Raja Petra: Kenapa saya terpaksa menghilangkan diri

 

  

Bloger Raja Petra Kamaruddin hari ini berkata beliau terpaksa “menghilangkan diri” buat sementara kerana percaya dirinya akan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri untuk kali ketiga.

Raja Petra juga berkata beliau bertelingkah dengan Sultan Selangor  berhubung pendiriannya bersabit kemelut politik di Perak dan telah bertindak keluar dari negeri itu. .

Blogger popular itu berkata,  sebagai seorang kerabat diraja Selangor, beliau memutuskan untuk keluar dari Selangor, selaras dengan hukuman ke atas kerabat negeri yang dianggap derhaka kepada Sultan.

Atas dua sebab itu, Raja Petra berkata beliau tidak dapat hadir di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini untuk membolehkan kerajaan mendakwanya di bawah Akta Hasutan.

Blogger berusia 57 tahun itu dijadual dihadapkan ke mahkamah  kerana artikelnya bersabit pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Sharibuu.

Rencana itu mengaitkan pembunuhan  Altantuya kepada isteri Perdana Menteri Rosmah Mansor dan dua pegawai tentera.      

Mahkamah Sesyen seterusnya mengeluarkan waran tangkap ke atas Raja Petra kerana gagal hadir untuk kes berkenaan.

Raja Petra berkata sebelum ini beliau ditahan di bawah  ISA bersabit artikel sama.  Selain itu, beliau turut menghadapi pertuduhan jenayah di mahkamah Kuala Lumpur kerana menulis fakta-fakta sama berhubung pembunuhan Altantuya.

“Perkembangan masa kini tidak menyakinkan saya bahawa saya akan menerima pengadilan yang saksama,” kata Raja Petra dalam laman Malaysia Today.

Beliau juga berkata setelah ditahan dibawah ISA dua kali, “saya tidak akan memudahkan tugas mereka untuk menahan saya buat kali ketiga. Saya juga tidak mahu didakwa atas tuduhan derhaka yang boleh membawa kepada hukuman gantung,” sebagaimana yang berlaku kepada ahli Al Maunah, kata Raja Petra.

-TVAntara.com.my-    

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan