Hari Sabtu 28 Feb 2009 saya berpeluang buat pertama kali bersua muka dengan Pak Dharma (Dharmala NS). Pertama kali juga saya mendengar Pak Dharma berucap.Memang berbeza seorang yang pakar bahasa, tokoh sasterawan, penulis Melayu bercakap dari seorang ahli politik. Setiap perkataan penuh dengan gaya bahasa yang mudah difahami dengan mesej tersurat dan tersirat.
Kata Pak Dharma setiap bangsa ada bahasa mereka sendiri. Kalau mereka di England tak di kata Bahasa England, tapi Bahasa Inggeris. Kalau di Iran tak dikata Bahasa Iran tapi Bahasa Parsi.
Mengulas mengenai PPSMI , Pak Dharma berkata ianya akan merugikan orang Melayu.Katanya kalau dasar PPSMI ini diteruskan, 100 tahun nanti anak cucu kita tidak menyalahkan UMNO, PAS atau PKR. Tapi mereka akan menyalahkan datuk nenek moyang mereka (iaitu kita) kerana tidak mendaulatkan bahasa Melayu. Kata Pak Dharma Bahasa Melayu mesti didaulatkan bukan dimartabatkan. Bahasa Melayu mesti di Raja kan bukan di Perdana Menterikan.
Pak Dharma banyak mengambil mesej yang tersurat dalam filem P Ramlee seperti filem Nujum Pak Belalang, Tiga Abdul dan Pendekar Bujang Lapok. Dalam cerita Bujang Lapok dalam plot ketika Tiga Bujang Lapok belajar di sekolah dewasa apabila Sudin ditanya oleh Cikgu satu perkataan Sudin menjawab Alif sambung Mim, Nun sambung Wau bunyinya SARKAS. Maknya P. Ramlee dari dulu lagi sudah memperjuangkan bangsa dalam filemnya. Dia tidak mahu anak cucu dia ditadbir oleh Sarkas Sarkas. Sarkas inilah yang ada di Malaysia sekarang ini.
Dalam hati saya memang banyak mesej tersirat dalam filem P Ramlee, perasaan atau tidak P Ramlee begitu jarang sekali cakap Inggeris dalam filem, atau cakap rojak. Cuma dalam filem Sarjan Hassan dia bercakap Inggeris dengan Pegawai Askar Inggeris yang baru datang. Sedangkan pegawai Inggeris yang lama bercakap Bahasa Melayu..
Saya berkata pada anak-anak saya yang sekolah menengah menengah nak tak ikut abah pergi Istana Negara 7 Mac 2009 ini. Mereka kata boleh. Alhamdulillah. Lalusaya belikan T Shirt putih PPSMI untuk dipakai Sabtu nanti.
Isteri saya seorang guru sekolah menengah berkata PPSMI ini memang banyak mendatangkan masalah kepada pelajar dan guru Melayu. Isteri saya kata ada satu sekolah menengah di Seremban (ingat ya , di Seremban, bukan di Palong ataupedalaman). Sekolah tadi tahun ini 2 kelas tingkatan satu pelajar nya buta huruf. Ya , buta huruf. Kalau tahun lepas satu kelas sahaja pelajar yang buta huruf, tahun 2 kelas. Macamana nak buat PPSMI sedangkan masalah buta huruf pun tak selesai.
Isteri saya kata lagi dalam satu kursus untuk guru-guru PPSMI, seorang guru bertanya kepada penceramah. Kata guru tadi dia dah belajar Bahasa Inggeris 6 tahun di sekolah rendah, 5 tahun di sekolah menengah. Dah 11 tahun belajar Bahasa Inggeris, dia masih tak mahir, sekarang Kementerian Pelajaran buat kursus1 hari lagilah dia tak mahir. Guru tadi kata dia tak faham langsung kursus PPSMI tadi , hinggakan dia pun tak tahu apa nak tanya.
Kata isteri saya lagi mungkin para ustaz dan ustazah lama kelamaan yang gagal PPSMI tak dapat mengajar lagi.
Entahlah, kalau sahabat-sahabat lain masih rasa tak apa, masih rasa selesa duduk di rumah, selesa lepak di kedai kopi membicarakan masalah 'Derhaka' dan 'Celaka', bicaralah. Saya dan anak-anak saya akan berada di Istana Negara 7 Mac ini insyaALLAH, saya tak mahu anak cucu saya menyalahkan saya nanti dan tuntut pula di akhirat nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan