Abdullah paling gembira BN kalah 2 Bukit?

Zulkifli Yahaya  

Percayalah, bahawa orang yang paling 'bahagia' dengan kekalahan BN di dua Bukit ialah bekas Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi. Nikmatnya mungkin terasa dari tulang sum-sum hingga ke lubuk nurani yang paling dalam.

Setahun Abdullah dipersalahkan oleh bekas pemimpin, pemimpin serta ahli-ahli Umno terhadap prestasi teruk BN dalam pilihan raya umum ke-12. Peralihan kuasa yang dirancang telah didesak supaya dipercepatkan sehingga terpancul amarah dari mulut Abdullah terhadap Muhyiddin Yasin, "Apakah Muhyiddin tidak sabar-sabar nak jadi Timbalan Perdana Menteri?"

Kemuncak segala penghinaan terhadap beliau tentulah apabila bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir keluar dari parti asobiyah Melayu itu hanya kerana tidak mahu berpresidenkan Abdullah.

Penganut Mahathirisme yang fanatik percaya apabila berundurnya Abdullah, maka kuatlah Umno dan BN. Mahathir diarak di dua Bukit bagai baru turun dari kayangan. Mereka percaya, pemulihan sokongan sudah berlaku. Pakatan Rakyat, kalau tidak hilang deposit pun, sekurang-kurangnya akan kalah teruk.

Nampaknya, apa yang diyakini mereka tidak berlaku. Pakatan Rakyat di dua Bukit menang dengan majoriti yang lebih besar berbanding dulu!

Sehebat mana pun kesetiaan Abdullah terhadap Umno, namun lubuk nuraninya tidak dapat berbohong dari merasa gembira dengan keputusan yang mengesahkan bahawa teruknya BN bukankerana Abdullah.

Terserlah sudah hakikat bahawa penolakan rakyat terhadap BN bukan kerana mana-mana individu dalam Umno. Bukan kerana Mahathir, Abdullah atau Najib. Bertukarlah sepuluh nahkhoda, sepuluh jong berlabuh, selagi anjing bercawat ekor juga, selagi itulah BN nazak dan menunggu saat datangnya sakratulmaut.

Maka faktor terbesar dan utama terhadap penolakan BN ialah kerana ia sudah sakit tua, nazak dan menunggu saat kematian. Meneliti keputusan pilihan raya kecil Bukit Selambau, terdapat empat petunjuk yang amat menakutkan Umno:

Pertama, kebangkitan pengundi muda. Mereka betul-betul tidak 'bagi muka' dengan BN. Di banyak daerah mengundi, BN kuat di saluran 1 tetapi teruk di saluran akhir. Tinjauan dilokaliti sepanjang pilihan raya berlangsung, para pemuda yang banyak berhimpun di markas Pakatan Rakyat. Sebahagian dari mereka adalah anak orang-orang Umno.

Kedua, pengundi bukan Melayu. Tinjauan sebelum hari penamaan calon agak merisaukan Pakatan. Pengundi kaum India dilaporkan kembali menyokong BN. Samy Vellu turun dengan duit yang banyak berjaya membeli ramai juga aktivis Pakatan Rakyat yang berpengaruh. Keadaan diburukkan dengan pengumuman S Manikumar sebagai calon. Beberapa pos KeADILan yang dibuka oleh kaum India ditutup. Beberapa ketua kampung Pakatan Rakyat kaum India berpaling tadah. Cemas juga dibuatnya.

Situasi yang berlaku tidak kekal dan berjaya dipulihkan. Markas kembali beroperasi danaktivis yang 'menghilang' kembali muncul satu persatu. "Jangan takut, kami cuma nak makan umpan Samy Vellu, tapi kail kami tak makan sekali," ujar seorang aktivis kaum India.

Drama politik begini pun ada juga. Macam filem Hindi. Lihat tiga contoh daerah mengundi di mana pengundi Indianya adalah yang tertinggi. United Petani (75% India) Pakatan- 427, BN- 236, Petani Para (69.89 %) PR-107, BN-97 dan Bukit Rusa (71.22%) PR-260, BN-185. Bagi kaum Cina yang mewakili 20 peratus pemilih, langsung tiada masalah. Dari awal hingga ke akhir sokongan mereka padu untuk Pakatan.

Khairy dipulau penyokong Mukhriz

Ketiga, pengundi Umno yang hilang kesetiaan. Sebenarnya selepas era Mahathir, ahli Umno sudah tiada jati diri. Zaman di mana jika diletak 'tongkol kayu' pun sebagai calon BN mereka akan sokong, nampaknya sudah berakhir.

Seorang pemimpin Puteri Umno Kedah menghubungi saya, melahirkan rasa kegembiraan tidak terhingga kerana BN kalah. "Padan muka Shahanim!" katanya. Musuh-musuh politik Dato' Mahdzir Khalid turut gembira kerana inilah peluang untuk jatuhkan beliau sebagai Pengerusi Perhubungan.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang hadir untuk membantu dipulaukan oleh penyokong Mukhriz yang begitu ramai di Kedah. Dia tidak mampu berbuat apa-apa dan pulang begitu saja.

Terdapat juga ahli-ahli Umno yang tidak berpuashati kerana BN letak calon MIC. Mereka berhujah kalau BN menang kali ini, maka sampai bila-bila pun Umno sukar nak tuntut kerusi tersebut. Satu gerakan dibuat dikalangan pengundi Umno supaya memilih Mejar (B) Anuar Abd Hamid. Dia adalah ahli Umno yang ikut Dr Mahathir keluar dari parti tersebut tahun lalu. Hasil gerak kerja dalaman ahli-ahli Umno yang memprotes, Mejar (B) Anwar mendapat 475 undi, merupakan undi tertinggi di kalangan calon bebas.

Keempat, pengundi yang berpendidikan. Terdapat ramai pengundi berpendidikan yang kebanyakan mendiami kawasan bandar iaitu di taman perumahan. Sebahagian besar taman-taman perumahan tersebut terdapat majoriti pengundi Melayu. Daerah mengundi yang terdiri dari taman perumahan ialah Taman Ria Utara, Taman Ria Jaya, Taman Ria Selatan, Taman Peruda, Taman Bandar Baru, Taman Tasek Apong, Jalan Badlishah, Sungai Lalang, Taman Desa Aman, Bandar Laguna Merbok dan Ambangan Height. Pakatan Rakyat menang di semua daerah mengundi tersebut!

Bukan tujuan untuk menghina, tetapi ianya realiti; Pakatan kalah di daerah mengundi Kuala Sin, Batu Belacan, Kampung Sungkap dan Bukit Selambau yang kebanyakannya rendah taraf pendidikan. Rupanya masyarakat yang ketinggalan taraf pendidikan adalah asset kepada BN.

Apapun halnya, itu semua cuma alasan yang muncul di saat kejatuhan empayar BN. Bila dah sampai ajal, apa-apa sebab saja boleh muncul. Termasuk yang 'membantu' kemenangan Pakatan Rakyat ialah anggota FRU yang menembak gas dan menyembur air kimia kepada orang ramai di Taman Ria Jaya. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan