Panduan : Renungkan dulu kemudian buat keputusan

Oleh : ALHUSSEYN
Berikut merupakan pendapat yang mungkin dapat dipertimbangan oleh para perwakilan nanti.Kita renungkan bersama pandangan Sdr Mohamad Shafri Shamsudin yang telah menghantar komen berikut dan saya postingkan disini:

MURSYIDUL Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz ada membuat kenyataan menyatakan kira-kira perwakilan Muktamar parti berkuasa menentukan sesiapa bagi menjawat jawatan tertinggi dalam PAS.

Kiranya perwakilan merasakan barisan pimpinan yang ada perlu dirombak, maka kuasa itu ada pada perwakilan dan perwakilan boleh membuat pilihan dengan bijaksana.

Yang perwakilan tiada kuasa untuk memilihnya ialah Mursyidul Am. Kuasa itu hanya ada pada Majlis Syura. Majlis Syura yang terdiri dari empat wakil Dewan Ulama dan empat wakil Jawatankuasa Kerja PAS Pusat bersidang memilih baki jumlah anggota Majlis Syura itu yang terdiri dari ulama dalam PAS. Mereka bersidang memilih Mursyidul dan Timbalannya.

Walaupun kuasa menentukan pimpinan parti itu ada di tangan perwakilan Muktamar, mesyuarat agung kawasan perlu serius, teliti dengan penuh rasa tanggungjawab mencalonkan sesiapa bagi menduduki saf pimpinan itu terutama bagi anggota Dewan Harian pusat yang dipilih dalam Muktamar.

Jangan sekadar bernafsu bagi mengadakan perubahan, maka dicalonkanlah sesiapa saja yang difikirkan dinamik dan berwibawa tanpa melihat kepada peranan, keperluan dan tanggungjawab sebagai pimpinan utama PAS yang peranannya adalah bagi memimpin umah bagi mewujudkan masyarakat Islam yang berdaulat dan membentuk pemerintahan yang di dalamnya terlaksana aturan dan peraturan Islam.

Tuntutan itu dikuatkan pula pembentukan Majlis Syura di bawah konsep kepimpinan ulama, maka ia menjadikan seperti satu kemestian Presiden dan timbalannya adalah wajar dari kalangan ulama.

Gelombang yang memperjuangkan konsep kepimpinan ulama bukan saja berjaya mengatasi kebuntuan pimpinan masa kini, malah ia berjaya mengatasi krisis besar itu dan dapat memulihkan semula ketumpulan yang dihadapi oleh PAS suatu ketika dulu (zaman Dato' Asri).

Apabila PAS menerima gelombang itu dan selesa dengan kehendak kepimpinan ulama yang berjaya memilihkannya dari kelumpuhan dan perpecahan, maka dengan sendirinya Presiden PAS mestilah seorang ulama. Maka ia akan dilihat janggal kalau ia tidak berpresidenkan seorang ulama sedang ia mempelopori konsep kepimpinan ulama.

Anggota Majlis Syura Ulama yang dibentuk itu mestilah terdiri dari ulama. Tuntutan itu begitu dan orang PAS pun mahu ia begitu. Logik susunan itu begitu ialah bagi mengelakkan krisis yang besar tidak berulang lagi. Ia tidak disebut begitu tetapi itulah hasrat yang tersurat.

Apabila ia mesti terdiri dari ulama, Presiden PAS wajar ada dalam majlis itu bagi membentangkan segala perkara yang perlu disampaikan oleh Jawatankuasa PAS Pusat kepada majlis itu.

Walaupun ia tidak mensyaratkan Presiden mesti ada dalam Majlis itu tetapi ganjillah Majlis itu kalau Presiden tidak menjadi anggotanya. Walaupun Majlis itu mesti diwakili oleh empat orang ulama di dalamnya, Presiden adalah penting dan patut duduk di situ.

Sekalipun tidak dituntut Timbalan Presiden itu seorang ulama, tetapi timbalan itu akan memangku jawatan Presiden sekiranya berlaku sesuatu kepada Presiden. Timbalan Presiden bukan sekadar memanku jawatan Presiden tetapi dia mesti mewakili Presiden dalam Majlis Syura.

Adalah ganjil bagi sebuah parti yang mempelopori konsep kepimpinan ulama kalau pemangku Presidennya bukan ulama. Jika ia bukan ulama, maka akan berulang semula kejadian dalam tahun 70an PAS tidak dipimpin oleh ulama.

Yang membezakan PAS dengan UMNO ialah ia dipimpin oleh ulama. Adalah benar pada satu masa dulu semua orang takut kepada ulama. Tetapi sesudah ulama didaulatkan sejak 30 tahun dulu, tiada lagi orang yang takut kepada ulama. Pengundi Cina dan India kini amat yakin dengan pimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz.Sekarang PAS berada pada kedudukan yang terbaik. Berkat kepimpinan ulama. Ia akan ada pemilihan dalam Muktamar Jun ini. Maka perwakilan bersedia untuk mencalonkan pimpinan. Boleh jika pimpinan yang ada diganti dengan yang lain. Demokrasi membenarkan dan Islam serta ulama pun membenarkannya.

Tetapi perwakilan mesti serius perubahan pimpinan itu mesti jangan sampai ia mencicirkan kepimpinan ulama. Ulama tidak mendakwa mereka ulama dan menuntut mereka dikekalkan. Yang mahu ulama tetap memimpin ialah Islam. Pada Islam ulama adalah pimpinannya. Ada sesuatu yang tidak kena pada Islamnya apabila tiada ulama yang dapat diketengahkan.

Orang Islam yang taqwa tetapi bukan ulama, mungkin lebih pintar dari ulama, tetapi ketaqwaannya mesti membantu mengenegahkan ulama kedepan. Barakah kepimpinan ulama itu adalah penting. Tidak ada pada yang lain.

Mungkin menasabah Majlis Syura yang kukuh dan didaulatkan memantau siapa dan ulama mana yang wajar menjadi Presiden dan Timbalan Presiden setiap kali ada pemilihan bagi memastikan ia tidak terlepas dari konsep kepimpinan ulama.

Mungkin Majlis Syura Ulama itu sendiri membincangkan kepimpinan ulama dalam Jawatankuasa PAS Pusat itu. Ia memberi nasihat dari semasa tentang pencalonan Presiden dan Timbalan Presiden. PAS bukan sekadar mahukan Presiden yang berwibawa tetapi ia juga mahukan timbalannya yang berwibawa.Mungkin Majlis Syura sekarang mengambil tanggungjawab baru iaitu memikir dan menentukan barisan ulama yang berwibawa yang mesti berada dalam saf pimpinan pusat bagi menjamin tradisi pimpinan ulama yang kukuh dipertahankan.

Tokoh boleh diganti, tetapi institusi ulama sebagai pimpinan mesti dipelihara. Mursyidul Am telah membuka ruang bolehnya pimpinan itu ditentukan oleh perwakilan. Memang perwakilan ada tanggungjawab itu. Tetapi seruan itu lebih sempurna dijadikan satu peranan baru Majlis Syura bagi memestikan pimpinan ulama itu terpelihara dan sentiasa berada di bawah pimpinan yang dinamik.

Bukan ia bertujuan bagi mengongkong kebebasan perwakilan menentukan haknya tetapi ia perlu memandu perwakilan bagi membuat pilihan yang tepat. Orang Ansar merasakan Ansarlah patut memimpin umat selepas Rasulullah SAW wafat. Tetapi syura sahabat yang terdekat dengan Nabi SAW belum boleh ia dibuka kepada Ansar. Ia dibuka dulu kepada sahabat-sahabat yang lebih berwibawa terutama sepuluh orang yang dijamin syurga. Justeru pengukuhan Majlis Syura amat penting bagi membantu parti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan