Rafizi: Jangan heret kami dalam pertembungan dalaman DAP

Malaysiakini 

Rafizi Ramli menggesa pemimpin DAP Tony Pua supaya menjaga hal partinya sendiri dan tidak mengheret parti lain ke dalam konflik dalaman DAP.

Ia susulan kenyataan terbaru bekas ahli Parlimen Damansara itu yang melabelkan ahli Parlimen PKR yang setia kepada Rafizi sebagai “pentingkan diri” kerana enggan mengosongkan kerusi dan melompat ke Parti Bersama Malaysia (Bersama) pimpinannya.

Bercakap dalam podcast KiniTV, Rafizi mendakwa wujud pertembungan antara dua kumpulan dalam DAP dan perkara itu dapat dilihat menerusi serangan Pua terhadap kemnya.

Menurutnya, Pua berada bersama kumpulan minoriti dalam DAP yang mahu melihat kerajaan perpaduan tumbang, manakala kumpulan arus perdana parti itu yang dipimpin setiausaha agungnya Anthony Loke mahu memastikan kerajaan terus diterajui PH.

"Dan reaksi DAP tu sangat bertentangan, yang melambangkan pandangan daripada dua kumpulan bertentangan dalam DAP.

"Sebenarnya ia kena baca dengan lebih mendalam yang tersirat dan yang tersurat,” kata bekas timbalan presiden PKR itu.

Pada 17 Mei lalu, Rafizi dan bekas naib presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan pengambilalihan Bersama serta mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing. Enam lagi ahli Parlimen PKR turut hadir pada majlis itu, namun tidak keluar parti atau melepaskan kerusi mereka.

Loke berkata Rafizi dan Nik Nazmi sepatutnya menunggu sehingga tamat penggal sebagai ahli Parlimen sebelum menyertai gerakan baru, namun Pua pula membidas mereka yang enggan mengikut jejak langkah kedua-dua pemimpin itu.

"Jadi ini sebenarnya factional fight di dalam DAP. Janganlah babitkan kami,” tambah Rafizi dalam podcast “Explain Sikit” yang disiarkan pada malam Sabtu.

Bekas menteri ekonomi itu berkata dia dan Nik Nazmi memutuskan untuk mengosongkan kerusi masing-masing sebagai menghormati proses demokrasi, memandangkan mereka dipilih sebagai ahli Parlimen Pandan dan Setiawangsa atas tiket PKR.

Bagaimanapun, kata Rafizi, mereka juga perlu mengimbangi langkah tersebut dengan keperluan mengekalkan kestabilan kerajaan semasa.

Dia berkata jika semua ahli Parlimen yang berpihak kepadanya meletakkan jawatan daripada PKR dan mengosongkan kerusi, ia boleh mencetuskan situasi “tebuk atap”.

Penumpang cuba buka pintu pesawat ketinggian hampir 11, 000 meter

KOSMO

WASHINGTON – Sebuah pesawat  United Airlines dilencongkan ke Washington selepas seorang penumpang cuba membuka pintu kapal terbang itu pada ketinggian 10,972.8 meter, lapor saluran  berita NBC News. 

Kejadian melibatkan Penerbangan 1551 membawa 145 penumpang dan enam kru, baru-baru ini. 

Pesawat  Boeing 373 Max 8 itu dalam perjalanan ke Bandar Guatemala selepas berlepas dari Newark, negeri New Jersey pukul 7 malam (waktu tempatan). 

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) berkata, pesawat itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Washington Dulles sekitar pukul 8.30 malam (waktu tempatan) berikutan gangguan tersebut.

“Pesawat ini mendarat dengan selamat dan disambut oleh penguatkuasa undang-undang untuk menangani apa yang disifatkan oleh United Airlines sebagai tingkah laku penumpang tidak terkawal,” kata United Airlines. 

Tiada kecederaan dilaporkan. 

FAA menegaskan bahawa setiap pelanggaran yang dilakukan oleh penumpang boleh didenda sehingga  AS$43,658 (RM173,230). – AGENSI

Menjelang PRU16: Susulan kenyataan Hadi, ‘perang’ meletus penyokong Pas-Bersatu di media sosial

Harapandaily

Kenyataan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang yang membayangkan partinya akan menilai semula hubungan dengan Bersatu mula mencetuskan perang mulut dalam kalangan penyokong kedua-dua parti di media sosial.

Tinjauan di Facebook mendapati ruangan komen beberapa portal dan akaun politik dibanjiri pertikaman lidah antara penyokong Pas dan Bersatu, khususnya membabitkan isu sumbangan kewangan, kekuatan jentera pilihan raya serta masa depan Perikatan Nasional (PN).

Antara komen yang tular datang daripada seorang pengguna media sosial yang mendakwa Pas perlu “sedar diri” dan mengingatkan bahawa kempen PRU15 sebelum ini banyak bergantung kepada sumber kewangan Bersatu.

“Kalau Presiden Pas tidak reti menjaga mulut, binasalah PN. Barang diingatkan PRU15 guna duit siapa?” tulis pengguna berkenaan.

Kenyataan itu kemudian dibalas penyokong Pas yang mempertahankan kekuatan akar umbi parti Islam tersebut dan mendakwa Bersatu sebenarnya banyak bergantung kepada jentera Pas sepanjang pilihan raya.

“Ahli berapa orang? Jentera ada? Rasanya pekerja Mydin lagi ramai,” balas seorang lagi pengguna.

Seorang lagi penyokong Pas turut mendakwa parti itu mampu bergerak secara solo tanpa Bersatu sekiranya hubungan dalam PN terus tegang.

“Pas tanpa Bersatu boleh jalan solo,” tulisnya.

Terdahulu, Abdul Hadi dilaporkan berkata Pas akan menilai semula kerjasama dengan Bersatu susulan beberapa tindakan parti diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa menjejaskan semangat setiakawan dalam PN.

Antara isu dibangkitkan ialah pemecatan beberapa pemimpin Bersatu di Kedah dan Kelantan serta tindakan dua ADUN Bersatu Negeri Sembilan menarik balik akuan bersumpah (SD) berkaitan sokongan terhadap Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Susulan kontroversi itu, Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan hari ini mengarahkan semua ahli dan pimpinan Pas supaya tidak membuat sebarang kenyataan atau ulasan mengenai perkembangan semasa tanpa kebenaran khas parti.

Arahan tersebut dilihat cuba meredakan ketegangan yang semakin memuncak dalam kalangan akar umbi kedua-dua parti komponen utama PN itu.

Lelaki cuba samun wanita di parkir hospital dipenjara 11 bulan

MOHD. FAHMI ISMAIL

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang lelaki menyamun wanita di kawasan parkir sebuah hospital di Bukit Jalil di sini membawa padah apabila dia dipenjara 11 bulan oleh Mahkamah Jalan Duta, kelmarin.

Kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi Isnin lalu itu berlaku apabila suspek dipercayai bertindak agresif dengan membuka pintu kenderaan mangsa sebelum cuba melarikan barangan milik wanita berkenaan.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Rosdi Daud berkata, cubaan suspek bagaimanapun gagal selepas berlaku pergelutan antara kedua-dua pihak.

Menurut beliau, mangsa turut menjerit meminta bantuan menyebabkan suspek panik sebelum melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal.

“Siasatan awal mendapati tiada kerugian material dilaporkan dalam kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (D9), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun di kawasan Brickfields pada Rabu lalu.

“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai 11 rekod jenayah lampau. Polis turut merampas sebuah motosikal, sehelai jaket jenama Puma dan sebuah topi keledar yang dipercayai digunakan semasa kejadian,” katanya.

Tambah beliau, suspek direman selama dua hari sehingga 22 Mei lalu bagi membantu siasatan sebelum didakwa di Mahkamah Jalan Duta pada Khamis mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan.

“Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama 11 bulan terhadap suspek bermula dari tarikh tangkapan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Kerjasama PAS-Bersatu sampai bila?

Mohsin Abdullah

Bolehkah kerjasama PAS-Bersatu bertahan sehingga PRU16? Semakin susah nampak. Wallahuaklam.

Tidak tahu apa yang kepimpinan tertinggi Bersatu nak ‘teliti’ dan ‘bincang’ berhubung amaran Presiden PAS Hadi Awang bahawa kesabaran partinya ada batas.

Bagi saya, Hadi sudah menyenaraikan dengan jelas beberapa tindakan Bersatu yang tidak menyenangkan partinya, dan tindakan Bersatu itu dilihat oleh PAS sebagai “pelanggaran semangat setia kawan”. Apakah tindakan itu? Ramai pun dah tahu.

Menurut Hadi, pertama-tama krisis di Perlis apabila Bersatu menyokong undi tidak percaya terhadap menteri besar (orang PAS) dan meletakkan orangnya jadi menteri besar.

“Kita ambil tindakan disiplin terhadap Adun kita (yang terlibat dalam undi tidak percaya itu). Dia (Bersatu) tak bertindak apa-apa,” kata Hadi pada sidang media semalam.

Kemudian Hadi bercakap pula mengenai krisis politik di Negeri Sembilan membabitkan dua Adun Bersatu yang tarik balik sokongan untuk singkir menteri besar setelah berbuat demikian pada awal krisis, yakni tarik balik SD.

“Alasan-alasan yang diberi kita tak boleh terima. Umno tak tarik, mengapa Bersatu tarik balik?” tanya beliau.

Menurut Hadi lagi, turut tidak menyenangkan PAS ialah isu seorang exco di Kedah serta timbalan speaker Kedah dan Kelantan. Ketiga-tiga orang Bersatu yang dipecat oleh Bersatu. “Bersatu suruh pecat tukar orang. Kita melihat kepada prestasi orang ini (bekas ahli Bersatu) bukan nak pecat begitu, prestasi melaksanakan tugas dengan baik tak perlu dipecatlah.”

Kata Hadi seterusnya Bersatu menyekat parti-parti Melayu-Islam dan parti bukan Islam yang ‘tidak ekstrem’ memasuki Perikatan Nasional.

Ini bukan perkara baru maka mengapa sekarang baru ditimbulkan? “Kita sabar demi perpaduan. Tetapi ada batasya,” kata Hadi. Adakah kesebaran PAS sudah sampai batasnya sekarang?

Pada hari yang sama Hadi berkata demikian, Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz mengeluarkan kenyataan memberitahu bahawa biro politik dan majlis pimpinan tertinggi partinya “akan meneliti dan membincangkan secara mendalam kenyataan Hadi”. Bila? Dalam masa terdekat. Well that’s not exactly urgent is it? Meskipun beliau kata Bersatu memandang serius apa yang dikatakan Hadi.

Saya ulangi perenggan pertama artikel ini — apa yang hendak diteliti dan dibincangkan dengan mendalam? Hadi sudah huraikan, dan pasti apa yang dihuraikan bukanlah sesuatu yang memeranjatkan.

Saya tidak bercadang menyentuh apa yang berlaku di Negeri Sembilan, Perlis, Kedah dan Kelantan yang Hadi bangkitkan. Bersatu surely have their side of the story. Yang mendapat perhatian saya ialah dakwaan Hadi bahawa Bersatu menghalang parti Melayu-Islam dan parti bukan Islam ‘tidak ekstrem’ menyertai PN.

Saya tidak tahulah parti bukan Islam mana yang Hadi maksudkan. Tidak tahu juga sama ada parti sebegitu ada yang mahu masuk PN. Yang saya tahu malah umum pun tahu ialah Muhyiddin Yassin dan Bersatu tidak mahu Hamzah Zainudin atau parti yang ditubuhnya (jika ada) diterima masuk PN. Ini bukan rahsia besar.

Jelas dan nyata inilah yang dimaksudkan oleh Hadi.

Ketika artikel ini ditulis Hamzah masih belum tampil dengan parti baharu. Beliau kita tahu memegang jawatan timbalan presiden Bersatu sebelum dipecat Februari lalu. Setelah dipecat Hamzah sering bercakap mengenai pelbagai langkah politik yang akan diambil termasuk menubuh parti baharu.

Pada sidang media semalam, Hadi mengumumkan PAS sedang mengkaji semula hubungan dengan Bersatu kerana tindakan Bersatu yang dikatakan tadi. Kenyataan itu menimbulkan pelbagai persoalan, andaian dan spekulasi. Adakah PAS akan putus hubungan dengan Bersatu, sekali gus bebas untuk mengalu-alukan kemasukan parti Hamzah?

Adakah Hadi tahu apa yang kita tidak tahu, iaitu parti baharu Hamzah akan menjelma tidak lama lagi?

Mungkinkah Muhyiddin yang tahu apa yang kita tidak tahu? Setelah sekian lama berkeras tidak mahu parti Hamzah diterima masuk PN, April lalu beliau seolah menukar nada yakni seolah-olah ambil pendirian terbuka.

Kata Muhyiddin, beliau menyerahkan kepada majlis tertinggi PN menentukan sama ada parti baru yang diketuai Hamzah boleh diterima menyertai gabungan itu. Ini cukup berlainan dengan kenyataan tegas sebelum ini.

Atau mungkin beliau yakin parti Hamzah tidak akan wujud, dalam masa terdekat atau seterusnya?

Apa pun bagi beberapa pemerhati dan penganalisis politik, hubungan PAS-Bersatu ibarat retak menanti belah. Ada yang bertanya bolehkah kerjasama PAS-Bersatu bertahan sehingga PRU16? Ada yang menjawab semakin susah nampak. Wallahuaklam.

Bila bercakap pasal politik, pasti kita bersedia melihat pelbagai kemungkinan, pelbagai langkah dan tindakan. Politics is the art of the possible, bak kata Canselor Jerman abad ke-19, Otto von Bismarck.

Penganalisis ramal PAS biar PN ‘tidur’, beralih kepada pakatan baharu

Chia Wan Rou

PETALING JAYA: PAS kemungkinan besar membiarkan Perikatan Nasional (PN) ‘tidur’ tanpa dibubarkan, ketika kerjasama dengan Umno dan Bersatu tidak lagi menjadi pilihan buat parti itu, menurut penganalisis politik.

Pakar sains politik Wong Chin Huat dari Sunway University berkata, PAS kini sedia beralih arah membentuk pakatan baharu bersama gagasan Reset diketuai Hamzah Zainudin, Pejuang, dan Berjasa.

Katanya, langkah mengecualikan Umno dan Bersatu daripada rancangan itu disebabkan saiz kedua-dua parti berkenaan yang ‘cukup besar’ dan berpotensi menjadi pesaing kuat.

“Perpaduan antara parti besar Melayu adalah mustahil kerana mereka ibarat tiga saudara yang mencintai gadis sama. Bagaimana mungkin mereka boleh bersatu?

“Nilai Pejuang dan Berjasa ialah mereka kecil dan tidak signifikan, maka mereka akan menerima apa saja tawaran PAS demi memberikan imej perpaduan Melayu-Muslim,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, jika gagasan baharu itu berjaya direalisasikan, PAS tidak lagi perlu berunding soal pembahagian kerusi dengan Bersatu, sekali gus memberi kebebasan kepada rakan sekutu baharunya untuk menentangnya di mana-mana sahaja.

Wong mengulas kenyataan Bendahari PAS Iskandar Abdul Samad yang membayangkan gabungan PAS, Pejuang, Berjasa, dan Reset mampu menjadi platform paling stabil untuk memacu agenda Melayu-Islam.

Iskandar bagaimanapun berkata, kerjasama mereka akan cuba digagalkan tanpa menjelaskan secara lanjut.

Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia (USM) pula berpendapat, PAS melihat ia mampu bergerak sendiri bersama parti atau gerakan lain kerana menyedari kehilangan Bersatu tidak memberikan kesan besar terhadap mereka.

Katanya, situasi itu sangat ketara ketika PRU15 apabila Bersatu terbukti sangat bergantung kepada kekuatan akar umbi PAS untuk bernafas dalam pilihan raya.

“Ia akan mengulangi acuan PRU14 di mana PAS bekerjasama dengan parti kecil seperti Berjasa membentuk koalisi Gagasan Sejahtera, namun tetap mampu menang 18 kerusi parlimen pada waktu itu,” katanya.

Katanya, selain faktor Umno yang berkeras mahu bertanding solo, pertembungan kerusi tradisional dan sejarah silam yang rencam menyulitkan sebarang usaha kerjasama pasca-PN antara mereka.

“Parti Bersama Malaysia (Bersama) pula berlainan ideologi kerana perjuangan mereka langsung tidak berteraskan ketuanan Melayu-Islam,” katanya.

PAS arah ahli ‘kunci mulut’

FMT Reporters

PETALING JAYA: Semua pimpinan dan ahli PAS diarah tidak membuat sebarang kenyataan berhubung perkembangan terkini parti itu dengan pihak lain tanpa kebenaran khas.

Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan, berkata sebarang ulasan di mana-mana saluran media atau komunikasi adalah tidak dibenarkan buat masa ini.

Sebaliknya, beliau meminta semua pihak kekal tenang dan menyerahkan perkara tersebut untuk dikendalikan Presiden Abdul Hadi Awang.

“Semua pihak diminta kekal tenang dan menyerahkan perkara seumpama ini kepada tuan guru presiden dan kepimpinan parti yang akan menguruskannya dengan cermat dalam waktu terdekat,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Hadi pada sidang media memberi amaran kepada Bersatu bahawa kesabaran ‘ada batas’ setelah PAS ‘mengkaji satu persatu tindakan Bersatu’, mengambil contoh situasi politik di Negeri Sembilan dan Perlis, serta pendirian berkenaan usaha membawa masuk parti tertentu dalam Perikatan Nasional (PN).

Hadi berkata, PAS akan menilai semua tindakan dan kerjasama dengan Bersatu kerana pilihan raya semakin hampir serta sebarang keputusan perlu mengambil kira untung rugi politik.

Antara perkara dibangkitkan Hadi adalah penarikan sokongan Adun Bersatu di Negeri Sembilan untuk bersama Umno bagi membentuk kerajaan negeri, perkembangan di Perlis yang menyaksikan tampuk pemerintahan beralih ke Bersatu, dan campur tangan pelantikan exco Kedah dan timbalan speaker di Kelantan.

Turut disentuh pendirian Bersatu yang didakwa tidak bersetuju usaha membawa masuk parti Melayu-Islam dan parti bukan Islam tertentu dalam PN.

Pekerja restoran mamak ditangkap khalwat dengan janda

Azizi Majid
am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Lelaki warga India dan wanita tempatan ditahan penguat kuasa agama selepas disyaki berkhalwat di sebuah rumah kampung di sini, hari ini.

Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam kenyataan berkata, serbuan dilakukan pada 12.30 tengah malam hasil maklumat awam.

"Sebaik tiba di lokasi, penguat kuasa mengetuk pintu rumah dan dibuka lima minit kemudian oleh wanita berusia lingkungan 40-an yang hanya memakai pakaian tidur.

"Pemeriksaan lanjut kemudian dilakukan di dalam rumah yang ketika itu gelap, sebelum penguat kuasa menemui seorang lelaki di dalam bilik tidur dalam keadaan tidak berbaju dan hanya memakai seluar panjang," katanya.

Menurut kenyataan itu, siasatan awal mendapati lelaki Muslim berusia 30-an itu bekerja di sebuah restoran mamak di bandar raya ini dan sudah berkahwin di negara asalnya, manakala wanita berkenaan berstatus janda serta bekerja di pasar raya.

"Pasangan itu mendakwa sudah bernikah, namun gagal mengemukakan sebarang dokumen pernikahan," katanya memaklumkan pasangan itu ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor kerana berkhalwat.

Difahamkan, lelaki itu dikatakan sering datang ke rumah wanita terbabit dan dipercayai membantu membayar sebahagian sewa rumah berkenaan.

Reaksi pemimpin Bersatu terhadap amaran Haji Hadi

Bersatu akan bincang amaran Hadi

FMT Reporters

PETALING JAYA: Kepimpinan tertinggi Bersatu akan membincangkan amaran Presiden PAS Hadi Awang kepada Bersatu, berlatarkan ketidakpuasan hati terhadap apa yang dikatakan pelanggaran semangat setia kawan.

Ketua Penerangan Tun Faisal Ismail Aziz mengumumkan biro politik dan majlis pimpinan tertinggi Bersatu akan meneliti dan membincangkan secara mendalam kenyataan Hadi “dalam masa terdekat”.

“Setiap perkara yang berbangkit wajar diteliti secara menyeluruh dalam semangat setiakawan, persefahaman dan tanggungjawab bersama demi memperkukuhkan perpaduan Perikatan Nasional,” menurut kenyataan.

Terdahulu, Hadi pada sidang media memberi amaran kepada Bersatu bahawa kesabaran ‘ada batas’ setelah PAS “mengkaji satu persatu tindakan Bersatu”, mengambil contoh situasi politik di Negeri Sembilan dan Perlis, serta pendirian berkenaan usaha membawa masuk parti tertentu ke dalam PN.

Hadi berkata PAS akan menilai semua tindakan dan kerjasama dengan Bersatu kerana pilihan raya semakin hampir serta sebarang keputusan perlu mengambil kira untung rugi politik.

“Bersatu memandang serius kenyataan yang dibuat oleh Haji, berkaitan hubungan dan kerjasama antara kedua-dua par dalam PN,” kata Tun Faisal.

Antara perkara dibangkitkan Hadi adalah penarikan sokongan Adun Bersatu di Negeri Sembilan untuk bersama Umno bagi membentuk kerajaan negeri, perkembangan di Perlis yang menyaksikan tampuk pemerintahan beralih ke Bersatu, dan campur tangan pelantikan exco Kedah dan timbalan speaker di Kelantan.

Turut disentuh pendirian Bersatu yang didakwa tidak bersetuju usaha membawa masuk parti Melayu-Islam dan parti bukan Islam tertentu ke dalam PN.

Letupan tong gas: Peniaga maut tercampak 100 meter

KOSMO!
KEADAAN di lokasi kejadian seorang peniaga maut terkena serpihan tong gas helium di tapak ekspo makanan berhampiran Dataran Jam Besar, Sungai Petani semalam.
SUNGAI PETANI – Seorang peniaga air balang terpelanting sejauh kira-kira 100 meter sebelum maut dalam keadaan mengerikan setelah terkena serpihan tong gas helium yang meletup di tapak ekspo makanan berhampiran Dataran Jam Besar, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.50 malam itu, mangsa, peniaga air kopi balang, Azmi Ahmad, 42, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas putus tangan kanan selain cedera parah di bahagian perut.

Selain mangsa, seorang peniaga berusia 49 tahun pula parah di bahagian perut, manakala dua lagi peniaga yang berumur 16 dan 36 tahun cedera ringan akibat terkena serpihan tong gas yang sama.

Mangsa yang cedera dalam kejadian itu, Khairul Shakirin Saad, 36, berkata, 10 minit sebelum kejadian berlaku, dia sedang berbual dengan mangsa serta beberapa rakan peniaga lain di belakang sebuah khemah berdekatan tandas awam di tapak ekspo itu.

“Selepas habis berbual, saya dan rakan kemudian bergerak ke khemah jualan masing-masing sebelum berlaku satu letupan kuat dari arah tandas yang dipercayai berpunca daripada letupan satu tong gas helium yang diletakkan peniaga belon di situ.

“Serpihan kecil tong gas yang berterbangan itu terkena pinggang saya dan dua rakan lain, manakala mangsa yang sedang berjalan pula terpelanting sejauh lebih kurang 100 meter ke dalam sebuah gerai akibat terkena serpihan lebih besar,” katanya.
SEORANg peniaga yang maut dalam kejadian letupan tong gas helium di tapak ekspo makanan berhampiran Dataran Jam Besar, Sungai Petani semalam.
Menurut peniaga air balang itu, beberapa buah kereta yang diparkir berdekatan lokasi kejadian turut rosak akibat terkena serpihan tong gas helium.

Katanya, beberapa peniaga bersama pengunjung ekspo cuba memberikan bantuan kepada dua lagi peniaga yang cedera, manakala Azmi yang baru petang kelmarin menyertai karnival itu dilihat tertiarap dengan kesan kecederaan parah pada perut dan tangannya.

“Saya yang dibantu rakan kemudian mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta berhampiran sebelum ketibaan pihak polis sejurus kejadian itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan orang awam, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian.

“Hasil siasatan awal, pihak kami menemukan seorang lelaki terbaring dengan kesan kecede­raan parah di perut dan tangannya. Mangsa telah disahkan me­ninggal dunia.

“Selain tiga mangsa yang tercedera dalam kejadian itu, kita percaya terdapat peniaga lain atau pengunjung yang turut me­ngalami kecederaan ringan, tetapi mereka telah meninggalkan tapak ekspo,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut polis kemudian membawa kepada penahanan dua lelaki berumur 20-an dan 40-an yang dipercayai peniaga belon serta pemilik tong gas itu.

“Kedua-dua mereka telah ditahan kerana dipercayai boleh membantu siasatan di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan, manakala siasatan kematian Azmi diklasifikasikan sementara sebagai mati mengejut.

“Mayat mangsa dihantar untuk bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah dan kita berharap saksi lain tampil untuk membantu melengkapkan siasatan,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Lelaki kurung, ikat, liwat remaja: ‘Saya mohon hukuman seberat-beratnya’

MOHD YUNUS YAKKUB
Mohamad Fadwan ketika dibawa ke Mahkamah Shah Alam. Foto oleh SADDAM YUSOFF/KOSMO!
SHAH ALAM – Seorang pemungut hutang yang tular selepas mengurung, mengikat dan meliwat seorang remaja lelaki minggu lalu mencuri perhatian apabila merayu supaya dikenakan hukuman paling berat terhadap dirinya sendiri di mahkamah hari ini.

Tertuduh, Mohamad Fadwan Abd. Muaain, 42, dijatuhi hukuman penjara keseluruhan enam tahun dan tiga sebatan selepas kesemua hukuman diperintahkan bermula dari tarikh tangkap pada 16 Mei lalu.

Ini setelah dia mengaku bersalah atas kesalahan dibawah Seksyen 394, 342, 323, 170 dan 379A Kanun Keseksaan.

Berdasarkan pecahan, duda anak satu itu dikenakan penjara 15 bulan keseluruhan atas dua pertuduhan masing-masing mengurung dan mencederakan remaja lelaki 14 tahun di sebuah unit pangsapuri di Seksyen 32 di sini antara pukul 8.05 hingga 11.05 pagi.

Kesalahan itu dilakukan dibawah Seksyen 342 dan 323 Kanun Keseksaan dengan setiap kesalahan memperuntukkan penjara sehingga setahun atau denda boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya.

Hukuman itu diperintahkan Majistret Wan Noor Nisa Ngadirin.

Di hadapan Majistret Cynthia Noor Haizean Sulaiman pula lelaki itu dipenjara enam bulan bagi kesalahan menyamar anggota polis untuk mencuri wang tunai, telefon bimbit dan dokumen milik wanita warga Indonesia.

Mohamad Fadwan turut dipenjara setahun atas kesalahan mencuri sebuah motosikal jenis Suzuki milik seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun.

Kedua-dua perbuatan itu dilakukan di hadapan sebuah premis pajak gadai di Seksyen 31 kira-kira pukul 8.15 pagi pada 8 Mei lalu.

Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 170 dan 379A Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan serentak.

Di Mahkamah Sesyen, Mohamad Fadwan dipenjara enam tahun dan tiga sebatan kerana merompak seorang wanita warga Indonesia berusia 40 tahun dengan menumbuk dan menendang mangsa sehingga cedera di sebuah rumah kedai kosong di Jalan Anggerik Vanilla, Kota Kemuning, Seksyen 31, kira-kira pukul 8.05 pagi, 8 Mei lalu.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun, denda atau sebat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Sepanjang prosiding pertuduhan hari ini, Mohamad Fadwan secara lantangnya dalam proses rayuan dibuatnya sendiri memohon dikenakan hukuman berat terhadap dirinya.

“Saya mohon hukuman seberat-beratnya,” katanya.

Rayuan luar biasa itu menyebabkan hakim dan majistret beberapa kali mendapatkan kepastian daripada tertuduh sebelum hukuman dijatuhkan.

Dalam pada itu, Hakim Rasyihah Ghazali menetapkan 8 Jun depan bagi fakta kes dan hukuman selepas tertuduh turut mengaku bersalah atas kesalahan amang seksual terhadap mangsa sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut
Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap kanak-kanak 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya K. S. Rinisha Priyya, Ho Zee Xing, Nur Amirah Zahari dan Alia Anisa Khairus Masnan sementara tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Adli Hakim.

Kosmo! sebelum ini melaporkan suspek yang menjadi buruan selama lima hari selepas melakukan jenayah seksual itu akhirnya berjaya ditangkap pada petang, Sabtu lalu di bilik sewanya di Kuala Lumpur.

Siasatan awal mendapati suspek melarikan diri ke ibu negara dengan menaiki pengangkutan awam sebelum menyewa bilik baharu selepas melakukan jenayah tersebut di daerah ini.

Polis kemudiannya mengesahkan bahawa suspek merupakan seorang bekas banduan dengan semakan pernah disabitkan hukuman penjara selama 17 tahun atas jenayah rogol, merompak dan mengurung seorang wanita pada 2007.

Hasil semakan juga mendapati suspek baharu dibebaskan daripada penjara pada April tahun lalu. – KOSMO! ONLINE

Suspek pukul rakan sampai mati ketika mabuk ditahan polis

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Perselisihan faham antara tiga warga Myanmar bercampur minuman keras berakhir dengan salah seorang daripada mereka mati akibat dipukul di bawah jambatan Stesen Aliran Massa (MRT) Metro Prima, Kepong di sini, Ahad lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Jasni Zolpa berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam pada 1.40 tengah hari melaporkan mangsa, 39, dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Susulan laporan berkenaan, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul telah menjalankan operasi di sekitar kawasan Kepong kira-kira jam 12.30 tengah hari, pada Isnin.

"Hasil operasi itu, kita berjaya menahan dua lelaki dan seorang wanita warga Myanmar berusia 30 hingga 40 tahun bagi membantu siasatan lanjut," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini, hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan lanjut pihak polis percaya kejadian berlaku akibat perselisihan faham antara mangsa dan suspek terbabit hingga tercetus pergaduhan.

Katanya, kesemua suspek direman tujuh hari bermula 19 Mei sehingga 25 Mei bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tiga sekawan didakwa bunuh lelaki

Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my
TERTUDUH di Mahkamah Majistret Kajang. FOTO Saifulizan Tamadi
TERTUDUH di Mahkamah Majistret Kajang. FOTO Saifulizan Tamadi
Kajang: Tiga sekawan didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang lelaki di Jalan Balakong Batu 11 Cheras, di sini, antara 4 hingga 16 Mei lalu.

Ketiga-tiga tertuduh, Chai Guan Cheong, 38; Cheng Kan Loon, 41; dan Koh Kim Yang, 41, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Fatin Dayana Jalil.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh memandangkan kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa membunuh Ong Meng Seong, 38, di Jalan Balakong Batu 11 Cheras, di sini, antara 12.04 tengah malam, 4 Mei hingga 11 malam, 16 Mei lalu.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara hingga 40 tahun dan sekiranya tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 12 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd Zulbahrin, manakala tertuduh, Kim Yang diwakili Asyraaf Abu Bakar Hamzah.

Dua lagi tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 17 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes bagi kemas kini laporan berkaitan.

Wong Chen, MP Subang dakwa akses pejabatnya ke portal MyKhas disekat tanpa penjelasan

Malaysiakini 

Ahli Parlimen Subang, Wong Chen mendakwa akses pejabat Ahli parlimennya ke akaun Portal MyKhas telah disekat tanpa sebarang notis atau penjelasan rasmi diberikan terlebih dahulu.

Dalam satu kenyataan, Wong berkata tindakan menyekat akses tersebut bukan sahaja menjejaskan pelaksanaan inisiatif kebajikan untuk rakyat Subang, malah turut memberi kesan kepada reputasi baik pegawai pentadbiran di pejabatnya.

Portal MyKhas dikendalikan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang digunakan bagi memuat naik, mengurus dan memproses permohonan Projek Mesra Rakyat (PMR) serta pelbagai permohonan lain.

Wong berkata, gangguan akses itu disedari pada Rabu lalu sekitar jam 12.00 tengah hari apabila pegawai pejabatnya cuba memuat naik beberapa permohonan peruntukan PMR bagi sekolah-sekolah dalam kawasan Parlimen Subang.

"Setelah menghubungi pihak berkaitan untuk mendapatkan penjelasan, pegawai saya dimaklumkan secara lisan oleh seorang penjawat awam bahawa akses tersebut telah disekat atas arahan pihak atasan di Putrajaya.

"Susulan itu, pejabat saya telah menghantar emel rasmi kepada pihak ICU pada 20 Mei 2026 bagi memohon agar akses dipulihkan segera serta meminta penjelasan rasmi berhubung sekatan tersebut.

"Selain itu, pada 21 Mei 2026, pegawai saya turut menyerahkan secara serahan tangan salinan fizikal surat rasmi kepada ICU JPM Selangor serta ibu pejabat ICU JPM di Putrajaya," ujarnya.

Menurutnya, sehingga jam 10 pagi hari ini, pejabatnya masih belum diberikan semula akses ke portal tersebut, mahupun menerima sebarang penjelasan rasmi bertulis mengenai sekatan itu.

Wong turut berkongsi surat yang dihantar kepada ICU JPM Selangor dan ICU JPM Putrajaya, yang kedua-duanya mengesahkan menerima surat berkenaan.

Dia juga berkongsi tangkap layar cubaan log masuk ke portal berkenaan setakat jam 10 pagi, yang masih menunjukkan akses dinafikan.

Sementara itu, katanya, semakan dengan beberapa ahli parlimen penyokong kerajaan lain di Selangor, termasuk ahli-ahli Parlimen PKR lain yang turut menghadiri program Hala Tuju Politik Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Ahad lalu, mendapati akaun Portal MyKhas mereka masih boleh diakses seperti biasa.

"Justeru, timbul persoalan mengapa hanya pejabat Ahli Parlimen Subang yang terkesan dengan sekatan ini. Sekiranya benar berlaku layanan yang tidak konsisten, perkara ini amat mendukacitakan dan tidak selari dengan prinsip pentadbiran Madani yang adil, telus dan profesional.

"Sehubungan itu, pejabat saya memohon agar pihak Jabatan Perdana Menteri memulihkan semula akses kami ke Portal MyKhas dengan kadar segera serta memberikan penjelasan rasmi secara bertulis berhubung sekatan pentadbiran ini secepat mungkin," tegasnya.

Malaysiakini telah menghubungi ICU untuk mendapatkan respons mengenai perkara itu.

Haji Hadi: 'Jika tindakan BERSATU boleh menjejaskan PN pada PRU akan datang, kita akan bertindak'

Baharom Bakar
am@hmetro.com.my

Marang: Hubungan PAS dan BERSATU diibaratkan sebagai retak menanti belah berikutan dua Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) parti itu tidak mahu menarik balik sokongan kepada kerajaan Negeri Sembilan sebaliknya mengambil jalan berkecuali.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu sedang mengkaji dan meneliti satu persatu tindakan negatif yang dilakukan BERSATU.

Katanya, tindakan dua ADUN daripada parti itu yang secara terbuka mengambil pendirian berkecuali dalam isu penarikan sokongan kepada Menteri Besar Negeri Sembilan boleh menjejaskan semangat setiakawan antara dalam Perikatan Nasional (PN).

"Kita tidak boleh menerima alasan mengenai penarikan semula SD kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

"Jika UMNO yang memiliki 14 kerusi DUN menarik balik sokongan kepada Aminuddin, mengapa dua ADUN daripada parti itu bertindak berkecuali," katanya pada sidang media di kediamannya, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Setiausaha Politik kepada Presiden PAS merangkap Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman dan Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, PAS mahu memperbanyakkan lagi penyertaan komponen dalam gabungan PN demi memperkasakan agenda Melayu-Islam, tetapi langkah itu tidak dipersetujui BERSATU.

​"Kita akan kaji dan meneliti satu persatu tindakan dilakukan BERSATU untuk tindakan selanjutnya.

"Jika tindakan BERSATU boleh menjejaskan PN pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, kita akan bertindak," katanya.

Menyentuh dakwaan PAS sudah dua kali dipermainkan oleh BERSATU, termasuk kemelut di Perlis, Abdul Hadi berkata, PAS memilih untuk mengambil pendekatan bersabar, tetapi dalam masa yang sama kesabaran itu ada hadnya.

Abdul Hadi turut mendedahkan realiti yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini, BERSATU hanya menuntut jumlah calon, tetapi tidak mempunyai jentera mencukupi untuk bekerja.

​"Mereka ada calon, tetapi petugasnya terlampau sedikit berbanding jumlah keahlian yang didakwa beribu-ribu orang, akhirnya kita mengerahkan jentera PAS turun bekerja di lapangan.

"Kita mengambil kira semua aspek ini," katanya sambil mengesahkan PAS sudah menghantar surat kepada BERSATU pada 9 Mei lalu, selain mengadakan perbincangan secara bersemuka pada mesyuarat PN.

Abdul Hadi berkata, walaupun PAS belum menetapkan tarikh akhir bagi mendapatkan jawapan daripada BERSATU, tetapi Majlis Syura Ulama dan Lajnah Pilihan Raya serta bahagian penyelidikan parti sudah diminta memperincikan isu itu.

Ketika diminta mengulas sama ada kemelut terbaru ini akan menjejaskan prestasi PN pada PRU akan datang, Abdul Hadi yakin kekuatan PAS tidak akan terjejas sama sekali dan parti itu sentiasa bersedia menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa.

​"Kita rasa tidak menjejaskan PN dan kita akan bertanding atas nama gabungan itu.

"PAS adalah penggerak utama Perikatan Nasional, dan pimpinan ada hak untuk menentukan hala tuju dalam pilihan raya," katanya.

Gaduh di tengah jalan berpunca dari hutang RM20,000, konflik cinta

FMT Reporters

Polis berkata dua lelaki dan dua wanita tempatan direman dua hari bermula semalam.
Video tular di media sosial menunjukkan sekumpulan individu, termasuk beberapa wanita bergaduh di tengah jalan.
PETALING JAYA: Isu hutang RM20,000 dan konflik cinta dipercayai punca sekumpulan individu bergaduh di sekitar Sentul Raya, Kuala Lumpur pada Rabu lalu.

Timbalan Ketua Polis Sentul, Jasni Zolpa, berkata dua lelaki dan dua wanita tempatan direman dua hari bermula semalam.

“Punca pergaduhan itu akibat masalah peribadi dan juga hutang.

“Semua suspek mengenali satu sama lain. Mereka adalah kawan dan hubungan peribadi,” katanya menurut Harian Metro dalam sidang media di IPD Sentul.

Beliau berkata, usaha menahan tiga lagi suspek masih bebas sudah dikenal pasti.

Terdahulu, video selama seminit 29 saat yang tular di media sosial menunjukkan sekumpulan individu, termasuk beberapa wanita, bergaduh di tengah jalan.

Kami dipukul, dicabul, direnjat – Peserta Sumud

KOSMO!
Antara keadaan aktivis misi yang cedera selepas diseksa ketika berada di bawah tahanan Israel
PETALING JAYA – Beberapa peserta misi kemanusiaan Global Sumud Flotila (GSF) 2.0 dan Freedom Flotilla Coalition (FFC) mendakwa mereka menjadi mangsa penderaan fizikal, serangan seksual dan penyeksaan melampau ketika berada dalam tahanan pihak berkuasa Israel baru-baru ini.

Seorang peserta dari Malaysia, Al-Ahmad Shah Abdul Kadir (CEO Kapal) mendakwa sekurang-kurangnya 35 tahanan mengalami kecederaan pada tulang rusuk, manakala lima lagi cedera di kepala.Barangan Sukan Malaysia

Katanya, terdapat juga dakwaan 12 kes serangan seksual selain dua tahanan mengalami pendarahan pada mata serta kerosakan serius pada penglihatan.

“Ini (kecederaan) semua berlaku ketika kami membawa misi kemanusiaan,” katanya dalam sesi temu bual selepas tiba di Turkiye malam tadi (waktu Malaysia).

Sementara itu, peserta dari Australia, Juliet Lamont turut berkongsi pengalaman peribadi apabila mendakwa keganasan yang dilakukan rejim kali ini jauh lebih teruk berbanding misi yang pernah disertainya sebelum ini.

Dia yang berada dalam kapal Israel yang membawa kira-kira 180 peserta misi mendakwa mereka dipukul dan dibelasah secara bergilir-gilir.

“Seramai 40 orang (mengalami kecederaan) patah tulang rusuk, 12 kes serangan seksual, ada peserta yang terkena renjatan taser (senjata renjatan) pada muka.

“Ada juga disuntik dengan bahan pelali yang tidak diketahui (kandungannya). Saya diikat menggunakan tali kabel. Mereka menjirus banyak air ke atas saya selama hampir sejam sehingga saya fikir saya akan lemas.

“Kemudian saya dicabul secara seksual di ruang seperti bilik seksaan. Lima lelaki memukul dan menghentak muka saya,” dakwanya.

Ibu dua anak itu memberitahu, keganasan ke atas para peserta dilakukan secara berterusan sepanjang mereka berada di atas kapal milik tentera Israel ketika dalam perjalanan ke Ashdod, Israel.

Dalam pada itu, aktivis dari Brazil, Thiago Avila mendakwa, banyak kes keganasan seksual berlaku terhadap peserta misi sepanjang mereka ditahan pihak zionis.

“Orang ramai dirogol dalam penjara Globosim. Tentera (Israel) itu mencabuli peserta kami. Ia bukan satu, dua atau tiga kes, tetapi banyak kes keganasan seksual terhadap peserta kami,” dakwanya.

Thiago berkata, kesemua peserta yang tiba di Istanbul tengah malam tadi sedang menjalani pemeriksaan kesihatan.

Laporan perubatan sedang disediakan untuk tindakan lanjut termasuk proses undang-undang di peringkat antarabangsa.

“Kami akan membawa perkara ini ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). Mereka (Israel) perlu dipertanggungjawabkan,” katanya.

Beberapa peserta lain dalam sesi temu bual sama turut berkongsi pengalaman masing-masing yang digambarkan sebagai distopia (mencemaskan) selain mendakwa dipukul, diseksa dan dihina sepanjang berada dalam tahanan.

Ada dalam kalangan mereka mengalami kecederaan serius selepas terkena peluru getah yang dilepaskan rejim Zionis itu selain pulang dalam keadaan trauma selepas mengalami seksaan yang teruk.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan lebih 400 aktivis GSF 2.0 dan FFC yang ditahan pihak tentera Israel dilaporkan menerima layanan tidak berperikemanusiaan di Pelabuhan Ashdod.

Sebuah rakaman video yang dimuat naik sendiri oleh Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir di aplikasi TikTok memaparkan layanan buruk pihaknya terhadap aktivis kemanusiaan terbabit.

Menerusi video itu, anggota rejim menarik rambut dan menolak kepala seorang aktivis wanita selepas beliau melaungkan slogan ‘Free Palestine’ sebaik menyedari kehadiran Ben-Gvir.

Selain itu, video sama turut memaparkan keadaan aktivis yang diikat tangan ke belakang dan dipaksa berada dalam posisi menunduk dengan kepala diletakkan di atas lantai.

Bagaimanapun, kesemua mereka selamat mendarat di Instabul malam tadi (waktu Malaysia) dengan menaiki tiga penerbangan tajaan khas Kerajaan Turkiye. – KOSMO! ONLINE

Guru didakwa cabul murid perempuan ditahan polis

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis tahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes cabul membabitkan seorang murid di kawasan Seri Alam, Johor Bahru susulan satu dakwaan yang tular di media sosial, semalam.

Pemangku Ketua Polis Johor, Hoo Chuan Huat, berkata pihaknya mengesan hantaran di Facebook oleh akaun ‘Mohd Fadli Salleh’ berhubung kejadian itu.

Menurutnya, polis menerima laporan daripada ibu mangsa berusia 37 tahun pada 9 malam susulan hantaran tular terbabit.

“Pengadu memaklumkan kejadian cabul itu berlaku pada 2025 di kawasan Seri Alam, Johor.

“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Seri Alam menahan seorang suspek lelaki berusia 28 tahun pada 10.30 malam tadi bagi membantu siasatan,” katanya, menurut Harian Metro.

Menurutnya, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek negatif dadah selain tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

“Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi atau mengeluarkan komen yang boleh mengganggu proses siasatan,” katanya.

Terdahulu, Mohd Fadhli mendedahkan kejadian terbabit berlaku pada September tahun lalu membabit seorang guru dan murid perempuan yang ketika itu berusia 12 tahun.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dalam satu kenyataan di Facebook kemudiannya berkata kementerian menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan berkenaan.

Menurut beliau, guru itu juga telah direhatkan serta-merta sementara siasatan dijalankan.

Hubungan PAS-Bersatu: Kita akan ajar dia satu per satu...

Malaysiakini 

Ketika bahang pilihan raya semakin terasa, PAS hari ini memberi amaran keras kepada Bersatu, malah menyatakan mereka akan mengkaji sejauh mana kerjasama yang terjalin sekarang akan diteruskan.

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, menegaskan setakat ini parti itu masih bersabar dengan tindak-tanduk yang didakwanya dibuat Bersatu dalam beberapa perkara.

Namun, tegas Ahli Parlimen Marang berkenaan, kesabaran mereka mempunyai batasnya.

“Kita tak kecewa… kita sabar, (tapi) sabar ada batasnya,” tegasnya pada sidang media di Rusila, Terengganu, hari ini.

Abdul Hadi turut menjelaskan tindakan yang dibuat sekutunya itu yang dianggap membelakangi PAS.

Pertama, katanya, ia melibatkan dua orang Adun Negeri Sembilan yang menarik balik sokongan untuk menyingkirkan Menteri Besar Aminuddin Harun walaupun sudah berbuat demikian pada awal konflik tersebut.

“Setiausaha agung (PAS) menghantar surat kepada Bersatu berkenaan dengan langkah yang diambil Adun Bersatu di Negeri Sembilan menarik balik SD yang melanggar setiakawan antara kita.

“Alasan-alasan yang diberi kita tak boleh terima, Umno tak tarik. Mengapa Bersatu tarik balik?

“Sebelum ini Bersatu telah bertindak di Perlis menyokong undi tak percaya kepada menteri besar di Perlis, dia tak sokong dan kita mengambil tindakan disiplin terhadap Adun kita dan Bersatu tak bertindak apa-apa.

“Dia tonjolkan orang dia jadi Menteri Besar Perlis. Kita masih sabar sebab nak jaga perpaduan PN,” katanya.

Selain itu tanbah Abdul Hadi, turut tidak menyenangkan PAS ialah penyelarasan exco Kedah serta timbalan speader di negeri berkenaan serta Kelantan.

“Bersatu suruh pecat tukar orang, kita melihat kepada prestasi orang ini (bekas ahli Bersatu) bukan nak pecat begitu, prestasi melaksanakan tugas dengan baik tak perlu dipecatlah.

“Terakhir (Bersatu) menyekat keahlian parti-parti Melayu Islam termasuk parti bukan Islam yang tidak ekstrem untuk menyertai PN,” kata Abdul Hadi lagi.

Bila turun medan tak ada petugas

Mengulas lanjut, katanya, Bersatu tidak bersetuju untuk ditambah parti komponen PN dan perkara itu tidak menyenangkan PAS.

Abdul Hadi juga menyatakan kekecewaan PAS apabila selama ini Bersatu lebih ramai calon pilihan raya berbanding petugas dan jentera parti.

“Hal-hal macam ini kita akan ajar dia satu per satu apakah langkah selanjutnya.

“Segala aspek sebab kita pilihan raya dah dekat dan pilihan raya ini ada untung dan rugi kalau menjejaskan pilihan raya kita bertindaklah mengikut yang sepatutnya.

“Tak timbul (tanding) solo PAS masih Pengerusi PN, cuma PAS menerima semua parti-parti Melayu Islam dan bukan Islam yang tidak ekstrem menyertai bersama kita,” jelasnya lagi.

Ditanya kemungkinan PAS akan bergerak tanpa Bersatu selepas ini, ahli politik berusia 78 tahun itu berkata, perkara tersebut masih menjadi salah satu kemungkinan namun tidak boleh ditentukan kerana “tak berlaku lagi.”

“Bersatu tak boleh buat macam dulu contohnya dia lebih banyakkan calon berbanding jentera parti.

“Pengalaman kita dalam pilihan raya bila turun ke medan dia tak ada petugas, ada calon saja. Petugas sikit sangat jumlahnya. Duduk (asyik) cakap ahli berapa ribu berapa ribu, bila kita turun ada ahli kita saja.

“PAS tidak akan tunduk dengan kemahuan Bersatu kali ini,” tegasnya lagi yang turut memberitahu Majlis Syura Ulama PAS akan meneliti setiap tindakan dibuat Bersatu sebelum keputusan lanjut diambil.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang bagaimanapun yakin pendirian yang ditunjukkan PAS ketika ini tidak akan menjejaskan hubungan mereka dengan parti komponen lain dalam PN – yang kini dipengerusikan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar.

“Tak menjejaskan PN sebab PAS masih dalam PN kita boleh bertanding, PAS adalah Pengerusi PN dan pengerusi ada hak untuk beri logo untuk bertanding dalam pilihan raya.

“PAS tak terjejas dan kita bersedia untuk berdepan pilihan raya bila-bila masa sahaja.

“Kita akan dilihat segala aspek negatif dan positif daripada langkah-langkah yang dilakukan (Bersatu), akan ada keputusan (sebelum pilihan raya umum),” ujarnya.

Stesen radio mohon maaf selepas tersilap umum kemangkatan Raja Charles

Astro AWANI

LONDON: Sebuah stesen radio di United Kingdom (UK) memohon maaf kepada Raja England, Raja Charles III dan pendengarnya selepas secara tidak sengaja mengumumkan berita kemangkatan baginda.

Pengurus stesen Radio Caroline, Peter Moore dalam satu kenyataan yang dikongsi di media sosial berkata, kesilapan itu berpunca daripada ralat sistem komputer di studio utama mereka.

“Akibat ralat komputer di studio utama kami, prosedur ‘Kemangkatan Seorang Raja’ yang sememangnya disediakan oleh semua stesen di UK, telah diaktifkan secara tidak sengaja pada petang Selasa (19 Mei), sekali gus tersilap mengumumkan bahawa Raja telah mangkat,” katanya.

Menurut beliau, susulan pengumuman tersebut, siaran Radio Caroline turut dihentikan seketika seperti yang ditetapkan oleh protokol rasmi.

“Keadaan itu menyedarkan kami untuk segera memulihkan siaran serta mengemukakan permohonan maaf secara langsung kepada pendengar,” katanya lagi.

Moore turut menyifatkan stesen tersebut berbesar hati kerana pernah menyiarkan ucapan Krismas Ratu Elizabeth II dan kini Raja Charles III.

“Kami berharap dapat terus menyiarkan ucapan tersebut untuk tempoh yang lama. Kami memohon maaf kepada Raja dan para pendengar atas sebarang keresahan yang timbul akibat insiden ini,” katanya.

Radio Caroline yang ditubuhkan pada 1964 kini bersiaran di beberapa negara termasuk Belgium dan Belanda, selain boleh diakses secara dalam talian di seluruh dunia.

Pada hari kejadian, Raja Charles dan Permaisuri Camilla berada di Belfast, Ireland Utara.

Menurut Istana Buckingham, pasangan diraja itu menghadiri sebuah acara kebudayaan di Thompson Dock - kawasan bersejarah tempat kapal Titanic pernah dibina sebelum pelayaran sulungnya.

Di lokasi tersebut, baginda berdua turut bertemu penggiat seni dan penganjur festival muzik tradisional Ireland, Fleadh Cheoil na hÉireann, yang dijadual berlangsung pada Ogos.

Selain itu, pasangan diraja itu turut melawat penyulingan whiskey Titanic sebelum Raja berkenan mengunjungi sebuah badan amal tempatan yang memberi fokus kepada latihan kemahiran bagi kerjaya digital.

Raja Charles dan Permaisuri Camilla kemudiannya mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertama serta Timbalan Menteri Pertama Ireland Utara di Istana Hillsborough, kediaman rasmi diraja berhampiran Belfast.

Raja Charles, 77, sebelum ini mengumumkan pada Februari 2024 bahawa baginda disahkan menghidap kanser. 

Dalam satu mesej video pada Disember lalu, baginda memaklumkan rawatan akan dikurangkan tahun ini susulan perkembangan positif terhadap rawatan yang diterima.

Sepanjang bulan lalu, baginda turut mengadakan lawatan ke New York dan Washington, DC, termasuk menyampaikan ucapan di Kongres Amerika Syarikat sempena sambutan ulang tahun ke-250 kemerdekaan negara itu. 

Baginda juga berucap di Parlimen United Kingdom minggu lalu. - Agensi

KPM serah polis siasat kes gangguan seksual guru terhadap murid Darjah

FMT Reporters

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan tular gangguan seksual seorang guru terhadap murid Darjah 6 di sebuah sekolah di Johor.

Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata guru terbabit juga telah direhatkan serta-merta sementara siasatan dijalankan.

“Siasatan diserahkan kepada polis. Guru direhatkan serta merta.

“Siasatan dalaman diteruskan. KPM tidak kompromi kes gangguan seksual,” katanya di Facebook.

Terdahulu, tular satu pendedahan di media sosial berhubung kejadian gangguan seksual membabitkan seorang guru dan murid perempuan darjah 6 di sebuah sekolah rendah di Masai, tahun lalu.

Bekas guru Matematik, Mohd Fadli Mohamed Salleh, mendakwa guru besar sekolah terbabit membuat laporan polis sebanyak dua kali untuk menggesa Pusat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Gudang mengambil tindakan tegas terhadap guru berusia 28 tahun itu.

Menurutnya, guru terbabit telah dipindahkan sementara ke PPD selama tiga bulan namun dia dibenarkan mengajar semula bermula sesi persekolahan tahun ini.

“Tindakan dari PPD Pasir Gudang sangat mengejutkan. Kena ‘pool’ sekitar tiga bulan sahaja. Sekarang, guru ini kembali bertugas di sekolah macam tidak ada apa.

“Ada ibu bapa yang tahu mengenai kes ini sangat terkejut. Mereka ada anak perempuan dan anak perempuan mereka diajar oleh guru yang ada kes ini. Mereka buat laporan kepada Sistem Pengurusan Aduan Awam (Sispaa) dan jawapan mereka adalah ‘keputusannya sulit’,” katanya.

Fadhli berkata dia kesal dengan tindakan PPD sambil menegaskan bahawa guru terbabit tidak seharusnya diberi peluang untuk terus mengajar di sekolah.

“PPD Pasir Gudang sila bertanggungjawab dan betulkan semula benda salah ini. Jangan nak lindungi seorang guru, ribuan nasib murid-murid lain diabaikan,” katanya.

Kedah: Letupan tong gas helium: 2 lelaki ditahan

Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my
HANYAN (kanan) meninjau lokasi tong gas helium meletup dan mengorban seorang lelaki. FOTO Zuliaty Zulkiffli.
HANYAN (kanan) meninjau lokasi tong gas helium meletup dan mengorban seorang lelaki. FOTO Zuliaty Zulkiffli.
Sungai Petani: Dua lelaki ditahan untuk membantu siasatan berhubung kejadian letupan tong gas helium di tapak ekspo perniagaan berhampiran Dataran Jam Besar, di sini, malam ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, setakat ini dua lelaki berusia 20-an dan 40-an ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian ini.

"Polis akan buat beberapa tangkapan lagi pada malam ini," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Dalam kejadian itu, seorang peniaga, Azmi Ahmad, 42, maut manakala tiga lelaki termasuk remaja berusia 15 tahun mengalami kecederaan.

Pada masa sama, Hanyan turut meminta mangsa lain yang turut cedera akibat insiden itu tampil untuk membantu siasatan.

Katanya, penganjuran ekspo yang bermula 20 sehingga 26 Mei depan akan ditutup sementara bagi memberi laluan kepada siasatan yang sedang dijalankan.

"Polis menerima panggilan jam 7.53 malam daripada orang awam yang memaklumkan insiden terbabit.

"Siasatan awal mendapati ada seorang lelaki terbaring yang disahkan sudah meninggal dunia akibat kecederaan parah di tangan kanan dan dada kanan.

"Kita dapati kejadian mungkin berlaku apabila satu tong yang mengandungi gas meletup.

"Serpihannya terpelanting antara jarak 70 hingga 100 meter serta mengenai beberapa peniaga lain sehingga mengalami kecederaan," katanya.

Hanyan berkata, kes disiasat bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kematian seseorang dengan melakukan sebarang tindakan cuai.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk tindakan lanjut.

[VIDEO] ‘Orang Ipoh tolong cari penyamun ini, kes ragut di kedai ibu saya’

KOSMO!
Tangkap layar klip video yang tular di media sosial.
PETALING JAYA – Seorang wanita merayu pertolongan orang ramai untuk mengesan dua lelaki yang telah meragut di kedai ibunya di Meru, Ipoh hari ini.

Menerusi perkongsian di aplikasi Threads, individu yang dikenali sebagai Aww.Lieyaa berkata, kejadian tersebut berlaku di gerai milik ibunya iaitu Nasi Bajet Yanti.

“Kes ragut di kedai ibu saya, di Nasi Bajet Yanti, Meru, Ipoh. Siapa dapat jumpa roger.

“Orang-orang Ipoh atau lebih tepatnya Meru, tolong cari depa ini, mudah-mudah curi hasil titik peluh orang., tolong ya semua,”rayu wanita itu.

Jelasnya, dia terkilan dengan perbuatan dua lelaki itu kerana ibunya susah payah berniaga demi menyara keluarga.

“Bukan mudah untuk seorang peniaga kecil untuk cari rezeki, repost (kongsikan) sampai dapat dua penyamun ni,”tegasnya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna mengecam tindakan kedua-dua lelaki itu dan mereka mahu pihak berkuasa segera menangkap penjenayah itu.

“Apa punya hina sehina manusialah, orang berniaga kecil-kecilan macam tu, struggle (susah) cari duit, ko boleh sampai hati nak meragut, semoga Allah bagi hidayah,”tulis Ohmignonette.

Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Beehana77.

“Sihat tubuh badan tapi memilih makan benda haram, tahniah bang elok sangat perangai tu., semoga dapat tangkap,”katanya. – KOSMO! ONLINE

Lelaki cari isteri ke-4 di Facebook

KOSMO
Lelaki terbabit mencari isteri keempat di platform Facebook semalam. - Facebook
JAKARTA – Seorang lelaki di Indonesia tular kerana meminta pengguna media sosial untuk membantunya mencari isteri baharu meskipun dia sudah mempunyai tiga isteri, lapor portal berita Lambe Turah. Maps

Imej dimuat naik di platform Facebook menunjukkan lelaki terbabit bersama tiga isterinya yang memakai jubah serta niqab berwarna hitam. 

“Masih kurang satu, ada sesiapa tahu bagaimana dapat tutup kuota empat isteri?” tulis lelaki itu di platform Facebook. 

Hantaran itu menjadi tular dan menimbulkan pelbagai reaksi. 

“Macam mana wanita boleh minat dia (lelaki berkenaan)?” kata seorang netizen. 

“Cuba tanya isteri ketiga nafkah setiap bulan cukup atau tidak?” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI

Lelaki terkorban dalam letupan di tapak ekspo Dataran Jam Besar

Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my
PASUKAN penyelamat hadir di tapak ekspo Dataran Jam Besar susulan letupan yang menyebabkan seorang terkorban. FOTO Tular.
PASUKAN penyelamat hadir di tapak ekspo Dataran Jam Besar susulan letupan yang menyebabkan seorang terkorban. FOTO Tular.
Sungai Petani: Letupan yang berlaku di tapak ekspo Dataran Jam Besar di sini, hari ini mengorbankan seorang lelaki berusia 42 tahun.

Letupan dipercayai berpunca daripada tong gas helium.

Difahamkan, kejadian pada 7.53 malam itu turut menyebabkan dua lagi mangsa berusia 15 dan 46 tahun cedera.

Kematian pemuda berkenaan disahkan petugas kesihatan yang hadir di lokasi.

Setakat ini pihak polis belum mengeluarkan pengesahan rasmi mengenai kejadian dan jumlah mangsa terjejas.

Lelaki maut ditetak depan kedai makan

MUHAMMAD ZIKRI
INILAH lokasi sebuah kedai makan dan minuman di bandar Pekan Nanas, Pontian seorang lelaki ditemui mati disyaki ditetak awal pagi tadi. Foto oleh MUHAMMAD ZIKRI/ KOSMO!
PONTIAN – Seorang lelaki ditemui mati dengan kesan tetakan pada bahagian tangan serta kaki di hadapan sebuah kedai makan dan minuman di Pekan Nanas di sini, awal pagi, hari ini.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussein Mion Hussain berkata, lelaki tempatan berusia 22 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Katanya, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam sekitar pukul 3.55 pagi yang memaklumkan penemuan seorang lelaki terbaring dengan berlumuran darah di hadapan sebuah kedai.

“Lelaki muda berusia 22 tahun ditemui terbaring dengan kesan tetakan pada bahagian tangan dan kaki,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tambah Hadzrat Hussein, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan polis sedang menyiasat motif kejadian serta mengesan suspek yang terlibat. – KOSMO! ONLINE

‘Rider’ kencing dilanggar kereta api

KOSMO!
Mangsa dilanggar sebuah kereta api semasa membuang air kecil di landasan di Bangkok, Thailand. - Facebook/THAI PRESS
BANGKOK – Seorang penghantar makanan parah dilanggar kereta api semasa membuang air kecil di landasan berhampiran lokasi nahas antara tren dan sebuah bas di Thailand baru-baru ini, lapor laman berita Thaiger. 

Pasukan kecemasan bergegas ke Jalan Kampaengphet 7 berhampiran Hotel Mercure Bangkok Makkasan pada pukul 11 pagi (waktu tempatan). 

Mangsa mengalami kecederaan parah dan tidak sedarkan diri apabila anggota penyelamat tiba di lokasi kejadian, lapor stesen penyiaran Amarin TV. 

Dia diberikan pertolongan cemas sebelum dibawa ke hospital berdekatan.

Seorang saksi memberitahu polis bahawa penghantar makanan itu meletakkan motosikalnya sebelum membuang air kecil di sebelah landasan kereta api. 

“Mangsa mungkin tidak menyedari kereta api menghampirinya kerana dia memakai fon telinga dan topi keledar,” kata saksi. 

State Railway of Thailand (SRT) tampil menjelaskan bahawa mangsa meletakkan motosikalnya di kawasan larangan, memanjat penghadang yang memisahkan jalan dan landasan kereta api untuk membuang air kecil.

SRT menegaskan bahawa pemandu kereta api telah membunyikan hon tetapi tidak dapat berhenti tepat pada masanya sehingga menyebabkan kemalangan. – AGENSI

Rafizi robek 'bukti' Fuziah, guna pendekatan sang kancil lari bon RM10 juta PKR

Malaysiakini

Bekas ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli menyangkal dakwaan Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh yang mendakwa mempunyai bukti berasaskan cap masa yang menunjukkan dirinya dan Nik Nazmi Nik Ahmad sudah menyertai Parti Bersama Malaysia (Bersama) pada Sabtu lalu, sekali gus melanggar bon pilihan raya 2022 mereka dengan PKR.

Dalam satu kenyataan hari ini, bekas menteri ekonomi itu berkata, bahawa dia baru sahaja mendaftar secara rasmi sebagai ahli biasa parti berkenaan pada hari ini, sekali gus menafikan dakwaan bahawa dia telah menyertai parti itu lebih awal.

"Hari ini, 21 Mei jam 12.56 tengahari, saya baru saya mendaftar menjadi ahli baru Bersama.

“Saya kini menjadi ahli biasa Bersama dan nombor keahlian saya agaknya lebih corot berbanding (mereka) yang lebih awal sertai sejak hari Ahad," katanya.

Penjelasan tersebut sekali gus merobek dakwaan Fuziah sebelum ini yang berkata terdapat bukti cap masa bertarikh 17 Mei (Ahad) di laman web yang menunjukkan Rafizi dan Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad sudah menganggotai parti baharu itu sebelum melepaskan jawatan parlimen mereka.

Isu ini berakar umbi daripada pertikaian syarat bon pilihan raya PKR 2022 yang mengikat calonnya dengan penalti RM10 juta sekiranya meninggalkan parti sebelum tamat penggal.

Rafizi sebelum ini berkata, urutan pengosongan kerusi parlimen terlebih dahulu sebelum menyertai parti lain secara perundangan membatalkan tuntutan bon tersebut kerana ia hanya terpakai kepada individu yang mengekalkan kerusi parlimen masing-masing

Fuziah sebelum ini dilaporkan berkata bahawa penasihat undang-undang PKR akan meneliti status senarai kepimpinan dalam laman web berkenaan untuk tindakan saman, walaupun dia mengakui penyenaraian tersebut tidak bermaksud permohonan keahlian rasmi telah dihantar.

“Saya ada bukti bahawa mereka telah pun masuk Parti Bersama Malaysia, dalam laman web (parti berkenaan) dengan cap waktu 17 hari bulan.

"Kalau ikut dasar perlembagaan parti, maka mereka telah pun melompat parti pada tarikh itu sebelum mengosongkan kerusi (Parlimen) pada hari ini," kata Fuziah seperti dipetik Bernama.

Susulan pendaftaran rasminya hari ini, Rafizi memaklumkan fokus parti kini adalah untuk menyusun organisasi akar umbi dalam tempoh sebulan menggunakan pendekatan yang berbeza daripada parti-parti politik sedia ada.

“Bersama mesti mengambil pendekatan sang kancil, iaitu mencari kaedah yang paling optimum dan berkesan dalam menyusun organisasi akar umbi supaya kita tangkas, cerdik dan berani.

“Pendekatan yang akan diambil oleh Bersama dalam menyusun organisasi akar umbi tidak sama dengan organisasi parti lain yang ada,” katanya.

Menurut bekas timbalan presiden PKR itu, ramai yang menghantar mesej kepada dirinya menawarkan diri untuk membuka cawangan di daerah atau negeri.

“Nasihat saya ialah untuk mendaftar sebagai ahli di https://bersama.org dahulu.

“Proses untuk menyusun organisasi akar umbi itu akan berlaku dalam tempoh sebulan dari sekarang,” katanya sambil menambah panduan seterusnya untuk menyusun organisasi akar umbi akan dibuat dalam tempoh sebulan dari sekarang.

Jambatan terpanjang merentasi sungai di Malaysia dibuka secara rasmi

Mohd Roji Kawi
mdroji@bh.com.my
JAMBATAN Batang Lupar No.1 sepanjang 4.8 kilometer dibuka secara rasmi, hari ini. FOTO Ihsan JKR
JAMBATAN Batang Lupar No.1 sepanjang 4.8 kilometer dibuka secara rasmi, hari ini. FOTO Ihsan JKR
Kuching: Jambatan terpanjang merentasi sungai di negara ini dibuka secara rasmi, hari ini sekali gus menjadi mercu tanda baharu pembangunan infrastruktur di Sarawak.

Jambatan Batang Lupar No 1 itu dirasmikan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Projek yang dilaksanakan di bawah Pakej D2B: Cadangan Pembinaan dan Penyiapan Jambatan Batang Lupar 1, Bahagian Samarahan/Betong itu disifatkan sebagai antara projek infrastruktur paling ikonik di Sarawak.

Jambatan berkenaan dibina dengan laluan tunggal dua lorong sepanjang 4.8 kilometer mengikut piawaian Jabatan Kerja Raya (JKR) R5.

Ia turut menampilkan rentangan utama kabel sepanjang 598.8 meter selain mempunyai kelegaan navigasi selebar 250 meter dan ketinggian 26 meter.

Projek pembinaan jambatan itu membabitkan kos keseluruhan sebanyak RM848.7 juta dan menghubungkan Sebuyau serta Triso.

Pembukaan jambatan itu dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk setempat dengan menyediakan sistem pengangkutan yang lebih selamat, pantas dan lancar di sepanjang koridor pesisir pantai.

Dalam ucapannya, Douglas berkata, jambatan berkenaan melambangkan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memperkukuh ketersambungan serta merangsang pertumbuhan sosioekonomi rakyat.

Beliau berkata, penyiapan projek itu mampu mengurangkan masa perjalanan selain meningkatkan kecekapan logistik dan pengangkutan di kawasan terbabit.

Menurutnya, jambatan berkenaan turut membuka lebih banyak peluang pembangunan ekonomi, pertanian dan pelancongan antara Sebuyau, Triso dan kawasan sekitarnya.

Penjaga pusat kebajikan ‘sentuh’ kanak-kanak lelaki dijel 11 tahun, lima sebatan

NUZULSHAM SHAMSUDDIN
Retna Velu ketika dibawa ke mahkamah pada prosiding lalu.
AMPANG – Seorang penjaga sebuah rumah kebajikan dipenjara 11 tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas enam pertuduhan amang seksual fizikal, bukan fizikal dan persetubuhan bertentangan aturan tabii terhadap dua kanak-kanak lelaki.

Hakim Norshila Kamaruddin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Retna Velu, 25, mengaku bersalah terhadap enam pertuduhan yang dibacakan semula terhadapnya dalam bahasa Tamil.

Hari ini merupakan tarikh jatuh hukum selepas tertuduh telah mengaku bersalah semasa didakwa pada 9 April lalu.

“Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 11 tahun bagi setiap pertuduhan dan hukuman berjalan secara serentak. Bagi hukuman sebatan pula, mahkamah mengenakan satu sebatan bagi setiap pertuduhan pertama hingga kelima sementara bagi kesalahan di bawah Seksyen 15 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 tiada sebatan dikenakan,” katanya.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap pada 3 April lalu selain sesi kaunseling sepanjang tempoh pemejaraan serta pengawasan polis selama dua tahun selepas menjalani hukuman.

Mengikut keenam-enam pertuduhan itu, tertuduh didakwa telah melakukan amang seksual fizikal, bukan fizikal serta seks luar tabii terhadap dua kanak-kanak lelaki berusia lapan dan 10 tahun (umur sewaktu kejadian).

Kesalahan itu dilakukan di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Batu Caves, Selayang pada Februari dan Mac 2026 yang didakwa mengikut Seksyen 14(a) 14(b), 15(a)(i) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan.

Seksyen 14(a) dan 14(b) memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan manakala Seksyen 15 (a)(i) memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya.

Bagi Seksyen 377C pula memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Terdahulu tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya hanya memohon hukuman diringankan.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Malek Fauzie memohon mahkamah mengenakan hukuman berat dengan mengambil kira fakor kepentingan awam.

“Pihak pendakwaan memohon hukuman penjara secara berasingan terhadap enam pertuduhan itu selain perintah pengawasan polis,” kata Nadiah.

Sementara itu, ibu serta ibu saudara kepada dua mangsa ketika membacakan kenyataan impak sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman menggambarkan trauma yang dialami kanak-kanak berkenaan.

Menurut ibu kepada mangsa lelaki berumur lapan tahun selepas kejadian, anaknya menjadi pendiam dan berasa takut untuk bercakap dan mengenali orang lain.

“Saya terima aduan daripada sekolah bahawa pelajaran anak saya merosot dan dia sering berasa letih. Bagaimanapun, guru-guru di sekolah memberi kaunseling pada anak saya dan kini dia nampak baik,” katanya.

Dalam pada itu, ibu saudara kepada mangsa berumur 10 tahun pula menyatakan kanak-kanak itu sering menceritakan mengenai kejadian tersebut kepada keluarga selain emosinya sering tidak stabil dan takut dengan orang yang tidak dikenali terutama lelaki.

Selain keluarga mangsa, turut hadir dalam prosiding itu ialah peguam pemerhati yang mewakili keluarga mangsa iaitu Kirthen Subramaniam dan Premila Subramaniam.

Meskipun telah dijatuhi hukuman, Retna Velu masih berdepan lagi sembilan pertuduhan kesalahan sama di Mahkamah Sesyen berlainan di hadapan Hakim Ho Kwong Chin.

Sekiranya Retna Velu mengekalkan pengakuan salahnya di mahkamah itu, tarikh 4 Jun ini ditetapkan untuk fakta kes dan jatuh.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun mendedahkan menjadi mangsa liwat di sebuah rumah kebajikan di Batu Caves sejak dua tahun lalu.

Mangsa merupakan antara lebih 20 kanak-kanak berusia sembilan hingga 17 tahun yang mengalami penderaan fizikal dan seksual di rumah kebajikan tersebut yang telah beroperasi selama 10 tahun itu.

Dakwanya, perbuatan terkutuk itu dilakukan oleh pengasas rumah tersebut yang berusia 31 tahun.

Menurut mangsa, dia diliwat sambil dirakam di tandas rumah kebajikan dengan disaksikan rakan-rakannya selain turut menerima jahitan di kawasan kemaluan disebabkan kejadian itu.

Tambah kanak-kanak tersebut, dia tidak berani untuk memaklumkan insiden itu kepada sesiapa kerana sering dipukul menggunakan batang buluh di kepala selain dilumurkan dengan cili merah di muka.

Selain kanak-kanak tersebut, seorang lagi mangsa lelaki berusia 15 tahun turut mendedahkan perkara sama apabila didera secara seksual sejak empat tahun yang lalu.

Presiden Pertubuhan Kebangkitan Tiga Tangan Selangor, S Maran, yang mendedahkan kes tersebut berkata, selain pengasas, terdapat dua lagi pembantunya yang juga terlibat dengan kes amang seksual melibatkan ramai mangsa. – KOSMO! ONLINE

Pendatang haram: 38 tukang masak, pelayan restoran warga Indonesia ditahan

Op Selera: 38 tukang masak, pelayan restoran warga asing ditahan
Azizi Majid
Anggota JIM Johor memeriksa warga asing dalam serbuan Ops Selera di kedai makan sekitar Johor Bahru semalam. FOTO ihsan JIM Johor
JOHOR BAHRU: Seramai 38 warga asing yang bekerja sebagai tukang masak dan pelayan restoran ditahan dalam Op Selera oleh Jabatan Imigresen Negeri Johor di sekitar daerah ini semalam.

Pengarahnya, Datuk Rusdi Mohd Darus berkata, operasi jam 11 pagi itu dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat awam berkaitan aktiviti warga asing di premis-premis menjual makanan berkenaan.

“Ketika serbuan dijalankan, beberapa individu dipercayai cuba melarikan diri dan mengelak daripada diperiksa, namun tindakan pantas pegawai penguat kuasa berjaya mengawal keadaan.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat individu gagal mengemukakan dokumen perjalanan serta permit kerja yang sah,” menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Rusdi berkata, semua yang ditahan terdiri daripada 24 lelaki dan 14 wanita warga Indonesia berusia antara 18 hingga 50 tahun.

Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Dua lelaki warga tempatan yang dipercayai bertugas sebagai pengurus premis turut ditahan bagi membantu siasatan.

“Sebanyak tiga keping Borang 29 iaitu saman kepada saksi turut dikeluarkan sepanjang operasi bagi membantu siasatan lanjut pihak imigresen,” katanya.

Semua yang ditahan dihantar kenyataan Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut.