Polis tahan pemandu Myvi lakukan ugutan jenayah

BERNAMA

Georgetown: Polis menahan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan berhubung kejadian ugutan jenayah dan menunjukkan isyarat lucah dalam insiden di Jalan Tun Dr Awang, di sini yang videonya tular di media sosial semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab Wahab berkata, lelaki berusia 37 tahun itu ditahan semalam hasil maklumat dan risikan selepas rakaman kamera papan pemuka (dashcam) milik mangsa dimuat naik serta tular di laman media sosial terutama Facebook.

"Siasatan mendapati kejadian itu berlaku 11.27 pagi Khamis di Jalan Tun Dr Awang menghala ke Relau, apabila lelaki itu yang memandu Perodua Myvi bertindak memotong kenderaan mangsa secara mengejut.

​"Lelaki itu dipercayai menunjukkan isyarat lucah sebelum memberhentikan keretanya di hadapan (kereta) mangsa lalu turun dari kenderaannya dengan membawa sebatang objek dipercayai besi dan menghayunkan ke arah kereta mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ekoran penahanan lelaki itu, polis merampas sebuah kereta Perodua Myvi, sebatang paip PVC, kunci kereta dan pakaian yang dipercayai digunakan suspek semasa kejadian bagi membantu siasatan.

Anuwal berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine dan suspek juga mempunyai rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah.

Beliau berkata, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Balik Pulau dan pihak polis mendapat perintah reman tiga hari hingga 31 Mei ini ke atas lelaki itu bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah," katanya.

Beliau berkata, polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengawal emosi ketika berada di jalan raya dan mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mengancam keselamatan serta ketenteraman pengguna lain.

Imej Jaslinda dikesan kamera hidupan liar Perhilitan

MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM
Lokasi kamera pengawasan hidupan liar Perhilitan yang mengesan imej Jaslinda.
TAPAH – Rakaman kamera pengawasan hidupan liar Perhilitan berjaya mengesan imej pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang hilang di Gunung Batu Putih di sini sejak Sabtu minggu lalu.Kembara & Berkhemah

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, dua anggota Team Pelindung (Perhilitan) bersama dua pegawai Jabatan Perhutanan telah dibawa menaiki pesawat AW139 ke Puncak Gunung Batu Putih untuk mengambil cip (kad SD) kamera pengawasan hidupan liar di sekitar Gunung Batu Putih.

“Hasil penelitian kandungan cip tersebut mendapati terdapat rakaman imej rakaman imej mangsa (Jaslinda) telah melintasi Kamera 1 pada pukul 11.22 pagi bertarikh 24 Mei lalu.

“Terdapat juga rakaman imej lapan anggota STORM dan seorang malim gunung melintasi Kamera 1 pada pukul 5.15 petang pada 25 Mei 2026,” katanya di sini hari ini.

Katanya, tiada sebarang imej mangsa berpatah balik melintasi Kamera 1 tersebut.

“Bagi Kamera 2 tiada sebarang rakaman imej mangsa atau pasukan penyelamat melintasi Kamera 2 yang menuju Gunung Batu Bujang pada 24 dan 25 Mei,” ujarnya.

Tambah beliau, terdapat dua simpang jalan selepas Kamera 1 iaitu laluan ke Kem Sukaneka, laluan ke titik air (water point).

“Laluan ke titik air telah dihalang dengan laluan kayu bagi menandakan ia bukan trek laluan.

“Rakaman Kamera 1 dapat menyokong hujah bahawa mangsa memang bergerak mengikut laluan ke Kem Sukaneka seperti mana penemuan jejak tapak kasut dan botol air yang ditemui oleh pasukan penyelamat dari awal pencarian bermula,” katanya.

Jelasnya, seorang anggota bomba mengalami kecederaan pada paha, lutut dan buku lali ketika menjalankan operasi pencarian yang bermula semalam di kawasan dari Kem Kantoi hingga ke alur air Sungai Ayer Busok.

“Mereka turut menyusuri sungai tersebut sejauh satu kilometer, namun tidak menemukan sebarang tanda mangsa memasuki kawasan itu.” – KOSMO! ONLINE

Lelaki dilapor hilang ditemui tidur tepi mesin basuh jiran

Mohd Roji Kawi
mdroji@bh.com.my
ANGGOTA bomba mengumpul maklumat sebelum melancarkan operasi mencari dan menyelamat mangsa hilang di Padawan. IHSAN JBPM
ANGGOTA bomba mengumpul maklumat sebelum melancarkan operasi mencari dan menyelamat mangsa hilang di Padawan. IHSAN JBPM
Kuching: Disangka hilang, rupa-rupanya tertidur di tepi mesin basuh rumah jiran.

Itu yang berlaku kepada seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas menghadiri majlis perkahwinan di Kampung Sira, di Padawan, awal pagi tadi.

Kehilangan mangsa mencetuskan kebimbangan ahli keluarga sebelum mereka mendapatkan bantuan pihak berkuasa untuk mengesannya.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.39 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan digerakkan ke lokasi.

Menurutnya, dua anggota bersama pikap Toyota Hilux tiba di lokasi pada jam 5.14 pagi bagi menjalankan operasi pencarian.

"Siasatan awal mendapati mangsa yang juga abang ipar kepada pengadu menghadiri majlis perkahwinan di gereja di kampung berkenaan malam tadi sebelum dilaporkan hilang.

"Selepas selesai makan dan minum di majlis itu, mangsa dikatakan keluar untuk membuang air kecil sebelum gagal dikesan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, anggota bomba yang bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kemudian mengambil maklumat berkaitan kehilangan mangsa.

"Selepas maklumat dikumpul, anggota bomba bersedia melancarkan operasi pencarian bersama polis, ahli keluarga serta penduduk kampung.

"Bagaimanapun, mangsa berjaya ditemui penduduk kampung dalam keadaan selamat kira-kira jam 6 pagi selepas didapati sedang tertidur di sebelah mesin basuh di rumah jiran," katanya.

Menurutnya, selepas pemeriksaan dilakukan dan mangsa disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan, operasi ditamatkan pada jam 6.09 pagi.

Ratusan jongkong emas ditemukan dalam rumah bekas pegawai kerajaan

KOSMO
Ejen FBI menemui 303 jongkong emas di dalam rumah tertuduh di negeri Virginia. - Getty
WASHINGTON  – Seorang bekas pegawai kerajaan Amerika Syarikat (AS) ditahan selepas ejen-ejen Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) menemui beratus-ratus jongkong emas bernilai lebih AS$40 juta (RM159 juta) di dalam rumahnya di negeri Virginia, lapor stesen penyiaran BBC. 

Tertuduh dikenali sebagai David Rush membuat permintaan kepada kerajaan AS antara November 2025 sehingga Mac lalu untuk mendapatkan jongkong emas tersebut atas alasan ‘perbelanjaan berkaitan kerja’, demikian menurut dokumen mahkamah. 

Rush didakwa melakukan jenayah mencuri harta kerajaan dalam aduan yang difailkan minggu lalu.

Suspek yang merupakan bekas eksekutif kanan di Agensi Perisikan Pusat (CIA) itu kini direman  sementara menunggu perbicaraan.  

Dia juga dituduh memalsukan maklumat pendidikan dan perkhidmatan ketenteraannya semasa memohon untuk menjadi penjawat awam.

FBI menemui wang tunai AS$2 juta (RM7.9 juta) beserta 35 jam tangan mewah, kebanyakannya jenama Rolex. 

Pihak berkuasa turut merampas kira-kira 303 jongkong emas yang setiap satu seberat 1 kilogram, kata FBI dalam dokumen mahkamah. – AGENSI

Kelantan: Sempat turun sebelum treler menggelongsor ke dalam gaung

Paya Linda Yahya
am@hmetro.com.my
Keadaan treler yang jatuh gaung di KM 90 Jalan Gua Musang-Lojing, di sini, semalam. FOTO Ihsan PDRM
Keadaan treler yang jatuh gaung di KM 90 Jalan Gua Musang-Lojing, di sini, semalam. FOTO Ihsan PDRM
Gua Musang: Berpantang maut sebelum ajal apabila seorang pemandu treler sempat turun sebelum kenderaan terbabit tiba-tiba menggelongsor dan terjatuh ke dalam gaung di Kilometer 90 Jalan GuaMusang-Lojing, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, pemandu treler terbabit yang berusia 30 tahun terselamat kerana sempat memberhentikan treler kerana dipercayai mengalami masalah brek.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima aduan berkenan kejadian terbabit kira-kira jam 10 pagi semalam membabitkan sebuah treler yang jatuh gaung.

Katanya, siasatan awal mendapati pemandu treler terbabit dalam perjalanan dari Port Klang menuju ke Lojing.

"Apabila tiba di lokasi kejadian pemandu treler terbabit mendapati kenderaan itu mengalami masalah brek dan berhenti kenderaan di bahu kiri jalan untuk membuat pemeriksaan.

"Secara tiba-tiba treler terbabit bergerak menggelongsor ke hadapan lalu terjatuh ke dalam gaung di sebelah kiri bahu jalan

"Dalam kemalangan ini pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat di bawah Rule 10 LN 166/59," katanya.

Beliau berkata siasatan lanjut masih dijalankan dan orang ramai yang melihat kejadian berlaku atau mempunyai sebarang maklumat berkenan kejadian boleh menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.

Ini sebabnya kenapa ramai Cina tua pilih jadi mualaf

KOSMO!
Perkongsian Jacob Chai di TikTok.
PETALING JAYA – Dakwaan mengenai peningkatan kos pengurusan kematian masyarakat Cina sehingga mencecah puluhan ribu ringgit didakwa menjadi antara faktor segelintir individu memilih memeluk Islam sebelum meninggal dunia terutama warga tua.

Perkara itu dikongsikan seorang pengguna media sosial, Jacob Chai menerusi video di TikTok yang menarik perhatian ramai netizen sehingga meraih lebih 1.9 juta tontonan dalam tempoh tiga hari.

Menurutnya, kos pengurusan kematian masyarakat Cina ketika ini semakin tinggi susulan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

“Ramai orang Cina masuk Islam dan jadi mualaf sebab kos orang Cina mati semakin tinggi dan mahal. Harga barang semakin mahal, maka orang Cina yang sudah berumur dan tua akan pilih masuk Islam sebab tidak mahu susahkan keluarga dan anak-anak,” katanya.

Jacob mendakwa terdapat juga individu yang dipengaruhi ahli keluarga untuk memeluk Islam bagi memudahkan urusan pengebumian selain mengurangkan beban kewangan waris.

Katanya, masyarakat Cina mempunyai dua kaedah utama pengurusan kematian iaitu pembakaran mayat dan pengebumian di tanah perkuburan.

“Kalau bakar guna api, kos lebih murah sekitar RM20,000 hingga RM50,000. Kalau tanam dalam kubur pula lebih mahal sebab perlu beli tanah dan tengok feng shui, kos boleh cecah RM50,000 hingga RM100,000,” ujarnya.

Tambahnya, kos tersebut dijangka terus meningkat setiap tahun sehingga membebankan sesetengah keluarga terutama golongan berpendapatan sederhana.

Menurut Jacob, pengurusan jenazah bagi umat Islam pula dilihat lebih mudah kerana kebiasaannya dilakukan segera selain dibantu pihak masjid, surau atau badan kebajikan.

“Kalau peluk Islam sebelum mati, urusan lebih mudah sebab ada pihak bantu dari awal hingga selesai.

“Orang Islam meninggal dunia pada hari tersebut, hari sama juga akan ditanam. Tidak seperti kaum lain yang perlu simpan mayat,” katanya.

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan perkongsian pempengaruh terkenal, Low Sok Ying berkenaan kos dan pakej yang disediakan untuk menguruskan kematian orang Cina.

Menerusi perkongsian di laman Facebooknya, pempengaruh itu berkata, kos berkenaan meliputi pakej asas tiga hari dua malam.

“Pakej ini bukan pakej pergi tidur hotel (bercuti), tetapi ia pakej untuk menguruskan mayat tersebut sebab orang Cina dia akan simpan mayat. Pakej pengebumian biasa harganya sekitar RM43,700, tetapi kalau tempah awal sebelum mati dia (pakej) itu adalah diskaun jadi RM35,000

“Apa yang termasuk dalam pakej ini adalah ambil jenazah dari hospital, simpan dan solekkan jenazah, keranda kayu yang cantik, tempahan dewan majlis pengebumian, bacaan doa oleh sami, kenderaan untuk hantar jenazah ke kubur, urusan surat mati dan bakar jenazah serta abu bekas mayat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Pemandu dikepung tiada lesen, cukai jalan tamat tempoh

Mary Victoria Dass
am@hmetro.com.my
PEMANDU bersama penumpang kereta Perodua Myvi didakwa cuba melarikan diri selepas merempuh sebuah motosikal di Danga Bay. FOTO Tular
PEMANDU bersama penumpang kereta Perodua Myvi didakwa cuba melarikan diri selepas merempuh sebuah motosikal di Danga Bay. FOTO Tular
Johor Bahru: Pemandu kereta yang dikepung orang ramai kerana didakwa cuba melarikan diri selepas merempuh sebuah motosikal di Danga Bay di sini, didapati memandu tanpa lesen sah.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pemandu warga tempatan yang tidak bekerja juga didapati memandu kenderaan dengan cukai jalan yang sudah tamat tempoh.

Beliau berkata, kejadian berlaku di Kilometer 5.3 Jalan Skudai Pantai Lido di sini jam 1.50 pagi.

Menurutnya, kemalangan membabitkan sebuah motosikal Yamaha LC135 dan kereta Perodua Myvi.

"Mangsa seorang wanita tempatan berusia 39 tahun bekerja sebagai operator pengeluaran menunggang motosikal secara bersendirian dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Singapura.

"Apabila tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta Perodua Myvi dipandu seorang lelaki warga tempatan dipercayai gagal mengelak sebelum merempuh belakang motosikal mangsa.

"Akibatnya, mangsa tercampak atas laluan manakala motosikal mangsa terbabas dan merempuh batu pembahagi jalan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa cedera di pergelangan tangan kanan dan menerima rawatan awal di Hospital Sultanah Aminah (HSA) sebelum dipindahkan ke Hospital KPJ Bandar Dato' Onn, Johor Bahru.

Menurutnya, pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan tampil membuat laporan polis.

"Hasil ujian saringan air kencing dan ujian alkohol dijalankan terhadap pemandu adalah negatif.

"Tindakan saman dilakukan di bawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana tanpa lesen memandu yang sah serta di bawah Seksyen 23(1) Akta Pengangkutan 1987 kerajaan menggunakan kenderaan dengan cukai jalan yang telah tamat tempoh.

"Kertas siasatan bersabit kes berkenaan dibuka di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa," katanya.

Beraja di mata, bersultan di hati: Perkara 181 diuji di Negeri Sembilan

Anak Negeri

Jika perlindungan perlembagaan Raja-raja Melayu bawah Perkara 181 membawa sebarang makna, tindakan statutori yang pantas dan tegas mesti diambil.

Tindakan unilateral penuh ‘penderhakaan’ yang digerakkan oleh sekumpulan ketua luak baru-baru ini — termasuk cubaan mengadakan ‘persidangan haram’, cuba menggantung tugas setiausaha Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan, serta menuntut badan eksekutif untuk menyokong ‘penderhakaan’ mereka kononnya atas alasan ‘berkecuali’ — kini berhadapan sekatan undang-undang yang sangat ampuh di bawah Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Di bawah perlembagaan negeri 1959, Dewan Keadilan dan Undang (DKU) merupakan sebuah badan berkanun komposit yang bersepadu dan dipengerusikan secara eksklusif oleh Yang di-Pertuan Besar. Ia bukanlah sebuah dewan milik ketua luak semata-mata. Mana-mana luak tidak boleh mengadakan persidangan secara unilateral atau cuba mengenakan tindakan disiplin terhadap mana-mana pegawai tadbir awam. Bahkan sebarang keputusan yang dibuat di luar persidangan rasmi majlis yang dipengerusikan oleh Raja Melayu tidak mempunyai sebarang nilai di sisi undang-undang dari permulaannya (void ab initio).

Apa yang lebih melampau adalah sandiwara ini melibatkan mantan ketua luak yang telah pun dilucutkan jawatan, di samping seorang lagi yang tidak pernah digazetkan secara rasmi oleh kerajaan Negeri Sembilan.

Ujian perlembagaan Perkara 181

Memandangkan individu-individu ini telah membawa ‘penderhakaan’ mereka sejauh ini, satu persoalan asas yang membimbangkan mesti dikemukakan: Adakah Perlembagaan Persekutuan telah gagal untuk melindungi kedaulatan seorang Raja Melayu?

Tindakan ‘ingkar’ dan ‘derhaka’ yang berterusan dan semakin ‘melampaui batas’ ini menjadi ujian getir terhadap penguatkuasaan kepada jaminan Perlembagaan Persekutuan ini.

Perkara 181(1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan dengan jelas bahawa kedaulatan, prerogatif, kuasa, dan bidang kuasa Raja-raja Melayu adalah dilindungi dan tidak terjejas.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan berdiri teguh dalam kalangan sembilan Raja Melayu yang dilindungi oleh perisai mutlak Perlembagaan Persekutuan ini. Kedaulatan perlembagaan baginda sepatutnya tidak boleh diganggu gugat. Bagaimanapun, tiadanya penguatkuasaan daripada pihak persekutuan ketika ini seolah-olah membayangkan kegagalan institusi untuk menguatkuasakan perlindungan yang dijanjikan oleh Perkara 181. Dengan membiarkan ‘rakyat biasa’ melakukan ‘rampasan kuasa’ yang tidak mengikut perlembagaan, jentera persekutuan dilihat gagal dalam ujiannya untuk melindungi takhta daripada ‘pemberontakan terbuka’.

Sebaliknya, rujukan penghakiman Mahkamah Persekutuan yang bersejarah dalam kes Dato’ Menteri Othman Baginda (1981) telah menetapkan sejak berdekad lalu bahawa para ketua luak tidak mempunyai imuniti berdaulat. Mereka hanyalah ketua adat yang dari segi undang-undang diklasifikasikan sebagai rakyat biasa yang memegang jawatan awam tradisional.

Sikap institusi

Membiarkan ‘rakyat biasa’ melangkah sejauh ini dalam melancarkan serangan secara berterusan, terbuka, dan bertubi-tubi terhadap kewibawaan seorang Raja Melayu yang berdaulat adalah satu pukulan yang amat serius terhadap sistem perundangan Malaysia. Dengan cuba mengawal selia sendiri, cuba menggantung tugas penjawat awam, dan membelakangkan Raja Melayu, para pembesar ini bertindak seolah-olah mempunyai kuasa mutlak seorang raja yang berdaulat, sedangkan mereka sama sekali bukan sedemikian.

Cabaran langsung itu langsung tidak mempunyai sebarang nilai perundangan dan bertentangan dengan adat (un-Adat). Pihak berkuasa penguatkuasaan persekutuan dan negeri mesti berhenti bersikap terlalu berhati-hati dalam berdepan dengan ‘penderhakaan yang nyata’ ini. Jika perlindungan perlembagaan Raja-raja Melayu bawah Perkara 181 membawa sebarang makna, tindakan statutori yang pantas dan tegas mesti diambil terhadap mereka yang mendalangi cubaan ‘rampasan kuasa’ dan ‘penderhakaan’ ini. Kestabilan hanya akan kembali apabila undang-undang dikuatkuasakan dan kedaulatan Raja Melayu di Negeri Sembilan dihormati sepenuhnya.
-fmt

Kontroversi MB Perlis tembak lembu korban, Dr Maza perjelas hukumnya

SITI NUR ZAWANI

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin tampil menjawab dari sudut hukum syarak berhubung video tular yang memaparkan Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah menembak seekor lembu korban pada program ibadah korban.

Beliau berkata, binatang yang boleh dimakan, yang tidak dapat ditangkap untuk disembelih, boleh dipanah, atau ditembak terlebih dahulu

Menurutnya, selain menggunakan senjata, pendekatan menggunakan haiwan buruan seperti anjing untuk menangkap haiwan berkenaan juga dibenarkan di dalam Islam.

Bagaimanapun, individu terbabit perlulah membaca lafaz Bismillah terlebih dahulu sebelum melancarkan panahan, tembakan atau melepaskan haiwan buruan berkenaan.

“Dibaca Bismillah sebelum melancarkan. Jika panah atau peluru atau gigitan telah mematikan haiwan tersebut, maka boleh dimakan. 

“Jika belum mematikan, hendaklah disembelih seperti biasa,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, rakaman Menteri Besar Perlis menembak seekor lembu korban mencetuskan kontroversi dan pertikaian dalam kalangan orang awam yang melihat ia sebagai tindakan keterlaluan.

Abu Bakar kemudian mempertahankan tindakannya, mengatakan bahawa lembu berkenaan yang terlucut tali ikatannya mengamuk dan cuba melarikan diri, sekali gus mengundang bahaya kepada petugas serta orang awam.

Penduduk dakwa nampak dua wanita seksi di lokasi kes bunuh, sorok mayat reput dalam tilam

Meor Riduwan Meor Ahmad
am@hmetro.com.my
PASUKAN forensik menjalankan siasatan malam tadi di lokasi kejadian. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
PASUKAN forensik menjalankan siasatan malam tadi di lokasi kejadian. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Melaka: Seorang penduduk mendakwa melihat tiga individu mencurigakan termasuk dua wanita berpakaian seksi menaiki kenderaan pacuan empat roda di lokasi penemuan mayat reput berbungkus tilam di Kampung Padang, Pokok Mangga, semalam.

Lelaki mahu dikenali sebagai Ikhwan, 43, itu berkata, dia terserempak tiga individu terbabit ketika membeli barangan di sebuah kedai perkakasan yang terletak di tingkat bawah deretan bangunan rumah kedai itu sekitar jam 4 petang.

"Saya lihat dua wanita usia 20-an yang berpakaian seksi dan memakai pelitup muka naik ke tingkat rumah kedai itu sebelum bergegas turun tidak lama kemudian.

"Mereka kemudian menaiki kenderaan pacuan empat roda itu yang dipandu lelaki memakai pelitup muka dan beredar," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Ikhwan berkata, dia kemudian menceritakan tingkah laku pelik kedua-dua wanita itu kepada pemilik kedai perkakasan berkenaan sebelum dikejutkan dengan berita penemuan mayat pada sebelah malam.

Sementara itu, pemilik kedai perkakasan terbabit turut mengesahkan bahawa pelanggan berkenaan ada menceritakan perkara itu kepadanya.

"Setahu saya rumah kedai itu kerap bertukar penyewa dan saya tidak perasan apa-apa perkara yang pelik atau terhidu bau busuk walaupun kerap lalu lalang di bawah untuk ke kedai serbaneka," katanya.

Tinjauan Harian Metro mendapati kawasan tempat kejadian lengang dan pintu masuk ke unit rumah kedai berkunci, manakala dua tingkap kelihatan terbuka.

Seorang lagi penduduk di unit bersebelahan yang enggan dikenali berkata, dia mengetahui penyewa terbaru di rumah tempat kejadian adalah dua lelaki, namun tidak mengenali mereka.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar mengesahkan mengenai kejadian dan penahanan seorang suspek lelaki bagi membantu siasatan kes.

Buruh Indonesia maut dihempap konkrit

SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Mangsa maut di tempat kejadian di Bukit Mertajam, petang tadi. Gambar ihsan JBPM
SEBERANG PERAI – Seorang pekerja binaan warga Indonesia maut selepas dihempap runtuhan konkrit ketika melakukan kerja-kerja pembinaan di sebuah premis di Jalan Guar Perahu Indah, Bukit Mertajam di sini, petang tadi.

Mangsa yang dikenali sebagai Marzuki, 27, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 3.55 petang.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penanti dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba kira-kira lapan minit kemudian.

“Insiden melibatkan seorang pekerja binaan yang dipercayai dihempap runtuhan konkrit semasa menjalankan kerja pembinaan.

“Mangsa bagaimanapun telah dikeluarkan oleh orang awam di lokasi dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya di sini, malam ini.

Tambahnya, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Perangkap Pas : Memecahkan kesatuan demi kelangsungan kuasa

Harapandaily

DR SHAHNOR BASRI

Dalam politik, musuh paling berbahaya bukanlah pihak yang menyerang secara terbuka, tetapi pihak yang menanam curiga, melaga-lagakan rakan sekutu, dan memecahkan kesatuan dari dalam. 

Hari ini, pola itu semakin jelas dalam percaturan Parti Islam Se-Malaysia atau Parti Islam Se-Malaysia. Pas bukan sekadar mahu menumbangkan kerajaan perpaduan, tetapi sedang mengatur strategi lebih besar memastikan hubungan antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional terus retak, saling mencurigai, dan akhirnya bertembung sesama sendiri menjelang pilihan raya akan datang.

Pas memahami satu hakikat besar yang tidak mahu diakui oleh ramai penyokong pembangkang: gabungan antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional telah berjaya menstabilkan negara selepas tempoh politik paling kacau sejak merdeka. 

Dalam keadaan ekonomi dunia yang bergelora akibat perang Ukraine-Rusia, ketegangan Asia Barat, krisis rantaian bekalan global dan ketidaktentuan geopolitik Amerika-China, Malaysia masih mampu mengekalkan kestabilan politik, pertumbuhan pelaburan, pengukuhan ringgit secara berperingkat, dan keyakinan pelabur antarabangsa.

Inilah ancaman sebenar kepada Pas.

Jika kerajaan perpaduan terus stabil sehingga pilihan raya umum akan datang, maka naratif “kerajaan gagal” yang selama ini dimainkan Pas akan runtuh dengan sendirinya. 

Pas sedar bahawa rakyat akhirnya akan menilai berdasarkan prestasi ekonomi, peluang pekerjaan, kestabilan pelaburan, dan keamanan sosial bukan semata-mata retorik agama atau politik kebencian.

Sebab itu Pas kini sedang memainkan permainan yang lebih halus dan licik: memerangkap PH dan Umno supaya saling berbalah, mempertikai kerusi sesama sendiri, mempertikai dominasi masing-masing, dan akhirnya memilih untuk bertanding solo. 

Pas mahu memastikan hubungan yang dibina dengan penuh susah payah selepas PRU15 hancur sebelum sempat matang sebagai satu budaya politik baharu.

Lebih berbahaya, beberapa pimpinan dalam PH dan Umno kelihatan mula termakan umpan ini. Kenyataan terbuka yang mempertikai kerjasama sesama komponen, serangan emosi terhadap rakan gabungan, serta perlumbaan menjadi “lebih Melayu” atau “lebih reformis” hanya menguntungkan Pas. Dalam politik, apabila sekutu mula bercakap seperti musuh, pihak lawan tidak perlu lagi bekerja keras.

Pas tahu mereka tidak semestinya perlu menang besar untuk berkuasa. Cukup sekadar memastikan PH dan BN berpecah, maka pertandingan pelbagai penjuru akan membuka ruang kemenangan kepada mereka. Strategi ini pernah digunakan berkali-kali dalam sejarah politik negara.

Namun percaturan Pas hari ini lebih kompleks daripada sekadar mahu memecahkan kerajaan perpaduan. Pas juga sedang berusaha menyusun semula dominasi dalam Perikatan Nasional sendiri. 

Ramai pemerhati politik melihat wujud usaha tersusun untuk mengurangkan pengaruh Muhyiddin Yassin dan kem beliau dalam PN. Hakikat bahawa Pas kini jauh lebih dominan dari segi kerusi dan pengaruh menyebabkan parti itu tidak lagi mahu bergantung sepenuhnya kepada kepimpinan Bersatu.

Di sinilah muncul percaturan baharu melibatkan kem Hamzah Zainudin. Pas dilihat lebih selesa dengan pendekatan politik yang lebih keras, tersusun dan pragmatik yang dibawa Hamzah berbanding beban politik yang sedang ditanggung Muhyiddin.

Jika Pas berjaya memastikan PN bergerak tanpa dominasi kem Muhyiddin sebelum pilihan raya akan datang, maka Pas secara praktikal akan menjadi kuasa mutlak dalam blok pembangkang Melayu-Islam.

Pas dominasi Bersatu

Ironinya, dalam masa Pas sedang menyusun dominasi terhadap Bersatu, mereka juga berjaya menanam persepsi kononnya PH dan Umno tidak lagi memerlukan antara satu sama lain. Ini perangkap psikologi politik yang amat berbahaya.

Hakikatnya, tanpa kerjasama PH-BN selepas PRU15, Malaysia mungkin masih terperangkap dalam kitaran pertukaran kerajaan, perebutan kuasa, dan ketidakstabilan seperti era pasca Langkah Sheraton. 

Pasaran kewangan tidak suka ketidakstabilan. Pelabur asing lebih takut kepada politik yang tidak menentu berbanding kadar cukai. Dunia luar melihat kestabilan politik Malaysia hari ini sebagai aset strategik yang penting.

Kerajaan perpaduan mungkin tidak sempurna, tetapi ia telah berjaya mengembalikan fungsi asas negara: kerajaan yang boleh mentadbir, membuat keputusan, dan merancang masa depan negara tanpa diganggu permainan angka setiap minggu.

Sebab itu tindakan mana-mana pimpinan dalam kerajaan yang terlalu ghairah bermain sentimen dalaman sebenarnya sedang menjadi alat percuma kepada Pas. Politik populis yang mahu dilihat “hero kaum” atau “hero parti” akhirnya hanya melemahkan struktur besar yang sedang menyelamatkan negara.

Dalam konteks ini, sosok seperti Akmal Saleh sering dilihat memainkan peranan yang sangat agresif dalam mengeraskan suhu politik dalaman kerajaan. 

Pendekatan konfrontasi terbuka, retorik emosional, dan tekanan berterusan terhadap rakan gabungan mungkin memberi keuntungan jangka pendek dari sudut populariti akar umbi, tetapi pada masa sama membuka ruang luas kepada Pas untuk memperkukuhkan naratif bahawa kerajaan perpaduan tidak stabil dan gagal mencapai keserasian.

Politik matang bukan tentang siapa paling lantang menjerit di pentas ceramah atau media sosial. Politik matang ialah kemampuan mengekalkan kesatuan ketika berdepan tekanan besar. 

Negara-negara yang berjaya keluar daripada krisis ekonomi global hampir semuanya memiliki satu ciri utama  kestabilan politik dalaman.

Malaysia akhirnya sedang menuju ke arah itu selepas bertahun-tahun keletihan politik. Malangnya, Pas memahami bahawa kestabilan adalah musuh terbesar mereka.

 Kerana apabila rakyat mula menikmati kestabilan ekonomi, pelaburan meningkat, peluang pekerjaan bertambah, dan negara kembali dihormati di peringkat antarabangsa, maka politik ketakutan dan kebencian akan kehilangan nilai pasaran.

Atas sebab itu, perangkap terbesar hari ini bukan hanya Pas semata-mata. Perangkap terbesar ialah apabila pimpinan dalam kerajaan sendiri gagal menyedari bahawa setiap serangan terhadap sekutu akhirnya menjadi peluru kepada lawan. 

Sekiranya pimpinan PH dan BN lambat sedar dan terpengaruh dengan emosi kononnya masing-masig telah kuat dan mampu bersaing maka Pas Bersama sekutu baharunya Hamzah Zainudin akan Berjaya memenuhi ruang politik negara. Dan pada ketika itu negara akan hancur dan ranap dengan politik retorik dan politik menggunakan agama.

Polis siasat kes murid Taska dipaksa minum air cili

Bernama

Polis mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian kanak-kanak berusia tujuh tahun yang didakwa dipaksa minum air cili di sebuah taska di Taman Sri Kluang di Kluang, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Noh berkata pihaknya menerima laporan daripada penjaga kanak-kanak itu kira-kira 8.46 malam, yang tidak berpuas hati dengan tindakan guru taska terbabit yang memaksa kanak-kanak itu meminum air cili.

“Kes masih dalam siasatan dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang menerusi nombor 07-7784222,” katanya.

Terdahulu, tular satu kenyataan di laman Facebook dimuat naik di This is Johor memaklumkan kenyataan mengenai tindakan dilakukan guru di tadika berkenaan, yang didakwa mendera dan menghukum pelajar secara fizikal.

-Bernama

Perlis: Tembak lembu: Polis siasat, MB Perlis dakwa lembu mengamuk

Malaysiakini 
story-image
Polis menyiasat tindakan Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah yang menembak seekor lembu korban.

Ketua Polis Daerah Kangar Yusharifuddin Mohd Yusop berkata mereka akan memanggil Abu Bakar dalam masa terdekat, susulan penularan gambar dia menembak seekor lembu menggunakan senapang patah.

Yusharifuddin berkata mereka maklum berkaitan penularan video itu dan siasatan awal dimulakan, meskipun belum menerima sebarang laporan polis.

“Sama ada peluru yang digunakan itu peluru hidup atau bukan, kita masih dalam siasatan,” katanya ringkas dalam kenyataan hari ini, seperti dilaporkan Bernama.

Elak bahaya pada petugas, orang awam

Sementara itu, Abu Bakar berkata dia terpaksa menembak lembu itu kerana ia sedang mengamuk bagi mengelakkannya mencederakan petugas korban dan orang awam.

Pemimpin Bersatu itu berkata tembakan itu dilepaskan ke arah kaki lembu yang terlucut ikatan tali sebelum disembelih seperti biasa.

"Lembu yang kita tembak itu tidak mati, tembakan dilepaskan mengenai kaki dan kemudian kita melakukan proses penyembelihan seperti biasa. 

“Saya sudah sembelih 24 ekor lembu, yang satu ini sahaja kita tembak di kaki sebelum sembelih," katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Tindakan itu, katanya, bagi mengelakkan kejadian tidak diingini memandangkan terdapat kes amukan haiwan korban yang meragut nyawa di negeri lain.

Kelmarin, terdapat kejadian kerbau korban mengamuk di Ulu Tiram, Johor yang mengakibatkan seorang lelaki maut  dan seorang lagi cedera parah dalam dua kejadian berasingan.

Mangsa pertama meninggal dunia akibat ditanduk pada paha, manakala mangsa kedua patah tulang rusuk.

PAS akan bantu Wan Saiful di mana sahaja bertanding

FMT Reporters

Ketua Penerangan Ahmad Fadhli Shaari berkata demikian di ruang komen Facebook milik Wan Saiful Wan Jan, bekas pemimpin Bersatu.
Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, kata PAS akan bantu bekas pemimpin Bersatu, Wan Saiful Wan Jan, di mana beliau bertanding.
PETALING JAYA: Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, berkata partinya akan membantu bekas pemimpin Bersatu, Wan Saiful Wan Jan, di mana sahaja beliau bertanding pada pilihan raya akan datang.

Fadhli membuat kenyataan itu di ruang komen Facebook milik Ahli Parlimen Tasek Gelugor terbabit.

“Di mana dia bertanding, PAS akan bantu,” katanya Ahli Parlimen Pasir Mas itu menjawab soalan salah seorang pengguna di hantaran Wan Saiful berkenaan.

Wan Saiful dalam hantaran Facebook itu menjawab persoalan dibangkitkan bekas setiausaha sulit Muhyiddin Yassin, Marzuki Mohamad, yang mendakwa Hamzah sebagai punca Bersatu berpecah belah.

Sokongan oleh Fadhli itu menyusul ketika PAS dikatakan sedang mengkaji hubungan dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).

Presiden Hadi Awang pada 22 Mei lalu memberi amaran kepada Bersatu kesabaran PAS ‘ada batas’ susulan beberapa tindakan parti itu yang didakwa melanggar semangat setia kawan dalam PN.

Ahli Parlimen Marang itu berkata antaranya pendirian Bersatu yang didakwa tidak bersetuju usaha membawa masuk parti Melayu-Islam dan parti bukan Islam yang tidak ekstrem ke PN.

Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Mei lalu tidak membuat sebarang keputusan berkait permohonan Parti Berjasa Malaysia (Berjasa), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) untuk menyertai gabungan itu.

Difahamkan ketiadaan itu susulan bantahan wakil Bersatu kerana khuatir parti baharu berkenaan akan menjadi ‘rumah baharu’ kepada Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainudin, seterusnya berupaya menggugat kestabilan dalaman PN.

Hamzah dipecat Bersatu Februari lalu susulan krisis kepimpinan Bersatu.

Turut berdepan tindakan sama beberapa Ahli Parlimen antaranya Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang), dan Wan Saiful.

FMT sedang mengesahkan perkembangan ini dengan Fadhli.

Robot solat sunat Aidiladha di masjid

KOSMO
Tangkap layar video menunjukkan robot humanoid itu menunaikan solat sunat Aidiladha secara berjemaah di sebuah masjid di Dubai
DUBAI – Sebuah robot humanoid mengundang perhatian orang ramai apabila menyertai solat sunat Aidiladha di sebuah masjid di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE). 

Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @lovindubai menunjukkan robot terbabit berjalan memasuki masjid sebelum menunaikan solat sambil memakai serban dan jubah berwarna putih. 

Lebih mengejutkan, robot itu menunaikan solat secara berjemaah. 

Ia juga pernah melaungkan azan menggunakan mikrofon masjid semasa bulan Ramadan pada tahun ini.

Rakaman itu mencatatkan lebih 689,000 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi pengguna laman sosial. 

“Semoga Tuhan panjangkan hayat baterinya,” kata seorang netizen. – AGENSI

Anggota APM cedera ditanduk lembu korban

MOHD. FAHMI ISMAIL
Tangkap layar seorang anggota APM dirempuh dan ditanduk lembu korban yang mengamuk di Saujana Impian, Kajang semalam.
PETALING JAYA – Seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Hulu Langat berdepan detik cemas apabila ditanduk seekor lembu yang terlepas ketika operasi menangkap haiwan korban itu di Impian Golf and Country Club, Saujana Impian, Kajang semalam.

Kejadian tersebut tular menerusi satu rakaman video yang memaparkan keadaan kecoh ketika anggota APM cuba mengawal lembu berkenaan bagi memastikan keselamatan orang awam.

Dalam kejadian itu, Lans Koperal (PA) Ahmad Shafri Yahya dilaporkan mengalami kecederaan pada bahagian hidung selain terseliuh kaki selepas terkena tandukan haiwan terbabit.

Seorang orang awam turut cedera pada bahagian siku dan lutut kiri ketika membantu mengawal keadaan.

Sementara itu, APM Hulu Langat dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 11.36 pagi sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi untuk tindakan lanjut.

“Seorang anggota mengalami kecederaan, manakala seorang orang awam cedera di bahagian siku dan lutut kiri.

“Operasi selesai pada pukul 12.43 tengah hari selepas lembu berkenaan berjaya ditangkap dan diikat semula,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Kelantan: Proton Saga sumbat lapan PATI terbabas dikejar PGA

MUHAMMAD AYMAN GHAFFA
Seorang tekong darat dan lapan PATI warga Bangladesh cedera selepas kereta yang mereka naiki terbabas di Jalan Bukit Cermin, Kampung Sungai Rual dekat Jeli hari ini. FOTO IHSAN PGA
JELI – Seorang tekong darat bersama lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Bangladesh gagal meloloskan diri apabila kereta yang mereka naiki terbabas di Jalan Bukit Cermin, Kampung Sungai Rual di sini hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 7.30 pagi semasa anggota daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) menjalankan rondaan rutin sebelum mengesan kereta jenis Proton Saga dalam keadaan mencurigakan.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kegiatan penyeludupan PATI sebelum mengekori kereta itu dari Jalan Raya Timur-Barat di sini.

Katanya, tekong darat memecut selepas menyedari kereta yang dipandu diekori anggota penguat kuasa. Kereta itu kemudiannya terbabas semasa melalui Jalan Bukit Cermin, Kampung Sungai Rual.

“Pemeriksaan mendapati, kereta tersebut dipandu seorang lelaki dan membawa lapan PATI warga Bangladesh,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahmad Radzi berkata, anggota PGA menjumpai 10 biji pil kuda di dalam kereta tersebut.

Menurutnya, tekong darat dan kesemua PATI itu dibawa ke Hospital Jeli di sini dengan menaiki ambulans bagi mendapatkan rawatan.

Kesemua suspek akan dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah Jeli untuk tindakan selanjutnya selepas selesai rawatan di hospital. – KOSMO! ONLINE

Iran serang pangkalan AS di Kuwait?

Harapandaily
Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mendakwa telah melancarkan serangan terhadap sebuah pangkalan udara Amerika Syarikat (AS) di Kuwait awal pagi Khamis sebagai tindak balas terhadap serangan udara AS berhampiran Lapangan Terbang Bandar Abbas di selatan Iran.

Menurut laporan Tasnim News Agency dan Anadolu Agency, IRGC memaklumkan serangan balas itu dilakukan sekitar jam 4.50 pagi waktu tempatan, beberapa jam selepas Iran mendakwa AS melancarkan serangan menggunakan projektil udara berhampiran kawasan lapangan terbang bandar pelabuhan tersebut.

“Ini adalah amaran serius supaya musuh memahami bahawa setiap pencerobohan tidak akan dibiarkan tanpa balasan,” menurut kenyataan IRGC.

Iran turut memberi amaran bahawa tindak balas lebih tegas akan dilakukan sekiranya serangan berulang.

Setakat ini, tentera AS belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung dakwaan serangan terhadap pangkalan mereka di Kuwait.

Terdahulu, seorang pegawai AS memberitahu Anadolu bahawa tentera negara itu berjaya menembak jatuh empat dron Iran berhampiran Selat Hormuz yang dianggap mengancam keselamatan.

Menurut pegawai itu, AS turut menyerang sebuah pusat kawalan dron Iran di Bandar Abbas yang didakwa sedang bersedia melancarkan dron kelima.

Pegawai tersebut menegaskan tindakan AS bersifat “defensif dan terukur” bagi memastikan gencatan senjata terus dipatuhi.

Ketegangan kembali meningkat selepas Komando Pusat AS (CENTCOM) minggu ini mengesahkan satu lagi siri serangan terhadap lokasi pelancar peluru berpandu dan bot Iran di selatan negara itu.

Iran mengecam tindakan tersebut dan menyifatkannya sebagai “pelanggaran serius terhadap gencatan senjata.”

Sementara itu, Presiden AS Donald Trump sebelum ini memberi bayangan bahawa Washington masih belum berpuas hati dengan rundingan damai bersama Tehran.

“Sama ada kami mencapai apa yang kami mahu, atau kami akan habiskan sahaja tugas itu,” katanya.

Konflik di Asia Barat memuncak sejak AS dan Israel melancarkan serangan mengejut terhadap Iran pada 28 Februari lalu sebelum Tehran membalas dengan serangan dron dan peluru berpandu serta penutupan Selat Hormuz.

Walaupun gencatan senjata dicapai melalui pengantaraan Pakistan pada 8 April, rundingan susulan di Islamabad gagal menghasilkan penyelesaian kekal.

Trump kemudian melanjutkan gencatan senjata tanpa had sambil mengekalkan sekatan terhadap kapal yang berurusan dengan pelabuhan Iran melalui Selat Hormuz.

Dipukul 10 lelaki kerana bunyikan hon

KOSMO!
MANGSA dipukul oleh 10 lelaki selepas membunyikan hon ke arah mereka secara tidak sengaja. - Must Share News
BANGKOK – Seorang penunggang motosikal di Thailand cedera apabila diserang oleh sekumpulan lelaki selepas mangsa secara tidak sengaja membunyikan hon ke arah mereka, lapor portal berita Must Share News. 

Pihak berkuasa bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima laporan pada pukul 3.19 pagi (waktu tempatan) baru-baru ini. 

Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang dikongsi di media sosial menunjukkan mangsa sedang menunggang motosikal sebelum dua buah kereta tiba-tiba berhenti di hadapan dan belakangnya. 

Kumpulan yang terdiri daripada 10 lelaki itu menyerang mangsa dengan menolaknya ke tanah sebelum ditendang dan dipijak. 

Pasukan penyelamat segera memberikan bantuan sebelum menghantar mangsa ke hospital untuk rawatan lanjut. 

Menurut mangsa, dia dipukul sehingga tidak sedarkan diri sebelum kumpulan itu melarikan diri dari tempat kejadian. 

Dia berharap agar polis dapat mengesan dan menahan lelaki-lelaki terbabit dengan segera. – AGENSI

1 maut, 1 patah rusuk ditanduk kerbau korban

FMT Reporters

Dua kejadian berasingan berlaku di Ulu Tiram semalam ketika pelaksanaan ibadah korban.
Seorang lelaki maut di Kampung Tenang, manakala seorang lagi patah rusuk kiri akibat ditanduk kerbau korban di Kampung Sungai Tiram, dalam dua kejadian berasingan di Ulu Tiram. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Seorang maut, manakala seorang lagi patah rusuk dalam dua kejadian berasingan ketika melaksanakan ibadah korban melibatkan kerbau, dalam kejadian di Ulu Tiram, Johor, semalam.

Ketua Polis Seri Alam Sohaimi Ishak, berkata insiden maut di Kampung Tenang berlaku sekitar 10 pagi membabitkan lelaki berusia 45 tahun.

“Mangsa yang cedera ditanduk kerbau untuk ibadah korban dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia sekitar 11 malam tadi.

“Hasil laporan bedah siasat terhadap mangsa mendapati sebab kematian adalah kecederaan saluran darah kaki kiri,” katanya dalam kenyataan sambil menambah kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Dalam pada itu, Sohaimi berkata, dalam satu lagi insiden berasingan di Kampung Sungai Tiram, mangsa yang juga berusia 45 tahun mengalami patah tulang rusuk kiri susulan kerbau ibadah korban tiba-tiba bertindak liar, lalu menanduk mangsa.

“Mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru. Setakat ini, polis tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian ini.”

Budak perempuan dipukul beramai-ramai di Kota Kinabalu

FMT Reporters

Tular kejadian mangsa berusia 13 tahun dipukul lima pelajar lain.
buli pelajar
Pemangku Ketua Polis Kota Kinabalu, Syed Lot Syed Abdul Rahman, berkata mangsa turut mengadu diugut tidak memaklumkan kejadian pukul itu kepada ahli keluarga dan polis.
PETALING JAYA: Seorang pelajar 13 tahun cedera akibat dipukul beramai-ramai oleh lima pelajar lain, dalam kejadian di Kota Kinabalu, minggu lalu.

Namun, insiden berkenaan terbongkar susulan rakaman mangsa dipukul tular sejak semalam.

Pemangku Ketua Polis Kota Kinabalu, Syed Lot Syed Abdul Rahman, berkata pihaknya menerima laporan kejadian pada 23 Mei, 7.51 pagi yang dibuat sendiri mangsa, lapor Harian Metro.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati kejadian disyaki berlaku pada 22 Mei, sekitar 8 pagi, selain mangsa dilapor diugut tidak memaklumkan dirinya dipukul kepada ahli keluarga dan polis.

“Mangsa dipercayai dipukul menggunakan tangan oleh lima pelajar perempuan sehingga mengalami lebam pada kedua-dua bahu dan kaki, selain lebam pada telinga kiri serta luka kecil pada lutut kiri.

“Siasatan lanjut mendapati mangsa dan semua suspek adalah pelajar daripada beberapa sekolah berbeza di sekitar Kota Kinabalu,” katanya.

Beliau berkata, semua mereka dipercayai saling mengenali menerusi satu kumpulan WhatsApp dikenali sebagai ‘Angel’.

Menurutnya, siasatan juga mendapati mangsa dibawa ke lokasi kejadian oleh dua suspek sebelum semua pelajar terbabit bertindak mengepung dan memukul mangsa dipercayai akibat salah faham serta rasa tidak puas hati.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Kelantan, nahas tiga maut: Majlis akikah cucu bertukar kenduri tahlil

ROHANA MOHD. NAWI
Ahli keluarga membawa jenazah Nur Nuha Helena ke Tanah Perkuburan Bidan Sari, Kampung Kok Bedullah, Tumpat hari ini. FOTO ROHANA MOHD. NAWI
TUMPAT – Seorang buruh terkilan kerana tidak sempat mengadakan majlis akikah buat cucunya selepas bayi berusia enam bulan itu maut dalam kemalangan di Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran sebuah stesen minyak di Laloh, Kuala Krai semalam.

Kemalangan pada pukul 6.50 pagi itu turut meragut nyawa isterinya, Safinaz Razmi, 52, yang disahkan maut di lokasi kejadian, manakala anaknya, Jasmin Lyana Mohd. Jamil, 22, dan cucu, Nur Nuha Helena Abd. Matin meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai.

Mohd. Jamil Hussin, 53, berkata, arwah isterinya berada di rumah anak dan menantunya, Muhamad Danial Darwish Che Hasmadi, 23, di Kuala Lumpur sejak seminggu lalu.

Katanya, arwah Jasmin dan menantu meminta bantuan isterinya bagi urusan pemeriksaan kesihatan cucu mereka sebelum empat sekeluarga tersebut pulang ke Kampung Kok Bedullah di sini bagi menyambut Aidiladha.

“Saya dan arwah isteri sudah merancang untuk mengadakan majlis akikah Nur Nuha Helena pada Hari Raya Aidiladha pertama iaitu hari mereka bertiga meninggal dunia semalam.

“Saya mengambil satu bahagian lembu korban untuk akikah, namun hasrat ini tidak kesampaian kerana mereka bertiga menemui ajal dalam kemalangan,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Bidang Sari, Kampung Kok Bedullah hari ini.

Terdahulu, jenazah tiga sekeluarga itu selamat dikebumikan di dalam satu kubur pada pukul 8.15 pagi tadi dalam upacara yang dihadiri hampir 100 ahli keluarga.

Mohd. Jamil berkata, arwah isterinya sebelum ini menghubunginya dan meminta supaya membeli ayam goreng KFC kerana dia teringin untuk menjamah hidangan tersebut sebaik tiba di rumah dari Kuala Lumpur.

Cerita lelaki itu, dia sudah membelikan ayam goreng tersebut kelmarin sebelum menerima panggilan daripada seorang penduduk pada pukul 7 pagi semalam yang memaklumkan kereta dinaiki isteri, anak, menantu dan cucu terlibat dalam kemalangan.

“Saya reda dengan ketentuan Ilahi walaupun kehilangan tiga ahli keluarga serentak,” katanya.

Kosmo! Online semalam melaporkan, tiga sekeluarga termasuk seorang bayi berusia enam bulan maut dalam nahas melibatkan sebuah kereta yang bertembung dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard di Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran sebuah stesen minyak di Laloh.

Siasatan awal mendapati, kereta jenis Perodua Bezza yang dinaiki empat sekeluarga itu dipercayai memotong kenderaan lain sebelum bertembung dengan MPV di laluan bertentangan. – KOSMO! ONLINE

Lelaki maut ‘ditanduk’ kerbau

MASTURAH SURADI
Tangkap layar klip video yang tular itu.
JOHOR BAHRU – Tular satu video memaparkan seekor kerbau bertindak agresif sehingga menanduk seorang lelaki dalam kejadian dipercayai berlaku di kawasan Ulu Tiram semalam.

Menerusi video berdurasi kira-kira 40 saat itu, kerbau berwarna hitam berkenaan dilihat mengamuk sebelum menyerang seorang lelaki yang berada di kawasan tersebut.

Mangsa kemudian dilihat sempat bangun selepas ditanduk namun difahamkan mengalami cedera parah akibat kejadian itu.

Difahamkan, lelaki berkenaan dilaporkan meninggal dunia akibat kejadian tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan dalam masa terdekat.-KOSMO! ONLINE

Mayat lelaki tanpa identiti dijumpai di Sungai Kerayong

MOHD. FAHMI ISMAIL

KUALA LUMPUR – Polis menyiasat berhubung penemuan mayat lelaki tanpa identiti yang ditemukan di Sungai Kerayong, Jalan Cheras di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada orang awam pada pukul 5.13 petang.

Beliau berkata, sepasukan polis bersama anggota bomba dan pasukan perubatan bergegas ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan.

“Mangsa dipercayai berusia bawah 30 tahun dan meninggal dunia akibat lemas sejak dua hingga tiga hari lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur yang melakukan pemeriksaan bagaimanapun tidak menemukan sebarang unsur jenayah pada tubuh badan mangsa.

Katanya, mayat lelaki itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Canselor Tuanku Muhriz untuk dibedah siasat. Setakat ini kes diklasifikasi sebagai mati mengejut. – KOSMO! ONLINE

Aku dah penat mak aku ni senang kena scam’

KOSMO!
Tangkap layar perbualan antara ibu individu tersebut dengan scammer.
PETALING JAYA – Seorang individu meluahkan rasa buntu dan tertekan apabila mendakwa ibunya menjadi mangsa penipuan dalam talian berulang kali sehingga dipercayai mengalami kerugian mencecah puluhan ribu ringgit.

Luahan tersebut dikongsikan menerusi hantaran di Threads oleh pengguna dikenali sebagai @jagungcheese87 yang mengakui sudah penat menasihati ibunya agar tidak mudah mempercayai individu tidak dikenali di internet.

“Korang tolonglah rajin-rajin semak telefon mak ayah korang. Saya rasa tergamam bila tahu mak sendiri kena scam, tapi saya dah penat sebab benda ni berulang.

“Kadang dia memang duduk dengan saya atau adik, kadang dia nak duduk rumah sendiri juga kat kampung. Tapi memang tak boleh nak bendung sebab telefon dekat tangan dia. Dulu pernah keluarkan dia dari semua kumpulan WhatsApp, pernah maki orang yang scam dia, lepas tu lama tak ambil tahu tak sangka makin menjadi,” luahnya.

Menerusi beberapa tangkap layar perbualan WhatsApp yang dikongsikan, individu dipercayai scammer itu menggunakan pelbagai alasan termasuk kononnya urusan hadiah, bayaran insurans dan bantuan kewangan bagi memperdayakan mangsa.

Menurut individu tersebut, ibunya juga dikatakan sanggup meminjam wang daripada kenalan bagi memenuhi permintaan scammer berkenaan.

“Kalau kira duit dia yang kena scam selama ni mungkin dah berpuluh ribu, mungkin ratus ribu kalau tak kena scam mesti dah betul-betul kaya,” katanya.

Tambahnya, keadaan menjadi lebih sukar apabila ibunya enggan mempercayai nasihat ahli keluarga walaupun sudah banyak kali diberi penerangan mengenai taktik penipuan dalam talian.

“Kalau aku yang beritahu, dia tak percaya dulu. Dia rajin kongsi dengan aku masuk bayar RM100 tunggu giliran nanti dapat sejuta,” katanya lagi.

Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial yang turut berkongsi pengalaman hampir sama melibatkan ibu bapa mereka menjadi mangsa penipuan dalam talian termasuk ‘love scam’, emas lelong dan hadiah palsu.

Seorang pengguna dikenali sebagai @okestrabunian mendakwa ibunya pernah kerugian RM3,000 akibat menjadi mangsa ‘love scam’ selepas bersara.

“Padahal sebelum tu dia tahu je taktik scam, dan selalu tertanya kenapa orang boleh kena tipu, bila dia dah habis kerja 60 tahun, lima tahun duduk rumah, ayah tak ada, kenal TikTok habis duit simpanan dia.

Akhirnya bila scammer tu tahu mak saya tak ada duit dah, dia sendiri pergi,” katanya.

Sementara itu, ada juga pengguna mencadangkan supaya mangsa dibawa bertemu pihak polis atau individu berautoriti bagi memberi penerangan secara terus mengenai modus operandi scammer.

“Memang kena bawa pergi jumpa polis, dengar macam kelakar macam budak-budak. Tqpi memang tu je cara dia, suruh polis tu ugut,” komen Natasha. – KOSMO! ONLINE

Hassan Karim akui PKR kini parah, tak halang ahli sertai parti baru Rafizi

Malaysiakini 

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim menyuarakan rasa sedih melihat kemelut dalaman yang melanda PKR hari ini susulan tindakan beberapa ahli meninggalkan parti untuk menyertai parti baru Bersama, pimpinan Rafizi Ramli.

Sambil berkata, dia kini memilih untuk tidak menghalang mana-mana ahli yang ingin keluar parti, berbeza dengan usahanya ketika krisis Langkah Sheraton enam tahun lalu, Hassan berkata dirinya sudah tua dan tidak lagi mampu menongkah arus.

“Aku pun hanya seorang Ahli Parlimen biasa yang berada di pinggiran sahaja. Setiap pandanganku yang muncul sekali sekala di khalayak umum tidak membawa apa-apa kesan, kerana itu semua pandangan peribadi sahaja pada hujah pemimpin-pemimpin tertinggi PKR apabila mereka mempertahankan diri.

“Jadi aku kini memilih untuk membisu dan berdiam diri sahaja. Aku hanya melihat ramai sahabat-sahabatku di kalangan ahli-ahli parlimen senior PKR sudah hilang semangat di waktu ini,” katanya dalam satu kenyataan yang turut dikongsi di media sosial hari ini.

Hassan menambah, di peringkat Dewan Rakyat, hanya tinggal dirinya dan beberapa ahli parlimen penyokong kerajaan (backbencher) yang masih memberikan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaan Madani.

Dia juga mengakui adakalanya dia mempunyai perbezaan pandangan dengan perdana menteri, termasuk dalam isu Perjanjian Timbal balik Tarif Perdagangan yang ditandatangani bersama Donald Trump.

“Aku melihat PKR sekarang, cedera, luka dan parah. Banyak darah yang keluar.

“Jika tidak segera dirawat, boleh membawa lumpuh jika pun tidak, mati,” katanya.

Bagaimanapun Hassan berharap PKR dapat bertahan menempuh ujian daripada kebangkitan pemberontakan dalaman menjelang Pilihan Raya Umum e-16 (PRU16) akan datang.

Katanya walaupun masa depan PKR sukar diramalkan, namun peluang untuk bersiap sedia menghadapi pilihan raya masih terbuka luas.

“Jika parti itu mampu menang bergaya, Anwar akan ditabalkan semula sebagai perdana menteri, tetapi jika sebaliknya, seluruh kepimpinan perlu bermuhasabah diri, katanya lagi.