Najib tidak mahu Khairy duduk dalam "Pasukan Baru"

Tarmizi Mohd Jam  

KUALA LUMPUR, 9 April (Hrkh) - KETUA Pergerakan Pemuda Umno yang baru, Khairy Jamaluddin tidak terpilih menganggotai kabinet Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak yang diumumkan petang tadi. Beliau satu-satunya ketua dari sayap parti itu yang tidak terpilih duduk sebaris dalam saf "Pasukan Baru" Najib.

Namun penentangnya pada perebutan jawatan Ketua Pemuda Umno hujung bulan lalu, Dato' Mukhriz Tun Mahathir dikutip menganggotai kabinet sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri membantu Dato' Mustapa Mohamed yang dipindahkan ke kementerian ini.

Paling sadis, Naib Ketua Pemuda Umno, Dato' Razali Ibrahim turut diserap ke dalam "Pasukan Baru" Najib dan dilantik sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan membantu Dato' Ahmad Shabery Chik yang dipindahkan dari Kementerian Penerangan.

Ini boleh dilihat sebagai suatu "tekanan" Najib terhadap ketua pergerakan itu, Khairy yang tidak terpilih. Bagaimanapun, sehingga kini tiada sebarang kenyataan dari pergerakan itu terhadap "peminggiran" Khairy dalam "Pasukan Baru" Najib yang diumumkan petang tadi.

Apakah gesaan menantu Pak Lah itu sebelum ini, kononnya bersedia untuk tidak dilantik ke kabinet suatu yang ikhlas, terpaksa dibungkam sendiri Khairy apabila Najib tidak membariskannya sebagai salah seorang dari "Pasukan Baru" beliau, sedangkan Khairy adalah Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, sayap paling kanan Umno.

Ini merupakan satu sejarah pergerakan tersebut kerana selama ini ketuanya sentiasa dilantik menganggotai kabinet, yang terakhir ialah Datuk Seri Hishammuddin Hussein. Adalah dipercayai, tindakan ganjil ini akan akan menimbulkan masalah baru "api dalam sekam" dan "gunting dalam lipatan".

Sementara itu, satu lagi sayap Umno, Pergerakan Puteri diiktiraf oleh Najib apabila Ketuanya yang baru, Datuk Rosnah Rashid Shilin disenaraikan dengan tanggungjawab sebagai Timbalan Menteri Kesihatan.

Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak hari ini mengumumkan Kabinet yang diistilahkan sebagai "Pasukan Baru" dengan dianggotai 28 orang sebagai menteri penuh dan 40 yang lain dilantik timbalan menteri.

Secara umumnya, saiz kabinet baru ini yang diistiharkan tujuh hari selepas Najib dilantik Perdana Menteri keenam adalah lebih kecil - hanya terdiri daripada 25 portfolio dengan perubahan banyak melibatkan wakil Umno termasuk dari Sabah dan MCA serta Gerakan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan