SARKAS MEDIA DAN POLITIK JUS DURIAN BELANDA NAJIB

Kita amat teruja dengan kesungguhan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang bersedia menyelami ketidakselesaan hidup rakyat. Dengan berasak-asak di dalam LRT dan bertolak-tolak di Hentian Pudu Raya sudah tentu orang nombor satu negara itu akan dapat menghayati dan memikirkan cara untuk keluar daripada keadaan hidup yang boleh dianggap sudah ”tepu” di ibukota.

Sudah tentu peniaga dan pengunjung toko dan peniaga kaki lima di Jalan Masjid India, Jalan Tunku Abdul Rahmanpun akan tertunggu-tunggu apakah natijah ziarah Perdana Menteri ke dalam kesibukan, kesesakan dan kedukaan kehidupan harian mereka di bandaraya.

Sebelum itu peniaga dan pengunjung Chinatown sudahpun lebih dahulu menggantungkan harapan tinggi kepada Perdana Menteri baru itu untuk menyelesaikan masalah hidup mereka yang sentiasa hirok pikok itu.

Sekurang-kurangnya bolehlah kita rumuskan bahawa Najib sudahpun mengotakan sebahagian daripada piagam pentadbirannya – rakyat didahulukan. Kini rakyat menanti pula beliau menjadikan kenyataan separuh lagi piagamnya – pencapaian diutamakan!

Soalnya berapa lama rakyat perlu menunggu? Mengambil kira projek Plaza Rakyar yang bernilai RM 1.2 bilion bagi menggantikan Hentian Pudu sudah 12 tahun tergendala, adakah rakyat perlu bersabar 12 tahun lagi?

Mungkin alasan pasukan media Najib akan berhujah beliau baru tiga minggu jadi Perdana Menteri maka berikanlah sedikit masa untuknya mengatur strategi. Soalnya, berapa lama lagi? Bukankah sudah ada bajet diperuntukkan bagi memperbaiki sistem pengangkutan negara bermula dengan bandar utama seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang? Ke manakah perginya peruntukan yang khabarnya mencecah hingga RM 4 bilion itu?

Sehubungan itu, bukankah Najib juga adalah anggota kabinet yang meluluskan projek penambaikan sistem pengangkutan awam? Perlukah beliau diberikan masa tambahan untuk menyelesaikan janji kerajaan? Jika tidak, bolehkah dibuat rumusan apa yang dilakukan oleh kerajaan sebelum ini ”hanya menanam tebu di bibir sahaja?”

Atau, bolehkah dibuat kesimpulan bahawa memang sebelum ini Najib tidak bersetuju dengan pelan penambaikan sistem pengangkutan yang disusun oleh kerajaan pimpinan Tun Abdullah Badawi? Beliau hanya berdiam diri dan sengaja tidak mahu menegur kelemahan dan tidak mahu menunjukkan ketidaksetujuannya kerana tahu Tun Abdullah memerintah untuk tempoh tidak berapa lama dan, apabila beliau mengambil alih barulah penambaikan semua prasarana pengangkutan ibukota akan dilakukan dengan sungguh-sungguh dan berkesan?

Sebab itu agaknya baru sekarang beliau mahu turun padang meninjau keadaan di Puduraya, Jalan Tunku Abdul Rahman dan Jalan Masjid India serta minum air jus durian belanda apabila rasa terlalu sesak dan dahaga di hadapan kamera media arus perdana? Sesungguhnya di segi strategi propaganda gambar Perdana Menteri berasak naik LRT dengan rakyat memang boleh ”melembutkan” banyak hati yang tidak berkenan dengan beliau.

Bagaimanapun hakikatnya, keputusan untuk memperbaiki keadaan pengangkutan awam di ibukota sudah dibuat beberapa tahun lalu. Dan, Najib adalah antara orang yang turut sama membuat keputusan itu. Soalnya, mengapa beliau berdiam diri selama ini apabila mengetahui tiada kemajuan dicatatkan mengenai projek untuk rakyat ini dan apabila menjadi Perdana Menteri baru beliau bernafsu untuk meninjau dan memastikan (itupun belum pasti) projek ini berjaya?


Membaca di sebalik silap mata media Najib ini, kita dapat merasakan betapa kurang luhurnya kempen ini. Sepatutnya, beliau membuat tinjauan itu bagi memastikan tempoh sebenar projek itu boleh siap dan dinikmati rakyat. Sedihnya, tiada pengumuman dibuat selepas itu. Bagaimana kalau Muhyiddin pun mengikut langkah Najib. Beliau tidak membuat sebarang komen akan kelemahan pemerintahan Najib dan hanya mahu bertindak selepas menggantikan Najib satu hari nanti?

Atau, adakah ini satu lagi helah untuk menarik balik projek yang telah dikurniakan kepada pihak pemaju sebelum ini dan dipindahkan kepada pemaju yang rapat dengan kemnya?

Modus operandi ini bukan baru. Sudah berkali-kali taktik ini digunakan. Pernah apabila rakyat dihimpit oleh melambungnya harga minyak mentah di pasaran dunia dan harga barangan keperluan harianpun melonjak hingga di luar kemampuan rakyat, menteri yang bertanggungjawab terhadap halehwal pengguna menunjukkan contoh bagaimana menyelesaikan sebahagian daripada masalah itu. Maka beliau pun sehari dalam hidupnya pergi ke pejabat menaiki sistem pengangkutan awam. Ada rakyat yang terkesima dengan tindakan marhaennya.

Malangnya, itulah pertama dan akhir kali beliau dilaporkan menggunakan pengangkutan awam untuk ke pejabat. Malah cara bagaimana beliau pulang ke rumah pada hari bersejarah itu tidak pula dilaporkan. Itu perlu ditanya pada pemandu peribadi beliau. Seharusnya beliau membudayakan amalan itu. Naik LRT hari-hari barulah ia boleh menjadi ikutan!

Namun yang lebih lucu lagi, tidak lama kemudian Perdana Menteri ketika itu sendiri pula mencuba naik LRT. Maka berpusulah media yang lebih menyesakkan keselesaan orang ramai yang memang sentiasa rimas dengan kesesakan harian membuat liputan peristiwa bersejarah itu.

Apakah sarkas media ini akan menjadi asas Najib untuk memenuhi bahagian kedua piagam pemerintahannya --  pencapaian diutamakan? Atau, sebenarnya Najib sudahpun melaksanakan piagam ini apabila terbukti sanggup minum jus durian belanda di tepi jalan dan Hentian Pudu Raya?

Apa pun tindakan Najib mestilah diiktiraf sebagai satu usaha. Namun komitmen penuh haruslah ditunjukkan Najib dan keluarganya perlu menghayati kerimasan hidup rakyat. Malangnya, wanita nombor satu negara tidak pula turut sama untuk membuktikan iltizam total Najib ingin membawa perubahan.  

-TVAntara.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan