Semua Kaum Tolak BN Kata Muhyiddin

 

Setelah lebih setahun dilanda tsunami politik yang menamatkan kuasa majoriti dua pertiganya di Parlimen akhirnya Umno dan Barisan Nasional mengaku gagasan politik itu kini ditolak oleh semua kaum di negara ini dan menuju ke ambang kepupusan pengaruh.

Timbalan Presiden Umno, Muhyiddin Yassin dalam satu komennya berkata bukan sahaja Umno dan BN gagal meraih undi dan sokongan politik pengundi Melayu seperti mana yang ia pernah menikmati satu ketika dahulu malah kaum Cina, India dan lain-lain kaum juga telah menolak BN.

Kenyataan beliau itu berdasarkan kepada keputusan tiga pilihan raya kecil yang diadakan serentak 7 April lalu di kerusi Parlimen Bukit gantang, Perak dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri masing-masing di Bukit Selambau, Kedah dan Batang Air, Sarawak.

Pakatan Rakyat memenangi Bukit Gantang dan Bukit Selambau dengan peningkatan ketara undi majoriti sementara BN mengekalkan Batang Ai walaupun calon Pakatan Rakyat, Jawah Gerang mendakwa beliau menang dengan kelebihan majoriti lebih 400 undi.

Di kerusi Parlimen Bukit Gantang Menteri Besar Perak Pakatan Rakyat , Mohammad Nizar Jamaluddin memenangi pilihan raya kecil kawasan itu dengan memperoleh majoriti 2,789 menewaskan calon dari BN, Ismail Saffian.

Pada PR Umum ke 12 pada tahun lepas majoriti yang di menangi oleh calon PAS, Roslan Sharom ialah sebanyak 1566 undi.

"Kalau ikut formula di situ pengundi majoritinya Melayu dan kalau ikut formula biasa majoriti Melayu kita menang tapi sekarang majoriti Melayu tidak boleh pastikan kemenangan kita kerana Melayu sudah berpecah.

"Dan kita pada waktu kempen mengharapkan mudah-mudahan undi dari kaum bukan Melayu akan berubah dan bertambah tetapi bila undi Melayu telah berpecah, undi dari bukan Melayu tidak berubah malah makin berkurang dan akhirnya kita kalah.

"Harap ini tidak merupakan satu trend tetapi ia nampak seperti itu. Sebab itu kita berhadapan dengan satu senario yang agak serius dan justeru proses pembaharuan harus dilaksanakan secepat mungkin," katanya ketika berucap pada majlis bersama petugas Umno dan Penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) semalam.

Kenyataan Muhyiddin yang baru dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran mendedahkan ketakutan mendalam yang dialami Umno dan BN dan kekalahan di dua kerusi yang ditandinginya meneruskan mimpi ngeri berpanjangan yang menghantui mereka.

Seruan Muhyiddin agar bangsa Melayu kembali bersatu di bawah perjuangan Umno kerana katanya Umno merupakan satu-satunya parti yang relevan dalam memperjuangkan nasib Melayu mungkin agak terlambat kerana rakyat telah pun membuat keputusan menolak BN setelah memberi peluang memerintah negara selama lebih lima puluh tahun.

Yang paling mengejutkan penguasa-penguasa Umno dan BN trend penolakan ini masih belum reda malah gelombang penolakan terhadap hegemoni politik BN bertambah kuat dan meningkat.

Ini boleh dilihat dengan kemenangan di luar jangkaan yang diperolehi Anwar Ibrahim pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh Julai tahun lalu dikuti pula oleh kekalahan BN pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu Januari lalu.
   
"Walaupun kita perjuangkan nasib Melayu tetapi kita juga adil pada kaum lain tetapi ada yang kata kita tidak adil kepada mereka. Justeru kita perlu bertindak sekarang sebelum terlewat,"kata Muhyiddin lagi.

-TVAntara.com.my-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan