Barisan Nasional, khususnya UMNO, tewas lagi kepada Pakatan Rakyat di kedua-dua pilihanraya kecil serentak di Semenanjung dengan rakyat menghantar mesej jelas menolak kepemimpinan Perdana Menteri baru Najib Razak kerana dicemari dengan pelbagai dakwaan dan persepsi salah laku. Pakatan Rakyat menerusi PAS mengekalkan kerusi parlimen Bukit Gantang di Perak dan atas tiket Parti Keadilan Rakyat, gagasan itu berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau di Kedah. Dua kerusi itu amat diidamkan oleh Barisan Nasional, khususnya UMNO untuk menunjukkan bahawa pelantikan Najib sebagai Perdana Menteri ke enam Malaysia dan presiden UMNO baru-baru ini direstui oleh rakyat. Sebaliknya, UMNO tinggal dengan hanya mencanang kemenangan BN pada PRK Dewan Undangan Negeri Batang Ai, sebuah kawasan terpencil di Sarawak yang tidak membabitkan mana-mana parti komponen BN dari Semenanjung. Di Bukit Gantang, Datuk Seri Nizar Jamaluddin dari PAS mengekalkan kerusi parlimen itu, mengatasi calon UMNO dengan majoriti yang lebih besar. Nizar memperolehi 21,860 dengan majoriti 2,789 undi berbanding Ismail yang hanya mampu meraih 19,071 undi. Calon bebas Kamarul Ramizu Idris hanya mendapat 62 undi dan hilang wang deposit. Di Bukit Selambau Kedah, S.Manikumar, dari PKR mendapat 12,607 undi, mengatasi Datuk S. Ganesan dari MIC dan 13 calon bebas, menurut keputusan tak rasmi setakat ini. Meskipun pendatang baru ke arena politik, Manikumar berjaya meraih majoriti 2,375 undi, mengatasi Datuk Ganesan yang mendapat 10,232 undi. Kemenangan besar Nizar dan kejayaaan memberangsangkan Manikumar adalah petanda paling jelas bahawa rakyat tidak termakan dengan janji Najib membersihkan UMNO daripada gejala rasuah dan salah guna kuasa serta rasuah dalam kerajaan. Bagi Nizar, kemenangan malam ini mencerminkan sokongan padu rakyat terhadap beliau dan kerajaan negeri Pakatan yang dipimpinnya, sekali gus menolak cubaan rampasan kuasa yang dikaitkan dengan UMNO sehingga mencetuskan kemelut dua Menteri Besar di Perak. Mesej jelas dari Bukit Gantang ialah rakyat Perak masih dahagakan kepimpinan Nizar sebagai Menteri Besar DAN mahu beliau sebagai Ahli Parlimen. Mereka jelas menolak segala fitnah yang ditabur oleh UMNO terhadap Nizar sebelum dan sepanjang tempoh kempen pilihanraya kecil ini. Di Bukit Selambau, kemenangan Manikumar dan PKR cukup mengkagumkan setelah mencari sasaran pelbagai taktik kotor dalam pertandingan 15 penjuru itu. Walaupun pelbagai langkah diambil oleh Najib untuk menarik sokongan pengundi bagi calon MIC, termasuk membebaskan dua daripada lima tahanan Hindraf, pengundi di sini, sebagaimana di Bukit Gantang, tidak mudah termakan gula-gula politik Perdana Menteri . Dua lagi kekalahan serentak pada pilihanraya kecil tentunya memberi tamparan kepada Barisan Nasional, khususnya UMNO, serta membangkitkan persoalan mengenai kewibawaan Najib sebagai Perdana Menteri. Kekalahan kali ini tentunya lebih mengecewakan selepas segalanya diatur untuk tiga pilihanraya kecil itu diadakan serentak selepas Najib diangkat sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO. Ini untuk menghembuskan nafas baru dalam mesej BN bahawa ia akan berubah di bawah kepemimpinan Najib. Namun mesej itu tidak "menggigit" di kalangan pengundi kerana Najib sendiri masih dibelenggui dengan pelbagai persepsi yang mempertikaikan kesesuaian beliau untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negara. Tindakan polis melarang penceramah membawa isu pembunuhan warga Mongolia Altantuya Sharibbu serta dakwaan berkaitan rasuah dalam kontrak Kementerian Pertahanan yang tidak diperjelaskan secara telus hanya mengusutkan keadaan untuk Najib. Langkah mengadakan pilihanraya kecil selepas Perhimpunan Agung UMNO juga menjadi senjata makan tuan untuk parti itu sendiri. Pengundi membuat rumusan logik apabila melihat ada pemimpin yang disabit atas kesalahan rasuah tetapi terus menerajui kerajaan negeri. Ada pula yang masih dibenarkan bertanding malah menang sebagai Ketua Pemuda. Tetapi mungkin faktor paling ketara yang menyumbang kepada kekalahan BN/UMNO kali ini ialah cubaan mantan Perdana Menteri Mahathir Mohamad untuk bertapak kembali dalam parti dan kerajaan. Beliau turun padang pada hari terakhir kempen di Bukit Gantang dan Bukit Selambau dan membuat pengumuman terbuka bahawa beliau sedia menjadi penasihat kepada kerajaan Najib. Imbauan kepada pemerintahan kuku besi Mahathir selama 22 tahun cukup untuk meyakinkan pengundi bahawa mereka tidak mahu pemerintahan Najib dikembalikan kepada zaman "Mahathirisme." Keputusan PRK Bukit Gantang dan Bukit Selambau membuktikan rakyat tetap mahukan angin perubahan yang dibawa oleh Pakatan Rakyat dan menolak pemerintahan yang berteraskan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa yang mewarnai UMNO dan Barisan Nasional selama ini. -TVAntara.com.my- |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan