Kempen sejuta poskad mansuh PPSMI |
Jimadie Shah Othman |
Selepas menggerakkan ribuan penunjuk perasaan di jalanan awal Mac lalu, Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) kini mengambil pendekatan kreatif dengan melayangkan sejuta poskad bantahan kepada Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin. Menurut setiausahanya, Hasni Abas, kempen terkini membantah dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) itu diharapkan terus menggemblengkan bantahan rakyat, sebagai kesinambungan kepada demonstrasi 7 Mac lalu. Katanya, GMP berharap, pelaksanaan kempen itu - dinamakan "Sejuta Poskad kepada Menteri Pelajaran" - dapat memandu Muhyiddin membuat keputusan yang betul dengan memansuhkan dasar kontroversi itu. "Kalau tiap-tiap hari beliau buka pintu, tengok ada poskad (bantahan), takkan beliau tidak terfikir hendak mansuhkan PPSMI," katanya kepada Malaysiakini. Hasni berkata, kempen tersebut dilancarkan Jumaat lalu di Pagoh, Melaka oleh Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dalam sebuah majlis ceramah bersama Naib Presiden PAS Mohamad Sabu. Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi GMP, Dr. Shaharil Mohamad Zain; pengerusi DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau; Ketua Penerangan Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat dan beliau sendiri. Mengulas lanjut, Hasni berkata, kira-kira 2,000 orang menghadiri majlis itu dan seribu poskad telah diedarkan. Tiada had masa Pihak yang ingin turut serta, boleh membeli poskad tersebut dari pejabat Teras Pengucapan Melayu (Teras) - sebuah NGO yang bergabung dalam GMP - di negeri-negeri, dengan harga RM1 sekeping. Hasni bagaimanapun menafikan pihaknya cuba mengambil kesempatan untuk membuat keuntungan daripada penjualan bahan kempen tersebut. "Tak ada (buat untung). Kos cetak pun sekeping dah berapa," katanya sambil menjelaskan bahawa buat permulaannya 5,000 keping poskad telah dicetak. Beliau yang juga pengerusi kesatuan sekerja Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berkata, GMP tidak menetapkan sebarang garis masa bagi program itu. Bagaimanapun, katanya, ia akan dijalankan "selagi PPSMI tidak dimansuhkan" dan "selagi tidak cukup sejuta poskad dihantar". Awal bulan ini, kerajaan dilaporkan memerlukan lebih masa bagi menilai perlaksaaan dasar itu kerana "keputusan terhadap isu berkenaan adalah kritikal". Muhyiddin juga dilaporkan tidak berpuas hati dengan kajian dan perbincangan meja bulat anjuran kementeriannya sebelum ini. Menurut beliau, dalam sesi perbincangan tersebut, kadangkala pandangan yang dikemukakan tidak berasaskan fakta dan bukti, sebaliknya apa yang dirasai. -malaysiakini- |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan