Anak-anak pondok Penanti bersedialah...

Azamin Amin  

Mukanya bersih, cerah dan tenang. Sesekali tersenyum menampakan keramahan dan kesantunan. Begitulah sekali imbas kelibat anak-anak didik sekolah pondok di Penanti yang berada di dalam masjid tatkala menunggu azan maghrib berkumandang.

Sesekali terfikir, kasihan melihat masa depan mereka ketika berada di 'luar' sana. Bukan kerana tidak ada masa depan dan ilmu yang ditatang tidak boleh dijadikan panduan. Tetapi cabaran, asakan bertubi-tubi dan godaan maha dasyat menanti penuh bahaya di luar 'dunia' mereka.

Di Penanti, di pondok-pondok sana sini, mereka masih 'selamat'. Mungkin dua tahun atau paling lama lima tahun. Itu jaminan yang ada namun setelah menjejak kaki ke luar, dari pelbagai penjuru 'musibah' menunggu.

Tidak hairanlah, ketika Anwar Ibrahim menyampai tazkirah di masjid Penanti 23 Mei lalu di hadapan anak-anak pondok Penanti yang taat mendengar, beliau mengingatkan golongan muda supaya menguatkan keimanan dan mohon dilindungi Allah SWT agar terpelihara daripada sebarang bentuk kezaliman dan godaan nafsu syaitan, seiring petunjuk yang dianjurkan al-Quran dalam Surah al-Kahfi.

"Pemuda-pemuda kuatkan iman dan aqidah. Tuhan pasti akan melindungi anda seperti kisah pemuda yang diselamatkan oleh Allah daripada kekejaman kerajaan pada masa itu," nasihat Anwar sambil imam muda Ustaz Shamsul Firdaus Al-hafiz mengangguk setuju.

Ustaz Shamsul adalah imam yang telah pecat daripada Masjid Saidina Omar Al Khattab, Bukit Damansara kerana 'menasihati' kerajaan supaya berlaku adil dan kelantangannya menentang kezaliman. Terlucut jawatan, awal bulan ini. Heboh seluruh negara.

Ya, anak-anak pondok Penanti...itulah antara harga yang perlu dibayar, apabila apa yang dipelajari di pondok-pondok, diterjemahkan di luar sana. Itu hanya secubit saja.

Luar sana, tidak sama seperti di pondok. Pondok tertib dan ada aturannya. Bangun sebelum subuh, baca surah-surah sampai solat fardu. Kemudian baca-baca lagi, hafal apa yang patut. Kemudian makan pagi. Lepas itu kuliah sampai Zohor. Lepas makan dalam talam, tidur sekejap - sunat. Sambung balik belajar sampailah malam. Itulah rentasan masa selama lima tahun di pondok. Ilmu dapat, pahala juga dapat. Mudah dan tiada gangguan.

Kalau lebih berdikari dan berjimat, terpaksa masak sendiri. Tidur dalam pondok yang muat-muat lunjur dua tiga orang. Makan dalam talam penuh selera walaupun seekor ikan kembung berkongsi empat dan nasi menimbun umpama 'mamat Bangladesh' menjamu selera selepas penat bertukang buruh.

Dulu, ketika sempat melintasi pelajaran pondok di selatan tanahair Maahad Itibba As-Sunnah namanya, kembang anak tekak saya ketika mula-mula diajak makan dalam talam. Mereka ketawakan saya. Sebenarnya itu sunnah dan menguatkan kasih sayang serta ukhuwah. Tak percaya...cubalah!

Tetapi kini, itulah antara kenangan paling bermakna dalam hidup saya. Berselera sungguh makan dalam talam. Nikmat yang tak terkata selagi, tidak mencuba. Walaupun uzur lauk pauk, tetapi kenyang berkat.

Oh, ya...bagi sesiapa yang makan dalam talam ketika itu, jika sesiapa yang 'cop' kepala ikan untuk diratah, maka 'harga' yang perlu dibayar ialah mencuci talam itu. Itu antara hiburan anak-anak pondok saat itu.

Bila malam, saya yang lebih nakal daripada yang lain, menyusup kampung mencari ayam berkeliaran untuk disembelih. Dengan bantuan rakan yang lebih pantas, dan cekap, ayam seekor dapat ditangkap. Sebelum sembelih, saya pekup kuat-kuat mulut (paruh) ayam itu supaya ianya tidak 'menjerit' meminta tolong. Kemudian ceritanya 'happy ending after'...ayam tadi dibuat sup dan kami sama-sama meratah, kerana terlalu lapar.

Itu 'hiburan' dan kenakalan usia anak-anak pondok tetapi masih 'selamat.' Tidak di luar sana. Cukup hebat sampai hancur-berkecai ilmu yang dibajai.

Sujud di kaki sejadah, tersungkur di kaki betina

Sewaktu menghirup udara nyaman dan membuat liputan di Penanti, saya dan sahabat Wan Nordin terasa sayu melihat masa depan mereka yang mungkin belum lagi teruji dengan asakan keduniaan yang cukup 'menyesatkan'. Bukan semua tetapi cukup untuk melunturkan iman. Bukan bermakna kami sudah diuji atau berjaya mengatasi malah kami juga sedang melintasi ranjau duri kehidupan duniawi.

Adakalanya istiqamah, 'maintain'. Ada masa culas. Ada masa malas. Ada masa kami mundur dan ada ketikanya kami bangkit balik. Sentiasa pasang surut dan melawan. Kami masih diuji dan banyak kali juga kami 'fail'.

Di dunia luar, tidak mungkin selalu ada makanan dalam talam. Mungkin sepahan ganja, rochee dan syabu jadi hidangan. Mungkin, gedik-gedik santai perempuan jadi teman sembang tengah malam.Bukan lagi solat dan sujud di kaki sejadah.

Bukan untuk memburukkan, menakutkan atau menggalakkan. Tetapi ada realitinya di sana. Ada yang tersungkur di kaki betina dan muntah arak.

Ya bukan semua, tetapi hati-hati jika terleka. Bukan saya maksum tetapi berkata-kata dari hujung pengalaman derita dan kawan-kawan yang mempermainkan ayat-ayat Allah Ta-ala.

Mereka ini ada yang jauh lebih tingginya ilmu agama daripada saya yang sepicing ini, tetapi berani menjadi 'free thinker', melawan tuhan dan melayan nafsu sebuasnya.

Ya, adakalanya mereka terkejut benar, 'dunia' pondok mereka amat berbeza dengan dunia sebenar. Wang, kuasa dan wanita jadi hajat dicita ulam mendatang.

Jika ada yang kuat semangat, kemudian kuat berdakwah lalu kuat mengkritik maka tidak semena-mena anda tidak ke mana. Mungkin dipecat jawatan atau jauh lebih hebat berteleku di katil penjara, seperti Anwar atau seperti Nizar, dihalau, dirampas kuasa dan difitnah merata.


Bercakap benar begitu mahal harganya. Bercakap benar bercampur nista, mungkin dapat hidup selesa di 'singgahsana'.

Jika anda lemah semangat, sangat senang merasuah, dirasuah, mudah 'meratah' nafsu serakah dan ribut kuasa serta harta, barangkali sebelah kaki sudah ditempah di neraka. Oleh itu pilihlah.

Saya juga hampir 'terbungkus' di tengah jalan, tetapi 'diselamatkan' Allah lalu ditempatkan di Harakah. Itu juga belum tentu terjamin. Barangkali ujiannya juga tak tertanggung.

Buat anak-anak pondok Penanti, sebenarnya pilihan raya kecil esok lusa ini, adalah 'Universiti' terbaik untuk menilai watak manusia dan pancaroba. Watak-watak lakonan atau yang berjurus ikhlas berjuang semuanya sudah 'berkampung' di depan mata anak-anak pondok Penanti.

Yang berjanji dan menyanyi lagu-lagu dendang hati rakyat serta peluru tabur fitnah sengketa, menjadi halua telinga buat anak-anak pondok Penanti. Perhati dan nilaikanlah.

Semaklah kitab, buku, al-Quran dan Hadis atau nasihat kuliah ustaz. Sebenarnya, apa yang yang dipelajari, semuanya terpampang di Penanti menjelang tempoh mengundi.

Bukalah mata, bukalah hati.

Itu semua adalah watak-watak, susuk-susuk tubuh dan aksi-aksi yang pernah disebut Tuhan di dalam al-Quran. Sebenarnya itu hanya secebis. Dunia luar sana lagi maha hebat. Umpama halilintar menembus iman. Berhati-hatilah.

Maka bersedialah anak-anak pondok Penanti...


Di atas robohan Kota Melaka, 
Kita dirikan Jiwa Merdeka, 
Bersatu padulah segenap baka, 
Membela hak keadilan pusaka.

(Lalu tepat jam 1.00 pagi 23 Mei lalu, kami pulang memandu laju menuju destinasi yang dituju, untuk terus menghadapi kehidupan mendatang dengan serba macam rencam dan ujian. Di belakang, Ahmad Lutfi terlena, di buai mimpi kerja yang tidak pernah habis...)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan