KOTA BHARU, 18 Feb (Hrkh) - Kalau sebelum ini Dato' Seri Harussani Zakaria dihormati kerana ketegasan mempertahankan agama Islam, namun campurtangannya dalam krisis politik di Perak menyebabkan wibawanya mulai dipertikaikan. Baru-baru ini Mufti Perak menyarankan masyarakat menghormati keputusan yang dibuat Sultan Perak berhubung krisis politik yang berlaku sekarang. Ekoran itu timbul kencaman dalam blog kerana mufti disifatkan seperti menjadi alat kepada pihak tertentu. Begitu juga di Kelantan pelbagai pihak mulai mempertikai tindak tanduk mufti terbabit yang disifatkan mereka seperti diperalatkan oleh pemimpin politik. "Sepatutnya dalam keadaan krisis yang berlaku mufti menasihatkan supaya kembali kepada Islam bagi merungkai segala permasalahan bukannya cuba berpihak kepada orang tertentu. "Namun apa yang berlaku mufti tidak duduk di tengah-tengah sebaliknya condong kepada penguasa yang boleh menjamin kedudukannya yang lebih selesa sebagai mufti," kata seorang pemimpin NGO di sini. Menurutnya dalam isu yang berlaku di Perak baru-baru ini terdapat kesamaran dalam mentafsir undang-undang mengenai cara Menteri Besar hendak ditamatkan perkhidmatannya. Dan katanya apabila berlaku kesamaran seperti itu mufti tidak sepatutnya membiarkan dirinya diperalatkan sehingga menyiarkan gambar dalam televisyen ditemui Dato' Dr Zambry Abdul Kadir yang baru diperkenan Sultan. |
"Sedangkan kita sebagai orang berilmu perlu melihat lebih jauh, sahkah sebuah kerajaan dengan menculik wakil rakyat Pakatan Rakyat bagi membolehkan kerajaan baru Barisan Nasional dibentuk.
"Inilah moral sebenar yang sepatutnya diberi perhatian. Kalau seorang ulama yang disegani mengenepikan soal itu amat malang sekali bagi rakyat Perak," ujarnya.
Hari ini media melaporkan Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Dato' Seri Hishamuddin Hussein meluahkan rasa kecewa apabila Mufti Perak menjadi bahan cercaan dan makian penyokong pembangkang di laman-laman web.
Mengulas isu tersebut seorang pemimpin masyarakat di sini berkata, apa yang berlaku terhadap Mufti Perak dipertikai orang ramai jauh lebih ringan berbanding apa dialami pemimpin PAS sehingga ramai ditahan di bawah ISA.
Katanya, ramai pemimpin PAS bukan sekadar dicerca kerana menegakkan ketuanan Islam sebaliknya dihumban kerajaan BN ke dalam ISA bertahun-tahun.
Antaranya Pak Nik Lah, Tok Guru Haji Yakub Berangan, Haji Omar Kubang Bemban, Haji Harun Repek, Haji Omar Tanah Merah dan ramai lagi.
"Tekanan yang dialami pemimpin PAS jauh lebih hebat berbanding dengan apa yang berlaku terhadap Mufti Perak sekarang.
"Cuma apa yang membezakan mufti dipertikaikan rakyat dan ulama PAS menjadi mangsa kerakusan kerajaan BN," katanya yang enggan mendedahkan identitinya.
Malah katanya, seorang wakil rakyat PAS yang kental memperjuangkan Islam, Samad Gul mati dibunuh.
Dan ketika gelombang penahanan ulama di bawah ISA, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat muncul dengan menyertai pilihan raya pada 1967.
Difahamkan juga orang ramai tidak senang dengan kelibat tokoh agama itu sejak kerajaan Pakatan Rakyat memerintah Perak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan