PULAU PINANG: Polis Pulau Pinang telah membuka kertas siasatan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Said Hamdan berikutan laporan polis yang dibuat terhadapnya.
Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakob ketika dihubungi Bernama berkata, siasatan terhadap Ahmad Said dibuat menurut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah.
"Kita membuka kertas siasatan berikutan laporan polis yang diterima dan siasatan lanjut berhubung laporan sedang dijalankan," katanya.
Ditanya sama ada polis telah memanggil Ahmad Said, Ayub berkata: "Kita belum panggil lagi, mungkin dalam masa terdekat ini."
Pada 23 Februari lalu, Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin membuat laporan polis terhadap Ahmad Said di Balai Polis Dang Wangi berhubung pengumuman terbuka Ahmad Said yang dilihat 'berniat jahat'.
Ahmad Said sebelum itu dilaporkan membuat pengumuman dalam satu majlis di Pulau Pinang berhubung SPRM mempunyai bukti dakwaan penyalahgunaan kuasa Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam kes penyenggaraan sebuah kereta mewah jenis Lexus milik peribadi dan pembelian 46 ekor lembu untuk korban. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan