Semua pengerusi perhubungan Umno negeri yang menghadiri mesyuarat semalam, menyerahkan kepada bakal presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak dan calon-calon timbalan presiden untuk memutuskan cadangan supaya jawatan nombor dua itu tidak dipertandingkan dalam pemilhan parti itu bulan depan. Tiga calon timbalan presiden itu terdiri daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tan Sri Muhammad Muhd Taib dan Datuk Mohamed Ali Rustam. Pengerusi Umno Kelantan Tan Sri Annuar Musa berkata semua pengerusi perhubungan yang hadir, berpendapat terpulang kepada Najib dan calon-calon yang bertanding untuk memutuskannya. Katanya, terpulang kepada Najib selaku bakal presiden Umno untuk membuat keputusan mengenai cadangan yang dibuat oleh Umno Bahagian Besut itu, lapor Bernama. Annuar berkata, mereka akan menyokong apa saja keputusan yang dibuat oleh Najib nanti. Katanya, semua pengerusi perhubungan tersebut memberi pandangan tersebut selepas Najib meminta pandangan mereka berhubung cadangan tersebut. "Keutamaan kita adalah untuk memulihkan parti dan memastikan beliau mengambil alih kepimpinan secara teratur dan beliau perlu diperkasakan," katanya. Sehubungan itu, Annuar berkata, Umno Kelantan yakin Najib akan membuat keputusan wajar dan adil berhubung cadangan tersebut. "Ini kerana orang yang nak bertanding sudah nyatakan hasrat mereka, (dan) mereka ada hak dalam perlembagaan parti (untuk bertanding). "Dalam masa yang sama, presiden punyai banyak pengaruh untuk tentukan banyak perkara, jadi terpulang kepada Datuk Seri Najib untuk ambil tindakan yang difikirkan patut," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Kota Bharu hari ini. Annuar juga berkata Umno Kelantan menghormati pendirian ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali, berhubung saranan sesetengah pihak yang mahukan beliau diterima kembali ke dalam Umno. Annuar turut tidak menolak kemungkinan Ibrahim, bekas Ketua Umno Pasir Mas dan kini wakil rakyat Bebas, diterima oleh Umno jika Ibrahim sendiri ingin kembali. "Kita hormati pendiriannya, bila sampai masanya dia ada perasaan nak masuk semula Umno, baru kita bincang perkara ini. Dalam politik, tak ada musuh kekal, dan juga tak ada kawan yang kekal," katanya. -malaysiakini- |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan