memaparkan hos yang dipercayai berusia sekitar 14 tahun dikenakan hukuman dalam bentuk cabaran berbahaya, lapor Jiupai News.

Dalam salah satu rakaman, dua hos wanita dilihat diarahkan berdiri di dalam tangki air bersama seekor buaya bersaiz kecil yang mulutnya diikat sebagai sebahagian daripada "persembahan" mereka.

Rakaman itu turut menunjukkan salah seorang gadis menjerit ketakutan dan cuba mengelak daripada reptilia berkenaan, namun dipujuk rakannya dengan alasan haiwan itu "comel" dan tidak berbahaya.

Satu lagi klip memaparkan seorang gadis digantung menggunakan tali di bahagian pinggang sebelum ke dalam tangki air dan dipaksa menahan nafas selama beberapa saat.

Apabila mangsa enggan mengulangi aksi itu, dua hos lain bertindak menekan kepalanya ke dalam air sambil mendakwa tugasan itu mudah dilakukan.

Pendedahan itu mencetuskan kemarahan orang awam termasuk seorang bapa yang mendakwa kandungan saluran itu mendorong pengikut memberikan ganjaran wang yang besar kepada hos terbabit.

Siasatan mendapati akaun @Yebali yang dikendalikan oleh Guangdong Jiahuo Media Company itu mula dibuka lima tahun lalu oleh seorang gadis berusia 13 tahun menggunakan identiti neneknya.

Tindakan itu jelas melanggar undang-undang di China yang melarang keras golongan bawah umur daripada terbabit sebagai hos dalam mana-mana sesi penstriman langsung di media sosial.

Tahun lalu, platform media sosial yang sama pernah menghukum saluran itu kerana mendera hos mereka, namun ia kembali beroperasi tidak lama kemudian.

Pada 23 April, platform media sosial mengharamkan akaun berkenaan secara kekal di tengah-tengah tekanan orang awam.

Langkah tegas ini selaras dengan kempen dijalankan Pejabat Pentadbiran Ruang Siber China bagi membanteras penyalahgunaan dan gangguan dalam penstriman langsung berkumpulan yang sering melampaui batas moral demi mengejar trafik serta ganjaran.
-hmetro 

175 aktivis GSF 2.0 ‘diculik’, 10 rakyat Malaysia antara yang ditahan

MUHAMMAD NAJIEB AHMAD FUAD
KUALA LUMPUR – Seramai 175 aktivis termasuk 10 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 dilaporkan diculik dan dibawa ke Israel menggunakan kapal laut milik rejim itu.

Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, perkembangan itu disahkan setakat pukul 7 malam waktu Malaysia.

Katanya, insiden tersebut berlaku ketika flotila menghampiri perairan Greece dengan 21 kapal disahkan telah dipintas oleh pihak rejim pada jarak kira-kira 80 batu nautika.

“Status kapal Tam Tam tidak dipintas, tetapi dirosakkan oleh pihak rejim, namun aktivis di dalamnya selamat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, kira-kira 30 lagi kapal yang menyertai misi sama tidak ditahan dan masih meneruskan pelayaran dan hampir memasuki perairan Greece.

Tambahnya, antara individu penting ialah ahli Jawatankuasa Pemandu GSF,  Thiago Avila dan Saif Abukeshek yang disifatkan sebagai ugutan untuk melumpuhkan keseluruhan misi.

Dalam perkembangan berkaitan, aktivis Malaysia, Ahmad Faezal terpaksa menarik diri lebih awal selepas mengalami demam panas di Pelabuhan Sicily, Itali dan selamat pulang ke tanah air.

Sani Araby berkata, beliau menghubungi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan sokongan penuh bagi memudah cara usaha membawa pulang rakyat Malaysia yang terlibat dalam insiden tersebut.

“(Perdana Menteri) mengecam tindakan Israel yang mencabul undang-undang maritim antarabangsa,” ujarnya.

Katanya, usaha diplomatik sedang dilakukan bagi memastikan semua aktivis khususnya rakyat Malaysia dapat dibebaskan secepat mungkin. – KOSMO! ONLINE

Pemandu pengsan, pelajar ambil alih kawal bas sekolah

KOSMO
Tangkap layar video menunjukkan detik pelajar bekerjasama mengendalikan bas selepas pemandunya pengsan. - Hancock County School District
JACKSON, MISSISSIPPI – Sekumpulan pelajar sekolah di negeri Mississippi diangkat sebagai wira selepas berjaya mengelakkan bas dinaiki mereka daripada terbabas apabila pemandu kenderaan itu secara tiba-tiba pengsan, lapor akhbar The Sun UK. 

Kejadian berlaku sejurus selepas bas membawa 40 pelajar itu meninggalkan Sekolah Tinggi Hancock, baru-baru ini. 

Pemandu bas, Leah Taylor, 46, mengalami serangan asma dan tidak sedarkan diri ketika mengendalikan kenderaan tersebut di sebuah lebuh raya empat lorong. 

Selepas menyedari bas itu dalam keadaan terhuyung-hayang, seorang pelajar bernama Jackson Casnave, 12, bergegas mengawal stereng sambil memanggil pelajar lain untuk membantu. 

Darrius Clark, 12, menekan brek dan bekerjasama dengan Casnave untuk mengawal bas. Mereka berjaya memberhentikan kenderaan itu tepi jalan. 

Pelajar ketiga pula mencari ubat Taylor, manakala kakak Clark menghubungi talian kecemasan. 

Lima pelajar itu kemudian diberi penghormatan oleh pengetua sekolah dan ganjaran untuk menikmati makan tengah hari di restoran pilihan mereka. – AGENSI

Bunuh pesara, bekas tentera dan rakan dijatuhi hukuman mati

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang bekas tentera bersama seorang lagi lelaki dijatuhi hukuman mati selepas didapati bersalah membunuh seorang pesara lima tahun lepas.

Hakim Mahkamah Tinggi Taiping Noor Ruwena Md Nurdin menjatuhkan hukuman itu ke atas bekas tentera Mohd Hafidz Ibrahim, 39, dan ahli perniagaan Muhammad Ahmad Md Yusoff, 35, kerana membunuh Mohd Zaki Md Aluwee, 42, di kawasan hutan di Jalan Kubu Gajah-Lenggong di Selama, Perak, pada 10 Okt 2021.

Noor Ruwena berkata, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap dua lelaki itu, dan hukuman mati dijatuhkan dengan mengambil kira keseriusan kesalahan.

“Berdasarkan keseluruhan keterangan dikemukakan pihak pendakwaan, mahkamah mendapati keterangan tersebut apabila diambil secara kolektif menunjukkan kedua-dua tertuduh sebagai pelaku jenayah itu,” katanya, menurut penghakiman bertarikh semalam, lapor Bernama.

Noor Ruwena berkata, Mohd Hafidz mempunyai motif untuk membunuh mangsa kerana beranggapan lelaki itu mempunyai hubungan sulit dengan bekas isterinya, selain dia sukar menerima kenyataan mereka telah bercerai.

Katanya, pembunuhan itu dirancang yang dibuktikan oleh cara si mati diserang dan tahap kecederaan dialami, menunjukkan niat jelas untuk menyebabkan kematian serta-merta dan kecederaan pada belakang badan si mati bertujuan memastikan dia meninggal dunia.

Menurut siasatan juga, pada September 2021, selepas bercerai, Mohd Hafidz bersemuka dengan bekas isterinya mengenai hubungannya dengan mangsa, yang juga bekas pegawai tentera. Wanita itu bagaimanapun menafikan tuduhan itu sekeras-kerasnya

Noor Ruwena juga mendapati Muhammad Ahmad turut terlibat dalam jenayah itu kerana hadir ketika si mati dibawa pergi dari rumahnya sehingga dia kali terakhir dilihat bersama-sama si mati semasa Mohd Hafidz meninggalkan rumah dengan seorang rakannya.

Katanya, Muhammad Ahmad membawa polis ke lokasi penemuan mayat si mati dua hari selepas dia dilaporkan hilang.

Mengikut fakta kes, tangan si mati digari ke belakang dan kelihatan beberapa kesan tikaman pada mayatnya yang telah mereput.

Ebit Lew diarah bela diri atas 11 pertuduhan gangguan seksual

Bernama

TENOM: Mahkamah Majistret di sini hari ini memerintahkan pendakwah Ebit Irawan Lew, atau lebih dikenali sebagai Ebit Lew, membela diri atas 11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual.

Majistret Nur Asyraf Zolhani berkata mahkamah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Ebit Lew, 41.

“Setelah meneliti dan menilai dengan penilaian positif kredibiliti dan kebolehpercayaan kesemua keterangan yang dikemukakan oleh saksi-saksi pihak pendakwaan dan setelah mendengar hujahan kedua-dua pihak serta di atas penilaian maksimum terhadap kesemua keterangan pihak pendakwaan, mahkamah ini mendapati bahawa satu kes prima facie telah berjaya dibuktikan oleh pihak pendakwaan ke atas tertuduh “ kata Nur Asyraf.

Sebelum ini, mahkamah mendengar keterangan 18 saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes yang bermula pada September 2022.

Ebit Lew didakwa melakukan kesemua kesalahan itu termasuk mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 40-an dengan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah kepada mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

14 Adun Umno kekal sokong kerajaan perpaduan N Sembilan, kata Zahid

Mohamad Fadli

PUTRAJAYA: Seramai 14 Adun Umno di Negeri Sembilan kekal menyokong kerajaan perpaduan negeri, kata Presiden Zahid Hamidi.

Beliau berkata pendirian itu dicapai selepas beliau mengadakan perbincangan dengan semua Adun terbabit hari ini bagi meneliti semula keadaan sebenar serta memperbetulkan persepsi yang timbul.

Menurutnya, ada tafsiran berbeza terhadap tindakan mereka sebelum ini dan menjejaskan penarikan sokongan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun bukan bertujuan ‘menebuk atap’ atau membentuk kerajaan negeri melalui pintu belakang.

“Apabila ada persepsi dan pentafsiran yang berbeza daripada niat asal, saya telah mengadakan perbincangan dengan semua 14 Adun tersebut untuk melihat semula keadaan.

“Kita tidak berhajat untuk ‘retract’, sebaliknya mahu membetulkan persepsi iaitu ia satu langkah yang berniat baik agar institusi raja dan institusi adat di Negeri Sembilan dapat dihormati dan dapat didukung oleh semua rakyat di Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Forum Memperkasa Akses Dipercayai Merentasi Ekosistem Digital Malaysia dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) MyDigital ID.

Krisis NS: Mubarak diarah kosongkan kediaman rasmi

Haspaizi Zain

Krisis di antara institusi adat dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun, terus memanas apabila kerajaan negeri mengarahkan Balai Undang Sungai Ujong dan kediaman rasmi berkaitan dikosongkan.

Surat yang dikeluarkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan bertarikh 29 April itu mengarahkan pengosongan dilakukan serta-merta.

Melalui surat yang ditandatangani Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan, Akmal Farid Rizal Noordin, ia menyebut keputusan berkenaan dibuat selaras dengan ketetapan sidang khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 17 April lalu.

"Sehubungan dengan itu, pihak tuan puan diarahkan untuk melaksanakan pengosongan bagunan kediaman rasmi dan Balai Undang Luak Sungai Ujong berkuatkuasa serta-merta," kata surat yang dilihat Malaysiakini.

Pada 22 April lalu, Undang Sungai Ujong yang dipertikaikan mendakwa pembesar yang ingin memecatnya telah dipecat sebelum ini atas dakwaan salah guna kuasa.

Menurut pejabat Undang Luak Sungai Ujong, dua daripada pembesar tersebut telah kehilangan status mereka sebagai Dato' Lembaga Adat sejak Dis 2024, sekali gus membatalkan keputusan mereka untuk memecat Mubarak Thahak sebagai Undang pada tahun lalu.

"Maka dengan itu tidak terpakai mana-mana pendapat mereka berdua dan status mereka bukan lagi Orang Bergelar di luak Sungai Ujong yang termaktub dan berkuat kuasa pada 1 Dis 2024," kata pejabat Undang itu dalam satu kenyataan yang diterbitkan di akaun Facebook rasminya.

Kenyataan itu dikeluarkan ketika Negeri Sembilan berdepan kemelut yang menyaksikan Undang Yang Empat menggunakan kuasa mereka untuk memecat Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar dan menggantikannya dengan seorang lagi ahli keluarga diraja Negeri Sembilan.

Ia dibuat sebagai tindak balas kepada keputusan DKU Negeri Sembilan - yang dipengerusikan oleh Tuanku Muhriz - kerana membenarkan keputusan pembesar Sungai Ujong yang dipertikaikan memecat Mubarak.

Semalam, Telaga Undang Luak Sungai Ujong, Sharifah Norzaidah Al-Qadri, dalam satu kenyataan meminta pihak berkuasa bertindak segera sekiranya ada adat istiadat berlangsung di Balai Undang Luak Sungai Ujong tanpa kebenaran Telaga Undang.

Katanya, Balai Undang Luak Sungai Ujong di Ampangan tidak boleh digunakan untuk adat istiadat berikutan pemberhentian Mubarak sebagai penyandang pesaka Datuk Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong sejak 13 Mei 2025.

Semalam, Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin dan Datuk Syahbandar bersidang di Balai Undang Luak Sungai Ujong dipercayai bagi membincangkan perkembangan terkini krisis yang semakin meruncing.

Tokoh-tokoh adat yang hadir termasuk empat Undang iaitu Datuk Klana Petra Mubarak (Sungai Ujong); Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman Maarof Mat Rashad (Jelebu); Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Muhammad Abdullah (Johol); serta Datuk Sedia Raja Abdul Rahim Yasin (Rembau).

Turut serta ialah Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al Qadri dan Baharudin Abdul Khalid.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Mohd Zafir Ibrahim ketika dihubungi media enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Difahamkan kakitangan kerajaan negeri yang bertugas di kediaman rasmi dan balai undang juga sudah diberikan penempatan baru.

Kapal ZRA ditahan Israel

KOSMO!
Tangkap layar rakaman televisyen litar tertutup pada kapal konvoi GSF.
PETALING JAYA – Kapal dinaiki aktivis kemanusiaan, Zainal Rashid Ahmad atau ZRA dilaporkan telah ditahan tentera Israel awal pagi tadi ketika dalam pelayaran ke Gaza dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0.

Perkara itu dikongsikan rakan aktivis, Dr Taufiq Mohd Razif di Threads sebentar tadi.

Semakan Kosmo! pada sistem Tracker Untuk Sumud Nusantara, sebanyak 15 kapal telah dipintas tentera Israel ketika berada di perairan antarabangsa, manakala 43 kapal masih meneruskan pelayaran.

Antara kapal yang disahkan status ‘intercepted’ adalah Al Bassa, Tantura, Yaffa, Yazur, Safad, Safsaf, Jabalia, Kafr Birim, Idna, Iqrit, Beith Lahim, Haifa, Ayn al-Zaytoun dan Al Faluja.

Terdahulu, GSF dalam kenyataan memaklumkan, bot tentera Zionis mengepung konvoi itu di perairan antarabangsa berhampiran pulau Crete Greece sekitar pukul 2 pagi tadi.

Gerakan itu memaklumkan pasukan tentera laut Israel berada di tepi kapal dan mengacukan senjata ke arah mereka yang berada di dalam.
Global Sumud Flotilla menyeru kerajaan untuk bertindak melindungi kapalnya dan mempertanggungjawabkan rejim Zionis. – KOSMO! ONLINE

Puad Zarkashi: Integriti Umno terjejas teruk jika 14 Adun paling tadah

Malaysiakini

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi menggesa 14 ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN di Negeri Sembilan supaya kekal dengan keputusan menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Aminuddin Harun.

Katanya, sebarang tindakan menarik balik keputusan tersebut hanya akan menjejaskan integriti parti secara serius.

"Saya berharap 14 Adun BN kekal dengan keputusan mereka untuk menarik sokongan daripada MB Negeri Sembilan.

“Alasan menarik sokongan adalah kukuh dan tindakan itu juga wajar agar Negeri Sembilan tidak terheret dengan konflik yang berlarutan," katanya dalam satu kenyataan di media sosial hari ini.

Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu kenyataan malam tadi memaklumkan bahawa parti itu menghormati keputusan14 Adun BN Negeri Sembilan yang hilang kepercayaan kepada Aminuddin, namun pada masa sama terus kekal menyokong kerajaan perpaduan di negeri itu bagi memastikan kestabilan dan kesejahteraan rakyat terpelihara.

Kenyataan tersebut dikeluarkan selepas biro politik Umno bermesyuarat di Kuala Lumpur malam tadi.

Antara yang hadir pada mesyuarat itu ialah Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan serta Pengerusi Umno Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias yang juga merupakan Adun Rantau dan Pertang.

Kedua-duanya merupakan antara 14 Adun Barisan Nasional (BN) yang pada Isnin lalu menarik sokongan terhadap Aminuddin berhubung cara beliau mengendalikan krisis diraja di negeri tersebut.

Mengulas lanjut, Puad berkata, Umno perlu dilihat sebagai sebuah parti yang tegas, berprinsip, menghormati adat, serta mengutamakan kestabilan berdasarkan perlembagaan dan amalan demokrasi.

Dia turut menyelar sikap Aminuddin yang didakwanya cuba mempertahankan jawatan tersebut meskipun kini menerajui sebuah kerajaan minoriti.

"Umno tidak boleh terseret dengan cara Aminuddin yang angkuh mahu terus jadi MB walaupun ia kerajaan minoriti," tambahnya.

Kemelut pentadbiran negeri itu tercetus Isnin lalu, apabila kesemua 14 Adun Umno Negeri Sembilan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Aminuddin, sekali gus mewujudkan kekosongan empat jawatan Exco.

Bagaimanapun, Aminuddin terus diberikan mandat untuk menerajui pentadbiran negeri itu selepas diperkenankan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada hari yang sama.

Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi DUN, dengan PH memenangi 17 kerusi, BN 14 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) lima kerusi pada Pilihan Raya Negeri ke-15 pada 2023. PH dan BN membentuk kerajaan selepas menguasai 31 kerusi DUN susulan pilihan raya itu.

Biro Politik BN-PH akan bincang calon MB N Sembilan, kata Adun Umno

Faiz Zainudin

Adun Jeram Padang Mohd Zaidy Abdul Kadir berkata mesyuarat akan diadakan dalam masa terdekat.
Adun Jeram Padang Mohd Zaidy Abdul Kadir fb pic 30426
Mohd Zaidy Abdul Kadir berkata menteri besar baharu perlu dilantik selepas Aminuddin Harun hilang kepercayaan majoriti. (Gambar Facebook)
SEREMBAN: Pemimpin utama parti kerajaan perpaduan Negeri Sembilan akan menentukan sama ada wakil Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH) akan dicalon menjadi menteri besar baharu.

Adun Jeram Padang Mohd Zaidy Abdul Kadir berkata menteri besar baharu perlu dilantik menerajui kerajaan negeri bagi menggantikan Aminuddin Harun yang didakwa telah hilang kepercayaan majoriti.

“Calon MB akan diputuskan dari mesyuarat Biro Politik bersama BN dan PH dalam masa terdekat,” katanya kepada FMT.

Malam tadi, Biro Politik Umno memutuskan untuk terus menyokong kerajaan perpaduan di Negeri Sembilan namun berpendirian menghormati 14 Adun negeri itu yang kekal hilang kepercayaan terhadap Aminuddin.

Setiausaha Agung Asyraf Wajdi Dusuki berkata Umno memandang serius perkembangan mutakhir yang melibatkan krisis institusi raja dan adat Negeri Sembilan hingga mencetuskan polemik besar dan salah faham serius dalam kalangan anggota komponen parti yang membentuk kerajaan perpaduan di negeri itu.

Difahamkan, semua Adun Umno Negeri Sembilan turut berada di Kuala Lumpur malam tadi susulan mesyuarat biro politik pucuk pimpinan parti itu.

Adun Lenggeng Asna Amin turut senada sambil menegaskan buat masa ini kerajaan perpaduan yang ada kekal sehingga keputusan baharu dibuat.

“Buat masa ini, kerajaan (perpaduan Negeri Sembilan) yang ada kekal,” katanya ketika dihubungi sambil menegaskan ia selaras dengan titah Yang di-Pertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Semalam, Aminuddin berkata beliau akan terus mentadbir kerajaan negeri minoriti sehingga keputusan lain dibuat melibatkan perubahan pentadbiran negeri.

Beliau juga akan akur apa jua keputusan bakal dibuat pucuk pimpinan termasuk melibatkan soal kedudukannya sebagai menteri besar.

Aminuddin turut memaklumkan Tuanku Muhriz juga mahu beliau meneruskan tugas sebagai menteri besar seperti biasa bagi memastikan kelancaran pentadbiran kerajaan.

BN dan PH membentuk kerajaan Negeri Sembilan apabila masing-masing menang 14 serta 17 kerusi pada PRN 2023 berbanding lima oleh Perikatan Nasional (PN).

Pemuda DAP desak PM pecat Mohamad Hasan isu sokong 'tebuk atap' NS

Malaysiakini

Pemuda DAP menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim memecat Menteri Pertahanan Mohamad Hasan daripada kabinet susulan dakwaan penglibatannya dalam usaha membentuk kerajaan "tebuk atap" di Negeri Sembilan.

Ahli Jawatankuasa Pemuda DAP, Jason Tze-Xi Nathan berkata, Mohamad yang juga Adun Rantau merupakan antara 14 wakil rakyat Umno yang menyokong gerakan bersama Perikatan Nasional (PN) untuk menggugat kerajaan negeri.

“Dapsy Malaysia menggesa agar Anwar Ibrahim memecat Mohamad Hasan daripada jawatan menteri, memandangkan beliau merupakan antara 14 Adun Umno tersebut yang menyokong usaha pembentukan kerajaan ‘tebuk atap’ bersama Perikatan Nasional.

“Penglibatan beliau menimbulkan persoalan serius terhadap integriti serta kesetiaannya kepada mandat Kerajaan Perpaduan semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain tuntutan pemecatan timbalan presiden Umno itu, Pemuda DAP turut mendesak Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) agar menilai semula secara serius kerjasama dengan BN di peringkat persekutuan dan negeri.

Jason menyifatkan tindakan wakil rakyat Umno di Negeri Sembilan itu sebagai bukti bahawa BN bukanlah sekutu yang ikhlas, sebaliknya bersikap oportunis dan hanya menunggu peluang untuk "menikam dari belakang".

“Tindakan 14 Adun Umno tersebut membuktikan bahawa BN bukanlah sekutu yang ikhlas, sebaliknya bersifat oportunis, ibarat musang berbulu ayam yang bersedia untuk menikam PH dari belakang apabila timbul peluang merebut jawatan,” katanya.

Dia turut membidas Umno yang dianggapnya gagal menunjukkan rasa tanggungjawab apabila menggunakan krisis melibatkan institusi raja dan adat di negeri itu untuk kepentingan jawatan menteri besar.

Kenyataan keras sayap pemuda DAP itu hadir sebagai respons kepada kenyataan Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki yang menyatakan pendirian parti itu untuk menghormati tindakan 14 Adun berkenaan di Negeri Sembilan.

Pemuda DAP menegaskan bahawa penilaian semula kerjasama politik ini bukan lagi satu pilihan, tetapi suatu keperluan demi kestabilan pentadbiran dan agenda reformasi negara.

Mengulas lanjut, Jason turut menyelar tindakan Umno yang dianggap ironis kerana mendakwa mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu namun pada masa yang sama mencatur langkah politik yang menggugat kestabilan negeri ketika krisis institusi itu berlaku.

Dia juga mempersoalkan sama ada tindakan Umno itu merupakan manifestasi kepada falsafah di sebalik slogan "Malu apa, bossku".

“Adakah demi kepentingan rakyat, atau sekadar usaha terdesak untuk meraih kembali jawatan yang telah terlepas akibat percaturan politik mereka sendiri tanpa sedikit pun rasa tanggungjawab atau keinsafan?” soalnya lagi.