Perhimpunan agung Umno hari ini diberitahu bahawa majoriti ulama dan guru agama yang berpengaruh luas dalam masyarakat meninggalkan Umno dalam pilihanraya umum tahun lalu.
"Apa silapnya?" soal perwakilan dari Perak, Datuk Khusairi Abdul Hamid
Menurutnya, dahulu golongan ini yang amat berpengaruh, tidak lagi memihak kepada Umno.
"Jika keadaan ini berterusan, kita bimbang pengaruh Umno semakin mengecil," katanya ketika membahas ucapan dasar presiden Umno.
"Kita biarkan sekolah pondok diuruskan oleh ibu bapa tanpa bantuan kerajaan," katanya sambil menambah kerajaan hanya memberi lesen untuk menguruskan sekolah tersebut.
"Tentulah tidak hairan mengapa mereka menyokong parti PAS... kerana mereka ini dilahirkan oleh PAS," tambahnya.
Sehubungan itu, beliau menyarankan kerajaan menubuhkan pusat tahfiz al-Quran bertaraf profesional yang dimiliki sepenuhnya oleh Umno.
Buka sekolah tahfiz
"Apa salah kalau MARA buat, apa salahnya setiap negeri buat sekolah tahfiz yang ditaja sepenuhnya oleh kerajaan negeri?" tambahnya.
Mengenai politik di Perak, Khusairi berkata ia telah melahirkan seorang penderhaka yang "menyembah derhaka dan mengadakan sidang (DUN) di bawah pokok".
Merujuk kepada Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin, beliau berkata, penderhaka tersebut tidak akur kepada keputusan Sultan Perak melantik Datuk Dr Zambry Abd Kadir sebagai menteri besar baru, Februari.
"Ayuh kita ganyang penderhaka ini, biarkan dia kalah di Bukit Gantang," tambahnya.
Mohd Nizar dipilih sebagai calon PAS untuk bertanding dalam pilihanraya kecil kerusi parlimen itu, 7 April ini.
Khusairi mendakwa Mohd Nizar sebagai "menteri besar kepada rejim DAP" di Perak.
Beliau juga turut mengulas tentang reformasi yang diperlukan dalam Umno.
Reformasi milik Umno
Menurutnya, Umno bersedia untuk reformasi sambil menambah bahawa "ia bukan milik Datuk Seri Anwar Ibrahim atau PKR" - yang melaungkan slogan itu sebagai teras perjuangannya.
Sebaliknya, kata beliau, reformasi milik Umno yang telah menjalankan reformasi sejak lebih 50 tahun negara mencapai kemerdekaan bagi mewujudkan suasana stabil dan aman dalam negara.
Beliau turut menyentuh tentang masalah tanah di Perak yang, menurutnya, tidak selesai walaupun 12 pilihanraya umum bersilih ganti.
"Masalah itu bukanlah disebabkan oleh Umno tetapi birokrasi di jabatan tertentu," tambahnya.
Sehubungan itu, beliau menyarankan pegawai kerajaan menjalani kursus supaya menjiwa Umno.
"Bukan orang Umno sahaja yang perlu diberi kursus," tegasnya, merujuk usaha kepemimpin baru parti itu Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menekankan pentingnya program tersebut. Cadangan penyatuan Umno, PAS Sementara itu, perwakilan Umno Kelantan, Mohd Zain Yasim menggesa kepimpinan tertinggi Umno dan PAS supaya jangan memandang enteng cadangan penyatuan kedua-kedua parti orang Melayu itu.
Beliau berkata, ia perlu dipandang serius demi survival orang Melayu.
"Kalau tidak buat begitu, kemungkinan orang Melayu akan kehilangan kuasa," katanya.
"Saya harap pihak kepimpinan tidak menolak mentah-mentah cadangan penyatuan Umno-PAS ini." -malaysiakini- |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan