Contohi Shahrir,lebih 'gentlemen' jika letak jawatan

Salmiyah Harun
KUALA LUMPUR, 27 Mac (Hrkh) -
 Langkah awal Dato' Shahrir Abdul Samad meletak jawatan sebagai anggota kabinet patut diikuti oleh dua menteri dan tiga timbalan menteri yang tewas dalam merebut kerusi majlis Tertinggi Umno.

Walaupun Shahrir dikatakan 'senior' dalam Umno,tetapi kekalahannya itu menggambarkan penolakan 2,500 perwakilan Umno.

Menurut Ahli Parlimen Kuala Krai Dr Hatta Mohd Ramli ketika dihubungi tidak terkejut dengan keputusan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu meletakkan jawatan sebaik sahaja kalah dalam pemilihan Umno.

Katanya, tindakan awal Shahrir itu sekali gus memudahkan Perdana Menteri yang baru membuat rombakan kabinet bagi melantik anggota baru mengikut seleranya.

"Mereka yang tewas, lebih 'gentleman' patut meletak jawatan. Itulah cara yang lebih baik macam Shahrir," katanya ketika dihubungi.

Shahrir yang juga Ketua Umno Bahagian Johor Bahru, mengesahkan beliau sudah muktamad agar tidak dilantik semula sebagai anggota Majlis Tertinggi dan juga Kabinet yang baru.

Shahrir menjelaskan, susulan kekalahan semalam adalah tidak adil untuk kepimpinan parti melantik beliau semula menduduki MT dan jemaah menteri.

Tegas Shahrir, beliau tetap akan menolak jikapun dilantik semula oleh Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak selaku Presiden Umno dan bakal Perdana Menteri.

Sementara itu, dua menteri berkenaan ialah Menteri Pelancongan, Dato' Azalina Othman Said dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Shahrir Samad.

Timbalan Menteri yang gagal mendapat tempat iaitu Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato' Noraini Ahmad dan dua timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Mohd Johari Baharum dan Dato' Hasan Malek.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan