KUALA LUMPUR: “Jangan ganggu saya.” Demikian kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika ditanya mengenai desakan beberapa pihak yang mahukan beliau mengumumkan tarikh peralihan kuasa.
Presiden Umno berkata: “Yang nak kacau ni pasal apa. Saya tahu apa yang saya buat dan saya buat apa yang saya buat. Jangan ganggu saya.”
Abdullah ditemui wartawan selepas beliau menyampaikan amanat pada sesi Majlis Presiden sempena Perhimpunan Agung Umno.
Beliau yang menerajui Umno sejak Oktober 2003 tidak mempertahankan jawatannya kali ini.
Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak menggantikan beliau sebagai Presiden Umno.
Susulan peralihan kepimpinan Umno beliau dijangka menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Najib dipercayai awal April.
Ditanya sama ada beliau sedih memandangkan ini kali terakhir beliau menyampaikan taklimat presiden, Abdullah menafikan perkara itu.
Sebaliknya kata Abdullah, beliau berasa gembira kerana dapat berjumpa dengan perwakilan.
“Saya tidak tahu. Saya tidak ingat tentang itu.
“Saya hanya gembira seperti biasa kerana dapat bercakap dengan mereka.
“Ia bukan satu masalah kerana saya bukan seorang yang sentimental,” katanya.
Perdana Menteri semasa ditanya sama ada isu peralihan kuasa kepada Najib turut disentuh di dalam amanatnya, berkata beliau, tidak menyentuh isu itu.
“Saya tidak menyentuh tentang isu peralihan kuasa itu kerana semua perwakilan telah pun mengetahuinya dan memahaminya,” kata Abdullah.
Mengenai ada cubaan anggota Umno barubaru ini untuk menghalang parti itu daripada mengadakan perhimpunan agung, beliau menegaskan bahawa cubaan itu tidak akan berhasil.
“It is impossible, never happen,” katanya sambil menambah, Najib akan memimpin Umno selepas jawatannya sebagai presiden parti itu disahkan oleh para perwakilan kelak.
-mstar.com.my-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan