Isi hati rakyat Perak hanya mahukan pembubaran Dun!

Wan Nordin Wan Yaacob  
Krisis di Perak kembali rumit dan sempit, keputusan mahkamah yang umpama di 'remote' oleh Umno/BN mempermainkan semula jiwa dan denyut nadi rakyat.

Dalam masa sehari, mahkamah mudah diskripkan dengan memutar semula wajah demokrasi yang sebenar, rayuan Dr Zambry Kadir dengan pantas diproses dan diterima Mahkamah Rayuan dalam masa satu jam sahaja.

Walhal,secara amalan biasanya rayuan itu juga perlu tempoh tertentu untuk diputuskan perihal lulusnya dengan prosedur yang kepada 'orang biasa' akan menjafdi rumit.

Namun bagi Zambry yang juga proksi kepada Najib Tun Razak di Perak dalam 'program realiti bertajuk rampasan kuasa di Perak' mahkamah akan memudahkan rayuannya tidak seperti rakyat biasa yang lain.

Hanya sejam sahaja diperlukan Zambry yang menerima mandat Presiden Umno untuk mengemudi Umno di Perak untuk memutarkan semula skrip yang sedang bergelandangan di Perak.

Tindakan itu menyebabkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 11 Mei yang mengesahkan Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar yang sah 'tergantung' sementara, dan Zambry pula selaku MB 'perampas' kembali mahu duduk dikerusi empuknya dengan bantuan 'jalan pintas'.

Nizar hanya duduk di kerusi MB pada 12 Mei setakat beberapa jam dan sempat hadir dalam Majlis Pengurniaan Pingat di Istana Iskandariah bersama Sultan Perak.

Namun, ketokohan Nizar selaku pejuang rakyat terserlah, tanpa ada rasa 'lokek' kepada kuasa, beliau dengan rendah diri mengosongkan semula pejabat MB yang baharu sahaja dimasuki semula 12 Mei.

Benar kata Adun Titi Serong, Dr Khalil Idham Lim Abdullah bahawa rakyat Perak kini mula curiga dan sangsi mahkamah hanya diperguna untuk kepentingan kuasa BN.

Mahkamah hanya menjadi ladang kepada kerakusan nafsu BN untuk melakukan apa sahaja walau ianya sah bertentangan dengan perlembagaan atau Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak.

Ketegangan kini hanya boleh diselesaikan dengan kembali kepada rakyat, bak kata Nizar dan Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang bahawa pembubaran Dun adalah jalan terbaik.

Hal ini juga dipertegaskan Ahli Parlimen BN Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan bekas Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Tan Sri Abu Talib Othman

Usah dibodohkan kenyataan Ku Li dalam tulisan terbarunya, bekas pemimpin Parti Melayu Semangat 46 berkata kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Zambry Abd Kadir lebih kurang tiga bulan "selama ini haram dan semua keputusan serta kontrak yang dibuat olehnya tanpa asas perundangan."

Ku Li berpendirian sidang DUN Perak minggu lepas yang membawa usul Zambry menggantikan Speaker, V Sivakumar dengan R Ganesan, pemimpin kanan MIC negeri dan bekas ADUN Sungai, juga tidak sah.

"Sultan, dan sistem beraja itu sendiri, menanggung malu dengan babak (politik) ini, termasuk usaha terancang oleh sesetengah pihak untuk menyemarakkan lagi isu menjadi perkauman dan penderhakaan.

"Tindakan seumpama ini hanya merosakkan lagi institusi yang mereka dakwa cuba mempertahankannya, dan (susulan itu) ia mencemarkan Umno dan BN," kata Ku Li.

Pastinya dalam kemelut ini, Sultan Perak adalah jawapan yang paling dekat kepada konflik ini untuk segera ditamatkan.Kuasa yang ada di tangan baginda adalah jalan penyudah, cadangan Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar mudah, dua MB ini dipanggil mengadap Sultan Perak.

Tumpuan hanya satu, dua dua perlu akur akan penyelesaian hanya di gelanggang pilihan raya semula dan bukannya intepretasi undang-undang yang berbeza.

Kini rakyat menanti keazaman Sultan Perak untuk menamatkan segera sengketa ini dengan memperkenankan pembubaran Dun bagi membolehkan rakyat memilih semula wakil rakyat dan kerajaan secara sah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan