Hanya Menteri Pelajaran bertukar, nasib malang PPSMI macam itu juga!

DASAR Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang diilhamkan oleh Tun Dr Mahathir Mohammad masih lagi diteruskan biarpun Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran baru sudah dilantik. Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) tidak patah semangat untuk berjuang bagi memastikan dasar pelik ini dimansuhkan. Ikuti pandangan Sasterawan Negara, Dato' A Samad Said.

Setakat ini setelah Perdana Menteri baru dilantik, apa perkembangan GMP?

DATO' A. SAMAD SAID: GMP akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat. Mesyuarat ini diadakan untuk membincangkan tindakan-tindakan seterusnya akan digerakkan atau dilakukan oleh GMP bagi merealisasikan hasrat kami untuk memansuhkan dasar ini.
GMP akan terus berjuang dan berjuang bagi memastikan dasar PPSMI akan dimansuhkan serta akan memastikan bahasa Melayu akan kembali berada pada kedudukan yang ulungnya seperti suatu masa dahulu.

Difahamkan GMP berhasrat untuk mengadakan pertemuan bersama Menteri Pelajaran baru, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Adakah pertemuan itu sudah berjalan atau masih menunggu kata putus dari menteri terbabit?

Setahu saya belum ada apa-apa pertemuan diadakan antara GMP dan Menteri Pelajaran baru. Jika ada pertemuan pihak GMP akan memaklumkan kepada saya. Cuma setahu saya belum ada apa-apa pertemuan diadakan antara pihak GMP dan Menteri Pelajaran baru dan juga timbalannya.

Apakah bapak fikir dasar PPSMI ini akan tetap diteruskan dibawah Perdana Menteri baru dan juga Menteri Pelajaran yang baru?

Saya fikir nampaknya mereka akan teruskan dasar PPSMI. Saya tak mahu mengkhayalkan yang bukan-bukan tapi saya fikir menterinya saja berubah tapi dasarnya tetap sama.

Difahamkan juga GMP memberikan tempoh dua minggu kepada Menteri Pelajaran baru untuk memutuskan sama ada meneruskan atau memansuhkan dasar PPSMI ini. Jadi setakat ini apa perkembangannya bapak?

Setakat dua minggu ini menteri baru itu langsung tidak menyentuh tentang PPSMI. Dia cuma cakap mahu bawa ke mesyuarat kabinet tapi yang dia cuma umumkan langkah baru yang tidak akan bergantung kepada peperiksaan. Isu PPSMI nampaknya langsung tidak disentuh.

Apakah bapak merasakan jika dasar PPSMI ini diteruskan ia ada kaitan dengan campur tangan Tun Dr Mahathir yang dilihat memainkan peranan besar dalam pembentukan kabinet dan dasar ini juga merupakan idea beliau?

Saya fikir ia ada kemungkinan itu. PPSMI itu diperkenalkan oleh Dr Mahathir dan dia juga ada suara. Jadi barangkali Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran harus berfikir juga untuk ambil langkah yang lain.
Jadi saya fikir mungkin akan ada rundingan antara Menteri Pelajaran dan Perdana Menteri untuk mengambil apa-apa keputusan mengenai PPSMI kerana barangkali Dr Mahathir lebih kuat bersuara sekarang. Contohnya Perdana Menteri tidak mahu bertanding di Penanti tapi Mahathir mahu. Dan kita lihat pembentukan kabinet juga condong kepada mengikut arahan Mahathir. Jadi saya rasa kemungkinan dasar PPSMI ini diteruskan atas tekanan Mahathir itu ada.

Jika pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Penanti tetap diadakan, apakah bapak dan GMP akan turun berkempen?

Kalau diadakan dan dijemput GMP akan berkempen memansuhkan dasar PPSMI ini.

Jika dasar PPSMI ini diteruskan apakah GMP akan terus berjuang untuk memansuhkan dasar ini atau mengambil keputusan untuk berdiam diri?

Ia akan berterusan oleh kerana ia bukan saja perjuangan PAS, KeADILan dan DAP jadi ia akan berterusan.

Sampai bila perjuangan ini akan berterusan bapak?

Berterusan sehingga ia dimansuhkan. Jika tidak ia sehingga kerajaan baru berjaya ditubuhkan atau pun berterusan sehingga kiamat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan