BN tersepit

Salmiyah Harun 
KUALA LUMPUR, 22 April (Hrkh)
 - Bersandarkan kekalahan teruk dalam beberapa siri pilihan raya kecil awal tahun ini BN seperti berdolak dalik untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Dun Penanti.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan menyifatkan bermacam-macam helah yang digunakan oleh BN itu menunjukkan mereka agak tersepit setelah mengalami kekalahan teruk.

Katanya, jika di Dun Penanti BN ditakdirkan mengalami kekalahan ini menggambarkan rakyat secara total menolak parti itu.

"Kekalahan itu akan meninggalkan psikologi kepada rakyat khususnya untuk PRU-13. PRK Penanti juga kubu kuat Pakatan Rakyat termasuk PAS jadi keputusan di sini boleh melihat peratus kemenangan yang akan dicapai," katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini Pengerusi BN Dato' Seri Najib Tun Razak dilihat tidak berminat untuk meletakkan calon bagi kerusi itu dengan alasan jika adanya pilihan raya kecil dilihat satu pembaziran dan adalah lebih baik jika wang itu dimanfaatkan kepada rakyat.

Kemudian, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula bercadang untuk mengkaji undang-undang pilihan raya khusus berkaitan mana-mana calon yang meletak jawatan dan terkini Naib Pemuda Umno Dato' Mukhriz Mahathir pula mencadangkan SPR mengenakan hukuman kepada mereka yang meletak jawatan sesuka hati tanpa alasan yang kukuh.

Nasrudin berkata, mana-mana pihak harus menghormati dan menerima perletakan jawatan seseorang walaupun apa jua keadaan pun.

Justeru, beliau tidak menafikan dalam kes-kes yang berlaku kini termasuk di Perak jelas memperlihatkan SPR tetap menjadi tunggangan Umno.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan