Keramahan Pak Lah diingat, Nik Aziz

Salmah Mat Husain  

PENGKALAN CHEPA (Hrkh) - Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mempunyai pengalaman manis yang tidak dapat dilupakan bersama Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika menerajui kerajaan.

Beliau berkata, Perdana Menteri sekarang lebih dikenali pada peringkat awalnya sebagai 'Mr Clean'.

"Beliau sempat menziarahi saya ketika dirawat di Institut Jantung Negara (IJN), hadir sama ketika itu Dato'Seri Najib Razak bersama isteri.

"Paling saya ingat kepada Perdana Menteri kerana sanggup memimpin tangan saya ketika menuruni anak tangga semasa menghadiri program bersama di Kelantan beberapa tahun lalu.

"Beliau berbuat demikian mungkin kerana menyedari saya tidak kuat terutama untuk menuruni tangga. Itu semua menjadi kenangan kepada saya sampai mati," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian anugerah kepada pelajar cemerlang Kolej Teknologi Darulnaim (KTD), dekat sini baru-baru ini.

Ditanya mengenai pandangannya terhadap pengganti Abdullah, Menteri Besar Kelantan itu beliau Perdana Menteri dalam sesebuah negara seumpama ibu bapa dalam sebuah keluarga.

Katanya, perangai ibu bapa akan menjadi ikutan kepada anak-anak, begitu juga dalam sesebuah negara, rakyat akan mencontohi pemimpin.

Hadir sama pada majlis itu, Pengarah Eksekutif Kolej Teknologi Darulnaim, Dr Abdullah Sudin. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan