Mengenang 3 Mac 1967: Apabila Parlimen memenggal leher bahasa

Ahmad Lutfi Othman 
Seorang wanita yang meminta saya sekadar memanggilnya "makcik" menelefon pagi Isnin lalu, dengan loghat Kedah yang pekat: "Lutfi, jadi tak demonstrasi 7 Mac nanti? Makcik nak bawa anak-anak sekali, biar kena sembur air pun takpa." Saya mencelah pantas: "Mesti jadi makcik, insya-Allah, bagus bawa anak-anak dan kawan rakan sekali. Isu bahasa ini isu semua pihak."


"Tujuan makcik telefon Lutfi ini sebab makcik nak nyanyi lagu berkaitan bahasa kebangsaan, yang selalu kami nyanyi dulu-dulu, tahun 60-an, makcik dan kawan-kawan di Bukit Besar, Kedah. Boleh makcik menyanyi?" Ramah betul makcik itu memperkenalkan diri sambil meminta izin menyanyi.

Selesai menyanyi, makcik bertanya: "Sedap tak Lutfi?" "Memang sedap!" balas saya jujur. Bersemangat sungguh makcik menyanyi walaupun pendengarnya hanya saya seorang. Sayang saya tidak ingat liriknya. "Sedap lagu atau sedap suara makcik?" beliau terus berkelakar gaya orang Kedah. "Dua-dua sedap makcik," sesungguhnya reaksi saya bukan untuk mengambil hatinya kerana memang ia berupaya menyuntik "rasa syahdu" kepada bahasa Melayu.

Saya terkilan kerana tidak sempat menyimpan nombor telefon makcik itu. Apa pun, semoga lebih ramai "audien baru" demonstrasi akan memeriahkan perarakan bersejarah nanti. Kerajaan yang sudah pekak dengan rayuan, memorandum dan resolusi persidangan, sesekali perlu diperingatkan secara lebih lantang hingga pecah gegendang telinganya, tentang nasib malang anak bangsa, atau sekurang-kurangnya mendengar kembali nyanyian lagu patriotik bahasa kebangsaan yang dinyanyikan makcik tadi. Biar gema suara itu memecah tembok, mencecah langit, menghunjam ke laut dalam.

Isu mendaulatkan bahasa Melayu sememangnya tidak terhenti setakat himpunan 7 Mac. Juga tidak akan diberi tanda nokhtah walaupun PPSMI yang hodoh, pelik dan bodoh itu dibatalkan perlaksanaannya, apatah lagi jika ia hanya sekadar diubah-suai wajah kosmetiknya.

Elok juga dihimbau peristiwa "api dan air mata", pada hari Jumaat, 3 Mac 1967, 42 tahun lalu, di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka, apabila hampir 2,000 orang daripada 120 NGO berkumpul, "duduk berhimpit-himpit, berdiri berjejal-jejal, di pintu masuk bersesak-sesak, di anak tangga jengah-menjengah, yang di bawah berpusu-pusu".

Tujuan mereka di Balai Budaya itu hampir sama dengan himpunan 7 Mac 2009 bagi menuntut mansuhkan PPSMI. Dahulu, mereka menentang Rang Undang-Undang Bahasa Kebangsaan yang sedang diperdebatkan di Parlimen, yang sebenarnya melemahkan lagi kedudukan bahasa Melayu.

Apa yang menarik ialah catatan bagaimana selepas ucapan berapi-api Syed Nasir Ismail, seorang pemuda, Wan Ahmad Nasir melompat naik ke pentas lalu mengambil alat pembesar suara di meja pengerusi dan berteriak: "... dengan ini, saya rampas majlis ini, kami tidak mahu bercakap lagi, semangat kami cukup dibakar, mari berarak ke Parlimen ..."

Usman Awang merakamkan detik-detik bersejarah 3 Mac 1967 itu dalam bait-bait puisinya:

Malam itu di Balai Budaya 
Api dan Air Mata

Malam itu di Balai Budaya
Seorang guru tua berbicara
'Berarak ke Parlimen, aku di muka'

Malam itu di Balai Budaya
Seorang peguam muda berkata
'Bakar Perlembagaan 152'

Malam itu di Balai Budaya
Seorang pemuda berteriak
'Ayuh, mari kita berarak'

Malam itu di Balai Budaya
Para pelajar berikrar
'Dada kami sedia dibakar'

Malam itulah juga
Parlimen jadi pertanda
Memenggal leher BAHASA

Kita tunggu puisi terkini himpunan 7 Mac.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan