Umno: 269 calon bertanding, 900 aduan rasuah

Abdul Aziz Mustafa 
KUALA LUMPUR, 24 Feb (Hrkh)
 - Dengan 269 calon yang bertanding merebut pelbagai jawatan dalam Majlis Tertinggi Umno dan ketiga-tiga sayap parti itu pada pemilihan yang dijadual berlangsung dari 24 hingga 28 Mac depan, setakat November lalu sahaja 900 aduan rasuah telah diterima.

Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail menyifatkan rasuah pada pemilihan kali ini adalah paling serius.

Tidak diketahui berapa banyak kes rasuah sepanjang kempen pemilihan tersebut yang tidak diadukan.

Ketika mengecam gejala itu, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini berkata, jika orang yang menghulur rasuah menang dalam pemilihan Umno Mac ini, kerajaan Malaysia dan kerajaan negeri akan dipimpin oleh perasuah selepas Pilihanraya Umum ke 13 jika Barisan Nasional (BN) menang.

"Jika yang menang adalah orang yang menghulur rasuah maka Umno akan dipimpin oleh perasuah.

"Dan kerajaan Malaysia dan kerajaan negeri akan dipimpin oleh perasuah selepas Pilihanraya Umum ke 13 jika BM menang. Dan pemimpin jenis ini akan sauk duit kerajaan dan duit siapa sahaja yang berurusan dengan kerajaan," kata bekas Presiden Umno itu.

Tindakan membanteras rasuah di dalam Umno bagaimanapun ditentang oleh ahli-ahli parti itu.

30 Januari lalu, ahli-ahli Umno menunjuk perasaan membantah tindakan Lembaga Disiplin dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membanteras gejala politik wang ketika Majlis Tertinggi (MT) parti itu sedang bermesyuarat.

Mereka yang menunjuk perasaan di pekarangan Menara Dato Onn itu turut menyerahkan memorandum bantahan terhadap tindakan SPRM itu.

Mereka membawa sepanduk-sepanduk yang tertulis "Kami menolak SPRM, boleh belah", "Jangan ambil hak ahli Umno" dan "Lembaga disiplin sudah nyanyuk".

Penentangan sedemikian bukan sahaja datang dari ahli-ahli Umno.

Sebuah blog, politica-net.blogspot.com, yang dipercayai dikendalikan oleh seorang ahli parti itu mendedahkan ada "orang besar" menghalang siasatan ke atas salah seorang calon Timbalan Presiden Umno yang dibabitkan dengan hampir 400 dakwaan rasuah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan