PAS Selangor mengalu-alukan langkah Menteri Besar Selangor dan anggota Exco nya yang telah menjunjung titah DYMM Sultan Selangor bagi mengisytiharkan aset masing-masing mulai Jumaat ini di laman web kerajaan negeri Selangor.
Tindakan ini membuktikan ketelusan dan kesediaan kerajaan negeri Pakatan Rakyat bagi menjunjung dan melaksana titah perintah Tuanku Sultan demi kebaikan rakyat dan kerajaan negeri.
Ia juga selari dengan hasrat kerajaan Pakatan Rakyat untuk mengemuka dan mengamalkan budaya bersih di dalam pentadbirannya.
Sehubungan dan seiringan dengan semangat ketelusan dan pertanggungjawaban juga maka PAS Selangor mencabar bekas Menteri Besar Selangor, Dato Seri Dr Mohd Khir Toyo dan kesemua bekas barisan EXCO nya agar turut mengisytiharkan aset masing-masing sepanjang mereka menjawat jawatan berkenaan sehinggalah tanggal 8 Mac 2008 yang lalu.
PAS Selangor percaya rakyat lebih berminat untuk mengetahui angka berkenaan bagi membuktikan yang bekas MB dan bekas barisan EXCO nya tidak membawa keluar harta yang 'luarbiasa' sepanjang mereka diamanahkan oleh rakyat sebagai MB dan EXCO.
Adlah tidak adil jika rakyat sekadar diberi peluang meneliti aset MB dan EXCO yang baru setahun menjawat jawatan masing-masing sedangkan bekas MB dan bekas EXCO yang bertahun-tahun memegang jawatan yang sama terlepas dari pemantauan rakyat.
PAS Selangor memberi tempoh sehingga Jumaat yang akan datang iaitu 19 Mac 2009, bagi Ketua Pembangkang Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo dan rakan-rakannya bekas EXCO yang lalu untuk mengisytiharkan aset masing-masing kepengetahuan rakyat.
Jika tidak, terbukti mereka tidak mampu mengamalkan budaya telus dan bersih sebagaimana yang berani diamalkan oleh pimpinan Pakatan Rakyat Selangor.
Ketua Penerangan PAS Selangor,
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan