Rasuah Umno : Mana kelibat Ezam dan Gerak?

WAN NORDIN WAN YAACOB 
Persidangan Agung Umno telah pun bermula, lagak bakal Presiden Umno, Dato' Seri Najib Tun Razak membuka tirai perasmian sidang Wanita, Pemuda dan Puteri semalam nampak gah dan bersemangat.

Persidangan kali ini merencahkan pelbagai kesukaran kepada Umno selaku parti yang dilihat sedang terumbang ambing.

Pertamanya kerana pukulan maut pilihan raya umum ke-12 dan dua pilihan raya kecil (PRK) Kuala Terengganu serta Permatang Pauh yang menatijahkan kekalahan besar kepada Umno/BN.

Namun paling menazakkan Umno ialah perihal rasuah dan penyelewengan yang bergelumang dalam parti nasionalis itu.

Pendakwaan ke atas Dato' Norza Zakaria dan beberapa ketua bahagian pada peringkat awal dilihat hanya sekelumit sahaja 'episod rasuah' yang berlaku.

Namun, apabila beberapa nama besar seperti Dato' Seri Mohd Ali Rustam, Khir Toyo dan Khairy Jamaluddin dikaitkan dengan rasuah dan dengan Ali sudah pasti dikenakan larangan bertanding kerana rasuah, gelombang semakin besar berlaku.

Paling tragis, Lembaga Disiplin Umno dikatakan membuat keputusan terpilih dalam kes Ali dan Khairy, walaupun kedua-duanya nyata rasuah melalui agen mereka.

Namun, segala keputusan Lembaga Disiplin Umno ini pastinya membibitkan perpecahan kerana disatu pihak (Kem-Abdullah) pastinya merasai mereka teraniaya, sementara di pihak lain (Kem Najib) kononnya mahu membuktikan mereka bersih.

Walhal, seperti kata beberapa ahli umno semua kumpulan sama sahaja cuma kumpulan yang satu ini kini mempunyai kuasa.

Betapa hebat pun perihal rasuah dalam Umno dilaporkan media, namun kelibat penentang rasuah nombor satu negara yang pernah menjadikan motto 'rasuah musuh nombor satu negara' masih tidak kelihatan mengulas atau membicarakan perihal ini.

Apakah individu tersebut sudah mula 'sedar' akan parti yang disertai semula itu sebenarnya sebuah parti yang menentang gagasan beliau sewaktu menubuhkan Gerakan Anti Korupsi (Gerak)?.

Beliau yang dimaksudkan ialah bekas Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK), Ezam Mohd Noor yang sejak isu rasuah dalam terdedah hanya diam membisu.

Adapun Gerak yang diperturunkan Ezam kepada anak didiknya, Mohd Nazree Yunos hanya mampu mengeluarkan kenyataan agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat.

Walhal dalam kes 45 ekor lembu membabitkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, Nazree menjadi orang pertama yang melaporkan kononnya berlaku penyelewengan dalam urusan tersebut.

Nazree dan beberapa rakan mahasiswanya melaporkan sendiri kes tersebut kepada SPRM, dan disambung dengan pelbagai kenyataan kecaman terhadap Khalid.

Natijah laporan itu, Khalid sendiri telah menyaman Nazree selaku Pengerusi Gerak berikutan dakwaan melampau kononnya Khalid menyalahgunakan harga kerajaan.

Saman itu difailkan melalui tetuan Sankara N Nair di Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam (24 Mac 2009).

Namun dalam kes rasuah membabitkan Umno termasuk yang telah disahkan rasuah (Ali Rustam) oleh Lembaga Disiplin Umno, Gerak atau Nazree hanya berdiam diri.

Tidak ada sebarang usaha untuk mengemukakan laporan, walhal amat dikehatui umum bahawa Gerak kononnya mempunyai sumber dalaman yang cukup bijak mendapatkan maklumat.

Seperkara lagi persoalan yang juga akan timbul samada engasas Gerak akan membela nasib anak didiknya yang kini berhadapan dengan saman dari Khalid, atau Nazree akan terus bersendirian menghadapinya.

Rakan lama Ezam sewaktu menubuhkan Gerak, Badrul Hisham Shaharin sendiri ada menyatakan perihal Ezam dalam hal ini.

Yang pastinya kata Badrul Hisham, Nazree akan tahu siapa sebenarnya mentornya itu selepas ini, dan perihal rasuah dalam Umno pastinya suatu pengajaran kepada Gerak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan